SKDS – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sun, 19 Jul 2026 09:29:59 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png SKDS – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Pendaftaran SKDS di Sabah, Sarawak, Labuan meningkat lebih 28,000 syarikat https://sabahmedia.com/2026/07/19/pendaftaran-skds-di-sabah-sarawak-labuan-meningkat-lebih-28000-syarikat/ https://sabahmedia.com/2026/07/19/pendaftaran-skds-di-sabah-sarawak-labuan-meningkat-lebih-28000-syarikat/#respond Sun, 19 Jul 2026 09:28:11 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100149
Read Time:2 Minute, 4 Second

LABUAN: Peningkatan pendaftaran di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) menunjukkan pelaksanaannya di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan terus mencatat perkembangan yang memberangsangkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata setakat 18 Julai lalu, sebanyak 28,127 syarikat melibatkan 68,669 kenderaan perdagangan di tiga wilayah itu telah berdaftar di bawah SKDS sejak permohonan dibuka pada 4 Mei 2026.

Daripada jumlah itu, sebanyak 2,116 syarikat melibatkan 3,433 kenderaan berdaftar di bawah sektor Pengangkutan Darat (Awam), 18,770 syarikat membabitkan 51,679 kenderaan dalam sektor Pengangkutan Darat (Barangan Keperluan Pengguna), manakala 7,241 syarikat dengan 13,557 kenderaan berada dalam kategori Pengangkutan Darat (Persendirian Syarikat – Jip dan Pikap).

Beliau berkata, secara keseluruhan sebanyak 172,955 syarikat melibatkan 464,797 kenderaan telah berdaftar di bawah SKDS di seluruh negara setakat tarikh sama.

Armizan berkata demikian pada Majlis Penyerahan Fleet Card SKDS kepada syarikat yang telah diluluskan permohonannya dan menerima kad berkenaan daripada PETRONAS, Shell serta Petron di Labuan, hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia bermula pada 10 Jun 2024 sebelum diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan WP Labuan pada 1 Julai 2026.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertanggungjawab mengawal selia penyaluran subsidi diesel bagi kenderaan perdagangan melalui SKDS, manakala program subsidi lain seperti BUDI Diesel, BUDI Agri-Komoditi dan Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan dikendalikan oleh kementerian berkaitan.

“Syarikat yang berjaya diluluskan di bawah SKDS perlu mendapatkan fleet card daripada syarikat minyak bagi membolehkan pembelian diesel bersubsidi dibuat menggunakan mekanisme berkenaan.

“Penggunaan fleet card membolehkan setiap transaksi pembelian diesel bersubsidi direkodkan secara digital sekali gus memperkukuh pemantauan, mengurangkan risiko ketirisan dan memastikan subsidi disalurkan kepada kumpulan sasar,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan menggesa semua syarikat yang layak tetapi masih belum berdaftar supaya segera mengemukakan permohonan melalui portal MySubsidi.

Katanya, susulan pelaksanaan penuh penggunaan fleet card SKDS di Sabah, Sarawak dan WP Labuan bermula 1 Julai lalu, KPDN sedang mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF) bagi meneliti beberapa cadangan penambahbaikan berdasarkan pengalaman pelaksanaan, maklum balas industri dan isu operasi yang dikenal pasti.

Pada masa sama, katanya, KPDN akan meneruskan sesi libat urus bersama kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bagi membincangkan isu berbangkit supaya pelaksanaan dasar mengambil kira keperluan operasi di lapangan tanpa menjejaskan objektif penyasaran subsidi serta usaha membendung ketirisan.

“KPDN akan terus bekerjasama rapat dengan MOF, kerajaan negeri, syarikat minyak dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan SKDS terus diperkukuh dari semasa ke semasa,” ujarnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/19/pendaftaran-skds-di-sabah-sarawak-labuan-meningkat-lebih-28000-syarikat/feed/ 0 100149
Syarikat belum terima fleet card SKDS boleh tuntut bayaran balik diesel https://sabahmedia.com/2026/06/24/syarikat-belum-terima-fleet-card-skds-boleh-tuntut-bayaran-balik-diesel/ https://sabahmedia.com/2026/06/24/syarikat-belum-terima-fleet-card-skds-boleh-tuntut-bayaran-balik-diesel/#respond Wed, 24 Jun 2026 02:24:35 +0000 https://sabahmedia.com/?p=98769
Read Time:2 Minute, 20 Second

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju membuka ruang permohonan tuntutan bayaran balik tunai diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) mulai 1 Julai 2026 bagi syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang masih belum menerima fleet card.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kemudahan itu disediakan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang berkuat kuasa pada tarikh berkenaan.

