sabah – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Fri, 14 Aug 2026 02:36:49 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png sabah – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Petani, penternak Sabah diminta bersedia hadapi cuaca panas berpanjangan https://sabahmedia.com/2026/08/14/petani-penternak-sabah-diminta-bersedia-hadapi-cuaca-panas-berpanjangan/ https://sabahmedia.com/2026/08/14/petani-penternak-sabah-diminta-bersedia-hadapi-cuaca-panas-berpanjangan/#respond Fri, 14 Aug 2026 02:36:43 +0000 https://sabahmedia.com/?p=101520
Read Time:3 Minute, 3 Second

TENOM: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menghadapi fenomena El Nino yang dijangka menyebabkan cuaca panas berpanjangan dari September hingga Februari depan.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kementerian turut menyediakan garis panduan kepada petani, penternak, nelayan dan pengusaha tanaman supaya mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh berkenaan.

“Kita telah mengadakan perbincangan dan menyediakan garis panduan kepada semua petani, penternak, nelayan dan pengusaha tanaman supaya berhati-hati semasa musim ini.

“Jangan membuat pembakaran terbuka dan jangan membuka kawasan baharu. Di kawasan yang mempunyai takungan air, kita minta supaya dibuat kolam sebagai simpanan air untuk jangka masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Jabatan Penerangan Negeri Sabah di Pejabat Pertanian Tenom, hari ini.

Jamawi berkata, pengusaha ternakan termasuk lembu tenusu, kambing dan perikanan juga perlu membuat persediaan bagi menghadapi cuaca panas.

Katanya, reka bentuk kandang perlu mempunyai pengudaraan yang baik selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kementerian.

“Saya nanti akan kongsi dengan Jabatan Perikanan supaya SOP kita menghadapi El Nino dapat disebarluaskan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jamawi berkata MAFFI sedang memperkukuh pembangunan industri pertanian di kawasan pedalaman sebagai sebahagian daripada perancangan mewujudkan zon industri berasaskan aktiviti pertanian.

Katanya, Pantai Barat Sabah sudah mempunyai beberapa zon industri termasuk Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), manakala Pantai Timur mempunyai POIC di Sandakan dan Lahad Datu.

“Di pedalaman ini kita cadangkan sebagai zon industri pertanian,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu sudah dimulakan di Beaufort menerusi pembinaan kilang memproses dan menghasilkan bantal berasaskan lateks.

Di Tenom pula, sebuah kilang memproses avokado telah diwujudkan, selain empat kilang memproses kopi.

Kementerian turut menyediakan peruntukan RM600,000 bagi membina pusat pengeringan kopi di Tenom bagi menyokong industri pemprosesan kopi di daerah berkenaan.

Di Keningau, MAFFI mencadangkan kawasan itu sebagai hab pemprosesan hasil tenusu dan daging lembu, mengambil kira kewujudan pengusaha seperti Eko Yap/Keningau Dairy dan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) yang terlibat dalam penternakan lembu.

“Masih kekurangan untuk memproses. Sebab itu kita menjemput dan bekerjasama dengan Farm Fresh Sdn Bhd untuk mendirikan kilang berasaskan lembu tenusu dan juga lembu daging,” katanya.

Sementara itu, Tambunan akan dibangunkan dengan industri hiliran berasaskan halia.

Jamawi berkata, pembangunan industri hiliran penting bagi membolehkan hasil pertanian tempatan diproses menjadi produk bernilai lebih tinggi, sekali gus meningkatkan harga komoditi dan pendapatan petani.

“Bila ia jadi produk hiliran, ia akan menaikkan harga komoditi. Bila harga komoditi naik, yang untungnya adalah petani kita,” katanya.

Beliau memberi contoh harga susu getah atau lateks yang meningkat daripada kira-kira RM7.30 ketika beliau mula menjadi menteri kepada RM8.90 ketika ini, susulan usaha memproses lateks menjadi produk seperti bantal.

Katanya, lebih banyak usaha seumpama itu akan dilaksanakan kerana kementerian mempunyai perancangan jelas dan komited memastikan ia direalisasikan.

“Yang penting kita ada perancangan dan segala perancangan kita laksanakan. Pelaksanaan ini disokong komitmen Kerajaan Negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.

Mengenai kilang avokado di Kampung Bunut, Jamawi berkata bangunan berkenaan telah siap dan kini dalam proses dilengkapi mesin serta peralatan.

Katanya, kos bagi melengkapkan kilang dengan mesin dan peralatan dianggarkan kira-kira RM2 juta.

