Us – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Fri, 01 Aug 2025 03:55:14 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Us – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Amerika Syarikat Kurangkan Tarif Eksport Malaysia Kepada 19 Peratus Berkuat Kuasa 1 Ogos. https://sabahmedia.com/2025/08/01/amerika-syarikat-kurangkan-tarif-eksport-malaysia-kepada-19-peratus-berkuat-kuasa-1-ogos/ https://sabahmedia.com/2025/08/01/amerika-syarikat-kurangkan-tarif-eksport-malaysia-kepada-19-peratus-berkuat-kuasa-1-ogos/#respond Fri, 01 Aug 2025 03:55:11 +0000 https://sabahmedia.com/?p=78357
Read Time:2 Minute, 13 Second

Kuala Lumpur – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini mengalu-alukan keputusan Kerajaan Amerika Syarikat untuk mengurangkan tarif balas terhadap eksport Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus, berkuat kuasa 1 Ogos 2025.

MITI dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa rundingan tarif antara kedua-dua negara yang bermula pada 6 Mei 2025 telah pun dimuktamadkan secara rasmi pada 31 Julai 2025.

“Pengurangan tarif ini adalah hasil daripada penglibatan berterusan kedua-dua kerajaan melalui pelbagai platform dua hala dan mencerminkan tahap pelengkap yang tinggi antara Malaysia dan Amerika Syarikat dalam perdagangan serta pelaburan yang telah terjalin lebih enam dekad,” kata MITI.

Menurut MITI, kadar baharu 19 peratus itu juga selaras dengan kadar tarif ke atas negara lain di rantau Asia Tenggara. Malaysia juga dilaporkan kekal tegas dalam mempertahankan hak kedaulatan negara untuk melaksanakan dasar-dasar penting bagi menyokong kestabilan dan pertumbuhan sosioekonomi negara.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyifatkan keputusan tersebut sebagai mencerminkan hubungan ekonomi yang kukuh antara kedua-dua negara.

“Ini juga bukti kepada kredibiliti Malaysia sebagai rakan dagangan dan pelaburan yang boleh dipercayai,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada pihak Perwakilan Perdagangan AS dan Jabatan Perdagangan AS atas kerjasama mereka sepanjang proses rundingan.

Dalam menguruskan kesan tarif 19 peratus itu, MITI memaklumkan ia akan terus bekerjasama rapat dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi:
• Mencari jalan bagi mengurangkan impak tarif terhadap eksport negara;
• Menggalakkan pengeksport memanfaatkan sepenuhnya 18 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia;
• Meneruskan pelaksanaan program reformasi industri seperti Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030, Strategi Pelaburan Hijau, dan Strategi Semikonduktor Negara;
• Meneroka mekanisme untuk menyokong syarikat tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

MITI turut mengakui bahawa prospek ekonomi global semakin tidak menentu sejak Mac 2025 berikutan perubahan dasar perdagangan, ketidaktentuan tarif, dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.

Namun demikian, Malaysia kekal berdaya tahan dengan sokongan dasar yang berterusan serta reformasi industri dan ekonomi yang berupaya mengekalkan penggunaan domestik secara mampan.

“MITI akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memaksimumkan peluang daripada perkembangan ini, termasuk lonjakan momentum pelaburan yang diluluskan, pelaksanaan projek infrastruktur, dan inisiatif pembangunan nasional berimpak tinggi,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, MITI merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam proses rundingan, termasuk Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Pejabat Perdana Menteri; pelbagai kementerian dan agensi; serta pihak industri seperti AMCHAM dan Majlis Perniagaan AS-ASEAN (USABC).

MITI menjangkakan beberapa siri program libat urus akan dilaksanakan dalam bulan-bulan mendatang bagi memberi penerangan lanjut mengenai pelaksanaan kadar tarif baharu ke atas eksport Malaysia ke pasaran AS.

