PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan aktiviti cubaan menyeludup pelbagai komoditi termasuk kontraban berjumlah RM30.4 juta dalam pemeriksaan dan sitaan ke atas beberapa kontena di Pelabuhan Utara dan Barat, di sini, dua bulan lalu.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, rampasan itu merupakan kejayaan JKDM Zon Tengah, Unit II Selangor dalam usaha menumpaskan aktiviti penyeludupan melalui pintu negara.
Katanya, antara sitaan pelbagai komoditi termasuk kenderaan import, minuman keras, sekerap logam, bahan buangan sisa elektrik dan elektronik (e-waste), alkohol etil tidak didenaturasi (96 peratus), rokok putih serta rokok kretek.
“Sebanyak enam kenderaan import terpakai pelbagai jenis bernilai RM794,000 termasuk duti dan cukai dirampas hasil penemuan pihaknya dalam tiga kontena bersaiz 40 kaki, masing-masing satu di Pelabuhan Utara dan dua di Pelabuhan Barat, di sini, 22 Ogos lalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati di dalam kontena-kontena tersebut mengandungi enam kenderaan import dipercayai tidak mempunyai permit import.
“Siasatan awal mendapati kesemua kenderaan tersebut tiba di Pelabuhan Klang pada 17 Julai 2024 dan berasal dari negara di Asia Timur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Kastam Pulau Indah, di sini, hari ini.
Sehubungan dengan itu, JKDM turut menyita 79,104 liter minuman keras bernilai RM3.11 juta termasuk duti dan cukai yang ditemukan dalam lima kontena, masing-masing satu di Pelabuhan Utara dan empat di Pelabuhan Barat, di sini, 26 September lalu.
“Hasil pemeriksaan ke atas lima kontena tersebut, didapati mengandungi 79,104 liter minuman keras, dipercayai tidak mempunyai permit import.
“Siasatan awal mendapati kesemua kontena tersebut tiba di Pelabuhan Klang pada 1 September dan dagangan berasal dari sebuah negara di Asia Timur.
“Pengimport telah membuat pengikraran sebagai rim keluli lori bagi mengelak dikenakan duti dan cukai yang tinggi serta keperluan permit import bagi pengimportan minuman keras,” katanya.
Menurut Anis Rizana, JKDM juga berjaya merampas 44 kontena yang bermuatan 1,098.19 tan sekerap logam bernilai RM13.2 juta di Pelabuhan Barat, di sini, 5 September lalu.
“Hasil pemeriksaan ke atas kontena tersebut didapati mengandungi 1,098,187 kilogram sekerap logam, dipercayai tidak mempunyai permit import.
“Siasatan awal mendapati kontena tersebut tiba di Pelabuhan Klang pada 13 Ogos dan dagangan berasal dari sebuah negara di benua Amerika.
“Pengimport telah membuat pengikraran tidak benar di dalam dokumen manifes import sebagai sebagai aloi aluminium, serpihan aluminium dan serpihan tembaga untuk mengelak keperluan permit import bagi tujuan pengimportannya,” katanya.
Pihaknya turut menahan 107 kontena yang bermuatan 2,118.91 tan e-waste yang bernilai RM5.59 juta dengan ketirisan hasil sebanyak RM558,579.18 menerusi Op e-Waste di Unit Mesin Pengimbas Pelabuhan Barat, di sini, 17 Ogos sehingga 4 Oktober lalu.
“Kontena-kontena tersebut telah diperiksa bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan didapati mengandungi 2,118,906.10 kilogram e-Waste, dipercayai tidak mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar.
“Pengimport telah membuat pengikraran tidak benar sebagai aloi aluminium, serpihan aluminium, bahan aluminium dan serpihan tembaga,” katanya.
Selain itu, katanya, JKDM merampas 412 tong drum disyaki mengandungi cecair alkohol etil tidak didenaturasi (96 peratus) berjumlah 67,980 liter bernilai RM7.11 juta ditemui di sebuah gudang di sini, 27 September lalu.
“Siasatan awal mendapati kesemua barang kes berasal dari sebuah negara di Asia Selatan dan telah diseludup masuk ke Malaysia melalui Pelabuhan Barat untuk kegunaan penghasilan minuman keras.
