PUTRAJAYA : Dua pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sisipan Pulau Bum-Bum Semporna bakal mewakili Malaysia ke Pertandingan Pilot-X (Drone) Peringkat Antarabangsa di Hong Kong.
Pertandingan yang dijadual berlangsung selama dua hari bermula esok itu akan diwakili Muhammad Hazriq Iskandar Abdullah dan Nur Halinah Atikah Mohd Moktar.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang menerusi hantaran di Facebooknya berkata, selain Malaysia, pertandingan itu turut menghimpunkan negara lain termasuklah Hong Kong, China, Indonesia dan Mexico.

“Siapa sangka, adik Muhammad Hazriq Iskandar Abdullah dan adik Nur Halinah Atikah Mohd Moktar, dua murid dari SK Sisipan, Pulau Bum-Bum, Semporna, bakal mewakili Malaysia ke 2026 PilotX International Drone Competition di Hong Kong.
“Kisah mereka adalah bukti bahawa bakat anak Malaysia tidak mengenal batas geografi. Melalui Program Outreach Malaysia Techlympics, murid-murid di SK Sisipan mula didedahkan kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan teknologi dron.
“Daripada sebuah sekolah di kawasan pedalaman, mereka kini berpeluang membawa Jalur Gemilang ke pentas antarabangsa,” katanya.

Lih Kang berkata, ia merupakan matlamat sebenar Malaysia Techlympics dan pihaknya tidak mahu bakat hanya ditemui di bandar-bandar besar.
Beliau berkata, pihaknya mahu mencari, menyemai dan membangunkan bakat di seluruh negara agar setiap anak Malaysia, tanpa mengira latar belakang atau lokasi, mempunyai peluang yang sama untuk menyerlah.
“Hari ini (semalam) saya berbesar hati menyampaikan jaket kontinjen Malaysia sebagai simbolik pelepasan kepada Hazriq dan Halinah.
“Semoga mereka membawa pulang pengalaman yang berharga, mengharumkan nama Malaysia dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk berani menceburi bidang STEM,” katanya.
Hazriq dan Halinah akan turut diiringi Guru Besar sekolah berkenaan Dayang Jasmawati Awang Jasni dan guru pengiring Salmah Amir.
]]>KUALA PENYU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperluas usaha memartabatkan makanan tradisional Sabah dengan memperkenalkan pendekatan psikologi dan STEM bagi meningkatkan kesedaran serta sikap positif golongan belia terhadap sagu sebagai makanan masa depan.
Usaha tersebut dilaksanakan menerusi program ‘Sikap terhadap Makanan Tradisional Sagu sebagai Makanan Masa Depan menerusi Pendekatan Psikologi dan STEM’ yang dianjurkan oleh Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS), UMS.
Turut bekerjasama menjayakan program tersebut adalah Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI), U-Science UMS, Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik (PPKA) UMS, Belia KBK St. Peter Bundu Kuala Penyu serta Native Borneo.

Program yang berlangsung di Pusat Informasi Rumbia tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Service-Learning Malaysia-University for Society (SULAM) di bawah kursus PB30803 (Sikap dan Perubahan Sikap).
Bertemakan “Inovasi Sagu: Bukan Sekadar Makanan Tradisi”, program berkenaan melibatkan penyertaan 29 belia daripada Kerasulan Belia Katolik (KBK) St Peter Bundu, Kuala Penyu, selain 30 pelajar FPKS UMS yang berperanan sebagai jawatankuasa pelaksana.
Penyelaras program, Profesor Madya Dr. Getrude Cosmas berkata, sagu mempunyai potensi besar bukan sahaja sebagai warisan makanan tradisional, malah sebagai sumber makanan alternatif yang mampu menyumbang kepada kelestarian makanan pada masa hadapan.
“Pendedahan kepada golongan belia mengenai nilai budaya, ekonomi dan inovasi berasaskan sagu penting bagi memastikan makanan tradisional ini terus relevan dalam kalangan generasi muda.
“Golongan belia perlu melihat sagu bukan sekadar sebagai makanan tradisi, tetapi sebagai sumber yang mempunyai potensi untuk diinovasikan serta dimanfaatkan dalam pelbagai bentuk produk bernilai tambah,” katanya.
