TVET – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sat, 22 Aug 2026 07:06:14 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png TVET – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 TVET perlu diperkukuh bagi penuhi keperluan industri minyak dan gas Sabah https://sabahmedia.com/2026/08/22/tvet-perlu-diperkukuh-bagi-penuhi-keperluan-industri-minyak-dan-gas-sabah/ https://sabahmedia.com/2026/08/22/tvet-perlu-diperkukuh-bagi-penuhi-keperluan-industri-minyak-dan-gas-sabah/#respond Sat, 22 Aug 2026 07:06:08 +0000 https://sabahmedia.com/?p=102080
Read Time:2 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu terus diperkasakan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta berdaya saing, khususnya dalam memenuhi keperluan industri minyak dan gas yang semakin berkembang di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, institusi pengajian tinggi dan pusat latihan kemahiran memainkan peranan penting dalam usaha itu dengan memperbanyakkan kursus serta program berkaitan industri minyak dan gas bagi memenuhi permintaan pasaran pekerjaan semasa.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan melalui pelbagai inisiatif termasuk TVET yang kini dilihat sebagai laluan utama dalam melahirkan tenaga kerja berkualiti.

“Pada tahun ini, sejumlah RM39.24 juta diperuntukkan di bawah Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi bagi melaksanakan program pembangunan modal insan yang memberi tumpuan kepada TVET selain bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), inovasi, teknologi digital serta minyak dan gas.

“Turut diberi perhatian ialah kursus dan latihan bahasa, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), hospitaliti, keselamatan dan kesihatan, pertanian serta latihan dalam sektor perladangan kelapa sawit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun sempena perasmian Karnival Kerjaya MYFutureJobs X Oil & Gas Kota Kinabalu 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada Sabtu.

Menurut Hajiji, penubuhan Majlis TVET Sabah pada tahun lalu juga menjadi langkah penting dalam memperkukuh ekosistem TVET negeri dan diyakini mampu membawa anjakan paradigma dalam pembangunan pendidikan kemahiran.

“TVET tidak lagi boleh dianggap sebagai sekadar pilihan, sebaliknya perlu diterima sebagai pilihan arus perdana dalam usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang mampu membentuk masa depan Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata aktiviti berkaitan minyak dan gas, pelancongan serta perdagangan terus menjadi antara pemacu utama ekonomi negeri yang menyumbang kepada pertumbuhan dan pembukaan lebih banyak peluang pekerjaan.

Katanya, sektor pembinaan mencatatkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 28.3 peratus, diikuti sektor pembuatan (5.0 peratus), perlombongan dan pengkuarian (4.9 peratus) serta perkhidmatan (4.5 peratus).

“Perkembangan semua sektor ini memberi gambaran bahawa corak peluang pekerjaan di Sabah turut berubah mengikut perkembangan ekonomi dan keperluan industri, sekali gus mewujudkan permintaan terhadap tenaga kerja yang memiliki kemahiran bersesuaian,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pasaran buruh Sabah menunjukkan perkembangan positif apabila negeri ini merekodkan kira-kira 1.90 juta tenaga buruh pada suku kedua tahun 2026.

Daripada jumlah itu, seramai 1.23 juta penduduk bekerja manakala jumlah penganggur dianggarkan sekitar 106,600 orang.

Selain itu, katanya, usaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjaya merekodkan sebanyak 71,821 penempatan pekerjaan di Sabah bagi tempoh 2020 hingga 24 Julai 2026.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu rakyat Sabah memperoleh pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi mereka.

“Justeru, penganjuran karnival kerjaya ini amat tepat pada masanya untuk meningkatkan penyertaan anak-anak muda, khususnya dalam industri minyak dan gas yang menawarkan prospek kerjaya luas di negeri ini,” katanya.

