Sabindo – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Tue, 28 Jul 2026 07:50:57 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Sabindo – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Projek naik taraf Jalan Lok Kawi-Sabindo-Kinarut-Papar bermula, siap dalam tempoh dua tahun https://sabahmedia.com/2026/07/28/projek-naik-taraf-jalan-lok-kawi-sabindo-kinarut-papar-bermula-siap-dalam-tempoh-dua-tahun/ https://sabahmedia.com/2026/07/28/projek-naik-taraf-jalan-lok-kawi-sabindo-kinarut-papar-bermula-siap-dalam-tempoh-dua-tahun/#respond Tue, 28 Jul 2026 07:50:50 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100696
Read Time:2 Minute, 58 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Projek menaik taraf Jalan Lok Kawi-Sabindo-Kinarut-Papar yang sekian lama dinantikan akhirnya memasuki fasa pelaksanaan apabila kerja pembinaan dimulakan dengan sasaran siap dalam tempoh 24 bulan, sekali gus dijangka mengurangkan kesesakan trafik yang semakin kritikal di laluan berkenaan.

Armizan bersama Alexander semasa sidang media selepas majlis itu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek bernilai RM70 juta itu melibatkan pembinaan jalan sepanjang 1.5 kilometer, termasuk kos pembinaan, pengambilan tanah, pampasan kepada pemilik premis yang terjejas serta kerja pengalihan utiliti.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM48 juta diperuntukkan bagi kerja pembinaan, RM17 juta pampasan untuk 41 lot pengambilan tanah dan premis, manakala RM9.6 juta lagi bagi kerja pengalihan utiliti.

“Projek ini pada asalnya diluluskan sepanjang 1.3 kilometer, namun kita akan melaksanakan keseluruhan jajaran sejauh 1.5 kilometer bagi memenuhi keperluan semasa.

“Kos RM70 juta itu bukan hanya bagi pembinaan jalan, malah meliputi pampasan kepada pemilik tanah dan premis serta kerja pengalihan utiliti. Mereka yang terkesan akan menerima pampasan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek itu di sini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Perdagangan Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali; serta pemimpin Persekutuan dan negeri.

Alexander berkata, projek itu telah bermula sejak Mac lalu dan pelaksanaannya dipantau oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah selaku agensi pelaksana dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya dan JKR Malaysia.

Menurutnya, kementerian turut mengadakan sesi penyelarasan bersama pengurusan tertinggi JKR Malaysia, JKR Sabah dan JKR Sarawak bagi mengenal pasti serta menyelesaikan isu yang menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek-projek Persekutuan di Sabah.

“Kita sudah mengenal pasti beberapa kekangan dan langkah penambahbaikan telah dirangka supaya projek dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya.

Mengulas projek Bypass Pengalat-Papar, Alexander berkata, projek bernilai RM538 juta itu kini berada di peringkat akhir penyediaan reka bentuk serta proses penilaian nilai (value engineering) dan penilaian di Kementerian Ekonomi.

Beliau berkata, kementerian menyasarkan proses tender dapat dilaksanakan menjelang hujung tahun ini sebelum Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan kepada kontraktor yang berjaya pada awal 2027.

“Projek ini sudah lama dimohon oleh pemimpin tempatan dan kini semua proses utama sedang diselesaikan. Kita berharap tender dapat dibuka hujung tahun ini sebelum SST dikeluarkan pada awal tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Armizan berkata, pelaksanaan projek berkenaan membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menangani kesesakan trafik yang semakin serius di Papar.

Beliau berkata, perjalanan dari Lok Kawi ke Papar yang sepatutnya mengambil masa kira-kira 45 minit kini boleh mencecah hampir tiga jam pada waktu puncak berikutan jumlah trafik melebihi 25,000 kenderaan sehari.

Menurutnya, komponen pertama projek melibatkan jajaran dari Bulatan Sabindo ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut berjaya dikekalkan selepas rayuan dikemukakan kepada Kementerian Kerja Raya memandangkan laluan itu merupakan lokasi kesesakan paling kritikal.

“Komponen kedua iaitu Projek Bypass Pengalat-Papar dijangka memasuki proses tender pada November 2026. Apabila kedua-dua projek ini siap, kesesakan atau bottleneck utama di Papar dijangka dapat diselesaikan,” katanya.

Armizan berkata, projek Bypass Pengalat-Papar di bawah Kerajaan Persekutuan turut merangkumi pembinaan sebuah jambatan baharu yang menghubungkan laluan ke Pekan Papar melalui Sungai Padang.

Beliau menjelaskan jambatan itu berbeza daripada Jambatan Papar Kedua yang diumumkan kelulusannya oleh Ketua Menteri Sabah pada majlis sama, yang akan menghubungkan Kampung Buang Sayang dengan Pekan Papar di bawah peruntukan Kerajaan Negeri.

“Dengan pelaksanaan kedua-dua projek ini, Papar akan mempunyai tiga jambatan utama iaitu jambatan sedia ada, sebuah jambatan baharu menerusi projek Bypass Pengalat-Papar di bawah Kerajaan Persekutuan, dan sebuah lagi jambatan baharu yang dibiayai Kerajaan Negeri menghubungkan Kampung Buang Sayang ke Pekan Papar,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/28/projek-naik-taraf-jalan-lok-kawi-sabindo-kinarut-papar-bermula-siap-dalam-tempoh-dua-tahun/feed/ 0 100696
Dua maut, motokar bertembung 4WD di simpang lampu isyarat Sabindo https://sabahmedia.com/2026/01/04/dua-maut-motokar-bertembung-4wd-di-simpang-lampu-isyarat-sabindo/ https://sabahmedia.com/2026/01/04/dua-maut-motokar-bertembung-4wd-di-simpang-lampu-isyarat-sabindo/#respond Sun, 04 Jan 2026 07:30:38 +0000 https://sabahmedia.com/?p=89192
Read Time:1 Minute, 16 Second

PENAMPANG: Dua maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan sebuah motokar di Jalan Kota Kinabalu–Papar, Lampu Isyarat Sabindo, kira-kira jam 4 pagi tadi (4 Jan).

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berkenaan membabitkan sebuah 4WD dipandu lelaki tempatan berusia 36 tahun bersama seorang penumpang wanita berumur 27 tahun, serta sebuah motokar dipandu seorang lelaki dengan empat penumpang tempatan berusia antara 17 hingga 21 tahun.

Beliau berkata, hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motokar berkenaan memasuki persimpangan lampu isyarat lalu bertembung dengan kenderaan 4WD yang sedang bergerak lurus.

“Akibat kemalangan itu, seorang penumpang motokar berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi penumpang berumur 17 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, pemandu motokar dan beberapa penumpang lain mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di hospital, manakala pemandu 4WD tidak mengalami kecederaan serius dan penumpangnya turut menerima rawatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya hingga menyebabkan kematian,” katanya.

Dalam pada itu, Sammy turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak memandu secara berbahaya demi keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/01/04/dua-maut-motokar-bertembung-4wd-di-simpang-lampu-isyarat-sabindo/feed/ 0 89192