talasemia – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Fri, 15 Aug 2025 13:23:53 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png talasemia – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Saringan talasemia bakal pengantin masih di peringkat perbincangan https://sabahmedia.com/2025/08/16/saringan-talasemia-bakal-pengantin-masih-di-peringkat-perbincangan/ https://sabahmedia.com/2025/08/16/saringan-talasemia-bakal-pengantin-masih-di-peringkat-perbincangan/#respond Fri, 15 Aug 2025 21:15:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=79328
Read Time:1 Minute, 19 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

Kota Kinabalu : Ujian saringan talasemia bagi bakal pengantin masih belum diwajibkan dan kini berada pada peringkat perbincangan antara pihak berkuasa berkaitan.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Datuk Jumain Abdul Ghani berkata, ketika ini hanya ujian saringan HIV diwajibkan kepada semua pasangan sebelum melangsungkan perkahwinan.

“Buat masa ini, talasemia belum menjadi syarat wajib. Tiada tempoh atau tarikh pelaksanaan ditetapkan.

“Ini kerana ia masih dibincangkan di peringkat pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Pelancaran Sistem Permohonan Kebenaran Berkahwin Atas Talian (eKahwin) dan Sistem Pembayaran Melalui Platform FPX di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini pada Jumaat.

Majlis itu disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Terdahulu, ketika berucap Jumain berkata, sistem eKahwin yang diperkenalkan itu membolehkan kehadiran secara fizikal hanya diperlukan bagi kes atau isu-isu yang memerlukan siasatan lanjut oleh Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’.

“Contohnya  keraguan dalam menetapkan wali, status nasab pemohon perempuan, isu berkaitan dokumen pengenalan diri, dan lain-lain kes khas yang memerlukan pengesahan lanjut.

“Permohonan kebenaran untuk berkahwin secara atas talian hanya akan diproses setelah semua maklumat dan dokumen yang diperlukan dilengkapkan. Permohonan tersebut akan disemak oleh Pendaftar Penyemak dan seterusnya diluluskan oleh Pendaftar Pelulus.

“Setelah kelulusan diberikan, pemohon menjelaskan fi yang telah ditetapkan dan kebenaran berkahwin akan diberikan kepada pihak lelaki dan pihak perempuan. Manakala juru nikah juga ditetapkan bagi memastikan akad nikah dilaksanakan mengikut hukum syarak.,” katanya.

Menurutnya, dengan wujudnya sistem ini, urusan perkahwinan dapat diuruskan dengan lebih berintergriti, teratur dan sistematik. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/16/saringan-talasemia-bakal-pengantin-masih-di-peringkat-perbincangan/feed/ 0 79328
Tiga organisasi jalin kerjasama strategik tingkatkan kesedaran & tindakan berkait talasemia https://sabahmedia.com/2024/10/23/tiga-organisasi-jalin-kerjasama-strategik-tingkatkan-kesedaran-tindakan-berkait-talasemia/ https://sabahmedia.com/2024/10/23/tiga-organisasi-jalin-kerjasama-strategik-tingkatkan-kesedaran-tindakan-berkait-talasemia/#respond Wed, 23 Oct 2024 09:51:11 +0000 https://sabahmedia.com/?p=62626
Read Time:1 Minute, 53 Second

KOTA KINABALU: Dalam usaha mengurangkan bilangan pesakit Talasemia di Sabah, tiga organisasi telah menandatangani Surat Niat (Letter of Intent) bagi membangunkan program yang akan membawa pada kesedaran awam dan tindakan positif berkait penyakit tersebut.

Kerjasama ini akan merangkumi perkongsian kepakaran dalam bidang perubahan sosial dan tingkahlaku dalam kalangan komuniti di daerah yang dikenalpasti, pemantauan dan penilaian aktiviti, penyelidikan dan sokongan pentadbiran.

Tiga rakan kongsi bagi kerjasama selama setahun ini ialah Unit Penyelidikan Komunikasi Untuk Pembangunan (C4D) UMS-UNICEF di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah, Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) dan Persatuan Talasemia Sabah.

Unit Penyelidikan C4D UMS-UNICEF diwakili Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS Prof. Dr. Asmady Idris, manakala MPMS diwakili oleh Pengerusi Pengurusan Jais Asri yang juga Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah.

Persatuan Talasemia Sabah diwakili oleh presidennya Francis Mujim.

