sabah fc – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Fri, 21 Aug 2026 11:36:33 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png sabah fc – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Sabah FC perkenal jersi musim baharu bermotif etnik https://sabahmedia.com/2026/08/21/sabah-fc-perkenal-jersi-musim-baharu-bermotif-etnik/ https://sabahmedia.com/2026/08/21/sabah-fc-perkenal-jersi-musim-baharu-bermotif-etnik/#respond Fri, 21 Aug 2026 11:36:26 +0000 https://sabahmedia.com/?p=102051
Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU: Sabah FC secara rasmi memperkenalkan jersi baharu bagi musim 2026/2027 yang menampilkan elemen motif etnik Sabah sebagai identiti utama pasukan dalam satu majlis pelancaran yang berlangsung di sini, pada Jumaat.

Jersi yang dilancarkan bersama penaja utama, Carino itu bukan sahaja menampilkan rekaan moden dan dinamik, malah mengetengahkan warisan budaya negeri melalui penggunaan corak etnik yang menjadi simbol kebanggaan rakyat Sabah.

Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (SAFA), Datuk Awang Kadin Tang berkata, jersi baharu berkenaan membawa makna yang lebih besar daripada sekadar pakaian rasmi pasukan, sebaliknya mencerminkan semangat perjuangan, identiti serta aspirasi Sabah FC untuk musim baharu.

Menurutnya, setiap kali pemain menyarung jersi itu, mereka bukan sahaja mewakili kelab tetapi turut membawa harapan dan maruah seluruh rakyat Sabah.

“Jersi ini bukan sekadar pakaian sukan, tetapi lambang perjuangan dan kebanggaan negeri Sabah. Kami mahu para pemain memahami tanggungjawab yang hadir bersama jersi ini dan memberikan komitmen terbaik setiap kali turun ke padang.

“Motif yang ditampilkan pada jersi ini juga mencerminkan keunikan budaya dan identiti Sabah yang sentiasa menjadi kebanggaan kita semua,” katanya.

Beliau berkata, pelancaran jersi baharu itu menjadi simbol permulaan kepada cabaran musim 2026/2027 yang dijangka lebih sengit, dengan Sabah FC bertekad untuk terus memperkukuhkan kedudukannya dalam saingan bola sepak negara.

Dalam pada itu, Awang Kadin turut merakamkan penghargaan kepada Carino atas komitmen berterusan sebagai penaja utama jersi Sabah FC musim ini.

Katanya, kerjasama berkenaan membuktikan keyakinan sektor korporat terhadap potensi dan hala tuju kelab, selain membantu memperkukuhkan pembangunan bola sepak Sabah secara keseluruhan.

“Kerjasama ini amat penting dalam memastikan Sabah FC terus berkembang sebagai sebuah kelab yang profesional dan berdaya saing.

“Kami menghargai sokongan yang diberikan oleh Carino dan berharap hubungan ini akan terus berkembang pada masa hadapan,” katanya.

Mengulas mengenai musim baharu, beliau menegaskan Sabah FC komited untuk meningkatkan prestasi pasukan, memperkukuhkan struktur pengurusan kelab serta memberi perhatian kepada pembangunan bakat-bakat tempatan.

“Kami mahu Sabah FC bukan sahaja berjaya di atas padang, tetapi turut menjadi sebuah kelab yang boleh dibanggakan oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya.

Majlis pelancaran itu turut dimeriahkan dengan sesi Meet & Greet bersama pemain Sabah FC yang memberi peluang kepada penyokong untuk melihat lebih dekat jersi baharu pasukan serta berinteraksi dengan pemain kegemaran mereka. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/21/sabah-fc-perkenal-jersi-musim-baharu-bermotif-etnik/feed/ 0 102051
Sabah FC bakal uji kekuatan bertemu Bali United dan Persib Bandung https://sabahmedia.com/2026/08/10/sabah-fc-bakal-uji-kekuatan-bertemu-bali-united-dan-persib-bandung/ https://sabahmedia.com/2026/08/10/sabah-fc-bakal-uji-kekuatan-bertemu-bali-united-dan-persib-bandung/#respond Mon, 10 Aug 2026 02:05:13 +0000 https://sabahmedia.com/?p=101326
Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU: Sabah FC bakal menguji kekuatan sebenar pasukan apabila dijadualkan menentang dua kelab ternama Indonesia, Bali United dan Persib Bandung, dalam aksi pra musim di Bali, Indonesia, minggu ini.

