SDB – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Thu, 20 Aug 2026 07:34:29 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png SDB – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Kerajaan Sabah serius pastikan pengurusan SDBank telus – Masidi https://sabahmedia.com/2026/08/20/kerajaan-sabah-serius-pastikan-pengurusan-sdb-telus-masidi/ https://sabahmedia.com/2026/08/20/kerajaan-sabah-serius-pastikan-pengurusan-sdb-telus-masidi/#respond Thu, 20 Aug 2026 06:02:59 +0000 https://sabahmedia.com/?p=101965
Read Time:1 Minute, 45 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan komitmennya untuk memastikan pengurusan kewangan negeri, termasuk Sabah Development Bank Berhad (SDBank), dilaksanakan secara telus, bertanggungjawab dan berlandaskan tadbir urus yang baik.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tindakan undang-undang yang diambil kerajaan negeri berhubung isu audit penyata kewangan SDB membuktikan Sabah tidak berkompromi dalam soal pengurusan dana dan khazanah negeri.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Khas Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai saman berkenaan, Masidi berkata kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya proses selanjutnya kepada mahkamah untuk menentukan perkara itu.

“Kita telah pun memfailkan saman dan kini menunggu proses mahkamah selanjutnya.

“Apa yang pasti, secara simboliknya ini menunjukkan keterbukaan Sabah, ‘nothing to hide’. Kalau orang berhutang dengan kita, kita saman. Itu sahaja.

“Bagi SDB pula, kita telah menyaman semua pemiutang tanpa mengira siapa,” tegasnya.

Tegas Masidi lagi, tindakan itu turut mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri memastikan pengurusan kewangan dan dana Sabah bukan sahaja dilaksanakan dengan baik, malah secara telus.

“Kita harap ini akan mewujudkan budaya tadbir urus yang lebih baik dalam mengurus khazanah dan kewangan negeri Sabah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Kerajaan Negeri Sabah telah memfailkan saman sivil melebihi RM2 bilion terhadap firma audit Ernst & Young PLT (EY), dengan mendakwa firma berkenaan gagal melaksanakan tanggungjawab profesional ketika mengaudit penyata kewangan SDB bagi tahun kewangan 2011 hingga 2022.

Tindakan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur oleh Kerajaan Negeri Sabah, Ketua Menteri Sabah, SDB Corporation Sdn Bhd sebagai plaintif, manakala EY dinamakan sebagai defendan.

Sementara itu pada sidang media sama, ketika ditanya mengenai perkembangan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah, Masidi berkata rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan setakat ini menunjukkan perkembangan positif.

Beliau berkata mesyuarat induk seterusnya dijadualkan berlangsung pada 28 Ogos ini di Kota Kinabalu bagi meneliti laporan jawatankuasa teknikal yang sebelum ini mengadakan perbincangan di Kuala Lumpur.

“Mesyuarat akan berlangsung pada Jumaat, 28 Ogos ini di Kota Kinabalu dan dijangka Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pemimpin-pemimpin lain akan hadir.

“Statusnya setakat ini ‘so far so good’,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/20/kerajaan-sabah-serius-pastikan-pengurusan-sdb-telus-masidi/feed/ 0 101965
Kerajaan Sabah fail saman lebih RM2 bilion terhadap EY berhubung audit SDB https://sabahmedia.com/2026/08/07/kerajaan-sabah-fail-saman-lebih-rm2-bilion-terhadap-ey-berhubung-audit-sdb/ https://sabahmedia.com/2026/08/07/kerajaan-sabah-fail-saman-lebih-rm2-bilion-terhadap-ey-berhubung-audit-sdb/#respond Fri, 07 Aug 2026 00:26:05 +0000 https://sabahmedia.com/?p=101135
Read Time:2 Minute, 4 Second

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sabah memfailkan saman sivil melebihi RM2 bilion terhadap firma audit Ernst & Young PLT (EY), dengan mendakwa syarikat itu gagal melaksanakan tanggungjawab profesional ketika mengaudit penyata kewangan Sabah Development Bank Berhad (SDB) bagi tahun kewangan 2011 hingga 2022.