Menurut beliau, penggunaan fleet card di bawah SKDS adalah mekanisme utama untuk membolehkan syarikat yang layak terus menikmati diesel bersubsidi pada harga RM1.88 seliter bagi sektor pengangkutan darat awam dan RM2.15 seliter bagi sektor pengangkutan darat barangan.

“Kerajaan mengambil maklum bahawa proses pengeluaran dan penghantaran fleet card oleh syarikat minyak lazimnya mengambil masa antara dua hingga tiga minggu bergantung kepada proses semakan dan pengurusan dalaman syarikat masing-masing.

“Sehubungan itu, kerajaan bersetuju membenarkan syarikat yang layak membuat tuntutan perbezaan harga diesel yang dibeli pada harga runcit tanpa subsidi dengan harga diesel bersubsidi SKDS yang sepatutnya dinikmati sementara menunggu fleet card diterima,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pendaftaran SKDS bagi sektor pengangkutan darat awam di Sabah, Sarawak dan Labuan telah dibuka sejak 10 Jun 2024, manakala pendaftaran bagi sektor pengangkutan darat barangan mula dibuka pada 4 Mei 2026.

Sehingga 22 Jun 2026, sebanyak 8,445 syarikat dengan 30,557 kenderaan telah berdaftar di bawah SKDS.

Daripada jumlah itu, Sabah merekodkan 4,062 syarikat melibatkan 14,750 kenderaan, diikuti Sarawak dengan 4,108 syarikat dan 15,030 kenderaan, manakala Labuan mencatatkan 275 syarikat melibatkan 777 kenderaan.

Armizan berkata, syarikat yang ingin menikmati subsidi diesel perlu melalui dua proses utama iaitu mendaftar melalui portal MySubsidi dan seterusnya menggunakan surat kelulusan yang diterima untuk memohon fleet card daripada syarikat minyak pilihan.

Katanya, tuntutan bayaran balik tunai diesel hanya terbuka kepada pemohon SKDS bagi sektor pengangkutan darat awam dan barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan yang telah mendaftar serta memohon fleet card sebelum atau pada 30 Jun 2026.

“Bayaran balik ini meliputi pembelian diesel bermula 1 Julai hingga 31 Julai 2026 atau sehingga tarikh fleet card diterima, yang mana lebih awal.

“Permohonan boleh dibuat melalui portal MySubsidi dan semua tuntutan mestilah disertakan dengan resit pembelian diesel yang dimuat naik ke dalam sistem,” katanya.

Menurut beliau, pembayaran balik akan dikreditkan terus ke akaun bank syarikat oleh Kementerian Kewangan dalam tempoh 15 hari bekerja selepas proses semakan selesai dilakukan oleh pentadbir SKDS di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Beliau turut menggesa semua syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang layak supaya segera mendaftar di bawah SKDS serta mengemukakan permohonan fleet card bagi memastikan mereka terus menikmati diesel bersubsidi tanpa sebarang gangguan.

“Semakin awal pendaftaran dibuat, semakin cepat proses pengeluaran fleet card dapat diselesaikan sekali gus memastikan syarikat terus menerima manfaat subsidi diesel yang disediakan kerajaan,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/24/syarikat-belum-terima-fleet-card-skds-boleh-tuntut-bayaran-balik-diesel/feed/ 0 98769
Kenderaan pengangkutan darat barangan, awam perlu daftar segera SKDS https://sabahmedia.com/2026/06/15/kenderaan-pengangkutan-darat-barangan-awam-perlu-daftar-segera-skds/ https://sabahmedia.com/2026/06/15/kenderaan-pengangkutan-darat-barangan-awam-perlu-daftar-segera-skds/#respond Mon, 15 Jun 2026 03:42:10 +0000 https://sabahmedia.com/?p=98239
Read Time:2 Minute, 43 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kenderaan sektor pengangkutan darat barangan dan awam di Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan yang layak menerima subsidi diesel digesa mendaftar segera di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi memastikan mereka terus menikmati subsidi yang disediakan kerajaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penggunaan SKDS bersama fleet card akan diwajibkan bagi mendapatkan subsidi diesel untuk sektor pengangkutan darat barangan dan awam pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua syarikat yang mempunyai kenderaan di bawah 33 kategori yang layak supaya tidak menangguhkan permohonan bagi mengelakkan sebarang gangguan dalam penerimaan subsidi diesel.

