Udang – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sat, 08 Aug 2026 06:45:18 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Udang – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Beaufort disasar jadi hab pengeluaran udang di Sabah https://sabahmedia.com/2026/08/08/beaufort-disasar-jadi-hab-pengeluaran-udang-di-sabah/ https://sabahmedia.com/2026/08/08/beaufort-disasar-jadi-hab-pengeluaran-udang-di-sabah/#respond Sat, 08 Aug 2026 06:45:11 +0000 https://sabahmedia.com/?p=101236
Read Time:2 Minute, 30 Second

BEAUFORT: Beaufort disasar untuk menjadi hab pengeluaran udang di Sabah berikutan daerah itu mempunyai potensi besar untuk mengembangkan industri ternakan udang.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ruslan Muharam berkata, potensi tersebut didukung oleh kawasan bakau yang luas, sumber air yang bersih serta kedudukan strategik Beaufort yang berhampiran dengan Brunei, Labuan, Sarawak, Keningau dan Kota Kinabalu.

Beliau berkata, pembangunan industri ternakan udang secara lebih tersusun mampu membuka peluang kepada lebih ramai usahawan untuk menceburi sektor berkenaan, selain membantu memperkukuh sekuriti makanan dan merancakkan ekonomi luar bandar.

“Hasrat kita untuk menjadikan Beaufort sebagai hab pengeluaran udang di Sabah. Dengan infrastruktur yang lebih baik serta sokongan kerajaan, lebih ramai usahawan mampu menceburi industri ini sekali gus memperkukuh sekuriti makanan dan merancakkan ekonomi luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program pelepasan 400,000 benih udang sumbangan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) bernilai RM10,000 di kolam ternakan udang Kampung Bintuka, di sini.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, usaha memperkukuh infrastruktur asas amat penting bagi memastikan pengusaha ternakan udang dapat meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos operasi.

Katanya, antara keperluan utama yang sedang diberi perhatian ialah bekalan elektrik yang lebih stabil bagi menyokong operasi kolam ternakan udang di Kampung Bintuka.

“Hasil perbincangan dengan Sabah Electricity (SE) daerah Beaufort, sebuah transformer baharu diperlukan bagi menampung keperluan bekalan elektrik kepada kira-kira 100 hingga 150 kolam ternakan udang.

“Kita akan berusaha mendapatkan peruntukan daripada kerajaan negeri selain meneliti penggunaan dana kementerian bagi merealisasikan pemasangan transformer ini,” katanya.

Menurut beliau, masalah bekalan elektrik yang tidak mencukupi ketika ini menyebabkan kebanyakan pengusaha masih bergantung kepada generator diesel, sekali gus meningkatkan kos pengeluaran.

Justeru, katanya, peningkatan kestabilan bekalan elektrik dijangka dapat membantu pengusaha mengurangkan kos operasi dan seterusnya menawarkan harga jualan yang lebih kompetitif kepada pengguna.

Dalam pada itu, Ruslan berkata, kementerian turut merancang menyediakan kemudahan penyimpanan sejuk beku bagi membantu pengusaha mengurus lebihan hasil ternakan sebelum dipasarkan.

Katanya, kemudahan berkenaan bukan sahaja dapat mengekalkan kesegaran dan kualiti udang, malah memberi ruang kepada pengusaha menjalankan aktiviti pembungkusan bagi meningkatkan nilai tambah produk.

“Ini akan memberi lebih banyak pilihan kepada pengusaha dalam mengurus hasil ternakan serta membantu mereka mendapatkan nilai yang lebih baik daripada produk yang dihasilkan,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini terdapat antara enam hingga lapan pengusaha ternakan udang di Kampung Bintuka, dengan sebahagian daripada mereka mengusahakan sehingga 10 kolam.

Malah, katanya, terdapat pengusaha yang mampu menjana pendapatan melebihi RM2 juta setahun melalui hasil jualan udang, menunjukkan potensi besar industri berkenaan kepada ekonomi setempat.

