SYABU – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Thu, 08 Jan 2026 07:55:03 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png SYABU – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Polis tumpaskan sindiket dadah, rampas syabu bernilai RM1.26 juta https://sabahmedia.com/2026/01/08/polis-tumpaskan-sindiket-dadah-rampas-syabu-bernilai-rm1-26-juta/ https://sabahmedia.com/2026/01/08/polis-tumpaskan-sindiket-dadah-rampas-syabu-bernilai-rm1-26-juta/#respond Thu, 08 Jan 2026 07:54:36 +0000 https://sabahmedia.com/?p=89390
Read Time:1 Minute, 30 Second

Oleh Normimie Diun

PENAMPANG: Polis Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas merampas 39.5 kilogram dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM1.264 juta dalam satu serbuan di Taman Donggongon, di sini, Selasa lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, serbuan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah kira-kira jam 11.30 malam di sebuah rumah yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan dadah.

Menurutnya, dua lelaki tempatan berusia 28 dan 29 tahun ditahan dalam serbuan berkenaan, selepas polis menemukan 40 bungkusan pelbagai saiz yang mengandungi syabu di ruang tamu rumah terbabit.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati keseluruhan dadah yang dirampas seberat 39.5 kilogram dan dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira 160,000 penagih,” katanya pada sidang media di IPK Sabah di sini, hari ini.

Jauteh berkata, kedua-dua suspek merupakan warganegara Malaysia yang bermastautin di Kuala Lumpur dan berperanan mengambil dadah daripada syarikat penghantaran sebelum diedarkan semula di pasaran tempatan.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis benzodiazepine, manakala semakan rekod jenayah mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai rekod kes lampau.

“Sindiket ini dipercayai menggunakan modus operandi menyeludup dadah melalui syarikat penghantaran dengan laluan laut dari Kuala Lumpur ke Sabah, menggunakan pintu masuk yang sah,” katanya.

Menurut beliau, dadah tersebut disembunyikan dalam papan pemotong yang diubah suai dengan ruang khas sebelum ditutup semula bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Jauteh berkata, pihak polis akan mengadakan perbincangan dan kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan bagi memperketat kawalan serta pemeriksaan di pintu masuk negeri ini bagi membendung kemasukan dadah.

“Kita tidak menolak kemungkinan rangkaian sindiket ini lebih besar dan siasatan lanjut akan dilakukan termasuk kerjasama dengan JSJ Bukit Aman,” katanya.

Kesemua suspek kini direman sehingga 14 Januari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/01/08/polis-tumpaskan-sindiket-dadah-rampas-syabu-bernilai-rm1-26-juta/feed/ 0 89390
Lelaki warga asing ditahan, rampas syabu lebih 200 gram https://sabahmedia.com/2025/10/29/lelaki-warga-asing-ditahan-rampas-syabu-lebih-200-gram/ https://sabahmedia.com/2025/10/29/lelaki-warga-asing-ditahan-rampas-syabu-lebih-200-gram/#respond Wed, 29 Oct 2025 13:07:54 +0000 https://sabahmedia.com/?p=84452
Read Time:1 Minute, 3 Second

Oleh Ahmad Husnayan

SEMPORNA: Seorang lelaki warga asing berusia 40-an ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar daerah ini dalam satu operasi yang dijalankan minggu lalu.

Dalam kejadian pada 21 Oktober lalu kira-kira jam 11.30 pagi, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dengan bantuan Balai Polis Pulau Bum Bum menahan suspek di Kampung Sri Jaya, Semporna.

Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Jaafar Hakim, berkata hasil pemeriksaan terhadap suspek menemukan satu beg silang berwarna hitam bertulis New York, Los Angeles, Tokyo, London, Paris.

“Pemeriksaan lanjut ke dalam beg itu menemukan satu bungkusan plastik hitam yang mengandungi empat peket plastik berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Anggaran berat kasar dadah yang dirampas adalah 200.54 gram dengan nilai pasaran RM22,059.40,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Jaafar turut menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan pengedaran, pemilikan atau penyalahgunaan dadah.