Hajiji berkata, penyertaan 30 majikan yang menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan sepanjang karnival berkenaan membuktikan komitmen pelbagai pihak dalam membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada rakyat Sabah, khususnya golongan pencari kerja.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/22/tvet-perlu-diperkukuh-bagi-penuhi-keperluan-industri-minyak-dan-gas-sabah/feed/ 0 102080
Politeknik Kota Kinabalu tubuh ‘Solar Training Excellence Center’ pertama di Sabah https://sabahmedia.com/2026/08/03/politeknik-kota-kinabalu-tubuh-solar-training-excellence-center-pertama-di-sabah/ https://sabahmedia.com/2026/08/03/politeknik-kota-kinabalu-tubuh-solar-training-excellence-center-pertama-di-sabah/#respond Mon, 03 Aug 2026 08:38:17 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100924
Read Time:1 Minute, 48 Second

KOTA KINABALU :  Politeknik Kota Kinabalu (PKK) mencipta sejarah apabila bakal menjadi institusi pertama di Sabah yang memiliki ‘Solar Training Excellence Center’, sekali gus memperkukuh peranan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam melahirkan tenaga mahir bagi menyokong agenda peralihan tenaga negara.

Penubuhan pusat latihan bernilai RM156,000 itu diumumkan sempena Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi Projek Pembangunan Pusat Latihan dan Penyelidikan Tenaga Boleh Baharu serta Penyerahan Alat Suis dan Alat Ubah bagi Tujuan Latihan dan Pengajaran yang berlangsung di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu.

Inisiatif tersebut dilaksanakan menerusi Program Kolaborasi Industri (ICP) bagi Projek Pencawang Masuk Utama (PMU) Beaufort dengan pemantauan Technology Depository Agency Berhad (TDA), hasil kerjasama kementerian, agensi kerajaan dan rakan industri dalam memperkasakan pembangunan modal insan serta pemindahan teknologi berimpak tinggi.

Melalui penubuhan pusat berkenaan, PKK bakal menawarkan Pensijilan Reka Bentuk Sistem Off-Grid Photovoltaic yang diiktiraf oleh Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan Suruhanjaya Tenaga Sabah.

Pusat latihan itu mampu menempatkan seramai 15 peserta bagi setiap sesi, sekali gus menyediakan platform latihan profesional kepada pelajar, pensyarah dan tenaga kerja industri yang ingin meningkatkan kompetensi dalam bidang sistem solar dan tenaga boleh baharu.

Selain melahirkan tenaga kerja mahir, kewujudan Solar Training Excellence Center dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan industri tenaga hijau di Sabah, sejajar dengan usaha kerajaan mempercepatkan penggunaan tenaga boleh baharu dan mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga konvensional.

Timbalan Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Asnizah Sahekhaini, berkata inisiatif tersebut merupakan satu langkah strategik dalam merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dengan keperluan sebenar industri.

Menurut beliau, pusat latihan itu bukan sahaja meningkatkan kualiti penyampaian pendidikan TVET, malah meletakkan Politeknik Kota Kinabalu sebagai hab rujukan utama latihan teknikal dan teknologi hijau di wilayah Borneo.

Pada majlis sama, turut berlangsung penyerahan peralatan elektrik voltan tinggi industri berupa switchgear dan transformer yang telah diubah suai menggunakan reka bentuk keratan rentas (cutaway) bagi tujuan latihan dan pengajaran kepada Jabatan Kejuruteraan Elektrik Politeknik Kota Kinabalu serta Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Peralatan berkenaan membolehkan pelajar memahami struktur dalaman, fungsi teknikal dan operasi sistem elektrik sebenar secara lebih praktikal serta selamat, sekali gus meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran berasaskan industri.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/03/politeknik-kota-kinabalu-tubuh-solar-training-excellence-center-pertama-di-sabah/feed/ 0 100924
TVET perlu selari keperluan industri, tingkat kebolehpasaran graduan https://sabahmedia.com/2026/05/05/tvet-perlu-selari-keperluan-industri-tingkat-kebolehpasaran-graduan/ https://sabahmedia.com/2026/05/05/tvet-perlu-selari-keperluan-industri-tingkat-kebolehpasaran-graduan/#respond Tue, 05 May 2026 00:03:31 +0000 https://sabahmedia.com/?p=96118
Read Time:1 Minute, 13 Second

SANDAKAN : Pembangunan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) perlu diselaraskan dengan keperluan industri bagi memastikan graduan mempunyai peluang pekerjaan sebaik menamatkan pengajian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Tun Musa berkata, pendekatan itu penting agar pelajar TVET tidak hanya memperoleh kemahiran, tetapi turut jelas dengan hala tuju kerjaya mereka.