Tindakan undang-undang itu difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur oleh Kerajaan Negeri Sabah, Ketua Menteri Sabah, Sabah Development Berhad dan SDB Corporation Sdn Bhd sebagai plaintif, manakala Ernst & Young PLT dinamakan sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa EY telah melanggar kewajipan berjaga-jaga (duty of care) ketika menjalankan audit berkanun ke atas penyata kewangan SDB, sekali gus menyebabkan kedudukan kewangan sebenar bank pembangunan milik kerajaan negeri itu tidak dapat dikesan lebih awal.

Menurut dokumen mahkamah yang dilihat media, SDB didakwa telah menjadi tidak solven selewat-lewatnya pada tahun kewangan 2018 apabila sebanyak 85.94 peratus daripada portfolio pinjamannya direkodkan sebagai pinjaman tidak berbayar (NPL).

Bagaimanapun, plaintif mendakwa EY terus mengeluarkan pendapat audit tanpa pengecualian bagi penyata kewangan tahun 2018 hingga 2022, sekali gus membolehkan SDB menerbitkan program bon bernilai RM3 bilion pada tahun 2021.

Plaintif turut mendakwa hanya mengetahui kedudukan kewangan sebenar SDB pada 2023, selepas semakan dilakukan oleh lembaga pengarah dan pengurusan baharu bank itu.

Menurut tuntutan berkenaan, kegagalan yang didakwa berlaku telah menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan negeri dan pihak berkaitan, termasuk deposit tetap berjumlah RM650 juta, suntikan modal RM90 juta serta tambahan deposit tetap RM660 juta yang kemudiannya ditukarkan kepada saham keutamaan boleh tebus.

Selain itu, plaintif mendakwa masih menanggung kira-kira RM1 bilion liabiliti SDB yang dijadualkan perlu dibayar sehingga September 2029.

Dokumen mahkamah itu juga menyatakan Kerajaan Negeri Sabah telah membuat komitmen kewangan yang besar kepada SDB, termasuk mengeluarkan surat sokongan bagi program bon berjumlah RM7.5 bilion serta menyediakan deposit tetap melebihi RM1 bilion.

Plaintif mendakwa segala komitmen kewangan itu dibuat berdasarkan laporan audit EY yang menggambarkan kedudukan kewangan SDB berada dalam keadaan memuaskan.

Menurut pernyataan tuntutan, EY dilantik sebagai juruaudit SDB sejak 2011 sebelum tidak dilantik semula pada September 2024 dan digantikan oleh Forvis Mazars PLT sebagai juruaudit baharu bagi tahun kewangan 2024.

Semakan oleh lembaga pengarah dan pengurusan baharu SDB pada 2023 turut didakwa menemui pelbagai kelemahan serius, termasuk jumlah pinjaman tidak berbayar yang dianggarkan mencecah kira-kira RM5 bilion atau hampir 70 peratus daripada keseluruhan portfolio pinjaman.

Plaintif juga mendakwa wujud amalan “ever-greening” pinjaman serta isu berkaitan penilaian aset sekuriti yang dipersoalkan, yang didakwa menyumbang kepada kegagalan mengenal pasti keadaan kewangan sebenar institusi berkenaan lebih awal.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/07/kerajaan-sabah-fail-saman-lebih-rm2-bilion-terhadap-ey-berhubung-audit-sdb/feed/ 0 101135
Kerajaan Sabah nafi penukaran RM200 juta kepada RPS di SDBank adalah ‘bailout’ https://sabahmedia.com/2026/07/22/kerajaan-sabah-nafi-penukaran-rm200-juta-kepada-rps-di-sdbank-adalah-bailout/ https://sabahmedia.com/2026/07/22/kerajaan-sabah-nafi-penukaran-rm200-juta-kepada-rps-di-sdbank-adalah-bailout/#respond Wed, 22 Jul 2026 13:19:29 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100384
Read Time:2 Minute, 36 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menolak dakwaan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa penukaran deposit tetap kerajaan negeri berjumlah RM200 juta di Sabah Development Bank Berhad (SDBank) kepada Saham Keutamaan Boleh Tebus (Redeemable Preference Shares, RPS) merupakan satu tindakan “bailout”.

Pembantu Menteri Kewangan II, Datuk Mohd Ishak Ayub, berkata kerajaan tidak menyuntik dana baharu ke dalam SDBank kerana wang RM200 juta itu sememangnya telah didepositkan di bank berkenaan.

