KOTA KINABALU: Kejayaan cemerlang 180 pelajar Sabah dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Malaysian University English Test (MUET) membuktikan anak negeri ini berupaya bersaing di peringkat antarabangsa.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim berkata, pencapaian itu mencerminkan kemampuan pelajar Sabah untuk bersaing dengan sesiapa sahaja tanpa mengira lokasi atau latar belakang.
Beliau berkata, standard akademik STPM yang diiktiraf di peringkat global serta penguasaan bahasa Inggeris menerusi MUET menjadi asas kukuh kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi dan menembusi pasaran pekerjaan antarabangsa.
“Kejayaan yang dicapai merupakan hasil usaha yang konsisten, kesungguhan yang tidak pernah luntur serta keberanian untuk terus mencabar kemampuan diri.

“Namun, kita juga harus sedar bahawa kejayaan seseorang pelajar tidak pernah berdiri sendirian. Di belakang setiap pelajar cemerlang, berdiri seorang guru yang tidak pernah jemu membimbing.
“Ada guru yang sanggup meluangkan masa di luar waktu persekolahan, mengadakan kelas tambahan, memberi bimbingan secara individu dan sentiasa percaya akan potensi anak didiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan STPM dan MUET (MAKEPS) anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah di sini.
Mengulas lanjut, Mohd Hanafiah berkata, kekuatan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kualiti modal insan yang berjaya dibangunkan.
Sehubungan itu, beliau menyeru supaya pelaburan dalam sektor pendidikan terus diperkasakan bagi memastikan setiap anak Sabah memperoleh akses kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang.
“Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki integriti, daya fikir kritis, kemahiran berkomunikasi serta semangat perpaduan yang tinggi,” katanya.
Beliau turut mengingatkan para pelajar agar tidak cepat berpuas hati dengan kejayaan yang diraih, sebaliknya menjadikannya sebagai titik permulaan kepada perjalanan yang lebih besar dalam kehidupan.
“Teruslah menuntut ilmu dengan rendah hati. Kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui sejauh mana kita melangkah, tetapi sejauh mana ilmu dan kebolehan yang dimiliki dimanfaatkan untuk keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau berharap kejayaan yang diraikan pada majlis itu menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan melalui disiplin, ketekunan serta sokongan padu daripada keluarga dan guru.
Pada majlis sama, pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Kota Kinabalu, Ahmad Mursyied Umair Darwis menerima Anugerah Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi Aliran Sains Sosial.
Sementara itu, Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu dan Kolej Tingkatan Enam Tawau masing-masing menerima Anugerah Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi kategori Kolej Tingkatan Enam.
]]>PUTATAN: Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 di Parlimen Putatan digesa meneruskan kecemerlangan akademik dengan membuat pilihan bijak dalam menentukan bidang pengajian dan kerjaya yang selari dengan keperluan industri masa depan.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, golongan itu perlu meningkatkan iltizam untuk melangkah ke institusi pengajian tinggi serta menceburi bidang pekerjaan yang mampu memenuhi permintaan industri di Sabah dan negara.
Menurutnya, perkembangan pesat teknologi, termasuk Kecerdasan Buatan (AI), membuka peluang kerjaya yang luas dan wajar diterokai oleh generasi muda bagi meningkatkan daya saing serta menyumbang kepada pembangunan Putatan.
“Para lepasan STPM perlu bijak memilih bidang pengajian dan kemahiran sekiranya ingin melanjutkan pelajaran atau memasuki alam pekerjaan. Pilihlah bidang yang mempunyai permintaan tinggi dalam pelbagai industri.
“Langkah ini penting bagi melahirkan masyarakat berilmu dan berkemahiran, sekali gus meningkatkan daya saing Putatan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Pelajar Cemerlang STPM 2025 di Hotel Pan Borneo, di sini.
Pada majlis itu, seramai 44 pelajar cemerlang STPM 2025 dari kawasan Parlimen Putatan menerima sumbangan penghargaan atas pencapaian mereka dalam peperiksaan berkenaan.