“Ini adalah tujuan sebenar apabila saya membangkitkan isu TVET pada Sidang Dewan Undangan Negeri sebelum ini, iaitu memastikan latihan yang diberikan benar-benar memenuhi keperluan pasaran kerja,” katanya kepada media, di sini.

Terdahulu, beliau merasmikan kursus transformasi teknologi tanaman cili fertigasi sebagai sebahagian usaha memperkukuh kemahiran dalam sektor pertanian moden.

Menurutnya, kursus TVET perlu mengambil kira perubahan industri termasuk aspek pemodenan pertanian bagi memastikan graduan kekal relevan dan berdaya saing.

“Kita mahu mereka bukan sahaja tamat pengajian, tetapi tahu ke mana hala tuju mereka dan mempunyai peluang pekerjaan yang jelas,” katanya.

Mengulas isu lain, beliau berkata amalan perdagangan barter (barter trade) bukan sesuatu yang asing di Sandakan dan berpotensi untuk diperkembangkan sebagai pemangkin ekonomi tempatan.

Katanya, perkara itu turut dibangkitkan pada Sidang DUN lalu bagi membolehkan kerajaan meneliti potensi sebenar sektor berkenaan.

“Jika dikembangkan dengan lebih sistematik, barter trade mampu merancakkan ekonomi daerah dan seterusnya menarik minat pelabur ke Sandakan,” katanya.

Beliau menambah, meskipun aktiviti tersebut masih dijalankan ketika ini, ia hanya berlaku dalam skala kecil dan memerlukan sokongan dasar serta kajian lanjut bagi memperluas impaknya.

“Apabila ekonomi berkembang, ia akan memberi kesan positif kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/05/tvet-perlu-selari-keperluan-industri-tingkat-kebolehpasaran-graduan/feed/ 0 96118
USIA perkasa TVET, Pusat Latihan Dakwah Al-Bukhary siap sepenuhnya https://sabahmedia.com/2026/02/17/usia-perkasa-tvet-pusat-latihan-dakwah-al-bukhary-siap-sepenuhnya/ https://sabahmedia.com/2026/02/17/usia-perkasa-tvet-pusat-latihan-dakwah-al-bukhary-siap-sepenuhnya/#respond Mon, 16 Feb 2026 23:56:58 +0000 https://sabahmedia.com/?p=91795
Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan pendidikan dan latihan kemahiran apabila Pusat Latihan Dakwah Al-Bukhary di Kampung Marasinsim, Kota Marudu kini siap sepenuhnya.

Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad berkata, pihaknya kini hanya menunggu kelulusan pengiktirafan rasmi daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebelum pusat berkenaan beroperasi sepenuhnya.

Menurutnya, walaupun masih dalam proses kelulusan, sesi pembelajaran secara dalam talian telah pun dimulakan termasuk pengambilan pelajar dari seluruh negeri sebagai persediaan awal.

Beliau berkata, penubuhan pusat latihan itu bukan sahaja memperluas akses pendidikan dakwah, malah membuka ruang kepada pelaksanaan program Latihan Vokasional dan Teknikal (TVET) yang mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Apabila beroperasi sepenuhnya nanti, pusat ini akan menjadi mercu tanda baharu kejayaan USIA dalam melahirkan tenaga mahir berteraskan nilai dakwah dan pembangunan insan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Sapawi turut memaklumkan kerja-kerja membaik pulih bangunan USIA)di Sembulan kini memasuki fasa kedua dengan proses sebutharga dijangka dibuka dalam masa terdekat.

Katanya, fasa pertama projek berkenaan telah siap sepenuhnya mengikut jadual yang ditetapkan.

Menurutnya, fasa kedua akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja menaik taraf bangunan berkenaan sebagai pusat pentadbiran rasmi USIA selain melibatkan pembangunan landskap di kawasan persekitaran.

“Pelaksanaan projek setakat ini berjalan lancar dan mengikut perancangan,” katanya.

Bangunan yang terletak di lokasi strategik Bulatan Sembulan itu dibina sejak 1972 dan pernah menjadi pusat pentadbiran utama USIA sebelum sebahagian tingkatnya terjejas akibat kebakaran.

Susulan insiden itu, operasi pentadbiran USIA dipindahkan sementara ke bangunan di 1Borneo sehingga kini.

