telupid – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Mon, 17 Nov 2025 05:50:49 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png telupid – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Jonnybone yakin pertahan kerusi DUN Telupid https://sabahmedia.com/2025/11/16/jonnybone-yakin-pertahan-kerusi-dun-telupid/ https://sabahmedia.com/2025/11/16/jonnybone-yakin-pertahan-kerusi-dun-telupid/#respond Sun, 16 Nov 2025 04:50:49 +0000 https://sabahmedia.com/?p=86023
Read Time:2 Minute, 0 Second

Oleh J Evachel John

TELUPID: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telupid, Datuk Jonnybone Kurum yakin mampu mempertahankan kerusi itu walaupun berdepan persaingan sembilan penjuru, termasuk daripada calon yang mempunyai pertalian keluarga.

Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, walaupun sentimen kekeluargaan wujud dalam kalangan pengundi, rakyat Telupid kini lebih matang menilai calon berdasarkan pencapaian dan rekod perkhidmatan, bukan sekadar hubungan kekeluargaan.

“Tidak dinafikan calon-calon yang bertanding bagi kerusi DUN Telupid hampir semuanya mempunyai kaitan kekeluargaan. Ini menjadi cabaran bagi saya kerana sentimen kekeluargaan memang boleh mempengaruhi pola undi.

“Namun, saya yakin pengundi tetap menilai berdasarkan pencapaian dan usaha yang telah saya lakukan di Telupid, bukan sekadar hubungan keluarga,” katanya ketika dihubungi selepas proses penamaan calon, pada Sabtu.

Berkecimpung hampir 20 tahun dalam politik, beliau menimba pengalaman daripada bekas ADUN Telupid, Datuk Seri Panglima Michael Asang, dan melalui pelbagai jawatan termasuk pemaju mukim dan Pegawai Pembangunan Masyarakat, yang memberinya kefahaman mendalam tentang keperluan akar umbi.

Keyakinannya untuk mempertahankan kerusi juga berasaskan pencapaian nyata sepanjang penggal, termasuk penyerahan lebih 500 geran tanah serta penyukatan tanah Anak Negeri Sabah di empat kampung.

“Telupid juga sudah memiliki Jabatan Tanah sendiri sejak 2023 dan Majlis Daerah Telupid. Turut direalisasikan ialah pembinaan Bangunan Serbaguna Telupid bernilai RM5 juta yang kini dalam proses pembinaan,” katanya.

Menurutnya, kesemua inisiatif tersebut adalah bukti jelas bahawa pembangunan di Telupid berlaku secara konkrit, bukan sekadar janji politik.

“Berdasarkan kerja keras dan usaha yang telah dilakukan, saya yakin pengundi di Telupid akan terus mengekalkan saya sebagai wakil rakyat di bawah GRS. Saya berharap pengundi memberi mandat sekali lagi bagi meneruskan perjuangan membangunkan Telupid,” katanya.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah kali ini, beliau akan bersaing dengan calon-calon lain iaitu Jamin Jamri (Perikatan Nasional); Simah Binti Matusip (Warisan); Pagrios @ Petrus Zabang (Parti Bangsa Malaysia); Michel Alok (Parti Impian Sabah); Felix Joseph Saang (Upko); Nilis Joseph (KDM); Jikmariya Muran (Star); dan Benedict Asmat (BN).

Pada PRU Sabah Ke-16 Jonnybone menang dengan memperoleh 2,266 undian ketika menentang pencabar terdekatnya calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Felix Joseph Saang yang mendapat 1,581 undi.

Turut bertanding pada masa itu ialah calon BN, Abdul Wahab Abdul Ghani (1,389 undi); calon Parti Cinta Sabah (PCS), Jingkoi Luna (68 undi); dan calon Parti Liberal Demokratik (LDP), Takun Ladas @ Mohd Johan Sualan Madinal (54 undi).

