KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited untuk membangunkan lebih banyak kumpulan modal insan yang berkemahiran tinggi dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi di negeri ini, ketika ekonomi global sekarang memasuki Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata dalam Belanjawan 2022 Sabah, kerajaan negeri tidak hanya memberi tumpuan kepada pertumbuhan dan pemulihan ekonomi tetapi juga pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.
“Sehubungan itu, sebanyak RM127.06 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk Program Pembudayaan dan Pengadaptasian Sains, Teknologi dan Inovasi di negeri ini.
“Peruntukan sebanyak RM500,000 bagi melaksanakan Kajian Kemungkinan Pembangunan IR4.0 Advancement Centre di Sabah Skills & Technology Centre juga diberikan bagi bakat modal insan di Sabah terus digilap untuk memenuhi kehendak industri semasa,” katanya ketika merasmikan pelancaran Bosch Rexroth Cyber Physical Training System I4.0 dan majlis penyampaian sijil tamat program Skills For Prosperity di Sabah Skills & Technology Centre (SSTC) di Taman Peindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini pada Selasa.
Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
“Saya gembira kerana hari ini SSTC kini sedang melaksanakan program ‘Skills for Prosperity’ menerusi kerjasama dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Suruhanjaya Tinggi British, di Kuala Lumpur.
“Program ini adalah yang pertama di Sabah dan bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin merakamkan terima kasih serta penghargaan kepada pihak Suruhanjaya Tinggi British dan ILO kerana masing-masing membiayai dan menyelaras program ini,” katanya.
Dua daerah dipilih sebagai projek perintis iaitu di Ranau (keusahawanan pemprosesan makanan) dan Tuaran (penerapan elemen Teknologi dan pemprosesan makanan) dengan membabitkan seramai 50 peserta yang bermula pada November lalu. Program ini sejajar dengan teras kedua dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), oleh itu kumpulan sasar adalah daripada golongan B40, wanita terutamanya ibu tunggal dan juga belia,” katanya.
Seramai 25 pelatih di Ranau menerima sijil Kemahiran Entrepreneurial Skillset for Food Processing Industry manakala seramai 25 pelatih di Tuaran menerima sijil kemahiran Technology Integrated Employment Skills for Food Processing Industry.
Mengenai pengenalan ‘Bosch Rexroth Cyber Physical Training System I4.0’ yang merupakan kilang pintar bersaiz mini, Ketua Menteri percaya ia akan membantu menyediakan Sabah dengan pemahaman yang lebih baik berkaitan teknologi terkini.
Sabah adalah pemilik ketiga di Malaysia bagi unit seumpamanya dan unit keempat di rantau ASEAN.
Hajiji berharap semua pelatih akan menggunakan sepenuhnya teknologi itu untuk mengurangkan kos dan meningkatkan pengeluaran.
Beliau juga memuji usaha SSTC yang telah melatih lebih 17,000 pelatih termasuk 6,000 lepasan sekolah dan graduan sejak penubuhannya 21 tahun lalu.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Zainuddin Aman; Pengerusi Majlis Pengurusan SSTC, Datuk John Choo; Kaunselor Politik, Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur, Tom Sheperd; Pegawai Kanan Program Skills for Prosperity Malaysia dari ILO, Shaza Scherazade Alauddin Onn dan Pengarah Bosch Rexroth Sdn Bhd, Royce Tan.
]]>KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Perikanan (MAF) akan bekerjasama dengan Agensi Nuklear Malaysia (MNA) untuk memperkenalkan varieti padi NMR152 di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata sebagai permulaan, varieti padi itu akan diperkenalkan di kawasannya di Tambunan.
“Ini adalah varieti hasil tinggi yang mampu menghasilkan 10 metrik tan padi sehektar, berbanding hanya dua hingga tiga tan dengan benih biasa.
“Ia juga tahan kepada pelbagai jenis penyakit termasuk tungro yang berleluasa di Sabah,” katanya.
