Sawah padi – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Fri, 12 Jun 2026 14:12:45 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Sawah padi – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 RM15 juta naik taraf sistem pengairan sawah padi di Membakut https://sabahmedia.com/2026/06/12/rm15-juta-naik-taraf-sistem-pengairan-sawah-padi-di-membakut/ https://sabahmedia.com/2026/06/12/rm15-juta-naik-taraf-sistem-pengairan-sawah-padi-di-membakut/#respond Fri, 12 Jun 2026 14:09:12 +0000 https://sabahmedia.com/?p=98123
Read Time:2 Minute, 38 Second

MEMBAKUT: Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan RM15 juta bagi menaik taraf sistem pengairan kawasan penanaman padi di Membakut menerusi Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan pengeluaran padi, memperkukuh produktiviti sektor pertanian serta menarik lebih ramai golongan muda menceburi bidang pertanian.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya menerima maklum balas daripada penduduk mengenai beberapa kawasan sawah di Membakut yang tidak dapat diusahakan sepenuhnya.

Katanya, hasil perbincangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif, serta lawatan ke lokasi terlibat, beberapa isu utama berjaya dikenal pasti dan tindakan segera telah diambil.

“Antara perkara yang diberi keutamaan ialah menaik taraf sistem pengairan di kawasan sawah padi Membakut.

“Bagi tujuan itu, kementerian melalui JPS telah memperuntukkan RM15 juta pada tahun ini dan kontraktor bagi projek berkenaan juga telah dilantik,” katanya ketika ditemui media selepas lawatan kerja ke kawasan pertanian dan sawah padi di Kampung Pimping, di sini, hari ini.

Menurutnya, projek itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 350 ekar kawasan sawah padi di daerah berkenaan.

Jamawi berkata, selain masalah pengairan, pihaknya turut mengenal pasti isu kekurangan jentera pertanian dan gangguan ternakan yang memasuki kawasan tanaman.

Sehubungan itu, katanya, kementerian akan bekerjasama dengan Lembaga Pertubuhan Peladang bagi membantu menyediakan jentera yang diperlukan pesawah.

“Isu mekanisasi merupakan antara cabaran utama yang perlu ditangani bagi meningkatkan minat generasi muda dalam industri penanaman padi.

“Kita akan berusaha membantu dari segi penyediaan mesin, dron dan jentera menuai kerana kemudahan ini mampu meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kementerian akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah bagi mengenal pasti dan menaik taraf kawasan padang ragut untuk mengelakkan lembu serta kerbau memasuki kawasan sawah.

Dalam lawatan itu, Jamawi turut dimaklumkan bahawa kira-kira 60 peratus pesawah di Membakut terdiri daripada golongan muda berusia antara 25 hingga 40 tahun.

Katanya, daripada lebih 120 pengusaha sawah di kawasan berkenaan, sekitar 60 hingga 70 orang merupakan generasi muda yang mengambil alih pengurusan sawah daripada keluarga masing-masing.

“Ini satu perkembangan yang sangat positif kerana semakin ramai generasi kedua meneruskan perusahaan keluarga dalam sektor penanaman padi.

“Perkara ini memberi keyakinan bahawa industri padi masih mempunyai masa depan yang cerah sekiranya kemudahan dan sokongan mencukupi terus disediakan,” katanya.

Menurutnya, penglibatan golongan muda amat penting bagi membantu kerajaan mencapai sasaran meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras Sabah kepada 40 peratus menjelang 2030.

Beliau menegaskan kementerian akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, mekanisasi dan sokongan teknikal bagi memastikan sektor padi di Sabah terus berkembang secara mampan.

Terdahulu, Jamawi turut melawat ladang komersial tanaman sayuran buah seperti cili, terung dan timun yang diusahakan oleh usahawan muda berusia 33 tahun, Bryon Chung Sze Vui, yang juga mentor Program Inisiatif Kebun Dapur.

Turut hadir Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan merangkap ADUN Lumadan, Datuk Ruslan Muharam; Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Datuk Dr Ramle Kasin; Ketua Cawangan JPS Sabah, Ir Jaffri Bahan; Pegawai Daerah Membakut, Yuesri Ismail Yusof; Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Jackson R Jaimi; serta Timbalan Pengurus Besar Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (SAMA), Dato Shawn Davey.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/12/rm15-juta-naik-taraf-sistem-pengairan-sawah-padi-di-membakut/feed/ 0 98123
‘Family time’ di sawah padi, kekal tanam padi guna kaedah tradisional https://sabahmedia.com/2025/04/04/family-time-di-sawah-padi-kekal-tanam-padi-guna-kaedah-tradisional/ https://sabahmedia.com/2025/04/04/family-time-di-sawah-padi-kekal-tanam-padi-guna-kaedah-tradisional/#respond Fri, 04 Apr 2025 10:38:07 +0000 https://sabahmedia.com/?p=71466
Read Time:2 Minute, 39 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

EKSKLUSIF

KUDAT: Bagi kebanyakan keluarga, cuti sekolah sering dikaitkan dengan percutian ke tempat peranginan atau pusat hiburan.

