SM Maktab Sabah – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Fri, 28 Aug 2026 01:54:33 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png SM Maktab Sabah – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Pentas Orkestra UMS jadi medan bakat muda SM Maktab Sabah https://sabahmedia.com/2026/08/28/pentas-orkestra-ums-jadi-medan-bakat-muda-sm-maktab-sabah/ https://sabahmedia.com/2026/08/28/pentas-orkestra-ums-jadi-medan-bakat-muda-sm-maktab-sabah/#respond Fri, 28 Aug 2026 01:54:26 +0000 https://sabahmedia.com/?p=102366
Read Time:4 Minute, 34 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Rasa gementar bertukar menjadi keterujaan buat tiga pelajar Sekolah Menengah Maktab Sabah apabila mereka berpeluang berkongsi pentas bersama pemuzik Universiti Malaysia Sabah (UMS), dalam pengalaman yang disifatkan sebagai antara detik bermakna dalam perjalanan seni mereka.

Bagi Azyan Nur Batrisyia Jumatin, 17, pemain flute Pop Orkestra Maktab Sabah, peluang membuat persembahan bersama Orkestra UMS bukan sahaja menguji kemahirannya, malah menjadi pengiktirafan terhadap usaha yang dibina menerusi Kelab Orkestra sekolah.

“Saya rasa amat bertuah dan teruja diberikan peluang keemasan untuk membuat persembahan bersama Orkestra UMS.

“Pengiktirafan ini adalah satu penghormatan besar bagi perjalanan seni saya dan saya tidak sabar untuk berkongsi pentas serta bermain muzik bersama barisan pemuzik yang hebat pada masa akan datang,” katanya.

Pengalaman sama turut dirasai Nurul Maisarah Izzati Azman, 17, pemain alto saxophone Pop Orkestra Maktab Sabah, yang pada awalnya berasa segan untuk berlatih bersama pemuzik universiti yang lebih dewasa dan berpengalaman.

Bagaimanapun, katanya, sikap pemuzik UMS yang banyak berkongsi ilmu membantu meningkatkan keyakinan serta memberinya inspirasi untuk terus memperbaiki kemahiran.

“Melihat cara pemuzik UMS menjiwai muzik membuatkan saya rasa terinspirasi untuk membawa semangat yang sama apabila pulang berlatih di sekolah nanti,” katanya.

Bagi Qhairun Najeahah Aleesha Mohd Haniff, 17, pemain ukulele Maktab Sabah pula, pengalaman berkenaan membuka perspektif baharu terhadap peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang muzik.

Katanya, pengalaman bersama Orkestra UMS menyemarakkan hasratnya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang muzik, selain meningkatkan keyakinan bahawa bidang berkenaan mempunyai laluan pendidikan dan kerjaya yang luas.

Guru Muzik merangkap Ketua Panitia Pendidikan Muzik dan Ketua Penasihat Kelab Muzik Maktab Sabah, Shaafri Sakin berkata, program seperti Showcase Orkestra UMS memberi peluang kepada masyarakat melihat sendiri potensi dan bakat murid dalam bidang muzik orkestra.

Menurutnya, pendedahan berkenaan turut membuktikan pendidikan muzik bukan sekadar aktiviti kokurikulum, sebaliknya medium untuk membentuk disiplin, kerjasama, kreativiti dan keyakinan diri murid.

“Pendedahan seperti ini diharapkan dapat meningkatkan minat dan penghargaan masyarakat terhadap muzik serta pendidikan seni,” katanya ketika dihubungi Sabah Media.

Beliau berkata, program kolaborasi antara sekolah dan institusi pengajian tinggi seperti UMS juga wajar diteruskan dan diperluaskan kerana memberi peluang kepada murid mendapatkan pendedahan, berkongsi pengalaman serta meningkatkan kemahiran muzik.

Katanya, Maktab Sabah turut mempunyai jalinan kerjasama antarabangsa dengan Sekolah Menengah Musik Yogyakarta, Indonesia, khususnya dalam bidang pop orkestra dan keroncong.

“Murid juga telah mendapat peluang menyertai Solo Keroncong Festival di Surakarta, Indonesia, yang memberikan mereka pengalaman dan pendedahan dalam bidang muzik di peringkat antarabangsa.

