ums – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Wed, 14 Oct 2026 02:00:49 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png ums – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Sisa dapur berpotensi jadi sumber baja mesra alam https://sabahmedia.com/2026/10/14/sisa-dapur-berpotensi-jadi-sumber-baja-mesra-alam/ https://sabahmedia.com/2026/10/14/sisa-dapur-berpotensi-jadi-sumber-baja-mesra-alam/#respond Wed, 14 Oct 2026 01:47:02 +0000 https://sabahmedia.com/?p=105342
Read Time:56 Second

PITAS: Sisa dapur yang lazimnya dibuang boleh dimanfaatkan sebagai sumber baja mesra alam menerusi amalan pengkomposan yang diperkenalkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) kepada warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongkol.

Inisiatif menerusi Projek Penghasilan Baja Kompos dan Cecair Nutrien daripada Sisa Dapur Komuniti itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengurusan sisa organik secara lestari.

Ketua Projek, Dr. Fera Cleophas berkata, projek berkenaan turut memberi penekanan kepada pemindahan ilmu dan kemahiran supaya warga sekolah mampu meneruskan amalan pengkomposan secara kendiri.

Menerusi projek yang dilaksanakan dari November 2025 hingga Oktober 2026 itu, peserta diberi latihan amali berkaitan penyediaan bahan kompos, pemantauan suhu dan kelembapan serta pengudaraan bagi memastikan proses pengkomposan berjalan dengan baik.

Mereka turut didedahkan kepada kaedah menghasilkan cecair nutrien untuk kegunaan tanaman melalui sesi demonstrasi, perkongsian ilmu dan pemantauan berterusan.

Menurut Dr. Fera, pengetahuan yang diperoleh diharap bukan sahaja dimanfaatkan di peringkat sekolah, malah dapat dikembangkan kepada komuniti setempat bagi memperluas amalan pengurusan sisa organik secara lestari.

Projek itu dilaksanakan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UMS menerusi Program UniMADANI di bawah Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM), dengan penglibatan penyelidik universiti dan sokongan pihak pengurusan SMK Bongkol.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/10/14/sisa-dapur-berpotensi-jadi-sumber-baja-mesra-alam/feed/ 0 105342
KPDN serah geran i-FB kepada GPS UMS https://sabahmedia.com/2026/10/10/kpdn-serah-geran-i-fb-kepada-gps-ums/ https://sabahmedia.com/2026/10/10/kpdn-serah-geran-i-fb-kepada-gps-ums/#respond Sat, 10 Oct 2026 12:45:36 +0000 https://sabahmedia.com/?p=105145
Read Time:1 Minute, 39 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkukuh usaha membantu mahasiswa yang memerlukan menerusi penyaluran geran Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) kepada Gerakan Pengguna Siswa (GPS) Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata inisiatif itu merupakan antara usaha menangani cabaran kos sara hidup menerusi pendekatan kerjasama menyeluruh yang melibatkan pelbagai pihak.

Penyerahan geran itu berlangsung pada Majlis UMS Alumni Homecoming & Fundraising Dinner 2026 anjuran Pusat Alumni UMS di sebuah hotel di sini, hari ini, yang menghimpunkan lebih 400 alumni universiti berkenaan.

Armizan berkata, Bahagian Kos Sara Hidup KPDN bertindak sebagai urus setia i-FB dengan menyasarkan penglibatan pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu.

Katanya, pelaksanaan i-FB berteraskan pendekatan 3S, iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan.

Menerusi inisiatif itu, GPS akan menyelaraskan pelaksanaan i-FB di institusi pendidikan masing-masing dan komuniti setempat, termasuk mengurus penerimaan, penyimpanan serta pengagihan sumbangan makanan kepada mahasiswa yang memerlukan.

Geran awal yang disalurkan akan digunakan untuk menyediakan peralatan dan ruang khusus i-FB di kampus bagi memudahkan pengurusan sumbangan makanan secara lebih teratur.

Inisiatif itu turut membuka peluang kepada pelbagai pihak untuk menyumbang dalam usaha membantu mahasiswa menghadapi tekanan kos sara hidup.

Dalam majlis sama, Armizan berkata, program berkenaan turut menjadi platform untuk mempererat silaturahim dan memperluas jaringan alumni, selain memupuk keprihatinan serta tanggungjawab sosial dalam menyokong pembangunan institusi pendidikan.

Aspirasi itu diterjemahkan menerusi pelancaran Tabung Endowmen Kinabalu yang menyasarkan kutipan awal RM1.5 juta bagi mewujudkan sumber kewangan mampan untuk menyokong kebajikan dan pembiayaan pengajian pelajar UMS yang cemerlang dalam akademik tetapi memerlukan bantuan kewangan, khususnya daripada golongan B40.

Tabung berkenaan membuka ruang sumbangan daripada alumni, pihak korporat dan masyarakat, manakala pengurusan serta kawal selianya dikendalikan oleh Pusat Pelaburan, Endowmen dan Wakaf (CIEW) UMS.