Bekas Adun Labuk Datuk Seri Panglima Michael Asang (memakai kemeja biru) hadir memberi sokongan semasa penamaan calon.
]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/16/jonnybone-yakin-pertahan-kerusi-dun-telupid/feed/ 0 86023
Gangguan bekalan elektrik Telupid dan Beluran pulih, Sabah Electricity hargai bantuan orang awam https://sabahmedia.com/2025/03/02/gangguan-bekalan-elektrik-telupid-dan-beluran-pulih-sabah-electricity-hargai-bantuan-awam/ https://sabahmedia.com/2025/03/02/gangguan-bekalan-elektrik-telupid-dan-beluran-pulih-sabah-electricity-hargai-bantuan-awam/#respond Sun, 02 Mar 2025 05:15:28 +0000 https://sabahmedia.com/?p=69668
Read Time:1 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU: Berlaku gangguan bekalan elektrik serentak yang berpunca daripada kerosakan kabel utama 33kV di dua lokasi berbeza yang menghubungkan Daerah Telupid dan Beluran pada Khamis.

Gangguan dipulihkan sepenuhnya pada Jumaat jam 8.45 malam.

Kerja-kerja pemulihan bekalan menghadapi cabaran apabila anggota kerja teknikal Sabah Electricity berhadapan dengan kejadian kemalangan melibatkan dua buah lori yang menghalang lalu lintas.

“Kita berterima kasih kepada orang awam yang membantu dengan membawa anggota kerja Sabah Electricity menggunakan motosikal mereka semasa kejadian berlaku,” kata Ketua Pegawai Operasi, Ir.Ts. Mohd Yusmanizam Mohd Yusof.

Menurut beliau makluman berkenaan gangguan bekalan di kawasan Lung Manis dan Sapi Nangoh diterima oleh pasukan teknikal Sabah Electricity pejabat Kawasan Beluran pada jam 9.30 pagi Khamis dan usaha pemulihan dilaksanakan dengan segera dan bekalan berjaya dipulihkan pada jam 10.19 pagi.

“Walau bagaimanapun, sekali lagi bekalan ke dua kawasan tersebut terganggu pada jam 12.46 petang dan hasil pemeriksaan dengan menggunakan Cable Fault Locater (CFL) mendapati terdapat kerosakan kekal ke atas kabel di belakang Bangunan JPJ, Batu 32,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Kerja-kerja pembaikan ke atas kabel yang rosak dilaksanakan agak lama memandangkan tahap kerosakan adalah tinggi dan memerlukan bantuan alat ganti khas.

Bekalan ke seluruh kawasan Beluran berjaya dipulihkan pada jam 11.44 malam pada Khamis kecuali ke kawasan Lung Manis dan Sapi Nangoh.

Bagi kawasan Lung Manis dan Sapi Nangoh, pembaikan ke atas talian 33kv yang rosak menghadapi kesukaran antaranya disebabkan lokasi kerosakan yang jauh, keadaan jalanraya yang tidak berturap dan gelap serta keadaan bentuk muka bumi yang sukar melambatkan pemulihan bagi kedua kawasan ini.

Walaupun menghadapi cabaran-cabaran ini, kerja-kerja pembaikan dilaksanakan dengan segera dan bekalan ke kawasan Lung Manis dan Sapi Nangoh dipulihkan sepenuhnya jam 8.45 malam pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohd Yusmanizam berkata kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan elektrik sedang dilaksanakan di Telupid dan Beluran di mana Pencawang Pembahagian Utama (PPU) baharu sedang dibina di Telupid.

“Beberapa projek menaiktaraf sistem juga sedang dilaksanakan dan dijangka akan siap pada September tahun ini,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/03/02/gangguan-bekalan-elektrik-telupid-dan-beluran-pulih-sabah-electricity-hargai-bantuan-awam/feed/ 0 69668
Rumah Warga Tua Kendiri Telupid siap Disember 2025 https://sabahmedia.com/2024/10/01/rumah-warga-tua-kendiri-telupid-siap-disember-2025/ https://sabahmedia.com/2024/10/01/rumah-warga-tua-kendiri-telupid-siap-disember-2025/#respond Tue, 01 Oct 2024 05:42:07 +0000 https://sabahmedia.com/?p=61540
Read Time:1 Minute, 2 Second

Telupid: Rumah Warga Tua Kendiri yang dibina bagi memberi penjagaan dan perlindungan kepada golongan warga emas di daerah ini bakal siap penghujung tahun depan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, projek dibawah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) itu bernilai RM2.5 juta.

