Ums perjanjian – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Fri, 13 Mar 2026 23:42:55 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Ums perjanjian – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 UMS–José Rizal University Filipina meterai kerjasama jaringan akademik serantau https://sabahmedia.com/2026/03/14/ums-jose-rizal-university-filipina-meterai-kerjasama-jaringan-akademik-serantau/ https://sabahmedia.com/2026/03/14/ums-jose-rizal-university-filipina-meterai-kerjasama-jaringan-akademik-serantau/#respond Fri, 13 Mar 2026 23:42:51 +0000 https://sabahmedia.com/?p=93229
Read Time:2 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU :  Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan José Rizal University (JRU), Filipina memperkukuh kerjasama akademik serantau melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dalam satu majlis yang berlangsung secara maya, baru-baru ini.

Kerjasama strategik yang diterajui Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS bersama College of Hospitality and Tourism Management JRU itu menandakan fasa baharu hubungan akademik antara kedua-dua institusi setelah hampir sedekad menjalin kolaborasi.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, pemeteraian MoU tersebut bukan sekadar satu formaliti, sebaliknya melambangkan pertemuan dua legasi akademik yang berkongsi aspirasi dalam memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi di rantau Asia Tenggara.

“Kerjasama ini menyokong usaha memperkukuh kedudukan UMS dalam pelbagai penarafan universiti global termasuk QS World University Rankings, Times Higher Education (THE) World University Rankings, UI GreenMetric World University Rankings serta penilaian Malaysia Research Assessment (MyRA).

“Sebagai universiti yang dikenali dengan ‘The Brain of Borneo’, UMS memainkan peranan sebagai pusat pemikiran strategik yang menyumbang kepada pembangunan ilmu, inovasi serta penyelesaian isu serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis pemeteraian MoU antara UMS dan JRU yang diadakan secara hibrid di Bilik Mesyuarat Eksekutif, Bangunan Canselori UMS.

Tambah Kasim, pemeteraian tersebut dijangka menjadi landasan untuk memperluas kerjasama strategik antara kedua-dua universiti pada masa hadapan.

“Antara fokus kerjasama yang dirancang termasuk pelaksanaan penyelidikan bersama dalam bidang seperti ekonomi biru, transformasi digital dan pelancongan mampan.

“Kedua-dua institusi turut meneroka pembangunan mikro-kredensial dan pemindahan kredit melalui pensijilan digital bagi membolehkan pelajar memperoleh kemahiran yang diiktiraf oleh kedua-dua universiti.

“Kerjasama ini juga berpotensi membuka laluan kepada pelaksanaan program pendidikan rentas negara (Transnational Education – TNE), termasuk pembangunan program ijazah bersama serta peluang latihan industri yang mampu merapatkan keperluan pasaran kerja antara Malaysia dan Filipina.

“Kita bukan sekadar mempersiapkan pelajar untuk pekerjaan hari ini, sebaliknya bersama-sama membentuk tenaga kerja masa hadapan yang berdaya saing di peringkat global,” tambah beliau.

Sementara itu, Pensyarah FPEP Profesor Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul berkata, hubungan akademik antara UMS dan JRU telah dibina sejak 2017 melalui pelbagai inisiatif termasuk penganjuran seminar kelestarian, program profesor pelawat serta jaringan profesional antara fakulti.

“Usaha berterusan tersebut akhirnya membawa kepada pemeteraian MoU yang akan memberi manfaat kepada staf dan pelajar kedua-dua institusi melalui pendedahan kepada pengalaman pembelajaran serta kemahiran dunia sebenar,” ujarnya.

Turut hadir Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor, Dr. Raman Noordin serta Dekan FPEP UMS, Profesor Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd. Karim.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/03/14/ums-jose-rizal-university-filipina-meterai-kerjasama-jaringan-akademik-serantau/feed/ 0 93229
UMS, Winabumi bekerjasama bangunkan teknologi tiang konkrit ringan https://sabahmedia.com/2025/09/09/ums-winabumi-bekerjasama-bangunkan-teknologi-tiang-konkrit-ringan/ https://sabahmedia.com/2025/09/09/ums-winabumi-bekerjasama-bangunkan-teknologi-tiang-konkrit-ringan/#respond Mon, 08 Sep 2025 21:16:17 +0000 https://sabahmedia.com/?p=80836
Read Time:1 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Kejuruteraan (FKJ) menandatangani perjanjian penyelidikan dengan Winabumi Sdn. Bhd. bagi membangunkan teknologi tiang konkrit ringan yang mampu mengurangkan ketumpatan campuran, sekali gus menawarkan penyelesaian baharu dalam industri pembinaan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly berkata projek berkenaan membuktikan peranan universiti bukan sahaja dalam melahirkan graduan, tetapi juga sebagai pemacu inovasi melalui penyelidikan berimpak tinggi.

“Kerjasama strategik seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada universiti dalam aspek pembangunan ilmu, tetapi turut membawa impak yang lebih luas kepada industri dan masyarakat melalui aplikasi penyelidikan yang praktikal,” katanya.

Beliau berkata perjanjian tersebut merangkumi Fasa 1 Projek Pembangunan Tiang Konkrit Ringan, bertajuk ‘Optimizing the Mix Design and Durability of Lightweight Concrete Research’ dengan tempoh penyelidikan selama 18 bulan.

“Projek bernilai RM29,321.50 itu dibiayai Winabumi, melibatkan sumbangan tunai sebanyak RM28,230 dan selebihnya dalam bentuk sumbangan barangan termasuk bahan mentah.

“Konsep konkrit ringan mampu memberikan pelbagai kelebihan berbanding konkrit biasa, antaranya mengurangkan beban struktur, memudahkan pengendalian dan pengangkutan, menjimatkan kos, serta menawarkan penebatan haba dan bunyi yang lebih baik apabila digunakan dalam pembinaan bangunan,” katanya.

Projek tersebut diketuai oleh Dr. Hidayati Asrah dari FKJ bersama pasukan penyelidik yang terdiri daripada Dr. Sheikh Mohd Iqbal Sheikh Zainal Abidin, Ts. Dr. Mohd Fauzy Sulaiman, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Habib Musa Mohamad, Ir. Dr. Nelly Majain dan Ts. Dr. Andrew Lim Chung Han.

“Majlis menandatangani perjanjian ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya komitmen UMS untuk memperkukuh kerjasama universiti–industri, membuka peluang penyelidikan baharu serta memastikan hasil inovasi memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar serta wakil Fakulti Kejuruteraan UMS dan pengurusan Winabumi Sdn. Bhd.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/09/ums-winabumi-bekerjasama-bangunkan-teknologi-tiang-konkrit-ringan/feed/ 0 80836