SANDAKAN: Seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan negeri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki mengemukakan dua dokumen mengandungi butir matan palsu bagi tuntutan perbelanjaan berjumlah kira-kira RM15,000.
Suspek wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi Selasa ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan.
Siasatan awal mendapati suspek disyaki mengemukakan dokumen berkaitan tuntutan perbelanjaan mesyuarat serta perbelanjaan sempena lawatan kerja pegawai kanan sebuah kementerian, yang dipercayai berlaku sekitar 2023 dan 2024.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Suspek dijadualkan dituduh pada 8 Oktober 2026 di Mahkamah Sesyen Rasuah Sandakan.
]]>KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua lelaki, termasuk seorang penjawat awam dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO), kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM18,000.
Kedua-dua suspek dipercayai menerima wang berkenaan sebagai balasan untuk memudahkan operasi perlombongan emas sebuah syarikat di salah sebuah daerah di Sabah.
Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi semalam ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat dalam perbuatan berkenaan sekitar 2024 dan 2025, termasuk menerima wang rasuah secara tunai.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009.
Kedua-dua suspek dijadualkan dituduh pada 28 September 2026 di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.
]]>KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melumpuhkan sindiket import ayam sejuk beku secara tidak sah di Sabah yang disyaki memberi rasuah kepada pegawai pihak berkuasa di sebuah pelabuhan di negeri ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata operasi menerusi ‘Op Chick’ oleh Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), pagi Selasa (11 Ogos), berjaya menyita 10 kontena berisi ayam sejuk beku yang diimport dari China secara tidak sah.
“Berdasarkan siasatan awal, kontena berisi ayam sejuk beku berkenaan diisytiharkan secara tidak benar dan tidak melalui proses pemeriksaan yang ditetapkan.
“Susulan operasi itu, SPRM menahan tiga lelaki berusia antara 30-an hingga 50-an yang dipercayai berperanan sebagai ejen penghantaran dan pengurus syarikat.
“SPRM juga sedang mengenal pasti individu lain yang dipercayai terlibat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.
Katanya, ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan.
]]>KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini kerana disyaki menyalahgunakan kuasa membabitkan penyelewengan peruntukan pembinaan sebuah dewan bernilai kira-kira RM2 juta.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu pada 2022 dengan menyeleweng peruntukan yang diperoleh daripada Kementerian Kewangan bagi pembinaan sebuah dewan kebudayaan dan galeri di Sabah.
Suspek dipercayai mengemukakan permohonan peruntukan serta melaksanakan sendiri projek pembinaan dewan berkenaan tanpa persetujuan Ahli Majlis Tertinggi pertubuhan terbabit.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana menyalahgunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.
“Suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Khamis,” katanya.
]]>KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu berkuat kuasa 13 Mei ini.
Pelantikan tersebut diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menerusi kenyataan yang dikongsi di akaun media sosial rasminya pada Sabtu.
Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mempersembahkan cadangan pelantikan berkenaan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).
“Kerajaan yakin pengalaman luas serta tahap integriti tinggi Abdul Halim akan memperkukuh usaha pemerkasaan tadbir urus, di samping meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi SPRM,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pelantikan itu merupakan langkah penting dalam memperhebat agenda pembanterasan rasuah demi kepentingan negara.
Pada Jumaat, Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan cadangan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.
Ketika ini, SPRM diketuai oleh Tan Sri Azam Baki yang akan menamatkan perkhidmatan pada 12 Mei ini.
]]>KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang lagi suspek kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan kerja-kerja pembersihan berjumlah kira-kira RM500,000.
Menurut Pengarah SPRM Sabah, Mohd Fuad Bee Basrah, suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira jam 3.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang merupakan penjawat awam dan juga pengarah syarikat kontraktor disyaki bersubahat dengan seorang lagi suspek lelaki, iaitu pengarah syarikat pembinaan yang telah ditahan sebelum ini.
“Suspek ditahan berkaitan kes sama iaitu mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan kontrak kerja-kerja pembersihan di sebuah pejabat polis di negeri ini berjumlah kira-kira RM500,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
]]>KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan kerja-kerja pembersihan bernilai kira-kira RM1.3 juta.
Pengarah SPRM Sabah, Mohd Fuad Bee Basrah, berkata suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 11 pagi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM di sini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang juga pengarah sebuah syarikat pembinaan dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024.
“Suspek disyaki mengemukakan penyata akaun bank palsu bagi mendapatkan kontrak kerja-kerja pembersihan di sebuah pejabat polis di negeri ini bagi tempoh Februari 2025 hingga Januari 2027,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek turut dipercayai menggunakan beberapa syarikat lain dengan modus operandi sama bagi mendapatkan beberapa kontrak kerja di agensi kerajaan sekitar Sabah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
]]>KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah membentangkan sebanyak tujuh syor penambahbaikan berhubung isu pengurusan pendahuluan diri Pengurus Besar kawasan berkaitan program dan aktiviti Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Sabah.
Antara syor itu ialah mewujudkan akaun bank khas bagi penggunaan dan penerimaan wang pendahuluan diri atas nama jawatan “Pengurus Besar”; mewujudkan satu garis panduan berhubung wang pendahuluan diri yang diberikan kepada Pengurus Besar di PNK dari LKIM dan penyediaan laporan perbelanjaan sebenar beserta bil-bil sokongan yang dikemukakan oleh Pengurus dalam tempoh tujuh hari selepas program selesai dilaksanakan.
