smj 2.0 – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Fri, 17 Apr 2026 02:39:11 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png smj 2.0 – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Kerjasama kerajaan negeri, IEM penting jayakan agenda SMJ 2.0 https://sabahmedia.com/2026/04/17/kerjasama-kerajaan-negeri-iem-penting-jayakan-agenda-smj-2-0/ https://sabahmedia.com/2026/04/17/kerjasama-kerajaan-negeri-iem-penting-jayakan-agenda-smj-2-0/#respond Fri, 17 Apr 2026 02:39:06 +0000 https://sabahmedia.com/?p=95020
Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU: Kerjasama antara kerajaan negeri dan badan profesional dalam bidang kejuruteraan amat penting bagi menyokong pelaksanaan agenda pembangunan Sabah di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 secara lebih efisien.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata peranan jurutera dan tenaga pakar teknikal perlu diperkasa dalam merancang serta melaksanakan projek infrastruktur yang mampan, berkualiti dan berdaya tahan.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi Institut Jurutera Malaysia (IEM) Sabah di pejabatnya, di sini pada Khamis.

Menurutnya, kepakaran serta pandangan profesional IEM penting dalam membantu kerajaan negeri memastikan setiap projek memenuhi keperluan semasa, selain mengambil kira cabaran masa depan seperti perubahan iklim, keselamatan dan kecekapan kos.

“IEM berperanan penting dalam membantu merealisasikan aspirasi SMJ 2.0 melalui sumbangan kepakaran teknikal, inovasi serta amalan kejuruteraan terbaik.

“Pada masa sama, usaha melahirkan lebih ramai jurutera tempatan berkemahiran tinggi perlu diperkasa bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri yang semakin pesat,” katanya.

Masidi turut menegaskan pendekatan kolaboratif antara sektor awam dan swasta merupakan antara teras utama dalam memperkukuh pelaksanaan SMJ 2.0, yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi inklusif, pembangunan modal insan serta pengukuhan infrastruktur asas di seluruh negeri.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi IEM Sabah, Ir. Ts. Tan Kok Jyh, menyatakan komitmen pihaknya untuk terus menyokong usaha kerajaan negeri melalui perkongsian kepakaran teknikal, khidmat nasihat serta penglibatan aktif dalam projek strategik.

Katanya, kunjungan itu turut membuka ruang perbincangan mengenai potensi kerjasama dalam bidang kejuruteraan, termasuk pembangunan infrastruktur hijau, pendigitalan serta penggunaan teknologi baharu dalam sektor pembinaan dan tenaga.

Pertemuan tersebut mencerminkan kesungguhan kedua-dua pihak dalam memperkukuh sinergi bagi memastikan agenda pembangunan Sabah di bawah SMJ 2.0 dapat dilaksanakan secara lebih berkesan, mampan dan inklusif.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/04/17/kerjasama-kerajaan-negeri-iem-penting-jayakan-agenda-smj-2-0/feed/ 0 95020
Ekonomi Biru pacu pertumbuhan baharu Sabah di bawah SMJ 2.0 https://sabahmedia.com/2026/04/09/ekonomi-biru-pacu-pertumbuhan-baharu-sabah-di-bawah-smj-2-0/ https://sabahmedia.com/2026/04/09/ekonomi-biru-pacu-pertumbuhan-baharu-sabah-di-bawah-smj-2-0/#respond Thu, 09 Apr 2026 07:07:51 +0000 https://sabahmedia.com/?p=94573
Read Time:2 Minute, 19 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Sabah memperkukuh struktur ekonominya dengan menjadikan Ekonomi Biru sebagai pemacu baharu di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, selaras usaha melonjakkan pertumbuhan bernilai tinggi, inklusif dan mampan berasaskan kekuatan maritim negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pendekatan itu berteraskan kelebihan maritim serta kekayaan biodiversiti Sabah, merangkumi sektor strategik seperti perikanan moden, akuakultur, bioteknologi marin, logistik maritim dan pelancongan berasaskan alam semula jadi.

“Pendekatan ini selari dengan teras pemerkasaan ekonomi rakyat, keseimbangan wilayah, inovasi dan kelestarian alam sekitar yang menjadi tunjang SMJ 2.0,” katanya ketika merasmikan Majlis TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, pelan berkenaan diunjurkan mampu menjana pendapatan hasil laut sehingga RM3.25 bilion setahun menerusi sektor perikanan dan akuakultur, sekali gus membuka ruang pertumbuhan baharu kepada ekonomi negeri.

