Tubuh – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Tue, 27 Jun 2023 12:43:50 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Tubuh – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Rafizi bangkitkan cadangan tubuh tabung amanah Sabah kepada PM https://sabahmedia.com/2023/06/27/rafizi-bangkitkan-cadangan-tubuh-tabung-amanah-sabah-kepada-pm/ https://sabahmedia.com/2023/06/27/rafizi-bangkitkan-cadangan-tubuh-tabung-amanah-sabah-kepada-pm/#respond Tue, 27 Jun 2023 12:43:49 +0000 https://sabahmedia.com/?p=37267
Read Time:2 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU: Gesaan Kerajaan Negeri Sabah untuk menyalurkan dana persekutuan yang tidak digunakan yang diperuntukkan untuk pembangunan negeri kepada tabung amanah memerlukan kajian kerana wang itu dikawal oleh undang-undang, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Bagaimanapun Rafizi berkata, beliau akan bangkitkan cadangan tabung amanah Sabah untuk dana persekutuan yang tidak digunakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, perkara itu perlu dikaji secara menyeluruh oleh Kementerian Kewangan kerana ia ada kesan kepada keseluruhan projek persekutuan di Sabah.

“Maksudnya kita melihat bagaimana untuk menambah baik pelaksanaan projek secara menyeluruh dan
kita kena selaraskan juga dengan Kementerian Kewangan, kerana peraturan perbendaharaan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan termasuklah samada wang tersebut dimasukkan ke dalam satu tabung amanah ataupun tidak.

“Kita perlu melihat keseluruhannya, seperti bagaimana sesuatu projek itu diminta, bagaimana ia dinilai, dan akhirnya diluluskan, ia perlu dikaji secara mendalam,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Sesi Libat Urus (SLU) Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (RMKe-12) bersama Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Rafizi menjelaskan bahawa soal wang pembangunan berkaitan dengan akta kerana akta meletakkan wang itu ke dalam kumpulan wang pembangunan samada wang itu perlu disimpan. Kita kena perhalusi dengan mengkaji akta sedia ada, ia adalah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

“Apa yang saya boleh buat kita perhalusi semua ini untuk menambah baik dan sudah tentu isu ini dibawa oleh Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang akan dibincangkan dengan Perdana Menteri nanti,” katanya.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Mei lalu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor telah mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk menyalurkan peruntukan pembangunan Sabah yang tidak digunakan ke dalam tabung amanah.

“Ini adalah cara terbaik untuk kita supaya kita tidak menanggung sebarang kerugian daripada sebarang peruntukan yang tidak digunakan,” katanya.

Hajiji berkata Sabah telah diperuntukkan RM5.709 bilion untuk pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan pada 2022.

“Daripada jumlah itu, RM4.457 bilion telah dibelanjakan, manakala sebanyak RM1.252 bilion tidak dapat dibelanjakan kerana beberapa isu pelaksanaan,” katanya.

Menurutnya, terdapat lima isu pelaksanaan utama iaitu kontraktor, utiliti, tanah, pengurusan dan agensi pelaksanaan.

“Kontraktor yang dilantik tidak mempunyai kapasiti kewangan yang mencukupi atau kredit kewangan, buruh, dan kelemahan pengurusan projek.

“Kelewatan dokumentasi untuk sambungan utiliti, kelewatan/ birokrasi syarikat utiliti, dan pemetaan utiliti di dalam tanah (bawah tanah) dan di bawah permukaan (sub-permukaan) adalah mencabar untuk dikesan.

“Proses tebus guna tanah yang terganggu, bantahan daripada pemilik tanah berhampiran lokasi cadangan pembangunan/ penggunaan didapati tidak sesuai, keadaan topografi yang sukar, tiada ruang/akses ke tapak, atau halangan.

“Arahan henti kerja oleh pegawai penguatkuasa, kesukaran mendapatkan bekalan bangunan dan harga bahan di pasaran meningkat.

“Kelewatan dalam menyemak dan meluluskan Variation Order (VO), kelewatan pembayaran kepada perunding/kontraktor dan pembekal, kelewatan dalam menyemak dan meluluskan lanjutan masa atau Extension of Time (EOT),” jelas beliau.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/06/27/rafizi-bangkitkan-cadangan-tubuh-tabung-amanah-sabah-kepada-pm/feed/ 0 37267
Firefly tubuh hab sepenuhnya di Sabah bulan depan https://sabahmedia.com/2023/04/06/firefly-tubuh-hab-sepenuhnya-di-sabah-bulan-depan/ https://sabahmedia.com/2023/04/06/firefly-tubuh-hab-sepenuhnya-di-sabah-bulan-depan/#respond Thu, 06 Apr 2023 09:16:07 +0000 https://sabahmedia.com/?p=32267
Read Time:3 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Firefly (FY) bersedia untuk menubuhkan hab sepenuhnya di Sabah bulan depan, ini memberi petanda baik untuk sektor pelancongan, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.

