sulu sabah – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Fri, 04 Apr 2025 06:01:23 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png sulu sabah – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Penilaian Semula Tuntutan Baharu Kesultanan Sulu terhadap Sabah: Hujahan Penolakan Awal https://sabahmedia.com/2025/04/04/penilaian-semula-tuntutan-baharu-kesultanan-sulu-terhadap-sabah-hujahan-penolakan-awal/ https://sabahmedia.com/2025/04/04/penilaian-semula-tuntutan-baharu-kesultanan-sulu-terhadap-sabah-hujahan-penolakan-awal/#respond Fri, 04 Apr 2025 05:56:52 +0000 https://sabahmedia.com/?p=71453
Read Time:4 Minute, 44 Second

Oleh Marja Azlima Omar (Pensyarah Kanan, Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah)

Pada April 2025, Kesultanan Sulu telah mengumumkan hasratnya untuk mengemukakan beberapa siri perjanjian bersejarah, termasuk pakatan ufti abad ke-15 dengan China dan Perjanjian Carpenter-Kiram 1915, sebagai asas kepada tuntutan wilayah dan ganti rugi bernilai USD25 bilion terhadap Malaysia berkait dengan Sabah. Tuntutan yang terkini ini jelas memperlihatkan satu interaksi yang rumit antara undang-undang antarabangsa moden, diplomasi budaya dan warisan sejarah. 

Oleh itu, penulisan ringkas ini bertujuan menilai kesahihan tuntutan-tuntutan tersebut melalui perspektif undang-undang antarabangsa, dengan memberi tumpuan kepada tafsiran perjanjian, Prinsip Kawalan Efektif (Principle of Effective Control), dan piawaian kedaulatan semasa.

Memandangkan Kesultanan Sulu berhasrat untuk menghidupkan semula status sejarah dan tuntutan kedaulatannya dengan merujuk kepada perjanjian lama serta jalinan kerjasama dengan Kesultanan-kesultanan di Mindanao, tuntutan seperti ini wajar diteliti kesahihannya menurut piawaian undang-undang antarabangsa dan ketepatan sejarah. Dengan meneliti tindan-lapis antara perjanjian sejarah dan kerangka undang-undang moden, analisis ringkas ini menonjolkan sifat simbolik kedudukan Kesultanan serta jurang antara naratif warisan dan mekanisme semasa bagi menyelesaikan tuntutan wilayah yang bertindih.

Pertama sekali, adalah penting untuk ditekankan bahawa teras kepada hujahan Kesultanan Sulu kali ini ialah perjanjian dengan Dinasti Ming pada tahun 1405. Berdasarkan hujahan tersebut, bukti status kewujudan Kesultanan Sulu dipaparkan sebagai “negara ufti merdeka.” (“independent tributary state”) Walaupun hubungan ufti merupakan norma diplomatik dalam sejarah Empayar China hubungan sedemikian tidak sama sifat dan tarafnya dengan hubungan sesama entiti berdaulat seperti negara/state yang mempunyai personaliti undang-undang dalam sistem perjanjian moden masa kini. 

Marja Azlima Omar

Sebaliknya, hubungan tersebut adalah bersifat hierarki dan ritual semata-mata, dan ianya berfungsi untuk mengekalkan keharmonian dalam hubungan dua hala dan kelangsungan perdagangan. Tuntasnya, hubungan tersebut tidak mewujudkan hak-hak yang boleh dikuatkuasakan atau menjadi asas kepada tuntutan wilayah.

Walaupun Presiden China, Xi Jinping mengiktiraf hubungan tersebut semasa sambutan ulang tahun ke-600 kemangkatan Raja Timur Sulu pada tahun 2017, pengiktirafan sedemikian ternyata cirinya simbolik tanpa sebarang pengiktirafan undang-undang. Ini bermakna, pengiktirafan yang diberikan oleh Presiden Xi Jinping bukanlah satu bentuk pengiktifan undang-undang (legal endorsement) ke atas hak kewilayan dalam kerangka undang-undang antarabangsa kontemporari. Dalam erti kata lain, hubungan China-Sulu pada tahun 1405 adalah merupakan satu hubungan simbolik diplomatik pada ketika itu.