“Melalui SKDS, syarikat yang layak akan menerima subsidi diesel menerusi mekanisme fleet card pada kadar RM2.15 seliter bagi sektor pengangkutan darat barangan dan RM1.88 seliter bagi sektor pengangkutan darat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Fleet Card SmartPay PETRONAS kepada sebahagian syarikat pengangkutan darat barangan yang telah mendapat kelulusan pendaftaran SKDS di Kepayan, di sini, hari ini.

Menurut Armizan, pendaftaran SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan WP Labuan telah dibuka sejak 4 Mei lalu, manakala sektor pengangkutan darat awam telah menikmati kemudahan subsidi bersasar itu sejak Jun 2024.

Sehingga 14 Jun 2026, sebanyak 8,060 syarikat melibatkan 29,631 kenderaan telah berdaftar di bawah SKDS di ketiga-tiga wilayah berkenaan.

Daripada jumlah itu, Sabah merekodkan 3,922 syarikat dengan 14,415 kenderaan, Sarawak mencatatkan 3,869 syarikat melibatkan 14,447 kenderaan, manakala WP Labuan merekodkan 269 syarikat dengan 769 kenderaan.

Armizan berkata, peluasan SKDS merupakan langkah kerajaan memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan subsidi diesel secara digital bagi memastikan bantuan sampai kepada kumpulan sasar serta mengurangkan ketirisan.

Katanya, penggunaan fleet card membolehkan pemantauan penggunaan diesel bersubsidi dilakukan dengan lebih berkesan sekali gus mengekang aktiviti penyeludupan, penyelewengan dan penyalahgunaan subsidi oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuk warga asing dan pendatang tanpa izin.

Beliau berkata, kerajaan membelanjakan kira-kira RM2 bilion setahun bagi subsidi diesel di Sabah dan Sarawak sepanjang tahun lalu.

Bagaimanapun, jumlah itu terus meningkat pada tahun ini susulan krisis tenaga global yang tercetus akibat konflik di Asia Barat.

“Pada Januari dan Februari 2026, subsidi diesel yang ditanggung kerajaan bagi Sabah dan Sarawak masing-masing berjumlah RM103 juta dan RM106 juta.

“Namun selepas konflik bermula pada 28 Februari lalu, jumlah subsidi melonjak kepada RM563 juta pada Mac dan RM647 juta pada April,” katanya.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan subsidi diesel yang ditanggung kerajaan bagi Sabah dan Sarawak bagi tempoh Januari hingga April 2026 telah mencecah RM1.4 bilion.

Armizan menegaskan kerajaan akan terus menanggung peningkatan kos subsidi diesel selagi harga minyak dunia kekal tinggi dan krisis tenaga berterusan.

Katanya, kerajaan kekal komited menyalurkan subsidi diesel secara bersasar kepada rakyat dan industri sebagai langkah membantu menangani peningkatan kos sara hidup serta menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan.

“Pada masa sama, pelaksanaan subsidi bersasar penting bagi mengurangkan risiko ketirisan serta meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa penggunaan wajib SKDS dan fleet card bagi sektor pengangkutan darat di Sabah, Sarawak dan Labuan akan dikuatkuasakan pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Sehubungan itu, syarikat yang layak digesa membuat permohonan segera melalui portal MySubsidi dan tidak menunggu sehingga saat akhir.

Di Sabah, syarikat minyak yang terlibat dalam pelaksanaan SKDS ialah Petronas, Shell dan Petron.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/15/kenderaan-pengangkutan-darat-barangan-awam-perlu-daftar-segera-skds/feed/ 0 98239
Lebih 8,800 kenderaan daftar bawah peluasan SKDS dan SKPS https://sabahmedia.com/2026/06/04/lebih-8800-kenderaan-daftar-bawah-peluasan-skds-dan-skps/ https://sabahmedia.com/2026/06/04/lebih-8800-kenderaan-daftar-bawah-peluasan-skds-dan-skps/#respond Thu, 04 Jun 2026 06:46:17 +0000 https://sabahmedia.com/?p=97689
Read Time:1 Minute, 57 Second

PUTRAJAYA: Sebanyak 8,862 kenderaan berjaya didaftarkan di bawah peluasan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dalam tempoh tiga hari pertama pelaksanaannya bermula 1 Jun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peluasan kelayakan itu melibatkan kenderaan jenis pikap dan jip bagi sektor pengangkutan darat barangan susulan penambahbaikan mekanisme SKDS dan SKPS yang diumumkan kementerian pada 23 Mei lalu.

