tourism malaysia – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Tue, 13 Oct 2026 03:29:13 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png tourism malaysia – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Meneroka Sandakan dari lensa pengamal media – siri pertama https://sabahmedia.com/2026/10/13/meneroka-sandakan-dari-lensa-pengamal-media-siri-pertama/ https://sabahmedia.com/2026/10/13/meneroka-sandakan-dari-lensa-pengamal-media-siri-pertama/#respond Mon, 12 Oct 2026 23:58:47 +0000 https://sabahmedia.com/?p=105239
Read Time:5 Minute, 33 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

SANDAKAN: Baru-baru ini, penulis bersama kira-kira 16 pengamal media di negeri ini berpeluang menyertai program VM2026 Hunt & Explore Media Race 2026 di Sandakan, sekali gus membuka ruang untuk meneroka keunikan daerah itu dari perspektif yang berbeza.

Program anjuran Tourism Malaysia Sabah bersama beberapa rakan strategik itu memberikan pengalaman bermakna kepada penulis untuk mengenali lokasi menarik yang sebelum ini hanya dilihat menerusi laman sesawang dan media sosial.

Antara pengamal media dari Kota Kinabalu dan Sandakan yang turut sama menyertai program berkenaan – Foto Lumos Production

Program ini merupakan antara inisiatif Tourism Malaysia untuk membawa pengamal media ke Sandakan bagi mempromosikan lokasi pelancongan menarik di daerah itu, selain memberi peluang kepada peserta meneroka sendiri keunikan destinasi berkenaan sebelum dikongsikan kepada khalayak melalui pelbagai platform media.

Penyertaan penulis bersama tiga lagi rakan dalam satu pasukan memulakan perjalanan dengan membawa kamera, telefon pintar dan semangat untuk menyelesaikan setiap tugasan yang diberikan.

Penulis (kanan) bersama rakan sepasukan sebelum acara pelepasan dimulakan – Foto Sabah Media

Setiap lokasi yang dikunjungi membuka peluang untuk menghasilkan cerita, manakala masa yang terhad menuntut kerjasama, perancangan dan keputusan pantas bagi memastikan tugasan dapat diselesaikan dengan baik.

Sebanyak 11 lokasi perlu dilawati para peserta yang pastinya akan memberi pengalaman bermakna buat penulis dan rakan sepasukan.

Antara lokasi yang perlu dikunjungi adalah Proton Fook Loi; Rainforest Discovery Centre (RDC); Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok; Bornean Sun Bear Conservation Centre (BSBCC); Puu Jih Syh Temple dan Agnes Keith House.

Selain itu, kami turut melawat St Micheal and All Anghels Church Sandakan; Tangga Seribu;  Masjid Jamik As Sheikh Hasabollah At-Tohiri; San Da Gen dan Pasar Umum Sandakan

Seawal jam 6 pagi, para peserta mula berkumpul di perkarangan Hotel Elopura Sandakan bagi sesi taklimat seterusnya pelepasan yang disempurnakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin tepat jam 7 pagi.

Jafry ketika membuat gimik pelepasan peserta yang menyertai – Foto Tourism Malaysia

Sejurus pelepasan, penulis bersama rakan sepasukan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk bersarapan sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi pertama iaitu Proton Fook Loi yang menjadi antara penaja kenderaan yang digunakan oleh pasukan penulis.

Setiap lokasi yang dikunjungi membuka peluang untuk menghasilkan kandungan, manakala masa yang terhad menuntut kerjasama, perancangan dan keputusan pantas bagi memastikan tugasan dapat diselesaikan dengan baik.

Dalam keadaan itu, setiap minit terasa berharga. Kami perlu memikirkan sudut rakaman, mencari keunikan lokasi dan menentukan cara terbaik untuk menyampaikan pengalaman kepada khalayak.

Namun, semakin jauh perjalanan diteruskan, semakin jelas bahawa pengalaman itu bukan sekadar tentang siapa yang paling pantas menyelesaikan tugasan atau siapa yang mampu menghasilkan kandungan paling menarik.

Sebaliknya, ia turut menjadi perjalanan untuk memahami sebuah destinasi melalui pemerhatian dan pengalaman sendiri.

DI ATAS KANOPI RDC, MENEMUI SISI LAIN SANDAKAN

Sebagai pengamal media, merakam gambar dan menghasilkan video mungkin sudah menjadi sebahagian daripada rutin kerja. Namun, apabila berada di tempat baharu dengan misi memperkenalkan keunikannya kepada orang ramai terhadap sesuatu lokasi mula berubah.

Penulis (dua kanan) bersama tiga lagi rakan sepasukan ketika berada di salah satu menara pemerhatian burung di RDC – Foto Tourism Malaysia Sabah

Perjalanan kami bermula apabila memasuki lokasi kedua di  Rainforest Discovery Centre (RDC) yang buat pertama kali penulis datang ke lokasi berkenaan seterusnya memberi pengalaman baru buat penulis.

