tarif elektrik – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Mon, 02 Feb 2026 04:38:37 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png tarif elektrik – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Kenaikan tarif elektrik: Rakyat bayar lebih, tetapi di mana jaminannya? https://sabahmedia.com/2026/02/02/kenaikan-tarif-elektrik-rakyat-bayar-lebih-tetapi-di-mana-jaminannya/ https://sabahmedia.com/2026/02/02/kenaikan-tarif-elektrik-rakyat-bayar-lebih-tetapi-di-mana-jaminannya/#respond Mon, 02 Feb 2026 03:35:14 +0000 https://sabahmedia.com/?p=90833
Read Time:3 Minute, 53 Second

Pendapat Pembaca

KENAIKAN tarif elektrik di Sabah daripada 34.52 sen kepada 39.70 sen sekilowatt jam bukan sekadar pelarasan angka di atas bil. Ia merupakan satu bentuk pemindahan beban kos syarikat utiliti kepada rakyat.

Berdasarkan tafsiran munasabah Berdasarkan purata jualan tenaga sebanyak 25 GWh sehari (bersamaan 25 juta kWh), kenaikan tarif elektrik sebanyak 5 sen daripada RM0.34 kepada RM0.39 sekilowatt jam menghasilkan tambahan hasil sekitar RM1.25 juta sehari. Dalam tempoh setahun (365 hari), peningkatan ini bersamaan RM456.25 juta setahun, yang merupakan pendapatan tambahan langsung kepada Sabah Electricity Sdn Bhd hasil pelarasan kadar tarif semasa.

Secara keseluruhan, pada kadar baharu RM0.39/kWh, anggaran hasil tahunan mencecah RM3.56 bilion, berbanding RM3.10 bilion di bawah kadar lama RM0.34/kWh. Ini menunjukkan jurang peningkatan hasil sekitar RM456 juta setahun, yang menimbulkan persoalan penting mengenai bagaimana tambahan dana ini akan digunakan untuk menaik taraf sistem, menambah kapasiti penjanaan dan memastikan gangguan bekalan elektrik di Sabah dapat dikurangkan secara berperingkat.menjana angka jutaan ringit tambahan kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity).

Namun persoalan utama ialah: ke mana wang tambahan ini akan disalurkan?

Walaupun kenaikan ini masih dilihat lebih rendah berbanding tarif di Semenanjung Malaysia — di mana kadar tarif domestik bermula 27.03 sen (sehingga 1,500 kWj) berbanding caj baharu di Sabah iaitu 22.02 sen bagi 1–200 kWj sebulan — terdapat perbezaan kaedah kiraan berasaskan blok yang menjadikan sistem ini rumit untuk difahami oleh pengguna.

Namun yang pasti, setiap hujung bulan bil elektrik akan meningkat, dan beban ini akhirnya ditanggung oleh rakyat.

PERSOALAN RAKYAT – KE MANA KENAIKAN INI AKAN DIGUNAKAN?

Saban hari, pengguna elektrik di Sabah mengadu tentang kekerapan gangguan bekalan elektrik.

Pada September 2025, Sabah diuji dengan gangguan besar di Pantai Timur selepas talian penghantaran 275kV Kolopis–Segaliud mengalami kerosakan.

Berdasarkan data April 2025, SAIDI (Tempoh Purata Gangguan Elektrik) di Sabah mencatat sekitar 75 minit bagi setiap pelanggan, dengan gangguan sering berpunca daripada faktor haiwan dan kerosakan kabel.

Namun, semakan angka menunjukkan prestasi ini semakin baik berbanding tahun sebelumnya:

2024: 203 minit
2023: 250 minit
2022: 286 minit

Walaupun ada penambahbaikan statistik, kejadian terputus bekalan secara luar jangka hampir setiap hari dilaporkan, yang pastinya mengundang rasa tidak puas hati rakyat.

Lebih membimbangkan, setiap pengumuman kenaikan tarif akan memberi kesan rantaian kepada harga barangan, apabila peniaga yang menanggung kos input lebih tinggi akan memindahkannya kepada pengguna akhir.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan ketiadaan pelan komunikasi yang jelas, serta penguatkuasaan dalam tempoh yang singkat.

Tambahan pula, masyarakat Cina bakal menyambut Tahun Baharu Cina, manakala umat Islam akan menyambut Ramadan dan Syawal — waktu di mana kos sara hidup sememangnya meningkat.