Beliau berkata, penukaran deposit kepada RPS bertujuan memperkukuh asas modal SDBank, selain membolehkan kerajaan negeri menerima pulangan dividen tahunan sebanyak 3.15 peratus atau kira-kira RM6.3 juta setahun.
“SDBank dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sabah.

Membiarkan bank itu gagal akan mendedahkan kerajaan kepada kira-kira RM3 bilion dalam bentuk bon tertunggak dan liabiliti lain.

“Pilihan yang ada adalah memperkukuh bank menggunakan dana yang sememangnya telah berada dalam SDBank atau berdepan risiko menanggung beban kewangan yang jauh lebih besar pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, langkah itu bukan satu “bailout”, sebaliknya merupakan pengurusan risiko kewangan yang berhemat dan bertanggungjawab.

Mohd Ishak berkata, sejak separuh kedua 2023, lembaga pengarah dan pengurusan baharu SDBank telah melaksanakan pelbagai pembaharuan termasuk menangani kelemahan tadbir urus, mengiktiraf kemerosotan nilai aset legasi serta melaksanakan program transformasi menyeluruh.

Katanya, walaupun langkah berkenaan memberi kesan kepada prestasi kewangan dalam jangka pendek, ia berjaya meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dengan memberikan gambaran sebenar kedudukan kewangan bank.

Beliau turut memaklumkan instrumen hutang SDBank masih mengekalkan penarafan AA1/Stable/P1 daripada RAM Ratings, yang mencerminkan keyakinan terhadap kepentingan strategik bank, sokongan kerajaan negeri serta keupayaannya memenuhi obligasi kewangan sepanjang proses pemulihan.

Mengulas prestasi kutipan Pinjaman Tidak Berbayar (NPL), beliau berkata sepanjang dua tahun pentadbiran Mohd Shafie, kutipan tunai hanya berjumlah RM260 juta.

Sebaliknya, katanya, sejak Julai 2023, pengurusan semasa berjaya memperoleh semula kira-kira RM3.3 bilion secara tunai walaupun mewarisi portfolio NPL legasi yang besar.

Dalam perkembangan sama, Mohd Ishak turut menolak dakwaan bahawa Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) menerima “bailout”.

Beliau berkata, menerusi penstrukturan semula yang berdisiplin termasuk penerbitan Sukuk Wakalah bernilai RM900 juta serta pemindahan 10 peratus kepentingan ekuiti SIP dalam LNG9 kepada SMJ Energy, syarikat itu kini bebas daripada hutang dan mempunyai kedudukan kewangan yang lebih kukuh.

Katanya, SIP juga memperoleh jaminan aliran hasil untuk tempoh 10 tahun lagi melalui lanjutan asetnya di Indonesia.

“Ini bukan ‘bailout’, sebaliknya penstrukturan semula yang berjaya memelihara aset strategik negeri, memulihkan kemampanan kewangan dan mewujudkan nilai jangka panjang untuk Sabah,” katanya.

Mohd Ishak turut menafikan dakwaan bahawa kerajaan mengutamakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berbanding kepentingan rakyat.

Beliau berkata, Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan menyediakan peruntukan besar bagi pelaksanaan projek loji rawatan air, rumah pam, jalan raya, jambatan, bekalan air luar bandar, perumahan, pendidikan dan kebajikan.

“Tiada pihak swasta yang mendapat manfaat. SDBank, SIP dan SMJ Energy dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan akan terus membuat keputusan yang bertanggungjawab bagi melindungi kedudukan kewangan negeri, memelihara aset strategik serta menjamin kepentingan jangka panjang rakyat Sabah.

Katanya, walaupun Mohd Shafie berhak mempersoalkan keputusan kerajaan, perbahasan awam perlu berasaskan fakta dan bukannya dakwaan yang mengelirukan tanpa menawarkan dasar alternatif yang lebih berwibawa.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/22/kerajaan-sabah-nafi-penukaran-rm200-juta-kepada-rps-di-sdbank-adalah-bailout/feed/ 0 100384
SDB rancang penstrukturan semula, perkukuh peranan GLC Sabah https://sabahmedia.com/2026/03/18/sdb-rancang-penstrukturan-semula-perkukuh-peranan-glc-sabah/ https://sabahmedia.com/2026/03/18/sdb-rancang-penstrukturan-semula-perkukuh-peranan-glc-sabah/#respond Tue, 17 Mar 2026 17:52:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=93439
Read Time:37 Second

KOTA KINABALU: Pengerusi Sabah Development Berhad (SDB), Datuk Dr Yusof Yacob mengadakan kunjungan hormat terhadap Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini.