Jeffrey, yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan, berkata di bawah kerjasama ini, MNA akan menyediakan benih dan bio-baja dan racun perosak yang diperlukan serta menjalankan pemprofilan tanah untuk memastikan pertumbuhan optimum.
“Projek ini berpotensi untuk membantu kita menangani masalah tahap kelestarian diri (SSL) kita yang rendah, dan sebagai bonus, ia memerlukan kurang racun perosak dan menggunakan baja mesra alam.
“Kita perlu memastikan bahawa pertanian kita semakin bergerak ke arah pertanian organik,” katanya.
]]>Oleh NORMIMIE DIUN
TAMPARULI: Hasil anggur keluaran tempatan dari JonGrapevines & Figs Garden memiliki kualiti tinggi terutama dari segi saiz dan rasa yang setanding buah diimport.
Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS), Datuk Jahid Jahim berkata, JonGrapevines & Figs Garden telah membuktikan hasil tanaman anggurnya mempunyai kualiti yang tinggi, sekali gus menunjukkan bahawa tanaman itu sesuai diusahakan secara komersial di Borneo, khususnya Sabah.
“Ini membuka peluang kepada pengusaha tempatan, terutama mereka yang menceburi bidang pertanian untuk mencuba tanaman anggur sebagai bidang baru yang mempunyai masa depan serta menjanjikan keuntungan,” kata Jahid semasa mengadakan lawatan ke JonGrapevines & Figs Garden di Kampung Bantayan, Tamparuli, sini pada Ahad.
Rombongan KPLBS diketuai oleh Jahid semasa lawatan itu disambut oleh Penasihat Teknik Jongrapevines, Jontih Enghihon, Pengurus, Nonie Bansunin dan Penolong Pengurus, Jonovan Jontih.
Menurut Jontih dalam taklimat beliau, penanaman anggur tersebut dimulakan sebagai hobi di keliling rumah semasa beliau bekerja di Ipoh, Perak pada sekitat tahun 2011-2013.
Setelah ditukar balik ke Sabah pada 2014, beliau mula menanam fig (buah tin) di keliling rumah selain anggur.
Sekitar 2015 beliau membina Greenhouse yang pertama di kebun beliau di Bantayan, Greehouse ke-2 dalam 2016, Greenhouse ke-3 pada 2017, dan yang ke-4, ke-5 dan ke-6 pada tahun lalu.
Pada 2018 Jon Grapevines dan Figs Garden Enterprise didaftar secara rasminya dan sekali gus menyaksikan permulaan agrotourism yakni kebun itu dibuka kepada pelawat.
Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli turut berpesan kepada para belia agar tidak takut untuk mencuba satu bidang yang baharu, dan menjadikan Jontih sebagai contoh usahawan dan sumber inspirasi untuk berjaya.
]]>Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU : Kebenaran kelonggaran pelbagai sekatan serta tahap pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dikalangan masyarakat yang semakin menurun berkemungkinan menjadi antara penyumbang kepada kes-kes jangkitan bergejala atau sporadik yang tinggi.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, keghairahan untuk kembali kepada gaya hidup sebelum pandemik membawa kepada sikap sambil lewa masyarakat.
Katanya, ia termasuklah kelalaian mematuhi semua SOP semasa bersosial, di tempat kerja dan di khalayak ramai.
“Jumlah kes yang dicatatkan hari ini ialah 502, penurunan 90 kes berbanding angka semalam iaitu sebanyak 592. Selain empat kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu dua kes di daerah Tenom dan masing-masing satu kes di Sandakan dan Keningau.
“Daripada 502 kes yang dicatat hari ini menunjukkan 223 kes adalah kes-kes yang didaftar lewat dua hari atau lebih setelah keputusan saringan diketahui. Ini bermakna hanya 279 atau 55.6% kes berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu.
“Manakala kes-kes baharu yang diperolehi melalui saringan bergejala masih tinggi iaitu sebanyak 179 kes atau 35.7% daripada jumlah kes yang direkodkan,” katanya.