Menurutnya, sektor itu terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila menyumbang sebanyak RM9.18 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara sehingga suku ketiga 2025, dengan pengeluaran hasil laut melebihi 1.91 juta tan metrik bernilai kira-kira RM6.05 bilion.

Mengulas pencapaian pembangunan negeri, beliau berkata pelaksanaan SMJ 1.0 (2021–2025) berjaya meletakkan asas kukuh kepada pemulihan ekonomi Sabah serta meningkatkan kesejahteraan rakyat walaupun berdepan ketidaktentuan global.

“Sepanjang tempoh itu, Sabah mencatat sejarah apabila kutipan hasil negeri hampir RM7 bilion buat pertama kali, dengan RM6.96 bilion pada 2022, RM6.97 bilion pada 2023 dan kekal kukuh sebanyak RM6.76 bilion pada 2025,” katanya.

Beliau berkata, prestasi itu turut disokong peningkatan KDNK negeri yang mencapai RM84.3 bilion pada 2024 berbanding RM77.8 bilion pada 2020, sekali gus menempatkan Sabah sebagai penyumbang ketujuh terbesar kepada ekonomi negara.

Katanya, unjuran KDNK bagi 2025 dijangka terus berkembang sekitar 1.5 peratus, mencerminkan momentum pertumbuhan ekonomi negeri yang kekal stabil.

Menurutnya, kejayaan SMJ 1.0 memberi keyakinan bahawa Sabah berada pada landasan tepat, seterusnya mendorong pelaksanaan SMJ 2.0 yang menuntut anjakan menyeluruh termasuk perubahan cara berfikir, bekerja dan mencipta nilai baharu untuk rakyat.

“Hala tuju ini juga diselaraskan dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri sehingga 2030,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata penganjuran program TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 membuktikan peranan penting Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sebagai pemudah cara dalam memperkasa pembangunan ekonomi Bumiputera di Sabah.

Beliau berkata, program berkenaan bukan sahaja menyediakan akses kepada pembiayaan dan pembangunan kapasiti, malah membuka peluang jaringan perniagaan lebih luas kepada usahawan tempatan.

“Platform ini juga menjadi jambatan yang menghubungkan dasar kerajaan dengan pelaksanaan di peringkat akar umbi, sekali gus memastikan manfaat pembangunan dapat disampaikan secara lebih menyeluruh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru usahawan Bumiputera di negeri ini agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan, termasuk meneroka sektor baharu seperti Ekonomi Biru yang mempunyai potensi besar jika dibangunkan secara strategik.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/04/09/ekonomi-biru-pacu-pertumbuhan-baharu-sabah-di-bawah-smj-2-0/feed/ 0 94573
SMJ 2.0 pacu lonjakan ekonomi inklusif Sabah https://sabahmedia.com/2026/02/10/smj-2-0-pacu-lonjakan-ekonomi-inklusif-sabah/ https://sabahmedia.com/2026/02/10/smj-2-0-pacu-lonjakan-ekonomi-inklusif-sabah/#respond Mon, 09 Feb 2026 22:24:48 +0000 https://sabahmedia.com/?p=91342
Read Time:2 Minute, 4 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus memperkasa pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) sebagai fasa lonjakan baharu bagi memacu daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi negeri, sekali gus memastikan kemakmuran dapat dinikmati secara inklusif oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata SMJ 2.0 bukan sekadar kesinambungan kepada pelan pembangunan sebelum ini, sebaliknya menjadi pemangkin perubahan menyeluruh yang menuntut peningkatan keupayaan diri, termasuk perubahan cara berfikir, bekerja serta mencipta nilai baharu demi kesejahteraan rakyat Sabah.

“SMJ 2.0 adalah fasa lonjakan ke hadapan yang menekankan pembangunan ekonomi, pemerkasaan modal insan dan kesejahteraan rakyat. Perpaduan kekal sebagai kunci utama kepada kestabilan serta kemakmuran negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Tahun Baharu Cina 2026 di Dataran Deasoka, di sini, pada Isnin.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Rubin Balang.

Ketua Menteri berkata, kejayaan pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0 memberi keyakinan bahawa Sabah berada di landasan tepat, manakala SMJ 2.0 pula dirangka selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Menurutnya, pendekatan pembangunan berterusan itu penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta mampu menangani cabaran masa depan secara lebih strategik dan bersepadu.

Hajiji turut menegaskan bahawa kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat berbilang kaum merupakan asas kekuatan sosial Sabah yang perlu terus dipelihara.