Apabila siap, kilang itu akan memproses avokado kampung dan avokado KW1, dengan buah gred A dan B untuk dieksport, manakala buah gred C yang kurang menarik dari segi rupa akan diproses menjadi produk hiliran.

Hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan, Jainisah Mohd Noor; Pegawai Pertanian Daerah Tenom, Mohammad Fauzi Ab Gulam; Pegawai Penerangan Tenom, Kenny Thomas dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Melalap, Densely Justin.

Terdahulu, Jamawi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah Tenom di Pejabat Daerah Tenom bersama ketua jabatan dan agensi kerajaan.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/14/petani-penternak-sabah-diminta-bersedia-hadapi-cuaca-panas-berpanjangan/feed/ 0 101520
Keunikan Sabah perlukan dasar pelancongan tersendiri https://sabahmedia.com/2026/08/04/keunikan-sabah-perlukan-dasar-pelancongan-tersendiri/ https://sabahmedia.com/2026/08/04/keunikan-sabah-perlukan-dasar-pelancongan-tersendiri/#respond Tue, 04 Aug 2026 00:33:52 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100945
Read Time:1 Minute, 34 Second

PUTRAJAYA: Keunikan sumber semula jadi, warisan budaya dan landskap pelancongan Sabah memerlukan dasar yang disesuaikan dengan realiti negeri itu bagi memastikan pembangunan industri pelancongan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan mampan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata industri pelancongan Sabah mempunyai ciri-ciri tersendiri yang memerlukan pendekatan dasar khusus, mengambil kira faktor geografi, alam sekitar dan sosioekonomi negeri.

Beliau berkata, Sabah memiliki keanekaragaman hayati yang kaya, kawasan perlindungan alam yang luas, destinasi pelancongan pulau bertaraf dunia, warisan budaya masyarakat pelbagai etnik serta sektor pelancongan berasaskan komuniti yang menjadi kekuatan utama negeri.

“Industri pelancongan Sabah mempunyai ciri-ciri unik yang memerlukan dasar yang disesuaikan dengan realiti geografi, alam sekitar dan sosioekonomi negeri, terutama memandangkan keanekaragaman hayati yang kaya, kawasan perlindungan yang luas, pelancongan pulau, warisan budaya peribumi serta sektor pelancongan berasaskan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknis di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), di sini, pada Isnin.

Jafry berkata, atas faktor itu, Kerajaan Negeri Sabah terus komited memperjuangkan cadangan meletakkan sektor pelancongan di bawah Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurutnya, langkah itu akan membolehkan Sabah mempunyai ruang lebih luas untuk menggubal dasar serta mengurus pembangunan pelancongan mengikut keperluan negeri tanpa menjejaskan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, peranan Sabah yang lebih kukuh dalam tadbir urus pelancongan bukan sahaja memberi manfaat kepada negeri, malah mampu meningkatkan daya saing industri pelancongan Malaysia secara keseluruhannya.

“Cadangan ini bukan bertujuan memisahkan Sabah daripada kerangka pelancongan kebangsaan, sebaliknya mewujudkan perkongsian yang lebih efektif antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Ia mengenai memperkasa Sabah untuk mengurus industri pelancongannya dengan lebih berkesan, sambil terus menyumbang kepada dan menyokong agenda pelancongan negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan cadangan itu dapat direalisasikan melalui penglibatan yang konstruktif demi kepentingan Sabah dan Malaysia.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/04/keunikan-sabah-perlukan-dasar-pelancongan-tersendiri/feed/ 0 100945
Mesyuarat MA63 Isnin ini, Sabah yakin geran khas dibayar tahun ini https://sabahmedia.com/2026/08/01/mesyuarat-ma63-isnin-ini-sabah-yakin-geran-khas-dibayar-tahun-ini/ https://sabahmedia.com/2026/08/01/mesyuarat-ma63-isnin-ini-sabah-yakin-geran-khas-dibayar-tahun-ini/#respond Sat, 01 Aug 2026 03:29:12 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100859
Read Time:1 Minute, 31 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah yakin pembayaran geran khas berjumlah RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini akan dapat disalurkan pada tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata, kerajaan Negeri dan Persekutuan akan mengadakan mesyuarat pada hari Isnin bagi membincangkan perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sukacita saya maklumkan bahawa kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan sedang giat berunding untuk memastikan peruntukan yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dapat dibayar pada tahun ini.

“Kami percaya pembayaran itu akan dibuat pada tahun ini,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Bulan Kebangsaan Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2026 di Menara Kinabalu di sini pada Sabtu.

Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status geran khas berkenaan dan perkembangan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau yakin isu berkaitan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip di negeri itu akan turut dibincangkan.

“Kita ada mesyuarat pada 3 Ogos ini di bawah MA63 dan saya yakin isu mengenai pembayaran 40 peratus itu akan disentuh,” katanya.

Minggu lalu, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dimaklumkan bahawa Sabah telah menerima RM600 juta daripada keseluruhan RM1.5 bilion geran khas yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

Isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah kekal menjadi antara agenda utama dalam rundingan MA63 antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Pada April lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan semakan semula hak Sabah terhadap tuntutan 40 peratus hasil Persekutuan sementara rayuan didengar.

Sebelum itu, pada 17 Oktober 2025, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bertindak menyalahi undang-undang kerana gagal memenuhi hak Sabah untuk menerima 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu bagi tempoh 1974 hingga 2021. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/01/mesyuarat-ma63-isnin-ini-sabah-yakin-geran-khas-dibayar-tahun-ini/feed/ 0 100859
Kerjasama teknologi perlu hasilkan impak nyata kepada ekonomi Sabah – Masidi https://sabahmedia.com/2026/07/29/kerjasama-teknologi-perlu-hasilkan-impak-nyata-kepada-ekonomi-sabah-masidi/ https://sabahmedia.com/2026/07/29/kerjasama-teknologi-perlu-hasilkan-impak-nyata-kepada-ekonomi-sabah-masidi/#respond Wed, 29 Jul 2026 02:19:57 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100733
Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU: Kerjasama teknologi perlu diterjemahkan kepada peningkatan yang boleh diukur dari segi produktiviti, pembangunan kemahiran tempatan dan peluang pekerjaan supaya mampu menyumbang secara bermakna kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, transformasi digital tidak seharusnya sekadar melibatkan penggunaan teknologi baharu, sebaliknya perlu menyelesaikan cabaran operasi sebenar, meningkatkan prestasi organisasi serta mewujudkan nilai yang jelas kepada perniagaan dan masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Sri Komputer Sdn Bhd dan Infor (Malaysia) Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.

Menurutnya, teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, analitik data dan automasi berpotensi membantu syarikat di Sabah beroperasi dengan lebih cekap, mengurus kos secara lebih berkesan, memperkukuh rantaian bekalan serta membuat keputusan yang lebih tepat berdasarkan data.

Bagaimanapun, katanya, keberkesanan penggunaan teknologi perlu dinilai berdasarkan peningkatan produktiviti, tadbir urus yang lebih baik, kualiti penyampaian perkhidmatan serta daya tahan sesebuah perniagaan.

“Teknologi hanya akan memberi manfaat sekiranya ia digunakan untuk menyelesaikan masalah sebenar dan menghasilkan penambahbaikan yang boleh diukur, bukannya sekadar mengikut trend tanpa matlamat yang jelas,” katanya.

Masidi berkata, kerjasama antara penyedia teknologi antarabangsa dengan syarikat tempatan merupakan langkah penting bagi menggabungkan kepakaran global dengan pemahaman mendalam terhadap persekitaran operasi dan keperluan pelanggan di Sabah.

Beliau turut menegaskan bahawa proses pendigitalan perlu disokong oleh aspek keselamatan siber, perlindungan data, ketelusan, akauntabiliti serta pengawasan manusia bagi memastikan teknologi digunakan secara bertanggungjawab.

“Teknologi seharusnya memperkukuh pertimbangan yang baik, bukannya menggantikannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru agar latihan, pemindahan pengetahuan dan pembangunan profesional terus diberi keutamaan supaya lebih ramai rakyat Sabah mampu menceburi bidang teknikal, pengurusan dan inovasi yang menawarkan nilai tambah tinggi.

Katanya, ekonomi digital yang mampan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kepakaran luar, sebaliknya Sabah perlu terus melahirkan lebih ramai tenaga profesional, usahawan teknologi dan penyedia penyelesaian tempatan yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

“Pada akhirnya, kejayaan sesuatu kerjasama teknologi akan diukur berdasarkan keupayaannya meningkatkan produktiviti, membangunkan bakat tempatan dan mewujudkan nilai berkekalan kepada Sabah,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/29/kerjasama-teknologi-perlu-hasilkan-impak-nyata-kepada-ekonomi-sabah-masidi/feed/ 0 100733
Liga Super : Empat pemain baharu perkuat Sabah FC https://sabahmedia.com/2026/07/22/liga-super-empat-pemain-baharu-perkuat-sabah-fc/ https://sabahmedia.com/2026/07/22/liga-super-empat-pemain-baharu-perkuat-sabah-fc/#respond Wed, 22 Jul 2026 00:44:49 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100336
Read Time:2 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU : Sabah FC mengumumkan empat pemain baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2026/2027 yang dijadual akan bermula Ogos ini.