“Nilai dagangan dianggarkan berjumlah RM429,565 dan jumlah duti & cukai yang terlibat dianggarkan berjumlah RM6,682,334.41.
“Pengimport mengikrarkan dagangan itu sebagai pembersih tangan asas alkohol di dalam Manifes serta Borang Kastam 1 bagi mengelakkan dikesan oleh JKDM,” katanya.
Sementara itu, pihaknya menyita 6,800 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama yang diletakkan dalam kenderaan motokar di kawasan kedai di Taman Subang Mas, Petaling Jaya, Selangor, 23 September lalu.
“Rampasan itu hasil daripada pemberi maklumat berdaftar Kastam. Ketika intipan, sebuah kenderaan ditahan di kawasan parkir.
“Kenderaan dan dagangan telah di bawa balik ke Pejabat Pangkalan Marin Kastam untuk siasatan lanjut.
“Nilai dagangan dan kenderaan disita dianggarkan sebanyak RM30,592 membabitkan 6,800 batang rokok. Jumlah duti dan cukai terlibat dianggarkan berjumlah RM4,547.20.
“Pihak sindiket menggunakan orang tengah untuk menghantar barang larangan / tak berkastam ke kedai runcit yang kemudiannya dijual ke pasaran,” katanya.
Sementara itu, bagi rampasan terakhir pula melibatkan 11,600 batang rokok dan 66.96 liter minuman keras hasil serbuan dan pemeriksaan ke atas dua premis berasingan yang dijadikan sebagai kilang beroperasi tanpa kebenaran di Kampung Sungai Terap dan Kampung Sungai Yu, Tanjong Karang, 25 September lalu.
“Nilai rokok dan minuman keras dianggarkan sebanyak RM2,074.80 manakala jumlah duti dan cukai yang terlibat dianggarkan berjumlah RM10,355.67.
“Pemilik dan pekerja di premis kilang beroperasi tanpa lesen menjadikan premis tersebut sebagai stor dan tempat penyimpanan barang larangan atau tak berkastam,” katanya.
Katanya lagi, kesemua kesalahan itu sedang disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 iaitu mengimport apa-apa barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan.
“Jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barangan itu atau RM100,000 yang mana lebih besar
“Atau tidak lebih dari 20 kali ganda nilai barangan itu atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
]]>TAWAU: Dua suspek lelaki warga tempatan ditahan disyaki terlibat kes geng curi basikal di sekitar bandar Tawau pada 5 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek pertama berusia 30 tahun itu ditahan sepasukan Polis dari Strike Team Balai Polis Tawau kira-kira jam 1.00 pagi ketika menjalankan tugas Op Kesan di sekitar kawasan Taman Ria 7, Tawau.
Menurutnya, semasa rondaan dilakukan, pihak polis mendapati seorang lelaki yang telah dikenal pasti terlibat dengan kes jenayah curi berada dalam keadaan mencurigakan berada di hadapan rumahnya.
“Semasa polis mendekati, suspek cuba melarikan diri dan bertindak agresif namun berjaya ditahan, pemeriksaan lanjut menemui dua peket plastik lutsinar kecil berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.03 gram di dalam poket seluar suspek.
“Susulan dari penahanan itu turut membawa kepada penemuan tiga buah basikal berlainan jenama yang disyaki dicuri dan disembunyikan di belakang rumah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jasmin berkata, pihak polis juga berjaya menahan seorang lagi suspek warga tempatan berusia 51 tahun di kampung Tanjung Batu Darat, Tawau kira-kira jam 1.30 pagi.
Katanya, hasil serbuan itu, pihak polis turut menemukan sebuah basikal berjenama yang telah diubah suai disembunyikan di belakang rumah suspek.
“Pemeriksaan lanjut ke atas suspek, polis menemui dua peket plastik lutsinar kecil berisi berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.09 gram di dalam poket seluar suspek,” katanya.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis syabu dan masing-masing memiliki rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.
