KUNDASANG: Kerajaan terus komited meneruskan penyaluran subsidi bahan api meskipun berdepan tekanan akibat konflik Asia Barat yang mencetuskan krisis tenaga serta lonjakan harga minyak global.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peningkatan mendadak kos subsidi bahan api memberi implikasi kewangan besar kepada kerajaan.
Katanya, sebelum tercetusnya konflik, subsidi petrol dan diesel yang ditanggung kerajaan adalah sebanyak RM1.29 bilion pada Januari dan RM1.20 bilion pada Februari 2026.
“Namun sejak konflik bermula pada 28 Februari lalu, implikasi subsidi petrol dan diesel melonjak kepada RM5.67 bilion bagi Mac 2026, iaitu peningkatan lebih 370 peratus berbanding bulan sebelumnya.
“Jumlah itu belum termasuk subsidi bahan api lain dan kerajaan akan terus menanggung lonjakan bil subsidi selagi harga minyak dunia kekal tinggi serta krisis tenaga berlarutan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, kerajaan sedang melaksanakan pelbagai strategi penampan, mitigasi dan intervensi secara bersasar merentasi kementerian serta agensi bagi menangani kesan krisis tenaga dan bekalan global terhadap rakyat.
Di bawah kawal selia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), kerajaan memutuskan untuk meneruskan penyaluran subsidi petrol dan diesel melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan SKDS.
Sehingga 20 Mei 2026, sebanyak 179,716 syarikat membabitkan 432,495 kenderaan sektor pengangkutan darat awam, pengangkutan darat barangan dan pengangkutan awam air telah menerima manfaat subsidi berkenaan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 19,189 syarikat dengan 38,817 kenderaan menikmati manfaat SKPS, manakala 160,527 syarikat melibatkan 393,678 kenderaan menerima subsidi melalui SKDS.
Armizan berkata, susulan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Mei lalu, kerajaan bersetuju menambah baik mekanisme pelaksanaan SKDS melalui beberapa keputusan baharu.
Antaranya ialah peluasan kelayakan kenderaan jenis jip dan pikap di bawah SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan ke seluruh negara, berbanding hanya di Cameron Highlands sebelum ini.
“Berkuat kuasa 1 Jun 2026, syarikat sektor pengangkutan darat barangan yang memiliki kenderaan jip dan pikap boleh membuat pendaftaran SKDS,” katanya.
Beliau berkata, manfaat subsidi diesel turut diperluaskan kepada kenderaan jip dan pikap yang digunakan bagi tujuan pengangkutan darat barangan walaupun sebelum ini didaftarkan atas nama individu, tertakluk kepada kelulusan pertukaran hak milik kepada syarikat.
Katanya, individu yang terlibat dalam aktiviti pengangkutan darat barangan digalakkan mendaftarkan syarikat atau perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) atau pihak berkuasa berkaitan di Sabah dan Sarawak.
Selain itu, pemohon juga perlu memenuhi syarat lain termasuk memindahkan hak milik kenderaan daripada kategori individu kepada syarikat melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Dalam pada itu, kerajaan turut melaksanakan pelarasan had kuota tetap SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan bagi memperkukuh kawal selia dan penguatkuasaan untuk mengekang ketirisan subsidi serta penyalahgunaan fleet card.
“Setiap fleet card akan mempunyai kuota tetap antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan mengikut 23 jenis kenderaan sektor pengangkutan darat barangan.
“Penetapan had kuota dibuat berdasarkan analisis penggunaan sepanjang dua tahun pelaksanaan SKDS dan kadar baharu ini berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026,” katanya.
Menurut beliau, syarikat yang memerlukan kuota tambahan boleh mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum (JKSP) yang diurus setia oleh KPDN.
Permohonan rayuan boleh dibuat secara dalam talian melalui e-mel [email protected] atau di kaunter KPDN berhampiran.
Katanya, pertimbangan rayuan akan dibuat berdasarkan keperluan operasi sebenar serta rekod penggunaan bulanan dalam sistem SKDS.
Pada masa sama, Armizan menggalakkan syarikat yang belum memanfaatkan subsidi petrol dan diesel supaya segera mendaftar di bawah SKPS dan SKDS melalui portal MySubsidi.
Beliau turut mengingatkan semua syarikat yang telah berdaftar agar bertanggungjawab terhadap penggunaan fleet card yang dibekalkan syarikat minyak.
“Sebarang penyalahgunaan akan menyebabkan fleet card digantung serta-merta dan syarikat terlibat akan disenarai hitam,” katanya.