Cadangan lain ialah melaksanakan pemantauan dan semakan terhadap penggunaan wang pendahuluan diri oleh Pengurus Besar setiap kali program PNK yang dijalankan dan membuat pindaan pada Pekeliling Pendaftar Bil. 1 Tahun 2017-Perkara 3.1 dengan menyatakan ‘pendahuluan diri’ merujuk kepada pengeluaran wang dalam bentuk cek atas nama Pengurus Besar Persatuan Nelayan yang ditunaikan bagi digunakan sebagai perbelanjaan khusus bagi menguruskan projek kontrak ditawarkan oleh LKIM atau pihak-pihak lain dan pendahuluan diri tidak dibenarkan masuk ke dalam akaun peribadi Pengurus Besar.
Syor ini dilaksanakan susulan hasil siasatan awal yang telah dijalankan oleh SPRM Sabah berhubung isu wang pendahuluan diri bagi program/aktiviti yang dilaksanakan oleh PNK dimasukkan ke dalam akaun peribadi Pengurus Besar PNK.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah yang membentangkan syor itu berkata, ini adalah usaha meningkatkan akauntabiliti melalui pelaksanaan prinsip-prinsip tatakelola yang baik selari dengan keperluan, cabaran persekitaran masa kini dan akan datang.
“Kelemahan yang dikenalpasti ini boleh membuka ruang dan peluang berlakunya salah guna kuasa dan penyelewengan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah LKIM, Hamdan Mamat yang menyambut baik cadangan penambahbaikan itu berkata, pihaknya bersetuju untuk mengambil tindakan bagi mengatasi kelemahan yang ditemui.
Pada majlis itu, turut diadakan sesi menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang ditandatangani di antara Pengarah SPRM Sabah dan Ketua Pengarah LKIM.
]]>Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah melancarkan bilik gerakan khas bagi memantau serta menerima aduan berhubung perbuatan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17.
SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu merupakan inisiatif proaktif SPRM dalam memastikan proses pilihan raya berjalan secara telus, berintegriti dan bebas daripada amalan rasuah.
Menurut kenyataan itu lagi, semua bilik gerakan tersebut akan beroperasi 24 jam bermula 10 November sehingga 5 Disember 2025.
“Ia adalah bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sepanjang musim pilihan raya,” menurut kenyataan itu di sini pada Isnin.
Orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan SPRM di Pejabat SPRM Kota Kinabalu (017-8478740 / 088-488381); Pejabat SPRM Cawangan Sandakan (089-668746 / 011-18669877) dan Pejabat SPRM Cawangan Tawau (089-772743).
Selain itu orang ramai juga boleg menghubungi Pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu (089-868769) dan Pejabat SPRM Cawangan Keningau (087-336761 / 016-5771521) selain aduan juga boleh disalurkan melalui e-mel rasmi [email protected].
SPRM turut mengingatkan semua calon dan parti politik yang bertanding agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang atau melanggar peraturan pilihan raya, selaras dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012).
“SPRM menyeru kerjasama semua pihak termasuk pengundi, calon, dan jentera parti bagi memastikan PRU DUN Sabah ke-17 berlangsung secara bersih, beretika dan berintegriti,” tambah kenyataan itu lagi. – SABAH MEDIA
]]>KOTA KINABALU : Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) serta Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) dicadang untuk melaksanakan lima langkah penambahbaikan bagi memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti dalam proses permohonan lesen mencarigali (Prospecting License – PL) di negeri ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) dalam satu kenyataan memaklumkan, cadangan itu dikemukakan selepas SPRM mendapati terdapat lima kelemahan utama, termasuk ketiadaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lengkap.
Selain itu, proses penilaian permohonan yang tidak seragam serta amalan tatacara kerja yang berpotensi menimbulkan kekeliruan dan ketidakselarasan antara dua agensi berkenaan.
Menurut SPRM, antara penemuan utama ialah keperluan memperjelas tatacara penghantaran Surat Minat (Letter of Interest – LOI) oleh pemohon, selain memastikan permohonan yang gagal melepasi syarat ketat tidak terus dibawa ke mesyuarat lembaga pengarah.
Dalam sesi pembentangan di Wisma Tanah dan Ukur, Kota Kinabalu, BPT SPRM menyarankan supaya JTU dan SMM menyedia serta mendokumenkan SOP pelaksanaan proses permohonan PL secara menyeluruh.
Selain itu, meminda SOP agar LOI dikemukakan terus kepada SMM dan mengemaskini SOP berkaitan Analisis Ketekunan Wajar (DDA).
Turut disaran untuk dilaksanakan adalah mewujudkan SOP khusus bagi permohonan lanjutan PL; dan membangunkan portal digital SMM bagi meningkatkan ketelusan maklumat kepada orang awam.
Cadangan berkenaan bertujuan memastikan sistem tatakelola sektor perlombongan di Sabah lebih efisien dan bebas daripada sebarang ruang penyalahgunaan kuasa.
Kedua-dua pihak, JTU dan SMM, turut menyatakan penghargaan terhadap hasil dapatan dan bersetuju dengan langkah penambahbaikan yang dicadangkan menerusi Laporan Penambahbaikan Tatakelola, yang ditandatangani oleh Pengarah JTU, Datuk Sr Bernard Liew Chiu Min dan Ketua Pegawai Eksekutif SMM, Natasha Sim Nuo, disaksikan oleh Ahmad Shukri.
Turut hadir ialah Penasihat Integriti Menteri Sabah, Awang Samsul Baharam Bungso, wakil Pejabat Setiausaha Bumi Sabah, serta pengurusan kanan kedua-dua agensi.
]]>