KOTA KINABALU: Kejadian aliran air deras dilaporkan berlaku di kawasan KM 7, Check Point Sayat-Sayat, Gunung Kinabalu susulan hujan lebat di puncak gunung sekitar jam 6.15 pagi tadi.
Menurut Pengurusan Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, hujan yang turun sejak awal pagi menyebabkan limpahan air deras dari kawasan dataran tinggi ke atas denai pendakian. Bagaimanapun, pemantauan oleh pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR), Pasukan Tindak Balas Kecemasan Gunung (MOSAR) dan Malim Gunung mendapati kawasan tersebut masih selamat untuk dilalui dengan penggunaan tali keselamatan yang telah disediakan.
Seramai 155 pendaki yang berada di kawasan itu berjaya melepasi laluan berkenaan dengan selamat pada jam lebih kurang 7.48 pagi.
“Taman-Taman Sabah ingin memaklumkan bahawa kejadian aliran air deras seperti ini adalah fenomena biasa yang boleh berlaku setiap kali hujan turun di kawasan pergunungan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebagai langkah keselamatan, Taman-Taman Sabah telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) melibatkan pemantauan cuaca dan penutupan laluan pendakian sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan. Pemeriksaan cuaca biasanya dilakukan seawal jam 2 hingga 3 pagi oleh petugas SAR Taman sebelum sebarang keputusan pendakian dibuat.
Pada hari kejadian, pemeriksaan awal mendapati cuaca masih dalam keadaan selamat dan pendakian dibuka pada jam 3.26 pagi. Namun, cuaca berubah secara mendadak dengan hujan lebat dan angin kencang bermula jam 6.15 pagi sehingga menyebabkan pembentukan aliran air deras di kawasan Check Point Sayat-Sayat.
Pendaki yang menuruni laluan ketika itu dibantu oleh Malim Gunung untuk melepasi kawasan tersebut dengan selamat.
Taman-Taman Sabah menasihati para pendaki agar sentiasa bertenang dan mematuhi arahan serta nasihat yang diberikan oleh Malim Gunung dan pasukan SAR Taman sekiranya berdepan situasi sedemikian demi keselamatan semua pihak.
]]>LABUAN: Seorang nelayan dilaporkan hilang sejak lebih 24 jam yang lalu semasa keluar memancing ditemui selamat dalam keadaan terapung bersama tong di kawasan perairan Pulau 3 dekat sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah W.P. Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pihak polis Labuan telah menerima satu laporan pada jam 7.05 petang semalam (19 Ogos) menyatakan seorang lelaki yang keluar memancing pada hari yang sama kira-kira jam 6.00 pagi masih belum kembali sehingga laporan polis dibuat.
Katanya, pengadu iaitu isteri kepada mangsa gagal menghubungi suaminya lalu segera membuat laporan polis.
“Bertindak atas maklumat, satu Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) telah ditubuhkan untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh pelbagai agensi keselamatan bagi mengesan mangsa di kawasan Kampung Aru,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pada 20 Ogos (hari ini) jam lebih kurang 1.25 petang, sebuah bot Sukarelawan Bomba Nelayan telah menemui tong ikan berwarna merah di kedudukan 4 batu nutika menuju ke Pulau 3 dipercayai milik mangsa.
“Proses pencarian diteruskan oleh pasukan penyelamat di lokasi tersebut dan pada jam lebih kurang 4.18 minit petang, mangsa ditemukan dalam keadaan terapung bersama tong di kawasan perairan Pulau 3 oleh Pasukan Penyelamat APMM.
“Mangsa dikenali sebagai Ramlee Mahroff, 46, telah ditemui oleh pihak APMM dalam keadaan selamat.
“Mangsa dibawa balik ke pangkalan dan seterusnya dihantar ke hospital Labuan untuk tujuan pemeriksaan dan rawatan selanjutnya,” katanya.
Mohd Hamizi berkata, usaha menyelamat mangsa melibatkan seramai 134 pegawai dan anggota serta melibatkan 11 buah aset milik pelbagai agensi keselamatan.
“Agensi-agensi terlibat terdiri daripada APMM, JBPM TUDM, Kastam, APM ASB, ATM serta Pasukan Sukarelawan.
“Pihak polis merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih atas komitmen semua pasukan yang terlibat dalam membantu mengesan mangsa sehingga akhirnya ditemui,” katanya.
]]>Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Lebih 100 pengunjung terdiri daripada pelancong dalam dan luar negara sangat teruja dapat menyaksikan satu peristiwa penting iaitu upacara pembebasan seekor anak penyu yang dikembalikan ke habitat semula jadinya setelah empat bulan dibawah jagaan Pusat Marin, Gaya Island Resort, dekat sini semalam (25 Sept 2023).

Upacara ringkas pembebasan penyu itu telah diadakan di pantai Teluk Maloham yang terletak di hadapan resort.
Spesies penyu hijau itu diberi nama ‘Gaya’ telah berada dalam jagaan Pusat Marin Gaya sejak 7 Jun awal tahun ini selepas diselamatkan oleh seorang nelayan tempatan berdekatan dengan Gaya Island Resort.
Ahli Biologi Marin, Scott Mayback berkata, setibanya di Pusat Marin Gaya, penyu berkenaan telah menjalani pemeriksaan menyeluruh dan disahkan mengalami kelemahan kronik, dehidrasi teruk, dan kekurangan zat makanan.