Tambah Getrude, penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam memperkasakan pemeliharaan warisan budaya tempatan menerusi pendekatan pendidikan, inovasi dan pemindahan ilmu kepada masyarakat, selaras dengan agenda pembangunan komuniti dan kelestarian warisan negeri Sabah.
“Antara pengisian utama program ialah tayangan video Rumbia Tatana yang memaparkan legenda pokok rumbia, proses penghasilan sagu serta pelbagai produk yang boleh dihasilkan daripada sumber tersebut.
“Kemuncak program menyaksikan enam kumpulan peserta menghasilkan mi dan keropok berasaskan tepung sagu menerusi pertandingan inovasi makanan yang memberi penekanan kepada aspek kreativiti, rasa dan persembahan produk.
“Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan elemen STEM secara praktikal dalam pembangunan produk makanan berasaskan sumber tempatan,” ujar beliau.
Beliau menambah, peserta juga diberi ruang untuk berkongsi pengalaman dan refleksi sepanjang program, termasuk cadangan agar program seumpama itu diperluaskan ke sekolah-sekolah bagi meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap kepentingan memelihara warisan makanan tradisional.
Program turut diserikan dengan sesi perkongsian oleh Miss Native Borneo 2025, Christine Joan Charles yang membincangkan peranan belia dalam mempromosikan makanan tradisional Borneo kepada masyarakat yang lebih luas.
]]>KOTA KINABALU: Seramai 500 pelajar prauniversiti termasuk seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) menyertai Program Professor@School STI 100³ Kitaran 2 Tahun 2025/2026 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dengan kerjasama Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu (KTEKK).
Program tersebut bertujuan memperkasa literasi sains, teknologi dan inovasi (STI) serta meningkatkan kesedaran berkaitan bencana alam dalam kalangan pelajar Tingkatan Enam.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, Program Professor@School STI 100³ merupakan inisiatif nasional di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi menyemai minat pelajar terhadap bidang sains sejak di peringkat sekolah.

Menurut beliau, penglibatan universiti dalam program itu mencerminkan peranan institusi pengajian tinggi sebagai pemacu ekosistem STI dan rakan strategik kepada sekolah dalam pembangunan bakat STEM.
“Tumpuan turut diberikan kepada pendedahan awal berkaitan isu bencana alam, perubahan iklim dan kesiapsiagaan komuniti, khususnya dalam konteks negeri Sabah,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Rossita Shapawi pada majlis perasmian program yang berlangsung di Dewan Citra KTEKK, di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Saintis Utama Program STI 100³ merangkap Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UMS, Profesor Ts. Gs. Dr. Rodeano Roslee menyampaikan perkongsian bertajuk “Bencana Alam di Sabah” yang memberi pendedahan kepada pelajar mengenai risiko gempa bumi, banjir dan tanah runtuh serta kepentingan langkah mitigasi dan kesiapsiagaan.
Program berkenaan turut merangkumi ceramah ilmiah, simulasi pendidikan gempa bumi, pameran sains, pengenalan program akademik serta lawatan pembelajaran ke fasiliti UMS termasuk makmal Fakulti Sains dan Teknologi, Institut Marin Borneo (IMB), Pusat U-Sains dan Perpustakaan UMS.
Pengetua KTEKK, Suhaibul Kasim berkata kerjasama dengan UMS memberi peluang kepada pelajar merasai persekitaran pembelajaran universiti serta membantu mereka membuat perancangan awal berkaitan pengajian dan kerjaya dalam bidang STEM.
Program Professor@School STI 100³ dijangka menjadi platform kerjasama berterusan antara universiti dan sekolah dalam melahirkan generasi muda yang celik sains dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. SABAH MEDIA
]]>KOTA KINABALU : Usaha memperkukuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terus dipertingkatkan melalui program STEM Speaker Series 2025 anjuran U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang menampilkan ceramah bertajuk “Seronoknya Kimia! 5 Perkara Yang Buat Anda Kagum”.
Ceramah tersebut disampaikan oleh Profesor Madya Ts. ChM. Dr. Mohd. Sani Sarjadi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu (PBAKK) 2025 baru-baru ini.