“Karnival seperti ini mencerminkan keunikan Sabah sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya, di mana setiap perayaan diraikan bersama dalam semangat saling menghormati dan muhibah,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan inklusif kerajaan negeri selari dengan aspirasi membina sebuah Sabah yang aman, bersatu padu dan sejahtera untuk semua.

Hajiji turut mengiktiraf peranan penting masyarakat Cina sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri, khususnya dalam sektor ekonomi, keusahawanan, pendidikan dan pemeliharaan warisan budaya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri akan terus menyokong inisiatif serta penglibatan aktif pertubuhan masyarakat Cina sebagai rakan pelaksana agenda pembangunan Sabah di bawah kerangka Sabah Maju Jaya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Gabungan Persatuan Cina Sabah yang menghimpunkan lebih 160 persatuan dari seluruh negeri dan Wilayah Persekutuan Labuan atas sumbangan berterusan dalam menjayakan pelbagai program kemasyarakatan.

Menurutnya, kerjasama erat antara kerajaan dan pertubuhan masyarakat tanpa mengira kaum amat penting bagi memastikan dasar pembangunan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

Hajiji turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina 2026 kepada seluruh masyarakat Cina di Sabah, sambil berharap sambutan perayaan itu terus menjadi pemangkin kepada perpaduan, keharmonian dan kemajuan bersama demi masa depan negeri yang lebih cemerlang.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/02/10/smj-2-0-pacu-lonjakan-ekonomi-inklusif-sabah/feed/ 0 91342
Pembangunan modal insan, infrastruktur dan Ekonomi Biru teras SMJ 2.0 https://sabahmedia.com/2026/01/30/pembangunan-modal-insan-infrastruktur-dan-ekonomi-biru-teras-smj-2-0/ https://sabahmedia.com/2026/01/30/pembangunan-modal-insan-infrastruktur-dan-ekonomi-biru-teras-smj-2-0/#respond Fri, 30 Jan 2026 08:28:10 +0000 https://sabahmedia.com/?p=90684
Read Time:2 Minute, 33 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Pembangunan modal insan, kesejahteraan rakyat, pengukuhan infrastruktur serta kelestarian hijau digariskan sebagai teras utama pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi memastikan pembangunan negeri yang inklusif dan mampan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pembangunan modal insan diberi keutamaan dengan peruntukan sebanyak RM164.01 juta, meliputi peluasan biasiswa dan bantuan pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), latihan pertanian serta literasi kecerdasan buatan (AI).

Menurutnya, SMJ 2.0 turut meneruskan pelbagai bantuan pendidikan, termasuk 14 jenis bantuan bernilai RM203.4 juta, manakala peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) meningkat daripada RM55 juta pada 2021 kepada RM145 juta pada 2025.

Katanya, seramai 480,000 pelajar menerima manfaat bantuan pendidikan kerajaan negeri, termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) bagi tujuan permohonan biasiswa serta kemasukan ke dalam perkhidmatan awam.

“Program Rumah Mesra SMJ telah dapat dimanfaatkan oleh seramai 7,482 penerima dan diteruskan dengan 50 unit setiap kawasan DUN tahun ini, khusus untuk golongan miskin, miskin tegar dan pasangan muda baru berkahwin.

“Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) diperluas daripada 100,000 kepada 140,000 penerima dengan peruntukan sebanyak RM339.16 juta pada tahun ini, selari bantuan Kerajaan Persekutuan seperti Sumbangan Asas Rahmah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sabah dan Pelancaran SMJ 2.0 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Jumaat.

Hajiji berkata, di bawah teras Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, sebanyak RM6.8 bilion diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) bagi pembangunan infrastruktur, utiliti dan tenaga lestari.

Menurutnya, peruntukan itu meliputi projek strategik seperti Lebuh Raya Pan Borneo, pembinaan serta naik taraf loji rawatan air, pengukuhan grid elektrik, selain pembangunan projek Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC), hidroelektrik dan penjanaan tenaga biru.

Katanya, kerajaan negeri turut memperluas infrastruktur digital menerusi pelaksanaan Pusat e-Desa, Very Small Aperture Terminal (VSAT) dan Starlink, selari agenda kerajaan digital berteraskan AI.

Dalam aspek kelestarian hijau, beliau berkata sebanyak RM672.05 juta diperuntukkan bagi perlindungan biodiversiti, pemuliharaan alam sekitar serta tindak balas terhadap perubahan iklim, dengan sasaran mencapai 30 peratus Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) menjelang 2030.

Hajiji berkata, Ekonomi Biru diangkat sebagai pemacu strategik SMJ 2.0 merangkumi pembangunan bioteknologi marin, perikanan pintar, marikultur moden, logistik dan pelancongan lestari, selain memanfaatkan sungai sebagai nadi ekonomi luar bandar.