Pengurus Sabah FC, Muhd Arziz Afizy Rumsani, berkata dua perlawanan berkenaan penting bagi pasukan untuk memperkemaskan keserasian dan kombinasi pemain sebelum menghadapi saingan Liga Super Malaysia 2026/2027.

Katanya, Sabah FC akan bertemu Bali United pada 13 Ogos ini, sebelum meneruskan aksi persahabatan menentang Persib Bandung dalam siri persiapan di Indonesia.

“Seterusnya, kita akan mengadakan perlawanan pra musim di Bali, Indonesia yang mana pada 13 Ogos ini kita akan bertemu dengan Bali United dan seterusnya perlawanan yang kedua di sana nanti kita akan bertemu dengan Persib Bandung,” katanya.

Beliau berkata, aksi menentang pasukan luar negara itu bukan sekadar untuk memburu keputusan, sebaliknya memberi peluang kepada barisan kejurulatihan menilai tahap keserasian pemain selepas berlaku perubahan besar dalam skuad Sabah FC bagi menghadapi musim baharu.

Menurutnya, perlawanan pra musim amat penting bagi membentuk kombinasi di atas padang, khususnya dengan kehadiran beberapa pemain baharu termasuk lima pemain import.

“Kita lebih memfokuskan kepada kombinasi pemain di padang dan ini sangat penting untuk persiapan kita menghadapi Liga Super 2026/2027,” katanya.

Sebelum ini, Sabah FC membuka tirai aksi pra musim antarabangsa dengan kemenangan 3-0 ke atas kelab Brunei, Kasuka FC, di Stadium Likas.

Kemenangan itu menyaksikan dua pemain import baharu, Gonzalo Di Renzo dan Park Jungbin, mencatat nama sebagai penjaring, sekali gus memberikan petanda positif terhadap proses pembentukan pasukan baharu Sang Badak.

Sabah FC turut mengadakan aksi persahabatan menentang kelab tempatan di Keningau sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi musim baharu.

Aksi menentang Bali United dan Persib Bandung dijangka menjadi ujian lebih mencabar buat Sabah FC sebelum pasukan itu memulakan saingan Liga Super 2026/2027 pada 23 Ogos ini.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/10/sabah-fc-bakal-uji-kekuatan-bertemu-bali-united-dan-persib-bandung/feed/ 0 101326
Sabah FC tewaskan Kasuka FC 3-0 dalam aksi pra-musim antarabangsa https://sabahmedia.com/2026/08/10/sabah-fc-tewaskan-kasuka-fc-3-0-dalam-aksi-pra-musim-antarabangsa/ https://sabahmedia.com/2026/08/10/sabah-fc-tewaskan-kasuka-fc-3-0-dalam-aksi-pra-musim-antarabangsa/#respond Sun, 09 Aug 2026 23:42:15 +0000 https://sabahmedia.com/?p=101321
Read Time:1 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU: Sabah FC meneruskan persiapan menjelang saingan Liga Super musim 2026/27 dengan langkah positif apabila menewaskan Kasuka FC 3-0 dalam aksi pra-musim antarabangsa di Stadium Likas, di sini malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Juan Torres Garrido mempamerkan aksi meyakinkan sejak awal permainan apabila Gonzalo Di Renzo membuka tirai jaringan seawal minit kedua.

Gol pantas berkenaan memberikan keyakinan kepada Sang Badak untuk terus mengawal rentak permainan, selain memberi tekanan kepada barisan pertahanan Kasuka.

Sabah FC kemudian menggandakan kelebihan menerusi jaringan sendiri pemain Kasuka, sekali gus membolehkan pasukan tuan rumah memasuki waktu rehat dengan kelebihan dua gol.

Memasuki babak kedua, Sabah FC tidak memperlahankan rentak permainan apabila terus memburu jaringan tambahan bagi mengukuhkan kemenangan.

Usaha tersebut membuahkan hasil pada minit ke-71 apabila Park Jungbin menemui sasaran untuk meletakkan Sabah FC di depan 3-0.