Matlamat utama ceramah adalah untuk memberi penekanan kepada usaha menjadikan kimia lebih dekat kepada masyarakat dengan menghubungkannya kepada kehidupan seharian, sekali gus meningkatkan kefahaman awam terhadap konsep asas STEM.
Menurut Sani, kimia bukanlah sesuatu yang abstrak atau sukar, tetapi ilmu yang berperanan dalam hampir setiap aspek kehidupan.
“Kimia bukan sesuatu yang rumit, ia berlaku di mana-mana tanpa kita sedar, dan apabila kita memahaminya, kita akan lebih menghargai dunia di sekeliling,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa fenomena harian seperti air mendidih, aroma kopi, warna merah tomato dan rasa pedas cili merupakan hasil tindak balas kimia di peringkat molekul.
“Pendekatan ini membantu peserta menghubungkan konsep kimia dengan pengalaman harian, seterusnya menjadikan ilmu tersebut lebih mudah difahami.
“Pendedahan awal yang menyeronokkan dapat memupuk minat kanak-kanak terhadap bidang STEM.
“Dapur merupakan ruang pembelajaran kimia paling dekat dengan masyarakat, proses memasak seperti penghasilan karbon dioksida daripada serbuk penaik, pigmen likopena dalam tomato, capsaicin dalam cili dan pembentukan gluten dalam roti merupakan contoh jelas tindak balas kimia yang berlaku secara semula jadi.
“Bila kita mula menghargai apa yang berlaku dalam periuk dan kuali, kita sebenarnya sedang belajar kimia tanpa sedar,” ujarnya.
Selain itu, Sani turut menunjukkan demonstrasi perubahan warna penanda pH menggunakan kubis ungu, pigmen tumbuhan serta tindak balas cahaya glow stick bagi menarik minat peserta.
Demonstrasi visual tersebut bukan sahaja memudahkan pemahaman konsep kimia, tetapi juga menggalakkan pelajar berfikir kritis, bertanya soalan dan berani mencuba eksperimen sendiri.
Beliau turut mengulas isu mikroplastik, di mana hanya sembilan peratus plastik global dikitar semula, yang menurutnya memerlukan penyelesaian melalui inovasi kimia.
“Cabaran ini memerlukan penyelesaian daripada perspektif kimia, kerana kimia juga kunci untuk menyelamatkan alam sekitar kita,” ujarnya.
Sani turut berkongsi beberapa eksperimen mudah dan selamat yang boleh dilakukan di rumah seperti penanda pH kubis ungu, lava lamp buatan sendiri dan belon baking soda.
“Aktiviti ini mampu merangsang minat awal kanak-kanak terhadap sains melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan.
“Bila kanak-kanak seronok bereksperimen, mereka bukan sekadar bermain tetapi mereka sedang membina masa depan dalam STEM,” jelasnya.
Ceramah tersebut secara keseluruhannya menunjukkan bahawa kimia merupakan elemen penting yang membentuk kehidupan, teknologi dan masa depan, serta mampu menjadi pintu masuk kepada pemahaman STEM yang lebih luas.
]]>Kota Kinabalu : Penganjuran Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menjadi platform terbaik bagi mencungkil bakat selain mengasah potensi dan memupuk minat murid dalam bidang-bidang kritikal.
Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Sabah Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, karnival itu bukan sahaja menonjolkan keupayaan akademik murid, bahkan turut memupuk nilai-nilai kerjasama, disiplin, dan daya tahan.
“Saya amat teruja melihat pelbagai projek inovatif dan ciptaan pelajar yang dipamerkan sepanjang karnival ini. Ia menunjukkan bahawa murid-murid kita mempunyai keupayaan luar biasa yang perlu terus diasah dan dibimbing.

“Inisiatif sebegini perlulah diteruskan dan diperkasakan, bukan sahaja di peringkat negeri, malah hingga ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival STEM Generasi Madani peringkat negeri Sabah di sini pada Rabu.
Katanya, perkembangan dunia kini amat pesat dan menuntut penguasaan kemahiran yang tinggi dalam bidang STEM.
