Tarif – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Mon, 05 May 2025 04:56:39 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Tarif – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Kerajaan Umum Langkah Proaktif Hadapi Tarif Balas AS – PM Anwar https://sabahmedia.com/2025/05/05/kerajaan-umum-langkah-proaktif-hadapi-tarif-balas-as-pm-anwar/ https://sabahmedia.com/2025/05/05/kerajaan-umum-langkah-proaktif-hadapi-tarif-balas-as-pm-anwar/#respond Mon, 05 May 2025 04:44:17 +0000 https://sabahmedia.com/?p=73204
Read Time:3 Minute, 17 Second

KUALA LUMPUR, – Kerajaan Malaysia hari ini mengumumkan enam strategi  strategik bagi menghadapi tindakan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan tarif timbal balik ke atas barangan import dari Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika menyampaikan penerangan pada sesi mesyuarat khas berkenaan isu tarif Amerika Syarikat (AS) di Dewan Rakyat hari ini menegaskan bahawa Malaysia tidak akan tunduk kepada tekanan luar dan sebaliknya memilih untuk berunding secara berprinsip demi melindungi ekonomi negara, pekerjaan rakyat dan keyakinan pelabur asing.

“Kita tidak memilih jalan mudah. Kita tidak menyerah kepada tekanan. Kita memilih untuk berunding secara berprinsip, demi mempertahankan pekerjaan rakyat, pelaburan masa hadapan dan kedaulatan ekonomi negara,” katanya.

NGCC Jadi Pusat Kawalan Tindak Balas Perdagangan

Langkah pertama yang diumumkan ialah penubuhan Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) pada 4 April lalu, yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri dan diselaras oleh MITI. Katanya NGCC ditubuhkan sebagai platform penyelarasan tindak balas perdagangan, khususnya berkaitan tarif, halangan bukan tarif, dan kejutan geoekonomi global. Sehingga kini, pusat itu telah bersidang sebanyak tiga kali.

Delegasi Malaysia Adakan Rundingan di Washington

Tambah Anwar lagi, Malaysia juga menghantar delegasi rasmi ke Washington DC dari 22 hingga 24 April lalu, diketuai oleh Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Delegasi itu mengadakan pertemuan dengan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, dan Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick.

Dalam rundingan itu, Malaysia memohon pengecualian daripada tarif 24% dan menawarkan kerjasama menyelesaikan isu halangan bukan tarif (NTB). Anwar berkata, maklum balas yang diterima adalah positif, dan AS bersetuju untuk terus berunding.

ASEAN Sepakat Tidak Balas Tindakan Tarif AS

Pada masa sama, Malaysia memainkan peranan utama dalam memimpin kesepakatan ASEAN menolak tindakan balas terhadap AS, sebaliknya memilih pendekatan meja rundingan. Dalam mesyuarat khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN pada 10 April, kesemua negara anggota bersetuju untuk menubuhkan Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN dan kekal menyokong sistem perdagangan pelbagai hala.

Rundingan Dua Hala Masih Awal, Tiada Komitmen Muktamad

Anwar menjelaskan bahawa rundingan dua hala antara Malaysia dan AS kini masih di peringkat awal dan tertakluk kepada Non-Disclosure Agreement (NDA). Tiada sebarang komitmen dimuktamadkan, namun terdapat kemungkinan kadar tarif dapat dikurangkan hasil rundingan seterusnya.

Malaysia Tawar Timbal Balas Strategik kepada AS

Sebagai sebahagian strategi diplomasi ekonomi, Malaysia menawarkan beberapa inisiatif utama kepada AS termasuk Tempahan 30 pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG), serta Penglibatan syarikat teknologi digital utama seperti Google, Amazon dan Microsoft, serta Komitmen terhadap pelindungan harta intelek yang lebih mesra pelabur.

