KOTA KINABALU : Tamu Lokal Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Kampung Kokol menjadi alternatif penduduk setempat meningkatkan pendapatan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Menteri yang bertanggungjawab Kepada DBKK, Datuk Abidin Madingkir berkata, tamu ini merupakan platform terbaik untuk memasarkan hasil pertanian, penternakan dan hasil kraftangan penduduk.
“Selain itu, pembukaan tamu ini secara tidak langsung berupaya menarik pelancong sekaligus meningkatkan ekopelancongan di kawasan ini.
“Kita berharap penduduk kampung dapat terus bekerjasama menjaga kemudahan-kemudahan yang disediakan dan melakukan promosi agar lebih ramai pengunjung datang berkunjung ke tamu ini nanti,” katanya dalam Majlis Perasmian Pembukaan Tamu Lokal Kampung Kokol Manggatal, pada Sabtu.
Tamu berkenaan beroperasi setiap Sabtu minggu pertama dan ketiga bermula pukul 6 pagi hingga 1 petang melibatkan seramai 30 penjaja.
Turut hadir, Mayor DBKK, Datuk Noorliza Awang Alip dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.18 Inanam, Datuk William Majimbun./Penerangan
]]>KOTA KINABALU : Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menyambut baik pengumuman Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat semalam.
Bung turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan sebanyak RM5.6 bilion kepada negeri Sabah bagi melaksanakan pelbagai pembangunan di negeri ini.
Katanya, bajet yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ yang diperuntukkan kepada Sabah membabitkan kemudahan asas, infrastruktur, air dan elektrik serta pembangunan penjagaan kesihatan untuk negeri dilihat masih belum mencukupi.
“Bagi saya, jumlah peruntukkan sebanyak RM5.6 bilion kepada Sabah itu masih belum mencukupi dengan keluasan dan faktor geografi negeri ini yang luas khususnya yang membabitkan jalan raya, bekalan elektrik, air dan sebagainya.
“Justeru bagi saya, peruntukkan ini perlu ditambah dan dinaikkan kepada 10 hingga 15 peratus lagi bagi memenuhi keperluan pembangunan infrastuktur di Sabah,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, rakyat di negeri ini juga telah lama menanti pembangunan infrastuktur yang baik dan sempurna berbanding sebelum ini.
Katanya, bajet dalam aspek pembangunan ini perlu ditingkatkan bagi memastikan negeri-negeri miskin dapat mengejar pembangunan sama rata dengan negeri lain di negara ini.
“Jika ia tidak diberikan secara sama rata sudah pasti kita akan terus menjadi negeri miskin relatif sampai bila-bila.
“Ini juga termasuklah isu kemiskinan rakyat secara mutlak, dan sekiranya bajet pembangunan (akses kepada bekalan air bersih, pendidikan, internet dan pusat kesihatan awam) tidak diberikan secukupnya, Sabah akan tercatat sebagai negeri termiskin dengan daerah-daerah termiskin sampai bila-bila untuk kedua-dua kategori iaitu miskin mutlak dan miskin relative,” katanya.
Katanya, cadangan peruntukkan RM746 juta yang sebahagian besarnya adalah untuk 112 projek menaiktaraf sekolah usang di Sabah juga perlu terus dipercepatkan dan dilaksanakan segera bagi memastikan keselesaan anak-anak negeri ini mendapat pendidikan terbaik.
Dalam pada itu, Bung turut menyambut baik projek infrastuktur bernilai RM3.5 biliom termasuk Lebuhraya Pan Borneo diteruskan tahun depan.
“Pan Borneo ini perlu dilihat secara menyeluruh mengikut Fasa Pertama hingga Ketiga kerana ini merupakan janji Kerajaan Persekutuan kepada negeri Sabah.
“Justeru saya berharap Projek Pan Borneo ini dapat dilaksanakan dengan seberapa segera dan bukan dilaksanakan secara pakej, jika mengikut pakej sehingga 40 tahun pun belum tentu akan siap sepenuhnya,” katanya.
]]>KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga negara China cedera parah selepas terjatuh dari tingkat lima bangunan K.Avenue, Jalan Cyber City Penampang dekat sini pada Sabtu.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin, pihak Balai Bomba Penampang menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pada jam 8.34 pagi, hari ini 31 Julai 2021.