Menurutnya, penambahbaikan berkenaan dilaksanakan susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memastikan subsidi bahan api disalurkan secara lebih bersasar.

“Setakat 1 hingga 3 Jun 2026, sebanyak 8,862 kenderaan telah berjaya didaftarkan, melibatkan 8,524 pikap diesel, 329 jip diesel dan sembilan jip petrol,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, selain berdaftar atas nama syarikat atau entiti perniagaan, syarat kelayakan turut mengambil kira kategori kegunaan yang direkodkan dalam Lesen Kenderaan Motor (LKM) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta status pendaftaran sebagai kenderaan perdagangan.

Katanya, peluasan SKDS dan SKPS melibatkan kenderaan pikap dan jip di bawah kelas kegunaan Barang Rigid dan Barang Rigid Decon dengan berat antara 950 kilogram hingga 7,500 kilogram.

Bagaimanapun, kenderaan yang didaftarkan di bawah kategori kerajaan, pihak berkuasa tempatan, kategori khas lain serta Barangan-Tiada Permit/Off-Road tidak layak menyertai skim berkenaan.

Dalam perkembangan sama, KPDN turut melaksanakan pelarasan had kuota tetap SKDS bagi sektor pengangkutan barangan sebagai langkah memperkukuh mekanisme kawal selia serta mengekang ketirisan subsidi dan penyalahgunaan fleet card.

Armizan berkata, setiap fleet card kini diberikan kuota tetap antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan, tertakluk kepada had yang ditetapkan mengikut 23 jenis kenderaan yang layak di bawah SKDS.

Menurutnya, penetapan kuota itu dibuat berdasarkan analisis data penggunaan sebenar yang direkodkan sepanjang hampir dua tahun pelaksanaan SKDS sejak 2024.

“Bagi syarikat atau entiti perniagaan yang mempunyai keperluan operasi melebihi kuota ditetapkan, KPDN menyediakan mekanisme rayuan tambahan kuota melalui Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum (JKSP).

“Permohonan perlu disertakan justifikasi keperluan operasi dan rekod penggunaan sebenar sekurang-kurangnya bagi tempoh tiga bulan,” katanya.

Beliau berkata, setakat 1 hingga 3 Jun lalu, sebanyak lapan syarikat telah mengemukakan rayuan tambahan kuota melibatkan 82 kenderaan dan semua permohonan sedang diproses untuk pertimbangan JKSP.

Katanya, KPDN akan terus menambah baik pelaksanaan SKDS dan SKPS bagi memastikan subsidi bahan api sampai kepada golongan yang layak, selain mengekang ketirisan dalam bentuk penyelewengan dan penyeludupan.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/04/lebih-8800-kenderaan-daftar-bawah-peluasan-skds-dan-skps/feed/ 0 97689
Kerajaan tambah baik pelaksanaan SKDS https://sabahmedia.com/2026/05/23/kerajaan-tambah-baik-pelaksanaan-skds/ https://sabahmedia.com/2026/05/23/kerajaan-tambah-baik-pelaksanaan-skds/#respond Sat, 23 May 2026 01:59:13 +0000 https://sabahmedia.com/?p=97164
Read Time:2 Minute, 59 Second

KUNDASANG: Kerajaan terus komited meneruskan penyaluran subsidi bahan api meskipun berdepan tekanan akibat konflik Asia Barat yang mencetuskan krisis tenaga serta lonjakan harga minyak global.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peningkatan mendadak kos subsidi bahan api memberi implikasi kewangan besar kepada kerajaan.

Katanya, sebelum tercetusnya konflik, subsidi petrol dan diesel yang ditanggung kerajaan adalah sebanyak RM1.29 bilion pada Januari dan RM1.20 bilion pada Februari 2026.

“Namun sejak konflik bermula pada 28 Februari lalu, implikasi subsidi petrol dan diesel melonjak kepada RM5.67 bilion bagi Mac 2026, iaitu peningkatan lebih 370 peratus berbanding bulan sebelumnya.

“Jumlah itu belum termasuk subsidi bahan api lain dan kerajaan akan terus menanggung lonjakan bil subsidi selagi harga minyak dunia kekal tinggi serta krisis tenaga berlarutan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan sedang melaksanakan pelbagai strategi penampan, mitigasi dan intervensi secara bersasar merentasi kementerian serta agensi bagi menangani kesan krisis tenaga dan bekalan global terhadap rakyat.

