siber – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Wed, 07 Jan 2026 00:57:17 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png siber – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Sabah pandang serius ancaman perjudian dalam talian terhadap pelajar, belia https://sabahmedia.com/2026/01/07/sabah-pandang-serius-ancaman-perjudian-dalam-talian-terhadap-pelajar-belia/ https://sabahmedia.com/2026/01/07/sabah-pandang-serius-ancaman-perjudian-dalam-talian-terhadap-pelajar-belia/#respond Wed, 07 Jan 2026 00:57:11 +0000 https://sabahmedia.com/?p=89348
Read Time:1 Minute, 44 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah memandang serius terhadap peningkatan aktiviti perjudian dalam talian yang memberi kesan negatif kepada masyarakat, khususnya golongan belia dan pelajar di negeri ini.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk James Ratib berkata, aktiviti itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah membawa implikasi sosial, kewangan dan keselamatan yang besar kepada keluarga serta komuniti.

Katanya, usaha memerangi perjudian dalam talian melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“MCMC bertanggungjawab dari sudut kawal selia rangkaian dan platform komunikasi, termasuk tindakan menyekat laman web, aplikasi serta kandungan yang mempromosikan atau memudahkan perjudian dalam talian. 

“Pihak kementerian menyokong sepenuhnya tindakan berterusan MCMC dalam memperkukuh pemantauan, sekatan laman web haram serta kerjasama dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk mengekang akses kepada platform perjudian.

“PDRM pula memainkan peranan penguatkuasaan undang-undang secara langsung melalui siasatan, tangkapan dan pendakwaan ke atas sindiket serta individu yang terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian. 

“Kerjasama rapat antara PDRM dan MCMC amat penting bagi memastikan tindakan yang lebih menyeluruh dan berkesan dapat diambil, termasuk membanteras rangkaian sindiket yang beroperasi secara rentas sempadan dan menggunakan modus operandi baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Pasukan Penguatkuasa MCMC Sabah di pejabatnya di sini pada Selasa.

James berkata, kementeriannya juga akan memperkukuh aspek pendidikan dan kesedaran digital dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan guru berhubung risiko perjudian dalam talian, penipuan siber serta keselamatan penggunaan internet.

Katanya, pendekatan pencegahan melalui literasi digital, bimbingan kaunseling dan pengukuhan nilai turut menjadi tumpuan kementerian, seiring dengan tindakan penguatkuasaan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

” Kerajaan Negeri menyeru semua pihak termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi, komuniti setempat, pemimpin masyarakat serta ibu bapa untuk bersama-sama memainkan peranan membendung gejala ini.

” Aduan masyarakat berkaitan perjudian dalam talian hendaklah disalurkan kepada pihak MCMC dan PDRM melalui saluran aduan rasmi yang disediakan,” katanyaml.

Menurutnya lagi, pihaknya akan terus komited untuk terus bekerjasama rapat dengan MCMC, PDRM serta agensi berkaitan bagi memastikan ruang siber di Sabah kekal selamat, beretika dan sihat untuk pembangunan pendidikan serta masa depan anak-anak. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/01/07/sabah-pandang-serius-ancaman-perjudian-dalam-talian-terhadap-pelajar-belia/feed/ 0 89348
Kerajaan Perlu Sedia Laporan Berkala Ancaman Siber https://sabahmedia.com/2025/01/28/kerajaan-perlu-sedia-laporan-berkala-ancaman-siber/ https://sabahmedia.com/2025/01/28/kerajaan-perlu-sedia-laporan-berkala-ancaman-siber/#respond Tue, 28 Jan 2025 06:44:46 +0000 https://sabahmedia.com/?p=67627
Read Time:2 Minute, 29 Second

Oleh Dr Ahmad Wiraputra Selamat

Kerajaan disarankan untuk menyediakan laporan awam berkala mengenai ancaman siber yang melanda negara bagi meningkatkan kesedaran rakyat dan memantapkan langkah-langkah keselamatan digital.

Pensyarah Kanan Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ahmad Wiraputra Selamat, mencadangkan laporan ini diterbitkan sama ada setiap bulan atau tiga kali setahun untuk memastikan rakyat mendapat maklumat terkini mengenai ancaman siber.

Menurutnya, laporan tersebut juga harus menerangkan tindakan yang telah dan sedang diambil oleh pihak kerajaan untuk menangani ancaman-ancaman ini.

“Ancaman siber pada masa hadapan amat menakutkan. Teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan komponen Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) bukan sahaja memberikan manfaat, tetapi juga membuka peluang kepada penjenayah siber untuk melancarkan serangan yang lebih sofistikated dan sukar dikesan,” katanya.

Ancaman Siber yang Semakin Kompleks

Dr Ahmad menjelaskan ancaman seperti bruteforce berbantu AI, phishing yang menyerupai kandungan sebenar, serta penggunaan deepfakes semakin sukar dikesan. Ini termasuk serangan terhadap video, suara, dan gambar yang dimanipulasi menggunakan AI.

Beliau turut memetik laporan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menunjukkan kerugian sebanyak RM2.23 bilion akibat jenayah siber di Malaysia. Angka ini diambil daripada buku kajian jenayah siber yang diterbitkan Institut Keselamatan Awam (IPSOM).

Keperluan Akta Keselamatan Siber 2024

Dr Ahmad menekankan pentingnya Akta Keselamatan Siber 2024 untuk menggantikan undang-undang sedia ada yang dilihat tidak lagi relevan. Akta seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Jenayah Komputer 1997, dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 tidak menumpukan kepada ancaman siber moden seperti AI, IoT, teknologi blok rantai (blockchain), dan kriptografi.