“Kedua-dua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun keseksaan dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
]]>KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya mematahkan cubaan seludup pelbagai jenis minuman keras dengan nilai rampasan berjumlah lebih RM450,000.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, pada 12 Jun lalu, lebih kurang jam 11.00 malam, bertindak atas maklumat oleh Cawangan Risikan, pasukan serbuan yang terdiri daripada anggota Unit Operasi Penguatkuasaan Kota Kinabalu telah menahan dan membuat pemeriksaan ke atas sebuah lori rigid di Kilometer 1.0, Jalan Lama Papar- Kota Kinabalu.
“Hasil pemeriksaan fizikal ke atas lori tersebut mendapati lori tersebut mempunyai muatan tong biru sebanyak 30 buah yang diletakkan dan disusun di permukaan atas muatan lori tersebut.
“Pemeriksaan lanjut ke atas muatan lori tersebut mendapati terdapat sejumlah 2500 karton minuman keras berlabel Malaysian Duty Not Paid (MDNP) pelbagai jenama yang disusun dan diletakkan di bawah timbunan tong-tong biru tersebut.
“Anggaran nilai harga bagi minuman keras yang dirampas adalah berjumlah RM68,766.00, manakala anggaran jumlah duti dan cukai terlibat adalah sebanyak RM278,457.60.
“Turut dirampas di dalam serbuan ini adalah sebuah lori rigid dengan anggaran nilai berjumlah RM100,00.00 dan lain-lain barang bernilai RM4,000.00. Jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah berjumlah RM451,223.60,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sehubungan dengan itu, Nasir berkata, pasukan operasi turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 43 tahun yang bertindak sebagai pemandu lori tersebut bagi membantu siasatan.
“Modus operandi bagi kes ini adalah menyembunyikan barang tidak berkastam bagi tujuan penyeludupan dan sekaligus mengaburi mata pihak berkuasa.
“Kes sedang disiasat di bawah 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 kesalahan mengangkut barang tidak berkastam bagi tujuan mengelak membayar cukai,” katanya.
]]>KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya menahan enam kontena berisi minuman keras bernilai lebih RM480,000 dengan anggaran duti serta cukai berjumlah lebih RM2.2 juta dipercayai cuba diseludup masuk ke negara ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, pada 10 Mei lalu hasil analisa risiko daripada Unit Pemeriksaan Kontena dan aduan awam yang diterima, sepasukan serbuan yang terdiri daripada anggota dan Unit Operasi Penguatkuasaan Kota Kinabalu telah membuat pemeriksaan ke atas dua puluh buah kontena kerana disyaki berisi minuman keras melalui Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.
“Hasil pemeriksaan terhadap kesemua kontena tersebut telah mendapati sebanyak enam buah kontena berisi minuman keras yang disyaki cuba diseludup masuk ke dalam negara ini.
“Anggaran nilai adalah sebanyak RM484,788.00, manakala anggaran jumlah duti dan cukai terlibat adalah sebanyak RM2,264,476.40. Jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM 2,749,264.40,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, modus operandi bagi kes ini adalah membuat pengikraran palsu di dalam manifes laitu dagangan diikrar sebagai hand tools, aluminium fittings, driller, stove, chain, fishing net, lighting bulb, dan aluminium plate.
“Pengkikraran palsu ini dibuat adalah untuk tujuan penyeludupan dan sekaligus mengaburi mata pihak berkuasa.
“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 52 dan 135 (1) (a) Akta Kastam 1967,” katanya.
Justeru beliau menggesa orang ramai agar membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain- lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
]]>BERNAMA
SANDAKAN: Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS), menumpaskan sindiket penyeludupan barangan makanan sejuk beku dari loji yang tidak diiktiraf, yang dianggarkan bernilai RM2,722,604 di sini pada Khamis lalu (28 Sept).
Timbalan Pengarah JKDNKA (Gerakan) Datuk Mohd Hishamudin Tahar berkata, serbuan ke atas sebuah premis di kawasan perindustrian ringan di sini, merampas sejumlah 9,782 kotak mengandungi pelbagai bahagian daging ayam seperti sayap, paha dan dada.
“Sembilan individu terdiri daripada lima lelaki dewasa tempatan dan empat lelaki, Datuk Mohd Hishamudin Tahar berkata serbuan ke atas sebuah premis di kawasan perindustrian ringan di sini, merampas sejumlah 9,782 kotak mengandungi pelbagai bahagian daging ayam seperti sayap, paha dan dada.