“Kita tidak lagi boleh bergantung kepada ilmu asas semata-mata, tetapi perlu melahirkan generasi yang mampu menyelesaikan masalah secara saintifik, berfikir secara kritis dan kreatif, serta menguasai teknologi sebagai alat pemacu kemajuan.

“Jabatan Pendidikan Negeri Sabah juga sentiasa menyokong usaha untuk memperluas akses kepada pendidikan berkualiti dan relevan dengan keperluan semasa serta masa hadapan.
“Kami percaya bahawa pendidikan STEM adalah antara kunci utama dalam memperkukuh pembangunan modal insan dan melonjakkan kemajuan negeri,” katanya.
Justeru beliau menyeru agar semua pihak, sama ada pihak sekolah, agensi kerajaan, swasta mahupun komuniti untuk terus berganding bahu bagi menjayakan aspirasi ini. – SABAH MEDIA
]]>Oleh WAN AZRAIN ADNAN
BARU-BARU ini, pelajar-pelajar baru Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di seluruh negara di laporkan telah mendaftar untuk Sesi Kemasukan 2024/ 2025.
Banyak kisah dan ragam telah di kongsikan oleh pelbagai pihak di media sosial. Ada yang baik. Ada yang menyedihkan. Ada juga yang menjengkelkan.
Pada Jun 2024, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) telah mengumumkan bahawa hampir 160,000 pelajar telah di beri tawaran kemasukan ke IPT di seluruh negara.
Majoriti pelajar (83,667 orang: 52.6%) di beri tawaran kemasukan ke Universiti Awam. Manakala selebihnya pula telah diberi tawaran kemasukan ke Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Antara perkara yang menarik ialah jurusan pengajian yang di pilih oleh calon pelajar. Menurut laporan BERNAMA, jurusan pengajian yang paling popular dimohon oleh calon untuk kemasukan ke Politeknik dan Kolej Komuniti Sesi 2024/ 2025 adalah:
Politeknik: Diploma Pengajian Perniagaan
Kolej Komuniti: Sijil Kulinari

Laporan berkenaan jelas menunjukkan ramai calon pelajar masih memilih untuk memohon jurusan pengajian yang tidak berkaitan dengan bidang Science, Technology, Engineering, Mathematics (STEM).
Perkara ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Jurusan pengajian STEM masih tidak begitu popular di kalangan pelajar berbanding dengan lain-lain jurusan. Sehinggakan ada IPT yang terpaksa menghentikan pelaksanaan sesetengah jurusan pengajian STEM.
Pada Jun 2024, media ada melaporkan bahawa Lembaga Jurutera Malaysia telah mengumumkan bahawa enam program kejuruteraan di enam Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) tidak lagi di akreditasi oleh Majlis Akreditasi Kejuruteraan (EAC) Malaysia.
Tindakan ini di ambil susulan IPTS terbabit telah beransur-ansur membekukan dan menamatkan pengambilan pelajar bagi program kejuruteraan berkenaan. Antara lain, punca utama adalah kerana jumlah kemasukan pelajar yang rendah di IPTS terbabit.
Program kejuruteraan berkenaan adalah: Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik; Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Sistem Komputer dan Komunikasi; Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia; Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam, Sarjana Muda (Kepujian) Elektronik dan Penkomputeran dan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekanikal.
Malangnya, ini bukanlah perkara baru. Beberapa tahun dahulu, media telah melaporkan bahawa 55 program kejuruteraan telah di gugurkan di 12 universiti awam dan swasta dalam negara.

Serupa juga, antara punca utama adalah tiada permintaan daripada pelajar.
Menurut Presiden Persatuan Kebangsaan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Bumiputera Malaysia (PKIBM), terdapat kesukaran untuk mendapatkan pelajar mengikuti jurusan kejuruteraan di Institusi Pendidikan Tinggi. Antara punca utama ialah kekurangan pelajar di dalam bidang STEM di sekolah, di mana ramai pelajar sekolah tidak berminat dengan aliran Sains Tulen.
Tambahan lagi, syarat minimum kemasukan ke program kejuruteraan di IPT adalah lebih tinggi berbanding dengan lain-lain program. Sebagai contoh; untuk kemasukan ke program Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik, calon pelajar mestilah memiliki minimum gred kepujian bagi mata pelajaran SPM Matematik.