Kedua, kepentingan Perjanjian Carpenter-Kiram 1915 dalam hal ini juga tidak boleh dipandang remeh. Ini adalah kerana perjanjian tersebut dimentarai bagi menandakan perubahan penting dalam sifat dan peranan Kesultanan Sulu, iaitu daripada kuasa pemerintahan kepada institusi keagamaan dan kebudayaan di bawah perlindungan kolonial Amerika. Ini bermaksud Perjanjian Carpenter-Kiram 1915 merupakan satu fasa dalam peralihan pentadbiran kolonial. Walaupun Sultan masih mengekalkan pengaruh dan mempunyai autoriti dalam hal-ehwal upacara agama dan adat istiadat serta tradisi, kuasa pentadbiran dan kedaulatan telah dipindahkan kepada Amerika Syarikat. Perjanjian tersebut tidak mengiktiraf sebarang tuntutan wilayah yang boleh dikuatkuasakan ke atas Sabah. 

Malah, Sabah tidak termasuk dalam perjanjian itu kerana pada ketika itu Sabah telah pun berada di bawah pentadbiran Syarikat Borneo Utara British. Apa yang boleh ditegaskan di sini ialah Perjanjian Carpenter-Kiram 1915 itu lebih merupakan satu dokumen sejarah pengukuhan empayar dan tidak memadai untuk dijadikan asas sah bagi tuntutan wilayah dewasa ini.

Ketiga, adalah mustahak untuk menjelaskan bahawa asas tuntutan Kesultanan Sulu yang terbaharu menekankan hubungkait antara kedaulatan, Prinsip Kawalan Efektif (Principle of Effective Control) dan Prinsip Penentuan Nasib Sendiri (Principle of Self Determination). Salah satu prinsip utama dalam undang-undang antarabangsa ialahPrinsip Kawalan Efektif , dan dalam hal ini, Malaysia telah mentadbir Sabah secara berterusan sejak pembentukannya pada tahun 1963. 

Pemerintahan de facto ini diperkukuhkan melalui penglibatan rakyat Sabah dalam Persekutuan Malaysia menerusi referendum. Penyertaan ini mengukuhkan kedaulatan Malaysia ke atas wilayah tersebut. Sejak penubuhannya, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan resolusi-resolusi Perhimpunan Agung telah secara konsisten menyokong perlaksanaan hak untuk penentuan nasib sendiri (self-determination rights). Rakyat Sabah telah dengan jelas melaksanakan hak ini, dan keputusan mereka untuk menyertai Malaysia membawa implikasi undang-undang yang lebih signifikan dan berwibawa berbanding tuntutan berdasarkan perjanjian bersejarah yang dikemukakan oleh Kesultanan Sulu. Pendek kata, tuntutan tersebut tidak mencapai piawaian dan menepati ruang-lingkup bidangkuasa undang- undang antarabangsa moden.

Akhir sekali, perlu ditegaskan bahawa piagam perpaduan baharu Kesultanan-Kesultanan di Mindanao adalah sebenarnya suatu bentuk kesedaran kebangkitan budaya, dan bukannya instrumen yang mempunyai ikatan undang-undang. Piagam yang ditandatangani oleh Kesultanan Sulu, Maguindanao dan Rajaan Buayan mencerminkan solidariti budaya dan sejarah yang penting dalam kalangan pemimpin tradisional Mindanao. 

Walaupun ia mungkin mempunyai kepentingan sosiopolitik dalam komuniti tertentu, perjanjian sedemikian tidak mempunyai kesahan dan autoriti undang-undang dalam undang-undang antarabangsa kecuali ianya diiktiraf oleh negara berdaulat atau organisasi antarabangsa yang diwujudkan melalui perjanjian seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kebangkitan semula rangkaian diraja ini, meskipun signifikan untuk pemeliharaan warisan, namun kewujudannya tidak akan dapat diterjemahkan sebagai diplomasi antara negara atau mempunyai kedudukan dan personaliti undang-undang di PBB mahupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Tuntutan baharu Kesultanan Sulu terhadap hak wilayah ke atas Sabah adalah berdasarkan perjanjian pra-kolonial dan awal abad ke-20. 

Namun begitu, perjanjian-perjanjian ini tidak mempunyai asas kukuh dalam undang-undang antarabangsa moden. Perjanjian yang dirujuk sama ada bersifat simbolik atau hanya membawa implikasi kolonial yang sudah berlalu dan tidak boleh diterjemahkan kepada suatu instrumen undang-undang yang berautoriti di bawah undang-undang antarabangsa moden. 

