LABUAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemui mati lemas dalam kolam renang di sebuah villa dekat sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan (WP) Labuan, Superintendan (Supt) Ahmad Jawila mengesahkan kejadian dan menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 8.05 pagi tadi (21 Jan) tentang kejadian seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun lemas di kolam renang, sebuah Villa W.P Labuan.
Katanya, pada 21 Jan jam lebih kurang 7.45 pagi, mangsa yang menginap di Villa tersebut bersama beberapa orang kanak-kanak yang lain pergi mandi di kolam renang yang terletak di hadapan Villa.
“Pada masa itu, ibu mangsa berada di tepi kolam dan mengawasi mangsa bersama kanak-kanak yang lain.
“Lebih kurang 15 minit kemudian, kesemua kanak-kanak yang mandi di dalam kolam tersebut telah diarahkan untuk masuk ke dalam villa. Namun, ibu mangsa tidak nampak anaknya dan beliau telah masuk ke dalam rumah untuk membuat pencarian.
“Selang beberapa minit, terdapat beberapa orang kanak-kanak menjerit di kawasan kolam kerana menjumpai mangsa di dalam kolam dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Ahmad, mangsa kemudiannya telah diangkat ke tepi kolam dan dijalankan bantuan pernafasan (CPR).
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Unit Kecemasan Hospital Labuan.
“Siasatan awal dapati bahawa tiada unsur jenayah di dalam kejadian ini,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad berkata, pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) W.P Labuan ditalian 087-412222.
]]>Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Perpustakaan Islam Sabah bakal dilancarkan pada bulan Ramadan tahun ini sebagai tempat rujukan bagi bidang-bidang teras serta disiplin ilmu Islam.
Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, perpustakaan yang dibina ini adalah menjadi pusat rujukan buku-buku keilmuan Islam antarabangsa dan nusantara namun perpustakaan ini juga tidak terhad kepada penyediaan bahan bacaan kepada umat Islam tetapi sebagai pusat kepada pembudayaan minat terhadap bidang ilmu dan lambang kekuatan intelek masyarakat Islam di negeri ini.
“Buku-buku rujukannya adalah dari kitab-kitab yang muktabar dan terkenal dalam bidang keilmuan Islam.
“Manakala hasil seni kaligrafi khat peringkat Asean telah kita kumpulkan untuk diletakkan di dalam galeri Perpustakaan Islam ini,” kata Arifin pada sidang media selepas Majlis Amanat Menteri Tugas-Tugas Khas 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini semalam.
Menurut Arifin, pihaknya kini sedang berbincang dengan pihak Universiti Al-Azhar untuk membolehkan salinan tesis-tesis doktor falsafah (PhD) yang dihasilkan sarjana Islam di universiti itu sejak awal penubuhan universiti berkenaan dan akan ditempatkan di Perpustakaan Islam Sabah sebagai bahan rujukan.
“Setakat ini sebahagian besar bahan-bahan dari dalam negara sudah disediakan hanya bahan dari luar negara belum diterima”, jelasnya.
Dalam pada itu, katanya perpustakaan yang terletak berhampiran Masjid Negeri Sabah itu akan diurus secara sistematik dengan pembangunan koleksi, pengkatalogan dan sirkulasi.
]]>KOTA KINABALU: Kerajaan akan membelanjakan RM50 juta bagi membina tambak sepanjang 4.4 kilometer untuk menyelesaikan masalah banjir di Pekan Tenom.
Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan mengatakan tender untuk projek itu akan dipanggil awal tahun depan, dan pembinaannya dijangka selesai pada tahun 2025.
“Ini hanya fasa pertama projek tebatan banjir di Tenom manakala tambak Tenom ini adalah setinggi tujuh meter, dengan lima kulvert berserta pintu di semua alur keluar.
“Projek ini juga akan membina sistem pemantauan banjir dan amaran yang lebih baik serta meninggikan jalan di tambak sesuai dengan standard yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya,” katanya selepas mengunjungi Jabatan Pengairan dan Saliran Tenom di daerah itu pada Jumaat.
Jeffrey, yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan, berkata lokasi Pekan Tenom yang berhampiran dengan pertemuan Sungai Pegalan dan Sungai Padas bermakna pekan ini selalu berisiko ditenggelami air banjir setiap kali hujan lebat berlaku.
Rumah-rumah yang dibina di sepanjang Sungai Padas kebanyakannya berada di bawah permukaan jalan, dan malangnya, Projek Tambak Tenom tidak akan dapat melindungi mereka dari banjir di masa depan.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mencadangkan agar penduduk-penduduk ini dipindahkan ke tempat yang lebih tinggi sebelum tragedi berlaku, seperti kehilangan nyawa.
Namun, cadangan ini perlu diperhalusi dengan Pejabat Daerah, seperti mengganti tanah yang hilang, mengenal pasti kawasan perumahan yang sesuai, dan memberi pampasan jika perlu.
Sementara itu, Tenom telah mengalami banjir terburuk enam minggu lalu, memaksa lebih daripada 5,000 penduduk meninggalkan rumah masing-masing.