Laluan pejalan kaki di atas kanopi pokok yang memukau pandangan pengunjung yang tiba – Foto Tourism Malaysia Sabah

Siapa sangka, keindahan hutan hujan tropika Borneo itu dapat dinikmati bukan sahaja dari laluan di permukaan tanah, tetapi juga melalui laluan pejalan kaki di atas kanopi pokok.

Salah satu menara pemerhatian burung yang ada di RDC Sandakan -Foto Tourism Malaysia Sabah

Dikelilingi kehijauan hutan dan bunyi alam semula jadi, pengalaman itu mengingatkan penulis bahawa keistimewaan Sandakan bukan hanya terletak pada tarikan yang mudah dirakam melalui kamera, tetapi juga pada kekayaan biodiversiti yang perlu dihargai dan dipelihara.

Penulis berpeluang untuk menaiki menara pemerhatian burung setinggi empat dan lima tingkat selain laluan penerokaan hutan yang amat memukau dan turut kedengaran bunyi kicauan burung.

Sambil berjalanan, kita turut menikmati kicauan burung disepanjang laluan pejalan kaki – Foto Tourism Malaysia Sabah

Bagi penulis, RDC menawarkan lebih daripada sekadar latar fotografi. Ia membuka ruang untuk menceritakan kepentingan hutan, usaha pendidikan alam sekitar dan potensi ekopelancongan Sabah kepada khalayak yang lebih luas.

Operasi RDC dibuka bermula seawal jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari termasuk cuti umum dan turut mengenakan yuran masuk ke lokasi berkenaan.

“SEPILOK: DI SEBALIK WAJAH ORANG UTAN, ADA PERJUANGAN MENYELAMATKAN HUTAN”

Perjalanan diteruskan ke Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, antara destinasi pelancongan yang cukup sinonim dengan Sandakan.

Pintu gerbang ke Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok – Foto Sabah Media

Sebaik memasuki pintu gerbang Sepilok, penulis yang buat pertama kali ke lokasi ini melihat peluang ini bukan sekadar melihat haiwan ikonik Borneo, tetapi juga untuk memahami usaha memulihkan orang utan yang memerlukan perlindungan dan penjagaan sebelum berpeluang kembali hidup di habitat semula jadi.

Persekitan pusat berkenaan yang cantik dan indah – Foto Sabah Media

Gelagat orang utan yang memanjat, bergayut dan bergerak di celah kehijauan hutan pastinya menjadi tarikan kepada pengunjung, terutama mereka yang pertama kali melihat haiwan berkenaan dari dekat.

Namun pada kunjungan kali ini, penulis tidak berkesempatan melihat haiwan berkenaan bergerak di celah kehijauan namun hanya sempat melihat orang utan bergayut di lokasi asuhan orang utan.

Bangunan asuhan luar orang utan yang memberi peluang kepada orang ramai melihat secara lebih dekat gelagat haiwan berkenaan – Foto Sabah Media

Namun, di sebalik tingkah lakunya yang menarik perhatian, tersimpan kisah lebih besar mengenai kelangsungan hidup hidupan liar dan kepentingan memelihara habitat hutan.

Bagi penulis, pengalaman seperti ini memberikan peluang untuk menyampaikan mesej pemuliharaan melalui gambar, video dan penulisan.

Orang utan bukan sekadar tarikan untuk pelancong bergambar. Kewujudannya turut mengingatkan kita bahawa keseimbangan ekosistem dan kelestarian hutan memainkan peranan penting dalam memastikan hidupan liar terus mempunyai tempat di alam semula jadi.

Di sinilah pelancongan dan pendidikan alam sekitar bertemu, apabila pengalaman berkunjung bukan sahaja memberikan kenangan, tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab memelihara khazanah alam.

Ketika kunjungan penulis di sini, beberapa kumpulan terdiri dari pelajar sekolah termasuk pelancong turut teruja untuk melihat sama gelagat orang utan berkenaan.

Penulis (dua kiri) bersama rakan sepasukan bergambar kenangan di ‘monumen’ orang utan – Foto Sabah Media

Dua lokasi sudah diterokai, namun perjalanan masih jauh. Dari kanopi hutan RDC hingga ke kawasan pemuliharaan orang utan di Sepilok, setiap persinggahan mula membuka perspektif baharu tentang Sandakan.

Selepas ini, perjalanan kami diteruskan ke Bornean Sun Bear Conservation Centre sebelum menyingkap sisi lain Sandakan melalui lokasi bersejarah dan warisan seperti Tokong Puu Jih Syh dan Agnes Keith House.

Ada tempat yang sekadar kita kunjungi, tetapi ada juga tempat yang meninggalkan cerita. Dan perjalanan ini ternyata penuh dengan cerita yang tidak dirancang.