Sebaliknya, pentadbiran Malaysia yang berterusan ke atas Sabah dan pelaksanaan hak penentuan nasib sendiri oleh penduduk wilayah tersebut membawa asas undang-undang yang jauh lebih kukuh di bawah norma antarabangsa. 

Sebarang usaha yang kredibel untuk menilai semula atau menyelesaikan persoalan Sabah perlu melibatkan mekanisme undang-undang dan kerangka geopolitik semasa, dan bukannya bersandarkan kepada tuntutan lapuk yang berpunca daripada kedaulatan yang telah lama luput.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/04/04/penilaian-semula-tuntutan-baharu-kesultanan-sulu-terhadap-sabah-hujahan-penolakan-awal/feed/ 0 71453
Sabah sambut baik keputusan Mahkamah Agung Perancis https://sabahmedia.com/2024/11/08/sabah-sambut-baik-keputusan-mahkamah-agung-perancis/ https://sabahmedia.com/2024/11/08/sabah-sambut-baik-keputusan-mahkamah-agung-perancis/#respond Fri, 08 Nov 2024 01:54:29 +0000 https://sabahmedia.com/?p=63434
Read Time:2 Minute, 15 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri menyambut baik keputusan Mahkamah Agung Perancis yang menolak sepenuhnya cabaran yang difailkan oleh individu yang mendakwa sebagai pewaris Kesultanan Sulu yang tidak lagi wujud terhadap Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, mengalu-alukan berita gembira yang dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, di akaun media sosialnya.

“Kami sekali lagi menegaskan bahawa kami tidak mengiktiraf sebarang tuntutan terhadap Sabah kerana kami adalah sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.

Hajiji turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said atas usaha untuk membatalkan award akhir oleh penimbang tara Sepanyol.


Semalam, Azalina berkata, keputusan Mahkamah Agung Perancis menolak sepenuhnya cabaran perundangan difailkan sekumpulan individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu adalah satu kejayaan penting buat Malaysia kerana percubaan untuk memeras ugut rakyat negara ini telah gagal.

Katanya, Malaysia kini akan memfokus kepada usaha untuk membatalkan award akhir yang diperoleh kumpulan berkenaan di Perancis secepat mungkin.

“Keputusan itu merupakan kemenangan penting buat Malaysia dalam strategi keseluruhannya untuk menghalang usaha penguatkuasaan award itu secara tidak sah di seluruh dunia oleh kumpulan yang membuat tuntutan (dan pembiaya mereka iaitu Therium) setakat ini.

“Usaha untuk memeras ugut rakyat Malaysia telah gagal dan Malaysia kini akan memfokus kepada usahanya di Perancis untuk mendapatkan pembatalan Award Akhir itu secepat mungkin,” katanya.

Semalam, Mahkamah Agung Perancis telah menolak sepenuhnya cabaran perundangan difailkan oleh kumpulan itu.

Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau menyifatkan ia sebagai kemenangan bersejarah buat Malaysia kerana keputusan penting itu bermakna asas awal yang membawa kepada Award Akhir iaitu Malaysia perlu membayar pampasan kira-kira US$15 bilion tidak diiktiraf di bawah undang-undang Perancis.

“Prosiding di Mahkamah Rayuan Paris akan diteruskan dalam masa terdekat untuk membatalkan Award Akhir yang dikeluarkan oleh Dr (Gonzalo) Stampa dan menyelesaikan isu itu secara muktamad dengan keputusan yang memihak kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Azalina menyambut baik keputusan bersejarah yang dibuat oleh Mahkamah Agung Perancis itu dan menyifatkan ia sebagai kejayaan amat bermakna bagi kedaulatan undang-undang yang akan membantu memelihara kesucian proses timbang tara antarabangsa sebagai satu alternatif dalam penyelesaian pertikaian.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan dan kepercayaan beliau yang tidak berbelah bahagi terhadap usaha berterusan untuk menegakkan pendirian Malaysia.

Sebelum ini, lapan warga Filipina mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang sudah tidak wujud memfailkan prosiding timbang tara di Sepanyol bagi menuntut berbilion dolar AS daripada Malaysia berhubung isu membabitkan Sabah dan sebuah mahkamah di Madrid pada Mac 2019 telah melantik Stampa sebagai penimbang tara bagi kes itu. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2024/11/08/sabah-sambut-baik-keputusan-mahkamah-agung-perancis/feed/ 0 63434