Sukan komanwel – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Mon, 03 Aug 2026 03:52:14 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Sukan komanwel – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Gangsa Komanwel Glasgow bukti atlet Sabah mampu bersaing di pentas dunia – Nizam https://sabahmedia.com/2026/08/03/gangsa-komanwel-glasgow-bukti-atlet-sabah-mampu-bersaing-di-pentas-dunia-nizam/ https://sabahmedia.com/2026/08/03/gangsa-komanwel-glasgow-bukti-atlet-sabah-mampu-bersaing-di-pentas-dunia-nizam/#respond Mon, 03 Aug 2026 03:48:36 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100914
Read Time:2 Minute, 24 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Kejayaan atlet angkat berat Sabah, Irene Jane Henry yang meraih pingat gangsa pada Sukan Komanwel Glasgow menjadi detik bersejarah apabila berjaya menamatkan kemarau 16 tahun atlit Sabah di temasya itu.

Irene yang bertanding dalam kategori 48 kilogram (kg) mencipta sejarah apabila berjaya menghadiahkan pingat gangsa, sekali gus mengembalikan kegemilangan negara dalam acara angkat berat wanita di pentas Komanwel.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pencapaian anak kelahiran Tambunan itu bukan sahaja membanggakan kerajaan negeri, malah seluruh rakyat Sabah kerana  berjaya mengharumkan nama negeri dan negara di peringkat antarabangsa.

“Adik Irene Jane Henry telah mencipta kejayaan di Sukan Komanwel di Scotland dengan berjaya mendapat pingat gangsa dalam kategori 48kg angkat berat dan telah mengakhiri kemarau pingat di kalangan wanita dalam sukan angkat berat Komanwel selepas 16 tahun.

“Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan saya sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam bidang sukan, tetapi juga seluruh rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyambut ketibaan Irene di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini pada Isnin.

Nizam berkata, kejayaan tersebut membuktikan bahawa atlet Sabah memiliki kemampuan untuk bersaing dengan atlet terbaik dunia sekiranya diberikan latihan, bimbingan dan sokongan yang berterusan.

Beliau berkata, pencapaian Irene juga merupakan hasil gabungan usaha gigih atlet itu sendiri, selain sokongan padu daripada keluarga, jurulatih, Majlis Sukan Negeri Sabah serta Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah.

Katanya, sokongan ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk kejayaan seseorang atlet dan tidak seharusnya tanggungjawab melahirkan juara diserahkan sepenuhnya kepada atlet atau agensi sukan semata-mata.

Beliau berharap lebih ramai ibu bapa di Sabah akan memberi galakan kepada anak-anak untuk menceburi bidang sukan agar negeri ini terus melahirkan atlet bertaraf dunia pada masa hadapan.

Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Irene dan keluarganya atas kejayaan yang disifatkan sebagai satu pencapaian membanggakan serta mampu menjadi inspirasi kepada generasi muda Sabah untuk mengejar kecemerlangan dalam bidang sukan tanpa mengabaikan pendidikan.

Dalam pada itu, Nizam berkata insentif tunai RM10,000 dari Kerajaan Negeri akan diberikan kepada Irene sebagai menghargai kejayaannya meraih pingat gangsa pada Sukan Komanwel di Scotland.

Beliau berkata, pemberian itu adalah sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian Irene yang berjaya mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di pentas sukan antarabangsa.

Katanya, selain insentif daripada Kerajaan Sabah, Irene turut menerima ganjaran RM20,000 daripada Majlis Sukan Negara (MSN) hasil kejayaannya memenangi pingat gangsa.

“Sudah semestinya atlet-atlet yang mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa dengan memenangi pingat emas, perak dan gangsa akan menerima insentif daripada Kerajaan Sabah.

“Difahamkan adik Irene akan mendapat insentif RM20,000 daripada Majlis Sukan Negara. Kerajaan Sabah pula akan menambah RM10,000 secara tunai, menjadikan jumlah keseluruhan insentif yang diterima beliau sebanyak RM30,000,” katanya.

