PUTATAN : Masalah infestasi tikus di daerah ini tidak lagi boleh dianggap sebagai isu remeh kerana ia berpotensi mencetuskan krisis kesihatan awam termasuk penularan penyakit maut seperti ‘Leptospirosis’ atau kencing tikus.
Pegawai Daerah Putatan, Masawi Salleh berkata, usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membasmi infestasi tikus tidak akan berjaya tanpa kerjasama semua pihak.
“Tahap kebersihan persekitaran, terutamanya di kawasan tumpuan awam seperti pasar dan premis makanan, perlu diperketatkan bagi memastikan rantaian penyakit bawaan tikus dan Salmonella dapat diputuskan sepenuhnya.
“Kehadiran tikus bukan sahaja menjejaskan imej kebersihan daerah, malah mengundang risiko kesihatan yang mampu membawa maut jika langkah pencegahan menyeluruh tidak diambil.
“Program hari ini adalah langkah proaktif untuk menyuntik kesedaran masyarakat mengenai pengurusan sisa pepejal yang teratur. Namun, kejayaan sebenar bergantung kepada penglibatan menyeluruh komuniti, peniaga, dan pemilik premis,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian program Kempen Membasmi Infestasi Tikus Daerah Putatan Tahun 2026 di Pasar Taman Jumbo, Petagas di sini, pada Khamis.
Teks ucapan beliau disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Keindahan dan Kebersihan Bandar Majlis Daerah Putatan (MDP), Mary Tolong Wong.
Mengulas lanjut, Masawi menyeru para peniaga agar memastikan sisa makanan diurus dengan sempurna dan menggunakan tong sampah bertutup bagi mengelakkan kawasan premis menjadi tempat pembiakan tikus.
Kempen anjuran MDP dengan kerjasama Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) itu dihadiri Ahli-ahli Majlis Daerah Putatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ketua Rukun Tetangga Teluk Villa dan Taman Jumbo dan peniaga sekitar Taman Jumbo.
Dalam majlis yang sama, Theresa Ajin berjaya dinobatkan sebagai pemenang bagi Pertandingan Inovasi Cipta Perangkap Tikus, yang membawa pulang hadiah wang tunai RM300 serta sijil.
Turut hadir, Penolong Pegawai Kesihatan dan Persekitaran MDP, Syadzreel Amri Azhar dan Penolong Akauntan MDP, Fadzlun Yuka.
]]>Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menawarkan ganjaran sebanyak RM2 bagi setiap tikus yang berjaya ditangkap dan diserahkan dalam usaha membasmi haiwan perosak itu di sepanjang Kempen Membasmi Tikus Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Tahun 2025 yang dilancarkan hari ini.
Kempen itu bermula hari ini hingga 31 Julai ini, selaras dengan inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang melibatkan sepuluh PBT seluruh negara.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, berkata kempen berkenaan bertujuan membasmi tikus di lokasi tumpuan awam seperti pasar, selain meningkatkan tahap kecekapan pengurusan kebersihan dan persekitaran bandar raya.
“Masalah infestasi tikus bukan sekadar menjijikkan, malah membawa risiko penyakit berbahaya seperti Leptospirosis, yang boleh dijangkiti manusia melalui air tercemar dengan kencing tikus.
“Jika dibiarkan, ia boleh menjejaskan kesihatan awam, mencemarkan imej bandaraya dan menjejaskan sektor perniagaan, khususnya di kawasan tumpuan seperti Pasar Besar Kota Kinabalu ini,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran kempen di di Pasar Besar Kota Kinabalu, hari ini.
Katanya, DBKK akan melaksanakan pelbagai langkah pengawalan termasuk kaedah fizikal, mekanikal dan kimia, selain menganjurkan aktiviti gotong-royong, Pertandingan Keceriaan Gerai dan Pertandingan Tangkap Tikus.
Sebagai sebahagian usaha kesedaran awam, DBKK turut menyediakan pameran dan risalah berkaitan kesihatan persekitaran, di samping menggalakkan para penjaja mendaftar sebagai Smart City Friends bagi memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa.
Menurut beliau, usaha pengawalan tikus oleh DBKK sememangnya dilaksanakan secara berkala, dengan 1,299 ekor tikus ditangkap sepanjang 2024, manakala 528 ekor lagi ditangkap dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini*.
“Khusus di Pasar Besar Kota Kinabalu, sebanyak 111 ekor tikus ditangkap antara Januari hingga Jun 2024, manakala bagi tempoh sama tahun ini, jumlah tangkapan meningkat kepada 187 ekor,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak termasuk penjaja, pengunjung dan penduduk sekitar agar bersama-sama memikul tanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran.
“Jangan buang sisa makanan merata-rata, gunakan tong sampah dengan betul, pastikan gerai bersih dan segera laporkan tanda-tanda kehadiran tikus. Dengan semangat kerja berpasukan, saya yakin kita mampu jadikan Kota Kinabalu bandaraya yang bersih, sihat dan berdaya huni,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah wakil Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Life Water Industries Sdn. Bhd., Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd., Sabah Integrated Pest Management Association (SIPMA) serta persatuan-persatuan penjaja.
Untuk makluman, Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) DBKK akan membuka kaunter penerimaan tangkapan tikus di Pasar Besar Kota Kinabalu. Tarikh pembelian akan diumumkan kelak.
]]>9 Jun 2021
Normimie Diun
PENAMPANG: Polis Daerah Penampang bertindak menutup beberapa lokasi yang dikenalpasti laluan ‘Jalan Tikus’ dan pusingan ‘U’ yang dijadikan akses menghubungkan jalan di Daerah Penampang dengan Bandaraya Kota Kinabalu.
Ini berikutan dengan kenyataan media oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun bertarikh 6 Jun 2021 menetapkan bahawa Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu tidak lagi di dalam daerah yang sama berkuatkuasa mulai 7 Jun 2021.
Antara ‘Jalan Tikus’ yang ditutup iaitu Jalan Nosoob – Hungab Susur keluar ke lampu isyarat Shell Kobusak, Jalan Penampang – Lido, Jalan Kobusak ke Susur Keluar simpang Taman Bangsawan Jalan Lintas, Jalan Penampang Lama – Jalan Gunung Bintang Luyang️ dan Jalan Bongun Kodondungan Ganang Ke Cyber City.
Manakala, lokasi pusingan ‘U’ yang turut ditutup iaitu dua pusingan ‘U’ sepanjang Jalan Penampang Bypass Kota Kinabalu – Penampang dan pusingan ‘U’ Jalan Chempaka berhampiran SJR Jalan Bundusan.
‘Jalan-jalan tikus’ dan pusingan ‘U’ ini ditutup serta merta bagi memperketatkan pergerakan sempadan melibatkan Daerah Penampang dan Kota Kinabalu.
Oleh yang demikian, pihak polis berharap agar pengguna jalan raya memberi kerjasama dan bersabar serta memahami tugas polis dalam menguatkuasakan undang-undang yang telah ditetapkan.
]]>