Majlis pelancaran projek membaik pulih bangunan berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Agama, Dr Mohd Arifin Mohd Arif pada 28 September 2024.

Fasa pertama kerja baik pulih membabitkan kos lebih RM3 juta.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/02/17/usia-perkasa-tvet-pusat-latihan-dakwah-al-bukhary-siap-sepenuhnya/feed/ 0 91795
Politeknik Sandakan kongsi kepakaran TVET dengan warga Penjara Sandakan https://sabahmedia.com/2025/10/24/pensyarah-dan-pelajar-politeknik-sandakan-kongsi-kepakaran-tvet-dengan-warga-penjara-sandakan/ https://sabahmedia.com/2025/10/24/pensyarah-dan-pelajar-politeknik-sandakan-kongsi-kepakaran-tvet-dengan-warga-penjara-sandakan/#respond Fri, 24 Oct 2025 11:03:46 +0000 https://sabahmedia.com/?p=84061
Read Time:1 Minute, 6 Second

SANDAKAN: Seramai 90 warga Penjara Sandakan, termasuk prospek (banduan) dan kakitangan penjara, menerima manfaat daripada perkongsian kepakaran dalam pelbagai bidang teknikal menerusi Program Jejak Mahabbah 2.0 anjuran Politeknik Sandakan Sabah (PSS).

Program khidmat masyarakat berimpak tinggi yang berlangsung selama sehari pada 23 Oktober itu merupakan kesinambungan daripada kejayaan Jejak Mahabbah 1.0 yang diadakan lebih awal tahun ini.

Pengarah PSS, Mohd Sahran @ Awang Mohidin berkata, program berkenaan menjadi wadah perkongsian ilmu dalam merealisasikan matlamat ‘TVET for All’.

“Program ini bukan sekadar aktiviti khidmat masyarakat, tetapi satu saluran untuk menyampaikan ilmu kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) kepada semua lapisan masyarakat, termasuk warga institusi pemulihan,” katanya.

Beliau menambah, inisiatif itu turut berjaya memupuk nilai prihatin, tanggungjawab, empati serta semangat kesukarelawan dalam kalangan pelajar PSS.

Program berkenaan melibatkan 20 kakitangan PSS sebagai urusetia dan 10 pelajar sebagai ahli jawatankuasa pelaksana.

Antara bidang utama yang dikongsi termasuk Pengetahuan Am, Moral, Bahasa, Asas Pertanian dan Perikanan.

Aktiviti yang dijalankan pula merangkumi Program Agroteknologi, Program Teknologi Akuakultur (Asas Binaan Sistem Akuaponik dan Semaian), Aktiviti Robotic Arm (Robotik dan Automasi), Perkongsian Fiqh Wanita serta Aktiviti Jom Kekal Sihat.

PSS berharap program seumpama ini terus mendapat sokongan agensi dan komuniti setempat bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya pada masa hadapan. Usaha ini selari dengan komitmen politeknik untuk terus menyantuni dan menyokong institusi pemulihan di Malaysia melalui program berimpak tinggi.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/24/pensyarah-dan-pelajar-politeknik-sandakan-kongsi-kepakaran-tvet-dengan-warga-penjara-sandakan/feed/ 0 84061
Kerajaan perkasa belia melalui kampus TVET baharu di Papar https://sabahmedia.com/2025/08/30/kerajaan-sabah-perkasa-belia-melalui-kampus-tvet-baharu-di-papar/ https://sabahmedia.com/2025/08/30/kerajaan-sabah-perkasa-belia-melalui-kampus-tvet-baharu-di-papar/#respond Sat, 30 Aug 2025 06:53:36 +0000 https://sabahmedia.com/?p=80329
Read Time:2 Minute, 31 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Kerajaan Persekutuan dan Negeri terus komited memperkasa golongan belia negeri ini apabila Projek Pembinaan Kampus Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sabah di Beringgis, Papar, bernilai RM130.6 juta, dimulakan secara rasmi hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kampus moden yang dibangunkan di kawasan seluas 34 ekar itu akan menjadi pemangkin utama dalam melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya sektor pembinaan.