“Sembilan individu terdiri daripada lima lelaki dewasa tempatan dan empat lelaki dewasa asing, telah diperiksa dalam serbuan di sini. Kes akan disiasat di bawah Enakmen Haiwan Sabah 2015.
“PDRM melalui JKDNKA sentiasa komited dalam usaha memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai kastam, serta penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi agar hasil negara sentiasa dilindungi dan terpelihara,” katanya kepada pemberita selepas meninjau barangan rampasan itu di premis berkenaan.
Mohd Hishamudin berkata sejak Januari tahun ini telah berjaya melancarkan lapan serbuan di Sabah dan dua di Sarawak, terhadap kumpulan sindiket penyeludupan barangan makanan sejuk beku dengan nilai rampasan dianggarkan
berjumlah RM44,281,391.70.
Pengarah JPVS Dr Normah Yusop berkata pihaknya telah meragui kegiatan premis itu sejak tahun lepas lagi, namun dengan kerjasama PDRM, terutama menerusi PGA, JPVS membuat pendekatan serbuan yang lebih bersepadu.
“Kita mengesyaki barangan (daging ayam) diimport dari loji tidak diiktiraf di China, Australia, Denmark dan Poland, iaitu loji yang tidak mempunyai sijil halal.
“Barangan ini disyaki untuk pasaran tempatan, juga pulau-pulau di Filipina,” katanya. – BERNAMA
]]>KOTA KINABALU:Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya mematahkan sindiket cubaan seludup dadah seberat lebih 101 kilogram bernilai RM3.3 juta dalam satu serbuan pada jam 5 petang, 26 Julai lalu.
Dadah jenis methampetamine itu disembunyikan dalam bungkusan sabun pencuci pakaian sebelum diseludup masuk ke negeri ini.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kontena yang baru tiba dari Pelabuhan Klang, Selangor pada 26 Julai lalu.
“Hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya menemui sembilan kotak mencurigakan yang disyaki mengandungi dadah dialamatkan ke sebuah kondominium mewah di ibu negeri ini.
“Semua dadah jenis methampetamine seberat lebih 101 kilogram itu disembunyikan di dalam bungkusan serbuk pencuci jenama ‘Anchor’ dianggarkan bernilai RM3.36 juta.
“Dadah yang mampu menampung keperluan sekurang-kurangnya 500,000 penagih,” katanya pada sidang media di Wisma Penguatkuasaan JKDM Sabah hari ini.
Menurut Zazuli, setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat namun usaha mengesan pengirim dan penerima sedang giat dijalankan.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zazuli turut memaklumkan sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini, JKDM Zon Sabah berjaya merampas keseluruhan lebih 224.861 dadah bernilai hampir RM10 juta termasuk rampasan kali ini.
“Rampasan membabitkan empat jenis dadah iaitu methamphetamine, ketamin, ganja, ekstasi dan daun ketum,” ujarnya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan dan turut meminta masyarakat supaya membantu pihak JKDM dalam usaha memerangi jenayah penyeludupan khususnya membabitkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.
Justeru itu, katanya, pihak JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat.
Tambahnya, pihak JKDM juga memberi jaminan, identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan.
]]>KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket penyamaran sebagai pegawai kanan SPRM dan pegawai kanan Menteri Dalam Negeri yang dipercayai menggunakan modus operandi bagi menyelesaikan kes yang disiasat oleh agensi penguat kuasa.
Sumber berkata, kegiatan sindiket itu dipercayai telah menipu mangsa yang mengakibatkan kerugian sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.
Menurut sumber, serbuan yang dijalankan di beberapa lokasi oleh pihak SPRM Sabah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah di sekitar Kota Kinabalu, sejak beberapa hari lalu adalah berdasarkan hasil risikan yang telah dibuat sebelum ini.
“Hasil serbuan ini, seramai tujuh individu warganegara Malaysia yang berusia di antara 20 hingga 30 tahun telah ditahan.
“Proses permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan akan dibuat terhadap mereka di Mahkamah Khas Rasuah, Kota Kinabalu esok,” kata sumber itu lagi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau juga menyeru agar orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sindiket ini agar tampil memberikan kerjasama kepada pihak SPRM dan orang ramai tidak meminjamkan akaun bank kepada orang lain .
Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya sekiranya ada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan awam.
]]>KUDAT: Seramai 39 individu ditahan disyaki terlibat dalam sindiket perjudian atas talian dalam satu serbuan oleh sepasukan polis di tiga bilik, tingkat tujuh sebuah kompleks beli belah di Jalan Pintas, Penampang, semalam.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, bertindak atas maklumat berkenaan perjudian atas talian, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, menyerbu bangunan berkenaan yang disyaki dijadikan ‘calling center’ (pusat panggilan) pada jam 12.15 tengah hari menerusi Op Dadu.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan di ketiga-tiga bilik itu berpenghuni dan berjaya menahan 39 individu terdiri daripada 19 lelaki dan 20 wanita berusia 20 hingga 40 tahun disyaki bekerja sebagai mempromosi perjudian atas talian.
“Mangsa mereka dipercayai selain warga tempatan tetapi dari beberapa negara luar seperti China dan Indonesia ,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kudat antara Deputi Superintendan Robin@Ridzuan Ismail dan Superintendan Mohd Haris Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sabah, Senior Asisten Komisioner Azmi Abdul Rahim.
Menurut Jauteh lagi, pihaknya turut merampas peralatan perjudian atas talian yang digunakan di dalam bangunan berkenaan.
“Turut dirampas 74 monitor komputer pelbagai jenama, 38 pemprosesan komputer (CPU) dan 22 buah telefon bimbit pelbagai jenama,”katanya.
Hasil siasatan lanjut, Jauteh berkata, aktiviti perjudian itu telah beroperasi selama enam bulan di negeri ini, manakala pekerja diberi gaji RM1,500 dan dibayar melalui akaun.
“Soal siasat terhadap semua tangkapan mendedahkan mereka bekerja ditempat itu selepas terbaca iklan di Facebook yang menawarkan pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Jauteh menegaskan bahawa JSJ Sabah akan terus mengambil tindakan maksimum ke atas aktiviti judi terutama yang berkaitan judi atas talian berpremis.
]]>KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah telah menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan diesel dalam satu operasi di sebuah stor tidak bernombor di kampung Bantayan, Inanam petang tadi (22 Mei).
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Negeri Sabah Zulfamy Mat Udi berkata, pada jam 3:00 petang tadi, pasukan serbuan telah menjumpai dan menyita sebanyak 2,200 liter minyak diesel dalam skid tank, dan tong drum yang disyaki untuk dijual kepada industri beserta hos getah dan electronic pump yang disyaki digunakan untuk menyeleweng dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM10,830.00.
“Seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai pemilik barang kawalan di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Zulfamy, risikan telah dijalankan selama empat hari oleh KPDN Sabah sebelum serbuan dijalankan.
“Berdasarkan keterangan awal, pemilik barang kawalan tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan,” jelasnya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata, kes ini akan disiasat di
bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang
kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.
Katanya, siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.
“Manakala di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi
RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda
tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” tegas beliau.
Justeru, KPDN Negeri Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan
pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri Sabah agar tidak berlaku sebarang bentuk
penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui saluran berikut:
1) Whatsapp 019-279 4317 / 019-848 8000;
2) Portal Aduan: e-aduan.kpdn.gov.my;
3) Call Centre 1-800-886-800;
4) Emel: [email protected] ;
5) Ez ADU KPDN;
6) Hadir sendiri ke Pejabat KPDN yang berdekatan;
7) Pusat Arahan Penguat kuasaan (Enforcement Command
Centre): 03 – 8882 6088 / 6245;
8) Surat Rasmi ke Pejabat KPDN yang berdekatan; dan
9) Bilik Gerakan KPDN Negeri (senarai nombor talian sila layari portal rasmi)
Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Pasukan Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu telah berjaya menumpaskan Kumpulan Pecah Kedai Pameran Kenderaan berjenama luar negara di Daerah Kota Kinabalu dengan tertangkapnya dua orang suspek lelaki dengan anggaran jumlah kerugian RM350,000.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah berkata, kejadian itu dilaporkan oleh penolong pengurus kedai tersebut pada 8 Mac lalu jam lebih kurang 7.30 pagi menyatakan berkenaan kehilangan dua buah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dimana cermin kedai pameran kenderaan telah dipecahkan oleh suspek dan jumlah kerugian dianggarkan lebih kurang RM 350.000.00.