Maklumat lanjut mengenai tabung itu boleh diperoleh menerusi laman web rasmi Pusat Alumni UMS di https://www.ums.edu.my/alumni atau Facebook @PAUMS.Offcial.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/10/10/kpdn-serah-geran-i-fb-kepada-gps-ums/feed/ 0 105145
Kulat nadir hutan Sabah direkodkan buat pertama kali di Malaysia https://sabahmedia.com/2026/10/09/kulat-nadir-hutan-sabah-direkodkan-buat-pertama-kali-di-malaysia/ https://sabahmedia.com/2026/10/09/kulat-nadir-hutan-sabah-direkodkan-buat-pertama-kali-di-malaysia/#respond Thu, 08 Oct 2026 20:40:26 +0000 https://sabahmedia.com/?p=105066
Read Time:3 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU: Sejenis kulat kecil berwarna merah lebayung hingga merah darah, ‘Cruentomycena viscidocruenta’, direkodkan buat pertama kali di Sabah dan Malaysia hasil penyelidikan pasukan yang diketuai Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Penemuan itu sekali gus memperluaskan taburan geografi spesies berkenaan ke hutan tropika utara Borneo, selain menyerlahkan kekayaan biodiversiti Sabah yang masih belum diterokai dan didokumentasikan sepenuhnya.

Kajian berkenaan diterbitkan dalam jurnal antarabangsa Biology Bulletin pada 2026 dan diketuai mendiang Prof. Madya Dr. Jaya Seelan Sathiya Seelan dari IBTP, bersama Ibrahem Ghani Wasti dari University College Sabah Foundation, Wawa Mazlela Janson @ Suhailin dan Muhammad Shahbaz dari IBTP UMS, Qian Qun Koid dari University of South Bohemia serta Yee Shin Tan dari Universiti Malaya.

Sebelum ini, C. viscidocruenta telah direkodkan di beberapa lokasi termasuk Australia, New Zealand dan Argentina.

Dua spesimen yang menjadi asas kepada rekod baharu itu dikumpulkan dari dua kawasan pemuliharaan penting Sabah, iaitu Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum dan Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau.

Spesies berkenaan bersaiz kecil dan halus serta lazimnya ditemui pada ranting gugur, sarap daun dan bahan berkayu yang mereput di lantai hutan hujan tropika.

KULAT KECIL, MESEJ YANG BESAR

Pengarah IBTP, Prof. Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim berkata, penemuan itu membuktikan biodiversiti Sabah bukan hanya merangkumi hidupan besar dan ikonik, malah organisma kecil yang tersembunyi di lantai hutan.

“Apabila kita bercakap tentang biodiversiti Sabah, kita sering membayangkan gajah, orang utan, monyet bangkatan, Rafflesia atau keindahan hutan tropika kita.

“Namun, biodiversiti juga merangkumi organisma terkecil yang tersembunyi di celah daun gugur dan kayu reput. Kulat lebayung yang kecil ini mengingatkan kita bahawa antara penemuan saintifik terbesar Sabah mungkin sedang menunggu untuk ditemukan, senyap di bawah kaki kita,” katanya.

Menurut beliau, kulat merupakan komponen penting ekosistem hutan, namun kumpulan organisma itu masih kurang didokumentasikan berbanding banyak kumpulan biodiversiti lain.

Katanya, setiap spesies dan rekod baharu penting dalam membina pemahaman mengenai ekosistem, perubahan alam sekitar serta membantu menghasilkan keputusan pemuliharaan yang lebih berkesan.

Dalam pada itu, penyelidik turut merekodkan pemerhatian menarik apabila pendar cahaya hijau terang dikesan pada miselium yang tumbuh pada substrat kayu yang dikaitkan dengan kulat berkenaan.

Walaupun bioluminesens diketahui berlaku dalam beberapa kumpulan kulat, penyelidik berkata ciri miselium bercahaya itu belum pernah didokumentasikan secara khusus dalam kaitannya dengan C. viscidocruenta atau anggota lain genus Cruentomycena.

Bagaimanapun, kajian kultur dan molekul lanjut diperlukan bagi menentukan sama ada miselium bercahaya itu benar-benar milik C. viscidocruenta atau kulat lain yang berkongsi substrat sama.

Fiffy berkata spesimen yang didokumentasikan dalam kajian itu telah dikurasi dan disimpan secara kekal di Herbarium BORNEENSIS (BORH/F), IBTP, UMS sebagai rekod saintifik untuk rujukan dan penyelidikan masa hadapan.

Katanya, koleksi saintifik berkenaan amat penting kerana spesimen yang dipelihara dapat membantu penyelidik pada masa hadapan memahami spesies yang pernah wujud, lokasi penemuan serta keadaan persekitaran ketika ia dikumpulkan.

SAINTIS DI SEBALIK PENEMUAN

Penemuan itu turut membawa makna tersendiri buat IBTP berikutan peranan besar mendiang Prof. Madya Dr. Jaya Seelan dalam penyelidikan berkenaan.

Mendiang, yang juga bekas Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) IBTP serta pakar mikologi, meninggal dunia pada 17 September 2026.