Kunjungan tersebut bertujuan memberi penerangan mengenai hala tuju serta cadangan penstrukturan semula SDB bagi memastikan syarikat itu kekal relevan sebagai syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).

Menurutnya, langkah penstrukturan itu penting bagi memperkukuh peranan SDB dalam menjana pendapatan kerajaan negeri, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah secara lebih mampan.

Perbincangan turut menyentuh potensi memperluas portfolio perniagaan syarikat serta meningkatkan kecekapan tadbir urus agar selari dengan keperluan semasa dan cabaran ekonomi global.

Inisiatif berkenaan dilihat sebagai sebahagian usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkasakan GLC sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di Sabah

]]>
https://sabahmedia.com/2026/03/18/sdb-rancang-penstrukturan-semula-perkukuh-peranan-glc-sabah/feed/ 0 93439
Mahkamah Tetapkan 2 Julai Untuk Pendengaran Kes Tuntutan SDB Terhadap Ernst & Young https://sabahmedia.com/2025/06/19/mahkamah-tetapkan-2-julai-untuk-pendengaran-kes-tuntutan-sdb-terhadap-ernst-young/ https://sabahmedia.com/2025/06/19/mahkamah-tetapkan-2-julai-untuk-pendengaran-kes-tuntutan-sdb-terhadap-ernst-young/#respond Thu, 19 Jun 2025 02:15:22 +0000 https://sabahmedia.com/?p=75821
Read Time:1 Minute, 3 Second

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menetapkan tarikh 2 Julai ini bagi mendengar perbicaraan kes sivil berprofil tinggi melibatkan Sabah Development Bank Berhad (SDB) dan firma audit antarabangsa, Ernst & Young PLT (EY), berhubung dakwaan kecuaian audit yang dikatakan telah mengakibatkan kerugian hampir RM2 bilion kepada institusi kewangan itu.

Penetapan tarikh tersebut dibuat semasa sebutan kes yang berlangsung secara tertutup di dalam kamar Hakim YA Puan Ros Mawar binti Rozain, yang turut memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk menyempurnakan dokumen dan persediaan perbicaraan.

SDB dalam tuntutannya mendakwa bahawa EY gagal menjalankan audit tahunan secara profesional bagi tahun kewangan 2017 hingga 2022, termasuk kegagalan mengenal pasti kelemahan kritikal dalam kawalan dalaman serta sistem penilaian risiko kredit. Kelemahan ini dikatakan telah menyumbang kepada keputusan kewangan yang tidak tepat dan pendedahan risiko yang serius.

Antara kerugian yang dikemukakan oleh SDB termasuk Pinjaman tidak berbayar (non-performing loans) melebihi RM2.2 bilion; Kerugian bersih sebanyak RM683 juta pada tahun kewangan 2023 Serta pengisytiharan dividen dan pembayaran cukai berdasarkan penyata kewangan yang didakwa tidak mencerminkan gambaran sebenar.

SDB, yang dimiliki penuh oleh Kerajaan Negeri Sabah, menegaskan bahawa kes ini melibatkan dana awam dan kepentingan negeri, justeru menolak penyelesaian melalui timbang tara dan menuntut agar perkara tersebut dibicarakan secara terbuka di Mahkamah Tinggi.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/06/19/mahkamah-tetapkan-2-julai-untuk-pendengaran-kes-tuntutan-sdb-terhadap-ernst-young/feed/ 0 75821
Sabah Development Bank Catat Kejayaan Awal, Jadi Pemangkin Reformasi GLC Negeri https://sabahmedia.com/2025/06/15/sabah-development-bank-catat-kejayaan-awal-jadi-pemangkin-reformasi-glc-negeri/ https://sabahmedia.com/2025/06/15/sabah-development-bank-catat-kejayaan-awal-jadi-pemangkin-reformasi-glc-negeri/#respond Sun, 15 Jun 2025 01:32:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=75563
Read Time:5 Minute, 32 Second

Oleh: Wan Azrain Adnan

Dalam usaha memperkukuh struktur ekonomi negeri, Kerajaan Sabah menunjukkan kemajuan ketara dalam agenda pemulihan entiti milik negeri — khususnya menerusi kejayaan awal Sabah Development Bank (SDB).