Sebaliknya, untuk program Diploma Pengurusan Perniagaan di Politeknik, calon pelajar hanya perlu memiliki gred lulus bagi mata pelajaran SPM Matematik.
Namun begitu, data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunjukkan puluhan ribu pelajar memperolehi gred Gagal bagi mata pelajaran SPM Matematik setiap tahun. Dalam tempoh masa 7 tahun (2017 – 2023), lebih 550,000 pelajar telah gagal SPM Matematik.


Malah, untuk SPM Matematik 2023, majoriti pelajar (52.1%) telah tidak berjaya mencapai gred kepujian ke atas, dan hanya memperolehi gred D, E dan Gagal.

Ini adalah situasi yang amat membimbangkan.
Sebenarnya, kehilangan minat pelajar bagi aliran Sains sudah mencapai tahap yang agak kritikal. Menurut Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), bagi Sesi Persekolahan 2023/ 2024, hanya 62,250 (15%) pelajar daripada kira-kira 415,000 pelajar Tingkatan Tiga telah memilih aliran Sains untuk ke Tingkatan Empat.
Ini merupakan jumlah terendah di dalam sejarah dan jauh tersasar dari dasar 60% yang di tetapkan oleh kerajaan.
Fakta menarik: Pada tahun 1967, Jawatankuasa Perancangan Pelajaran Tinggi telah menetapkan bahawa 60% pelajar sekolah harus mengikuti aliran Sains bagi memastikan negara memiliki tenaga kerja di dalam bidang Sains.
Ini bermakna isu berkenaan yang dihadapi oleh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) mesti di tangani segera di peringkat sekolah, dengan dua matlamat utama:
mengurangkan peratusan pelajar gagal mata pelajaran SPM Matematik dan Matematik Tambahan
meningkatkan jumlah pelajar memilih aliran Sains/ STEM di sekolah
meningkatkan jumlah pelajar memilih aliran Sains/ STEM di sekolah
Sekiranya isu ini terus berlanjutan, ianya sudah pasti akan merencatkan agenda pembangunan negara yang memerlukan ramai tenaga kerja lulusan STEM. Malah, menurut Perdana Menteri Malaysia, negara kini menghadapi kekurangan 30,000 jurutera. Angka ini boleh meningkat tinggi selagi tiada penyelesaian menyeluruh terhadap isu berkenaan.
Di samping itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) di laporkan berkata bahawa industri elektrikal & elektronik (E&E) negara memerlukan seramai 50,000 jurutera. Tetapi, setakat ini Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan hanya mampu mengeluarkan seramai 5,000 graduan jurutera setiap tahun.
Oleh yang demikian, beliau telah mengesyorkan agar graduan jurutera warganegara asing yang menamatkan pengajian di IPT tempatan di benarkan untuk bekerja secara sementara di dalam negara, terutamanya di sektor teknologi tinggi.
Ini bukan sahaja akan dapat meredakan isu kekurangan jurutera, tetapi dapat juga memperkasa IPT tempatan.
Cadangan Menteri MITI tersebut wajar di pertimbangkan dan di laksanakan agar ekonomi negara dapat berkembang seperti yang di rancang. Amat malang sekali apabila negara telah berjaya menarik pelaburan berjumlah berbillion Ringgit, tetapi gagal untuk menyediakan tenaga kerja dengan pengetahuan dan kemahiran yang sesuai. Lama-kelamaan pelabur pun boleh ‘lari’ ke negara lain.
Cadangan Menteri MITI tersebut bukanlah sesuatu yang baru. Malah, ianya serupa dengan tawaran yang di sediakan oleh negara lain.
Sebagai contoh. Menurut laporan media, Taiwan memerlukan seramai 10,000 jurutera setiap tahun untuk memenuhi kehendak industri, terutamanya industri semi-konduktor. Di bawah program Cross International Academia yang di tawarkan, Taiwan sedia menerima jurutera dari Malaysia selepas menamatkan pengajian di Taiwan. Jurutera semi-konduktor di Taiwan boleh menerima gaji kompetitif sebanyak RM 120,000 setahun.