“Polis mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah bagi membantu pihak berkuasa membanteras jenayah ini,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/29/lelaki-warga-asing-ditahan-rampas-syabu-lebih-200-gram/feed/ 0 84452
Tujuh lelaki ditahan, lebih 48 kilogram syabu dan ganja dirampas bernilai hampir RM1.6 juta https://sabahmedia.com/2025/10/22/tujuh-lelaki-ditahan-lebih-48-kilogram-syabu-dan-ganja-dirampas-bernilai-hampir-rm1-6-juta/ https://sabahmedia.com/2025/10/22/tujuh-lelaki-ditahan-lebih-48-kilogram-syabu-dan-ganja-dirampas-bernilai-hampir-rm1-6-juta/#respond Wed, 22 Oct 2025 11:59:34 +0000 https://sabahmedia.com/?p=83924
Read Time:2 Minute, 21 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah menumpaskan beberapa kegiatan pengedaran dadah hasil enam operasi berasingan di Semporna dan Kota Kinabalu, dengan menahan tujuh lelaki serta mencatat rampasan lebih 48 kilogram dadah bernilai hampir RM1.6 juta.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kes terbesar dalam siri operasi tersebut membabitkan rampasan 46.4 kilogram dadah jenis syabu di Kampung Air, Semporna.

Dalam kejadian itu, anggota Unit Kenderaan Peronda Polis (MPV) menahan seorang lelaki warga Filipina berusia 29 tahun yang didapati menolak kereta sorong berisi empat kotak besar di tepi jalan.
“Hasil pemeriksaan menemukan 45 bungkusan mengandungi syabu dengan anggaran nilai RM1,484,800.

“Saringan awal mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine dan suspek yang tidak bekerja itu ditahan reman hingga 26 Oktober untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya semasa sidang media di Pejabat JSJN Sabah di sini hari ini.

Jauteh berkata, pihak polis kemudian membuat tangkapan susulan di Pulau Denawan pada 20 Oktober yang membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki warga Filipina berusia 35 tahun, namun tiada rampasan dibuat.

Sementara itu, dalam operasi di Kota Kinabalu, lima tangkapan lain dibuat melibatkan rampasan ganja seberat 1.3 kilogram dan syabu seberat satu kilogram.

“Dalam operasi pertama pada 16 Oktober, polis menahan seorang tukang masak berusia 26 tahun di Terminal Kereta Sewa Bandaran dan merampas 1.06 kilogram ganja bernilai RM3,500.

“Siasatan mendapati, suspek positif dadah jenis THC dan memiliki dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Serbuan kedua di sebuah taman perumahan di Kepayan pada hari sama menemukan 3.52 gram ganja daripada seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang tidak bekerja,” katanya.

Tambahnya, pada 17 Oktober, seorang pemandu selam berusia 40 tahun ditahan di Jalan Penampang bersama 139.9 gram ganja bernilai RM1,000 yang dipesan dari Kuala Lumpur.

“Sehari kemudian, seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan di sebuah taman perumahan di Kingfisher Sulaman bersama 24.17 gram ganja bernilai RM200, manakala kesemua suspek berkenaan direman antara 23 hingga 24 Oktober bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dalam operasi berasingan pada 20 Oktober, seorang lagi lelaki warga Filipina berusia 33 tahun ditahan di hadapan sebuah hotel bersama satu kilogram syabu bernilai RM32,000,” katanya sambil menambah saringan air kencing mendapati suspek positif THC, methamphetamine dan amphetamine.

Jauteh berkata, JSJN Sabah dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) turut memintas satu bungkusan mengandungi 591 gram ganja di gudang Pos Aviation Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 17 Oktober.

“Bungkusan itu dipercayai dihantar dari Kelantan ke Sabah menggunakan perkhidmatan pos, namun tiada tangkapan dibuat. Kesemua kejayaan itu hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat kepada polis.

“PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan pengedaran atau penyalahgunaan dadah. Dadah adalah musuh nombor satu negara,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/22/tujuh-lelaki-ditahan-lebih-48-kilogram-syabu-dan-ganja-dirampas-bernilai-hampir-rm1-6-juta/feed/ 0 83924
Warga asing berdepan hukuman mati edar syabu https://sabahmedia.com/2025/10/01/warga-asing-berdepan-hukuman-mati-edar-syabu/ https://sabahmedia.com/2025/10/01/warga-asing-berdepan-hukuman-mati-edar-syabu/#respond Wed, 01 Oct 2025 09:17:50 +0000 https://sabahmedia.com/?p=82309
Read Time:1 Minute, 13 Second

Oleh Ahmad Husnayan

TAWAU: Seorang lelaki warga asing berdepan hukuman mati selepas ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di kawasan perumahan pekerja ladang sawit di Kalabakan, semalam.

Suspek berusia 50-an itu ditahan kira-kira jam 7 malam menerusi Op Gempur Khas ketika berada di ruang tamu rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata pihaknya sebelum ini menerima maklumat awam mengenai kegiatan mengedar dadah di kawasan tersebut.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek menyerahkan sendiri satu beg kecil berzip hitam yang mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi hablur jernih dipercayai syabu seberat 63.42 gram.

“Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Suspek bersama semua rampasan dadah yang dianggarkan bernilai RM6,300 itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis masih mengesan individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah berkenaan selain giat menjalankan risikan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan, selain Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana positif dadah,” katanya.

Jasmin menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

“PDRM Tawau komited membanteras sindiket dadah habis-habisan kerana ia merupakan ancaman besar kepada keselamatan masyarakat.

“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat segera kepada pihak polis bagi membantu usaha mengekang kegiatan ini,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/01/warga-asing-berdepan-hukuman-mati-edar-syabu/feed/ 0 82309
Polis tahan tiga lelaki dipercayai runner, rampas syabu RM1.3 juta https://sabahmedia.com/2025/09/02/polis-tahan-tiga-lelaki-dipercayai-runner-rampas-syabu-rm1-3-juta/ https://sabahmedia.com/2025/09/02/polis-tahan-tiga-lelaki-dipercayai-runner-rampas-syabu-rm1-3-juta/#respond Tue, 02 Sep 2025 13:35:08 +0000 https://sabahmedia.com/?p=80489
Read Time:2 Minute, 24 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Polis Sabah menahan tiga lelaki dipercayai penghantar barang (runner) sindiket dadah dan merampas syabu seberat 41.63 kilogram bernilai lebih RM1.3 juta dalam dua operasi berasingan di Ranau dan Telupid pada Ogos lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, dalam serbuan pertama di stesen minyak Petronas Kg. Kilimu, Jalan Ranau Poring pada jam 8.15 pagi, seorang lelaki tempatan ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama sebuah beg berisi 20 bungkus plastik teh berwarna jingga yang mengandungi syabu seberat 21.3 kilogram bernilai RM681,600.

Suspek berusia 31 tahun, tidak bekerja dan berasal dari Miri, Sarawak.

“Dalam tangkapan susulan sejam kemudian, pasukan polis mengekori sebuah kereta Bezza biru hingga ke perkarangan sebuah masjid di Telupid, sebelum menemui satu lagi beg berisi 20 bungkus plastik teh mengandungi syabu seberat 20.33 kilogram bernilai RM650,560.

“Dua suspek lelaki berusia 24 dan 26 tahun ditahan dalam operasi itu. Kedua-duanya tidak bekerja, masing-masing berasal dari Lahad Datu dan Tawau,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, ketiga-tiga suspek kini direman sehingga 5 September untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Menurut Jauteh, siasatan mendapati ketiga-tiga suspek berperanan sebagai runner bagi seorang pembekal dadah untuk menghantar bekalan dari Kota Kinabalu ke Tawau dan Semporna dengan bayaran RM1,000 bagi setiap kilogram.