Empat pemain itu adalah pemain tengah, Abdul Halim Saari dan Fadzrul Danel Mohd Nizam; Fayadh Zulkifli (penyerang); serta Abdul Hanafie Tokyo Abdul Hasim (pertahanan).

Pengumuman pemain baharu ini diumumkan skuad Badak menerusi satu hantaran di laman sosial rasmi Sabah FC di sini pada Selasa.

Mohd Fadzrul yang berusia 28 tahun sebelum ini bersama Imigresen FC menyertai Sabah FC pada musim ini mengikat kontraknya selama satu musim.

Beliau berkata, keputusan memilih skuad Badak itu hadir bersama satu tekad, keluar daripada zon selesa, mencari cabaran baharu dan terus berkembang sebagai seorang pemain.

Menurutnya, visi yang dibawa Sabah FC turut menjadi antara faktor yang meyakinkannya bahawa bumi di bawah bayu adalah destinasi tepat untuk meneruskan perjalanan kariernya.

“Saya merasakan ini adalah masa yang sesuai untuk mencari cabaran baharu, terus berkembang sebagai pemain dan keluar daripada zon selesa.

“Saya percaya Sabah mempunyai visi yang selari dengan cita-cita saya dan saya ingin memberikan komitmen 100 peratus untuk membantu pasukan mencapai kejayaan,” katanya.

Bagi Abdul Halim,32, visi besar kelab dan semangat luar biasa penyokong Sang Badak menjadi antara faktor utama yang meyakinkan beliau untuk membawa perjuangannya ke bumi di bawah bayu.

Karier Halim menyaksikannya menembusi pasukan senior Kedah pada 2016 sebelum mencipta antara detik terbesar dalam perjalanan bola sepaknya apabila menjulang Piala Malaysia bersama Kedah.

Pengalamannya bukan hanya di pentas domestik malah turut pernah mendapat pendedahan bersama skuad Harimau Malaya dan merasai pengalaman berdepan Vietnam di pentas antarabangsa.

“Saya memilih Sabah kerana melihat kelab ini mempunyai visi yang jelas dan cita-cita besar. Sabah FC juga mempunyai penyokong yang sangat luar biasa dan saya mahu menjadi sebahagian daripada pasukan yang sentiasa berjuang untuk memberikan yang terbaik kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Fayadh sebelum ini pernah membantu Kedah menjulang Piala FA 2019 selepas menewaskan Perak 1-0 di pentas final.

Di pentas Asia, Fayadh turut mempunyai pengalaman beraksi dalam kempen kelayakan Liga Juara-Juara AFC di Korea Selatan pada 2020, selain mencipta kenangan tersendiri apabila menjaringkan gol dalam saingan peringkat AFC bersama Kedah pada 2022.

Pengalamannya turut merangkumi pentas antarabangsa apabila berpeluang bersama skuad kebangsaan pada 2021 di Jordan, pengalaman yang memberinya peluang berkongsi pentas bersama antara pemain terbaik negara ketika itu.

Potensi yang dimiliki Sabah FC serta kekuatan penyokongnya menjadi antara faktor utama yang meyakinkan Fayadh untuk memilih bumi di bawah bayu sebagai destinasi seterusnya dalam kariernya.

“Saya memilih Sabah FC kerana saya melihat pasukan ini mempunyai potensi yang sangat baik untuk saya terus berkembang sebagai pemain.

“Seperti yang kita tahu, Sabah FC juga mempunyai penyokong yang hebat dan sentiasa berada di belakang pasukan sepanjang perlawanan,” katanya.

Seorang lagi pemain Abdul Hanafie yang kembali menyarung jersi negeri kelahirannya menyertai Sabah FC selepas beraksi bersama Imigresen FC musim ini.

Anak kelahiran Sandakan itu mampu beraksi sebagai pertahanan tengah dan pertahanan kanan.

“Sabah FC bukanlah sebuah pasukan yang asing bagi saya. Malah, inilah tempat yang saya anggap sebagai rumah.