Sepanjang kajian, beliau memainkan peranan dalam konseptualisasi, metodologi, pengumpulan data, kurasi dan analisis spesimen, visualisasi, penyediaan manuskrip, penyeliaan serta penyiasatan saintifik.

Lebih bermakna, kedua-dua spesimen Sabah yang menjadi asas kepada penemuan itu dikumpulkan sendiri oleh mendiang.

Spesimen BORH/F02357 dikumpulkan dari Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau pada Disember 2022, manakala BORH/F03153 dikumpulkan dari Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum pada September 2023.

Fiffy berkata penerbitan berkenaan menjadi satu pencapaian saintifik yang membanggakan, selain menjadi sebahagian daripada legasi yang ditinggalkan mendiang.

“Dr. Jaya sendiri telah menelusuri hutan-hutan ini, mengumpulkan spesimen dengan tangannya sendiri, membawanya kembali ke makmal dan mendedikasikan dirinya untuk memahami kepelbagaian kulat Sabah yang luar biasa.

“Hari ini, spesimen yang beliau kumpulkan terus menyumbang pengetahuan baharu kepada dunia sains,” katanya.

Beliau berkata IBTP akan terus memperkukuh penyelidikan dalam bidang mikologi serta membangunkan generasi penyelidik seterusnya bagi meneruskan legasi mendiang.

Sementara itu, pemeriksaan morfologi dan analisis filogenetik molekul mengesahkan identiti spesimen Sabah sebagai C. viscidocruenta.

Kedua-dua isolat dari Sabah menunjukkan pengelompokan kukuh dengan spesimen dari Australia yang pernah dilaporkan sebelum ini, sekali gus memberikan sokongan saintifik terhadap pengenalpastian spesies berkenaan.

Penemuan itu turut menunjukkan bahawa masih banyak aspek biodiversiti hutan tropika Sabah, khususnya kepelbagaian kulat, yang memerlukan penerokaan dan dokumentasi secara berterusan.

Bagi UMS dan IBTP, penemuan tersebut bukan sekadar rekod baharu satu spesies, sebaliknya memperlihatkan kepentingan Sabah sebagai kawasan penting penyelidikan biodiversiti tropika yang berpotensi menyumbang pengetahuan kepada dunia.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/10/09/kulat-nadir-hutan-sabah-direkodkan-buat-pertama-kali-di-malaysia/feed/ 0 105066
Kecemerlangan pelajar Asasi UMS perlu seiring karakter, integriti https://sabahmedia.com/2026/10/04/kecemerlangan-pelajar-asasi-ums-perlu-seiring-karakter-integriti/ https://sabahmedia.com/2026/10/04/kecemerlangan-pelajar-asasi-ums-perlu-seiring-karakter-integriti/#respond Sat, 03 Oct 2026 23:36:46 +0000 https://sabahmedia.com/?p=104709
Read Time:1 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU : Pelajar Program Asasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) perlu mengimbangi kecemerlangan akademik dengan pembentukan karakter, integriti dan kemahiran insaniah sebagai persediaan melangkah ke peringkat pengajian lebih tinggi.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS Profesor Datuk Dr. Rossita Shapawi berkata pencapaian akademik semata-mata tidak mencukupi tanpa disertai kemahiran kepimpinan, komunikasi, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah yang penting dalam menghadapi cabaran masa depan.

Beliau berkata kemahiran berkenaan perlu dibangunkan seiring dengan usaha pelajar memperkukuh disiplin, nilai diri dan keupayaan untuk terus belajar serta memperbaiki potensi masing-masing.

“Kecemerlangan akademik sahaja tidak mencukupi, justeru jadilah insan yang berakhlak mulia, jujur, amanah, berdisiplin dan mempunyai integriti.

“Universiti bukan sekadar melahirkan graduan yang mempunyai ilmu, tetapi juga melahirkan insan yang mampu memimpin dan memberikan sumbangan positif kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Apresiasi Pelajar Asasi (MAPA) UMS Sesi 2025/2026 di Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) UMS.

Rossita berkata pelajar daripada bidang Sains, Teknologi Maklumat, Agrisains dan Sains Sosial masing-masing mempunyai peranan serta kekuatan tersendiri dalam menyumbang kepada kemajuan masyarakat.

Beliau turut menggariskan tiga bekalan utama yang perlu dibawa pelajar dalam meneruskan perjalanan akademik, iaitu ilmu, karakter dan integriti serta kebersamaan dan jaringan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pelajar supaya melihat ilmu yang dipelajari sebagai satu ekosistem yang saling melengkapi, terutama dalam mendepani keperluan pembangunan negara.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan pelajar tidak seharusnya terhenti selepas menamatkan pengajian, sebaliknya ilmu yang diperoleh perlu dimanfaatkan untuk menyelesaikan masalah, menghasilkan inovasi dan membantu komuniti.

“Dunia sentiasa berubah, dan ilmu juga berkembang dengan begitu pantas. 

“Oleh itu, jadilah insan yang sentiasa mahu belajar, meneroka dan memperbaiki diri,” katanya.