Dalam pada itu, turut dinyatakan sebanyak 17 daerah mencatatkan penurunan jumlah kes, namun lapan daerah merekodkan pertambahan kes sementara kes di dua daerah tidak berubah sebagaimana semalam.
“Kes-kes di Ranau dan Keningau pula naik dua kali ganda jumlah semalam, daripada 28 kes ke 56 kes di Ranau dan 24 kes ke 49 kes di Keningau.
“Ranau juga satu-satunya daerah di Sabah yang mencatatkan jumlah kes melepasi angka 50 kes,” ujar Masidi.
]]>Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Bilangan pesakit COVID-19 sembuh sebanyak 2,138 lebih tinggi berbanding jumlah kes positif baharu iaitu 1,784 kes dilaporkan di Sabah hari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes positif COVID-19 keseluruhan bagi Sabah meningkat sedikit berbanding angka semalam namun masih berada di bawah paras 2,000 kes di mana hari ini jumlah kes positif yang dicatat ialah 1,784 namun kes sembuh lebih tinggi dicatatkan sebanyak 2,138 pada hari ini selain 16 kes kematian dilaporkan melibatkan 10 kes di Kota Kinabalu, dua kes di Papar manakala Kota Marudu, Tawau, Telupid dan Beluran masing-masing mencatatkan satu kes.
“Daripada 1,784 kes yg didaftar hari ini, 556 kes atau 31.17% adalah kes-kes lewat daftar antara 2 hingga 3 hari, 130 kes atau 7.29% adalah lewat daftar 4 hingga 5 hari dan 226 kes atau 12.7% adalah kes yang berdaftar lewat melebihi 5 hari.
“Manakala Saringan Kontak Rapat kekal penyumbang utama keseluruhan kes di Sabah hari ini dengan 905 kes atau 50.7%, Saringan Bergejala 719 kes atau 40.3%, hanya dua kes daripada Saringan Kluster dan 158 kes melalui Saringan Lain-lain,” kata Masidi yang juga Jurucakap Rasmi COVID-19 Negeri.
Menurut Masidi lagi 400 kes atau 22.42% adalah pesakit dalam Kategori 1, 1,307 kes atau 73.26% dalam Kategori 2, 10 kes dalam Kategori 3, sembilan kes dalam Kategori 4 dan 16 kes dalam kategori 5, 42 kes masih dalam siasatan.
]]>KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengambil maklum berkaitan isu kenaikan bil elektrik melipat ganda yang dialami oleh pengguna pada masa kini, iaitu disebabkan oleh pelarasan yang telah dibuat dan dicatatkan dalam bil bulan Ogos 2021 bagi penggunaan elektrik sebenar bulan Julai dan Ogos.
Lanjutan daripada pengumuman kerajaan mengenai pelaksanaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada 28 Jun 2021, konfigurasi terhadap sistem pembilan.
SESB telah dibuat sepanjang bulan Julai untuk merekod masuk diskaun bil elektrik di bawah pakej PEMULIH dan berikutan itu, tiada pembacaan di premis pengguna serta penyerahan bil secara fizikal dibuat kepada pengguna pada bulan Julai.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir. Idris Mohd Noor berkata, jumlah yang tertera di dalam bil yang diterima oleh pengguna pada Ogos adalah kiraan bil untuk dua bulan iaitu Julai dan Ogos.
Beliau turut menjelaskan bahawa pembayaran yang telah dibuat oleh pengguna sebelum ini akan memakan masa untuk dikemaskini di dalam sistem.
“Terdapat kes tertentu yang mana amaun semasa di dalam bil tidak menunjukkan penolakan bayaran yang telah dibuat, namun begitu pengguna tidak perlu bimbang kerana pembayaran yang sah dijamin akan dikemaskini,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.
Selain itu, menurut beliau terdapat juga kes dimana pengguna mempunyai tunggakan bil yang menjadikan amaun pada bil Ogos bertambah tinggi.
Dalam pada itu, pengguna yang masih ingin mendapatkan penjelasan lanjut mengenai bil elektrik mereka boleh berhubung dengan Pegawai Perkhidmatan Pelanggan di pejabat SESB yang berdekatan.