Ikuti siri kedua esok dengan lebih banyak cerita untuk dikongsikan kepada pembaca– SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/10/13/meneroka-sandakan-dari-lensa-pengamal-media-siri-pertama/feed/ 0 105239
Media main peranan perkasa promosi pelancongan Sabah – Jafry https://sabahmedia.com/2026/10/12/media-main-peranan-perkasa-promosi-pelancongan-sabah-jafry/ https://sabahmedia.com/2026/10/12/media-main-peranan-perkasa-promosi-pelancongan-sabah-jafry/#respond Mon, 12 Oct 2026 00:59:08 +0000 https://sabahmedia.com/?p=105208
Read Time:2 Minute, 17 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

SANDAKAN: Pengamal media dan industri kreatif perlu terus memainkan peranan dalam memperkasa promosi pelancongan Sabah menerusi penghasilan kandungan yang menarik, kreatif dan autentik bagi memperkenalkan keunikan destinasi negeri ini kepada dunia.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin, berkata media mempunyai pengaruh besar dalam membentuk persepsi masyarakat serta mempengaruhi keputusan seseorang untuk memilih destinasi pelancongan.

Beliau berkata, perkembangan era digital menjadikan kandungan media seperti artikel, fotografi dan video pendek sebagai medium penting untuk memperluas capaian promosi pelancongan kepada khalayak yang lebih besar.

Menurutnya, kandungan berkualiti bukan sahaja mampu menarik perhatian orang ramai, malah berupaya memperkenalkan keistimewaan sesuatu destinasi kepada ribuan, malah jutaan orang di seluruh dunia.

Pengamal media Sabah bergambar kenangan bersama kakitangan Tourism Malaysia Sabah

“Dalam era digital hari ini, peranan media amat penting dalam membentuk persepsi dan mempengaruhi keputusan seseorang untuk melancong.

“Sebuah artikel yang menarik, sekeping foto yang memukau atau video pendek yang kreatif mampu memperkenalkan sesuatu destinasi kepada ribuan, malah jutaan orang di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala sempena VM2026 Hunt & Explore Media Race 2026 di sini baru-baru ini.

Jafry berkata, penglibatan 10 pasukan media yang membabitkan 40 pengamal media dan pempengaruh dalam program berkenaan membuktikan kepentingan kerjasama antara sektor pelancongan dengan pengamal media bagi memperluas jangkauan promosi destinasi.

Katanya, pengalaman yang diperoleh peserta sepanjang berada di Sandakan diharap dapat diterjemahkan kepada kandungan kreatif yang mampu mengetengahkan keunikan daerah itu serta destinasi pelancongan Sabah secara lebih meluas.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media dan pempengaruh yang menyertai program berkenaan atas komitmen mereka dalam menyokong usaha promosi pelancongan.

Menurutnya, kerjasama berterusan antara semua pihak berkepentingan penting bagi memperkukuh industri pelancongan, selain memastikan keunikan destinasi tempatan terus mendapat perhatian pelancong.

Jafry berharap Sandakan terus menyerlah sebagai destinasi kebanggaan Sabah, manakala usaha promosi menerusi Visit Malaysia 2026–2027 dapat meningkatkan keterlihatan Malaysia dalam persada pelancongan antarabangsa.

Sementara itu, Jafry berkata penganjuran Hunt & Explore Media Race 2026 berpotensi untuk diperluas ke Sandakan dan Kinabatangan pada 2027 bagi mengetengahkan keunikan kedua-dua daerah berkenaan sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi dan hidupan liar.

Beliau berkata, cadangan itu dibincangkan bersama Tourism Malaysia bagi menganjurkan program berkenaan pada skala lebih besar tahun depan, selaras dengan usaha mempergiat promosi pelancongan Sabah menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.

Menurutnya, Sandakan dan Kinabatangan mempunyai tarikan tersendiri yang mampu menggamit kehadiran pelancong, khususnya mereka yang berminat terhadap keindahan alam sekitar dan hidupan liar.

Katanya, Kinabatangan juga terkenal dalam kalangan pengunjung dari Eropah, sekali gus membuka peluang untuk memperluas promosi destinasi itu kepada pasaran antarabangsa.

Jafry berkata, kerjasama dengan Tourism Malaysia akan diteruskan bagi memastikan program berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih besar dan memberi pendedahan lebih meluas kepada keistimewaan destinasi pelancongan Sabah. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/10/12/media-main-peranan-perkasa-promosi-pelancongan-sabah-jafry/feed/ 0 105208
TM Sabah komited terima idea kolaborasi rakan industri pelancongan https://sabahmedia.com/2025/12/20/tm-sabah-komited-terima-idea-kolaborasi-rakan-industri-pelancongan/ https://sabahmedia.com/2025/12/20/tm-sabah-komited-terima-idea-kolaborasi-rakan-industri-pelancongan/#respond Sat, 20 Dec 2025 04:48:26 +0000 https://sabahmedia.com/?p=88626
Read Time:1 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU: Tourism Malaysia (TM) Sabah sentiasa komited dan terbuka untuk menerima cadangan dan idea kolaborasi strategik daripada rakan industri pelancongan, persatuan, syarikat penerbangan, pemilik produk serta agensi kerajaan.

Pengarah TM Sabah, Haryanty Abu Bakar, berkata pendekatan ini bertujuan meneroka potensi kolaborasi yang lebih berimpak khususnya dalam memperkukuh promosi pelancongan Malaysia di peringkat global.