Terdahulu, Pengarah PPST, Prof. Madya ChM. Dr. Newati Wid berkata, MAPA dianjurkan khas untuk mengiktiraf dan menghargai kesungguhan, ketabahan serta pencapaian cemerlang para pelajar sepanjang menempuh pengajian di PPST.

Katanya majlis tersebut bukan sahaja meraikan kejayaan dalam aspek akademik, tetapi juga dalam aspek sahsiah, kepimpinan dan kemahiran insaniah. 

Pada majlis itu, pelajar diraikan menerusi pelbagai kategori pengiktirafan, termasuk Anugerah Naib Canselor, Anugerah Pengarah, Anugerah Khas Hal Ehwal Pelajar, Anugerah Pelajar Berdedikasi dan Berkepimpinan, Anugerah Pelajar Harapan, Anugerah Teknologi Maklumat serta Anugerah PNGK 4.0.

Turut disampaikan Sijil Tamat Asasi Pelajar Antarabangsa Timor Leste kepada empat pelajar dari Timor Leste, dan Sijil Penghargaan Perwakilan Pelajar Asasi sesi 2025/2026.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/10/04/kecemerlangan-pelajar-asasi-ums-perlu-seiring-karakter-integriti/feed/ 0 104709
Kampung Angkat Madani UMS salur RM1 juta sokong pembangunan Kampung Rampayan https://sabahmedia.com/2026/10/03/kampung-angkat-madani-ums-salur-rm1-juta-sokong-pembangunan-kampung-rampayan/ https://sabahmedia.com/2026/10/03/kampung-angkat-madani-ums-salur-rm1-juta-sokong-pembangunan-kampung-rampayan/#respond Sat, 03 Oct 2026 08:57:37 +0000 https://sabahmedia.com/?p=104690
Read Time:1 Minute, 44 Second

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyalurkan peruntukan RM1 juta bagi menyokong pembangunan infrastruktur di Kampung Rampayan, Manggatal menerusi pelaksanaan Program Kampung Angkat Madani.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, peruntukan berkenaan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membolehkan lima skop pembangunan fizikal dilaksanakan bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

Menurut beliau, pelaksanaan projek tersebut melibatkan kawasan tapak seluas hampir satu ekar dan dilaksanakan mengikut prosedur serta tatakelola yang ditetapkan melalui saluran yang sewajarnya.

“Bagi memastikan pembinaan lima prasarana di kawasan tapak seluas hampir satu ekar dilaksanakan, semua prosedur dan tatakelola yang ditetapkan telah dipatuhi melalui saluran yang sewajarnya.

“Kesemua lima skop pembangunan fizikal yang dirancang berjaya disiapkan merangkumi pembinaan pintu gerbang kampung, dewan terbuka, pusat komuniti, pemasangan lampu solar serta pembinaan pondok nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian dan menyempurnakan penyerahan prasarana Program Kampung Angkat Madani di Kampung Rampayan.

Dalam pada itu, Kasim berkata, penyiapan projek fizikal berkenaan menjadi asas kepada usaha UMS untuk meneruskan kerjasama dengan komuniti setempat, khususnya dalam bidang pendidikan dan keusahawanan.

Katanya, usaha berkenaan penting bagi memastikan generasi muda di kampung berkenaan mendapat peluang untuk meningkatkan kemahiran dan tidak ketinggalan dalam aspek pendidikan serta ekonomi.

“Apalagi yang kita boleh buat di kampung ini supaya anak-anak kita, generasi akan datang tidak ketinggalan dalam semua aspek iaitu pendidikan dan keusahawanan.

“Jadi mungkin juga kita mahu latih anak-anak kampung menjadi usahawan. Mungkin kita ada kursus-kursus keusahawanan di sini yang dianjurkan oleh UMS,” ujarnya.

Beliau berkata, kerjasama berterusan antara UMS dan komuniti Kampung Rampayan berpotensi diperluas menerusi pelaksanaan pelbagai program pembangunan modal insan, pendidikan dan keusahawanan pada masa akan datang.

Perasmian dan penyerahan kemudahan tersebut mencerminkan kerjasama strategik antara kerajaan, institusi pengajian tinggi dan komuniti dalam usaha memperkukuh pembangunan setempat serta meningkatkan kesejahteraan penduduk.

Kasim berharap kemudahan yang disediakan dapat memberi manfaat berterusan kepada penduduk Kampung Rampayan, selain menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi komuniti setempat.

