KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited memperkasa penyertaan wanita muda dalam bidang keusahawanan sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan di negeri ini.
Sehubungan itu, Institut Kajian Pembangunan (Sabah) atau IDS dan Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC), dengan kerjasama Pejabat Daerah Beaufort, akan menganjurkan Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda Sabah: Kuasa Wanita, Kuasa Ekonomi pada Sabtu ini, 26 April 2025, bertempat di Dewan Pa’ Musa, Beaufort.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan Memperkasa Usahawan Wanita Muda yang bertemakan Let the Journey Begin, yang telah dilancarkan secara rasmi pada 26 Februari lalu.
Inisiatif tersebut adalah hasil kerjasama strategik IDS dan SCC bagi memperluas akses kepada pembiayaan, bimbingan, latihan dan strategi pemasaran – selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan ekonomi.
Menurut Ketua Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, pemberdayaan wanita muda dalam bidang keusahawanan adalah antara strategi penting ke arah pembangunan mampan negeri ini.
“Melalui program ini, IDS komited membina ekosistem sokongan yang inklusif bagi merangsang inovasi tempatan dan melahirkan generasi usahawan wanita yang berdaya saing, berpengetahuan dan berwawasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pendekatan holistik yang diambil bukan sahaja membuka ruang kepada pembelajaran dan kerjasama, malah turut menyumbang secara signifikan kepada kemajuan sosioekonomi negeri.
Antara objektif utama program termasuk mewujudkan rangkaian usahawan muda, meningkatkan kesedaran terhadap peluang sokongan perniagaan yang tersedia, serta memperkukuh literasi digital dalam kalangan wanita luar bandar.
Program ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan keusahawanan luar bandar, khususnya dalam kalangan wanita muda sejajar dengan aspirasi negeri menuju ekonomi yang inklusif, progresif dan mampan.
Untuk maklumat lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh menghubungi Penyelaras Program, Royaini Matusin, menerusi e-mel [email protected] atau telefon 088-450 000.
]]>Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah terus komited memperkasakan wanita dengan memperluaskan peluang dan sokongan kepada usahawan wanita muda, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, selain melantik lebih ramai wanita sebagai pembuat dasar dan keputusan dalam pelbagai sektor perkhidmatan awam, kerajaan juga giat memperkasa wanita dalam perniagaan kecil dan sederhana melalui pelbagai inisiatif.
“Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) akan melaksanakan pelbagai program untuk membantu Perusahaan Micro, Kecil dan Sederhana di Sabah, seperti program SME-Up, pemasaran dan promosi produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta kursus pembangunan usahawan tahun ini di seluruh Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.
Setakat ini, 8,031 usahawan PKS telah berdaftar dengan MIDE, dan kerajaan berharap lebih ramai akan mengambil bahagian untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi sendiri dan negeri Sabah.
“MIDE juga telah mengenal pasti 87 usahawan Sabah untuk menyertai pelbagai ekspo antarabangsa bagi memasarkan produk mereka ke peringkat global tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda merupakan satu lagi inisiatif utama dalam Belanjawan Negeri Sabah 2025 untuk membantu usahawan wanita muda di negeri ini.
Sekitar 200 usahawan wanita muda di Sabah akan menerima manfaat daripada program itu yang dikenali sebagai Daya Upaya Peluang Usahanita (DAYANG), yang turut menawarkan pakej pinjaman yang menarik.
Hajiji menjelaskan, program ini bukan sekadar menyediakan modal tetapi turut menawarkan latihan, mentoring oleh pakar industri, dan pendedahan kepada strategi pemasaran efektif bagi memastikan kejayaan mereka dalam jangka masa panjang.
“Usahawan wanita sering berdepan cabaran seperti kekangan modal, akses kepada teknologi dan pasaran, serta rangkaian sokongan yang terhad.
“Cabaran ini bukan sahaja menghalang mereka meningkatkan kapasiti dan produktiviti, tetapi juga mengehadkan potensi untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Hajiji yakin Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda, yang dianjurkan bersama oleh Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dan Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC), akan menjadi pencetus kejayaan lebih ramai wanita dalam dunia keusahawanan.
Turut hadir Pengerusi IDS Datuk Seri Azizah Mohd Dun, Ketua Pegawai Eksekutif IDS Datuk Dr. Ramzah Dambul, dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pinjaman Sabah Datuk George Taitim Tulas.
]]>