Penerima terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan, SMK Sanzac dan SMK La Salle.
]]>KOTA KINABALU: Tiga Pusat Tingkatan Enam di Sabah mencatat kejayaan membanggakan apabila dipilih sebagai Pusat Tingkatan Enam Terbaik Peringkat Kebangsaan bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin berkata, pencapaian itu melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinabutan Tawau, Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu dan Kolej Tingkatan Enam Tawau.
Beliau berkata, SMK Kinabutan, Tawau dinobatkan sebagai Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi Kategori Mod 2 dan Mod 3, selain menerima pengiktirafan dalam kategori Lonjakan Prestasi Terbaik.
“Bagi Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu dan Kolej Tingkatan Enam Tawau masing-masing menerima pengiktirafan sebagai Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi kategori Kolej Tingkatan Enam.
“Selain itu, seorang pelajar dari Sabah turut mencipta kejayaan apabila dipilih sebagai Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi Aliran Sains Sosial iaitu, Ahmad Mursyied Umair Darwis dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Kota Kinabalu.
“Beliau telah menerima pengiktirafan itu termasuk anugerah wang tunai RM1,000, plak serta sijil daripada Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Keputusan STPM 2025 di Wisma Pendidikan di sini pada Khamis.
Raisin berkata, seramai 21 calon STPM 2025 mendapat A dalam semua lima mata pelajaran (5A), berbanding hanya tujuh calon pada STPM 2024.
Pelajar mendapat 4A pula katanya menurun sedikit kepada 137 orang pada 2025, berbanding 139 orang pada STPM 2024.
Secara keseluruhan, Raisin berkata seramai 8,296 calon mendaftar untuk menduduki STPM 2025, berbanding 8,356 calon yang mendaftar pada STPM 2024.
“Daripada 8,296 calon yang mendaftar, sebanyak 91.99 peratus atau 7,632 calon telah hadir untuk menduduki peperiksaan STPM 2025 bagi negeri Sabah.
Berdasarkan keputusan STPM 2025, katanya Sabah mencatat PNGK 2.78, berbanding 2.88 bagi PNGK Kebangsaan.
“Seramai 158 calon atau 2.07 peratus calon mendapat PNGK 4.00, iaitu peningkatan seramai 12 calon berbanding 2024.
“Dari segi pencapaian PNGK calon, secara keseluruhan didapati bilangan calon dan peratusan longgokan calon STPM 2025 pada PNGK 3.75 ialah 453 calon atau 5.93 peratus.
“PNGK 3.00 pula menyaksikan seramai 2,411 calon atau 31.59 peratus; PNGK 2.75 ialah 1,120 calon atau 14.67 peratus dan PNGK 2.00 ialah 2,726 calon atau 35.71 peratus,” katanya.
Katanya, peratusan calon STPM 2025 di Sabah yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran berbanding STPM 2024 meningkat, iaitu daripada 98.81 peratus kepada 98.87 peratus atau 7,546 calon pada 2025, dengan peningkatan 0.06 peratus.
Beliau berkata, sebanyak 99.96 peratus atau 7,629 calon layak dianugerahkan Sijil STPM 2025 di Sabah.
]]>Kota Kinabalu : Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 di Sabah mencatat peningkatan apabila seramai 146 orang calon berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin berkata, jumlah itu mencatat peningkatan seramai 16 calon berbanding 130 calon yang menduduki STPM pada 2023.
“Dari segi pencapaian PNGK calon, secara keseluruhannya didapati bilangan calon dan peratusan longgokan calon STPM 2024 pada PNGK 3.75 dan ke atas ialah 469 calon atau 5.86 peratus.

“Bagi calon yang mencapai PNGK 3.00 dan ke atas ialah 2,597 calon atau 32.43 peratus, PNGK 2.75 dan ke atas ialah 1,099 calon atau 13.73 peratus, dan PNGK 2.00 dan ke atas ialah 2,871 calon atau35.86 peratus adalah meningkat berbanding tahun 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan STPM 2024 di Menara Kinabalu di sini pada Selasa.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Raisin berkata, Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) telah memilih seorang pelajar STPM terbaik Kebangsaan dari negeri ini untuk diberikan anugerah berupa wang tunai bernilai RM1,000 , plak, dan sijil MPM.