Namun, bagi keluarga Eaxter Jamalun, mereka memilih untuk menghabiskan masa bersama di sawah padi, meneruskan tradisi turun-temurun masyarakat Rungus yang menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

Eaxter menunjukkan padi yang sudah dituai. – Foto ihsan Eaxter Jamalun

Menurut Eaxter, 25, seorang guru tadika yang berasal dari Kampung Andab Bangau, Kudat, aktiviti bersawah bukan sahaja memastikan bekalan beras untuk keluarga sentiasa mencukupi, tetapi juga menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Eaxter tekun bekerja. – Foto hsan Eaxter Jamalun

“Dulu, saya membesar dengan membantu ibu bapa di sawah padi. Saya masih ingat, selepas balik dari tadika, petang saya terus turun ke sawah.

“Saya juga pernah ‘gumaji’ (bekerja) dengan pakcik dan makcik saya yang menanam padi. Waktu itu, tugas saya mencabut benih padi, dan terima ‘su’ul’ (upah) 10 sen bagi setiap ikatan padi, yang mengandungi 30 rumpun anak pokok,” imbasnya kepada Sabah Media.

Kini, setiap kali mempunyai kesempatan terutamanya pada musim cuti sekolah, Eaxter masih membantu ibu bapanya bekerja di sawah.

Ibu Eaxter sedang ‘monilib parai’. – Foto ihsan Eaxter Jamalun
Tempat ‘palapos’ padi di kawasan sawah. – Foto ihsan Eaxter Jamalun

“Ia sudah menjadi kebiasaan keluarga kami. Semua ahli keluarga yang berada di rumah akan turun ke sawah, dari menanam benih, memindahkan anak padi, hingga menuai hasil.

“Yang bekerja jauh pun, jika ada kesempatan seperti cuti Hari Raya pada tahun ini, pasti akan turut serta. Tiada paksaan, semuanya sukarela turun ke sawah. Kami seronok kerana suasana mengingatkan kami pada kenangan zaman kanak-kanak,” katanya.

Tanam padi guna kaedah tradisional

Menurut Eaxter, keluarganya yang berketurunan etnik Rungus masih mengekalkan cara tradisional dalam menanam padi.

“Kami mulakan dengan proses ‘momibit’, iaitu menanam benih menggunakan alat yang dipanggil ‘titindok’. Selepas sebulan, kami akan ‘mananom parai’ (menanam anak padi) yang melibatkan proses anak padi dicabut dan dipindahkan ke sawah,” jelasnya.

Selepas lebih dua bulan, padi mula dituai ‘mongorob’. Batang padi dipotong menggunakan ‘kokorob’ (sabit padi) sebelum dikumpulkan di satu tempat.

Kemudian, proses ‘palapos’ dilakukan untuk memisahkan padi daripada jerami, sebelum ia dijemur dalam proses ‘posidang’ bagi mengelakkan padi berkulat atau menjadi hitam.

“Selain itu, ada satu lagi cara menuai yang kami panggil ‘mongomot’. Ia menggunakan alat tradisional dipanggil ‘linggaman’, khusus untuk kawasan yang hasilnya sedikit akibat serangan perosak seperti burung pipit dan tikus.”

Selepas ‘mongomot’, proses pemisahan padi dari jerami dilakukan menggunakan teknik ‘mangaladtak’, di mana padi dipijak dengan kaki.

Untuk menghasilkan beras pula terdapat dua cara sama ada menggunakan mesin moden atau kaedah tradisional dengan ‘tomutu’ (menumbuk padi) menggunakan ‘tonsung’ (lesung) dan ‘goholu’ (alu).

“Banyak lagi proses sebenarnya. Contoh sebelum menumbuk padi, kami akan ‘monilib’ untuk mengasingkan padi yang ada isi dan tiada isi. Lepas ‘tumutu’, ada lagi proses ‘mangatap’ untuk mengasingkan beras dan padi yang masih mempunyai kulit, kemudian ‘moniri’ untuk mengasingkan beras yang tidak hancur dan beras yang hancur. Semua ini dilakukan secara manual dan memerlukan kesabaran,” katanya.

Bagi Eaxter, dia bersyukur merasai pengalaman itu kerana membuatnya lebih menghargai makanan dan memahami kepayahan petani.

“Kami berharap kaedah tradisional ini dapat diteruskan agar tidak hilang ditelan zaman. Kaedah ini merupakan kearifan tempatan masyarakat Rungus yang diwarisi sejak zaman dahulu sebagai cara untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/04/04/family-time-di-sawah-padi-kekal-tanam-padi-guna-kaedah-tradisional/feed/ 0 71466