Katanya, 11 anggota bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan II Benny Lim bersama dua buah jentera bergegas ke lokasi kejadian.
Setiba di lokasi kejadian, didapati mangsa seorang lelaki warga China telah terjatuh dari tingkat lima namun tersangkut di tingkat empat bangunan K.Avenue, Jalan Cyber City Penampang dan telah diturunkan oleh pekerja bangunan sebelum ketibaan jentera.
Mangsa hanya dikenali sebagai Yao Shujun mengalami kecederaan parah di bahagian tulang rusuk, kaki dan kepala.
Pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) memberikan rawatan kepada mangsa dan menghantarnya ke hospital untuk rawatan lanjut. Operasi tamat pada jam 9.10 pagi.
]]>12 Jun 2021
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKP) meningkatkan kawalan keselamatan pekerja bagi menghadapi cabaran COVID-19 dengan memperkenalkan Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Semasa dan Pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 UMS PKKP melalui Pekeliling Pendaftar Bil.4 Tahun 2020.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, garis panduan tersebut adalah sebagai panduan kepada semua kakitangan, warga UMS dan juga pekerja luar berhubung langkah-langkah kawalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi pencegahan jangkitan COVID-19 di UMS.
“Selain itu, beberapa Garis Panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) juga telah dibangunkan bagi mengadaptasi norma baharu dalam aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan mana-mana operasi UMS,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) Sedunia Peringkat UMS yang disiarkan secara dalam talian di laman Facebook rasmi UMS.Official dan platform Cisco Webex pada Jumaat (11 Jun).
Menurut Taufiq, bagi mencapai satu sistem Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) yang berdaya tahan, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan COVID-19 UMS juga telah menjalankan pelbagai aktiviti.
“Ini meliputi roadshow pencegahan COVID-19 di UMS, statistik harian dan pemantauan kes positif COVID-19, Person Under Investigation (PUI) dan Person Under Surveillance (PUS) dalam kalangan pekerja, pelajar dan pekerja luar yang dipantau secara harian, pemantauan harian Pusat Kuarantin UMS.
“Pemantauan harian penggunaan PPE, gejala dan beban kerja barisan hadapan UMS, Aktiviti Pendidikan dan Promosi Kesihatan secara harian di media sosial rasmi UMS, Hotline COVID-19, pemantauan status perakuan kesihatan harian kakitangan dan pelajar yang menjalani pengasingan di UMS melalui sistem UMS Shield, dan program promosi vaksinasi COVID-19 dan permohonan sebagai Pusat Pemberian Vaksin,” kata Taufiq.
Taufiq dalam masa sama berkata pelajar merupakan kumpulan yang tergolong sebagai individu yang mungkin terkesan dengan risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan di UMS terutamanya di kolej kediaman.
“Untuk itu, Pusat Pengurusan NR dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF), dengan kerjasama PKKP telah mewujudkan Anugerah Penarafan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Kolej Kediaman yang julung kali diadakan bertepatan dengan falsafah kolej kediaman yang memelihara kesejahteraan dan keharmonian warganya.
“Program tahunan bagi memberikan penarafan bintang kepada semua kolej kediaman ini akan menggalakkan penglibatan warga kolej kediaman dalam aktiviti keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi menyokong kolej kediaman untuk memperoleh Persijilan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ISO 45001:2018) bermula tahun 2021,” katanya.
Ujar Taufiq, dengan iltizam yang tinggi bagi mendapatkan persijilan tersebut akan meningkatkan lagi standard amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang efektif sesuai dengan situasi pandemik masa kini, dan seterusnya membina keyakinan dan kepercayaan pemegang taruh, masyarakat dan kerajaan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan di UMS.
Selain pelancaran Anugerah Penarafan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Kolej Kediaman, beberapa siri perkongsian ilmu dan bual bicara berkaitan dengan isu dan cabaran dalam pembudayaan norma baharu di tempat kerja bersama wakil dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sabah, pakar ergonomik dari Universiti Malaysia Perlis dan ahli akademik UMS menjadi pengisian sambutan Hari OSH Sedunia Peringkat UMS yang berlangsung sehari secara atas talian melalui platform Cisco Webex.
]]>