Katanya, seramai 146 pelajar STPM terbaik Negeri diberikan anugerah sijil kecemerlangan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah.
“Kategori pelajar terbaik negeri STPM 2024 tersebut adalah melibatkan seorang pelajar aliran Sains dan 145 pelajar lagi melibatkan aliran Sains Sosial.
“JPNS pada tahun ini menganugerahkan seramai 26 pelajar terbaik Malaysian University English Test (MUET) dengan pencapaian Agregate 294 – 330 , Band 5.0,” katanya. – SABAH MEDIA
]]>KOTA KINABALU: Seramai 130 atau 1.56 peratus calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 bagi negeri Sabah telah mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, bilangan calon yang mendapatkan PNGK 4.00 ini telah meningkat sebanyak 55 calon, iaitu daripada 75 calon pada tahun 2022 kepada 130 calon pada tahun 2023.
“Dari segi pencapaian PNGK calon, secara keseluruhannya didapati bilangan calon dan peratusan longgokan calon STPM 2023 pada PNGK 3.75 dan ke atas ialah 459 calon atau 5.5 peratus, PNGK 3.00 dan ke atas ialah 2,705 calon atau 32.6 peratus, PNGK 2.75 dan ke atas ialah 1,113 calon atau 13.42 peratus, dan PNGK 2.00 dan ke atas ialah 2,720 calon atau 32.81 peratus adalah meningkat berbanding tahun 2022,” kata Raisin semasa mengumumkan keputusan STPM 2023 di Sekolah Menengah Tingkatan 6 di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Pengarah Pendidikan Sabah Nurani Fauziah Derin.
Raisin berkata, pencapaian keseluruhan calon STPM 2023 Sabah mencatatkan 2.84 mata PNGK meningkat sebanyak 0.02 berbanding tahun lepas 2.82.
“Daripada 24 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Negeri Sabah, sebanyak 8 buah Pejabat Pendidikan Daerah telah menunjukkan pencapaian melepasi PNGK Kebangsaan 2.84 manakala 13 buah PPD telah menunjukkan pencapaian melepasi PNGK Negeri 2.76,” katanya.
Menurutnya, bagi peperiksaan STPM 2023, daripada 7,982 calon yang hadir, sebanyak 99.99 peratus atau 7,981 calon layak dianugerahkan Sijil STPM 2023, manakala hanya 00.01 peratus atau satu calon sahaja tidak layak mendapat sijil ini.
Turut hadir Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah Peto Galim.
]]>KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berpeluang berinteraksi bersama pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2020, yang diadakan secara maya di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini hari ini.
Ketua Menteri turut merakamkan tahniah dan berbangga atas pencapaian cemerlang pelajar-pelajar berkenaan serta berharap mereka akan meneruskan pelajaran hingga ke tahap lebih tinggi sekali gus menyumbang kepada bangsa, agama dan negara.
Pada majlis itu, Hajiji turut menjawab soalan yang dikemukakan beberapa pelajar antaranya berkaitan hasrat dan impian Ketua Menteri untuk melihat pembangunan dalam modal insan di negeri ini, bantuan biasiswa, usaha menambah institut pengajian tinggi (IPT) di Sabah dan situasi semasa pandemik COVID-19 serta proses vaksinasi di negeri ini.
Kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS), katanya akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat kerana mereka adalah tenaga yang penting untuk membangunkan negeri ini.
“Kemajuan dan pembangunan negeri pada masa akan datang bergantung kepada rakyatnya yang ada pelajaran, ilmu dan kepakaran serta kemahiran dalam pelbagai bidang terutama untuk bersaing dalam dunia tanpa sempadan ini.