Pada awal Jun 2025, RAM Ratings (RAM), iaitu firma penarafan kredit ulung negara, telah mengesahkan penarafan AA1/Stable bagi instrumen hutang Sabah Development Bank (SDB). Ini bermakna, SDB berada dalam kategori ‘low default risk’, yang memberi keyakinan kepada pelabur bahawa instrumen kewangannya hampir setanding dengan penerbit bertaraf tertinggi seperti entiti kerajaan persekutuan.

Penarafan AA adalah tahap kedua tertinggi oleh RAM, di mana organisasi berkenaan dinilai memiliki keupayaan kukuh untuk memenuhi obligasi kewangan, serta memiliki daya tahan untuk menghadapi cabaran dan perubahan suasana operasi.

RAM menyatakan bahawa penarafan tersebut diberikan kepada SDB bersandarkan sokongan luar biasa berterusan daripada Kerajaan Sabah, dan tindakan Kerajaan Sabah tidak lama dahulu untuk memulihkan kedudukan kewangan SDB. Tambahan lagi, RAM turut memperakui kedudukan fiskal Kerajaan Sabah yang kukuh, dengan jumlah simpanan atau reserves yang besar, melebihi RM6 bilion.

SABAH DEVELOPMENT BANK

Sabah Development Bank (SDB) ialah sebuah institusi kewangan pembangunan (development financial institution, DFI) milik penuh Kerajaan Sabah. Ditubuhkan pada tahun 1977, antara matlamat utama SDB ialah mendokong agenda pembangunan ekonomi di Sabah dengan menyediakan dana pinjaman kepada pihak yang layak.

Pengesahan penarafan RAM berkenaan membuktikan kejayaan awal Kerajaan Sabah bagi memulihkan kedudukan kewangan SDB. Pada bulan Julai 2024, Menteri Kewangan Sabah telah mendedahkan bahawa SDB merekodkan kerugian kewangan yang besar bagi tahun 2023 dan 2024.

Selain itu, SDB juga menanggung kualiti aset yang teruk, di mana 75% (RM5 bilion) dari jumlah portfolio pinjaman (RM6.6 bilion) adalah pinjaman tidak berbayar (non-performing loans, NPL). Laporan tersebut turut menyentuh isu warisan pengurusan terdahulu yang menjadi punca kerugian, dan bagaimana hala tuju baharu diletakkan untuk membetulkan semula fungsi asal bank pembangunan ini.

Menurut beliau, antara punca kerugian SDB adalah kelemahan tadbir urus, perakaunan kreatif, dan penyediaan peruntukan yang tidak mencukupi (under provision).

Di samping itu, beliau turut mendedahkan bahawa sejumlah RM8 bilion pinjaman diluluskan oleh SDB kepada syarikat-syarikat dari Semenanjung Malaysia dalam tempoh masa 15 tahun (2003–2018). Daripada jumlah tersebut, 95% adalah syarikat yang terlibat di dalam sektor pembangunan hartanah di WP Kuala Lumpur, Selangor dan Johor. Jumlah pinjaman besar tersebut adalah tidak selari dengan matlamat utama SDB untuk mendokong agenda pembangunan ekonomi Sabah.

PEMBEDAYAAN DAN PEMULIHAN SDB

Bermula pertengahan tahun 2023, Kerajaan Sabah telah mengambil langkah pemulihan SDB dengan menyusun semula Lembaga Pengarah dan pengurusan SDB. Salah satu pelantikan utama Lembaga Pengarah SDB ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Prokhas — entiti pemulihan aset milik Kementerian Kewangan — yang memiliki kepakaran dan pengalaman luas di dalam bidang pengurusan dan pemulihan kewangan.

Prokhas ialah sebuah agensi milik penuh Kementerian Kewangan Malaysia, yang menguruskan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan, Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad, DanaInfra Nasional dan Danaharta Nasional.