“Akta 854 bertujuan untuk menyediakan kerangka kerja menyeluruh dalam memperkukuhkan keselamatan infrastruktur kritikal, selain menetapkan piawaian keselamatan dalam talian yang lebih ketat,” tambahnya.

Malaysia di Tahap Baik, Tetapi Cabaran Meningkat

Menurut Ahmad, keselamatan siber Malaysia kini berada pada tahap yang baik dengan skor 79.22 dalam Indeks Keselamatan Siber Negara, tertinggi dalam kalangan negara Asia Pasifik. Namun, ancaman global dan pertumbuhan pesat ekonomi digital memerlukan perhatian lebih serius.

“Serangan terhadap institusi kerajaan, penipuan kewangan dalam talian, kebocoran data peribadi, dan ancaman media sosial terhadap kanak-kanak serta remaja adalah isu kritikal yang memerlukan tindakan segera,” katanya.

Sokongan Terhadap Akta Baharu

Beliau menolak dakwaan bahawa Akta Keselamatan Siber 2024 bertujuan menyekat kebebasan bersuara. Sebaliknya, akta ini dirancang untuk melindungi rakyat daripada ancaman siber.

“Tuduhan bahawa akta ini menyekat kebebasan bersuara tidak tepat. Ancaman siber sangat menakutkan, dan kita perlu melihat akta ini dengan objektif, bukan melalui lensa politik sempit,” katanya.

Beliau juga menekankan pentingnya pelaksanaan akta ini secara telus dan adil, termasuk mewujudkan mekanisme semak dan imbang yang jelas bagi memastikan ia tidak disalahgunakan untuk tujuan politik.

Meningkatkan Infrastruktur Keselamatan

Dr Ahmad mencadangkan kerajaan untuk terus memperkukuh infrastruktur keselamatan siber dengan menggunakan teknologi terkini seperti AI dan konsep honeypot bagi mengesan ancaman lebih awal.

“Kita perlu memastikan akta ini berjalan lancar seiring dengan perkembangan teknologi, demi melindungi rakyat dan memajukan ekonomi digital negara,” katanya.

Laporan ini menggariskan keperluan mendesak untuk kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat dalam menangani ancaman siber yang semakin kompleks dan mencabar.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/01/28/kerajaan-perlu-sedia-laporan-berkala-ancaman-siber/feed/ 0 67627
Ibu Bapa Perlu Pantau Dan Kawal Penggunaan Internet Anak, Elak Terjebak Jenayah Siber https://sabahmedia.com/2021/07/01/ibu-bapa-perlu-pantau-dan-kawal-penggunaan-internet-anak-elak-terjebak-jenayah-siber/ https://sabahmedia.com/2021/07/01/ibu-bapa-perlu-pantau-dan-kawal-penggunaan-internet-anak-elak-terjebak-jenayah-siber/#respond Thu, 01 Jul 2021 05:02:49 +0000 https://sabahmedia.com/?p=2339
Read Time:1 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan meminta ibu bapa dan orang ramai untuk sentiasa memantau pergerakan anak-anak serta anggota keluarga terhadap aktiviti harian termasuk mengawal penggunaan internet.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat  Shahelmey Yahya berkata, ia bagi memastikan mereka tidak mudah terpengaruh dan tidak terjebak selain mengelak menjadi mangsa kepada pelbagai gejala sosial.

“Dengan peningkatan penggunaan laman sosial secara tidak langsung menyumbang kepelbagaian trend jenayah komersial terutama jenayah siber yang melibatkan aspek keselamatan pengguna seperti butir–butir peribadi yang mudah diperolehi dengan pelbagai medium.

“Berdasarkan laporan Cybersecurity Malaysia pada 17 Mei lalu menyatakan lima bulan pertama tahun ini, jumlah insiden keselamatan siber yang dilaporkan ke Pusat Bantuan Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia adalah sebanyak 4,615 dengan tiga insiden tertinggi iaitu Penipuan (3,229), Pencerobohan (765) dan Kod Berbahaya (256) dan saya difahamkan statistik kes jenayah siber yang dikendalikan oleh PDRM juga meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Webinar ICT Memperkasa Wanita secara maya anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah disini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah Rusnah Kuyung; Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah Haslina Ismail dan Penganalisis Jenayah Kamal Affandi Hashim.

Shahelmey berkata, laporan yang dikeluarkan itu dilihat agak membimbangkan dimana orang ramai dan penjawat awam yang bekerja dari rumah mengunakan peralatan digital dan perkhidmatan internet akan terdedah kepada risiko keselamatan siber.

Katanya, pengguna ICT harus mengamalkan tatacara serta kaedah penggunaan teknologi dan internet termasuk laman media sosial secara positif, beretika dan bertanggungjawab.

“Kita perlu mengambil langkah-langkah wajar dan proaktif bagi mencegah daripada menjadi mangsa ancaman dan serangan siber. Seperti membuat pemasangan antivirus di telefon, notebook dan komputer yang digunakan dan ini akan mengurangkan risiko ancaman keselamatan siber berbentuk serangan spyware.

“Jika kita tidak tahu kepentingan antivirus, kita akan anggap perkara tersebut tidak perlu. Kita akan menggunakan teknologi dan internet tanpa batasan dan kawalan hingga terdedah risiko serta ancaman seperti antun siber, penipuan dan perjudian dalam talian, buli siber, kecurian identiti, pelanggaran hak cipta,”katanya.

Beliau turut berharap agar semua pihak dapat bersama-sama memberi komitmen dengan pihak kerajaan dalam usaha mencegah, mendidik dan membanteras jenayah termasuk jenayah siber.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/07/01/ibu-bapa-perlu-pantau-dan-kawal-penggunaan-internet-anak-elak-terjebak-jenayah-siber/feed/ 0 2339