Pengguna yang mempunyai pertanyaan mengenai pemberian diskaun bil elektrik boleh juga menghubungi bilik gerakan SESB melalui talian 088-222313, 223313 dan 224313 pada waktu pejabat iaitu 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Selain itu pengguna turut boleh mengajukan pertanyaan melalui e-mel [email protected]
]]>Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Jumlah kes baharu di Sabah terus melonjak ke paras yang amat tinggi iaitu 2,413 kes, dengan peningkatan sebanyak 310 lebih tinggi berbanding semalam (17 Ogos 2021) selain 18 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu enam kes di Tawau, lima kes di Kota Kinabalu, empat kes di Sandakan dan masing-masing satu kes di Penampang, Tuaran dan Kunak.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah kes tinggi adalah meliputi keputusan saringan tertunggak (backlog) sebanyak 258 kes atau 10.7% daripada kumulatif kes hari ini.
Kata Masidi yang juga Jurucakap Rasmi COVID-19 Negeri menyatakan bahawa Daerah Kota Kinabalu mencatatkan 594 kes baharu dengan penambahan 127 kes berbanding semalam, Tawau 348 kes, Penampang 177 kes, Tuaran 174 kes, Sandakan 150 kes, Keningau 153 kes, Lahad Datu 125 kes, Sipitang 82 kes, Tenom 82 kes, Kalabakan 47 kes, Ranau 16 kes dan Telupid 18 kes.
Walau bagaimanapun, Saringan Kontak Rapat kekal penyumbang utama kepada kes-kes harian di Sabah dengan 1,410 kes atau 58.4%, Saringan Bergejala 538 kes atau 12.3% dan daripada Saringan Kluster sebanyak 233 kes atau 9.6% dari kumulatif kes hari ini.
Mengenai jumlah kes kategori pesakit yang terlibat iaitu 1,363 kes atau 56.5% daripada 2,413 kes hari ini merupakan pesakit Kategori 2, 1026 kes atau 42.5% adalah merupakan Kategori 1, 11 kes dalam Kategori 3, tiga kes dalam Kategori 4 dan lima kes dalam Kategori 5.
Dalam perkembangan lain, setakat kelmarin, 48.4% penduduk dewasa negeri Sabah telah pun memperolehi satu dos vaksin dan 24.7% telah melengkapkan pengambilan dua dos.
Sementara itu satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Sungai Pin 2, Kinabatangan yang dikategorikan sebagai kluster tempat kerja.
Kes indeks merupakan pekerja wanita, 52, warganegara Indonesia di sebuah ladang sawit berdekatan Sungai Pin, Daerah Kinabatangan.
Setelah bergejala sejak 10 Ogos 2021, kes indeks disahkan positif COVID-19 (RTK-Ag) di Klinik Kesihatan Batu Putih, Kinabatangan dan telah dirujuk ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan selanjutnya dan setakat ini, 20 kes positif COVID-19 telah dilaporkan termasuk 19 kes baharu.
]]>KOTA KINABALU : Kes Positif COVID-19 di Sabah hari ini dilihat amat tinggi namun kadar penularan masih berada dalam tahap terkawal.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes positif COVID-19 di Sabah hari ini (12 Ogos 2021) mencatatkan angka tertinggi iaitu 2,052 kes.
Katanya, 2052 adalah angka yang amat menggerunkan dan memang diakui ia antara angka tertinggi dikalangan negeri-negeri di Malaysia, di mana Sabah berada di tangga ke-4 tertinggi.
“Mungkin ada yang mengatakan kita sudah gagal membendung penularan COVID-19 di negeri ini. Kalau sekadar melihat angka semata-mata mungkin kesimpulan itu ada asasnya.
“Hari ini juga memperlihatkan kenaikan ketara di hampir semua negeri dalam Malaysia, malah di banyak negara di dunia.