Kasuka FC cuba bangkit dan memberikan tentangan pada baki permainan, namun gagal menghasilkan jaringan bagi merapatkan kedudukan.

Sabah FC akhirnya mengekalkan kelebihan tiga gol sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus mencatat kemenangan 3-0 dalam aksi persahabatan berkenaan.

Kemenangan itu memberikan suntikan moral penting kepada Sabah FC yang kini giat memperkemaskan barisan pemain, membentuk keserasian pasukan serta menilai tahap kesiapsiagaan menjelang bermulanya saingan kompetitif musim 2026/27.

Aksi pra-musim berkenaan juga menjadi medan penting buat barisan kejurulatihan Sabah FC untuk menguji kombinasi pemain, taktikal dan tahap kecergasan sebelum pasukan mengharungi cabaran sebenar pada musim baharu. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/10/sabah-fc-tewaskan-kasuka-fc-3-0-dalam-aksi-pra-musim-antarabangsa/feed/ 0 101321
Sabah FC sasar kelompok lima terbaik Liga Super 2026/2027 https://sabahmedia.com/2026/07/30/sabah-fc-sasar-kelompok-lima-terbaik-liga-super-2026-2027/ https://sabahmedia.com/2026/07/30/sabah-fc-sasar-kelompok-lima-terbaik-liga-super-2026-2027/#respond Thu, 30 Jul 2026 00:18:19 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100776
Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU: Sabah FC meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan Liga Super 2026/2027 dalam kelompok lima terbaik selepas melakukan persiapan rapi bagi menghadapi musim baharu.

Pengurus Sabah FC, Muhd Arziz Afizy Rumsani berkata, pasukan itu telah membuat persediaan menyeluruh bagi memastikan skuad mampu bersaing secara konsisten sepanjang musim.

Menurutnya, sasaran lima terbaik itu diyakini mampu dicapai berdasarkan persiapan yang dilakukan termasuk pembentukan skuad baharu.

“Persiapan pasukan Sabah FC kali ini adalah untuk menghadapi musim 2026/2027 dan sasaran kami ialah berada dalam kelompok lima terbaik Liga Super musim ini,” katanya ketika ditemui Sabah Media di sini pada Rabu.

Sebagai sebahagian daripada persiapan pra musim, Sabah FC akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Pasukan Pilihan Keningau pada 31 Julai ini di Keningau.

Arziz berkata, semua pemain Sabah FC akan dibawa ke perlawanan itu bagi memberi peluang kepada penyokong di kawasan pedalaman menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi secara lebih dekat.

“Kami berharap masyarakat Keningau turun beramai-ramai memberikan sokongan. Ini peluang terbaik untuk penyokong melihat semua pemain Sabah FC beraksi di sana,” katanya.

Beliau berkata, Sabah FC turut merancang mengadakan siri jelajah pra musim ke beberapa daerah lain di Sabah, namun pengumuman mengenainya akan dibuat kemudian.

Dalam perkembangan lain, Arziz memaklumkan jadual Liga Super musim baharu telah diumumkan dengan Sabah FC dijadual membuka kempen pada 23 Ogos ini.

Menyentuh mengenai pembentukan skuad, beliau berkata setakat ini tiada lagi pemain import baharu akan dibawa masuk selain mereka yang telah diumumkan menerusi platform media sosial rasmi kelab.

Bagi pemain tempatan pula, Sabah FC telah memperkenalkan beberapa muka baharu termasuk Fayadh Zulkifli; Fadzrul Danel serta beberapa pemain lain selain terus memberi kepercayaan kepada bakat muda kelahiran Sabah untuk memperkukuhkan pasukan. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/30/sabah-fc-sasar-kelompok-lima-terbaik-liga-super-2026-2027/feed/ 0 100776
Sabah FC terima tajaan RM4 juta, sedia harungi musim Liga Malaysia 2026/27 https://sabahmedia.com/2026/07/29/sabah-fc-terima-tajaan-rm4-juta-sedia-harungi-musim-liga-malaysia-2026-27/ https://sabahmedia.com/2026/07/29/sabah-fc-terima-tajaan-rm4-juta-sedia-harungi-musim-liga-malaysia-2026-27/#respond Wed, 29 Jul 2026 09:46:59 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100758
Read Time:1 Minute, 26 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : Sabah FC menerima tajaan RM4 juta daripada Emas Sri Semantan Sdn. Bhd bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia 2026/27 yang dijadual akan bermula bulan depan.