Menurutnya, kerajaan memperkenalkan inisiatif Blue Financing menerusi memorandum persefahaman (MoU) bersama Maybank bagi penerbitan Sukuk Biru bernilai RM1 bilion, dengan jumlah permulaan RM300 juta, bagi memudahkan syarikat terlibat mendapatkan kemudahan pembiayaan.

Hajiji menegaskan kejayaan SMJ 2.0 bergantung kepada peranan penjawat awam sebagai nadi utama pelaksanaan dasar, dengan kecekapan, integriti dan disiplin menjadi penentu sejauh mana pembangunan diterjemahkan kepada hasil yang benar-benar dirasai rakyat.

Beliau turut menegaskan kerajaan negeri tidak akan kembali kepada pendekatan lama, sebaliknya akan terus membuat keputusan berlandaskan kepentingan jangka panjang Sabah, walaupun ada yang dilihat tidak popular.

“Kejayaan SMJ 2.0 adalah amanah bersama, memastikan peluang pekerjaan diwujudkan, pelaburan strategik diteruskan, dan pendapatan negeri diurus secara cekap, telus dan bertanggungjawab kepada rakyat sekarang dan generasi akan datang,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/01/30/pembangunan-modal-insan-infrastruktur-dan-ekonomi-biru-teras-smj-2-0/feed/ 0 90684
SMJ 2.0 bukti kesediaan kerajaan pimpin lonjakan ekonomi Sabah https://sabahmedia.com/2026/01/30/smj-2-0-bukti-kesediaan-kerajaan-pimpin-lonjakan-ekonomi-sabah/ https://sabahmedia.com/2026/01/30/smj-2-0-bukti-kesediaan-kerajaan-pimpin-lonjakan-ekonomi-sabah/#respond Fri, 30 Jan 2026 07:39:24 +0000 https://sabahmedia.com/?p=90674
Read Time:3 Minute, 24 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melancarkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 dengan sasaran melonjakkan daya saing, produktiviti serta nilai ekonomi negeri secara menyeluruh.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata SMJ 2.0 merupakan kesinambungan kepada SMJ 1.0 yang memberi tumpuan kepada usaha pemulihan, penstabilan dan penyusunan semula pasca pandemik Covid-19 serta selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

“SMJ 2.0 bukan sekadar pelan pembangunan. Ia bukti komitmen kerajaan memimpin perubahan dalam dunia yang bergerak pantas, dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, perdagangan rentas sempadan dan persaingan global.

“SMJ 2.0 dirangka melalui libat urus menyeluruh melibatkan Kabinet Negeri, kementerian, pemain industri, golongan belia dan seluruh lapisan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sabah dan Pelancaran SMJ 2.0 di Sabah, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Jumaat.

Hajiji berkata, Belanjawan Negeri 2026 memperuntukkan RM12.02 bilion bagi membiayai 1,173 program dan projek pembangunan, jumlah tertinggi dalam sejarah Sabah, sejajar dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) serta aspirasi Malaysia MADANI.

Menurutnya, SMJ 2.0 turut dirangka selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memastikan pembangunan yang mampan serta kesejahteraan sosial jangka panjang.

“Pelan tersebut mengangkat komitmen dan manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN ke-17, berpaksikan empat tonggak utama iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United. Lima objektif utama SMJ 2.0 adalah membina masyarakat yang bersatu dan aman, mengoptimumkan hasil negeri, mempelbagaikan ekonomi, meningkatkan ekonomi rakyat serta membangunkan modal insan,” katanya.

Ketua Menteri menjelaskan, pelaksanaan SMJ 2.0 digerakkan melalui tiga teras utama iaitu Sektor Pertumbuhan Ekonomi yang memfokuskan perindustrian, pelancongan dan pertanian; Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat merangkumi pendidikan, TVET, STEM serta latihan pertanian dan digital; serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau meliputi infrastruktur asas, tenaga lestari dan pemeliharaan alam sekitar.

Menurutnya, ketiga-tiga teras berkenaan disokong oleh tumpuan kepada Ekonomi Biru, pendigitalan AI dan pembangunan inklusif, selain dipacu oleh lima pemboleh daya utama iaitu kemampanan fiskal, kemudahan kewangan, keberkesanan perkhidmatan, tadbir urus berintegriti dan Kerajaan digital.

Dalam sektor perindustrian, Hajiji berkata Sabah berjaya menarik pelaburan bernilai puluhan bilion ringgit, termasuk projek Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd. bernilai RM31 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (SOGIP), Sipitang, yang dijangka mewujudkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta memperkukuh rantaian bekalan industri keluli negeri.