SOLAR, BATERI DAN PERBEZAAN HARGA

Media melaporkan pada September 2024, projek Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 100 MW di Lahad Datu bernilai RM645 juta telah siap pada Julai 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Mohd Yaakob Jaafar, berkata projek yang bermula pada September 2024 itu beroperasi dengan simpanan tenaga 400 megawatt jam (MWj).

Menurut beliau, sistem ini mampu menampung 50 MW tenaga rizab pada waktu puncak dan akan mencapai kapasiti penuh 100 MW pada awal Ogos.

“Dengan adanya bateri ini, bekalan kepada pengguna di Pantai Timur Sabah yang berkurangan sedikit sebanyak dapat diatasi,” katanya selepas lawatan tapak ke lokasi BESS.

Namun, apakah status sebenar pengoperasian projek ini?
Berapa kos penyelenggaraan?
Berapa jumlah MW yang telah berjaya disimpan dan dialirkan ke dalam grid setakat ini?

Ironinya, projek perintis di Terengganu dengan kapasiti sama 100MW/400MWh yang dibangunkan oleh TNB (yang juga pemegang saham terbesar Sabah Electricity) dilaporkan hanya bernilai sekitar RM300 juta.

Mengapa terdapat perbezaan kos yang begitu besar bagi projek yang hampir serupa?

Sabah Electricity wajar memberikan penjelasan telus, apatah lagi isu ini telah diperdebatkan di Parlimen pada Ogos tahun lalu.

Kita tidak mahu angka-angka ini dijadikan alasan untuk menjustifikasikan kenaikan tarif.

SUBSIDI YANG DITAMPUNG PUSAT

Kerajaan Persekutuan ketika ini dilaporkan menyalurkan subsidi elektrik kira-kira RM700 juta setahun kepada Sabah atau RM3.5 bilion bagi tempoh lima tahun bagi menampung jurang kos penjanaan dan tarif.

Kenaikan tarif ini dikatakan bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada subsidi tersebut. Namun, tiada angka jelas mengenai:

• Berapa subsidi akan dikurangkan
• Bila pengurangan itu bermula
• Sama ada penjimatan itu akan dipulangkan semula kepada Sabah dalam bentuk pelaburan tenaga

Maka persoalan yang wajar ditanya ialah:
Adakah kenaikan ini benar-benar untuk membaiki sistem, atau sekadar menampung defisit operasi?

Rakyat tidak menolak pembaharuan. Namun pembaharuan mesti hadir bersama ketelusan, sasaran yang boleh diukur, dan jaminan prestasi.

Tanpa itu, kenaikan tarif ini hanya akan dilihat sebagai satu lagi kos yang dipindahkan kepada pengguna, tanpa kepastian bahawa bekalan elektrik di Sabah akan menjadi lebih stabil, adil dan mampan.

(Artikel Pendapat Pembaca mencerminkan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian penerbitan ini)

]]>
https://sabahmedia.com/2026/02/02/kenaikan-tarif-elektrik-rakyat-bayar-lebih-tetapi-di-mana-jaminannya/feed/ 0 90833
Kerajaan negeri pantau kesan kenaikan tarif elektrik terhadap pengguna – Hajiji https://sabahmedia.com/2026/02/01/kerajaan-negeri-pantau-kesan-kenaikan-tarif-elektrik-terhadap-pengguna-hajiji/ https://sabahmedia.com/2026/02/01/kerajaan-negeri-pantau-kesan-kenaikan-tarif-elektrik-terhadap-pengguna-hajiji/#respond Sun, 01 Feb 2026 06:44:39 +0000 https://sabahmedia.com/?p=90791
Read Time:1 Minute, 29 Second

TAWAU: Kerajaan negeri akan memantau kesan kenaikan tarif elektrik terhadap pengguna susulan pelaksanaan semakan semula kadar elektrik di Sabah dan Labuan yang berkuat kuasa mulai 1 Februari 2026.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kenaikan tarif tersebut adalah minimum dan tidak membebankan majoriti pengguna domestik di negeri ini.

“Kita akan sentiasa melihat kesannya, tapi saya ingat kesannya cuma sedikit. Kalau sekarang seorang itu membayar RM100, dia cuma tambah mungkin RM15 saja. Jadi, tidaklah membebankan sangat kalau RM15 kita dapat elektrik yang bagus, jadi ini rasionalnya (kenaikan tarif),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung di Taman Sawit, Balung, di sini, pada Ahad.

Hajiji mengulas pelaksanaan semakan semula tarif oleh Sabah Electricity Sdn Bhd yang menyaksikan pelarasan kadar purata asas daripada 34.52 sen/kilowatt jam (kWj) kepada 39.70 sen/kWj.