Beliau diberi taklimat mengenai operasi FY ke Malaysia Timur (Hab BKI) oleh Ketua Pegawai Eksekutif (Airline Business) Malaysia Aviation Group (MAG) Ahmad Luqman Mohd Azmi, baru-baru ini.

“Saya dimaklumkan bahawa Firefly akan mewujudkan habnya di sini menjelang 15 Mei tahun ini, di mana kapasiti pesawat B738 ialah 189 orang. Rancangan akan datang FY adalah mengendalikan tiga laluan yang mengambil alih daripada Malaysia Airlines (MAS), iaitu Kota Kinabalu-Sandakan, Kota Kinabalu-Tawau dan Kota Kinabalu-Kuching.

“Lebih penting lagi, kehadiran Hab FY akan memudahkan penerbangan terus China ke Sabah,” kata Christina, yang menantikan penerbangan terus MAS dari Xiamen dan bandar pedalaman seperti Nanning dan Chongqing, antara lain.

Menurut Ahmad Luqman, hanya pada suku kedua dan seterusnya 2023 akan ada penerbangan terus FY dari China ke Sabah.

“Sebagai permulaan, kami mempunyai penerbangan sewa khas dari China ke Kuala Lumpur sahaja (menggunakan perkhidmatan MAS), tetapi tidak ke Kota Kinabalu. Sebagai contoh, kami memulakan penerbangan sewa mingguan dari Xiamen ke KL dahulu, pada Januari tahun ini. Berdasarkan perbincangan kami dengan penyewa, penerbangan sewa dari Xiamen ke KK akan bermula dengan Firefly.

“Penerbangan terus China ke Sabah hanya akan dimulakan sebaik sahaja kami mempunyai Hab Firefly di Kota Kinabalu. Kami kemudian akan mempunyai lebih banyak penerbangan terus dengan China dan Asia Pasifik Utara,” jelasnya.

Beliau memberi pencerahan kepada Christina mengenai prestasi keseluruhan MAG dan tahun lepas mengenai perkembangan operasi MAG dalam dan keluar dari Sabah mengenai Malaysia Airlines (MAS) dan Firefly, serta mengenai operasi MASwings di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Firefly dan MASwings ialah anak syarikat penerbangan MAS.

Pada ketika ini, Liew memuji MAS atas penambahbaikan perkhidmatan dalam penerbangan seperti perkhidmatan makanan.

Menjawab soalan Christina mengenai operasi semasa MAS ke Sabah dan kekerapan penerbangan, Ahmad Luqman berkata terdapat 70 penerbangan mingguan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, 14 penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau dan sepuluh penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sandakan.

Ditanya sama ada penerbangan dua kali seminggu dari Kota Kinabalu ke Narita (Jepun) akan dinaikkan, Ketua Pegawai Eksekutif MAG itu berkata adalah mungkin jika ada permintaan.

Ahmad Luqman memberi maklumat terkini mengenai struktur baharu MAG dan barisan kepimpinan di mana beliau memperkenalkan Suresh Singam sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) baharu untuk MASwings dan Kapten Hamdan Che Ismail (Ketua Pegawai Operasi, Firefly).

Sementara itu, Christina menyuarakan kebimbangan mengenai tahap kebersihan tandas awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) yang tidak memuaskan.

Beliau berkata perhentian pertama penumpang sebaik mendarat di KKIA jelas sekali adalah tandas, sambil menyatakan harapan bahawa standardnya akan setanding dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Sabah memang cantik tetapi boleh dicemari dengan isu kebersihan tandas. Justeru, keutamaan adalah memastikan tandas awam berada dalam keadaan tip-top lengkap dengan tisu tandas dan bekalan air.

“Memang mengecewakan. Saya menerima banyak aduan daripada penumpang melalui whatsapp mengenai bau busuk dan lantai basah akibat pengguna sebelum ini.

“Sebaik-baiknya, kita harus mempunyai tandas kering dan tandas basah di kedua-dua balai ketibaan dan berlepas untuk memenuhi pelbagai keperluan pengguna,” katanya.

Beliau menegaskan situasi yang tidak menyenangkan yang dialami di tandas lapangan terbang kita akan memalukan Sabah dan Kerajaan.

Ahmad Luqman, turut memaklumkan kepada Christina mengenai isu dan cabaran semasa syarikat penerbangan tempatan dan memberi jaminan bahawa beliau akan membawa isu itu dengan pihak berkuasa yang berkaitan.

Di samping itu, Christina mahu Malaysia Airports Berhad (MAB) mempertimbangkan untuk mengurangkan penyewaan kedai komersil di KKIA, dengan berkata perniagaan penyewa tidak berapa baik untuk mereka sejak dua setengah tahun lalu.