“Saya berharap lebih banyak platform kolaborasi seperti ini dapat diwujudkan agar bakat muzik murid di Sabah dapat terus dicungkil, dibimbing dan dikembangkan sehingga mampu diketengahkan bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malah ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Shaafri berkata, Showcase Orkestra UMS bersama Maktab Sabah turut membawa mesej bahawa pendidikan muzik bukan semata-mata untuk melahirkan pemuzik, tetapi membantu membentuk murid yang berdisiplin, yakin diri, kreatif dan mampu bekerjasama.

Katanya, pengalaman membuat persembahan dalam suasana lebih profesional dapat membantu murid membina keyakinan terhadap kebolehan mereka.

“Saya berharap ibu bapa dan masyarakat terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada anak-anak yang mempunyai minat serta bakat dalam bidang muzik.

“Apabila diberikan peluang, bimbingan dan latihan yang berterusan, saya percaya bakat mereka boleh berkembang dan diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi, termasuk kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Cemerlang Maktab Sabah, Suhaimi Basri berkata, penyertaan 37 pelajar sekolah itu dalam Showcase Orkestra UMS merupakan pengiktirafan terhadap potensi dan keupayaan mereka dalam bidang muzik.

Menurutnya, peluang beraksi bersama pemuzik universiti bukan sekadar memberi pengalaman di atas pentas, malah membantu membentuk disiplin, kreativiti, kepimpinan, keyakinan diri dan semangat kerja berpasukan.

“Program seperti ini selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melahirkan murid yang berkembang secara holistik.

“Pendidikan muzik juga dapat membantu meningkatkan fokus, kreativiti dan kemahiran pengurusan masa, sekali gus menjadi pelengkap kepada kecemerlangan akademik,” katanya.

Beliau berkata, 37 pelajar terbabit terdiri daripada ahli Kelab Muzik dan pelajar SPM yang mengambil mata pelajaran Pendidikan Muzik, dengan pemilihan dibuat berdasarkan penguasaan alat muzik, komitmen dan kesediaan mengikuti latihan.

Katanya, latihan dilaksanakan secara berterusan di sekolah sebelum pelajar mengikuti bengkel bersama pemuzik UMS bagi memantapkan kemahiran dan membiasakan mereka dengan suasana persembahan lebih profesional.

“Cabaran utama adalah menyesuaikan pelajar dengan standard persembahan yang lebih tinggi, selain memastikan mereka bersedia dari segi teknikal, keyakinan diri dan disiplin latihan.

“Namun, pengalaman seperti ini penting kerana pelajar belajar mengawal rasa gementar, bekerjasama dan menyesuaikan diri dengan persekitaran persembahan sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Program Seni Muzik, Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), UMS, Dr Shahri Ramli berkata, Showcase Orkestra berkenaan menjadi platform pemindahan ilmu antara universiti dan sekolah, selain memperkukuh hubungan UMS dengan komuniti menerusi muzik.

Menurutnya, pelajar UMS berpeluang mengaplikasikan kemahiran ensembel, kepimpinan dan pengurusan teknikal pentas dalam situasi sebenar, manakala pelajar Maktab Sabah mendapat pendedahan kepada format orkestra yang lebih besar.

Katanya, Maktab Sabah dipilih sebagai rakan kolaborasi kerana mempunyai tradisi seni persembahan dan aktiviti kokurikulum muzik yang dinamik serta melahirkan ramai bakat muda berpotensi.

Suhaimi berkata, pihak sekolah juga terbuka untuk memperluaskan jaringan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan organisasi seni termasuk Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta institusi antarabangsa seperti Sekolah Menengah Musik Yogyakarta, Indonesia.

Katanya, lebih banyak peluang pendedahan diperlukan bagi membantu pelajar mengembangkan bakat mereka, namun matlamat utama sekolah kekal untuk melahirkan generasi yang seimbang dari segi akademik, kokurikulum, sahsiah dan kemahiran insaniah.

“Sekiranya bakat mereka berkembang sehingga mampu mengharumkan nama Sabah dan Malaysia, sudah tentu itu menjadi satu kebanggaan kepada sekolah,” katanya.

Bengkel dan Showcase Orkestra berkenaan berlangsung di ASTiF, UMS pada 18 Julai lalu, dengan penyertaan pelajar dan pemuzik daripada kedua-dua institusi.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/28/pentas-orkestra-ums-jadi-medan-bakat-muda-sm-maktab-sabah/feed/ 0 102366