]]>PUTATAN: Pembinaan dan penambahbaikan jejantas pejalan kaki di Petagas, dekat sini, bakal memberi impak terhadap peningkatan keselamatan kepada masyarakat setempat.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, perancangan berkaitan pembinaan jejantas itu telah bermula tahun lalu dengan ianya kini diberikan keutamaan.
Jelasnya, pembinaan jejantas itu merupakan penambahan struktur sedia ada.
“Dalam bajet Negeri Sabah tahun 2025 yang telah diluluskan baru-baru ini telah dimasukkan perancangan untuk membina jejantas di kawasan tersebut.
“Saya minta keutamaan diberikan kepada pembinaan jejantas ini dalam waktu yang terdekat” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya itu berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi ahli keluarga mangsa kemalangan keretapi di Kampung Muhibbah, Putatan, pada Jumaat.
Sementara itu, Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata lawatan tersebut adalah sebagai tanda prihatin beliau di atas apa yang telah berlaku terhadap musibah yang menimpa keluarga mangsa.
“Tujuan kita untuk mengadakan ziarah adalah untuk berjumpa dengan ahli keluarga mangsa serta melihat dan mendengar keadaan salah satu mangsa yang terlibat” jelasnya.
Difahamkan mangsa yang cedera masih menerima rawatan di hospital.
Selain Shahelmey, turut hadir memberi sumbangan semasa ziarah tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Malaysia; Datuk Che Murad Sayang, Pengarah Jabatan Keretapi Negeri Sabah; Ir. Mohd Safri Abdul Habi, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah; Jais Asri dan wakil daripada Jabatan Penerangan Sabah, Nordin Seman.
Untuk rekod, kejadian kemalangan membabitkan keretapi dari arah Beaufort ke Kota Kinabalu dan pejalan kaki di Putatan pada Selasa lalu yang telah mengorbankan nyawa seorang wanita berusia 41 tahun, manakala anak lelakinya yang parah masih menerima rawatan di hospital.
]]>KOTA KINABALU: Peniaga dan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) digesa agar menambah baik produk dan kualiti pembungkusan bagi meningkatkan imej produk masing-masing dan seterusnya berupaya memacu jualan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Dalam masa sama, beliau meminta semua usahawan merebut bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan negeri mahu pun Persekutuan.
“Pelancaran syarikat pembungkusan QPACK Sabah juga adalah tepat pada masanya. Saya melihat peranan QPACK Sabah dalam industri pembungkusan di negeri ini mampu menjadi tonggak kepada perkembangan IKS dan secara tidak langsung merancakkan pola industri niaga di negeri ini.
“Dalam industri perniagaan, pembungkusan memainkan peranan yang penting bagi sesuatu produk itu kerana pembungkusan ini akan menjadi `trademark ’ serta imej kepada produk tersebut dan ini sekali gus menjadikan ia sebagai satu indikator pemasaran ke atas produk itu.
“Kepada usahawan di negeri ini, ambillah peluang untuk meningkatkan produk yang
dihasillkan, bukan saja dalam aspek kualiti malah pembungkusan yang menarik, agar dapat bersaing dengan produk dari luar,” katanya ketika merasmikan Pelancaran QPACK Sabah Sdn Bhd di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini pada Ahad.
Hajiji berkata, peruntukan khas tambahan dalam Belanjawan 2023 sebanyak RM600 juta untuk komuniti peniaga kecil di Sabah dan Sarawak,adalah inisiatif yang baik yang perlu diambil peluang oleh peniaga serta usahawan IKS untuk meningkatkan perniagaan mereka.
“Sudah pasti peruntukan khas tambahan ini akan membantu peniaga kecil dan usahawan IKS di negeri ini, khususnya untuk menambah baik dan mempergiatkan promosi produk mereka.
“Selain peruntukan khas ini, kerajaan negeri turut memperuntukkan sejumlah RM6.17 juta kepada Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan pada tahun ini, bagi mempergiatkan promosi produk-produk Sabah ke pasaran domestik dan antarabangsa.
“Dengan pelbagai peruntukan dan bantuan diberikan kerajaan selain pelancaran syarikat pembungkusan QPACK Sabah, saya berharap kita mampu melahirkan usahawan IKS yang dapat memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Hajiji berkata kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada sebarang usaha yang dilakukan oleh individu atau syarikat termasuk QPACK untuk merancakkan pembangunan ekonomi di negeri ini.
“Saya melihat kehadiran syarikat seperti ini turut mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak di negeri ini. Saya berharap QPACK yang dimiliki anak jati Sabah ini akan menjadikan negeri ini sebagai salah sebuah hub evolusi pembungkusan terbesar suatu hari nanti,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap peniaga dan usahawan IKS walau dari mana berasal, kampung mahu pun luar bandar, jika berusaha untuk maju ke hadapan, pasti akan berjaya.
]]>