Beliau juga berharap lebih banyak kaunter imigresen dapat disediakan, memandangkan penumpang yang beratur panjang menunggu pelepasan di lapangan terbang.

Delegasi turut dihadiri Nita Malek (Pengurus Kanan, Perhubungan Kerajaan), Tuan Chali Awang (Ketua Jualan Malaysia Timur – Perniagaan Syarikat Penerbangan) dan Rozanah Robert (Pemasaran, Komunikasi & Penjenamaan – Perniagaan Syarikat Penerbangan).

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Mohd Yusrie Abdullah, Timbalan Setiausaha Tetap I Mary Malangking dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Noredah Othman.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/04/06/firefly-tubuh-hab-sepenuhnya-di-sabah-bulan-depan/feed/ 0 32267
Peter, Juil Keluar Warisan, Tubuh Parti Baharu https://sabahmedia.com/2021/12/28/peter-juil-keluar-warisan-tubuh-parti-baharu/ https://sabahmedia.com/2021/12/28/peter-juil-keluar-warisan-tubuh-parti-baharu/#respond Tue, 28 Dec 2021 06:10:07 +0000 https://sabahmedia.com/?p=10363
Read Time:1 Minute, 42 Second

Oleh NORMIMIE DIUN, ERDIE AB WAHID

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap Datuk Peter Anthony mengumumkan meninggalkan Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan akan menubuhkan parti tempatan baharu.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) berkata, parti yang akan dipimpinnya tu akan menjalin kerjasama dengan kerajaan Sabah di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, sudah tiba masanya pemimpin di negeri ini khususnya ahli politik untuk membina satu kesatuan untuk bekerjasama membangunkan negeri Sabah.

“Tiada gunanya kita berbalah pendapat khususnya berkaitan ideologi politik dan menyebabkan kedudukan Sabah dan pembangunan di negeri ini terus mundur terutama sekali bantuan kepada rakyat khususnya di pedalaman.

“Saya percaya dengan kesatuan dan pendekatan baharu ini, maka kebersamaan dan permasalahan ekonomi orang Sabah dapat dibantu dan dipertingkatkan.  Rakyat pada ketika ini susah bukan sahaja dilanda COVID-19 malah masalah kemiskinan juga mereka hadapi.

“Jadi sebab itulah kami umumkan keluar dari WARISAN yang kami percaya perjuangan mereka tersasar apabila mereka beralih untuk pergi ke Kuala Lumpur,”katanya dalam sidang media khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) disini hari ini.

Turut mengumumkan keluar bersama beliau adalah ADUN Limbahau Datuk Juil Nuatim.

Peter berkata, keputusan untuk meninggalkan WARISAN itu juga diambil bagi memastikan rakyat dapat dibela.

“Perjuangan ini bukan perjuangan perseorangan, menjadi wakil rakyat adalah tanggungjawab untuk membela rakyat, tetapi jika kita tidak bersama pemimpin dalam kerajaan bagaimana untuk kita membantu rakyat,”katanya.

Sementara itu, Peter berkata, sebuah parti “multi-racial” akan diumumkan dalam tempoh terdekat dan kini telah didaftarkan.

“Kita telah putuskan diperingkat kita, kita akan dan telah menubuhkan satu parti baharu dan kita akan umumkan dalam masa terdekat, kemungkinan selepas tahun baharu ini,”katanya.

Terdahulu, tiga termasuk dua pemimpin kanan Warisan bertindak meninggalkan parti itu.

Pada 25 Februari lalu, ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir mengumumkan keluar parti atas alasan Warisan masih mengutamakan politik berbanding kesejahteraan rakyat.

Awal Oktober lalu, ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob mengumumkan keluar daripada Warisan untuk menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan dan diikuti Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi pada 30 Oktober.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/12/28/peter-juil-keluar-warisan-tubuh-parti-baharu/feed/ 0 10363
PBS Beri Cadangan Tubuh Jawatankuasa Khas Untuk Selesai Isu Pendatang Tanpa Izin Di Sabah https://sabahmedia.com/2021/12/24/pbs-beri-cadangan-tubuh-jawatankuasa-khas-untuk-selesai-isu-pendatang-tanpa-izin-di-sabah/ https://sabahmedia.com/2021/12/24/pbs-beri-cadangan-tubuh-jawatankuasa-khas-untuk-selesai-isu-pendatang-tanpa-izin-di-sabah/#respond Fri, 24 Dec 2021 12:08:43 +0000 https://sabahmedia.com/?p=10266
Read Time:3 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) memberi cadangan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas antara parti di bawah Dewan Undangan Negeri bagi mencari penyelesaian jangka panjang kepada isu berterusan melibatkan pendatang tanpa izin dan tanggungjawab mereka yang menetap di Sabah.

Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, partinya menolak cadangan yang ditimbulkan semula untuk mengeluarkan pas sementara khas untuk pendatang tanpa izin di negara ini.

Maximus menegaskan sekiranya cadangan itu diluluskan, ia akan membawa masalah lebih besar kepada isu yang belum diselesaikan. Beliau juga percaya kaedah yang lebih berkesan adalah membentuk jawatankuasa khas antara parti.

“Adalah penting pendekatan tersebut mematuhi undang-undang, sama ada di negeri atau negara. Ia mesti telus dan semua input daripada penggubal undang-undang Sabah perlu diambil kira. Ini adalah pendirian PBS,” katanya ketika menjawab gesaan bekas Ketua Menteri Tan Sri Harris Salleh baru-baru ini mengenai pengeluaran pas sementara khas untuk pendatang tanpa izin, walaupun ia ditolak pada pilihan raya kecil Kimanis pada 2020.

Katanya, PBS tidak akan sewenang-wenangnya bersetuju dengan gesaan Harris kerana undang-undang dan peraturan negara mesti dihormati, dan keselamatan jangka panjang rakyat Sabah, dan rakyat Malaysia di Sabah, mesti dilindungi dan terjamin.

“Di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Sabah mempunyai hak ke atas imigresen, oleh itu, perkara mengenai IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci adalah di bawah Kawalan kerajaan Negeri sepenuhnya.

“Justeru, wajar bagi ahli Dewan Undangan Negeri terlibat dalam menentukan siapa yang boleh tinggal di Sabah secara tetap, atau sebaliknya.

“Sudah tiba masanya untuk Kerajaan Persekutuan dan Negeri mengambil tindakan serius bagi menyelesaikan isu yang telah lama berlarutan ini, tetapi perlu diingat bahawa semua tindakan mesti berpandukan undang-undang negara dan peraturan dalam kuasa Negeri.

“Tiada lagi ruang untuk permainan politik, atau penyalahgunaan undang-undang imigresen. PBS telah lama mengetengahkan isu ini dan mempertahankan bahawa Sabah adalah untuk rakyat asal Sabah dan rakyat Malaysia tulen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu mendedahkan bahawa cadangan sedemikian perlu diteliti melalui perbincangan intensif dan ditapis oleh jawatankuasa khas, terdiri daripada penggubal undang-undang Sabah

Menurut Maximus terdapat dua kategori pendatang tanpa izin di Sabah, satu dikategorikan sebagai pendatang asing yang mempunyai dokumen, manakala satu lagi pendatang tanpa izin tanpa dokumen.

“Kategori yang didokumenkan melibatkan tiga kelas – pemegang IMM13 berjumlah 51,645; kedua, pemegang Kad Burung-Burung berjumlah 36,892; dan ketiga, Sijil Banci berjumlah 47,519. Jika dijumlahkan tanggungan dan ahli keluarga, kumpulan ini dianggarkan setengah juta di Sabah,” jelasnya.

Sementara itu, Maximus turut menyatakan di bawah kategori warga asing tanpa izin, mereka dianggarkan antara satu juta hingga 1.5 juta, termasuk tanggungan mereka.

Tambah beliau, terdapat warga asing yang menerima pas kerja mereka di bawah pelbagai program, seperti program pengampunan yang membolehkan mereka diambil sementara sebagai pekerja asing sama ada oleh syarikat perladangan dan pembinaan melalui agensi kerajaan berkaitan, iaitu jabatan Buruh dan Imigresen.

“Mereka yang tidak diupah atau tinggal di Sabah tanpa dokumen yang sah harus dianggap sebagai menyalahi undang-undang. Mereka seharusnya ditahan dan dihantar pulang.

“Pendirian PBS mengenai pendatang tanpa izin adalah mudah – tangkap dan hantar pulang. Pasukan keselamatan dan penguatkuasaan memainkan peranan penting dalam memastikan mereka ini tidak berada di dalam negeri dan negara kita secara haram.

“Ini adalah perkara yang sangat serius dan sensitif kepada rakyat Sabah dan atas sebab itu, kami di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak telah bersetuju untuk melibatkan diri dengan masyarakat, dan sebarang cadangan dari mereka akan dikemukakan kepada Majlis Khas MA63 (MKMA63), yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” tegas Maximus.

Beliau menambah bahawa di bawah Keselamatan Negeri Sabah dan Sarawak, yang diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri, di mana Sabah dan Sarawak diwakili timbalan ketua menteri dan peguam besar mereka, serta pegawai lain yang berkaitan akan menumpukan perhatian dan usaha untuk menangani isu berkenaan IMM13, Kad Burung -Burung dan Sijil Banci mulai tahun hadapan.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/12/24/pbs-beri-cadangan-tubuh-jawatankuasa-khas-untuk-selesai-isu-pendatang-tanpa-izin-di-sabah/feed/ 0 10266