Di bawah kawal selia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), kerajaan memutuskan untuk meneruskan penyaluran subsidi petrol dan diesel melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan SKDS.

Sehingga 20 Mei 2026, sebanyak 179,716 syarikat membabitkan 432,495 kenderaan sektor pengangkutan darat awam, pengangkutan darat barangan dan pengangkutan awam air telah menerima manfaat subsidi berkenaan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 19,189 syarikat dengan 38,817 kenderaan menikmati manfaat SKPS, manakala 160,527 syarikat melibatkan 393,678 kenderaan menerima subsidi melalui SKDS.

Armizan berkata, susulan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Mei lalu, kerajaan bersetuju menambah baik mekanisme pelaksanaan SKDS melalui beberapa keputusan baharu.

Antaranya ialah peluasan kelayakan kenderaan jenis jip dan pikap di bawah SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan ke seluruh negara, berbanding hanya di Cameron Highlands sebelum ini.

“Berkuat kuasa 1 Jun 2026, syarikat sektor pengangkutan darat barangan yang memiliki kenderaan jip dan pikap boleh membuat pendaftaran SKDS,” katanya.

Beliau berkata, manfaat subsidi diesel turut diperluaskan kepada kenderaan jip dan pikap yang digunakan bagi tujuan pengangkutan darat barangan walaupun sebelum ini didaftarkan atas nama individu, tertakluk kepada kelulusan pertukaran hak milik kepada syarikat.

Katanya, individu yang terlibat dalam aktiviti pengangkutan darat barangan digalakkan mendaftarkan syarikat atau perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) atau pihak berkuasa berkaitan di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, pemohon juga perlu memenuhi syarat lain termasuk memindahkan hak milik kenderaan daripada kategori individu kepada syarikat melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam pada itu, kerajaan turut melaksanakan pelarasan had kuota tetap SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan bagi memperkukuh kawal selia dan penguatkuasaan untuk mengekang ketirisan subsidi serta penyalahgunaan fleet card.

“Setiap fleet card akan mempunyai kuota tetap antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan mengikut 23 jenis kenderaan sektor pengangkutan darat barangan.

“Penetapan had kuota dibuat berdasarkan analisis penggunaan sepanjang dua tahun pelaksanaan SKDS dan kadar baharu ini berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026,” katanya.

Menurut beliau, syarikat yang memerlukan kuota tambahan boleh mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum (JKSP) yang diurus setia oleh KPDN.

Permohonan rayuan boleh dibuat secara dalam talian melalui e-mel [email protected] atau di kaunter KPDN berhampiran.

Katanya, pertimbangan rayuan akan dibuat berdasarkan keperluan operasi sebenar serta rekod penggunaan bulanan dalam sistem SKDS.

Pada masa sama, Armizan menggalakkan syarikat yang belum memanfaatkan subsidi petrol dan diesel supaya segera mendaftar di bawah SKPS dan SKDS melalui portal MySubsidi.

Beliau turut mengingatkan semua syarikat yang telah berdaftar agar bertanggungjawab terhadap penggunaan fleet card yang dibekalkan syarikat minyak.

“Sebarang penyalahgunaan akan menyebabkan fleet card digantung serta-merta dan syarikat terlibat akan disenarai hitam,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/23/kerajaan-tambah-baik-pelaksanaan-skds/feed/ 0 97164
Permohonan SKDS pengangkutan darat di Sabah, Sarawak, Labuan dibuka 4 Mei https://sabahmedia.com/2026/05/01/permohonan-skds-pengangkutan-darat-di-sabah-sarawak-labuan-dibuka-4-mei/ https://sabahmedia.com/2026/05/01/permohonan-skds-pengangkutan-darat-di-sabah-sarawak-labuan-dibuka-4-mei/#respond Fri, 01 May 2026 09:28:38 +0000 https://sabahmedia.com/?p=95921
Read Time:2 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Permohonan pendaftaran bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) untuk sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dibuka bermula 4 Mei 2026.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, peluasan pelaksanaan subsidi diesel itu melibatkan fasa awal pendaftaran syarikat pengangkutan darat barangan di ketiga-tiga wilayah berkenaan.

Menurutnya, kenderaan yang didaftarkan di bawah SKDS oleh syarikat yang layak boleh menikmati subsidi diesel pada kadar semasa RM2.15 seliter, tertakluk kepada ketetapan kerajaan.

“Permohonan boleh dibuat melalui portal MySubsidi di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my bermula jam 9 pagi, 4 Mei 2026,” menurut kenyataan itu.