Ruslan berkata, kerajaan akan terus memberi perhatian kepada keperluan pengusaha termasuk dari aspek infrastruktur, bekalan elektrik, kemudahan penyimpanan dan sokongan pengeluaran bagi memastikan industri ternakan udang dapat berkembang secara berterusan.

Beliau yakin dengan sokongan dan kemudahan yang lebih baik, industri ternakan udang di Beaufort mampu berkembang sebagai salah satu sektor penting dalam meningkatkan pengeluaran makanan serta menjana pendapatan masyarakat luar bandar.

Katanya, pembangunan industri itu juga selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh sektor agromakanan Sabah dan meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan bagi memenuhi permintaan pasaran.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/08/beaufort-disasar-jadi-hab-pengeluaran-udang-di-sabah/feed/ 0 101236
Penyelidik UMS rekod tiga spesies udang karang berduri baharu https://sabahmedia.com/2026/03/17/penyelidik-ums-rekod-tiga-spesies-udang-karang-berduri-baharu/ https://sabahmedia.com/2026/03/17/penyelidik-ums-rekod-tiga-spesies-udang-karang-berduri-baharu/#respond Mon, 16 Mar 2026 20:50:46 +0000 https://sabahmedia.com/?p=93398
Read Time:4 Minute, 2 Second

KOTA KINABALU: Institut Marin Borneo (IMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS), merekodkan tiga spesies udang karang berduri dari perairan Sabah buat pertama kali, di mana dua daripadanya merupakan rekod baharu bagi Malaysia manakala satu lagi merupakan rekod baharu bagi Sabah. 

Penemuan ini mengukuhkan status Sabah sebagai kawasan kepelbagaian biodiversiti marin bertaraf dunia.

Kajian yang diketuai oleh Penyelidik IMB, Profesor Madya Dr. Chen Cheng Ann bersama pelajar Sarjana Sains, Ng Wei-Ling, telah mengenal pasti tiga spesies udang karang berduri iaitu Panulirus homarus homarus, P. polyphagus dan P. femoristriga dari perairan pesisir Sabah.

Dua daripada spesies ini merupakan rekod baharu bagi Malaysia (P. femoristriga dan P. h. homarus), manakala satu spesies lagi (P. polyphagus) merupakan rekod baharu bagi Sabah.

Chen berkata penemuan ini signifikan kerana ia mengemas kini rekod biodiversiti marin Malaysia serta menekankan keperluan untuk memperkukuh pengurusan sumber perikanan di Sabah.

“Sebelum kajian ini, hanya tiga spesies udang karang berduri iaitu Panulirus ornatus, P. versicolor dan P. longipes diketahui terdapat di perairan Sabah sejak 2004. 

“Penyelidikan kami kini telah menggandakan jumlah tersebut kepada enam spesies, sekali gus menunjukkan bahawa masih banyak biodiversiti marin Sabah yang belum diterokai.

“Dalam kajian berkaitan, pasukan kami turut merekodkan Panulirus stimpsoni dari Semenanjung Malaysia, sekali gus memperluaskan senarai semak udang karang berduri di peringkat kebangsaan,” katanya.

Tambah Chen, penyelidikan lanjut diperlukan bagi menyokong usaha pemuliharaan serta pengurusan mampan spesies yang baharu direkodkan tersebut.

Beliau turut memaklumkan bahawa kajian berkenaan dijalankan dalam keadaan mencabar ketika pandemik COVID-19 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan serta akses yang terhad ke tapak lapangan dan komuniti nelayan.

“Walaupun berdepan pelbagai kekangan, kajian ini berjaya menggandakan kepelbagaian udang karang berduri yang diketahui di Sabah, termasuk dua spesies yang merupakan rekod baharu bagi Malaysia,” ujarnya.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor memuji kejayaan pasukan penyelidik yang disifatkan sebagai satu pencapaian penting dalam bidang sains marin serta mencerminkan kecemerlangan penyelidikan negara.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Dr. Chen dan Ng atas dedikasi serta ketabahan mereka dalam menjayakan penyelidikan ini,” katanya.