Tawaran sebegini bukan sahaja akan memburukkan lagi isu kekurangan jurutera yang di hadapi. Tetapi turut memburukkan lagi isu brain drain yang di hadapi oleh negara selama ini, di mana ramai rakyat Malaysia yang berkemahiran telah ‘berhijrah’ ke luar negara untuk bekerja.
Justeru itu, Malaysia mesti bersedia untuk melaksanakan dasar yang dapat mendokong agenda pembangunan negara. Ini termasuklah di peringkat sekolah dan IPT negara.
Melentur buluh biarlah dari rebungnya.
]]>KOTA KINABALU: Seiring dengan perkembangan teknologi digital pada masa kini, U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) telah menjayakan Program STEM4ALL: Cabaran Learning Science Through Minecraft.
Program berbentuk pertandingan pembinaan projek melalui aplikasi Minecraft itu disertai seramai 88 peserta dari 18 buah sekolah di seluruh Sabah yang telah menghantar video-video kreatif berkenaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah bagi pertandingan tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin dalam satu acara secara dalam talian baru-baru ini.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan sokongan bagi penyertaan pelajar-pelajar sekolah ke arah pembudayaan STEM sebagai pendukung bagi tenaga kerja generasi akan datang.
“Harapan saya agar program sebegini dapat memupuk minat pelajar dalam bidang Sains Komputer melalui pembinaan projek di dalam aplikasi Minecraft.
“Dalam masa yang sama usaha ini turut mendidik komuniti, khususnya kanak-kanak dan remaja berkaitan teknologi baharu yang menjurus ke arah teknologi digital,” katanya.
Taufiq turut berharap agar pertandingan sebegini mampu memberi pendedahan kepada generasi celik teknologi maklumat dan mengoptimumkan daya saing mereka dalam membangunkan bidang ekonomi digital pada masa akan datang.
Terdahulu, Pengarah JPNS, Datuk Dr. Mistirine Radin turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pertandingan tersebut.
“Pertandingan ini merupakan satu galakan terbaik kepada semua pelajar untuk turut terlibat dalam bidang sains dan teknologi bagi melahirkan masyarakat yang berdaya saing dan berdaya maju terutamanya dalam bidang STEM,” katanya.
Pertandingan tersebut menyaksikan kumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Swasta Tshung Tsin yang dianggotai oleh Rachel Wong Siau Ying, Andrea Caitlin Yu Xin Jie dan Wesley Kong Yu Sen muncul johan bagi kategori sekolah menengah.
Tempat kedua dimenangi oleh kumpulan pelajar daripada SMK Tinggi Kota Kinabalu dianggotai oleh Jordan Voo Yee Fung, Hansen Lee Ming Haw, Chong Jia Ying Dylan, dan Ivan Liew Chun Fui, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Nur Viana Onnin Osthen dari SMK Taman Ria.
Bagi kategori sekolah rendah, Nur Vanida Onnin Osthen @ Mohd Raffie dari SK Rugading dinobat sebagai pemenang utama, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga dimenangi pelajar dari SK Inanam Laut iaitu Izz Muzaffar Ros Izhrin dan Amirul Aziz Hardi.
]]>KOTA KINABALU: U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kolaborasi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mempelawa pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh Sabah untuk menyertai program STEM4ALL: D.I.Y. STEM Exploration bertemakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Pertandingan yang dijalankan sepenuhnya secara dalam talian itu telah bermula pada 13 September dan akan berakhir pada 29 Oktober 2021.
Menurut kenyataan U-Science UMS, pertandingan tersebut bertujuan memberi peluang kepada pelajar sekolah untuk menggunakan kebolehan kognitif dan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif melalui aktiviti-aktiviti berasaskan STEM.
Jelas U-Science UMS, dengan menggunakan bahan atau material yang mudah dan senang didapati di rumah masing-masing, tugas peserta adalah untuk mereka cipta projek STEM yang ingin mereka jalankan sepanjang tempoh pertandingan.
“Ianya boleh dikategorikan daripada masalah yang dihadapi oleh mereka atau cara-cara untuk mempermudahkan tugas-tugas harian dengan menggunakan konsep-konsep sains, teknologi, kejuruteraan atau matematik.