Katanya, pasukannya segera memulakan pelan rawatan Gaya yang termasuk satu siri antibiotik dan titisan garam dalam tempoh 30 hari, bersama dengan multivitamin dan program pemakanan.
“Terdapat peningkatan besar dalam saluran penghadaman Gaya dan selera makannya perlahan-lahan bertambah baik dari semasa ke semasa, dengan peningkatan berterusan dalam jisim badannya daripada 4.4 kilogram (kg) kepada 5 kg selepas satu bulan penjagaan.
“Selepas kira-kira empat bulan pemulihan, berat idealnya 7 kg telah dicapai dan Gaya telah dianggap sesuai untuk dilepaskan semula ke lautan dan Gaya juga telah ditandakan dengan tag logam pengenalan sebelum ia dilepaskan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melepaskan penyu tersebut ke habitat asalnya di perairan berdekatan dengan resort itu.


Pemulihan Gaya menandakan usaha konsisten resort dalam memainkan peranan proaktif untuk memelihara keindahan persekitaran semula jadi dan melindungi hidupan liar tempatan.
Dengan bantuan pasukan yang bersemangat dan berdedikasi yang diterajui oleh Pengarah Pemuliharaan, Justin Juhun dan Ahli Biologi Marin, Scott Mayback di Pusat Hidupan Liar Gaya Island Resort dan Pusat Marin Gaya Island Resort, resort ini mempunyai beberapa inisiatif mesra alam yang merangkumi daripada pemuliharaan melalui pendidikan kepada program menyelamat.
Menurut Scott lagi, setakat ini 28 ekor penyu yang dipulihkan di Pusat Marin Gaya telah dibebaskan setelah mendapati tahap kesihatan penyu-penyu itu baik dan sesuai untuk dikembalikan ke lautan.
Katanya, terdapat tiga spesies penyu yang dikenal pasti terdapat di perairan Sabah iaitu Penyu Hijau (Green Turtle) Penyu Lipas ( Olive Ridley Turtle) dan Penyu Sisik (Hawksbill Turtle).
Selain Gaya, dua ekor penyu lagi ‘Covid’ dan ‘Barbara’ masih dalam proses penyembuhan di Pusat Marin itu.
“Covid mengalami ketumbuhan ditengkuk dan luka di bahagian belakangnya manakala Barbara mengalami kesukaran untuk tenggelam dan kedua-duanya sedang dalam rawatan yang intensif. Kedua-duanya juga akan dilepaskan bila mereka benar-benar pulih,” kata Scott.
Turut hadir, Pengurus Gaya Island Resort, Cyril Arrouard, Pengurus Taman Tunku Abdul Rahman, Kenneth Conrad Sion dan Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah (Pantai Barat), Jain Kuriting.
Sementara itu, Jain berkata, beberapa kakitangan resort tersebut telah mengikuti kursus Warden Kehormat yang dianjurkan oleh pihak JHL Sabah.
Katanya, daripada kursus berkenaan Warden Kehormat yang telah lulus itu ada kuasa untuk mengendalikan hidupan liar di kawasan resort tersebut.
“Kami juga sentiasa berhubung sekiranya ada apa-apa mengenai hidupan liar di kawasan ini, mereka akan terus menghubungi kami untuk tindakan selanjutnya. Setakat ini kerjasama sangat baik,” katanya.
Mengenai penyu yang dilepaskan, Jain berkata, sukar untuk memastikan penyu tersebut akan menjadi buruan nelayan yang tidak bertanggungjawab namun sekiranya dijumpai, tag pengenalan yang telah diletakkan ke atas penyu itu, memudahkan pihaknya untuk mengenal pasti penyu tersebut adalah dari Pusat Marin Gaya yang telah dipulihkan dan dibebaskan.
Menurut Jain lagi, tiga spesies penyu iaitu Penyu Hijau, Penyu Lipas dan Penyu Sisik adalah spesies haiwan dilindungi sepenuhnya yang disenaraikan dalam Jadual 1, Bahagian 1, Nombor 8, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 41 (1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum Seksyen 41 (4) Enakmen yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda minima RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 dan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun,” jelasnya.
Justeru, beliau menggesa kepada masyarakat setempat supaya turut sama menjaga spesies haiwan yang dilindungi agar tidak pupus selain menjadi tarikan pelancong untuk berkunjung ke negeri ini.
]]>
Oleh ERDIE AB WAHID
[email protected]
KOTA KINABALU : Jenazah bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Sakaran Dandai yang meninggal dunia pada usia 91 tahun selamat disemadikan kira-kira jam 11.20 pagi tadi.
Jenazah yang tiba di Makam Pahlawan Masjid Negeri Sabah pada jam 11.15 pagi itu turut diiringi isteri Toh Puan Siti Rukaiyah Datuk Panglima Abdullah dan beberapa ahli keluarga terdekat.
Hadir sama memberi penghormatan terakhir Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Turut hadir memberi penghormatan anak Allahyarham, Datuk Nasir Tun Sakaran, bekas Ketua Menteri Sabah yang juga Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah Ir Shahelmey Yahya.
Allahyarham sebelum ini dilaporkan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Gleanagles disini akibat jangkitan COVID-19.
Dalam tempoh itu, beliau dilaporkan stabil namun memerlukan pemantauan rapi.
Sakaran,91, menjadi Yang di-Pertua Negeri Sabah kelapan dari 1995 hingga 2002 dan Ketua Menteri Sabah pad Mac 1994 hingga Disember 1994.
Beliau juga pernah menjadi Ahli Parlimen Semporna dari 1986 hingga 1995 dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang mewakili USNO dan kemudian UMNO sebelum bersara daripada politik apabila dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 1995.
Berita pemergian Allahyarham Tun Sakaran turut dikongsikan cucunya, Ahmad Marzuki Nasir melalui laman Facebook beliau awal pagi tadi.
Dalam perkongian itu, Ahmad Marzuki yang juga Pengurus pasukan Sabah FC telah memaklumkan mengenai pemergian Datuknya.
]]>