“Selain itu, kerajaan akan mempercepatkan pembangunan dan naik taraf taman perindustrian strategik di KKIP, SOGIP dan POIC Lahad Datu, di samping merangka Pelan Induk Perindustrian Kudat berteraskan Ekonomi Biru. Dua taman perindustrian baharu turut dirancang di Kota Belud–Kota Marudu serta Beaufort–Kimanis bagi memperluas peluang pembangunan wilayah,”ujarnya.

Tambah beliau, Inisiatif SME-UP menyasarkan 600 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), termasuk pembangunan sistem data perkilangan dan Program Sabah Ready to Eat (RTE) bagi memperluas pasaran produk tempatan.

Hajiji turut memaklumkan sektor pelancongan Sabah menunjukkan pemulihan yang amat memberangsangkan dengan hampir 10 juta pelancong direkodkan dalam tempoh lima tahun.

“Selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Visit Sabah Year 2027, kerajaan memberi penekanan kepada pelancongan berkualiti tinggi, produk premium, penganjuran acara antarabangsa serta pematuhan piawaian perkhidmatan global termasuk ASEAN Tourism Standard menjelang 2030.

“Manakala dalam usaha pemeliharaan warisan, budaya dan alam sekitar diperkukuh melalui pembangunan Pusat Kebudayaan Kinarut, Majlis Seni Negeri Sabah, tapak Warisan Dunia UNESCO dan Taman Teluk Darvel, dengan peruntukan RM444.69 juta di bawah RMK-13,” katanya.

Hajiji berkata, sektor pertanian kekal sebagai teras strategik SMJ 2.0 merangkumi subsektor tanaman, ternakan dan perikanan, dengan peruntukan RM580.45 juta di bawah RMK-13.

“Sasaran tahap sara diri (SSL) beras meningkat daripada 30 peratus kepada 60 peratus menjelang 2030 melalui Program Revolusi Padi di enam daerah, penyediaan jentera moden bernilai RM15 juta serta pembangunan Sabah Agricultural Biotechnology Centre (SABTeC) di Tuaran.

“Subsektor ternakan pula menyasarkan 25 peratus SSL ruminan menjelang 2030 melalui Program Perladangan Kontrak, manakala sektor perikanan dipacu menerusi Ekonomi Biru Sabah dengan peningkatan pendaratan ikan, kemudahan pelabuhan serta pembangunan rantaian hiliran,” jelasnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/01/30/smj-2-0-bukti-kesediaan-kerajaan-pimpin-lonjakan-ekonomi-sabah/feed/ 0 90674
SMJ 2.0: Lima tahun fasa kritikal tentukan kejayaan kerajaan GRS – Azrul https://sabahmedia.com/2026/01/28/smj-2-0-lima-tahun-fasa-kritikal-tentukan-kejayaan-kerajaan-grs-azrul/ https://sabahmedia.com/2026/01/28/smj-2-0-lima-tahun-fasa-kritikal-tentukan-kejayaan-kerajaan-grs-azrul/#respond Wed, 28 Jan 2026 12:55:52 +0000 https://sabahmedia.com/?p=90563
Read Time:1 Minute, 50 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh lima tahun akan datang menjadi fasa paling kritikal untuk menilai keberkesanan pentadbiran Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Ketua Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sabah, Azrul Ibrahim berkata SMJ 2.0 merupakan kesinambungan hala tuju pembangunan negeri sejak 2020 dan kini memasuki fasa penentu kepercayaan rakyat.

Menurutnya, rakyat Sabah akan menilai kerajaan secara langsung berdasarkan keupayaan menyelesaikan isu asas yang telah membelenggu negeri sejak sekian lama, khususnya bekalan air, tenaga elektrik dan jaringan jalan raya.

“Tempoh lima tahun ini bukan tempoh percubaan. Ini tempoh untuk kerajaan membuktikan bahawa ia benar-benar berfungsi, cakna dan mampu menoktahkan isu legasi yang diwarisi sejak merdeka,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Menara Kinabalu di sini, hari ini.

Azrul berkata momentum pelaksanaan projek infrastruktur yang sedang berjalan ketika ini menunjukkan petanda positif bahawa isu-isu asas rakyat dapat diselesaikan secara tuntas menjelang tamat penggal pentadbiran.