“Bagi pertandingan ini, tidak terdapat tema yang spesifik dan para peserta adalah bebas untuk meneroka projek masing-masing dan mengemukakan hasil inovasi melalui video ringkas yang dihasilkan pada akhir pertandingan berkenaan,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menambah, video kreatif dengan durasi maksimum selama 5 minit daripada para peserta adalah berdasarkan aktiviti mereka menjalankan eksplorasi berkenaan dan hendaklah merangkumi perkara seperti pernyataan masalah, metodologi penyelesaian, konsep STEM yang digunakan, hasil daripada metodologi penyelesaian dan konsep STEM yang digunakan, rumusan projek dan faedah kepada masyarakat.
“Peserta hanya perlu memuat naik video kreatif di mana-mana media sosial seperti Facebook atau Youtube dan memberikan tanda pagar #STEM4ALL atau #DIYSTEMExploration2021.
“Pelajar yang telah lengkap menghantar butiran penyertaan layak untuk menerima sijil dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK),” katanya.
Setiap peserta berpeluang memenangi hadiah bernilai RM300 bagi hadiah utama dan terdapat lima pemenang bertuah bagi setiap kategori sekolah rendah dan sekolah menengah.
Maklumat lanjut serta video penerangan mengenai program tersebut boleh didapati melalui pautan https://youtu.be/BiwnqtvYlts, laman Facebook UScience UMS atau berhubung dengan pegawai bertugas, Deidre Faye di talian 016-7733889.
]]>KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) membangunkan modul bagi membantu memudahkan para guru dan ibu bapa menghadapi cabaran mendidik murid prasekolah sepanjang tempoh Pengajaran dan Pendidikan di Rumah (PdPR).
Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-kanak FPP UMS, Dr Connie Cassy Ompok berkata, modul yang berasaskan konsep Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) itu terinspirasi daripada geran penyelidikan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
“Menerusi geran ini, sekumpulan penyelidik UMS telah membangunkan Modul STEM Makanan dan Minuman yang mengangkat dapur memasak sebagai makmal maya.


“Dengan menukar dapur menjadi makmal maya, ibu bapa dapat menjana bahan pembelajaran yang mudah didapati di rumah mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Modul tersebut dibangunkan oleh kumpulan penyelidik yang terdiri daripada beliau sendiri, Dr. Nur Suhaidah Sukor, Dr. Musirim Mosin, dan Masalinah Jamri.
Menurut Connie, pada awalnya ia dibangunkan dengan berkonsepkan “bahan kitar semula” sebelum diubah selepas sekolah ditutup akibat pandemik Covid-19.
“Dalam fasa pembangunan modul, timbul persoalan tentang bagaimanakah cara terbaik dalam memperkenalkan STEM kepada murid prasekolah, yang pada dasarnya berada dalam fasa perkembangan awal kanak-kanak dan secara naluri amat menyukai aktiviti bermain sambil belajar.
“Bagi menjawab persoalan tersebut, dapur memasak sebagai makmal maya dilihat bertepatan untuk meneroka pelbagai jenis topik STEM yang digariskan dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK, 2017).
“Proses menyiapkan makanan adalah bahagian penting dalam kehidupan harian, yang bermaksud bahawa pembelajaran boleh berlaku dalam konteks semula jadi dan lebih bermakna kerana pada masa yang sama aktiviti pendidikan ini dapat menghasilkan makanan yang lazat,” jelasnya.
Ujar Connie, pada ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa, maka pergerakan ibu bapa juga telah dihadkan, dan kesempatan ini dapat digunakan sepenuhnya oleh mereka untuk mencari bahan yang diperlukan bagi tujuan pembelajaran anak-anak.
“Dalam aktiviti Kereta Api saya misalnya, murid didedahkan dengan kemahiran manipulatif, iaitu kaedah menggunakan peralatan secara selamat dan betul dalam membina struktur asas kereta api daripada sayur-sayuran.