Antara syarat kelayakan ditetapkan termasuk kenderaan memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sah, berdaftar sebagai kenderaan perdagangan dengan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah atau Sarawak, serta syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Selain itu, kenderaan juga perlu tersenarai dalam 23 kategori kenderaan darat barangan yang diluluskan di bawah SKDS.

KPDN turut mengingatkan syarikat yang layak supaya menyemak kelayakan dan memilih kategori pendaftaran yang tepat bagi memastikan proses berjalan lancar.

Kategori pendaftaran merangkumi kategori syarikat, koperasi/PBT serta pemilikan tunggal.

Dalam pada itu, pembelian diesel bersubsidi akan dilaksanakan menggunakan kaedah ‘fleet card’.

Syarikat yang diluluskan di bawah SKDS perlu memohon kad tersebut melalui syarikat minyak pilihan dengan mengemukakan surat kelulusan dan senarai kenderaan daripada sistem SKDS.

Maklumat lanjut permohonan kad armada boleh diperoleh melalui pautan berikut:

Syarikat dibenarkan memilih sehingga tiga syarikat minyak, dan tempoh pemprosesan serta penghantaran kad dianggarkan antara dua hingga tiga minggu bergantung kepada syarikat berkenaan.

Menurut kenyataan itu, tempoh sah laku kelulusan SKDS bergantung kepada tempoh sah LKM atau cukai jalan kenderaan.

Sehubungan itu, pemilik kenderaan perlu memastikan cukai jalan dikemas kini sebelum 28 hari setiap bulan dan tarikh tamatnya melangkaui bulan berikutnya bagi memastikan kelayakan menerima subsidi.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada pusat panggilan KPDN di peringkat negeri atau melalui portal MySubsidi di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my.

KPDN dalam masa sama menggesa semua syarikat dan entiti perniagaan pengangkutan darat barangan yang layak di Sabah, Sarawak dan Labuan agar memanfaatkan kemudahan subsidi tersebut.

“Kerajaan komited memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi dibuat secara seimbang, inklusif dan berkesan demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan ekonomi negara,” menurut kenyataan itu lagi.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/01/permohonan-skds-pengangkutan-darat-di-sabah-sarawak-labuan-dibuka-4-mei/feed/ 0 95921
Daftar SKDS sektor pengangkutan darat di Sabah, Sarawak dan Labuan dibuka 4 Mei https://sabahmedia.com/2026/04/26/daftar-skds-sektor-pengangkutan-darat-di-sabah-sarawak-dan-labuan-dibuka-4-mei/ https://sabahmedia.com/2026/04/26/daftar-skds-sektor-pengangkutan-darat-di-sabah-sarawak-dan-labuan-dibuka-4-mei/#respond Sun, 26 Apr 2026 07:23:21 +0000 https://sabahmedia.com/?p=95591
Read Time:1 Minute, 10 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Permohonan pendaftaran bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) untuk sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dibuka bermula 4 Mei 2026.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan itu adalah sebahagian daripada peluasan skim subsidi diesel seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof pada 6 April lalu.

Menurutnya, fasa awal peluasan berkenaan melibatkan permohonan pendaftaran bagi syarikat-syarikat pengangkutan darat barangan di ketiga-tiga wilayah terbabit.

“Melalui SKDS, kenderaan yang didaftarkan oleh syarikat pengangkutan darat barangan yang layak boleh menikmati subsidi diesel pada kadar ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Kempen Turun Harga di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Armizan berkata, kadar subsidi semasa bagi sektor pengangkutan darat barangan di bawah SKDS adalah RM2.15 seliter.

Katanya, pembelian diesel bersubsidi akan dilaksanakan menggunakan kaedah “fleet card” di mana syarikat yang layak dan telah berdaftar perlu memohon kad berkenaan daripada syarikat minyak pilihan masing-masing.

“Permohonan fleet card perlu disertakan dengan dokumen surat kelulusan serta senarai kenderaan yang boleh dicetak daripada sistem SKDS,” katanya.

Beliau berkata, butiran penuh berkaitan pelaksanaan pendaftaran akan diumumkan pada 1 Mei ini.

Sehubungan itu, pemilik syarikat disaran membuat persediaan awal dengan memastikan semua dokumen dan rekod berkaitan adalah lengkap, termasuk status pendaftaran syarikat yang masih aktif serta kenderaan dengan cukai jalan yang sah.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/04/26/daftar-skds-sektor-pengangkutan-darat-di-sabah-sarawak-dan-labuan-dibuka-4-mei/feed/ 0 95591