“Di sinilah saya membesar dan memulakan perjalanan sebagai seorang pemain bola sepak. Peluang untuk kembali menyarung jersi Sabah FC merupakan satu penghormatan yang sangat bermakna buat saya,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/22/liga-super-empat-pemain-baharu-perkuat-sabah-fc/feed/ 0 100336
DUN Sabah: Sabah sasar kapasiti tenaga boleh baharu 1,200MW menjelang 2030 https://sabahmedia.com/2026/07/20/sabah-sasar-kapasiti-tenaga-boleh-baharu-1200mw-menjelang-2030/ https://sabahmedia.com/2026/07/20/sabah-sasar-kapasiti-tenaga-boleh-baharu-1200mw-menjelang-2030/#respond Mon, 20 Jul 2026 03:42:35 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100179
Read Time:2 Minute, 30 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyasarkan kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) mencapai sekitar 1,200 megawatt (MW) atau 37 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan negeri menjelang 2030 menerusi pelaksanaan beberapa projek strategik di bawah Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, hala tuju itu merupakan sebahagian daripada sasaran jangka panjang kerajaan negeri untuk mencapai 50 peratus campuran kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2035.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup (Sook) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17, di sini, pada Isnin.

Menurutnya, sehingga kini kapasiti tenaga boleh baharu di Sabah adalah sekitar 307MW, bersamaan kira-kira 16 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan negeri.

“Menjelang 2030, fokus kerajaan negeri adalah meningkatkan pembangunan kapasiti tenaga boleh baharu secara berperingkat melalui penambahan kapasiti solar berskala besar, hidroelektrik, tenaga angin, biojisim serta teknologi Sistem Penyimpanan Tenaga (Energy Storage System) bagi memastikan kestabilan grid dan mengurangkan isu gangguan bekalan akibat sifat tenaga boleh baharu yang tidak konsisten,” katanya.

Hajiji berkata, antara projek strategik yang sedang dan akan dilaksanakan ialah pembangunan Projek Solar Berskala Besar (LSS) berkapasiti keseluruhan 450MW, meliputi 200MW yang kini dalam pelaksanaan dan dijangka siap antara penghujung 2026 hingga awal 2027, serta tambahan 250MW yang sedang melalui proses bidaan dan disasarkan siap pada 2028.

Selain itu, katanya, Projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 200MW/400 megawatt jam (MWh) kini dalam proses bidaan dan dijangka siap pada 2028.

Beliau berkata, kerajaan turut merancang projek penjanaan tenaga angin berkapasiti 100MW yang dijangka siap pada 2029, selain Projek Hidroelektrik Upper Padas berkapasiti 187MW dan Projek Hidroelektrik Oriole Padas berkapasiti 162MW yang disasarkan siap pada 2030.

“Dengan pelaksanaan projek-projek ini secara berfasa, kapasiti tenaga boleh baharu di Sabah dijangka meningkat kepada sekitar 1,200MW menjelang 2030, sekali gus mewakili kira-kira 37 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan negeri.

“Kerajaan negeri yakin sasaran 50 peratus tenaga boleh baharu menjelang 2035 mampu dicapai, sambil memastikan bekalan elektrik Sabah kekal mencukupi, stabil, berdaya harap dan mampu milik selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negeri,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Arthur mengenai potensi Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC), Hajiji berkata kerajaan negeri sedang meneliti teknologi itu sebagai salah satu sumber tenaga baharu yang berpotensi dibangunkan di Sabah.

Katanya, berdasarkan kajian, Sabah mempunyai potensi yang besar dalam pembangunan tenaga haba lautan dan kerajaan melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) telah memulakan usaha awal, termasuk menghantar pegawai mengadakan lawatan ke beberapa negara seperti Jepun yang telah membangunkan teknologi berkenaan.

“Insya-Allah, jika semua perancangan berjalan lancar, kita akan dapat melaksanakan projek OTEC di perairan Sabah pada masa hadapan,” katanya.

Mengulas mengenai bekalan elektrik di kawasan luar bandar dan pedalaman, Hajiji berkata kerajaan mempunyai perancangan menyeluruh bagi memastikan setiap kampung dan kediaman rakyat menerima bekalan elektrik yang mencukupi.