“Saya telah mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan Rumah Warga Tua Kendiri Telupid yang kini dalam pembinaan berhampiran Pejabat JPKA Daerah Telupid.

“Golongan sasaran adalah warga emas yang masih sihat, tetapi keseorangan, tiada tempat tinggal, dan masih mampu berusaha.

“Asrama ini akan menyediakan persekitaran yang selesa dan selamat, memastikan kesejahteraan fizikal dan mental mereka terjaga. Selain itu, bangunan pentadbiran akan berfungsi sebagai pusat pengurusan yang mengatur segala keperluan dan aktiviti penghuni,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan di sini semalam.

James berkata, projek tersebut adalah bertujuan untuk membina bangunan asrama dan bangunan pentadbiran yang akan menempatkan warga emas yang memerlukan penjagaan dan perlindungan. 

Katanya, projek itu diharapkan dapat memberi peluang kepada warga emas untuk menjalani kehidupan yang lebih bermakna, dengan sokongan komuniti dan kemudahan yang disediakan.

“Dalam masa yang sama, pusat tersebut juga diharap memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk menyumbang dan berusaha dalam pelbagai aktiviti yang disediakan,” katanya.- SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2024/10/01/rumah-warga-tua-kendiri-telupid-siap-disember-2025/feed/ 0 61540
Menara telekomunikasi di Telupid dibaik pulih secara berperingkat https://sabahmedia.com/2022/04/09/menara-telekomunikasi-di-telupid-dibaik-pulih-secara-berperingkat/ https://sabahmedia.com/2022/04/09/menara-telekomunikasi-di-telupid-dibaik-pulih-secara-berperingkat/#respond Sat, 09 Apr 2022 09:37:38 +0000 https://sabahmedia.com/?p=14100
Read Time:1 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU : Menara telekomunikasi yang terbakar di Telupid pada 25 Mac lalu kini sedang dibaik pulih dan diselesaikan secara berperingkat.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan berkata, insiden kebakaran yang berlaku di menara telekomunikasi itu turut menjejaskan liputan Internet di beberapa kawasan berhampiran pekan Telupid.

“MCMC bersama pihak penyedia perkhidmatan sedang berusaha untuk membaik pulih menara tersebut secara berperingkat.

“Sehingga kini, perkhidmatan talian DIGI telah pulih dan beroperasi seperti biasa. Manakala bagi perkhidmatan Celcom dan Maxis pula dijangka akan pulih dan beroperasi dalam tempoh dua minggu lagi,” kata kenyataan itu disini semalam.

MCMC turut menasihati kepada semua pelajar dan masyarakat setempat agar sentiasa mementingkan keselamatan diri.

“Sebagai langkah sementara, penduduk setempat boleh mengunjungi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) yang berada di Pekan Telupid untuk mendapatkan liputan Internet di tempat yang lebih selamat dan selesa sehingga proses baik pulih selesai dijalankan dan menara telekomunikasi tersebut beroperasi seperti biasa tidak lama lagi,” menurut kenyataan itu lagi.

Terdahulu, pelajar semester enam Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Sosial Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Anis Arina Aqilah Roslee,23, berdepan kesukaran untuk mengikuti ODL selepas menara telekomunikasi di daerah itu rosak kerana terbakar pada 25 Mac lalu.

Anak sulung daripada tiga beradik itu dilihat terpaksa duduk dalam but kereta bagi mendapatkan rangkaian terbaik.

Anis berkata beliau telah dihubungi oleh MCMC dan dimaklumkan kerja-kerja membaik pulih menara itu sedang dilakukan secara berperingkat.

“MCMC akan turun ke sini pada hari Rabu bersama saya untuk cari kawasan yang ada rangkaian dan buat siasatan bersama,” katanya.

Sementara itu, Anis yang juga pelajar tahun akhir secara kebetulan sedang menyiapkan kajian berkaitan jurang digital dan masalah capaian akses internet di Telupid mengakui kemudahan itu merupakan perkara asas yang diperlukan bagi setiap peringkat.

“Sebenarnya jurang digital masih wujud, bukan sahaja kawasan pedalaman seperti di Telupid, ia juga berlaku di bandar-bandar.