Sokongan Tambahan kepada PKS dan Pengeksport Terjejas

Sementara itu, Jelas Anwar lagi, Dalam usaha menyokong syarikat tempatan, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas, kerajaan memperkenalkan Tambahan RM1 bilion jaminan pembiayaan melalui Skim SJPP.

Dan RM500 juta dana pembiayaan mudah melalui institusi pembangunan kewangan (DFI), Tambahan RM50 juta kepada MATRADE untuk membantu pengeksport menembusi pasaran baharu.

Pelbagaikan Pasaran, Kukuh Projek Serantau

Perdana Menteri turut mengumumkan tumpuan baharu ke arah mempelbagaikan pasaran eksport, termasuk Negara-negara Eropah, Timur Tengah, Asia Tengah dan Amerika Selatan serta Projek strategik seperti ASEAN Power Grid, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), dan pelabuhan darat di Perlis dan NCER.

Fokus kepada Pelaburan, Ekonomi Digital dan Tenaga Baharu

Anwar menegaskan bahawa kerajaan akan mempercepat pelaksanaan pelaburan melalui pembukaan pusat sehenti pelaburan (IMFC) di Pulau Pinang dan Sarawak. Fokus turut diberi kepada pelaburan strategik dalam sektor E&E, AI, tenaga boleh baharu (LSS5), serta infrastruktur digital kerajaan.

malah Ujarnya  Kerajaan   terus mengutamakan penerimagunaan teknologi terkini selaras dengan iltizam untuk memperkukuh daya saing negara dan memudahcara perniagaan.

Katanya Kerajaan telah mewujudkan fakulti AI di UTM dan mewujudkan pusat teknologi di  UPM untuk post quantum cryptography. Selain itu, penelitian lanjut berhubung penggunaan teknologi terkini lain turut dilaksanakan antaranya termasuklah blockchain untuk pembudayaan digital dalam sektor awam.

Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa tiada dasar utama negara termasuk hak Bumiputera, vendor tempatan dan sektor strategik akan dikompromi dalam mana-mana rundingan perdagangan antarabangsa.

“Kita akan terus mempergiat agenda Ekonomi MADANI demi memastikan Malaysia kekal di landasan ekonomi yang mampan, berdaya tahan dan berdaya saing,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/05/05/kerajaan-umum-langkah-proaktif-hadapi-tarif-balas-as-pm-anwar/feed/ 0 73204
Prospek Ekonomi Suram Jejas Pasaran Buruh Negara https://sabahmedia.com/2025/05/03/prospek-ekonomi-suram-jejas-pasaran-buruh-negara/ https://sabahmedia.com/2025/05/03/prospek-ekonomi-suram-jejas-pasaran-buruh-negara/#respond Sat, 03 May 2025 07:33:09 +0000 https://sabahmedia.com/?p=73107
Read Time:2 Minute, 55 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

KUALA LUMPUR – Ketidaktentuan prospek ekonomi negara yang semakin jelas susulan perang tarif global dilihat bakal memberi tekanan besar terhadap pasaran buruh tempatan, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat berkaitan keselamatan pekerjaan dan kadar gaji.

Laporan terbaharu Hiring, Compensation and Benefits 2025 oleh Jobstreet yang diterbitkan baru-baru ini memperincikan jangkaan dan perancangan majikan terhadap pasaran buruh untuk separuh pertama tahun ini. Laporan tersebut dibina berdasarkan tinjauan ke atas 2,279 responden terdiri daripada majikan dan profesional sumber manusia merentas pelbagai industri serta saiz organisasi.

Hampir separuh daripada organisasi kecil (48%), sederhana (49%) dan besar (47%) menyatakan hasrat untuk menambah pekerja dalam tempoh Januari hingga Jun 2025. Faktor utama yang mendorong pengambilan baharu ini ialah pengembangan perniagaan.

Sementara itu, 41% majikan memilih untuk mengekalkan jumlah pekerja sedia ada, manakala hanya 5% menyatakan hasrat mengurangkan pekerja – langkah yang didorong oleh keperluan mengurangkan kos operasi dan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi.