Katanya, selain pelaksanaan projek pembinaan talian bekalan elektrik oleh Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri turut memberi keutamaan untuk memperluaskan akses bekalan elektrik ke seluruh Sabah, termasuk kawasan pedalaman, bagi memenuhi keperluan rakyat serta menyokong pertumbuhan sektor industri.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/20/sabah-sasar-kapasiti-tenaga-boleh-baharu-1200mw-menjelang-2030/feed/ 0 100179
Perancis perkukuh kerjasama strategik dengan Sabah dalam tenaga hijau, ekonomi biru https://sabahmedia.com/2026/07/01/perancis-perkukuh-kerjasama-strategik-dengan-sabah-dalam-tenaga-hijau-ekonomi-biru/ https://sabahmedia.com/2026/07/01/perancis-perkukuh-kerjasama-strategik-dengan-sabah-dalam-tenaga-hijau-ekonomi-biru/#respond Wed, 01 Jul 2026 07:29:08 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99186
Read Time:1 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Kerjasama strategik antara Perancis dan Sabah terus diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif melibatkan bidang tenaga hijau, ekonomi biru, penyelidikan, pelancongan serta keselamatan maritim yang dijangka memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Duta Besar Perancis ke Malaysia, Marc Abensour berkata, perbincangan bersama kerajaan negeri memberi tumpuan kepada projek-projek yang sedang dilaksanakan di Sabah selain meneroka peluang kerjasama baharu dalam sektor berpotensi tinggi.

Menurut beliau, antara projek yang dibincangkan ialah penglibatan syarikat Perancis, TotalEnergies dalam penerokaan blok laut dalam di luar pesisir Sabah, selain penyertaan Technip dan Valorep dalam projek berkaitan.

“Kami juga melihat peluang memperkukuh kerjasama dalam peralihan tenaga melalui pembangunan teknologi penangkapan karbon serta inisiatif menghijaukan sektor tenaga.

“Selain itu, kami turut membincangkan projek inovatif oleh syarikat Perancis, Botanickel di Ranau yang membolehkan nikel diekstrak menggunakan tumbuhan tanpa melibatkan aktiviti perlombongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.

Marc berkata, projek berasaskan alam semula jadi yang dilaksanakan oleh Botanickel bukan sahaja menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar, malah berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan dan latihan kepada komuniti setempat.

Dalam pada itu, katanya, Perancis turut berminat memperluaskan kerjasama dalam bidang ekonomi biru dan penyelidikan marin menerusi jalinan antara Pusat Penyelidikan Sains Marin Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan Institut Penyelidikan Marin Perancis (IFREMER).

Beliau berkata, Institut Penyelidikan Agronomi Perancis (CIRAD) juga sedang menjalinkan kerjasama penyelidikan berkaitan kelestarian industri sawit di Sabah, sekali gus memperkukuh hubungan saintifik antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, pembukaan Club Med Resort di Kuala Penyu pula dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan negeri dengan menarik lebih ramai pelancong antarabangsa.

Marc turut menegaskan bahawa hubungan Malaysia dan Perancis akan terus diperkasakan melalui kerjasama dalam aspek keselamatan dan pertahanan maritim, termasuk usaha meningkatkan keselamatan serta kestabilan perairan serantau, khususnya di Sabah.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/01/perancis-perkukuh-kerjasama-strategik-dengan-sabah-dalam-tenaga-hijau-ekonomi-biru/feed/ 0 99186
Kerajaan GRS komited bela nasib rakyat, tidak abaikan keperluan penduduk https://sabahmedia.com/2026/06/25/kerajaan-grs-komited-bela-nasib-rakyat-tidak-abaikan-keperluan-penduduk/ https://sabahmedia.com/2026/06/25/kerajaan-grs-komited-bela-nasib-rakyat-tidak-abaikan-keperluan-penduduk/#respond Wed, 24 Jun 2026 22:20:52 +0000 https://sabahmedia.com/?p=98821
Read Time:1 Minute, 15 Second

SANDAKAN: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat dan tidak pernah mengabaikan kebajikan serta keperluan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Tun Musa berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap masalah yang dihadapi rakyat dan komited dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terus dipertingkatkan menerusi pelbagai inisiatif serta bantuan yang diperkenalkan.

“Kerajaan GRS sentiasa memberikan yang terbaik untuk rakyat dan amat prihatin terhadap kebajikan mereka. Rakyat tidak diabaikan dan tidak dibiarkan terus dibelenggu pelbagai masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lot Tanah Rizab Anak Negeri di Kampung Sungai Batang, di sini, pada Rabu.

Menurut Hazem, pelbagai bentuk bantuan dan program pembangunan yang dilaksanakan kerajaan adalah bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Katanya, kerajaan negeri juga sentiasa berusaha mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang dihadapi penduduk, termasuk di kawasan Kampung Sungai Batang.

“Masalah yang dihadapi penduduk di kampung ini sememangnya diberikan perhatian. Kita akan berusaha mengatasi isu bekalan air, sistem perparitan dan jalan masuk yang menjadi keperluan utama penduduk.