Beliau turut berharap UMS dapat terus memainkan peranan sebagai peneraju Kampung Angkat Madani melalui penglibatan akademik, kepakaran serta program kemasyarakatan yang memberi manfaat langsung kepada penduduk.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/10/03/kampung-angkat-madani-ums-salur-rm1-juta-sokong-pembangunan-kampung-rampayan/feed/ 0 104690
UMS perkasa penyelidikan berasaskan keperluan masyarakat Sabah https://sabahmedia.com/2026/09/27/ums-perkasa-penyelidikan-berasaskan-keperluan-masyarakat-sabah/ https://sabahmedia.com/2026/09/27/ums-perkasa-penyelidikan-berasaskan-keperluan-masyarakat-sabah/#respond Sun, 27 Sep 2026 03:59:09 +0000 https://sabahmedia.com/?p=104293
Read Time:2 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU: Keunikan Sabah yang kaya dengan kepelbagaian masyarakat, ekosistem marin dan daratan serta sumber alam semula jadi membuka ruang luas kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk meneroka ilmu menerusi penyelidikan berimpak tinggi.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansur berkata, sebagai universiti yang berakar di Sabah, UMS sentiasa memberi tumpuan kepada keperluan sebenar masyarakat khususnya dalam bidang kesihatan, keselamatan makanan, pendidikan dan pembangunan ekonomi.

Katanya, UMS menggunakan pendekatan makmal hidup atau living lab bagi menterjemahkan hasil kajian saintifik kepada penyelesaian yang dapat memenuhi keperluan sebenar masyarakat.

“Sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi dan penyelidikan berimpak tinggi di Sabah, UMS menggunakan pendekatan makmal hidup bagi menterjemah hasil kajian saintifik kepada penyelesaian keperluan sebenar masyarakat.

Kasim (tiga dari kiri) menyampaikan cenderamata khas kepada Tun Musa (empat dari kiri).

“Sebuah sekolah di Pitas, misalnya, penyelidik UMS bekerja di lapangan untuk membangunkan sistem rawatan air berskala kecil bagi keperluan pelajar asrama.

“Usaha seperti ini menunjukkan bahawa penyelidikan yang baik bermula dengan mendengar, kemudian menguji dan menambah baik bersama komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Penyelidikan UMS (APUMS) 2026 di sini.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah merangkap Canselor UMS, Tun Musa Aman yang menyempurnakan perasmian APUMS 2026.

Menurut Kasim, sehingga suku kedua tahun ini, UMS telah merekodkan sebanyak 33 makmal hidup yang memberi tumpuan kepada penyelesaian berasaskan keperluan masyarakat.

Katanya, pendekatan berkenaan selari dengan Pelan Strategik UMS 2023–2027 menerusi agenda Translatable Research bagi memastikan penemuan ilmiah dapat diterjemahkan kepada amalan, teknologi, dasar atau produk yang memberi manfaat secara langsung.

“ Kejayaan penyelidikan UMS bukan hanya diukur pada anugerah yang diterima, tetapi juga pada perubahan yang dapat dirasai oleh masyarakat Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Kasim berkata UMS kini berada di kedudukan ke-214 di Asia menerusi QS Asia University Rankings 2026, selain mengekalkan penarafan lima bintang dalam dapatan audit Instrumen Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) pada Julai lalu.

Katanya, UMS turut merekodkan komitmen geran luaran berjumlah RM18 juta menerusi 103 geran bagi tempoh 2025 hingga September 2026.

“Pencapaian Institut Marin Borneo yang diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) amat penting kerana Sabah memerlukan kepakaran sains untuk memelihara sumber lautnya serta membangunkan potensi ekonomi yang bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, bidang inovasi UMS turut menunjukkan perkembangan positif menerusi penghasilan pelbagai reka cipta berprestij termasuk Glucomur Functional Gel yang memenangi Anugerah Emas, Solar Vapour Generator serta pempatenan teknologi AgroSpread.

Bagi menyokong pengkomersialan hasil penyelidikan, katanya, UMS turut menyediakan hab inkubasi CIPTA@UMS yang membolehkan penyelidik menguji prototaip serta menilai potensi pasaran sebelum dikembangkan sebagai produk atau perkhidmatan di peringkat industri.

Pada masa sama, Kasim menggesa warga penyelidik UMS supaya terus membudayakan integriti tinggi dalam pengurusan data, penerbitan dan dana penyelidikan.

Beliau turut menekankan kepentingan membimbing penyelidik muda bagi memastikan kelangsungan kecemerlangan ilmu dan penyelidikan di universiti berkenaan.

“Kejayaan penyelidikan UMS bukan sekadar diukur pada anugerah yang diterima, tetapi pada sejauh mana ilmu yang lahir di universiti ini mampu kembali memberi manfaat dan meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/27/ums-perkasa-penyelidikan-berasaskan-keperluan-masyarakat-sabah/feed/ 0 104293
Program antarabangsa buka ruang jaringan akademik pelajar Sejarah UMS https://sabahmedia.com/2026/09/25/program-antarabangsa-buka-ruang-jaringan-akademik-pelajar-sejarah-ums/ https://sabahmedia.com/2026/09/25/program-antarabangsa-buka-ruang-jaringan-akademik-pelajar-sejarah-ums/#respond Thu, 24 Sep 2026 22:16:54 +0000 https://sabahmedia.com/?p=104120
Read Time:2 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU: Penyertaan dalam projek antarabangsa ‘Guardians of Memory’ di Yekaterinburg, Rusia membuka ruang kepada dua pelajar pascasiswazah Universiti Malaysia Sabah (UMS) membina jaringan akademik dengan peserta dari pelbagai negara.