“Sabah hari ini membuka lembaran baharu. Kampus ini bukan sekadar pusat latihan, tetapi hab TVET Pembinaan Malaysia Timur yang akan menggilap bakat anak muda, meningkatkan daya saing mereka di pasaran pekerjaan serta memenuhi keperluan industri tempatan dan antarabangsa,” katanya pada Majlis Pecah Tanah projek berkenaan di Kampung Beringgis, pada Sabtu.

Hajiji berkata, dengan kemudahan berteknologi tinggi, kampus itu mampu menampung sehingga 700 pelatih pada satu-satu masa, sekali gus meningkatkan kapasiti latihan belia sebanyak 73 peratus dan personel binaan sebanyak 39 peratus berbanding kampus sementara ABM di Kayu Madang, Kota Kinabalu.

Beliau menegaskan, inisiatif tersebut sejajar dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dan infrastruktur sebagai tonggak pertumbuhan ekonomi negeri.

Menurutnya, penubuhan Majlis TVET Negeri Sabah (MTS) pada Mei lalu adalah bukti kesungguhan kerajaan negeri menyelaras lebih 160 institusi latihan TVET agar seiring dengan keperluan industri.

Setakat ini, ABM Sabah dan CIDB Tech telah berjaya melatih lebih 7,000 pelatih dengan kadar kebolehpasaran mencecah 85 peratus. Antara bidang latihan yang mendapat permintaan tinggi termasuk pemasangan perancah (scaffold erection), kimpalan, pemasangan paip gas, operasi jentera, elektrik, penyaman udara dan perpaipan, kemahiran yang turut diperlukan dalam sektor minyak dan gas di peringkat antarabangsa.

“Dengan peralatan digital terkini, simulasi moden dan penggunaan dron dalam latihan, Sabah berpotensi melahirkan lebih ramai tenaga mahir yang mampu menembusi pasaran global,” jelasnya.

Selain manfaat kepada belia, Hajiji yakin projek itu turut membawa limpahan ekonomi kepada daerah Papar, khususnya kawasan Kampung Beringgis dan sekitarnya.

Beliau juga berharap kampus berkenaan akan melahirkan ikon-ikon TVET baharu, mencontohi kejayaan Rudy Mohammad, alumni ABM Sabah dalam bidang Architectural Drafting, yang diiktiraf sebagai Ikon TVET Pembinaan 2024 dan berjaya mengharumkan nama negeri di peringkat dunia.

Dalam majlis sama, turut berlangsung pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara ABM Sabah dengan tiga rakan strategik iaitu Sabah Housing and Real Estate Developers Association (SHAREDA), KTI Sdn Bhd serta Tas Institute of Oil & Gas, bagi memastikan graduan mendapat peluang pekerjaan yang nyata dalam sektor perumahan, pembinaan dan minyak serta gas.

Sementara itu, Hajiji turut mengumumkan pembinaan sebuah Dewan Masyarakat baharu di Kampung Beringgis, berhadapan tapak kampus berkenaan, yang akan dinamakan Dewan Tan Sri Osu Sukam.

“Penamaan ini sebagai penghargaan kepada jasa mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Osu Sukam, yang banyak menyumbang kepada pembangunan Papar, negeri dan negara,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang Datuk Seri Ghulamhaidar Khan Bahadar dan ADUN Limbahau Datuk Juil Nuatim.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/30/kerajaan-sabah-perkasa-belia-melalui-kampus-tvet-baharu-di-papar/feed/ 0 80329
Integriti akademik asas penting lahirkan graduan TVET berdaya saing, bebas rasuah https://sabahmedia.com/2025/08/25/integriti-akademik-asas-penting-lahirkan-graduan-tvet-berdaya-saing-bebas-rasuah/ https://sabahmedia.com/2025/08/25/integriti-akademik-asas-penting-lahirkan-graduan-tvet-berdaya-saing-bebas-rasuah/#respond Mon, 25 Aug 2025 04:13:03 +0000 https://sabahmedia.com/?p=80009
Read Time:1 Minute, 27 Second

Oleh J. Evachel John

RANAU: Integriti akademik merupakan asas penting dalam melahirkan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kompeten serta berdaya saing, kata Datuk Ahmad Nizam Ismail.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PENMAS) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata nilai integriti yang merangkumi keaslian tugasan dan ketelusan penilaian tidak boleh dikompromi.