“Perkara ini sedang diberi perhatian dan saya telah meminta jabatan serta agensi kerajaan yang berkaitan untuk tampil membantu dalam mencari penyelesaian terbaik,” katanya.

Hazem berkata, sebagai wakil rakyat kawasan Sungai Manila, beliau akan terus memainkan peranan dalam membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada masyarakat setempat.

“Selaku ADUN Sungai Manila, saya komited untuk terus membawa kesejahteraan kepada rakyat dan akan berusaha memastikan setiap masalah yang dihadapi penduduk dapat ditangani sebaik mungkin,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/25/kerajaan-grs-komited-bela-nasib-rakyat-tidak-abaikan-keperluan-penduduk/feed/ 0 98821
Hungary, Sabah perkukuh kerjasama pertanian mampan dan tenaga hijau https://sabahmedia.com/2026/05/30/hungary-sabah-perkukuh-kerjasama-pertanian-mampan-dan-tenaga-hijau/ https://sabahmedia.com/2026/05/30/hungary-sabah-perkukuh-kerjasama-pertanian-mampan-dan-tenaga-hijau/#respond Sat, 30 May 2026 07:22:36 +0000 https://sabahmedia.com/?p=97517
Read Time:1 Minute, 47 Second

KOTA KINABALU: Hungary dan Sabah berpotensi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan pertanian mampan, pemindahan teknologi, penyelidikan serta inovasi, termasuk memanfaatkan sisa pertanian untuk pembangunan tenaga boleh diperbaharui.

Duta Hungary ke Malaysia, Dr. Sándor Sipos berkata, peningkatan jumlah sisa pertanian di seluruh dunia menjadikan pengurusan dan penggunaan sumber secara berkesan sebagai cabaran global yang memerlukan penyelesaian bersama.

Menurut beliau, kerjasama dalam bidang penyelidikan dan perkongsian teknologi mampu menukar sisa pertanian kepada tenaga hijau, sekali gus mengurangkan kesan terhadap alam sekitar serta mewujudkan nilai ekonomi baharu.

Beliau berkata demikian sempena lawatan rasmi ke Sabah yang turut menyaksikan kunjungan hormat beliau kepada Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, hari ini.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pelbagai isu berkepentingan bersama, termasuk hubungan dua hala, pembangunan pertanian dan agenda kelestarian.

Mereka turut meneliti hubungan sejarah dan budaya yang telah lama terjalin antara Hungary dan Sabah, sambil menyifatkan persahabatan antara rakyat kedua-dua wilayah sebagai asas kukuh kepada kerjasama yang lebih erat pada masa depan.

Perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha pemodenan sektor pertanian, pembangunan mampan dan ekonomi hijau, dengan kedua-dua pihak bersetuju bahawa pemindahan teknologi dalam pengeluaran tenaga mampan dan boleh diperbaharui perlu diperkasakan.

Dr. Sándor berkata, Hungary mempunyai pengalaman luas dalam teknologi pertanian, pengurusan sisa, tenaga biojisim dan teknologi tenaga hijau yang boleh dimanfaatkan melalui kerjasama strategik dengan Sabah.

Beliau berharap kedua-dua pihak dapat meneroka penyelesaian praktikal bagi menukarkan sisa pertanian kepada tenaga boleh diperbaharui, sekali gus menyokong usaha transformasi hijau dan pencapaian matlamat pembangunan mampan.

Katanya, pengukuhan kerjasama dua hala bukan sahaja dapat meningkatkan pertukaran teknologi dan pengetahuan, malah memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi, perlindungan alam sekitar serta keselamatan makanan.

Selain isu pertanian, kedua-dua pihak turut membincangkan pengurusan dan pemanfaatan sisa pertanian serta sisa domestik, di samping meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui.

Dalam perkembangan lain, Dr. Sándor memaklumkan Kerajaan Hungary menawarkan 40 biasiswa kepada Malaysia setiap tahun dan berharap lebih ramai pelajar dari Sabah serta Sarawak memanfaatkan peluang melanjutkan pengajian tinggi di negara itu.