Menurut MITI, AS merupakan pasaran eksport terbesar Malaysia bernilai RM198.65 bilion dan juga penyumbang utama pelaburan asing, dengan nilai pelaburan yang diluluskan berjumlah RM32.82 bilion pada tahun 2024.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/01/amerika-syarikat-kurangkan-tarif-eksport-malaysia-kepada-19-peratus-berkuat-kuasa-1-ogos/feed/ 0 78357
Muhammad Shahrul Ikram Dilantik Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat https://sabahmedia.com/2025/06/03/muhammad-shahrul-ikram-dilantik-duta-besar-malaysia-ke-amerika-syarikat/ https://sabahmedia.com/2025/06/03/muhammad-shahrul-ikram-dilantik-duta-besar-malaysia-ke-amerika-syarikat/#respond Tue, 03 Jun 2025 03:36:07 +0000 https://sabahmedia.com/?p=74984
Read Time:1 Minute, 18 Second

KUALA LUMPUR, – Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, telah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), menggantikan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menamatkan perkhidmatan pada 8 Februari lalu.

Pelantikan tersebut telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, dengan majlis pengurniaan watikah pelantikan berlangsung di Istana Negara hari ini. Turut hadir dalam istiadat tersebut ialah Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Amran Mohamed Zin.

Datuk Seri Shahrul Ikram, anak kelahiran Pahang, memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Ekologi dari Universiti Malaya serta pernah mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School, Amerika Syarikat.

Beliau menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1988, sebelum dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri dari Januari 2019 hingga Mei 2022.

Sepanjang hampir 35 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan diplomatik, Shahrul pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Qatar, Austria, dan sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Selain itu, beliau turut memegang pelbagai jawatan penting di Wisma Putra, termasuk sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala), Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia semasa Kepengerusian ASEAN 2015, dan Setiausaha Bahagian Politik Pelbagai Hala.

Pengalaman diplomatik beliau juga merangkumi penugasan di beberapa misi penting Malaysia di luar negara termasuk di Vienna (Austria), Washington D.C. (Amerika Syarikat) dan Beijing (China).

Pelantikan beliau ke Washington D.C. dijangka akan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat, selaras dengan keperluan diplomasi moden yang semakin mencabar dan kompleks.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/06/03/muhammad-shahrul-ikram-dilantik-duta-besar-malaysia-ke-amerika-syarikat/feed/ 0 74984
Kerajaan Umum Langkah Proaktif Hadapi Tarif Balas AS – PM Anwar https://sabahmedia.com/2025/05/05/kerajaan-umum-langkah-proaktif-hadapi-tarif-balas-as-pm-anwar/ https://sabahmedia.com/2025/05/05/kerajaan-umum-langkah-proaktif-hadapi-tarif-balas-as-pm-anwar/#respond Mon, 05 May 2025 04:44:17 +0000 https://sabahmedia.com/?p=73204
Read Time:3 Minute, 17 Second

KUALA LUMPUR, – Kerajaan Malaysia hari ini mengumumkan enam strategi  strategik bagi menghadapi tindakan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan tarif timbal balik ke atas barangan import dari Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika menyampaikan penerangan pada sesi mesyuarat khas berkenaan isu tarif Amerika Syarikat (AS) di Dewan Rakyat hari ini menegaskan bahawa Malaysia tidak akan tunduk kepada tekanan luar dan sebaliknya memilih untuk berunding secara berprinsip demi melindungi ekonomi negara, pekerjaan rakyat dan keyakinan pelabur asing.

“Kita tidak memilih jalan mudah. Kita tidak menyerah kepada tekanan. Kita memilih untuk berunding secara berprinsip, demi mempertahankan pekerjaan rakyat, pelaburan masa hadapan dan kedaulatan ekonomi negara,” katanya.

NGCC Jadi Pusat Kawalan Tindak Balas Perdagangan

Langkah pertama yang diumumkan ialah penubuhan Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) pada 4 April lalu, yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri dan diselaras oleh MITI. Katanya NGCC ditubuhkan sebagai platform penyelarasan tindak balas perdagangan, khususnya berkaitan tarif, halangan bukan tarif, dan kejutan geoekonomi global. Sehingga kini, pusat itu telah bersidang sebanyak tiga kali.

Delegasi Malaysia Adakan Rundingan di Washington

Tambah Anwar lagi, Malaysia juga menghantar delegasi rasmi ke Washington DC dari 22 hingga 24 April lalu, diketuai oleh Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Delegasi itu mengadakan pertemuan dengan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, dan Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick.

Dalam rundingan itu, Malaysia memohon pengecualian daripada tarif 24% dan menawarkan kerjasama menyelesaikan isu halangan bukan tarif (NTB). Anwar berkata, maklum balas yang diterima adalah positif, dan AS bersetuju untuk terus berunding.