“Pihak kementerian juga sedang mempertimbangkan potensi penyelesaian lain untuk mengatasi masalah banjir, seperti mengalihkan aliran sungai lebih jauh dari kawasan penduduk dan membina tasik buatan yang juga dapat berfungsi sebagai takungan air untuk daerah ini,” kata Jeffrey.
Jeffrey juga menegaskan bahawa masalah banjir adalah fenomena semula jadi kerana lokasi daerah berhampiran dua sungai utama di pedalaman Sabah.
Walau bagaimanapun, banjir yang lebih kerap dan teruk yang dilihat penduduk Tenom sejak dekad yang lalu mungkin disebabkan oleh aktiviti manusia di hulu sungai.
Jesteru itu, kegiatan yang merosakkan alam sekitar seperti pembalakan dan pertanian, telah mengakibatkan hakisan, kemusnahan kawasan tadahan air dan banjir lumpur.
“Saya harap setelah projek ini selesai, banjir seperti yang berlaku pada tahun 2014 dan pada bulan Mei tahun ini tidak lagi berlaku di masa hadapan,” ujarnya.
]]>KOTA KINABALU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan memulakan kerja awal projek mitigasi banjir untuk Kota Kinabalu pada tahun ini dan jadual pembinaan akan bermula pada tahun depan.
Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, Unit Perancang Ekonomi telah meluluskan projek tersebut ketika penggulungan ke-4, Rancangan Malaysia Ke-11.
“Tujuan projek ini di Kota Kinabalu adalah untuk memperbaiki sistem perparitan di Basin 8, yang meliputi kawasan Damai dan Dah Yeh Villa.
“Kerja awal, termasuk penyelidikan tanah dan tinjauan topografi, akan dilakukan tahun ini.
“Manakala, pelaksanaan perolehan untuk projek tebatan banjir ini dijadualkan pada tahun depan, ”katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.
Dr Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, mengatakan bahawa banjir di kawasan Kolombong, Inanam, Likas dan sekitarnya merupakan masalah lama yang berlanjutan.
Oleh itu, katanya, JPS telah mencadangkan satu kajian bagi pelan pembangunan untuk sistem ‘Pump-Barrage’ yang meliputi dua tadahan sungai utama dengan keluasan 50.3 km2 yang meliputi Likas dan Darau.
Sistem ini sangat penting kerana sebahagian besar kawasan-kawasan tersebut terletak bersebelahan pantai, dataran rendah dan mudah dilanda banjir, terutama ketika berlakunya hujan ribut bersamaan dengan air pasang.
Walau bagaimanapun, langkah tambahan mitigasi ini tidak dapat dielakkan akibat kenaikan paras air laut serta perubahan corak temporal.
“Sudah tiba masanya juga untuk meneroka dan mula merancangkan kaedah mitigasi seperti tersebut kerana hasil keberkesanannya yang terbukti banyak tempat di bandar terhadap kerosakan akibat banjir.
“Bagi daerah Lido, JPS telah melantik seorang perunding untuk menyelesaikan rancangan projek mitigasi banjir tetapi malangnya, projek ini terpaksa ditangguhkan kerana berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Namun, perolehan untuk projek ini kemungkinan akan dilakukan pada akhir tahun ini, dan saya menjangkakan kerja-kerja pembinaan akan dimulakan pada pertengahan tahun depan,”katanya.
]]>KENINGAU: “Saya tidak takut kena suntik vaksin,” begitu kata-kata semangat seorang warga emas yang berusia 100 tahun antara penerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Daerah Kecil Sook dekat sini pada Isnin. (21 Jun 2021).
Kuyinin Balansing berasal dari Kg Kabatang Baru, Tulid kira-kira 16km dari PPV Sook, ditemani oleh anak perempuannya Mihim Jiun, 61, semasa menerima suntikan vaksin tersebut.
Mihim berkata, ibunya tidak takut menerima vaksin Covid-19 kerana dia sudah dimaklumkan oleh anak-anaknya bahawa vaksin ini baik untuk kesihatan dan melindungi diri dari penyakit berjangkit yang merbahaya seperti Covid-19.
“Mama saya sempat lagi memberitahu kawan-kawannya supaya mengambil suntikan vaksin, mama saya cakap walaupun dia sudah tua umur 100 tahun tapi tidak takut untuk terima vaksin.
“Mama saya dalam keadaan yang baik sebaik sahaja menerima suntikan vaksin malah hari ini beliau sudah turun ke kebun,” ujar Mihim semasa ditemubual oleh pemberita Sabah Media hari ini.
Menurut Mihim, ibunya Kuyinin yang lahir pada 5 Jun 1921, mempunyai lapan orang anak, hanya memakan makanan yang direbus dan dipanggang serta banyak memakan sayur-sayuran yang ditanam sendiri adalah rahsia kesihatan ibunya sampai ke usia itu.
Manakala suami Kuyinin telah lama meninggal dunia sejak anak-anaknya kecil lagi.
Selepas sahaja Kuyinin menerima suntikan vaksin, ramai penduduk yang tinggal di kejiranan yang sama tampil dan mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19.
Dalam hal berkaitan, petugas kesihatan di PPV Sook merekodkan seramai 78 penduduk dari kawasan Sook sehingga ke Kg Mongorimot, Mansiat yang terletak 120km dari Daerah Keningau hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 mereka pada hari tersebut.
]]>