Dalam pada itu, Azrul turut menegaskan kerajaan negeri meletakkan penyelesaian isu bekalan air, jalan raya dan tenaga elektrik sebagai keutamaan utama dalam pelaksanaan SMJ 2.0 bagi memastikan kualiti hidup rakyat Sabah dapat dipertingkatkan.

katanya, setakat ini 18 projek bekalan air sedang dilaksanakan di seluruh negeri, termasuk Loji Rawatan Air Kogopon 2 di Papar yang dijangka siap pada Ogos 2026 serta Empangan Cinta Mata di Tawau yang akan siap dalam masa terdekat.

“Selain itu, projek air berskala besar turut dilaksanakan di Sandakan, Lahad Datu, Pitas dan beberapa kawasan lain bagi menambah kapasiti serta menstabilkan bekalan,” katanya.

Dalam aspek infrastruktur jalan raya, Azrul berkata kesemua 35 pakej projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A dan 1B telah mula dilaksanakan hasil kerjasama strategik kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Kita optimis keseluruhan jajaran Pan Borneo Highway dapat disiapkan dalam tempoh lima tahun, malah lebih awal jika pelaksanaan berjalan lancar,” katanya.

Bagi sektor tenaga pula, beliau berkata Suruhanjaya Tenaga Sabah dan Sabah Electricity sedang giat melaksanakan pelbagai projek termasuk pembangunan tenaga boleh diperbaharui, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) serta projek gas dan hidro.

Menurutnya, penyambungan grid elektrik Sabah–Sarawak yang mula beroperasi baru-baru ini dijangka menambah kapasiti dan margin bekalan elektrik bagi menstabilkan tenaga di negeri ini.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/01/28/smj-2-0-lima-tahun-fasa-kritikal-tentukan-kejayaan-kerajaan-grs-azrul/feed/ 0 90563
SMJ 2.0: Sabah tetapkan hala tuju sendiri https://sabahmedia.com/2026/01/27/smj-2-0-sabah-tetapkan-hala-tuju-sendiri/ https://sabahmedia.com/2026/01/27/smj-2-0-sabah-tetapkan-hala-tuju-sendiri/#respond Tue, 27 Jan 2026 09:57:47 +0000 https://sabahmedia.com/?p=90479
Read Time:2 Minute, 59 Second

KOTA KINABALU: Sabah tekad bergerak sebagai sebuah negeri yang yakin, berdaya saing dan dihormati, bukan sahaja dalam Malaysia malah di peringkat antarabangsa.

Pelancaran Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 pada 30 Januari ini menjadi penanda aras baharu komitmen kerajaan negeri untuk memastikan kesinambungan dasar, kestabilan pentadbiran dan penyampaian pembangunan yang lebih berkesan demi kepentingan rakyat Sabah.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Ceasar Mandela Malakun berkata, sejak sekian lama rakyat Sabah diminta bersabar dan menerima pelbagai kekangan dengan harapan kemajuan akan tiba mengikut masa, namun masa semata-mata tidak mampu membina masa depan tanpa keputusan yang tepat dan pelaksanaan yang berkesan.

Menurutnya, SMJ 2.0 merupakan isyarat jelas bahawa Sabah tidak lagi mahu hanya ‘mengikut arus’ tetapi Sabah kini bersedia menentukan hala tuju sendiri, dipandu oleh keyakinan, daya saing dan keazaman untuk dihormati di peringkat nasional serta antarabangsa.

“Sabah tidak pernah kekurangan bakat atau sumber. Apa yang sering menjadi cabaran ialah kesinambungan. Tanpa kestabilan, institusi sukar matang, projek terbantut dan pembaharuan gagal memberi impak sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketidakstabilan politik sebelum ini telah menyebabkan perubahan keutamaan secara mendadak, sekali gus mengakibatkan rakyat Sabah menanggung kesan kerugian, termasuk kehilangan momentum projek infrastruktur utama seperti Lebuhraya Pan Borneo selepas pembatalan model Project Delivery Partner oleh pentadbiran terdahulu.

Lebih membimbangkan, katanya, keputusan menamatkan secara tidak sah sembilan operator loji rawatan air (LRA) di seluruh Sabah telah menyebabkan kerajaan negeri terpaksa membayar pampasan dan ganti rugi berjumlah RM315 juta.

“Jumlah itu boleh digunakan untuk membina lebih 3,000 unit Rumah Mesra SMJ bagi golongan miskin tegar. Tiga ribu keluarga yang sepatutnya menikmati kediaman sendiri. Inilah harga keputusan tergesa-gesa tanpa kesinambungan,” jelasnya.

Datuk Ceasar berkata, SMJ 1.0 sebelum ini memberi tumpuan kepada usaha menstabilkan pentadbiran, memulihkan keyakinan rakyat, memperkemas penyelarasan, mengukuhkan disiplin kewangan serta menetapkan keutamaan pembangunan yang jelas.

