Sabah Moto Day – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sun, 20 Sep 2026 06:30:33 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Sabah Moto Day – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Sabah Moto Day perlu ditambah baik, tekankan disiplin dan nilai sivik – Masiung https://sabahmedia.com/2026/09/20/sabah-moto-day-perlu-ditambah-baik-tekankan-disiplin-dan-nilai-sivik-masiung/ https://sabahmedia.com/2026/09/20/sabah-moto-day-perlu-ditambah-baik-tekankan-disiplin-dan-nilai-sivik-masiung/#respond Sun, 20 Sep 2026 06:30:23 +0000 https://sabahmedia.com/?p=103795
Read Time:1 Minute, 58 Second

KOTA KINABALU: Penganjuran Sabah Moto Day (SMD) yang berjaya menarik puluhan ribu peminat motosikal dari seluruh Borneo dilihat berpotensi menjadi tarikan pelancongan, namun aspek disiplin, keselamatan dan nilai sivik perlu diberi perhatian.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah, Datuk Masiung Banah, berkata penganjuran program permotoran itu wajar diteruskan, tetapi beberapa syarat perlu diperketat bagi memastikan keselamatan peserta dan kelancaran program.

Katanya, penganjur juga boleh menerapkan elemen kebajikan dan nilai sivik menerusi aktiviti seperti derma darah dalam kalangan peserta.

“Selain itu, polis boleh menjalankan pemeriksaan air kencing secara rawak terhadap peserta sebagai langkah pencegahan,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.

Menurut Masiung, program berkenaan ternyata mendapat sambutan terutama dalam kalangan belia yang meminati aktiviti konvoi motosikal, namun beberapa kritikan timbul susulan penganjuran SMD di Kompleks Sukan Likas, minggu lalu.

Beliau berkata, berdasarkan laporan, lebih 70,000 peserta bermotosikal dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Labuan membanjiri kawasan berkenaan, selain pelbagai aktiviti serta hadiah cabutan bertuah termasuk sebuah kereta Mercedes ditawarkan.

“Walaupun penganjur mengambil kira aspek lalu lintas, timbul dakwaan peniaga gerai dan peserta meninggalkan lambakan sampah di kawasan tapak program.

“Ada juga dakwaan syarat penyertaan terlalu longgar sehingga terdapat peniaga jalanan dan peserta terdiri daripada warga asing yang didakwa tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta lesen motosikal,” katanya.

Sehubungan itu, Masiung mencadangkan penganjur SMD akan datang bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak berkuasa tempatan.

Katanya, kerjasama itu penting bagi memastikan peserta yang menyertai program mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah serta motosikal dilengkapi perlindungan insurans dan cukai jalan yang sah.

“JPJ boleh mengambil peranan menjalankan pemeriksaan keselamatan fizikal motosikal, selain semakan lesen dan cukai jalan.

“Jabatan Imigresen pula boleh membantu membuat pemeriksaan dokumen pengenalan diri, manakala pihak berkuasa tempatan menyediakan kemudahan kebersihan yang mencukupi untuk peniaga dan peserta,” katanya.

Masiung turut mencadangkan konsep SMD dilaksanakan secara serentak di daerah masing-masing bagi mengurangkan kesesakan dan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan.

Katanya, pendekatan itu membolehkan penganjur serta persatuan permotoran di setiap daerah mengurus peserta masing-masing dengan lebih teratur, termasuk membuat semakan keahlian dan dokumen peserta.

“Jika Sabah Moto Day diadakan serentak di setiap daerah, penganjur boleh menjaga kawasan masing-masing, sekali gus mengurangkan kesesakan dan memastikan aspek keselamatan lebih terjamin.

“Pada masa sama, peserta yang terdiri daripada penduduk tempatan atau warga asing boleh disaring dengan lebih teratur melalui persatuan permotoran di daerah masing-masing,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/20/sabah-moto-day-perlu-ditambah-baik-tekankan-disiplin-dan-nilai-sivik-masiung/feed/ 0 103795