Menurut beliau, pemberian insentif itu mencerminkan komitmen Kerajaan Sabah dalam menghargai jasa atlet yang berjaya mengangkat nama negeri dan negara di persada antarabangsa. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/03/gangsa-komanwel-glasgow-bukti-atlet-sabah-mampu-bersaing-di-pentas-dunia-nizam/feed/ 0 100914
Badminton berpasukan Malaysia tebus semula emas, tewaskan India 3-1 https://sabahmedia.com/2022/08/03/badminton-berpasukan-malaysia-tebus-semula-emas-tewaskan-india-3-1/ https://sabahmedia.com/2022/08/03/badminton-berpasukan-malaysia-tebus-semula-emas-tewaskan-india-3-1/#respond Tue, 02 Aug 2022 23:19:17 +0000 https://sabahmedia.com/?p=19527
Read Time:1 Minute, 50 Second

BERNAMA

BIRMINGHAM: Misi tercapai. Pingat emas berpasukan campuran Sukan Komanwel kembali kepada Malaysia.

Pasukan badminton campuran negara berjaya menebus semula kekalahan 1-3 kepada India pada edisi Gold Coast 2018, selepas menumbangkan juara bertahan itu 3-1, pada perlawanan akhir Sukan Komanwel Birmingham 2022 di sini pada Selasa.

Bermain di National Exhibition Centre Hall Five yang hampir dipenuhi penonton, pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan kemenangan malam tadi dengan mengatasi pasangan beregu utama India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Kedua-dua pemain yang menunjukkan permainan cemerlang pada set pertama, saling bersaingan dari mata pertama sehingga kedudukan 18-18, sebelum Aaron Chia-Wooi Yik memenanginya 21-18.

Set kedua menyaksikan Aaron-Wooi Yik terus mengawal perlawanan dengan mendahului lima mata pada 16-11, dengan serangan kencang yang sering menyebabkan pasangan India itu kehilangan mata, sehingga memberikan mata pertama Malaysia, selepas menang set kedua 21-15.

Goh Jin Wei yang turun pada perlawanan kedua pula layak mendapat pujian, kerana walaupun ketinggalan 1-8 kepada bekas juara dunia Pusarla V. Sidhu, pemain profesional negara itu berjaya menyamakan kedudukan 18-18, sebelum tewas 22-20.

Pada set kedua, Jin Wei terus memberikan persaingan sengit kepada Pusarla, sebelum tewas 17-21 dan membolehkan India menyamakan kedudukan 1-1.

Pemain perseorangan utama kebangsaan Ng Tze Yong kemudiannya membolehkan Malaysia mendahului semula pada perlawanan ketiga, selepas beliau menang perlawanan sengit tiga set ketika berhadapan bekas pemain nombor satu dunia Kidambi Srikanth.

Tze Yong berjaya mengatasi Srikanth pada set pertama 21-19, sebelum seperti hilang punca dan tewas mudah 21-6 pada set kedua.

Bagaimanapun set ketiga menyaksikan Tze Yong kembali ke gelanggang dengan lebih baik dan berjaya memberikan mata kedua kepada Malaysia dengan mengatasi Srikanth 21-16.

Membawa semangat kemenangan Tze Yong itu, pasangan beregu wanita negara Pearly Tan-M.Thinaah memastikan emas keempat bagi acara itu menjadi milik negara selepas edisi Melbourne 2006, New Delhi 2010 dan Glasgow 2014, dengan mengalahkan pasangan Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela, 21-18, 21-17.

Sebaik menang, Thinaah melompat kegembiraan, Pearly melutut pada ketika keseluruhan pasukan Malaysia menyerbu ke gelanggang bagi meraikan kemenangan buat negara.

Sementara itu, gangsa dimenangi Singapura yang mengalahkan pasukan tuan rumah 3-0, pada perlawanan semalam.– BERNAMA

]]>
https://sabahmedia.com/2022/08/03/badminton-berpasukan-malaysia-tebus-semula-emas-tewaskan-india-3-1/feed/ 0 19527