“SPRM memandang tinggi mengenai integriti akademik ini, dan menyifatkannya sebagai pelaburan jangka panjang negara dalam melahirkan pemimpin masa depan yang bebas daripada rasuah, salah guna kuasa, dan penyelewengan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menutup Kem Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) Institusi Pendidikan MARA (IPMa) Siri 2, 2025 pada Ahad.

Kem AMAR yang berlangsung bermula 22 sehingga 24 Ogos di Damai Eco Ranch, Ranau kali ini melibatkan seramai 81 pelajar pelbagai jurusan pengajian, Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu antaranya Diploma Kompetesi Elektrikal, Diploma Teknologi Automotif 4WD, dan Diploma Teknologi Automotif.

Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SPRM melalui PENMAS dengan kerjasama Unit Integriti (UI) MARA dalam menyebarkan advokasi antirasuah di kalangan pelajar institusi pendidikan.

Sejak 2013, penubuhan 55 AMAR di seluruh negara menjadi bukti kukuh komitmen berterusan pihak UI MARA dalam melahirkan generasi pelapis kepimpinan negara yang teguh mempertahankan nilai integriti.

Sementara itu, Pengarah MARA Sabah, Dr Shahrizin Abdul Sarhadat, yang merasmikan penutupan kem berkata pengukuhan nilai integriti adalah modal awal untuk pelajar membina benteng moral dalam kehidupan.

Dr Shahrizin Abdul Sarhadat

“Kerjasama seperti ini sangat penting dan wajar diteruskan. Integriti yang dipupuk sejak bangku pengajian akan melahirkan pelajar TVET yang bukan sahaja mahir dalam bidang teknikal, tetapi juga mempunyai prinsip moral yang kukuh,” katanya.

Turut hadir pada program itu ialah Pengarah SPRM Sabah, Datuk Fuad Bee Basrah, Pengarah Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu, Abdul Munap Tahir, dan Pengetua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau, Ismail Badri.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/25/integriti-akademik-asas-penting-lahirkan-graduan-tvet-berdaya-saing-bebas-rasuah/feed/ 0 80009
Kerajaan Sabah komited perkukuh TVET, belia diseru rebut peluang https://sabahmedia.com/2025/07/09/kerajaan-sabah-komited-perkukuh-tvet-belia-diseru-rebut-peluang/ https://sabahmedia.com/2025/07/09/kerajaan-sabah-komited-perkukuh-tvet-belia-diseru-rebut-peluang/#respond Wed, 09 Jul 2025 08:59:15 +0000 https://sabahmedia.com/?p=76995
Read Time:2 Minute, 36 Second

Kota Kinabalu:  Kerajaan Negeri menyokong sepenuhnya usaha memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan belia Sabah berdaya saing dalam pasaran kerja dan tidak lagi terperangkap dalam kitaran pengangguran.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata penubuhan Majlis TVET Sabah pada Mei tahun ini merupakan satu anjakan paradigma yang penting dalam landskap pembangunan TVET negeri.

Katanya,  TVET tidak lagi boleh dianggap sebagai sekadar satu pilihan.

“Sebaliknya, ia perlu diterima sebagai pilihan arus perdana dalam usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang mampu membentuk masa depan Sabah. 

“TVET bukan hanya memberikan kemahiran teknikal, malah memperkasa individu, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya sempena Simposium TVET Sabah di sini pada Rabu.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata Kerajaan Negeri menyedari bahawa kemahiran teknikal dan vokasional adalah tunjang kepada pembangunan negeri yang kaya dengan pelbagai potensi termasuk sumber asli, sektor minyak dan gas, pertanian, pelancongan dan pembuatan.

“Namun, untuk meneruskan pertumbuhan sektor-sektor, kita memerlukan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi kehendak industri yang semakin rancak membangun di negeri ini,” katanya.

Dalam konteks ini, Hajiji menekankan peranan penting ibu bapa dan masyarakat.

“Kerajaan Negeri menyeru golongan belia untuk melihat TVET sebagai pilihan utama dan bukan sekadar alternatif dalam merancang masa depan mereka. TVET sepatutnya dilihat sebagai satu pilihan bijak yang mampu melahirkan profesional, usahawan dan inovator masa hadapan.