Sementara itu, Dekan IMB, Profesor Madya Dr. Faihanna Ching berkata penemuan tersebut turut mencerminkan kualiti dan kekuatan penyelidikan yang dilaksanakan di institut berkenaan.

Menurut beliau, IMB yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI) telah dijenamakan semula kepada Institut Marin Borneo pada Januari 2026 dan kini memperluaskan fokus penyelidikan melalui penubuhan beberapa pusat penyelidikan baharu termasuk dalam bidang oseanografi.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC), Ken Kartina Khamis berkata penemuan tiga rekod baharu udang karang berduri tersebut menekankan kepentingan penyelidikan dan pendokumentasian berterusan sumber biologi Sabah.

“SaBC telah memberikan Lesen Akses bagi kajian ini di bawah nombor rujukan permit JKM/MBS.1000-2/2 JLD.13 (152) dan (153), dan kami berbesar hati melihat hasil yang begitu bermakna daripada penyelidikan ini.

“SaBC menggalakkan lebih ramai penyelidik menjalankan kajian biodiversiti di Sabah kerana setiap penemuan baharu akan mengukuhkan usaha merangka strategi pemuliharaan yang lebih berkesan bagi melindungi warisan semula jadi negeri ini,” katanya.

Sementara itu, menurut Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Datin Dr. Shuhadah Hj. Mustapha, penemuan tersebut penting bagi menyokong usaha pengurusan sumber perikanan negeri.

“Udang karang berduri merupakan antara kumpulan krustasea yang mempunyai nilai komersial tinggi, dan peningkatan kepelbagaian spesies yang diketahui menunjukkan bahawa protokol pengurusan perikanan perlu dikemas kini.

“Jabatan Perikanan Sabah akan mengambil kira penemuan ini dalam pelan pengurusan masa hadapan dan berharap dapat terus bekerjasama dengan UMS,” katanya.

Pengarah Taman-Taman Sabah, Datuk Dr. Maklarin Lakim berkata penemuan tersebut memberikan justifikasi saintifik tambahan bagi memperkukuh strategi pemuliharaan di kawasan perlindungan marin utama seperti Taman Tun Mustapha dan Taman Tunku Abdul Rahman.

Beliau turut menyatakan komitmen Taman-Taman Sabah untuk terus bekerjasama dengan UMS dalam usaha memelihara dan melindungi biodiversiti marin negeri ini.

Sebelum ini, data mengenai kepelbagaian udang karang berduri di Sabah tidak dikemas kini sejak 2004, dan peningkatan jumlah spesies yang direkodkan menunjukkan bahawa lebih banyak biodiversiti marin berpotensi masih belum didokumentasikan di perairan pesisir dan pulau-pulau di negeri ini.

Pasukan penyelidik turut mencadangkan agar tinjauan biodiversiti diperluaskan, termasuk penggunaan alat molekul seperti environmental DNA (eDNA), serta memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan komuniti nelayan tempatan bagi memastikan sumber marin Sabah dapat diuruskan secara mampan untuk generasi akan datang.

Artikel yang diterbitkan

Penemuan daripada kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal berwasit berikut:

Ng W-L, Chen CA, Mustafa S, Leaw CP, Teng ST, Zakaria SNFB, Tuzan AD & Chan T-Y (2022). A new record of the spiny lobster, Panulirus femoristriga (von Martens, 1872) from the coastal waters of Malaysia, with revision of global distribution. Biodiversity Data Journal 10: e77973.

Ng W-L & Chen C-A (2023). A New Record of Panulirus homarus homarus from Malaysia Waters with its Molecular Phylogeny. Borneo Journal of Resource Science and Technology 13(2): 175–185.

Lesen akses telah diperoleh daripada Majlis Biodiversiti Sabah (SaBC) dengan nombor rujukan JKM/MBS.1000-2/2 JLD.13 (152) dan (153).

]]>
https://sabahmedia.com/2026/03/17/penyelidik-ums-rekod-tiga-spesies-udang-karang-berduri-baharu/feed/ 0 93398