Penajaan itu dimeterai dalam satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di salah sebuah hotel di sini pada Rabu.

Pemeteraian itu merupakan satu lagi kerjasama strategik antara Sabah FC dan sektor korporat dalam usaha memperkukuh pembangunan bola sepak negeri serta memperluaskan jaringan penajaan kelab.

Pengarah Sabah FC, Datuk Alijus Sipil berkata, sumbangan daripada sektor korporat memberi suntikan semangat kepada pengurusan dan pasukan dalam membuat persiapan terbaik menjelang musim baharu yang dijadual bermula pada Ogos ini.

Beliau berkata, penyertaan Emas Sri Semantan sebagai rakan strategik bukan sahaja memberi suntikan dana kepada kelab, malah membantu memperkukuhkan imej serta jangkauan Sabah FC.

“Kita akan menggunakan penajaan ini sebaik mungkin untuk program latihan pemain dan persiapan menghadapi musim 2026/2027. Sasaran kita adalah memperbaiki pencapaian musim lalu dan membawa Sabah FC mencapai keputusan yang lebih baik

“Walaupun Sabah FC menamatkan saingan Liga Super musim lalu di kedudukan yang kurang memuaskan, pasukan berjaya mencipta dua pencapaian penting apabila mara ke pentas akhir Piala FA sebelum tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) serta muncul juara Piala Cabaran,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian tersebut menjadi motivasi kepada pasukan untuk tampil lebih kompetitif musim ini, dengan persiapan kini berada di peringkat akhir sebelum senarai penuh pemain diumumkan secara berperingkat menerusi saluran rasmi kelab.

Alijus turut mengalu-alukan lebih banyak penyertaan syarikat korporat untuk bersama-sama membangunkan Sabah FC, sambil memaklumkan masih terdapat beberapa peluang penajaan yang terbuka untuk dibincangkan.

Sabah FC akan memulakan saingan Liga Super bertemu Star City FC pada perlawanan pertama di Stadium Likas pada 23 Ogos depan. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/29/sabah-fc-terima-tajaan-rm4-juta-sedia-harungi-musim-liga-malaysia-2026-27/feed/ 0 100758
Liga Super : Sabah FC perkenal lima import baharu musim 2026/2027 https://sabahmedia.com/2026/07/24/liga-super-sabah-fc-perkenal-lima-import-baharu-musim-2026-2027/ https://sabahmedia.com/2026/07/24/liga-super-sabah-fc-perkenal-lima-import-baharu-musim-2026-2027/#respond Fri, 24 Jul 2026 01:35:31 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100457
Read Time:2 Minute, 44 Second

KOTA KINABALU: Sabah FC mengumumkan kehadiran lima pemain import baharu bagi menguatkan lagi skuad menjelang saingan Liga Malaysia musim 2026/2027, sekali gus membuktikan kesungguhan kelab untuk tampil lebih kompetitif dalam perebutan kejuaraan musim ini.

Lima pemain yang menyertai Sang Badak ialah pemain tengah antarabangsa Filipina-Finland, Oskari Kekkonen, pertahanan dari Sepanyol Kike Lopez (Kadete), penyerang dari Korea Selatan Park Jungbin, penyerang dari Argentina Gonzalo Ignacio Di Renzo (Gonza) dan penjaga gol dari Argentina-Itali Juan Flere Pizzuti.

Kehadiran mereka dijangka memperkukuhkan setiap posisi utama pasukan, daripada benteng pertahanan, bahagian tengah, serangan sehingga ke posisi penjaga gol.

Oskari Kekkonen, 27, yang lahir di Kotka, Finland, menyertai Sabah FC selepas beraksi bersama Lamphun Warriors di Thailand dan pernah beraksi di beberapa negara di Eropah dan Asia selain mewakili skuad kebangsaan Filipina di peringkat bawah 23 tahun serta skuad senior.

Menurut Kekkonen, beliau memilih Sabah FC kerana percaya dengan visi dan cita-cita besar kelab itu untuk terus berkembang.

