taman perindustrian – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Fri, 18 Apr 2025 03:09:30 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png taman perindustrian – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Sabah rancang tiga taman perindustrian baharu tampung lonjakan pelaburan – Phoong https://sabahmedia.com/2025/04/18/sabah-rancang-tiga-taman-perindustrian-baharu-tampung-lonjakan-pelaburan-phoong/ https://sabahmedia.com/2025/04/18/sabah-rancang-tiga-taman-perindustrian-baharu-tampung-lonjakan-pelaburan-phoong/#respond Fri, 18 Apr 2025 03:01:01 +0000 https://sabahmedia.com/?p=72195
Read Time:2 Minute, 3 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah merancang untuk membina tiga taman perindustrian baharu masing-masing di Kota Belud, Kudat dan Beaufort sebagai langkah strategik bagi menampung permintaan pelaburan yang semakin meningkat serta mewujudkan rantaian bekalan tempatan yang lebih mampan.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, taman-taman perindustrian sedia ada kini hampir penuh manakala harga tanah yang tinggi menyukarkan kemasukan pelabur baharu.

“Sudah tiba masanya kita merancang taman perindustrian baharu yang berkonsepkan plug-and-play (terus boleh digunakan), lengkap dengan kemudahan mencukupi. Ini penting untuk menyokong pembangunan industri tempatan secara menyeluruh,” katanya ketika ditemui Sabah Media di sini pada Khamis (17 April).

Beliau memaklumkan bahawa tiga lokasi berpotensi itu masing-masing akan dikendalikan oleh agensi berkaitan iaitu Kudat oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Kota Belud oleh Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), manakala Beaufort juga berkemungkinan diurus oleh Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) memandangkan kedudukannya yang strategik berdekatan dengan SOGIP.

Phoong menegaskan, dalam landskap geopolitik global yang tidak menentu, Sabah perlu bersedia membangunkan kapasiti industrinya sendiri untuk memastikan daya tahan bekalan domestik.

“Yang paling asas ialah kita mesti sediakan tanah. Apabila tanah disediakan, industri boleh berkembang, bina kilang lebih besar dan akhirnya mengeksport produk mereka,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, perancangan akan dibuat secara teliti bagi mengelakkan pembinaan di kawasan berpenduduk, sekali gus menghindari isu pampasan dan gangguan sosial yang boleh menjejaskan daya saing projek perindustrian.

“Kita tidak mahu ulangi kesilapan dahulu. Jika dibina di kawasan yang telah didiami, ia akan cetuskan pelbagai masalah. Ini yang kita mahu elakkan,” katanya.

Tambah Phoong, faktor tenaga juga menjadi pertimbangan penting, dengan keutamaan diberi kepada kawasan yang berhampiran sumber seperti gas asli di pantai barat Sabah dan potensi tenaga angin di utara termasuk Kudat.

“Daerah-daerah di pesisir pantai serta berhampiran injection point (titik suntikan) gas asli akan diberi keutamaan. Kita juga lihat potensi tenaga angin di Kudat dan kawasan utara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa rakyat tempatan, khususnya belia Sabah, akan diberi keutamaan dalam peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan, sebagaimana dilaksanakan dalam projek Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) di Lahad Datu sebelum ini.

“Kalau kita sudah ada industri sendiri, anak-anak Sabah boleh mendapat kerja di kilang yang canggih di negeri sendiri, bukan lagi perlu berhijrah ke Pulau Pinang atau Selangor,” katanya.

Phoong turut memaklumkan bahawa pelan induk (master plan) bagi beberapa kawasan termasuk di Kota Belud kini hampir siap dan dijangka dibentangkan kepada Kabinet Negeri dalam masa terdekat.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/04/18/sabah-rancang-tiga-taman-perindustrian-baharu-tampung-lonjakan-pelaburan-phoong/feed/ 0 72195
Pembukaan Taman Perindustrian baru di Kimanis tepat masanya untuk tarik minat pelabur https://sabahmedia.com/2024/06/19/pembukaan-taman-perindustrian-baru-di-kimanis-tepat-masanya-untuk-tarik-minat-pelabur/ https://sabahmedia.com/2024/06/19/pembukaan-taman-perindustrian-baru-di-kimanis-tepat-masanya-untuk-tarik-minat-pelabur/#respond Wed, 19 Jun 2024 07:11:37 +0000 https://sabahmedia.com/?p=56231
Read Time:2 Minute, 42 Second

Kota Kinabalu: Pembukaan Taman Perindustrian Baru di Kimanis seluas 10,000 ekar dilihat tepat pada masanya untuk menyediakan kawasan yang sesuai kepada pelabur yang berminat di negeri ini.

Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad (QSB) Datuk Dr Yusof Yacob berkata, usaha itu dilihat sejajar dengan komitmen Kerajaan Negeri seperti yang dinyatakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bahawa perlunya ada sebuah lagi taman perindustrian baru.

“Bagi saya, Kimanis merupakan kawasan yang strategik dan selepas ini tumpuan juga harus diberikan untuk membuat taman perindustrian baru di daerah lain seperti di Kota Belud, Kudat atau di pantai timur seperti di Lahad Datu.

“Untuk menarik pelabur ke negeri ini, kita sebagai Kerajaan Negeri atau agensi-agensi mesti menyediakan tapak perindustrian yang teratur. Ertinya kawasan 10,000 ekar itu belum mencukupi kerana kita perlu lebih ramai pelabur datang ke Sabah.

“Namun demikian, kita mesti menyediakan infra khususnya rangkaian jalan raya yang sudah dibuat, bekalan air dan elektrik dan sistem perhubungan telekomunikasi, fiber optik atau internet dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Sabah Invest Berhad George Wong yang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri baru-baru ini telah meluluskan pembukaan 10,000 ekar tapak perindustrian terbesar Sabah di Kimanis.

Dr Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin berkata, taman perindustrian ini perlu dibahagikan mengikut kluster dan zon dengan keluasan tertentu.

Katanya, ia bagi membolehkan pelabur yang datang ke Sabah, mereka boleh ditawarkan di mana mereka akan melabur mengikut jenis pelaburan dan industri yang mereka bawa.

“Konsep lama dimana kita menjemput pelabur datang ke Sabah dan kita umum ada kawasan perindustrian yang baru tetapi bila membawa pelabur kawasan masih hutan dan tiada infra, ini menyusahkan pelabur dan ini bukan satu cara menarik pelabur,” katanya.

Sementara itu, Dr Yusof berkata, pendekatan negara lain seperti Vietnam harus dicontohi yang menyediakan infra jalan raya, bekalan air, elektrik, lot dan pinjaman yang tertentu untuk pelabur mengikut jenis perindustrian yang mereka bawa seperti pelancongan, pembuatan dan industri minyak dan gas.

“Ini kita kena buat persediaan, jadi kita tidak boleh apabila menjemput pelabur dan pelaburlah yang akan berusaha menguruskan soal jalan raya, pembekalan elekrtrik, air dan sebagainya. Ini tidak menarik pelabur kerana mereka ada pilihan lain.

“Kita di Sabah khususnya QSB terlibat dalam menarik pelaburan ini tetapi kita tidak dapat menawarkan kepada mereka dimana atau bagaimana,” katanya.

Justeru itu, beliau menyarankan diwujudkan jawatankuasa khas yang melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berkaitan seperti QSB, Sedco dan Sawit Kinabalu serta GLC yang berkaitan.

Katanya, jabatan atau agensi negeri berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Air Negeri Sabah, Telekom dan syarikat Telco mesti terlibat dalam menyediakan infra.

 “Jadi kita ada satu sistem yang menarik pelabur ini dan kita juga sediakan beberapa insentif seperti memberi tawaran mengikut jenis industri, pemberian tanah dengan harga yang berpatutan atau murah di peringkat awal sehingga mereka mendapat keuntungan.

“Perlu ada satu perubahan. Konsep lama masuk dulu pelabur baru kita menyediakan rangkaian jalan raya, sambung elektrik, sambung air perlu kita ubah,” katanya.

Dr Yusof berkata, Sabah mempunyai sumber asli yang kaya lebih-lebih lagi sekarang ini Kerajaan Negeri sudah membuka hasil bumi yang baru untuk diterokai.

“Kalau boleh kita membuat industri hiliran dan hasil bumi Sabah dibuat di negeri ini sendiri supaya dapat menyediakan peluang pekerjaan dan membangunkan negeri,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2024/06/19/pembukaan-taman-perindustrian-baru-di-kimanis-tepat-masanya-untuk-tarik-minat-pelabur/feed/ 0 56231