“Justeru, kita memerlukan modal insan yang ada kepakaran dan kemahiran tinggi bagi memacu pembangunan serta kemajuan negeri ini. Anda semua (pelajar) adalah peneraju kepimpinan negara pada masa hadapan,” katanya.
Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri bersama Pelajar Cemerlang STPM 2020 itu adalah anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Sabah.
Pada tahun 2020, seramai 7,409 calon STPM di Sabah dengan 72 calon berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00, manakala seramai 7,330 calon mendapat lulus penuh atau 98.93 peratus.
Sementara itu, antara bantuan untuk membantu pelajar di negeri ini ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), iaitu pemberian tunai RM2,000 secara one-off kepada pelajar daripada golongan B40 dan bakal melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Selain itu, Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) sebanyak RM200 secara ‘one-off ’ kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), STPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
]]>KOTA KINABALU : Kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada semua calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 di Sabah yang berjaya mencapai prestasi cemerlang dan membanggakan dalam peperiksaan itu.
Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, seramai 7,330 orang calon STPM tahun lalu berjaya mendapat Lulus Penuh berbanding 6,956 orang pada tahun 2019.
“Gred Purata Nilai Keseluruhan (GPNK) Negeri Sabah, pada tahun 2020 adalah sebanyak 2.71 berbanding 2.67 pada tahun 2019. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.04 mata gred.
“Manakala perbezaan GPNK antara Negeri dan Negara adalah sebanyak 0.07 mata gred pada tahun 2020 berbanding 0.10 pada tahun 2019 menunjukkan perbezaan GPNK semakin mengecil,”katanya.
Beliau berkata dalam sidang media bersama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Dr. Mistirine Radin di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) disini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Tugas-Tugas Khas di Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas, Sapdin Ibrahim.
Mohd Arifin berkata, meskipun negara masih menghadapi pandemik COVID-19 namun semua calon STPM 2020 berjaya memperoleh keputusan cemerlang.
“Ini merupakan tahun keempat berturut-turut calon STPM dari Sabah mencatat prestasi cemerlang dengan peratus kelulusan terus meningkat. Syabas dan tahniah juga kepada Pengarah Pendidikan Sabah dan pegawai-pegawainya, guru-guru, petugas peperiksaan kerana berjaya memperkasa pendidikan di Sabah.
“Pelajar Sabah juga cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020,” katanya.
Katanya, calon STPM terbaik bagi negeri Sabah ialah Azizul Rashid dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan yang memperoleh 5A dan sebanyak 58 buah sekolah mencapai kelulusan 100% pada tahun 2020.
10 buah sekolah terbaik bagi kategori jumlah calon dari 01 hingga 49 orang ialah SMK Agama Limauan (Kimanis), SMK Agama Kota Kinabalu, SMK Kota Klias Beaufort, SMK Segama Lahad Datu, SMK Sindumin (Sipitang), SMK Kunak Jaya (Kunak), SMK Merotai (Tawau), SM Agama Mohamad Ali (Ranau), SMK Membakut dan SMK Madai (Kunak).
10 sekolah terbaik kategori jumlah calon 50 hingga 99 orang terdiri daripada Maktab Sabah (Kota Kinabalu), SMK Majakir (Papar), SMK Sepagaya (Lahad Datu), SMK Sandakan II (Sandakan), SMK Lohan (Ranau), SMK Pengiran Omar (Sipitang), SMK Datuk Panglima Abdullah (Semporna), Sekolah Tinggi Kota Kinabalu, SMK Takis (Papar) dan SMK Beluran.
Manakala 10 sekolah terbaik bagi kategori jumlah calon 100 dan keatas ialah SMK Tamparuli (Tuaran), SMK Elopura II (Sandakan), SMK Putatan, SMK Bugaya (Semporna), Kolej Tingkatan 6 (KK B Sabah), SMK Limbanak (Penampang), SMK Nabawan, Kolej Tingkatan 6 Tawau (B), Kolej Tingkatan 6 Tawau (C) dan SMK Muhibbah (Sandakan).