ASEAN Sepakat Tidak Balas Tindakan Tarif AS

Pada masa sama, Malaysia memainkan peranan utama dalam memimpin kesepakatan ASEAN menolak tindakan balas terhadap AS, sebaliknya memilih pendekatan meja rundingan. Dalam mesyuarat khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN pada 10 April, kesemua negara anggota bersetuju untuk menubuhkan Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN dan kekal menyokong sistem perdagangan pelbagai hala.

Rundingan Dua Hala Masih Awal, Tiada Komitmen Muktamad

Anwar menjelaskan bahawa rundingan dua hala antara Malaysia dan AS kini masih di peringkat awal dan tertakluk kepada Non-Disclosure Agreement (NDA). Tiada sebarang komitmen dimuktamadkan, namun terdapat kemungkinan kadar tarif dapat dikurangkan hasil rundingan seterusnya.

Malaysia Tawar Timbal Balas Strategik kepada AS

Sebagai sebahagian strategi diplomasi ekonomi, Malaysia menawarkan beberapa inisiatif utama kepada AS termasuk Tempahan 30 pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG), serta Penglibatan syarikat teknologi digital utama seperti Google, Amazon dan Microsoft, serta Komitmen terhadap pelindungan harta intelek yang lebih mesra pelabur.

Sokongan Tambahan kepada PKS dan Pengeksport Terjejas

Sementara itu, Jelas Anwar lagi, Dalam usaha menyokong syarikat tempatan, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas, kerajaan memperkenalkan Tambahan RM1 bilion jaminan pembiayaan melalui Skim SJPP.

Dan RM500 juta dana pembiayaan mudah melalui institusi pembangunan kewangan (DFI), Tambahan RM50 juta kepada MATRADE untuk membantu pengeksport menembusi pasaran baharu.

Pelbagaikan Pasaran, Kukuh Projek Serantau

Perdana Menteri turut mengumumkan tumpuan baharu ke arah mempelbagaikan pasaran eksport, termasuk Negara-negara Eropah, Timur Tengah, Asia Tengah dan Amerika Selatan serta Projek strategik seperti ASEAN Power Grid, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), dan pelabuhan darat di Perlis dan NCER.

Fokus kepada Pelaburan, Ekonomi Digital dan Tenaga Baharu

Anwar menegaskan bahawa kerajaan akan mempercepat pelaksanaan pelaburan melalui pembukaan pusat sehenti pelaburan (IMFC) di Pulau Pinang dan Sarawak. Fokus turut diberi kepada pelaburan strategik dalam sektor E&E, AI, tenaga boleh baharu (LSS5), serta infrastruktur digital kerajaan.

malah Ujarnya  Kerajaan   terus mengutamakan penerimagunaan teknologi terkini selaras dengan iltizam untuk memperkukuh daya saing negara dan memudahcara perniagaan.

Katanya Kerajaan telah mewujudkan fakulti AI di UTM dan mewujudkan pusat teknologi di  UPM untuk post quantum cryptography. Selain itu, penelitian lanjut berhubung penggunaan teknologi terkini lain turut dilaksanakan antaranya termasuklah blockchain untuk pembudayaan digital dalam sektor awam.

Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa tiada dasar utama negara termasuk hak Bumiputera, vendor tempatan dan sektor strategik akan dikompromi dalam mana-mana rundingan perdagangan antarabangsa.

“Kita akan terus mempergiat agenda Ekonomi MADANI demi memastikan Malaysia kekal di landasan ekonomi yang mampan, berdaya tahan dan berdaya saing,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/05/05/kerajaan-umum-langkah-proaktif-hadapi-tarif-balas-as-pm-anwar/feed/ 0 73204
Apabila Gergasi Batuk, Ekonomi Kecil Demam: Malaysia Hadapi Tempias Perang Dagangan https://sabahmedia.com/2025/04/17/apabila-gergasi-batuk-ekonomi-kecil-demam-malaysia-hadapi-tempias-perang-dagangan/ https://sabahmedia.com/2025/04/17/apabila-gergasi-batuk-ekonomi-kecil-demam-malaysia-hadapi-tempias-perang-dagangan/#respond Thu, 17 Apr 2025 05:28:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=72137
Read Time:2 Minute, 22 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

Langkah drastik Amerika Syarikat mengenakan tarif import baharu telah mencetuskan ketidaktentuan dalam landskap perdagangan global, memberi kesan langsung kepada negara-negara yang bergantung kepada eksport termasuk Malaysia.