Sejak itu, SDB telah berjaya mengurangkan obligasi pembayaran bon sebanyak RM2 bilion, dari RM5 bilion (Julai 2023) kepada RM2 bilion (akhir 2024). Nisbah Modal Keseluruhan atau Total Capital Ratio juga telah meningkat dari 7.9% (akhir 2023) kepada 19.6% (akhir 2024).

Pada masa yang sama, bagi menangani isu legasi pinjaman tidak berbayar (NPL) yang sangat tinggi, sebanyak RM965 juta telah diluluskan sebagai penyelesaian bayaran pinjaman dalam tempoh masa 16 bulan (Januari 2024 – April 2025). Sementara itu, sejumlah RM2 bilion sekuriti yang dicagar oleh peminjam telah diletakkan di bawah pengurusan penerima (receivership).

Dengan kedudukan kewangan yang lebih stabil, SDB dapat mengukuhkan peranan mendokong agenda pembangunan ekonomi Sabah dengan menumpukan fokus kepada pembiayaan projek pembangunan di Sabah, terutamanya air, tenaga dan infrastruktur. Dalam tempoh masa 16 bulan (Januari 2024 – April 2025), SDB telah meluluskan pembiayaan pinjaman sebanyak RM1.71 bilion. Tetapi telah menolak permohonan pinjaman sebanyak RM9.39 bilion yang tidak memenuhi standard kredit dan fokus strategik terkini.

PEMANGKIN KEPADA GLC NEGERI YANG LAIN

Kejayaan awal pemulihan SDB boleh menjadi model kepada pemerkasaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah. Usaha pemulihan SDB telah menghasilkan kejayaan dengan sokongan padu Kerajaan Sabah yang meletakkan Lembaga Pengarah dan pengurusan yang cekap, berpengalaman dan berkemahiran. Serta memberikan kebebasan dan ruang kepada SDB untuk membuat keputusan terbaik, tanpa campur tangan yang tidak wajar dari mana-mana pihak.

Rata-rata, banyak GLC di Sabah telah merekodkan kerugian setiap tahun. Pada bulan November 2023, Menteri Kewangan Sabah telah menyatakan bahawa daripada sekitar 100 buah GLC di Sabah, hanya sebahagian kecil sahaja yang memperoleh keuntungan. Lebih banyak GLC Sabah yang rugi daripada yang untung.

Malah, beliau memaklumkan bahawa GLC Sabah berhutang sebanyak RM2.2 bilion kepada Sabah Development Bank (SDB) setakat Suku Ketiga 2023. Malangnya, banyak daripada GLC berkenaan tidak memiliki keupayaan untuk membayar balik pinjaman SDB. Akhirnya, ini melemahkan kedudukan kewangan dan prestasi SDB.

Kelemahan prestasi pencapaian GLC bukan sahaja merencatkan agenda pembangunan Sabah. Bahkan tidak dapat menyumbang kepada hasil pendapatan Kerajaan Sabah. Pada awal tahun 2022, Ketua Menteri Sabah pernah menyarankan bahawa setiap GLC Sabah perlu membayar sekurang-kurangnya RM1 juta setiap tahun sebagai dividen kepada Kerajaan Sabah.

Ini dapat meningkatkan hasil pendapatan Kerajaan Sabah, yang boleh digunakan bagi agenda kesejahteraan rakyat Sabah. Tambahan pula, GLC yang efisien bukan sahaja menjana pendapatan kerajaan negeri, malah mengurangkan kebergantungan fiskal terhadap hasil tradisional seperti komoditi dan tanah.

KUTIPAN GLC

Namun begitu, jumlah dividen yang diterima oleh Kerajaan Sabah masih rendah. Sebagai contoh, pada tahun 2022, Kerajaan Sabah telah menerima dividen berjumlah RM152 juta daripada 15 GLC Sabah dan lima badan berkanun.

Manakala, setakat bulan Oktober 2023, jumlah dividen telah menurun hampir 9% kepada RM138.7 juta, berbanding tahun sebelumnya. Majoriti (66%) dividen tersebut adalah dari empat GLC Sabah: SMJ Sdn Bhd (RM50 juta), Perbadanan Pinjaman Sabah (RM17 juta), KKIP Sdn Bhd (RM12 juta) dan Sabah Energy Corporation (RM12 juta).