Bagaimanapun, dapatan itu dibuat dalam tempoh ketika sentimen ekonomi masih positif, dengan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada pada paras 4.5% hingga 5.5% bagi tahun 2025.

Perang Tarif Ubah Segala-galanya

Namun situasi berubah drastik selepas Amerika Syarikat mengumumkan pelaksanaan ‘perang tarif’ ke atas pelbagai negara, termasuk Malaysia yang dikenakan kadar tarif timbal balik sebanyak 24%. Negara ASEAN lain turut terkesan – Indonesia (32%), Thailand (37%), Myanmar (45%), Vietnam (46%), Laos (48%) dan Kemboja (49%).

Kesan segera daripada dasar perdagangan agresif itu ialah semakan semula unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia, yang kini diramalkan berada di antara 4% hingga 4.5% – lebih rendah daripada jangkaan awal.

Keadaan ini mendorong banyak majikan untuk menilai semula rancangan pengambilan pekerja mereka. Menurut pemerhati industri, langkah membekukan pengambilan atau pengurangan tenaga kerja dijangka menjadi lebih meluas.

Presiden Malaysian International Chamber of Commerce and Industry (MICCI) menjangkakan sekurang-kurangnya 50,000 pekerja berisiko kehilangan pekerjaan khususnya di negeri berorientasikan eksport seperti Pulau Pinang, Johor dan Lembah Klang. MICCI turut menjangkakan pertumbuhan gaji pekerja akan turut terjejas.

PKS dan Industri E&E Terancam

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) pula menyatakan lebih 60,000 pekerja Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang bergantung kepada eksport ke pasaran Amerika Syarikat berada dalam risiko tinggi kehilangan kerja. Menurut MEF, sekitar 12,000 daripada 1.2 juta PKS negara mempunyai keterikatan langsung dengan pasaran eksport AS.

Dalam pada itu, Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Letrik (KPPPL) yang mewakili lebih 10,000 pekerja dalam industri elektrik dan elektronik (E&E), turut menyuarakan kebimbangan bahawa sektor itu kini berada di bawah tekanan hebat yang berpotensi menjejaskan keselamatan pekerjaan ribuan pekerja tempatan.

Kadar Pengangguran Masih Stabil – Buat Masa Ini

Berdasarkan Sorotan Pasaran Buruh Suku Tahun Ke-4 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran negara masih kekal stabil pada paras 3.2%. Angka ini menunjukkan Malaysia masih berada dalam kategori guna tenaga penuh – istilah yang digunakan apabila kadar pengangguran berada di bawah 4%.

Namun kestabilan ini bakal terancam sekiranya jangkaan pemberhentian pekerja dalam sektor eksport menjadi kenyataan, justeru menyebabkan kadar pengangguran meningkat.

Malaysia telah mengekalkan kadar pengangguran rendah secara konsisten selama lebih 40 tahun, dari 1982 hingga 2023, yang mencerminkan keupayaan pertumbuhan ekonomi negara menyediakan peluang pekerjaan mencukupi.

Rundingan Perlu Membuahkan Hasil

Dalam menghadapi tekanan ini, kerajaan sedang menjalankan rundingan dengan pihak Amerika Syarikat bagi membincangkan semula kadar tarif yang dikenakan. Harapan kini disandarkan kepada diplomasi perdagangan untuk memastikan kesan jangka panjang terhadap ekonomi dan pasaran buruh negara dapat diminimumkan.