Menurut beliau, kadar baharu itu telah diluluskan oleh Jemaah Menteri selepas mengambil kira keperluan semasa Sabah serta peningkatan kos operasi janaan tenaga.

“Tarif di Sabah agak rendah berbanding di Semenanjung. Kita cuma naik lima sen atau 15 peratus sahaja dan ia tidak begitu membebankan kepada rakyat biasa yang mungkin sekitar 70 hingga 80 peratus di Sabah ini.

“Perkara ini tidak dapat dielak kerana kita menanggung kos yang tinggi, bermacam-macam sekarang ini. Jadi, ia perlu untuk kita mengatasi semua ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan ketika ini menyalurkan subsidi elektrik kepada Sabah berjumlah kira-kira RM700 juta setahun atau RM3.5 bilion bagi tempoh lima tahun.

“Jadi kita tidak boleh berterusan begini. Kalau naik sedikit begitu, hanya lima sen, itu boleh mengurangkan subsidi yang diberi oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Hajiji berkata, Kabinet Negeri bersetuju dengan cadangan dikemukakan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Sabah Electricity selepas mengambil kira peningkatan kos operasi sektor tenaga di negeri ini.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/02/01/kerajaan-negeri-pantau-kesan-kenaikan-tarif-elektrik-terhadap-pengguna-hajiji/feed/ 0 90791
Tarif elektrik disemak secara berhemah demi bekalan tenaga Sabah yang mampan https://sabahmedia.com/2026/01/31/tarif-elektrik-disemak-secara-berhemah-demi-bekalan-tenaga-sabah-yang-mampan/ https://sabahmedia.com/2026/01/31/tarif-elektrik-disemak-secara-berhemah-demi-bekalan-tenaga-sabah-yang-mampan/#respond Sat, 31 Jan 2026 09:56:47 +0000 https://sabahmedia.com/?p=90763
Read Time:2 Minute, 48 Second

KOTA KINABALU: Semakan semula tarif elektrik akan dilaksanakan secara berhemah dan bertanggungjawab bagi memastikan bekalan elektrik di Sabah kekal stabil, berkualiti serta mampan, tanpa mengabaikan kebajikan pengguna.

Sabah Electricity dalam kenyataan media hari ini memaklumkan, pelaksanaan semakan tarif tersebut akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2026 di bawah kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (Incentive-Based Regulation – IBR), selaras dengan Seksyen 39, Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

Menurut kenyataan itu, semakan tarif dibuat berikutan peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan sistem, keperluan pelaburan infrastruktur tenaga serta selari dengan dasar Kerajaan berhubung pengurangan subsidi secara berperingkat.

Langkah ini penting bagi memastikan kelangsungan dan kemampanan syarikat utiliti, di samping menjamin sistem pembekalan elektrik kekal berdaya tahan dan mampu memenuhi keperluan semasa serta masa hadapan.

Semakan ini melibatkan penstrukturan semula kadar tarif elektrik baharu bagi pengguna Sabah Electricity, dengan kadar purata tarif asas diselaraskan daripada 34.52 sen per kilowatt jam (kWj) kepada 39.70 sen/kWj.

Bagi Tempoh Kawal Selia Kedua (Regulatory Period 2 – RP2), kadar purata kos pembekalan elektrik sebenar dianggarkan pada 45.08 sen/kWj, berbanding kadar tarif yang diluluskan iaitu 39.70 sen/kWj.

Kerajaan Persekutuan kekal komited menyalurkan bantuan subsidi bagi menampung jurang perbezaan tersebut, dengan jumlah subsidi bagi tempoh dua tahun, 2026 hingga 2027, dianggarkan berjumlah RM849 juta.

Pengguna elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah menikmati kadar tarif yang sama sejak 2014, meskipun kos pembekalan elektrik terus meningkat, sekali gus menyebabkan kebergantungan tinggi terhadap subsidi Kerajaan.

Dalam masa sama, semakan tarif ini turut mengambil kira kepentingan pengguna domestik, peniaga kecil serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Sebanyak 85 peratus pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 600 kWj sebulan, bersamaan bil semasa antara RM5 hingga RM206, hanya akan mengalami kenaikan minimum sehingga RM27.

Bagi golongan miskin tegar, rebat e-Kasih sehingga maksimum RM40 sebulan akan terus diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dalam sistem e-Kasih.

Sementara itu, bagi pengguna komersil kecil, blok penggunaan elektrik yang dilindungi dilanjutkan sehingga 500 kWj sebulan, melibatkan bil semasa antara RM15 hingga RM199. Lebih separuh pengguna komersil dianggarkan berada dalam kategori ini dan hanya terkesan dengan kenaikan minimum antara RM4 hingga RM24, termasuk kedai runcit dan perniagaan kecil.