Abdul Aziz Kong Abdul Alim dan Nurfarain Abdul Rahman, pelajar pascasiswazah Program Sejarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UMS menyertai projek itu menerusi Program New Generation anjuran Rossotrudnichestvo.

Penyelaras Program Sejarah UMS, Dr Mohamad Ikhram Mohamad Ridzuan berkata, program berkenaan menghimpunkan 46 peserta dari 22 negara, sekali gus memberi peluang kepada peserta memperluas hubungan akademik dan profesional di peringkat antarabangsa.

Katanya, interaksi dengan peserta daripada pelbagai latar belakang membolehkan kedua-dua pelajar bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman berkaitan bidang pengajian masing-masing.

“Penyertaan dalam program ini memberikan peluang kepada pelajar UMS untuk berinteraksi secara langsung dengan peserta dari pelbagai negara dan pelbagai latar belakang profesional dan akademik.

“Mereka turut berpeluang bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman serta memperluas jaringan kerjasama antarabangsa, khususnya dalam bidang berkaitan masyarakat, sejarah dan hubungan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, jaringan yang terhasil menerusi program berkenaan berpotensi menjadi asas kepada pertukaran ilmu dan penerokaan peluang kerjasama akademik serta profesional pada masa hadapan.

Katanya, pendedahan sedemikian juga penting kepada pelajar pascasiswazah kerana ia membolehkan mereka melihat perkembangan bidang Sejarah daripada perspektif yang lebih luas.

Selain sesi perbincangan dan seminar, peserta turut mengikuti lawatan ke institusi berkaitan sejarah dan arkib.

Antaranya ialah State Archive of Contemporary History of the Sverdlovsk Region dan State Archive of the Sverdlovsk Region, yang memberi peluang kepada peserta meneliti sumber serta dokumen berkaitan sejarah wilayah Ural.

“Dalam lawatan berkenaan, peserta berpeluang melihat dokumen asal yang disimpan di institusi tersebut serta mendapat penerangan mengenai proses pemulihan dan pemeliharaan bahan arkib,” katanya.

Program itu turut menampilkan forum meja bulat bertajuk ‘Politics of Memory: Current Practices and Development Prospects’ di Multimedia Historical Park ‘Russia – My History’, Yekaterinburg.

Forum berkenaan menjadi platform perbincangan mengenai politik memori, selain membolehkan peserta berkongsi pendekatan dan pengalaman negara masing-masing dalam aspek berkaitan sejarah serta pemeliharaan memori.

Mohamad Ikhram berkata, penyertaan Abdul Aziz dan Nurfarain turut memberi peluang kepada kedua-duanya berkongsi perspektif Malaysia dalam perbincangan bersama peserta antarabangsa.

“Pengalaman tersebut diharapkan dapat dimanfaatkan bagi memperkukuh perkembangan akademik kedua-dua pelajar, khususnya dalam pengajian pascasiswazah bidang Sejarah,” katanya.

Program New Generation yang diperkenalkan pada 2011 bertujuan menggalakkan hubungan awam, profesional dan akademik antara Rusia dengan negara lain, selain membentuk jaringan dalam kalangan generasi muda antarabangsa.

Sejak diperkenalkan, program itu telah disertai lebih 11,000 peserta asing dari lebih 150 negara yang berpeluang mengunjungi lebih 35 wilayah di Persekutuan Rusia.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/25/program-antarabangsa-buka-ruang-jaringan-akademik-pelajar-sejarah-ums/feed/ 0 104120
2,197 benih ketam bakau dilepaskan di Kota Kinabalu Wetland Ramsar Site https://sabahmedia.com/2026/09/20/2197-benih-ketam-bakau-dilepaskan-di-kota-kinabalu-wetland-ramsar-site/ https://sabahmedia.com/2026/09/20/2197-benih-ketam-bakau-dilepaskan-di-kota-kinabalu-wetland-ramsar-site/#respond Sun, 20 Sep 2026 02:49:08 +0000 https://sabahmedia.com/?p=103778
Read Time:1 Minute, 53 Second

KOTA KINABALU: Sebanyak 2,197 benih ketam bakau dilepaskan ke kawasan ekosistem paya bakau di Kota Kinabalu Wetland Ramsar Site (KKWRS), baru-baru ini, sebagai usaha menyokong pemuliharaan biodiversiti marin dan kelestarian ekosistem paya bakau.

Program berkenaan dianjurkan Institut Marin Borneo (IMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS), dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Sabah dan Sabah Wetlands Conservation Society (SWCS).

Majlis perasmian pelepasan benih ketam itu disempurnakan Timbalan Pengarah Perikanan (Pembangunan), Jabatan Perikanan Negeri Sabah, Irman Isnain yang mewakili Pengarah Jabatan; Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) IMB UMS, Prof. Madya Dr. Juanita Joseph yang mewakili Dekan IMB; dan Setiausaha Kehormat SWCS, Azalene Amelia Kamal Quadra yang mewakili Presiden persatuan berkenaan.