“Saya benar-benar dapat merasakan cita-cita kelab ini untuk terus berkembang dan membina sesuatu yang baharu. Bagi saya, Sabah FC sentiasa merupakan sebuah kelab besar dalam bola sepak Malaysia,” katanya.

Beliau turut mendedahkan pernah mendapatkan pandangan bekas pemain tengah Sabah FA, Hendrik Helmke, sebelum membuat keputusan menerima tawaran menyertai Sang Badak.

Sementara itu, Sabah FC turut memperkukuhkan benteng pertahanan menerusi kehadiran pemain Sepanyol, Kike Lopez atau lebih dikenali sebagai Kadete.

Pemain berketinggian 1.85 meter itu mampu beraksi sebagai pertahanan tengah atau pertahanan kiri, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan kepada barisan kejurulatihan.

Kadete berkata, perpindahannya ke Sabah bukan sekadar untuk meneruskan karier bola sepak, malah bagi menikmati pengalaman baharu bersama sebuah kelab yang mempunyai sejarah panjang dalam arena bola sepak Malaysia.

Dalam masa sama, Sabah FC turut menambah sengat di bahagian serangan menerusi kehadiran Park Jungbin dari Korea Selatan.

Bekas pemain Visakha FC itu mampu beraksi sebagai penyerang tengah serta pemain tengah menyerang menggunakan kedua-dua belah kaki.

Park membawa pengalaman luas selepas pernah beraksi bersama beberapa kelab ternama di Eropah termasuk VfL Wolfsburg, Greuther Fürth, Karlsruher SC, Viborg FF, Hobro IK, Servette FC, Rodez AF serta FC Seoul.

Sabah FC turut memperkenalkan seorang lagi penyerang import, Gonzalo Ignacio Di Renzo atau Gonza dari Argentina.

Pemain berusia 30 tahun itu menyertai Sang Badak daripada CF Talavera de la Reina di Sepanyol.

Penyerang berketinggian 1.87 meter itu memiliki kewarganegaraan Argentina-Itali serta mampu beraksi sebagai penyerang utama, penyerang kedua dan pemain sayap.

Sepanjang kariernya, Gonza pernah beraksi di Argentina, Venezuela, Amerika Syarikat dan Sepanyol bersama beberapa kelab termasuk Lanús, Sarmiento, Patronato, Deportivo Lara, San Antonio FC, UD Lanzarote, Ourense CF dan CF Talavera de la Reina.

Di posisi terakhir, Sabah FC melengkapkan kuota import dengan membawa masuk penjaga gol Argentina-Itali, Juan Flere Pizzuti.

Pemain berusia 28 tahun itu tiba dari CE Europa di Sepanyol mempunyai pengalaman lebih 100 penampilan kompetitif dalam bola sepak Sepanyol selain pernah beraksi bersama CE Europa, Cádiz CF B, Algeciras CF, Atlético Sanluqueño CF serta membuat penampilan bersama Cádiz CF.

Beliau berkata, keputusan berhijrah ke Sabah dibuat kerana mahu mencari cabaran baharu di luar Sepanyol selain berpeluang mengenali budaya dan kehidupan masyarakat Malaysia.

“Saya memilih Sabah FC kerana ini merupakan satu cabaran yang cukup menarik buat saya. Saya juga mahukan peluang untuk tinggal di Malaysia, mengenali masyarakatnya dan mendalami budayanya,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/24/liga-super-sabah-fc-perkenal-lima-import-baharu-musim-2026-2027/feed/ 0 100457
Sabah FC kekalkan 13 tonggak utama hadapi musim 2026/2027 https://sabahmedia.com/2026/07/14/sabah-fc-kekalkan-13-tonggak-utama-hadapi-musim-2026-2027/ https://sabahmedia.com/2026/07/14/sabah-fc-kekalkan-13-tonggak-utama-hadapi-musim-2026-2027/#respond Mon, 13 Jul 2026 22:37:42 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99804
Read Time:1 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU : Sabah FC memberi bayangan awal apabila mengumumkan pengekalan 13 pemain utama pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2026/2027.