“Capaian akses internet ini bukan terhad kepada saya sebagai seorang pelajar tapi ia juga beri kesan kepada bidang-bidang lain seperti kesihatan, perniagaan dan pendidikan yang sememangnya perlukan internet pada hari ini.

“Kajian saya mengenai jurang digital di telupid menyebabkan saya perlu berada disini untuk siapkan kajian saya. Saya berhasrat untuk teruskan kajian ini ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya dipetik FMT disini hari ini.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/04/09/menara-telekomunikasi-di-telupid-dibaik-pulih-secara-berperingkat/feed/ 0 14100
DUN Sabah : Kerajaan Diminta Pandang Serius Potensi Yang Ada Di Setiap DUN https://sabahmedia.com/2021/12/06/dun-sabah-kerajaan-diminta-pandang-serius-potensi-yang-ada-di-setiap-dun/ https://sabahmedia.com/2021/12/06/dun-sabah-kerajaan-diminta-pandang-serius-potensi-yang-ada-di-setiap-dun/#respond Mon, 06 Dec 2021 14:45:52 +0000 https://sabahmedia.com/?p=9424
Read Time:1 Minute, 49 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri diminta untuk memandang serius terhadap potensi-potensi yang ada di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid Jonnybone J. Kurum berkata, DUN Telupid khususnya mempunyai potensi yang besar sekiranya kerajaan membantu bagi merancang pembangunan yang lebih inovatif dan mampan pada masa akan datang.

Katanya, daerah Telupid merupakan jantung negeri Sabah yang terletak ditengah-tengah jaringan jalan raya timur barat utara selatan.

“Seperti yang saya pernah nyatakan dahulu iaitu menjadikan daerah ini sebagai hub transit pengangkutan darat, hub kesihatan, hub pendidikan, hub perindustrian berasaskan pertanian dan penternakan serta menjadi kawasan baru bagi tarikan pelancongan.

“Dalam mencapai hasrat ini, beberapa langkah perlu diambil secara serius oleh kerajaan seperti mempercepatkan penyiapan jalan Pan Borneo, menaik taraf bekalan elektrik dalam kadar 100 peratus dan bekalan air, serta menaik taraf jaringan jalan raya perhubungan kampung yang masih daif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan Belanjawan Sabah 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Jonnybone berkata, dengan adanya infrastuktur yang baik, beliau percaya dan yakin pelabur akan datang untuk mencari peluang perniagaan.

Katanya, sumber-sumber yang boleh diperolehi secara G2G sudah pasti akan dapat merealisasikan hasrat berkenaan.

“Sebagai contoh dalam penyediaan tanah untuk tujuan pembangunan. Kawasan yang masih luas yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan melalui agensi seperti Jabatan Hutan perlu di kolaborasikan demi kemajuan jangka panjang negeri Sabah.

“Daerah Telupid sangat memerlukan tanah untuk dibangunkan namun malang sekali Telupid dikelilingi oleh syarikat-syarikat perladangan dan hutan simpan.

“Oleh yang demikian, kita tiada pilihan selain merayu kepada agensi kerajaan seperti Jabatan Hutan untuk memohon beberapa kawasan hutan simpan untuk dikeluarkan bagi tujuan pembangunan,” katanya.

Katanya, hutan simpan yang dikenalpasti adalah Hutan Simpan Tawau dan Hutan Simpan Kuamas, Hutan Simpan Bidu-Bidu, Hutan Simpan Ulu Telupid, Hutan simpan Lipasu dan Hutan Simpan Ulu Tongod.

“Ini tidak bererti mengeluarkan semua kawasan hutan simpan tersebut namun memadai kawasan yang dimaksudkan dapat menampung pembangunan yang dirancang dimana sebahagian rancangan yang kita kenal pasti adalah perumahan mampu milik, lot-lot bangunan komersial dan apa juga jenis bangunan yang difikirkan perlu serta rancangan untuk pusat pemeliharaan gajah.

“Kawasan yang dimaksudkan adalah dipinggir pekan Telupid yang termasuk dalam hutan simpan Tawai,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/12/06/dun-sabah-kerajaan-diminta-pandang-serius-potensi-yang-ada-di-setiap-dun/feed/ 0 9424