“Bagaimanapun jumlah kes seluruh negara hari ini ialah 21,668, satu rekod baharu. Hakikatnya kita sedang berhadapan dengan gelombang baharu jangkitan COVID-19, kali ini dengan varian yang lebih merbahaya dan lebih cepat merebak,” katanya.
Masidi juga menunjukkan kiraan kadar jangkitan (infectivity rate) mengikut ratio (nisbah) jumlah penduduk iaitu kebarangkalian ianya satu kaedah kiraan yang lebih tepat untuk menentukan samada tinggi atau rendahnya tahap penularan dan jangkitan dikalangan penduduk.
Berikut ialah kadar jangkitan bagi setiap 100,000 penduduk di negeri-negeri di Malaysia berdasarkan maklumat kes COVID-19 pada 12 Ogos 2021:
Selangor – 96 kes
Kuala Lumpur – 137 kes
Johor – 45 kes
Sabah – 52 kes
Sarawak – 43 kes
Negeri Sembilan – 79 kes
Kedah – 110 kes
Pulau Pinang – 69 kes
Kelantan – 50 kes
Perak – 37 kes
Melaka – 52 kes
Pahang – 37 kes
Terengganu – 47 kes
Labuan – 11 kes
Putrajaya – 49 kes
Perlis – 9 kes.
Katanya, Jumlah kes baharu di Sabah hari ini (2052) lebih tinggi daripada Negeri Sembilan (899), Pulau Pinang (1,299) & hampir 5 kali ganda lebih tinggi daripada Melaka.
Namun kadar penularan Covid di Sabah lebih rendah daripada Pulau Pinang (52-69), lebih rendah daripada Negeri Sembilan (52-79), sama dengan Melaka (52-52), hampir sama dengan Kelantan (52-50) walaupun kes di Sabah lebih dua kali ganda lebih tinggi daripada Kelantan, lebih separuh lebih rendah daripada Kedah (52-110) walaupun kes di Kedah cuma 91 lebih tinggi daripada Sabah.
“Kesimpulannya kes positif COVID-19 di Sabah amat tinggi tetapi kadar penularan (infectivity rate) masih terkawal, oleh itu sama-sama kita jaga diri dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) dan memastikan kita memperolehi vaksin bagi yang layak,” katanya.
]]>KOTA KINABALU: Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 818 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 79,470 kes, namun dua kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu di Tawau dan Papar.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata seluruh daerah di negeri Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif COVID -19 yang terus meningkat dan dengan jumlah catatan sebanyak 364 kes daripada Saringan Kontak Rapat.
“Masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan.
“Penyumbang utama kes pada hari ini adalah daripada Saringan Kontak Rapat iaitu 364 kes atau 44.50% daripada kumulatif kes harian Negeri Sabah, diikuti Saringan Kluster Sedia Ada dengan 148 kes atau 18% dan Saringan Bersasar sebanyak 104 kes atau 12.71% dimana 23 kes dari jumlah itu direkod sebagai yang tertinggi di daerah Kunak, manakala Sarıngan Bergejala menyumbang kepada 103 kes atau 12.59%,” kata Masidi yang juga Jurucakap Rasmi COVID-19 Negeri dalam kenyataan media hari ini.
Sembilan daerah mencatat kes baharu melebihi 35 kes, iaitu Papar 37 kes, Tuaran 44 kes, Beluran 44 kes, Tawau 55 kes, Sipitang 57 kes, Beaufort 66 kes, Keningau 69 kes, Penampang 77 kes dan Kota Kinabalu 167 kes.
Dalam pada itu, sejumlah 80.2% daripada kes-kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2. Kategori 1, iaitu 344 kes adalah mereka yang tidak mengalami sebarang simptom manakala Kategori 2 iaitu sebanyak 312 kes sekadar mengalami simptom ringan (mild), namun kedua-dua kategori pesakit ini tidak perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan, sekadar ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
Masidi sekali lagi menegaskan bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tahap pematuhan SOP yang tinggi perlu patuhi oleh rakyat Sabah untuk membendung penularan kes Sabah yang semakin meningkat.
]]>