Justeru itu, GLC Sabah sediada mesti diperkasa menerusi transformasi yang menyeluruh, agar dapat melaksanakan peranan yang ditetapkan secara efektif dan seterusnya menyumbang kepada agenda pembangunan Sabah. Bukannya terus menerus menjadi bebanan kepada Kerajaan Sabah.

Tiga minggu lepas, Pembantu Menteri Kewangan Sabah dilaporkan berkata bahawa Kerajaan Sabah telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan GLC atau GLC Monitoring Committee bagi menambah baik tadbir urus dan prestasi GLC Sabah.

Antaranya, jawatankuasa ini dianggotai oleh pakar perbankan, perundangan dan audit.

Menurut beliau, ketika ini Kerajaan Sabah menyelia 27 syarikat induk dan 22 badan berkanun, dengan merangkumi sekitar 250 syarikat subsidiari dan bersekutu, yang terlibat di dalam sektor utama Sabah seperti perladangan, tenaga dan pembangunan hartanah.

Kejayaan transformasi GLC Sabah akan dapat memenuhi sasaran yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Sabah semasa ucapan penggulungan Belanjawan Sabah 2024, di mana GLC Sabah perlu membayar sekurang-kurangnya dividen sebanyak 10% daripada keuntungan syarikat kepada Kerajaan Sabah. Dengan hala tuju yang lebih jelas dan keazaman politik yang konsisten, pemulihan SDB mungkin menjadi titik tolak kepada lembaran baharu GLC Sabah — ke arah kemakmuran yang lestari.

Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/06/15/sabah-development-bank-catat-kejayaan-awal-jadi-pemangkin-reformasi-glc-negeri/feed/ 0 75563
SDB Penting Untuk Bantu Kerajaan Memajukan Sabah https://sabahmedia.com/2021/11/01/sdb-penting-untuk-bantu-kerajaan-memajukan-sabah/ https://sabahmedia.com/2021/11/01/sdb-penting-untuk-bantu-kerajaan-memajukan-sabah/#respond Mon, 01 Nov 2021 10:06:39 +0000 https://sabahmedia.com/?p=8106
Read Time:1 Minute, 13 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Bank Pembangunan Berhad (SDB) diminta untuk memulihkan perniagaannya dan membantu Kerajaan Negeri dalam membangunkan Sabah.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bahawa matlamat utama kerajaan adalah untuk merombak SDB dan melihat SDB penting untuk memajukan negeri Sabah.

“Sebab itu apabila saya mengambil alih sebagai Ketua Menteri, perkara pertama dalam fikiran saya ialah SDB.

Saya mahu ia berfungsi dengan cekap dan maju kerana ia adalah jentera penting dalam pembangunan Kerajaan Negeri,” katanya semasa lawatan kerja sulungnya ke SDB di Wisma Tun Fuad Stephens di sini, pada Isnin.

Turut hadir ialah Pengerusi SDB, Datuk Pangiran Hassanal Pg Mohd Tahir dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SDB Datuk Vincent Pung.

Hajiji juga diberi taklimat mengenai prestasi keseluruhan SDB oleh Pung yang mengambil alih SDB sebagai MD dan CEO kira-kira 11 bulan yang lalu.

Hajiji yakin di bawah pimpinan Datuk Vincent Pung dan Datuk Pangiran Hassanel Pg Mohd Tahir, SDB akan dapat mencari jalan bukan sahaja untuk menjenamakan semula tetapi juga melaksanakan tanggunjawab untuk membantu Kerajaan Negeri.

Katanya, bahawa objektif utama beliau adalah untuk meningkatkan ekonomi Sabah menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Pelan Pemulihan Ekonomi, yang bertujuan untuk mewujudkan iklim perniagaan yang mesra untuk menarik pelabur datang dan dalam proses mencipta lebih banyak pekerjaan untuk rakyat Sabah.

Dalam pada itu, Hajiji turut melancarkan risalah SDB yang merangkumi perkhidmatan institusi yang mengetengahkan tiga peranan utama SDB dalam menggalakkan pembangunan Sabah, iaitu Pembiayaan, Nasihat dan Pelaburan.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/11/01/sdb-penting-untuk-bantu-kerajaan-memajukan-sabah/feed/ 0 8106