“Rumah tidak boleh dibesarkan jika tiangnya masih retak. SMJ 1.0 adalah fasa asas,” katanya.

Menurut beliau, SMJ 2.0 kini membawa Sabah ke fasa transformasi, dengan penekanan kepada pembaikan menyeluruh, pembinaan berfokus serta pengukuran prestasi berdasarkan hasil yang benar-benar dapat dilihat dan dirasai rakyat.

SMJ 2.0, katanya, berteraskan prinsip Rumah Kita, Kita Jaga, yang meletakkan kepentingan Sabah sebagai keutamaan, mempertahankan hak negeri serta membentuk pembangunan oleh rakyat Sabah untuk masa depan Sabah.

Hala tuju pembangunan ini dipandu oleh empat teras utama iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.

Sabah First menekankan keperluan harian rakyat serta hak Sabah yang tidak boleh diketepikan, manakala Sabah Forward memfokuskan kesiapsiagaan menghadapi ekonomi masa depan melalui pembangunan kemahiran, keupayaan digital dan industri baharu bernilai tinggi.

Sabah Prosper pula memastikan kemajuan dirasai secara menyeluruh, perkhidmatan asas berfungsi dengan baik, pendapatan rakyat meningkat serta peluang ekonomi yang nyata diwujudkan, sementara Sabah United menekankan kepentingan kestabilan, perpaduan dan keyakinan dalam kepelbagaian masyarakat Sabah.

Mengulas peranan generasi muda, Datuk Ceasar berkata anak muda Sabah tidak menuntut keistimewaan, sebaliknya peluang yang adil untuk mendapatkan pekerjaan berkualiti, kemahiran relevan, kos sara hidup yang lebih mampu serta keyakinan membina masa depan di negeri sendiri.

Beliau turut menegaskan kepimpinan stabil Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, sebagai faktor penting yang memastikan Sabah kekal stabil ketika ketidakstabilan lebih mudah berlaku.

“Kestabilan bukan matlamat akhir, tetapi asas kepada hasil yang nyata. SMJ 2.0 adalah usaha menukar kestabilan kepada momentum, dan momentum kepada penyampaian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pelancaran SMJ 2.0 bukan sekadar pengenalan satu dokumen dasar, sebaliknya penetapan haluan baharu Sabah yang berteraskan maruah, dipacu prestasi dan diperkukuh melalui perpaduan.

“Percaya pada Sabah. Yakin pada kepimpinan yang stabil. Mari kita maju bersama,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/01/27/smj-2-0-sabah-tetapkan-hala-tuju-sendiri/feed/ 0 90479
Kemerosotan Sentimen Perniagaan Sabah Dijangka Pulih Melalui Belanjawan 2026 https://sabahmedia.com/2025/12/16/kemerosotan-sentimen-perniagaan-sabah-dijangka-pulih-melalui-belanjawan-2026/ https://sabahmedia.com/2025/12/16/kemerosotan-sentimen-perniagaan-sabah-dijangka-pulih-melalui-belanjawan-2026/#respond Tue, 16 Dec 2025 02:44:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=88348
Read Time:3 Minute, 19 Second

oleh Wan Azrain Adnan

KOTA KINABALU, 15 Kemerosotan sentimen optimis dalam kalangan komuniti perniagaan di Sabah yang direkodkan pada Suku Keempat 2025 dijangka dapat dipulihkan menerusi pelaksanaan Belanjawan Sabah 2026 yang memberi penekanan kepada pemacuan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat

Laporan Statistik Kecenderungan Perniagaan Suku Keempat 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Petunjuk Keyakinan perniagaan di Sabah merosot dengan ketara daripada +8.2 peratus pada Suku Ketiga kepada +0.9 peratus pada Suku Keempat.

Secara umum, laporan DOSM ini mencerminkan jangkaan prestasi perniagaan bagi tempoh enam bulan, iaitu dari Oktober 2025 hingga Mac 2026

kemerosotan sentimen di Sabah berlaku ketika Petunjuk Keyakinan nasional mencatat peningkatan memberangsangkan daripada +0.1 peratus kepada +6.2 peratus, iaitu paras tertinggi bagi tahun 2025 dan tertinggi sejak 2023.

Sepanjang tahun 2025, Sabah merekodkan pergerakan Petunjuk Keyakinan yang turun naik, iaitu +7.5 peratus, -0.3 peratus, +8.2 peratus dan +0.9 peratus, mencerminkan perubahan sentimen komuniti perniagaan yang berdepan pelbagai cabaran semasa.