Berucap di majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Asmady mengalu-alukan kerjasama strategik tersebut kerana ia akan membolehkan program berkait penurunan pesakit Talasemia dijalankan dengan lebih sistematik.

“Universiti juga ingin melihat lebih ramai penyelidik menjalinkan aktiviti dengan komuniti, seperti ditekankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Kita perlu berada di lapangan untuk berkerja dengan komuniti dan industri, dan kerjasama ini selaras dengan hasrat tersebut.

“Terdapat juga peluang untuk menerbitkan hasil dapatan kajian dan program dari kerjasama ini di jurnal, atau dalam bentuk buku, seterusnya menjadi bahan rujukan yang bernilai,” katanya.

Pelan Strategik UMS 2023-2027 menekankan keperluan untuk penyelidikan, selain jaringan dengan industri dan komuniti.

Kerjasama ini juga selaras dengan aspek kedua dalam Pelan Transformasi UMS 2050 iaitu inovasi masyarakat.

Sementara itu, Ketua Unit Penyelidikan C4D UMS-UNICEF Dr. Latif Lai berkata persetujuan ketiga-tiga pihak untuk menandatangani Surat Niat tersebut adalah hasil daripada beberapa siri latihan dalam bidang perubahan sosial dan tingkahlaku yang diadakan bagi organisasi yang bernaung di bawah MPMS.

“Beberapa NGO di bawah MPMS telah menyediakan pelan tindakan masing-masing hasil latihan daripada Unit Penyelidikan C4D UMS-UNICEF. Pihak kami telah bersetuju untuk menyokong Persatuan Talasemia Sabah dalam usahanya mengurangkan bilangan pesakit Talasemia di negeri Sabah.

“Kami memandang positif kerjasama ini, terutamanya dalam aspek penyelidikan. Pihak kami komited untuk melihat hasil penyelidikan dikongsi dengan semua organisasi yang terlibat,” katanya.

Turut hadir Pakar Program UNICEF untuk negeri Sabah Dr. Elaine Kong dan Setiausaha Eksekutif MPMS Joeanne Lee.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/10/23/tiga-organisasi-jalin-kerjasama-strategik-tingkatkan-kesedaran-tindakan-berkait-talasemia/feed/ 0 62626
Pasangan dinasihat jalani saringan kurangkan kadar talasemia – Mandela https://sabahmedia.com/2024/10/14/pasangan-dinasihat-jalani-saringan-kurangkan-kadar-talasemia-mandela/ https://sabahmedia.com/2024/10/14/pasangan-dinasihat-jalani-saringan-kurangkan-kadar-talasemia-mandela/#respond Mon, 14 Oct 2024 02:39:28 +0000 https://sabahmedia.com/?p=62165
Read Time:1 Minute, 22 Second

Penampang : Pasangan yang ingin berkahwin khususnya di negeri ini dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan talasemia.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Datuk Ceaser Mandela Malakun berkata, saringan itu penting bagi membantu mengurangkan kadar pesakit talasemia di Sabah.

“Sabah adalah negeri yang mempunyai jumlah pesakit talasemia tertinggi di seluruh Malaysia iaitu lebih daripada 1,900 pesakit berdaftar.

“Oleh itu, diingatkan kepada pasangan-pasangan untuk menjalani ujian saringan talasemia agar dapat membuat keputusan yang bertanggungjawab bagi mengelakkan anak-anak daripada menghidapi pesakit ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri sabah 2024 di sini, baru-baru ini.

Mandela berkata, pihaknya juga menyeru rakyat di negeri ini untuk menderma darah dan menggalakkan keluarga, saudara mara dan kawan-kawan agar turut berbuat demikian.

“Di samping dapat mempromosikan budaya hidup sihat, golongan muda juga berperanan penting dalam memastikan kelangsungan bekalan darah bagi membantu permintaan darah yang semakin meningkat,” katanya

Sementara itu, Ketua Kepakaran Perubatan Transfusi Negeri Sabah, Dr. Shahnaz Irwani Sabri turut menyeru kepada ibu bapa untuk memberikan kebenaran untuk ujian saringan talasemia dijalankan kepada anak-anak mereka.

“Ujian saringan talasemia ini diadakan kepada semua pelajar tingkatan empat secara percuma di sekolah.

“Secara statistik, masih ramai ibubapa yang tidak memberikan kebenaran untuk ujian ini dijalankan ke atas anak-anak mereka dan kami berharap agar ibu bapa dapat memberikan kebenaran,” katanya.