“Pintu Tourism Malaysia sentiasa terbuka untuk perbincangan lanjut dengan pihak industri bagi membangunkan promosi bersama yang memberi manfaat maksimum kepada semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demkian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media dan Rakan Strategik Industri Pelancongan di Kota Kinabalu pada Jumaat.

Haryanty berkata, kerjasama strategik ini amat penting untuk menarik lebih ramai pelawat antarabangsa, memperluaskan capaian pasaran, serta mempromosikan segmen pelancongan berimpak tinggi seperti pelancongan pengembaraan, eko-pelancongan, golf, pengalaman homestay, pemerhatian burung dan aktiviti menyelam.

Selain itu, beliau turut menghargai sokongan berterusan Kerajaan melalui Belanjawan 2026, khususnya lanjutan geran industri seperti GAMELAN Grant dan GSSP, yang membantu memperkukuh promosi bersama serta membangunkan produk pelancongan yang lebih kompetitif.

“Melalui inisiatif ini, kami berharap industri pelancongan di Sabah dan seluruh negara dapat terus berkembang, selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia destinasi pilihan pelancong antarabangsa,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa kejayaan promosi pelancongan bergantung kepada komitmen dan kerjasama semua pihak, termasuk pemain industri dan agensi kerajaan, bagi memastikan pengalaman pelancongan Malaysia terus diingati dan diminati pengunjung global. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/12/20/tm-sabah-komited-terima-idea-kolaborasi-rakan-industri-pelancongan/feed/ 0 88626
Tourism Malaysia leveraging online marketing to boost arrivals https://sabahmedia.com/2025/06/25/tourism-malaysia-leveraging-online-marketing-to-boost-arrivals/ https://sabahmedia.com/2025/06/25/tourism-malaysia-leveraging-online-marketing-to-boost-arrivals/#respond Wed, 25 Jun 2025 10:25:18 +0000 https://sabahmedia.com/?p=76163
Read Time:1 Minute, 43 Second

By Mu Vitet

KOTA KINABALU: Tourism Malaysia (TM) Sabah is leveraging digital marketing to further accelerate the tourism sector’s strong recovery, said State Director Haryanty Abu Bakar.

“We are embracing digitalisation and innovative strategies in support of Visit Malaysia 2026.

“We are confident in driving greater visibility for Sabah and Labuan through an e-commerce travel platform,” she said at the launch of the Explore Sabah promotional campaign in downtown Kota Kinabalu here.

The campaign, aimed at positioning Sabah as a premier Malaysian travel destination, is being carried out in partnership with SabahTravel.com.

It promotes more than 400 curated travel experiences across the state to both domestic and international markets.

Its Marketing Director, Poh Khay Inn, said the collaboration reflects a shared commitment to connecting Sabah and Labuan with global travellers through instant bookings and engaging digital content.

Highlights include island hopping and diving in Semporna, wildlife and river safaris in Kinabatangan, the Mount Kinabalu expedition, cultural village and heritage tours, and eco retreats such as hilltop resorts and rainforest escapes.

The campaign also extends to Labuan, promoting sunset cruises and yacht charters, beachside retreats and snorkelling spots, WWII historical trails and memorial tours, and cultural attractions like the Labuan Museum and Chimney Tower.

Running from April 2025 to February 2026, the campaign offers up to 30 per cent discounts for bookings made through the online platform using the promo code XPLORE5.

From January to April 2025, Malaysia recorded 13.4 million international visitor arrivals, a 21 per cent increase compared to the same period in 2024.

China has emerged as the third largest source market after Singapore and Indonesia, ahead of Thailand and India.

With 1.4 million Chinese visitors recorded in the first four months of 2025, a 37.8 per cent increase from the previous year, Malaysia is on track to meet its target of 43 million international arrivals and RM283.8 billion in tourism receipts by year end.

Tourism Malaysia is also distributing official Visit Malaysia 2026 promotional vehicle stickers to licensed tour operators across Sabah.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/06/25/tourism-malaysia-leveraging-online-marketing-to-boost-arrivals/feed/ 0 76163
Pelancong ke Malaysia meningkat kepada 6.7 juta pada Januari-Februari https://sabahmedia.com/2025/04/13/pelancong-ke-malaysia-meningkat-kepada-6-7-juta-pada-januari-februari/ https://sabahmedia.com/2025/04/13/pelancong-ke-malaysia-meningkat-kepada-6-7-juta-pada-januari-februari/#respond Sun, 13 Apr 2025 09:50:38 +0000 https://sabahmedia.com/?p=71882
Read Time:1 Minute, 25 Second

BERNAMA

Sandakan : Kedatangan pelancong ke Malaysia meningkat sebanyak 31.3 peratus kepada 6.7 juta orang bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan.

Beliau berkata Singapura kekal menjadi negara penyumbang utama pelancong ke Malaysia dengan 3.1 juta orang, diikuti China, Indonesia, Thailand dan Brunei.