Kejayaan rundingan ini bukan sahaja penting bagi memulihkan keyakinan pelabur dan majikan, malah dapat mengurangkan keresahan rakyat terhadap ketidaktentuan ekonomi yang sedang melanda.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/05/03/prospek-ekonomi-suram-jejas-pasaran-buruh-negara/feed/ 0 73107
Tarif baharu AS bukan penghalang, Sabah lihat peluang baharu jana ekonomi negeri https://sabahmedia.com/2025/04/08/tarif-baharu-as-bukan-penghalang-sabah-lihat-peluang-baharu-jana-ekonomi-negeri/ https://sabahmedia.com/2025/04/08/tarif-baharu-as-bukan-penghalang-sabah-lihat-peluang-baharu-jana-ekonomi-negeri/#respond Tue, 08 Apr 2025 02:28:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=71599
Read Time:4 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU: Ketika ramai pihak melihat tarif baharu yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas eksport Malaysia sebagai ancaman, Sabah tampil dengan naratif berbeza, penuh yakin dan optimis.

Dua tokoh tempatan, Dr. Davina Markus Majihi (ahli korporat perniagaan) dan Dr. Awang Faisal Assyiffa (ahli ekonomi dan akademik), menyifatkan perkembangan itu sebagai peluang keemasan buat negeri di bawah bayu untuk mengukuhkan ekonomi melalui pendekatan strategik dan penilaian semula kekuatan sedia ada.

“Sebagai ahli dalam bidang ekonomi dan korporat, kami sedar keresahan itu nyata. Namun, kami juga yakin satu perkara, Sabah tidak akan tumbang dengan satu sekatan asing. Sebaliknya, ini peluang besar untuk Sabah menilai semula kekuatannya, menyusun semula strategi, dan memanfaatkan potensi luar biasa yang sudah lama dimiliki tetapi belum cukup digilap,” kata mereka dalam kenyataan bersama pada Selasa.

Berikut perincian kenyataan bersama Dr Davina dan Dr Awang Faisal.

Sebagai negeri pengeluar utama petroleum mentah, LNG, dan minyak sawit, Sabah berada dalam kedudukan strategik yang sangat unik. Dalam pengalaman kami, projek-projek besar seperti di Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP) membuktikan bahawa Sabah tidak sekadar jadi pembekal bahan mentah, tetapi mampu jadi pemain utama dalam ekonomi hiliran jika diberikan ruang dan kepercayaan.

Kepimpinan Stabil, Arah Tuju Ekonomi yang Jelas

Kami melihat kesungguhan kepimpinan negeri hari ini di bawah YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai kunci penting. Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan hanya dokumen di atas kertas, tetapi satu kompas yang mengarahkan Sabah ke masa depan lebih tersusun dan berpaksikan rakyat Sabah. Bukan saja untuk jangka pendek, tapi demi masa depan generasi akan datang.

Tadbir urus baik, pengurusan wang negeri yang berhemah, dan keutamaan kepada peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat Sabah jadi asas kepada kestabilan ekonomi negeri.

Daripada Halangan Menjadi Peluang

Kami tidak menafikan, tarif Amerika mungkin menjejaskan eksport Sabah ke negara tersebut. Tetapi dalam dunia yang semakin terbuka, Sabah tidak boleh bergantung hanya pada satu pasaran. Sepanjang pengalaman kami dalam rundingan dan jaringan perniagaan, kami melihat sendiri bagaimana negara-negara seperti Jepun, Korea, Emiriah Arab Bersatu dan India sebenarnya lebih terbuka, lebih progesif dan lebih mesra. Mereka kini buka banyak ruang untuk produk kita – dari LNG, minyak sawit hinggalah makanan berasaskan tumbuhan.

Ditambah pula dengan Malaysia sebagai ahli kepada Perjanjian Perdagangan Bebas RCEP, Sabah sekarang ada kelebihan besar untuk masuk ke pasaran serantau tanpa halangan tarif AS. Ini bukan hanya baik untuk syarikat besar, tapi juga untuk pengusaha kecil yang kini boleh akses pasaran antarabangsa dengan lebih mudah dan kos dagangan yang lebih rendah. Ini realiti baru yang harus kita manfaatkan.