Mereka mengaku terlibat sejak Februari lalu dan ini adalah kali ketiga mereka menghantar bekalan. Rampasan kali ini mampu menampung kira-kira 160,000 penagih untuk sekali penggunaan.

“Dadah berkenaan dipercayai diseludup ke Sabah dari Semenanjung Malaysia menggunakan perkhidmatan penghantaran udara,” katanya.
Jauteh berkata, ujian air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah jenis syabu.

Semakan rekod pula menunjukkan dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Polis turut menyita sebuah Toyota Vios, sebuah Honda City dan sebuah motosikal Yamaha Ego dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM62,000.

Dalam operasi berasingan pada 14 Ogos, polis turut menahan seorang lelaki tempatan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kunak di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Tangkapan ini membawa kepada sitaan harta bernilai RM2.17 juta termasuk wang tunai, 16 kenderaan, barangan kemas, jam tangan mewah serta sebuah mesin kira wang.

Subjek terbabit dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar Kota Kinabalu dan Pantai Timur Sabah serta pernah dikenakan tahanan di Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam antara 2016 hingga 2018.

Tambah Jauteh, setakat tahun ini, seramai 33 pengedar dadah ditahan di Sabah di bawah Akta Dadah Berbahaya LLPK.

“Polis Sabah akan terus agresif dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah. Dadah adalah musuh nombor satu negara,” tegasnya.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui hotline JSJN di talian 012-2087222.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/02/polis-tahan-tiga-lelaki-dipercayai-runner-rampas-syabu-rm1-3-juta/feed/ 0 80489
Lelaki warga asing didakwa edar lebih dua kilogram syabu https://sabahmedia.com/2025/08/08/lelaki-warga-asing-didakwa-edar-lebih-dua-kilogram-syabu/ https://sabahmedia.com/2025/08/08/lelaki-warga-asing-didakwa-edar-lebih-dua-kilogram-syabu/#respond Fri, 08 Aug 2025 10:03:05 +0000 https://sabahmedia.com/?p=78813
Read Time:40 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Seorang lelaki warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat lebih dua kilogram.

Tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya itu pada jam 9.30 pagi di kawasan Rastamas Foodcourt, Jalan Pelabuhan pada 25 Julai dan didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan sekurang-kurangnya 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

Tertuduh, Milpan Acho, 22, tidak membuat sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Rendah, Mohd Afiz Huzairi Ayob.

Mahkamah menetapkan 11 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan oleh Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/08/lelaki-warga-asing-didakwa-edar-lebih-dua-kilogram-syabu/feed/ 0 78813
Dua individu tempatan ditahan miliki ekstasi dan syabu https://sabahmedia.com/2025/06/29/dua-individu-tempatan-ditahan-miliki-ekstasi-dan-syabu/ https://sabahmedia.com/2025/06/29/dua-individu-tempatan-ditahan-miliki-ekstasi-dan-syabu/#respond Sun, 29 Jun 2025 00:44:41 +0000 https://sabahmedia.com/?p=76335
Read Time:1 Minute, 21 Second

PENAMPANG: Polis berjaya menahan dua individu tempatan termasuk seorang wanita dalam operasi berasingan melibatkan rampasan dadah disyaki jenis ekstasi dan syabu di daerah Penampang dan Putatan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, dalam tangkapan pertama pada 27 Jun sekitar jam 9.45 malam, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sabah telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun di hadapan lobi sebuah kondominium di Penampang.

“Hasil pemeriksaan menemui enam paket plastik disyaki mengandungi serbuk dadah jenis ekstasi seberat kira-kira 228 gram dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM4,800. Turut dirampas adalah sebuah kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek kini direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup (30 tahun) serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.

Dalam serbuan berasingan pada 28 Jun sekitar jam 2.00 petang, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Penampang telah menahan seorang wanita tempatan berusia 35 tahun di kawasan perumahan di Putatan.