Pada 2 April lalu, AS mengumumkan Kadar Tarif Asas 10% ke atas semua import, serta pengenaan Kadar Tarif Timbal Balik berbeza mengikut negara – dengan Malaysia dikenakan kadar setinggi 24%. Beberapa negara ASEAN lain menerima kadar lebih tinggi, seperti Kemboja (49%) dan Vietnam (46%).

Risiko Terhadap Ekonomi Malaysia

Perdana Menteri Malaysia mengakui langkah AS tersebut bakal memberi impak kepada ekonomi negara, yang bergantung tinggi kepada dagangan luar. Delegasi kerajaan akan dihantar ke Washington dalam masa terdekat untuk merundingkan penyelesaian dua hala.

Menteri MITI turut memaklumkan bahawa kadar pertumbuhan KDNK negara bagi 2025 mungkin disemak semula, daripada unjuran asal 4.5%–5.5%, memandangkan kesan limpahan terhadap rakan dagang utama Malaysia. Beberapa institusi kewangan telah menurunkan unjuran mereka:

  • UOB: 4.7% → 4.0%
  • Maybank: 4.9% → 4.3%
  • RHB Investment: 5.0% → 4.5%

Kesan Berganda dari Perang Perdagangan AS-China

AS mengenakan tarif 145% ke atas China, yang dibalas Beijing dengan tarif 125% – situasi yang memburukkan ketidaktentuan pasaran. China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia, dan sebarang kelembapan dalam ekonominya memberi kesan segera kepada perdagangan Malaysia.

Sabah: Impak Berbeza Mengikut Sektor

Menteri Kewangan Sabah menyatakan tarif ini akan menjejaskan hasil minyak negeri – sumber 50% pendapatan Sabah – sekiranya harga global jatuh. Namun, bekas Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi POIC menyatakan impak kepada Sabah adalah minimum, memandangkan hanya sekitar 1% eksport negeri tersebut ditujukan ke AS.

Ancaman Terhadap Pekerjaan dan Industri Tempatan

Presiden MICCI memberi amaran bahawa kira-kira 50,000 pekerjaan di sektor E&E, sarung tangan dan alat ganti automotif di Pulau Pinang, Johor dan Lembah Klang berisiko. MICCI mencadangkan penubuhan Majlis Mitigasi Tarif, skim penampan tarif dan pemecutan FTA sebagai penyelesaian jangka pendek.

FMM pula menyuarakan kebimbangan tentang peningkatan kos eksport antara 10–30%, serta kemungkinan Malaysia menjadi destinasi lambakan barangan murah dari negara-negara lain. Mereka menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan SST baharu (1 Mei) dan kenaikan tarif elektrik (1 Julai).

Perdagangan Masih Kukuh, Namun Risiko Meningkat

Pada 2024, Malaysia mencatat nilai dagangan tertinggi dalam sejarah, RM2.879 trilion (+9.2%). Eksport ke AS meningkat 23.2% kepada RM198.65 bilion – sebahagian besarnya dalam sektor E&E, jentera dan produk getah. Lebihan dagangan dengan AS mencecah RM72.38 bilion.

Namun, menurut RHB IB, eksport ke AS boleh berkurang sebanyak 12% (RM8.7 bilion) susulan tarif baharu, yang akan memberi tekanan kepada rantaian bekalan global.

Kelegaan Sementara: Penangguhan 90 Hari

Pada 9 April, AS mengumumkan penangguhan 90 hari bagi pelaksanaan tarif timbal balik untuk membolehkan rundingan dijalankan. Namun, tarif 10% ke atas semua negara kekal dilaksanakan.

Penganalisis menjangkakan landskap dagangan global akan berubah secara kekal, dan Malaysia perlu segera menyesuaikan dasar industri dan pelaburan bagi mengelakkan impak mendalam ke atas ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/04/17/apabila-gergasi-batuk-ekonomi-kecil-demam-malaysia-hadapi-tempias-perang-dagangan/feed/ 0 72137