Nilai Tambah & Peluang Anak Muda

Apa yang paling kami tekankan ialah keperluan Sabah untuk memberi tumpuan kepada pembangunan sektor hiliran iaitu memproses bahan mentah kepada produk bernilai tinggi seperti petrokimia, sabun sawit dan biodiesel. Ini penting kerana produk siap lebih stabil dari segi harga dan permintaan.

Kemajuan kawasan industri seperti SOGIP membolehkan kita tarik pelaburan baharu, cipta peluang kerja berkemahiran & bergaji tinggi untuk anak-anak muda Sabah, serta beri manfaat kepada syarikat tempatan. Langkah ini akan bantu kukuhkan ekonomi Sabah untuk jangka panjang.

Dan apabila sektor hiliran maju, Sabah tidak perlu lagi risau sangat tentang turun naik harga pasaran dunia.

Kami sendiri terlibat dalam sektor hiliran dan melihat bagaimana projek ini bukan saja mengubah landskap ekonomi, tetapi membuka masa depan baharu untuk ribuan anak muda bumiputera Sabah.

Dari Kampung Ke Pasaran Global

Kerajaan negeri terus komited memastikan kemajuan ekonomi dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat — termasuk pekebun kecil, nelayan dan usahawan mikro.

Program pembangunan kapasiti, inisiatif pembiayaan mikro dan sokongan digitalisasi pemasaran kini sedang giat dijalankan bagi membolehkan rakyat Sabah terus maju dalam landskap ekonomi yang sentiasa berubah.

Kayakinan Terhadap Anak Bumiputera Sabah – Kita Boleh Urus Sendiri

Kami percaya, kekuatan sebenar Sabah bukan hanya pada sumber semula jadi. Ia terletak pada rakyat Sabah. Ramai anak Sabah yang kini mengetuai syarikat korporat, menjadi pakar dalam teknologi, malah duduk dalam lembaga antarabangsa. Maka, mengapa kita masih ragu dengan kemampuan sendiri?

Kini tiba masanya kita tanam keyakinan bahawa Sabah boleh dan harus urus ekonominya dengan lebih berautonomi. Kita tidak anti-persekutuan, tetapi kita mahu Sabah diberi kuasa dan ruang yang selayaknya.

Sabah dan Persekutuan – Kerjasama Strategik

Walaupun Sabah mulai berdikari dalam banyak hal, kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan tetap penting. Hubungan yang baik dengan agensi seperti MATRADE, MIDA dan MITI bantu Sabah kembangkan pasaran, dapatkan pelabur, dan bawa masuk teknologi baru.

Bagi memperkukuh kesiapsiagaan negeri terhadap perubahan mendadak dasar perdagangan antarabangsa, kerajaan Sabah sebaiknya juga mengambil inisiatif untuk menubuhkan satu unit pemantauan perdagangan khas di peringkat negeri yang berfungsi secara bebas.

Unit ini boleh bertindak sebagai penasihat strategik kepada kerajaan negeri dan menyampaikan maklumat terkini berkaitan perkembangan ekonomi luar. Langkah ini penting agar Sabah tidak bergantung semata-mata kepada pusat untuk buat keputusan ekonomi penting.

Sabah Ada Kekuatan Sendiri

Sabah mempunyai segala kelebihan dari segi kekayaan sumber semula jadi, lokasi strategik, tenaga kerja yang berdedikasi serta kepimpinan negeri yang berwawasan dan konsisten.

Apa yang diperlukan kini hanyalah keyakinan sepenuhnya terhadap keupayaan sendiri, bahawa Sabah mampu mentadbir ekonominya secara lebih berautonomi, berdiri teguh di pentas global, dan terus menjadi antara tunjang utama pertumbuhan Malaysia.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/04/08/tarif-baharu-as-bukan-penghalang-sabah-lihat-peluang-baharu-jana-ekonomi-negeri/feed/ 0 71599