Dalam konteks ini, Belanjawan Sabah 2026 yang dibentangkan minggu lalu berpotensi melonjakkan kembali keyakinan komuniti perniagaan

Bagi tahun 2026, Kerajaan Sabah memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM6.402 bilion bagi merancakkan pembangunan ekonomi dan sosial negeri.

Dalam pada itu, ekonomi Sabah dijangka berkembang pada kadar sederhana 2 peratus pada tahun 2026, berbanding pertumbuhan perlahan 1.1 peratus pada 2024, dipacu terutamanya oleh sektor Perkhidmatan.

Ketika ini, sektor Perkhidmatan menyumbang 52.4 peratus kepada ekonomi Sabah, diikuti Perlombongan dan Pengkuarian (22 peratus), Pertanian (14.5 peratus), Pembuatan (7.2 peratus) dan Pembinaan (3.5 peratus).

Dalam tempoh enam bulan pertama 2025, sektor Pembuatan menerima pelaburan tertinggi berjumlah RM7.472 bilion, diikuti sektor Perkhidmatan (RM3.139 bilion) dan Sektor Utama meliputi Perindustrian, Pelancongan serta Pertanian (RM757 juta).

“Secara keseluruhan, Sabah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM11.368 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, berbanding RM6.458 bilion bagi keseluruhan tahun 2024,”

Selari dengan tonggak utama Belanjawan Sabah 2026 untuk mempercepatkan pembangunan sektor produktif dan menarik pelaburan, kerajaan negeri memperuntukkan RM249.19 juta bagi inisiatif berkaitan.

Jumlah PeruntukanInisiatif
RM 5 jutaProgram Keusahawanan Negeri:  meningkatkan daya saing usahawan IKS Sabah ke peringkat nasional dan antarabangsa
RM 16.86 juta  Menyertai ekspo di dalam dan luar negara bagi mengembangkan pasaran produk-produk usahawan IKS Sabah ke luar negeri
RM 18.55 jutaPelbagai program pembangunan usahawan tempatan Sabah
RM 15 jutaProgram Bantuan SME-UP bagi meningkatkan kapasiti dan produktiviti usahawan IKS

Antara tumpuan utama ialah pembangunan usahawan, dengan peruntukan RM5 juta bagi Program Keusahawanan Negeri, RM16.86 juta untuk penyertaan ekspo dalam dan luar negara, RM18.55 juta bagi pelbagai program pembangunan usahawan tempatan serta RM15 juta untuk Program Bantuan SME-UP.

Kerajaan negeri turut menyediakan RM43.53 juta bagi pembangunan infrastruktur dan utiliti di taman-taman perindustrian utama termasuk Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), POIC Lahad Datu dan Sabah Oil and Gas Industrial Park (SOGIP).

Bagi merancakkan sektor pelancongan, sebanyak RM174.45 juta diperuntukkan sebagai persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan perancangan Tahun Melawat Sabah 2027, termasuk penambahbaikan fasiliti pelancongan serta pembinaan dan naik taraf muzium.

Sepanjang Tahun Melawat Malaysia 2026, Sabah mensasarkan ketibaan 3.7 juta pelancong dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM9.1 bilion.

Pelaksanaan inisiatif ini turut disokong oleh penambahbaikan dua lapangan terbang utama di Sabah, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu yang dijangka siap pada 2027 dan Lapangan Terbang Tawau pada 2028.

Ketika ini, Sabah menerima 447 penerbangan domestik dan 117 penerbangan antarabangsa setiap minggu.

Selain itu, Belanjawan Sabah 2026 memperuntukkan RM1.656 bilion kepada Kementerian Kerja Raya dan Utiliti bagi menangani isu infrastruktur, air, elektrik serta jaringan jalan raya.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pula, Jabatan Air Sabah disediakan siling peruntukan RM1.77 bilion melibatkan 77 projek, manakala Jabatan Kerja Raya menerima siling RM2.67 bilion bagi 173 projek pembangunan.

Usaha ini turut disokong oleh projek pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sepangar yang akan meningkatkan kapasiti pengendalian kargo kepada 1.25 juta TEU.

“Kesemua inisiatif ini dijangka terus mendokong perdagangan Sabah yang kekal melepasi RM100 bilion bagi tiga tahun berturut-turut dari 2022 hingga 2024

]]>
https://sabahmedia.com/2025/12/16/kemerosotan-sentimen-perniagaan-sabah-dijangka-pulih-melalui-belanjawan-2026/feed/ 0 88348