“Aktiviti ini juga memperkenalkan anak-anak tentang warna, serta menentukan nama buah dan sayur-sayuran. Aktiviti ini memenuhi standard pembelajaran tunjang Awal Sains, iaitu membanding beza dari segi saiz (besar-kecil, panjang-pendek) dan menggunakan elemen deria hidu dan rasa (masin, manis, masam, dan pahit).
“Modul ini juga memperkenalkan konsep awal Matematik, iaitu kemahiran mengukur unit bukan piawai bagi isipadu cecair,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Connie memaklumkan beliau melalui FPP bersama Nur Suhaidah turut membangunkan sebuah lagi modul untuk murid prasekolah yang dinamakan “Designing Mind, Construction of 3D Model of UMS Clock Tower for Preschoolers” dengan kerjasama penyelidik Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS, Prof. Madya Dr. Abdullah Bade.
“Inovasi ini memperkenalkan asas geometri, Polygonal Modeling dan Constructive Solid Geometry.
“Melalui aktiviti ini, murid dapat memanipulasikan bentuk geometri secara memusing kanan-kiri dan atas-bawah serta menterbalikkan objek secara maya.
“Selain itu, murid didedahkan dengan animasi tiga dimensi 3D, iaitu aplikasi virtual camera dan pencahayaan bagi menghasilkan photorealistic model dalam dunia maya,” katanya.
Kedua-dua modul tersebut turut berjaya mengharumkan nama UMS apabila dinobatkan sebagai penerima pingat perak dalam Malaysia Technology Expo (MTE) 2021, sebuah pameran antarabangsa mengenai inovasi dan teknologi yang berlangsung secara maya pada 14-18 June 2021.
]]>11 Jun 2021
KOTA KINABALU: Sempena dengan “Virtual Ocean Celebration 2021” yang telah dilancarkan pada 08 Jun lalu, mendapat sambutan menggalakkan dan minat daripada pelajar sekolah, guru, ibu bapa dan komuniti di seluruh Sabah.
Program ‘Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Speaker Series’ ini adalah anjuran bersama U-Science UMS dan Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah dilancarkan melalui platform Youtube Live pada 10 Jun 2021.
Terdapat beberapa siri ‘STEM Speaker Series’ yang akan berjalan sepanjang bulan Jun 2021 ini yang bertemakan ‘Sains Marin’.
Satu topik menarik bertajuk “20 Fun Facts about Fish”yang telah dibawa oleh Pensyarah dan Penyelidik IPBM,UMS, Profesor Madya Dr Faihanna Ching Fui Fui, sangat mendapat perhatian dan amat digemari oleh pelbagai lapisan umur peserta yang hadir semasa program secara maya itu berlangsung.
“Para peserta daripada pelajar sekolah, guru dan ibu bapa boleh menghadiri sesi-sesi berkenaan melalui saluran Youtube Pusat UScience UMS dari masa ke semasa”, kata Dr Faihanna Ching ketika dihubungi pihak media.
“STEM speaker series yang dianjurkan ini adalah bertujuan untuk memupuk minat masyarakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Modul-modul perkongsian daripada ahli-ahli akademik UMS adalah berteraskan pembelajaran topik-topik dalam bidang STEM yang menarik dan unik, ia selaras dengan intipati matlamat U-Science UMS yang bertujuan untuk menarik minat para pelajar sekolah untuk menceburi bidang STEM dan memupuk minat komuniti untuk membudayakan STEM dalam aplikasi harian,” tambahnya.
STEM Speaker series dalam sains marin juga telah mendapat perhatian bagi sesi sebelum ini yang bertajuk “Voices of the Sea” yang telah disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Juanita Joseph pada 27 Mei 2021 yang lalu.
Program berkenaan merupakan program julung kali bagi STEM Speaker Series dan telah diterima baik oleh para pelajar dan guru-guru dalam usaha memberikan impak kepada komuniti melalui pembelajaran informal secara digital, secara tidak langsung boleh memupuk pembudayaan STEM di kalangan masyarakat.
Dalam program ini, para pelajar berpeluang untuk mengutarakan pelbagai persoalan yang berkenaan kepada pihak penceramah sekaligus dapat memupuk minat mereka melalui penyampaian pembelajaran informal yang disampaikan dengan kaedah yang menyeronokkan.
]]>