“Belia Sabah perlu merebut peluang untuk menyertai bidang TVET kerana kursus- kursus yang ditawarkan hari ini adalah selari dengan kehendak pasaran kerja semasa, sekali gus menjamin kebolehpasaran graduan,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan gelombang pendigitalan, kemahiran dalam bidang teknikal, automasi dan kecerdasan buatan (AI) merupakan aset yang amat bernilai.

“Jika belia Sabah tidak dilengkapi dengan kemahiran ini, kita akan ketinggalan dalam arus perubahan ini. Maka, TVET ialah platform terbaik untuk membina tenaga kerja berkemahiran tinggi yang akan memacu kemajuan Sabah,” katanya.

Menurut beliau, komitmen kerajaan dalam membangunkan modal insan jelas dapat dilihat menerusi pelbagai inisiatif dan pelaburan.

“Usaha-usaha yang kita kini mula membuahkan hasil. Statistik terkini menunjukkan kadar pengangguran di Sabah telah menurun daripada sekitar 8.2 peratus pada tahun 2021 kepada 7.5 peratus pada tahun 2023.

“Meskipun kadar ini masih tinggi berbanding kadar pengangguran kebangsaan, namun trend penurunan ini amat memberangsangkan dan mencerminkan keberkesanan pelbagai inisiatif pembangunan ekonomi dan modal insan yang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, data Jabatan Perangkaan menunjukkan Sabah masih berdepan cabaran apabila lebih separuh atau 58.6 peratus daripada jumlah penganggur di negeri ini terdiri adalah golongan belia berumur 15 hingga 24 tahun, manakala 55.8 peratus daripada keseluruhan penganggur hanya mempunyai kelayakan pendidikan sehingga peringkat sekolah menengah sahaja.

“Angka ini jelas menunjukkan bahawa ramai belia memerlukan latihan kemahiran dan pendidikan lanjutan untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, simposium bertemakan ‘TVET Mampan untuk Masa Depan Modal Insan Sabah: Ekosistem TVET Bersepadu’ amat bertepatan dengan keperluan semasa negeri Sabah.

Hajiji berharap para peserta dapat memanfaatkan peluang ini untuk mewujudkan jaringan kerjasama antara institusi pendidikan dan pihak industri sepanjang dua hari simposium berlangsung. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/07/09/kerajaan-sabah-komited-perkukuh-tvet-belia-diseru-rebut-peluang/feed/ 0 76995
Lebih 160 institusi TVET di Sabah, peluang luas untuk belia https://sabahmedia.com/2025/05/19/lebih-160-institusi-tvet-di-sabah-peluang-luas-untuk-belia/ https://sabahmedia.com/2025/05/19/lebih-160-institusi-tvet-di-sabah-peluang-luas-untuk-belia/#respond Mon, 19 May 2025 07:54:12 +0000 https://sabahmedia.com/?p=74105
Read Time:2 Minute, 21 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Golongan belia negeri ini diseru agar membuka minda dan melihat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama membina masa depan yang cerah dan bukan sekadar laluan alternatif.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bidang TVET kini memainkan peranan besar dalam pembangunan ekonomi dan sosial negeri, sejajar dengan transformasi teknologi serta keperluan industri masa kini.

“TVET bukan sahaja melengkapkan individu dengan kemahiran praktikal, tetapi juga sinonim dengan pemerkasaan, peluang pekerjaan, dan pertumbuhan ekonomi,” katanya pada Majlis Pelancaran Majlis TVET Sabah (MTS) di sini pada Isnin.

Shahelmey melancarkan Majlis TVET Negeri Sabah sambil diperhatikan tetamu kehormat lain pada majlis itu. – Foto Sabah Media/Alexter Rosalia

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.

Hajiji menegaskan bahawa kursus-kursus TVET yang ditawarkan kini telah disesuaikan dengan keperluan pasaran kerja dan sektor perindustrian yang berkembang pesat, menjadikannya satu jalan kerjaya yang stabil dan berdaya maju untuk anak muda.

“Saya menyeru belia negeri ini agar tidak ragu-ragu untuk menyertai bidang TVET. Inilah masa untuk mengubah persepsi dan memandang TVET sebagai pilihan bijak yang membuka ruang untuk menjadi profesional, usahawan dan inovator,” katanya.