Menerusi hantaran di media sosial Sabah FC memaklumkan, perjuangan barisan pemain itu masih belum selesai dan bakal diteruskan demi memburu kejayaan pada musim baharu.

Skuad The Rhinos dilihat memilih untuk mengekalkan kestabilan pasukan dengan kombinasi pemain senior yang berpengalaman tinggi serta barisan pemain muda yang sedang meningkat naik.

Antara pemain yang masih kekal menyarung jersi Sang Badak termasuklah gandingan pemain tengah, Miguel Cifuentes; pemain pertahanan Dominic Tan serta penyerang Kebangsaan, Darren Lok.

Selain itu, turut dikekalkan Damien Lim; Ramzi Mustakim; Farhan Roslan; R.Dinesh; Dane Ingham; Fakrul Iman; Harith Naem; Rozacklye Yanam dan Rusdi Roslan.

Langkah mengekalkan pemain utama itu dilihat sebagai strategi terbaik pihak pengurusan bagi memastikan keserasia antara pemain sedia ada tidak terjejas.

Ini sekali gus memudahkan persiapan taktikal menjelang sepak mula musim baharu.

Sementara itu, Sabah FC turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pemain yang telah menjadi sebahagian penting dalam Skuad Badak. 

“Segala pengorbanan, perjuangan dan sumbangan yang telah diberikan amat bermakna bagi kami. Ia akan sentiasa dikenang dan menjadi sebahagian daripada perjalanan Sabah FC. 

“Selamat Maju Jaya dalam perjalanan kerjaya seterusnya. Sekali Rhino, tetap Rhino,” menurut kenyataan itu di sini.

Antara pemain yang diumumkan tidak bersama Sabah FC termasuklah Khairul Fahmi Che Mat; Fergus Tierney; Gabriel Peres; Gary Steven Robbat; Kumaahran Sathasivam; Jafri Chew; Maxsius Musa; Dean Pelekanos; Ernesto Phumipha dan Belfort Kervensfils.

Turut diumumkan tidak bersama Sabah FC adalah Chris Ondong Mba; Shahrol Nizam Rahman; Ritchie Svenson dan Amir Jef Anjam. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/14/sabah-fc-kekalkan-13-tonggak-utama-hadapi-musim-2026-2027/feed/ 0 99804
Juan Torres Garrido puji semangat juang pemain Sabah FC https://sabahmedia.com/2026/05/16/juan-torres-garrido-puji-semangat-juang-pemain-sabah-fc/ https://sabahmedia.com/2026/05/16/juan-torres-garrido-puji-semangat-juang-pemain-sabah-fc/#respond Sat, 16 May 2026 07:29:04 +0000 https://sabahmedia.com/?p=96785
Read Time:1 Minute, 2 Second

KOTA KINABALU: Ketua Jurulatih Sabah FC Juan Torres Garrido tetap berbangga dengan persembahan anak buahnya meskipun gagal menghadiahkan kemenangan kepada penyokong dalam perlawanan terakhir saingan Liga Super musim ini di laman sendiri.

Beliau berkata, para pemain mempamerkan aksi yang lebih bertenaga berbanding beberapa perlawanan terdahulu dengan pendekatan menyerang yang jelas serta berjaya mencipta beberapa peluang berbahaya.

“Saya rasa pasukan bermain bola sepak yang baik. Sedikit berbeza berbanding perlawanan-perlawanan lepas, saya melihat tenaga yang baik, niat untuk menyerang dan kami kerap memasuki kotak penalti serta mencipta peluang.

“Kami perlu menyesuaikan sedikit cara permainan kerana tidak mempunyai pertahanan tengah semula jadi, namun saya tidak mempunyai sebarang rungutan terhadap para pemain,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Juan berkata, keputusan perlawanan itu memang mengecewakan kerana pasukan berhasrat menamatkan musim dengan kemenangan sebagai hadiah istimewa kepada penyokong setia yang hadir memberikan sokongan.

“Kadangkala walaupun kita bermain dengan baik, kita tidak memperoleh kemenangan. Sudah tentu kami sedih kerana mahu memberikan kemenangan terakhir di laman sendiri kepada penyokong kami.

“Namun begitu, saya rasa kami boleh berpuas hati dan berbangga dengan corak permainan yang dipamerkan hari ini,” katanya.