Diskaun Off-Peak Tariff Rider (OPTR) sebanyak 20 peratus bagi penggunaan waktu bukan puncak turut diteruskan kepada pengguna komersil dan industri voltan rendah bagi mengurangkan beban kos operasi.

Sebagai langkah keprihatinan sosial, diskaun 10 peratus kepada rumah kebajikan, rumah ibadah dan institusi pendidikan berdaftar (Welfare, Worship & Education) diteruskan sepanjang tempoh pelaksanaan semakan tarif.

Kerajaan Negeri turut memperkenalkan diskaun baharu sebanyak 10 peratus kepada sektor pertanian, akuakultur dan perikanan (Agriculture, Aquaculture & Aquamarine – AAA) bagi menyokong keterjaminan makanan serta kestabilan rantaian bekalan.

Melalui semakan tarif ini, pelaburan dalam penyelenggaraan dan naik taraf rangkaian elektrik dapat diteruskan bagi mengurangkan gangguan bekalan serta menyokong pembangunan infrastruktur tenaga termasuk sistem grid yang lebih kukuh dan mampan.

Dalam pada itu, pengguna digalakkan mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap dan berhemah serta menyertai program kecekapan tenaga yang dianjurkan oleh Energy Commission of Sabah (ECoS) bersama Sabah Electricity.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman sesawang ECoS di ecos.gov.my, manakala butiran jadual tarif dan anggaran bil elektrik bulanan boleh diakses melalui laman sesawang Sabah Electricity di www.sesb.com.my serta Kalkulator Bil Elektrik yang boleh digunakan mulai 1 Februari 2026.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Sabah Electricity melalui talian 15444, 088-515000 atau aplikasi Sabah Electricity.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/01/31/tarif-elektrik-disemak-secara-berhemah-demi-bekalan-tenaga-sabah-yang-mampan/feed/ 0 90763
Persatuan Pengguna Sabah alu-alukan tarif elektrik tidak dinaikkan https://sabahmedia.com/2023/07/01/persatuan-pengguna-sabah-alu-alukan-tarif-elektrik-tidak-dinaikkan/ https://sabahmedia.com/2023/07/01/persatuan-pengguna-sabah-alu-alukan-tarif-elektrik-tidak-dinaikkan/#respond Sat, 01 Jul 2023 01:14:42 +0000 https://sabahmedia.com/?p=37467
Read Time:1 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah mengalu-alukan pengumuman kerajaan Persekutuan untuk terus mengekalkan tarif elektrik Syarikat Elektrik Sabah Berhad (SESB).

Presidennya, David Chan berkata, langkah itu amat bertepatan dengan keadaan semasa apabila menyaksikan penggunaan bekalan elektrik yang meningkat pada musim panas ini sekali gus menyebabkan bayaran bil pengguna turut meningkat.

Menurut beliau, rakyat juga pada masa kini terbeban dengan banyak kenaikan kos barangan keperluan harian seperti makanan dan lain-lain perkhidmatan semasa.

“Kita ingin merakam ucapan terima kasih di atas pengumuman mengekalkan tarif elektrik di Sabah yang jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.

“Kita berharap dengan keputusan itu sekurang-kurangnya dapat menangani beban kos hidup rakyat yang semakin bertambah khususnya ketika musim panas masa kini apabila penggunaan elektrik meningkat,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad, Datuk Ir Baharin untuk melaksanakan projek pemasangan panel solar dibumbung-bumbung bangunan sebagai langkah mendapatkan sumber bekalan elektrik lebih murah dan mesra alam.

Katanya, projek berkenaan sangat penting bagi mengimbangi kos penjanaan bekalan elektrik semasa dan sewajarnya kerajaan mengambil langkah proaktif bagi mencari sumber alternatif yang lebih murah, mesra alam dan bersifat perancangan jangka panjang.

“Projek ini sangat penting bagi membolehkan rakyat Sabah terus dapat menikmati bekalan elektrik dengan kos berpatutan selain membolehkan lebih banyak kawasan yang tidak mempunyai bekalan elektrik mendapat kemudahan itu pada masa depan.

“Kita juga berharap projek panel solar ini mengurangkan masalah kejadian terputus bekalan elektrik yang sering berlaku,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/07/01/persatuan-pengguna-sabah-alu-alukan-tarif-elektrik-tidak-dinaikkan/feed/ 0 37467