“Tahun lepas, Malaysia merekodkan kedatangan 38 juta pelancong, peningkatan ketara 31.1 peratus berbanding 29 juta pada 2023, juga melepasi rekod prapandemik COVID-19 iaitu 35 juta kedatangan pelancong pada 2019 dengan peningkatan 8.3 peratus.

“Pasaran utama yang menyumbang kepada kedatangan pelancong ialah Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Filipina, Korea Selatan, Australia dan Taiwan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Batu Sapi itu berkata jumlah pendapatan pelancongan mencapai RM106.78 bilion tahun lepas, mencatatkan pertumbuhan yang ketara sebanyak 43.7 peratus pada 2023 dan melebihi paras 2019 sebanyak 20 peratus.

Sementara itu, Khairul Firdaus berkata Tourism Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Sandakan (STAN) telah melancarkan brosur direktori terbaharu – “A Guide to Sandakan” sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam mempromosikan pelancongan ke Sabah selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Beliau berkata “A Guide to Sandakan” menyenaraikan pelbagai tarikan, menyajikan gabungan mempesonakan landskap alam semula jadi yang menakjubkan, kepelbagaian flora dan fauna, aktiviti pengembaraan, pengalaman kekayaan budaya serta hidangan tempatan.

Ia boleh diperoleh di lapangan terbang dan diedarkan melalui agensi pelancongan bagi memastikan akses yang mudah kepada pelancong.

“Daripada berinteraksi dengan orang utan di habitat semula jadi hingga mendekati Beruang Matahari Borneo, maskot TMM2026, Sandakan menawarkan gabungan pengalaman unik bertemu hidupan liar dan pengembaraan. Ditambah dengan hidangan tempatan dan makanan laut segar, ia adalah pintu masuk unggul untuk meneroka Sabah,” katanya.- BERNAMA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/04/13/pelancong-ke-malaysia-meningkat-kepada-6-7-juta-pada-januari-februari/feed/ 0 71882
Tourism Malaysia raikan Hari Raya Aidilfitri di Lapangan Terbang Kota Kinabalu https://sabahmedia.com/2025/04/01/tourism-malaysia-raikan-hari-raya-aidilfitri-di-lapangan-terbang-kota-kinabalu/ https://sabahmedia.com/2025/04/01/tourism-malaysia-raikan-hari-raya-aidilfitri-di-lapangan-terbang-kota-kinabalu/#respond Tue, 01 Apr 2025 11:48:33 +0000 https://sabahmedia.com/?p=71367
Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU: Tourism Malaysia menyambut kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa dengan acara khas Hari Raya Aidilfitri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, sebagai sebahagian daripada kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).

Acara tersebut menampilkan keunikan budaya Malaysia dengan pengagihan cenderamata perayaan di Balai Ketibaan serta hidangan juadah tradisional Hari Raya.

Para tetamu turut disajikan dengan persembahan budaya yang menarik, termasuk pertunjukan khas bertemakan Aidilfitri. Tradisi mengisi beras dan merebus ketupat turut menjadi sebahagian daripada sambutan tersebut.

Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Khairul Amir Anuar; Pengurus Kanan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Jefry Ramli; Pengurus Kanan Pemasaran Lembaga Pelancongan Sabah, Josephine Chai; serta wakil dari syarikat penerbangan dan agensi berkaitan.

Acara serupa juga berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 & Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas, serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di Sarawak.

Dalam perkembangan sektor pelancongan, Malaysia mencatatkan pertumbuhan ketibaan pelawat yang signifikan.

Sepanjang tahun 2024, seramai 38 juta pelawat direkodkan, meningkat 31.1% berbanding 29 juta pada tahun sebelumnya. Angka ini juga melepasi rekod pra-pandemik 2019 sebanyak 35 juta ketibaan, dengan peningkatan 8.6%.

Pasaran utama yang menyumbang kepada peningkatan ini termasuk Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Filipina, Korea Selatan, Australia, dan Taipei Cina.

Jumlah perbelanjaan pelawat turut mencatatkan peningkatan ketara, mencapai RM106.78 bilion pada tahun 2024, meningkat sebanyak 43.7% berbanding 2023 dan melebihi rekod 2019 sebanyak 20%.

Momentum ini berterusan pada Januari 2025, dengan lonjakan 54.4% dalam ketibaan pelawat, mencecah 3.8 juta pelawat, berbanding tempoh yang sama pada 2019. Singapura kekal sebagai penyumbang utama dengan 1.7 juta ketibaan, diikuti oleh China, Indonesia, Thailand, dan Brunei.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/04/01/tourism-malaysia-raikan-hari-raya-aidilfitri-di-lapangan-terbang-kota-kinabalu/feed/ 0 71367
PM mahu semua kementerian tumpu tingkat keupayaan bidang pelancongan, pelaburan, ekonomi https://sabahmedia.com/2025/01/06/pm-mahu-semua-kementerian-tumpu-tingkat-keupayaan-bidang-pelancongan-pelaburan-ekonomi/ https://sabahmedia.com/2025/01/06/pm-mahu-semua-kementerian-tumpu-tingkat-keupayaan-bidang-pelancongan-pelaburan-ekonomi/#respond Mon, 06 Jan 2025 09:31:30 +0000 https://sabahmedia.com/?p=66573
Read Time:2 Minute, 9 Second

BERNAMA

Sepang :  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua kementerian memberikan tumpuan untuk meningkatkan keupayaan dalam bidang pelancongan, pelaburan dan ekonomi dengan keterlibatan semua negeri menerusi Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata setiap negeri dan daerah di Malaysia mempunyai kekuatan masing-masing untuk menarik kehadiran pelancong.