Beliau turut memuji komitmen pemain yang terus berusaha memberikan persembahan terbaik walaupun pasukan terpaksa melakukan penyesuaian taktikal berikutan kekurangan pemain di posisi tertentu.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/16/juan-torres-garrido-puji-semangat-juang-pemain-sabah-fc/feed/ 0 96785
Sabah berpesta gol di Likas https://sabahmedia.com/2026/05/02/sabah-berpesta-gol-di-likas/ https://sabahmedia.com/2026/05/02/sabah-berpesta-gol-di-likas/#respond Sat, 02 May 2026 15:30:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=96016
Read Time:47 Second

BERNAMA

KOTA KINABALU: Sabah FC berpesta gol apabila menewaskan PDRM FC 5-1 dalam saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Likas, Sabah di sini malam ini.

Pasukan tuan rumah membuka jaringan seawal minit ke-17 menerusi Fergus Tierney, sekali gus menggembirakan penyokong yang hadir memberikan sokongan.

Jaringan itu nyata menyuntik semangat skuad Sang Badak apabila Kervens Fils Belfort menggandakan jaringan pada minit ke-41, sebelum Duje Ljubic menutup babak pertama menerusi gol pada masa kecederaan untuk Sabah mendahului 3-0.

Bersambung pada babak kedua, PDRM FC memperkemaskan rentak permainan dengan memberikan tekanan kepada benteng pertahanan pasukan tuan rumah.

Usaha itu membuahkan hasil apabila pasukan pelawat berjaya memperoleh gol menerusi Mohamad Aiman Sufi Radzai pada minit ke-51.

Sabah bagaimanapun kembali melebarkan jurang gol enam minit kemudian menerusi Darren Lok.

Fergus Tierney melengkapkan malam gemilang Sabah dengan jaringan pada penghujung perlawanan, sekali gus mengesahkan kemenangan bergaya 5-1 ke atas PDRM FC. – BERNAMA / FOTO SABAH FC

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/02/sabah-berpesta-gol-di-likas/feed/ 0 96016
Piala Cabaran : Ini peluang terbaik Sabah FC raih kejuaraan https://sabahmedia.com/2026/04/19/piala-cabaran-ini-peluang-terbaik-sabah-fc-raih-kejuaraan/ https://sabahmedia.com/2026/04/19/piala-cabaran-ini-peluang-terbaik-sabah-fc-raih-kejuaraan/#respond Sun, 19 Apr 2026 00:13:12 +0000 https://sabahmedia.com/?p=95124
Read Time:1 Minute, 4 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Kapten pasukan Sabah FC Dominic Tan bertekad untuk memburu kejuaraan menjelang aksi final kedua Piala Cabaran bertemu Penang FC di Stadium Likas malam ini.

Pemain pertahanan The Rhinos itu turut menyifatkan perlawanan kali ini lebih seimbang berbanding aksid final pertama di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Menurut beliau, pertemuan final pertama musim ini menentang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC merupakan cabaran besar memandangkan lawan memiliki kekuatan yang cukup hebat.

“Final pertama musim ini adalah menentang Johor dan mereka sememangnya pasukan yang sangat kuat. 

“Namun kali ini, seperti yang dinyatakan jurulatih, saya melihat final ini lebih seimbang dan memberi kelebihan kepada kedua-dua pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media menjelang perlawanan akhir Piala Cabaran yang bakal berlangsung malam ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Sabah akan memberikan aksi terbaik bagi memastikan trofi kejuaraan menjadi milik mereka.

“Sudah tentu kami akan melakukan yang terbaik untuk memenangi trofi. Ini juga peluang besar buat kelab, pemain serta barisan kejurulatihan,” katanya.

Mengulas mengenai suasana perlawanan, beliau berharap sokongan padu penyokong akan terus menjadi pemangkin semangat pasukan.

“Perlawanan pertama di Pulau Pinang mempunyai suasana yang hebat. Kami harap suasana yang sama dapat diwujudkan di sini dengan kehadiran ramai penyokong untuk memberi sokongan,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC

]]>
https://sabahmedia.com/2026/04/19/piala-cabaran-ini-peluang-terbaik-sabah-fc-raih-kejuaraan/feed/ 0 95124