Acara kemuncak program dimulakan dengan penyerahan 2,197 benih ketam kepada SWCS selaku pengurus tapak Ramsar berkenaan, sebelum benih tersebut dilepaskan secara rasmi ke kawasan ekosistem paya bakau.

Dalam ucapannya, Juanita berkata ketam bakau memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan rantaian makanan ekosistem paya bakau, selain membantu menyokong kelestarian populasi spesies berkenaan di Sabah, khususnya di kawasan pantai timur.

Katanya, perubahan iklim, eksploitasi berlebihan dan kemerosotan habitat semula jadi telah memberi tekanan terhadap populasi ketam bakau, sekali gus menjadikan usaha pemuliharaan serta pemulihan sumber perikanan semakin penting.

“Ancaman perubahan iklim, eksploitasi berlebihan dan kemerosotan habitat semula jadi telah memberi tekanan yang hebat kepada populasi spesies ini.

“Oleh itu, inisiatif pelepasan benih pada hari ini bukan sekadar acara simbolik, tetapi merupakan satu langkah proaktif dan berasaskan pendekatan saintifik ke arah kelestarian sumber perikanan negeri,” katanya.

Beliau berkata, benih ketam berkualiti yang dihasilkan menerusi kepakaran dan kerjasama antara hatcheri IMB dan Pusat Pembenihan Ikan Marin Sabah (PPIMS), Jabatan Perikanan Negeri Sabah, kini dikembalikan ke habitat asalnya bagi menyokong usaha pemulihan populasi ketam bakau secara semula jadi.

Menurutnya, pemilihan KKWRS sebagai lokasi pelepasan bertepatan dengan peranannya sebagai kawasan pemuliharaan ekosistem paya bakau yang terletak di tengah bandar.

“Ekosistem paya bakau di kawasan ini menyediakan habitat asuhan (nursery ground) yang sesuai untuk anak ketam berlindung dan membesar, sekali gus menyokong kelangsungan hidup spesies berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, kejayaan penganjuran program serta pelaksanaan projek penyelidikan menerusi inisiatif pemindahan ilmu (knowledge transfer) turut disokong kerjasama berterusan dan kemudahan yang disediakan Jabatan Perikanan Negeri Sabah.

UMS turut menyatakan komitmen untuk memperluas jaringan kerjasama berkenaan bagi meneruskan usaha penyelidikan dan pemuliharaan sumber marin pada masa hadapan.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/20/2197-benih-ketam-bakau-dilepaskan-di-kota-kinabalu-wetland-ramsar-site/feed/ 0 103778
Projek solar PBNS, UMS manfaat 25 keluarga, masjid di Pulau Tigabu https://sabahmedia.com/2026/09/12/projek-solar-pbns-ums-manfaat-25-keluarga-masjid-di-pulau-tigabu/ https://sabahmedia.com/2026/09/12/projek-solar-pbns-ums-manfaat-25-keluarga-masjid-di-pulau-tigabu/#respond Sat, 12 Sep 2026 08:46:52 +0000 https://sabahmedia.com/?p=103275
Read Time:2 Minute, 12 Second

KUDAT: Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) melaksanakan Projek Komuniti Pemasangan Sistem Solar di Pulau Tigabu, Banggi, di sini bagi meningkatkan akses tenaga elektrik dan kesejahteraan penduduk luar bandar.

Projek berkenaan membabitkan pemasangan sistem solar hibrid untuk 25 buah rumah dan sebuah masjid, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 100 penduduk kampung.

Majlis menandatangani aku janji bersama penerima manfaat yang berlangsung di Pulau Tigabu, hari ini, menjadi simbol komitmen bersama PBNS, UMS dan komuniti setempat bagi memastikan projek berkenaan dilaksanakan dengan lancar serta mencapai matlamat yang ditetapkan.

Menurut pelan pengurusan projek, inisiatif itu bukan sahaja bertujuan menyediakan akses kepada bekalan tenaga elektrik yang lebih stabil, malah diharap dapat meningkatkan kesejahteraan hidup penduduk, memudahkan pelaksanaan aktiviti komuniti serta menyokong pembangunan ekonomi setempat.

Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UMS, Profesor Ts. Gs. Dr. Rodeano Roslee berkata, UMS berbangga dapat menyumbangkan kepakaran teknikal dalam pelaksanaan projek berkenaan.

“Pemasangan sistem solar bukan sahaja memberi akses tenaga elektrik kepada komuniti Pulau Tigabu, tetapi juga membuka ruang kepada pembangunan kapasiti masyarakat melalui latihan dan pendidikan.

“Kami percaya projek ini akan menjadi model pembangunan mampan yang boleh dicontohi di kawasan luar bandar lain di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PBNS, Mohd Arif Hairal berkata, PBNS komited memastikan projek berkenaan dilaksanakan dengan teliti supaya manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh golongan asnaf fakir miskin di Pulau Tigabu.

Katanya, majlis aku janji itu turut mencerminkan kesepakatan antara PBNS, UMS dan komuniti setempat dalam menjayakan inisiatif yang mampu membawa perubahan positif kepada kehidupan penduduk.