“Malah untuk tahun ini dalam kita menjayakan (Kepengerusian) ASEAN, kita pastikan program kita menyiapkan semua negeri tanpa terkecuali, agar menjadi destinasi pelancong tahun ini dan tahun depan terutamanya.

“Saya telah minta semua kementerian memberikan tumpuan supaya Malaysia dapat meningkatkan keupayaan dalam bidang pelancongan, pelaburan dan ekonomi. Ini agar tidak ada kawasan atau negeri yang tersisih atau tertinggal,” katanya ketika berucap merasmikan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 di sini hari ini. 

Anwar berkata penglibatan menyeluruh daripada semua pihak itu dapat membantu negara mencapai unjuran pendapatan sebanyak RM147.1 bilion serta sasaran kedatangan pelancong seramai 35.6 juta melalui kempen berkenaan.

Perdana Menteri berkata dalam mempromosi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), keterangkuman menjadi pendekatan utama untuk mempromosikan kemampanan dan keharmonian negara dari segi warisan pelbagai budaya dengan asas budaya yang kukuh.

“Jadi impak Tahun Melawat Malaysia 2026 sebagaimana yang saya katakan, akan melangkaui industri pelancongan, yang termasuk merangkumi hospitaliti, pengangkutan, peruncitan, industri makanan.. dan faedah ekonomi akan dikongsi oleh masyarakat bandar dan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata rangka kerja MADANI itu sendiri adalah mengenai keterangkuman dalam memperjuangkan kemampanan, di samping pencapaian kualiti hidup yang lebih tinggi dan keharmonian antara pembangunan dan alam semula jadi.

Anwar turut merujuk kepada tawaran pelancongan Malaysia tersendiri, yang mencerminkan identiti berbilang kaum dan budaya.

“Ini bukan destinasi biasa, sebaliknya ia destinasi unik, mesra alam dan disulami dengan pelbagai budaya rakyat Malaysia yang cukup menawan, menjadi destinasi kepelbagaian budaya, kaya dan mampan, konsisten dengan tema kita,” katanya.

Anwar turut memuji lagu tema kempen TMM2026 ‘Surreal Experiences’, dengan menyatakan bahawa ia memperlihatkan keunikan Malaysia dengan sempurna dan amat menarik minat generasi muda.

“Kalau lihat daripada lagu tema, dari awal cukup inklusif, mencakupi semua daerah, semua negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Apabila saya dengar irama ‘keunikan Malaysia’ yang diperdengarkan, ia sesuatu yang cukup menarik, saya perlu ucapkan terima kasih kepada (Datuk Seri) Tiong King Sing (Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya),” katanya.

Kempen TMM2026 dilancarkan dengan rasminya hari ini, menampilkan logo baharu, maskot, lagu tema dan corak yang akan dipaparkan pada kapal terbang.

Selain itu haiwan beruang matahari Malaya telah diperkenalkan sebagai ikon kempen rasmi, selaras dengan statusnya sebagai spesies terancam, yang melambangkan komitmen Malaysia terhadap pemuliharaan hidupan liar.

Haiwan itu diwakili oleh dua maskot, Wira dan Manja, yang mewakili keterangkuman dan kepelbagaian.BERNAMA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/01/06/pm-mahu-semua-kementerian-tumpu-tingkat-keupayaan-bidang-pelancongan-pelaburan-ekonomi/feed/ 0 66573
Tourism Malaysia hargai sumbangan media jayakan promosi pelancongan domestik https://sabahmedia.com/2024/12/08/tourism-malaysia-hargai-sumbangan-media-jayakan-promosi-pelancongan-domestik/ https://sabahmedia.com/2024/12/08/tourism-malaysia-hargai-sumbangan-media-jayakan-promosi-pelancongan-domestik/#respond Sun, 08 Dec 2024 09:27:17 +0000 https://sabahmedia.com/?p=65071
Read Time:1 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU: Tourism Malaysia Sabah hari ini menganjurkan acara “Industry Gathering” bagi meraikan pengamal media yang telah banyak menyokong aktiviti promosi pelancongan domestik sepanjang tahun 2024.

Berlangsung di KK Galaxy Bowl, Centre Point, acara ini dihadiri oleh seramai 40 pengamal media termasuk wakil Kementerian Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar Sabah, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) serta penggiat industri pelancongan di Sabah.

Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Haryanty Abu Bakar berkata penganjuran acara ini dengan sokongan kerjasama strategik daripada syarikat penerbangan MASWings adalah bertujuan menghargai pihak media yang sentiasa memberikan sokongan kepada Tourism Malaysia khususnya dalam mempromosikan destinasi pelancongan menarik di negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Seiring untuk menggerakkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, kerjasama erat bersama pihak media amat penting bagi menjayakan agenda nasional ini yang menyasarkan ketibaan seramai 35.6 juta pelancong asing dengan jangkaan pendapatan pelancongan sebanyak RM147.1 bilion dan sejumlah 261 juta pelawat domestik dengan sasaran perbelanjaan sebanyak RM115.2 bilion.

“Keterlibatan media dalam mempromosikan Malaysia akan melengkapkan lagi program-program fast conversion dan berimpak tinggi yang direncanakan oleh Tourism Malaysia bagi pasaran domestik dan antarabangsa menerusi kerjasama strategik bersama syarikat penerbangan termasuk di platform digital selain pelaksanaan misi jualan dan penyertaan di pameran-pameran pelancongan,” katanya ketika berucap dan merasmikan acara itu.

Bersandarkan potensi dalam segmen ekopelancongan dan pengembaraan, Sabah berada dalam kedudukan terbaik untuk menarik ketibaan pelancong global yang mencari pengalaman autentik.

Setakat September 2024, Malaysia mencatatkan ketibaan 18.4 juta pelancong antarabangsa dengan merekodkan peningkatan sebanyak 27% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/12/08/tourism-malaysia-hargai-sumbangan-media-jayakan-promosi-pelancongan-domestik/feed/ 0 65071
Tourism Malaysia, Malaysia Aviation Group lancar risalah “Fly Borneo Specials Vol.1– The Adventure Begins Here!” https://sabahmedia.com/2023/09/29/tourism-malaysia-malaysia-aviation-group-lancar-risalah-fly-borneo-specials-vol-1-the-adventure-begins-here/ https://sabahmedia.com/2023/09/29/tourism-malaysia-malaysia-aviation-group-lancar-risalah-fly-borneo-specials-vol-1-the-adventure-begins-here/#respond Fri, 29 Sep 2023 07:17:12 +0000 https://sabahmedia.com/?p=42739
Read Time:2 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU: Tourism Malaysia, dengan kerjasama Malaysia Aviation Group (MAG) melancarkan risalah terbarunya “Fly Borneo Specials Vol.1 – The Adventure Begins Here!”, sebagai sebahagian daripada usaha Tourism Malaysia dalam mempromosikan pelancongan ‘Inter-State & Intra-State Travel” di negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan melalui rakan kongsi syarikat penerbangan Firefly dan MASwings.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Dato’ Dr Ammar Abd. Ghapar.

Dr Ammar berkata, program ‘Fly Borneo Specials Vol. 1 – The Adventure Begins Here! ini
merupakan inisiatif Pejabat Penyeliaan Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Sabah bersama dengan Malaysia Aviation Group terutamanya dengan MASwings dan Firefly untuk membangunkan pakej-pakej pelancongan mampu milik dan menarik yang merangkumi kos tiket penerbangan, penginapan dan juga Iawatan pelancongan di tiga buah negeri iaitu Sabah, Sarawak dan Labuan.

“MASwings dan Firefly menawarkan diskaun sehingga 40 peratus bagi harga tiket penerbangan domestik (dua hala) di negeri Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Selain itu, ia juga sebahagian daripada merancakkan momentum sempena persiapan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk menarik pelancong dalam dan luar negara bermula dari pakej domestik ke pakej antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program ‘Fly Borneo Specials Vol. 1 – The Adventure Begins Here!, di sini, hari ini.

Menurut Dr Ammar, lebih daripada 44 pakej percutian tematik, daripada lawatan sehari kepada lawatan selama seminggu.

“Disamping merangsang dan menyemarakkan sektor pelancongan domestik
terutamanya ‘Inter-State & Intra-State Travel” di negeri Sabah,
Sarawak dan Labuan;
ia juga mempromosikan produk pelancongan yang terdapat di negeri Sabah, Sarawak dan Labuan secara bersepadu melalui pakej pelancongan yang dibangunkan kepada pelancong.

“Sebanyak 30 agensi pelancongan berdaftar yang terlibat dalam program ini. Pakej pelancongan ini terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia dan bukan warganegara Malaysia tetapi bermustautin di Malaysia.

” Manakala kempen promosi ini akan diadakan selama tiga bulan bermula hari ini dan tempoh sah perjalanan adalah sehingga Disember 2023 sehingga September 2024,” jelas beliau.

Tambah Dr Ammar, bagi mengetengahkan destinasi Borneo Malaysia, pakej mampu milik ini juga disusun dalam risalah digital dan bercetak untuk pengembara yang ingin menerokai pengembaraan lasak, melihat kepelbagaian budaya menarik serta fauna dan flora eksotik.