Menurutnya, Sabah yang kini mempunyai lebih daripada 160 TVET termasuk institusi awam Persekutuan, swasta dan pusat latihan berkonsepkan Akademi Dalam Industri (ADI).

“Majlis TVET Sabah yang dilancarkan hari ini merupakan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkukuh ekosistem latihan teknikal, menyelaras institusi TVET di seluruh negeri dan memastikan setiap graduan yang dihasilkan benar-benar bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.,” katanya.

Beliau berkata, TVET juga dianggap sebagai pemacu utama kepada matlamat pembangunan negeri melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 dan dokumen strategik nasional seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 2030), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan National Energy Transition Roadmap (NETR).

Hajiji turut menyentuh soal revolusi teknologi masa kini, termasuk kecerdasan buatan (AI), yang menuntut generasi muda bersedia dengan kemahiran baharu yang bersifat adaptif dan berorientasikan inovasi.

“Dunia pekerjaan sedang berubah. Jika belia Sabah tidak bersedia dengan kemahiran yang relevan, kita akan ketinggalan. TVET adalah platform terbaik untuk kita bangunkan modal insan berkemahiran tinggi yang akan memacu kemajuan negeri,” tegasnya.

Menurutnya, pelancaran Majlis TVET Sabah menandakan satu era baharu dalam memperkasa pembangunan belia melalui latihan berstruktur dan berpandukan keperluan industri sekali gus menjadikan Sabah sebagai hab tenaga kerja mahir yang kompetitif di peringkat nasional dan serantau.

Hajiji berkata, majlis ini bukan sekadar struktur pentadbiran, tetapi platform strategik yang menyatukan agensi kerajaan, institusi latihan, sektor industri dan pemain utama TVET dalam satu ekosistem tersusun dan inklusif.

Justeru, katanya, Majlis TVET Sabah juga berperanan sebagai penyelaras dasar, pemacu hala tuju latihan kemahiran, dan sebagai penghubung strategik kepada permohonan dana pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Ia turut menyokong agenda pemerkasaan belia dan kebolehpasaran graduan, di samping memperkukuh pengiktirafan serta pensijilan kemahiran di peringkat negeri”, tegasnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/05/19/lebih-160-institusi-tvet-di-sabah-peluang-luas-untuk-belia/feed/ 0 74105
JPPKK, KPT anjur Anugerah Gemilang Pelajar martabatkan institusi pendidikan TVET negara https://sabahmedia.com/2025/05/07/jppkk-kpt-anjur-anugerah-gemilang-pelajar-martabatkan-institusi-pendidikan-tvet-negara/ https://sabahmedia.com/2025/05/07/jppkk-kpt-anjur-anugerah-gemilang-pelajar-martabatkan-institusi-pendidikan-tvet-negara/#respond Wed, 07 May 2025 15:17:01 +0000 https://sabahmedia.com/?p=73389
Read Time:56 Second

KLANG: Majlis Anugerah Gemilang Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti 2025 yang berlangsung malam ini di KSL Esplanade Hotel, di sini telah berjaya mengiktiraf pencapaian cemerlang pelajar dari seluruh negara dalam pelbagai bidang termasuk akademik, kepimpinan, inovasi dan kesukarelawanan.

Majlis anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Program yang kini memasuki edisi ketiga ini merupakan platform penting bagi meraikan usaha serta dedikasi pelajar-pelajar cemerlang dalam memartabatkan institusi pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) negara.

Ia turut memperkukuhkan komitmen KPT dalam melahirkan graduan holistik yang memenuhi keperluan industri serta negara.

Menariknya, majlis turut menyaksikan penyampaian bantuan khas kepada lima orang pelajar yang terjejas akibat tragedi letupan paip gas di Putra Height pada 1 April lalu.

Bantuan ini disalurkan oleh Pertubuhan Muafakat Ibu Pejabat Politeknik dan Kolej Komuniti sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada mereka yang terlibat.

Majlis berprestij ini turut dihadiri oleh pengarah-pengarah institusi, para pensyarah, ibu bapa serta rakan-rakan pelajar, menjadikannya satu malam penuh makna dalam meraikan kecemerlangan dan semangat juang generasi muda TVET Malaysia.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/05/07/jppkk-kpt-anjur-anugerah-gemilang-pelajar-martabatkan-institusi-pendidikan-tvet-negara/feed/ 0 73389