Menurutnya, penyertaan lebih ramai pelajar dari Malaysia Timur akan membantu memperkukuh hubungan dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan antara kedua-dua pihak.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/30/hungary-sabah-perkukuh-kerjasama-pertanian-mampan-dan-tenaga-hijau/feed/ 0 97517
Sabah pilih pertumbuhan seimbang demi pembangunan mampan – Hajiji https://sabahmedia.com/2026/05/25/sabah-pilih-model-pertumbuhan-seimbang-hajiji/ https://sabahmedia.com/2026/05/25/sabah-pilih-model-pertumbuhan-seimbang-hajiji/#respond Mon, 25 May 2026 06:13:58 +0000 https://sabahmedia.com/?p=97287
Read Time:2 Minute, 31 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Sabah memilih pendekatan pertumbuhan seimbang bagi memastikan pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar dapat dilaksanakan secara adil serta mampan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri menolak pendekatan pembangunan melulu yang merosakkan alam sekitar, selain tidak bersetuju dengan idealisme alam sekitar yang boleh melambatkan kemajuan rakyat.

“Sabah tidak mahu pembangunan yang memusnahkan alam sekitar kita. Namun Sabah juga tidak boleh menerima pendekatan yang mana idealisme alam sekitar melambatkan kemajuan rakyat kita.

“Kita mesti menolak kedua-dua ekstrem ini. Kita tidak mahu pembangunan yang melulu. Tetapi kita juga tidak mahu peralihan yang tidak realistik. Jalan ke hadapan bagi Sabah ialah model pertumbuhan seimbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang kemuncak World Green and Sustainability Summit (WGSS) bertemakan Powering Green Growth: Sabah and Malaysia in the Age of Sustainability di Shangri-La Tanjung Aru Resort, pada Isnin.

Menurut Hajiji, model pertumbuhan seimbang yang diperjuangkan Sabah merangkumi pembangunan berdisiplin, pemuliharaan bernilai, pelaburan bertanggungjawab serta peralihan tenaga yang mengambil kira kemampuan dan keadilan sosial.

Beliau berkata walaupun Sabah merupakan sebuah negeri kecil, negeri itu memiliki aset dan kekuatan yang semakin bernilai dalam dunia hari ini.

Katanya, Sabah mempunyai modal semula jadi yang kaya, biodiversiti luar biasa, sumber daratan dan maritim yang luas, selain potensi tenaga, kedudukan strategik serta kestabilan politik.

“Dan yang paling penting, kita mempunyai generasi muda yang bersedia membantu membentuk ekonomi masa depan,” katanya.

Hajiji berkata Sabah telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam melindungi kawasan hutan simpan, memelihara biodiversiti penting dunia serta mengekalkan antara kadar kawasan perlindungan tertinggi di rantau ini.

Menurut beliau, Sabah kini diiktiraf sebagai antara peneraju pemuliharaan di Malaysia dan Asia Tenggara, sekali gus meletakkan negeri itu pada kedudukan terbaik sebagai destinasi pelaburan yang bertanggungjawab dan mampan.

Katanya, fasa pertumbuhan hijau Sabah kini bergerak ke arah pemuliharaan yang mempunyai nilai ekonomi.

“Kita sedang beralih daripada melindungi sumber kepada membangunkan industri yang bertanggungjawab berasaskan sumber tersebut.

“Kita juga sedang beralih daripada hanya menjadi penyumbang hijau kepada peneraju ekonomi hijau,” katanya.

Beliau berkata usaha itu termasuk membangunkan pasaran karbon yang berwibawa, menarik pelaburan hijau berkualiti serta memperluas industri tenaga boleh diperbaharui, pertanian mampan, ekonomi biru, ekopelancongan dan inovasi berasaskan biodiversiti.

Tambahnya, kerajaan negeri juga mahu memastikan syarikat tempatan, pekerja tempatan dan komuniti setempat turut mendapat manfaat daripada rantaian nilai ekonomi hijau.

Hajiji berkata Sabah telah lama melaksanakan agenda pemuliharaan sebelum isu kemampanan menjadi perhatian global.

“Hari ini, hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah berada di bawah Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (Totally Protected Areas), dan itu bukan satu komitmen yang kecil,” katanya.

Beliau berkata WGSS menjadi platform penting untuk membincangkan isu kemampanan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat dan masa depan generasi muda.

Namun katanya, kemampanan bukan sekadar kedengaran baik di dewan persidangan, sebaliknya perlu praktikal dan mampu dilaksanakan di lapangan.

“Peralihan hijau yang terlalu mahal untuk keluarga biasa bukanlah sesuatu yang mampan. Dasar yang melindungi masa depan tetapi membebankan masa kini perlu dinilai dengan teliti.

“Bagi Sabah, kemampanan mesti bersifat praktikal. Ia mesti adil. Ia mesti mampu dilaksanakan dan paling penting, ia mesti memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/25/sabah-pilih-model-pertumbuhan-seimbang-hajiji/feed/ 0 97287