Justeru itu, beliau berharap risalah ini akan membantu merangsang lagi pelancongan di Sabah, Sarawak dan Labuan kerana Firefly dan MASwings telah bergabung tenaga untuk menawarkan diskaun tambang penerbangan berasaskan tambang pelancongan untuk menyokong pakej percutian tempatan,” katanya.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah; Noredah Othman, Pengarah Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Sabah; Ibrahim Othman, Ketua MAG Wilayah Tengah; Nurhayati Aziz Rashid, Pengurus Jualan Kawasan MAG; Chali Awang, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Komunikasi Korporat, Tourism Malaysia, Mohd Faharuddin Hatmin, dan Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Trecey J Tojuka.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/09/29/tourism-malaysia-malaysia-aviation-group-lancar-risalah-fly-borneo-specials-vol-1-the-adventure-begins-here/feed/ 0 42739
Jerayawara ‘My Destination Sabah & Labuan’ Sasar Tingkatkan Pelancongan Domestik, Bantu Pengendali Pelancongan https://sabahmedia.com/2022/02/25/jerayawara-my-destination-sabah-labuan-sasar-tingkatkan-pelancongan-domestik-bantu-pengendali-pelancongan/ https://sabahmedia.com/2022/02/25/jerayawara-my-destination-sabah-labuan-sasar-tingkatkan-pelancongan-domestik-bantu-pengendali-pelancongan/#respond Fri, 25 Feb 2022 07:21:37 +0000 https://sabahmedia.com/?p=12534
Read Time:1 Minute, 59 Second

JOHOR BAHRU:  Tourism Malaysia meneruskan usaha membantu para penggiat industri, khususnya pengendali pelancongan dari Sabah dan Labuan, apabila mempertemukan mereka dengan pembeli berpotensi di Wilayah Selatan dalam program ‘My Destination Sabah & Labuan Meet Johor Roadshow 2022’.

Jerayawara berkonsepkan Business to Business (B2B) itu bertujuan mempromosikan destinasi, produk serta pakej-pakej pelancongan kepada kira-kira 80 wakil agensi pelancongan, jabatan kerajaan dan swasta serta syarikat korporat yang disasarkan menyertai program tersebut.

Inisiatif berkenaan digerakkan oleh Pejabat Tourism Malaysia Sabah selepas menerima sambutan cukup memberangsangkan dalam misi jualan ke Pulau Pinang pada penghujung tahun lalu.

Penganjuran program ini turut mendapat kerjasama Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Perbadanan Labuan, Persatuan Pelancongan Sabah (STA) serta syarikat penerbangan Malaysia Airlines, MASwings dan AirAsia Berhad.

Majlis perasmian diadakan di Fraser Place Puteri Harbour, Johor Bahru dan dirasmikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia Iskandar Mirza Mohd Yusof.

Sebanyak 18 agensi pelancongan, tujuh hotel dan tiga syarikat penerbangan telah dibawakan dari Sabah dan Labuan bagi menawarkan pakej-pakej berbentuk lawatan insentif, program hari keluarga korporat serta pakej pelancongan perniagaan.

Hadir sama Pengurus Pemasaran Lembaga Pelancongan Sabah Tracelynn Peter Jupili; Penolong Pengarah Jabatan Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Perbadanan Labuan Zunaidah Hamzah; Presiden Persatuan Pelancongan Sabah Tonny Chew; Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Sabah Trecey J Tojuka dan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan Solehuddin Ahmad.

Turut berlangsung majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara konsortium pelancongan Sabah dan Johor bagi memeterai kerjasama untuk mempromosikan pakej-pakej pelancongan di kedua-dua buah negeri.

Konsortium pelancongan Sabah disertai oleh agensi pelancongan Funholiday Tours & Travel Sdn. Bhd., Travel4You Sdn. Bhd., I-World Travel & Tours Sdn. Bhd. manakala konsortium pelancongan Johor dibentuk menerusi gabungan JSG Holidays Sdn. Bhd., Razi Rafi Explorer Travel & Tours dan Executive Travel & Tours Sdn. Bhd.

Iskandar berkata, penganjuran program tersebut diharap dapat memberikan sokongan kepada para pengendali pelancongan khususnya di Sabah dan Labuan sekali gus berupaya memangkin penyemarakan industri pelancongan domestik.

“Pelbagai pakej menarik ditawarkan bagi menjadikan Sabah dan Labuan sebagai destinasi pelancongan pilihan selain penganjuran acara-acara korporat seperti mesyuarat, seminar, persidangan serta program pengukuhan pasukan (team building) yang mampu menggalakkan percutian terancang dalam norma baharu.

“Selain memfokuskan kepada B2B, pengendali pelancongan dari Sabah dan Labuan turut berpeluang untuk menjalankan aktiviti ‘cross-selling’ di beberapa lokasi pelancongan di Wilayah Selatan apabila dibawa mengikuti lawatan produk sekitar Johor dan Melaka di bawah kelolaan Tourism Johor dan Tourism Melaka,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/02/25/jerayawara-my-destination-sabah-labuan-sasar-tingkatkan-pelancongan-domestik-bantu-pengendali-pelancongan/feed/ 0 12534