]]>KOTA KINABALU : Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 di negeri ini menyaksikan seramai 72 orang calon mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 iaitu peningkatan berbanding keputusan STPM 2019.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr Mistirine Radin berkata, keputusan itu merupakan peningkatan pencapaian peratus lulus sebanyak 0.07 peratus.
“Gred Purata Nilai Keseluruhan (GPNK) Sabah, pada tahun lalu adalah sebanyak 2.71 berbanding 2.67 pada tahun sebelumnya. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.04 mata gred.
“Manakala perbezaan GPNK antara Negeri dan Negara adalah sebanyak 0.07 mata gred pada tahun 2020 berbanding 0.10 pada tahun 2019 menunjukkan perbezaan GPNK semakin mengecil,”katanya dalam kenyataan disini malam ini.
Dr Mistirine berkata, dari segi kelulusan peringkat principal bagi 2020, peratus calon yang lulus penuh 1 hingga 5 mata pelajaran adalah 98.93 peratus berbanding 98.86 peratus pada 2019.
Katanya, daripada 21 Mata Pelajaran STPM yang diduduki oleh calon-calon di Sabah pada tahun 2020, sebanyak sembilan Mata Pelajaran telah menunjukkan peningkatan dan pengekalan prestasi.
“Selain itu, sebanyak 58 buah sekolah telah mencapai kelulusan 100 peratus keputusan STPM pada tahun lalu.
“Sebanyak 25 buah pusat peperiksaan terletak di kawasan bandar dengan pencapaian lulus sebanyak 99.46 peratus manakala 77 buah sekolah di luar bandar mencapai lulus sebanyak 97.44 peratus.
“Ini menunjukkan jurang perbezaan lulus antara bandar dan luar bandar iaitu 2.02 peratus,”katanya.
Beliau berharap agar calon STPM 2020 dapat meneruskan budaya kecemerlangan dalam pelbagai bidang yang diceburi pada masa akan datang.
]]>6 Jun 2021
Erdie Ab Wahid
[email protected]
KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah akan mengagihkan sebanyak 10,000 unit komputer riba kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun ini
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pemberian komputer riba yang dipersetujui kabinet itu akan dilaksanakan menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) membabitkan peruntukan sebanyak RM15 juta.
“Pengagihan akan mengambil masa selama kira-kira tiga bulan sehingga Oktober ini. Kerajaan negeri berharap pemberian komputer riba ini akan membantu pelajar yang tidak berkemampuan.
“Ini adalah kaedah yang kita ambil untuk membantu agar pelajar yang tidak berkemampuan tidak tercicir dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR),” katanya disini hari ini.
Pengagihan komputer riba menerusi BAIK untuk Fasa 1 ini membabitkan 9,842 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan 158 dari Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN).
Menerusi Mesyuarat Kabinet sebelum ini, jemaah menteri bersetuju supaya satu jawatankuasa yang dipengerusikan bersama Menteri Tugas-Tugas Khas dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dibentuk untuk mencari kaedah membantu pelajar yang tidak berkemampuan, agar tidak tercicir dalam PdPR.
Kementerian Tugas-Tugas Khas bertanggungjawab menyediakan senarai pelajar yang terpilih mengikut kriteria ditetapkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Sabah.
Manakala Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan mengenalpasti serta menentukan komputer riba yang akan diagih kepada pelajar yang layak.
Hajiji berkata mesyuarat memutuskan untuk Fasa 1, sebanyak 10,000 komputer riba diagihkan kepada pelajar Tingkatan 5 dan 6, yang akan mengambil peperiksaan tahun ini.
Pemberian komputer riba untuk Fasa 1 itu, membabitkan ibu bapa atau penjaga pelajar yang termasuk dalam kategori e-kasih miskin tegar.
“Komputer riba daripada pelbagai jenama termasuk ACER, Lenovo dan DELL itu boleh digunakan sehingga melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Terdahulu, pada awal tahun ini, Hajiji memaklumkan kerajaan akan berusaha menyediakan gajet kepada pelajar yang kurang berkemampuan berikutan pelaksanaan PdPD ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
]]>