Katanya, hasil siasatan pihak polis mendapati, kumpulan ini menggunakan modus operandi dengan memecahkan cermin kedai untuk masuk ke dalam kedai seterusnya mengambil kunci kenderaan yang berada dalam kedai pameran dan keluar mengikut laluan yang sama lalu melarikan kenderaan yang diletakkan di luar kedai yang tidak berpagar.
“Kenderaan yang dicuri adalah untuk tujuan dijual bagi mendapatkan wang,” katanya pada sidang media di IPD Kota Kinabalu, hari ini.
Menurut Mohd Zaidi, hasil siasatan dan risikan berterusan yang dibuat telah berjaya membuat tangkapan terhadap saspek utama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ketika kedua-dua suspek tiba di pintu ketibaan selepas menaiki penerbangan dari Semenanjung Malaysia.
“Polis turut menemui barang-barang hasil pecah rumah yang telah dilakukan semasa tangkapan suspek. Dengan tertangkapnya dua suspek ini telah berjaya menyelesaikan kes pecah Kedai Pameran Kenderaan yang disusuli dengan penemuan semula dua kenderaan yang telah dilaporkan hilang.
“Kedua-dua suspek yang juga warga tempatan berumur 36 dan 39 tahun itu telah membawa kepada penemuan semula satu buah kenderaan yang ditinggalkan kawasan terbuka tempat letak kereta Blok K. Taman Fajar, Kampung Darau, Menggatal, Kota Kinabalu dan seterusnya sebuah kenderaan lagi di kompaun rumah perumahan Taman Nelly, Kelombong, Inanam.
“Polis juga telah berjaya membuat tangkapan terhadap seorang lelaki cina yang telah membeli kenderaan curi,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zaidi berkata, hasil pemeriksaan kenderaan mendapati, lelaki cina terbabit turut menggunakan nombor pendaftaran palsu dan menukar rim serta tayar ke kenderaan lain yang ada di dalam halaman rumah bagi menggelakkan kenderaan terbabit ditemui.
Menurutnya, kenderaan yang dicuri itu telah dijual dengan harga RM10,000.
Siasatan lanjut yang dijalankan ke atas dua suspek, telah mengaku terlibat dalam beberapa kes pecah rumah di Sabah yang melibatkan satu kes di daerah Kota Kinabalu, dua kes di daerah Keningau dan Semenanjung Malaysia melibatkan tiga kes di Selangor dan satu kes di Perak.
Katanya, hasil pendedahan kedua-dua suspek juga telah berjaya membuat rampasan barang kes melibatkan tiga buah kenderaan pacuan empat roda yang terlibat didalam kejadian. Turut dirampas 11 buah telefon bimbit pelbagai jenis, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, sebuah komputer riba, wang tunai dan lain- lain barang yang dipercayai hasil kegiatan jenayah pecah rumah yang dilakukan oleh suspek di Sabah dan Semenanjung Malaysia.
“Kedua-dua suspek masing-masing mempunyai 18 dan 19 rekod jenayah lampau serta penglibatan dalam beberapa kes Penyalahgunaan Dadah dan tersenarai dalam Orang Dikehendaki oleh pihak Polis (Wanted Person). Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine. Kes telah disiasat di bawah Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan.

“Pihak polis juga kini giat memburu seorang lagi suspek lelaki berumur 37 tahun yang memandu kenderaan jenis Perodua Myvi bersama-sama kedua-dua suspek semasa kejadian pecah kedai pameran kenderaan tersebut,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Mohd Zaidi menyarankan kepada pemilik premis-premis perniagaan agar memasang alat kamera litar tertutup (CCTV) di dalam dan diluar premis masing-masing bagi tujuan keselamatan yang mana turut membantu untuk merekodkan kejadian jenayah yang berlaku sekaligus memudahkan pihak polis untuk mengenalpasti penjenayah yang terlibat.
“Pemasangan alat sistem penggera (alarm) juga amat digalakkan bagi tujuan mencegah kejadian jenayah dari berlaku,” tegasnya.
]]>