Oleh NORMIMIE DIUN
PAPAR: Pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di bawah Jabatan Perdana Menteri memaklumkan setakat ini tiada keperluan untuk menambah pasukan petugas misi Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa tragedi gempa bumi di Turkiye termasuk di Syria.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, setakat ni tiada keperluan dari segi tambahan sumber manusia, cukup dengan dua pasukan SAR ini kerana selain daripada Malaysia antara negara terawal menghantar bantuan petugas SAR, kini makin ramai negara-negara yang telah mula masuk dengan pasukan petugas SAR mereka.
“Malaysia menjadi antara pasukan negara asing yang pertama tiba di Turkiye bagi membantu kerajaan negara itu dalam misi mencari dan menyelamat mangsa tragedi gempa bumi termasuk di Syria,” katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat Loji Rawatan Air Kogopon di Papar hari ini.
Dalam pada itu, menurut Armizan, berkaitan penghantaran pasukan SAR itu adalah di bawah tanggungjawab NADMA untuk diselaraskan.
“Manakala penyelarasan secara keseluruhan adalah di bawah bidang tugas Kementerian Luar dan begitu juga penghantaran terbaru iaitu Pasukan Perubatan Kecemasan (EMT) termasuk hospital medan di bawah tanggungjawab Kementerian Pertahanan,” ujarnya.
Menurutnya, kesemua seramai 140 pasukan petugas SAR telahpun tiba dan berada di lokasi bencana di Turkiye.
“Misi SAR telah menghantar dua pasukan, iaitu 70 yang pertama pada 6 Feb dan pasukan yang kedua, telah bertolak dua hari lepas.
“Kesemua pasukan kita seramai 140 orang ini telah berada di ground zero (lokasi bencana), walaupun sebenarnya sasaran kita adalah untuk sampai ke bumi Turkiye dalam tempoh 24 jam, namun ada sedikit masalah untuk sampai ke ground zero yang mana ia melibatkan jarak yang cukup jauh dari Istanbul terpaksa terbang ke Adana dan terpaksa pula melalui jalan darat lebih 200 kilometer ke Gaziantep.
“Kedua-dua pasukan kita telah berada di Gaziantep dan telah mulakan proses SAR disana dan antara cabaran dihadapi adalah berkenaan cuaca yang extreme sebab di kawasan itu suhunya hingga di bawah paras beku.
“Inilah antara cabaran besar yang sedang dihadapi oleh para petugas kita namun, alhamdulillah kita mendapat laporan harian, para petugas kita dalam semangat yang tinggi dan mereka juga bekerjasama rapat dengan agensi yang bertanggungjawab di peringkat Turkiye sendiri,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai dan sumbangan itu akan diselaraskan oleh Kementerian Luar melalui tabung khas yang telah diwujudkan.
“Sesiapa juga ingin beri sumbangan boleh sumbang melalui tabung khas dan segala sumbangan diselaraskan melalui Kementerian Luar, kalau sumbangan dalam bentuk barangan kita melalui NADMA akan semak dengan kedutaan Turkiye sama ada barang-barang yang disumbangkan itu bersesuaian.
“Antara keperluan sekarang adalah baju sejuk selimut dan sebagainya, sebab mangsa-mangsa yang tiada tempat tinggal ini ditempatkan di satu tempat dengan cuaca cukup sejuk dan bantuan kepada para petugas juga diperlukan,” katanya.
]]>Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Tiada keperluan untuk mengadakan usul undi percaya terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, kata Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Dr Joachim Gunsalam.
Katanya, PBS menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
“Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PBS masih menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
“110 peratus PBS masih sokong Hajiji sebagai Ketua Menteri,” katanya.
Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian turut mengakui ada pihak yang cuba mengganggu gugat kestabilan kerajaan Sabah pada ketika ini.
“Sudah tentu ada pihak yang cuba untuk menggugat kestabilan kerajaan, tetapi setakat ini apa yang kita fikirkan, kita hanya bekerja dahulu. Jika ia benar-benar berlaku barulah kita akan melihat apa yang kita perlu lakukan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kepala Singa kepada Masyarakat Tiong Hua Sabah Sempena Tahun Baharu Cina Tahun 2023 Anjuran Kerajaan Negeri Sabah, di Magellan Sutera Resort di sini, hari ini.
Sementara itu, pada majlis yang sama, Timbalan Presiden parti STAR Datuk Ellron Angin ketika ditemui pemberita berkata, setakat ini semua ADUN STAR masih menyokong kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.
Mengulas mengenai khabar angin “membeli ADUN”, Ellron menegaskan yang beliau tidak tahu mengenai perkara itu.
“Saya tidak tahu, apa yang kamu dengar, kamipun dengar begitu, tetapi setakat ini semua ADUN STAR masih menyokong kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.
“Belum ada cubaan membeli, mungkin tidak berani kerana kami pasukan dengan Hajiji. Jangan cuba-cuba, setialah dengannya (Hajiji),” katanya.
]]>KOTA KINABALU: Tiada parti politik yang dilihat boleh membentuk kerajaan secara sendiri.
Pengerusi Kelab Penyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, senario itu merupakan realiti sebenar kepada politik negara ketika ini.
Memetik kenyataan beliau dalam pautan Facebooknya pagi tadi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan itu turut menambah, terdapat keperluan untuk penjajaran semula dan kompromi melibatkan semua pihak.