“Pemeriksaan menemukan tiga paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 5.22 gram. Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan sebatan tidak kurang tiga kali, serta Seksyen 15(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Sammy turut menegaskan bahawa pihak polis akan terus komited memerangi jenayah dan penyalahgunaan dadah di daerah ini serta menyeru masyarakat agar tampil menyalurkan maklumat demi keselamatan bersama.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/06/29/dua-individu-tempatan-ditahan-miliki-ekstasi-dan-syabu/feed/ 0 76335
Syabu lebih 3kg dirampas di Tawau https://sabahmedia.com/2025/06/25/syabu-lebih-3-kilogram-dirampas-di-tawau/ https://sabahmedia.com/2025/06/25/syabu-lebih-3-kilogram-dirampas-di-tawau/#respond Wed, 25 Jun 2025 09:26:43 +0000 https://sabahmedia.com/?p=76159
Read Time:1 Minute, 45 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Lebih tiga kilogram dadah jenis syabu bernilai RM105,000 berjaya dirampas dalam satu operasi khas oleh polis di kawasan Inderasabah, di sini, pada 20 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota polis, sebelum mencampakkan sebuah beg berwarna kelabu bertulis “ONESTOP” di tepi jalan.

“Hasil pemeriksaan ke atas beg tersebut menemukan tiga bungkusan teh jenama ‘Guanyinwang’ yang mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan berat keseluruhan 3,085.64 gram dan dianggarkan bernilai RM105,000 di pasaran gelap,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek yang bertindak agresif ketika cuba ditahan akhirnya berjaya diberkas di kawasan berhampiran Fishing Paradise dan pemeriksaan lanjut mendapati dia tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. Siasatan awal juga mendapati dadah ini dipercayai akan diseludup ke negara jiran menggunakan laluan laut dengan bantuan bot laju, yang merupakan salah satu modus operandi sindiket,” katanya.

Menurut Jasmin, pihaknya percaya suspek bertindak sebagai ‘runner’ atau penghantar bagi sindiket penyeludupan dadah yang lebih besar.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 28 Jun ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, siasatan juga mendapati bekalan dadah terbabit diperoleh dari dalam negara, dan polis kini sedang mengesan rangkaian lain yang terlibat dalam sindiket berkenaan.

Jasmin turut memaklumkan bahawa polis menjalinkan kerjasama rapat dengan pasukan keselamatan dari Kalimantan Utara, Indonesia, termasuk melalui beberapa pertemuan rasmi bagi memperkukuh jaringan maklumat dan operasi bersama di sempadan.

“Kita juga menyeru masyarakat agar tidak terus menyalahkan pihak berkuasa sekiranya berlaku insiden jenayah. Sebaliknya, salurkan maklumat kepada polis dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya,” tegasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa indeks jenayah di Tawau telah menunjukkan penurunan lebih 50 peratus tahun ini berbanding tahun lalu, hasil usaha berterusan pihak penguatkuasa dan kerjasama erat masyarakat setempat.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/06/25/syabu-lebih-3-kilogram-dirampas-di-tawau/feed/ 0 76159
Syabu bernilai lebih RM16,000 dirampas, dua lelaki ditahan di dua lokasi operasi https://sabahmedia.com/2025/04/06/syabu-bernilai-lebih-rm16000-dirampas-dua-lelaki-ditahan-di-dua-lokasi-operasi/ https://sabahmedia.com/2025/04/06/syabu-bernilai-lebih-rm16000-dirampas-dua-lelaki-ditahan-di-dua-lokasi-operasi/#respond Sun, 06 Apr 2025 10:51:38 +0000 https://sabahmedia.com/?p=71546
Read Time:1 Minute, 12 Second

Oleh FLORIETA DIET

TAWAU: Dua lelaki ditahan dan dadah jenis syabu dianggarkan bernilai lebih RM16,000 dirampas dalam operasi di dua lokasi berlainan di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau menjalankan operasi setelah menerima maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah di sekitar daerah ini.

“Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki warga asing berumur 30an dalam keadaan yang mencurigakan di Taman Perumahan Batu 14 Jalan Apas. Hasil siasatan, suspek telah membawa polis ke sebuah rumah di kawasan berkenaan dan kemudian menyerahkan beg kertas yang berisi lima paket plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis syabu.

“Pemeriksaan lanjut ke atas beg berkenaan mendapati dadah jenis syabu berkenaan seberat 249.77 gram dianggarkan bernilai lebih RM16,000,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Tambahnya, hasil saringan awal mendapati air kencing suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara tangkapan kedua membabitkan seorang lelaki berusia 40an dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kampung Serudung Baru, Batu 15 Jalan Apas.

Katanya, hasil pemeriksaan, polis menemukan satu paket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 5.07 gram di dalam beg yang dibawa suspek.

“Hasil ujian awal air kencing suspek turut mendapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/04/06/syabu-bernilai-lebih-rm16000-dirampas-dua-lelaki-ditahan-di-dua-lokasi-operasi/feed/ 0 71546
Polis rampas syabu bernilai RM101,000, dua suspek ditahan https://sabahmedia.com/2025/03/04/polis-rampas-syabu-bernilai-rm101000-dua-suspek-ditahan/ https://sabahmedia.com/2025/03/04/polis-rampas-syabu-bernilai-rm101000-dua-suspek-ditahan/#respond Tue, 04 Mar 2025 06:50:12 +0000 https://sabahmedia.com/?p=69798
Read Time:1 Minute, 44 Second

Oleh FLORIETA DIET  

KOTA KINABALU: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya merampas dadah jenis syabu bernilai RM101,000, seberat 3158.05 gram dalam serbuan di sini dan Penampang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner (ACP) Kassim Muda berkata polis turut menahan dua orang suspek iaitu seorang wanita berbangsa Suluk berumur 25 tahun dan seorang lelaki berbangsa Melayu berumur 70 tahun. Sindiket ini juga dipercayai bergiat aktif sejak awal 2024.

“Berdasarkan maklumat risikan, sepasukan pegawai dan anggota JSJN IPD Kota Kinabalu pada 27 Februari lepas telah menahan suspek wanita yang sedang memegang satu beg kertas di hadapan sebuah kenderaan jenis proton Satria yang dpandu oleh suspek lelaki di sekitar sebuah bangunan apartment di sini,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.

ACP Kassim menunjukkan kenderaan yang digunakan oleh suspek.

Tambahnya lagi, hasil pemeriksaan di dalam beg kertas yang dibawa oleh wanita itu berisi dadah jenis syabu seberat 1048.02 gram. Ekoran tangkapan itu, pasukan telah membuat satu lagi serbuan di sebuah rumah di Penampang dan berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 2110.03 gram.

“Saringan awal polis mendapati suspek wanita positif dadah jenis ketamin, methamphetamine dan amphetamine, manakala suspek lelaki adalah negatif.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengedar bekalan dadah jenis syabu dalam kuantiti yang banyak kepada pengedar, dan kemudian dijual dalam peket-peket kecil sesuai dengan permintaan di sekitar daerah ini dan Penampang,” katanya.

Kassim juga menjelaskan bahawa kes ini disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman bermula pada 27 Februari lepas bagi membantu siasatan.

Tambahnya lagi, polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Proton Satria, tiga bentuk cincin, tiga utas jam tangan dan wang tunai keseluruhan bermilai RM326,109. Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah berjumlah RM427,109.

“JSJN Kota Kinabalu akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas untuk diheret ke muka pengadilan.

“IPD Kota Kinabalu bersama JSJN bertekad memerangi musuh nombor satu negara dan berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-52922,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/03/04/polis-rampas-syabu-bernilai-rm101000-dua-suspek-ditahan/feed/ 0 69798