Program yang dianjurkan oleh Perkhidmatan Perubatan Transfusi Negeri Sabah itu mensasarkan untuk mengumpul sebanyak 200 beg darah.

Hadir sama, Ketua Perubatan Transfusi Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, Dr. Jamaluddin Mail, Pengarah Hospital Queen Elizabeth II, Dr. Ferro Firdaus Ibrahim dan wakil Pengarah Hospital Queen Elizabeth, Dr. Saliz Mazrina Shaharom.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/10/14/pasangan-dinasihat-jalani-saringan-kurangkan-kadar-talasemia-mandela/feed/ 0 62165
Sabah Paling Ramai Pesakit Talasemia, Perlu Keprihatinan Semua Pihak – Hajiji https://sabahmedia.com/2021/09/09/sabah-paling-ramai-pesakit-talasemia-perlu-keprihatinan-semua-pihak-hajiji/ https://sabahmedia.com/2021/09/09/sabah-paling-ramai-pesakit-talasemia-perlu-keprihatinan-semua-pihak-hajiji/#respond Thu, 09 Sep 2021 04:50:54 +0000 https://sabahmedia.com/?p=6049
Read Time:2 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan pesakit Talasemia paling ramai di Malaysia dan memerlukan keprihatinan semua pihak.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, berdasarkan statistik pada tahun 2019, Sabah mencatatkan seramai 1,829 pesakit Talasemia daripada 8,178 pesakit di seluruh negara.

“Jumlah ini agak besar dan ianya memerlukan keprihatinan semua pihak dalam usaha mengurangkan jumlah pesakit serta membantu meringankan bebanan rawatan pesakit Talasemia.

“Kerajaan negeri akan terus memastikan segala keperluan pesakit Talasemia di negeri ini dapat disediakan oleh pihak berkaitan terutama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah”, katanya pada Majlis Penutupan Sambutan Hari Talasemia Sedunia Tahun 2021 Peringkat Negeri Sabah, hari ini.

Menurutnya, Unit Transfusi Darah Hospital Queen Elizabeth (QEH) 2 sentiasa memberi kerjasama dalam menjayakan kempen derma darah yang dianjurkan oleh Persatuan Talasemia Sabah dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

“Ini termasuklah membekalkan semua rawatan secara percuma, memastikan pesakit mendapat rawatan dan menerima bekalan darah yang selamat serta rawatan pemindahan tulang sum-sum dan rawatan terapi stem sel secara percuma”, katanya.

Hajiji menegaskan, kebajikan pesakit Talasemia yang layak tidak disisihkan daripada menerima bantuan dalam bentuk kewangan daripada Jabatan Kebajikan Negeri Sabah.

“Sebagai pemimpin di Sabah, saya akan buat sedaya upaya dan menyokong segala usaha yang dirancang untuk membantu pesakit Talasemia di negeri ini”, tegasnya.

Beliau juga meminta pesakit Talasemia dan keluarga mereka terus memainkan peranan sebagai ejen perubahan dengan mendidik ahli keluarga terdekat mengenai kepentingan menjalani ujian saringan.

Katanya, ia sejajar dengan harapan Kerajaan Negeri supaya matlamat Persatuan Talasemia Sabah memutuskan rantaian Talasemia Major di negeri ini tercapai.

Hajiji juga menyeru masyarakat di negeri ini agar melakukan saringan Talasemia di semua hospital kerajaan yang dibuat secara percuma.

Beliau memuji usaha Persatuan Talasemia Sabah yang terus mengadakan pelbagai kempen kesedaran kepada orang ramai mengenai kawalan dan langkah pencegahan Talasemia di seluruh negeri.

“Saya menyeru kepada semua pihak berkepentingan dalam kawalan dan pencegahan Talasemia agar berganding bahu mengurangkan beban penyakit Talasemia”, katanya.

Hajiji juga memuji usaha Repsol Oil & Gas Malaysia Limited atas sokongan berterusan dan sebagai penaja utama program Persatuan Talasemia Sabah.

“Saya menggesa lebih banyak organisasi mencontohi usaha yang dibuat oleh Repsol Oil & Gas Malaysia sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka”, tambahnya.