“Tetapi fokus utama seharusnya kepada pemulihan.
“Parti politik perlu ingat perkara ini dan mempercayai Yang Dipertuan Agong (YDPA) untuk memilih Perdana Menteri yang akan memikul tanggungjawab ini.
“Perdana Menteri baru boleh pertimbangkan untuk mewujudkan kabinet yang kecil, mahir dan bipartisan untuk membina kestabilan,” katanya.
Semalam, Pengerusi Perikatanan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan selepas mendapat perkenan daripada YDPA, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Perletakkan jawatan beliau turut disusuli dengan barisan kabinet yang lain namun Muhyiddin dilantik oleh Baginda untuk menggalas Perdana Menteri Sementara (caretaker) sebelum perlantikan Perdana Menteri yang baharu dalam tempoh terdekat.
]]>KOTA KINABALU : Sebanyak 60 peratus dari penduduk di negeri ini dijangka akan memperolehi vaksin penuh dua dos menjelang 21 September depan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jangkaan itu berdasarkan keupayaan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memberi suntikan vaksin sehingga lebih 40,000 dos harian sehingga kelmarin.
“Sehingga kelmarin (4 Ogos) JKNS telah menyuntik 46,840 dos vaksin secara harian dimana dari jumlah itu sebanyak 39,120 membabitkan dos pertama dan 7,720 pula adalah dos kedua.
“Selain itu, sehingga kelmarin juga, kumulatif pemberian vaksin adalah sebanyak 1,383,193 dos keseluruhan membabitkan suntikan dos pertama sebanyak 967,555 dos dan sebanyak 415,638 dos kedua,” katanya dalam kenyataan disini malam ini.
Masidi berkata, seperti yang dinyatakan lebih awal JKNS ada keupayaan untuk melakukan vaksinasi sehingga 60,000 dos sehari dengan syarat bekalan vaksin yang diperlukan tersedia dan tidak ada gangguan kepada jadual penghantaran ke Sabah.
Katanya, atas andaian bekalan vaksin yang mencukupi terjamin, mengikut perancangan, JKNS boleh mengekalkan momentum melaksanakan pemberian vaksin dengan kadar yang cepat seperti sekarang.
]]>KOTA KINABALU: Para pemimpin masyarakat, ketua kampung dan ketua mukim digesa agar terus mengingatkan penduduk di kawasan masing-masing sama ada muslim atau bukan muslim supaya tidak mengadakan sebarang majlis selepas pengebumian seperti kenduri,
tahlil dan sebagainya.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, hal ini mustahak bagi mengelakkan penularan jangkitan yang berpotensi mencetuskan kluster baharu yang semakin meningkat ketika ini khususnya berkaitan penganjuran majlis sosial.
Katanya, orang ramai yang ingkar dan melanggar SOP dengan mengadakan majlis sosial ini, akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Dalam hal yang berkaitan, satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Tampasuk Kota Belud – Kota Belud merupakan penularan COVID-19 dalam komuniti yang dipercayai berpunca daripada majlis pengebumian.
Masidi yang juga Jurucakap Rasmi COVID-19 Sabah berkata, kes indeks merupakan juruwang wanita, 32, di sebuah bank disahkan positif PCR dengan CT value 18.51 pada 26 Julai 2021, setelah bergejala demam, sakit badan, sakit tekak, selsema dan batuk.
Hasil pengesanan secara aktif dan saringan terhadap 159 kontak mendapati 29 kes positif COVID-19 termasuk sembilan kes baharu hari ini.
Semua 29 kes positif ini telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut dan pengasingan di Hospital Queen Elizabeth dan PKRC.
]]>6 Jun 2021
Normimie Diun
[email protected]
KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) adalah Parti yang memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan, khususnya hak-hak Orang Asal di Sabah.
Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey G Kitingan berkata, parti tidak akan melindungi mana-mana ahli sekiranya mereka terlibat dalam kesalahan atau mencemarkan nama baik parti.
“Ini termasuk kejadian baru -baru ini di mana seorang ahli parti telah didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seorang wanita.
“Untuk menunjukkan kesungguhan kami menangani isu ini, ahli tersebut telah digantung dari semua jawatan di dalam parti.
“Lembaga disiplin parti akan bersidang dalam masa terdekat ini untuk memutuskan status keahliannya,” katanya.
Kitingan menyatakan kekesalannya kerana kejadian itu telah menimbulkan kesusahan di kalangan ahli-ahli STAR dan secara langsung telah mendedahkan parti terhadap serangan-serangan daripada pihak lawan politik mereka.
“Individu ini bertindak mengikut kemahuannya sendiri dan tidak ada kaitan dengan parti STAR. Sebarang usaha untuk menyeret parti ke dalam perkara ini adalah tidak bertanggungjawab dan perlu dikecam.
“Saya menyeru semua ahli dan penyokong parti supaya berdiri teguh di belakang kepimpinan parti. Janganlah individu-individu yang hanya tahu bersembunyi di sebalik nama parti,” katanya.
Beliau juga menyokong saranan yang dibuat oleh Pengerusi Induk Ahli-ahli Jawatankuasa Unduk Ngadau Joanna Kitingan, yang menyeru semua mangsa untuk tampil ke depan dan membantu dalam siasatan polis.
]]>