“PBNS komited memastikan projek ini dilaksanakan dengan teliti dan memberi manfaat langsung kepada asnaf fakir miskin di Pulau Tigabu.

“Kami yakin usaha ini akan membawa perubahan positif yang berpanjangan,” katanya.

Sementara ityu, Ketua Projek yang juga Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Fakulti Sains dan Teknologi UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Mohamad Zul Hilmey Makmud berkata, projek berkenaan bukan sekadar menyediakan kemudahan tenaga elektrik kepada penduduk, malah menjadi platform pembelajaran dan pembangunan kapasiti masyarakat.

Beliau berkata, dengan sokongan kepakaran teknikal UMS, projek itu akan dilaksanakan secara sistematik termasuk menyediakan latihan asas berkaitan sistem solar kepada penduduk.

“Latihan ini penting supaya penduduk mempunyai pengetahuan asas untuk mengurus dan menyelenggara kemudahan ini secara berterusan.

“Kami yakin projek ini akan menjadi pemangkin kepada kesejahteraan dan pembangunan mampan komuniti luar bandar,” katanya.

Projek di Pulau Tigabu itu merupakan projek komuniti solar ketiga yang dilaksanakan PBNS, selepas projek di Kampung Lok Dangkaan, Pitas dan Kampung Nusa-Nusa, Banggi.

Kerjasama strategik antara PBNS dan UMS itu turut dilihat sebagai satu contoh bagaimana gabungan kepakaran dalam aspek pengurusan, teknikal dan pembangunan komuniti mampu menghasilkan inisiatif yang memberi impak langsung kepada masyarakat luar bandar Sabah.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/12/projek-solar-pbns-ums-manfaat-25-keluarga-masjid-di-pulau-tigabu/feed/ 0 103275
6,171 pelajar ditawarkan pengajian prasiswazah UMS sesi 2026/2027 https://sabahmedia.com/2026/09/12/6171-pelajar-ditawarkan-pengajian-prasiswazah-ums-sesi-2026-2027/ https://sabahmedia.com/2026/09/12/6171-pelajar-ditawarkan-pengajian-prasiswazah-ums-sesi-2026-2027/#respond Sat, 12 Sep 2026 07:30:04 +0000 https://sabahmedia.com/?p=103273
Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU: Seramai 6,171 pelajar ditawarkan melanjutkan pengajian ke program prasiswazah Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi kemasukan sesi akademik 2026/2027.

Pendaftaran pelajar baharu bagi sesi berkenaan bermula hari ini hingga esok, di kampus UMS di seluruh Sabah.

UMS dalam kenyataan memaklumkan, daripada jumlah berkenaan, seramai 5,251 pelajar tempatan ditempatkan di Kampus Kota Kinabalu, manakala 698 pelajar di Kampus Antarabangsa Labuan dan 222 pelajar di Fakulti Pertanian Lestari Kampus Sandakan.

“Jumlah ini merangkumi 4,325 pelajar dari Sabah, 1,021 dari Semenanjung Malaysia, 529 dari Sarawak dan 81 dari Wilayah Persekutuan Labuan.

“Seramai 215 pelajar pula merupakan pelajar antarabangsa dari 12 negara, iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Sweden, Arab Saudi, Yemen, Bangladesh, Pakistan, India, Indonesia, Filipina dan Timor-Leste,” menurut kenyataan itu di sini pada Sabtu.

Pengambilan pelajar bagi sesi berkenaan turut merangkumi tawaran prasiswazah melalui laluan khas UMS, termasuk 3,380 pelajar daripada golongan B40 ambilan UPUOnline.

Selain itu, seramai 14 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), lapan pelajar Orang Asli dan 15 atlet sukan turut menerima tawaran melalui laluan khas berkenaan.

Pendaftaran pelajar baharu berlangsung selama dua hari, manakala semua pelajar yang telah mendaftar akan mengikuti program Minggu Suai Mesra (MSM) selama seminggu bermula Isnin ini.

Program berkenaan bertujuan membantu pelajar baharu menyesuaikan diri dengan persekitaran serta kehidupan di kampus, selain memberi pendedahan berkaitan sistem pembelajaran dan kemudahan yang disediakan universiti.

Sementara itu, tinjauan pada hari pendaftaran mendapati urusan pendaftaran di setiap kolej kediaman berlangsung dalam keadaan baik dan teratur.

Kelancaran itu turut dibantu melalui penambahbaikan pengurusan masa pendaftaran dengan menetapkan slot waktu berbeza bagi mengelakkan kesesakan serta memastikan proses pendaftaran berjalan lancar.

Para pelajar baharu dan keluarga yang hadir turut dibantu sukarelawan Pembimbing Suai Mesra (PSM) yang bertugas sepanjang tempoh pendaftaran.

Turut meninjau dan menyantuni pelajar baharu serta keluarga ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Datuk Dr. Rossita Shapawi; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Raman Noordin; Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin dan Penasihat Undang-Undang UMS, Awang Suhaizam Bungso.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/12/6171-pelajar-ditawarkan-pengajian-prasiswazah-ums-sesi-2026-2027/feed/ 0 103273