Sejajar dengan sambutan yang bertemakan `Memacukan Keseimbangan Kesihatan Talasemia Secara Global’, Hajiji berharap sambutan Hari Talasemia akan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai Talasemia kepada pesakit, keluarga pesakit, badan bukan kerajaan (NGO), warga hospital, masyarakat awam, agensi kerajaan dan
swasta.

Katanya, Talasemia ialah penyakit keturunan yang menyebabkan tulang sum-sum tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang sempurna.

Ia boleh diwarisi sama ada daripada ibu, bapa atau kedua-dua ibu bapa pembawa Talasemia. Tiada rawatan khusus kerana setakat ini belum ada ubat yang boleh menyembuhkan pesakit Talasemia.

Pesakit terpaksa bergantung kepada transfusi darah sepanjang hayat dan kos rawatan amatlah tinggi sehingga mencecah RM3 juta seorang pesakit, bermula seawal umur satu tahun hingga anggaran umur 30 tahun.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/09/09/sabah-paling-ramai-pesakit-talasemia-perlu-keprihatinan-semua-pihak-hajiji/feed/ 0 6049
Persatuan Talasemia Sabah Saran Belia Lakukan Saringan Talasemia https://sabahmedia.com/2021/08/14/persatuan-talasemia-sabah-saran-belia-lakukan-saringan-talasemia/ https://sabahmedia.com/2021/08/14/persatuan-talasemia-sabah-saran-belia-lakukan-saringan-talasemia/#respond Sat, 14 Aug 2021 12:29:59 +0000 https://sabahmedia.com/?p=4630
Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU: Golongan belia disaran melakukan saringan Talasemia bagi mengetahui status mereka sama ada sebagai pembawa, pesakit atau bebas daripada penyakit genetik itu.

Presiden Persatuan Talasemia Sabah, Francis Mujim berkata, saringan awal dapat membantu dalam mengurangkan kadar pesakit Talasemia pada masa hadapan.

“Antara misi persatuan adalah Sabah sifar Talasemia Major menjelang tahun 2030 serta meningkatkan kualiti kesihatan pesakit.

“Bermula tahun 2018 hingga kini, saringan Talasemia dilakukan secara percuma bagi pelajar tingkatan empat di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Namun begitu, masih terdapat segelintir ibu bapa yang tidak membenarkan saringan itu dijalankan kepada anak mereka,” katanya ketika dihubungi media selepas program Webinar Memerdekakan Pejuang Talasemia, disini hari ini.

Menurutnya, webinar memfokuskan kepada penyertaan belia dengan menanamkan kesedaran serta memberikan maklumat yang tepat mengenai Talasemia.

“Di samping itu, ia juga memberi info baharu kepada pejuang Talasemia agar tidak berputus asa dengan ujian yang dihadapi.

“Kesedaran dan motivasi mampu membuka jalan kepada mereka untuk tidak berputus asa, malah terus berjuang kerana terdapat pesakit yang juga berjaya dalam kehidupan,” katanya.

Seramai 1,900 peserta menghadiri webinar itu yang terdiri daripada pelajar tingkatan empat dan lima dari beberapa buah sekolah sekitar daerah Tawau, Sandakan, Ranau, Kudat, Kota Kinabalu, Papar serta Penampang dan 100 daripadanya merupakan pesakit Talasemia.

Tambah beliau, webinar itu adalah antara program yang diadakan sempena Sambutan Hari Talasemia Sedunia 2021 peringkat negeri Sabah dan antara program lain yang bakal berlangsung ialah kempen derma darah di Telupid pada 30 dan 31 Ogos, pertandingan melukis poster kanak-kanak sekolah, pertandingan membuat video pendek dan pertandingan membuat kek dan bun bagi pejuang Talasemia.

Webinar tersebut merupakan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Persatuan Genetik Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, dengan penaja utama Syarikat Repsol Oil dan Gas Malaysia Limited.

Turut menghadiri webinar itu ialah Penasihat Perhubungan Kerajaan dan Komuniti Repsol Oil dan Gas Malaysia Limited, Datuk Eddie Abdullah, Pengarah Penerangan Sabah, Nadzerah Abdullah, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, Jais Asri, Timbalan Pengarah Pendidikan Sabah (Sektor Pembangunan Murid), Mudin Beting dan wakil daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah./Penerangan-

]]>
https://sabahmedia.com/2021/08/14/persatuan-talasemia-sabah-saran-belia-lakukan-saringan-talasemia/feed/ 0 4630