KOTA KINABALU: Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (USIA) diseru mempergiat usaha menarik penyertaan golongan muda dan beliawanis dalam Puteri USIA bagi memastikan kesinambungan kepimpinan serta kerelevanan organisasi itu pada masa hadapan.
Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad, berkata generasi pelapis perlu dipersiapkan dengan ilmu pengetahuan, akhlak dan kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan semasa.
Beliau berkata, Puteri USIA perlu diperkasa sebagai wadah melahirkan generasi wanita yang berilmu, berakhlak, berdaya saing serta mempunyai keupayaan dalam bidang kepimpinan dan teknologi.
“Giatkan usaha menarik penyertaan golongan muda dan beliawanis dalam Puteri USIA bagi memastikan kesinambungan kepimpinan serta kerelevanan organisasi pada masa hadapan.
“Kalau kita mahu USIA terus relevan 20 atau 30 tahun akan datang, hari ini kita mesti membina pelapisnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Amal Citra Madani Wanita USIA sempena ulang tahun ke-57 USIA di sini.
Menurut Sapawi, golongan wanita mempunyai kekuatan tersendiri kerana peranan mereka yang dekat dengan keluarga, masyarakat dan generasi muda, sekali gus berpotensi menjadi penggerak kepada pembangunan ummah.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru Wanita USIA supaya terus membantu kepimpinan organisasi memperkukuh gerakan di seluruh Sabah menerusi peluasan aktiviti dakwah, pendidikan dan khidmat masyarakat.
Majlis berkenaan dirasmikan isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin, yang juga penaung Badan Wanita USIA Negeri Sabah.
Pada majlis itu, turut diadakan penyampaian anugerah kepada tiga Ketua Wanita USIA bahagian, selain peragaan busana Muslimah, persembahan hiburan serta penyampaian hadiah pakej umrah kepada pengunjung bertuah.
Turut hadir isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Panglima Juliah Salag, dan Ketua Wanita USIA, Datuk Siti Aminah Aching.
]]>KOTA MARUDU: Kolej Kemahiran Islam Sabah (KKIS) di Pusat Pusat Latihan Dakwah USIA – AlBukhary, Kampung Marasinsim, di sini, menjadi satu lagi landskap pendidikan baharu dalam latihan kemahiran di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata penubuhan kolej ini juga adalah satu usaha yang amat baik, tepat pada masanya dan relevan dengan keperluan semasa.
“Sudah pasti kolej ini memberi peluang kepada ramai anak-anak daripada institusi pondok, tahfiz dan pendidikan Islam di Sabah, meneruskan pengajian mereka dalam bidang kemahiran. Pelajar-pelajar tahfiz ini sudah mempunyai asas agama, hafazan dan nilai akhlak yang baik.
“Namun, dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar, mereka juga perlu diberikan kemahiran teknikal supaya mempunyai peluang pendidikan dan kerjaya yang lebih luas. Kita mahu menggabungkan ilmu Islam dengan kemahiran teknikal dan vokasional, agar lepasan pondok dan tahfiz bukan sahaja mempunyai ilmu agama, tetapi juga mempunyai kemahiran yang diperlukan oleh industri dan pasaran pekerjaan.

“Kita mahu anak-anak Sabah, termasuk lepasan pondok dan tahfiz, mempunyai laluan pendidikan dan kemahiran yang jelas serta mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, khususnya dalam menghadapi cabaran masa depan seperti Kecerdasan Buatan atau Al,” katanya pada Majlis Perasmian Kolej Kemahiran Islam Sabah atau KKIS, di Pusat Latihan Dakwah USIA – AlBukhary, Kampung Marasinsim, di sini pada Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif.
Dalam pada itu Hajiji mahu kerjasama strategik Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dengan Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan atau IKDAR akan terus diperkukuhkan.

“Ini bagi memastikan KKIS dapat berkembang sebagai sebuah institusi kemahiran Islam yang berkualiti dan berdaya saing. Kita amat menghargai perkongsian kepakaran, teknologi, pengalaman serta jaringan pendidikan yang dibawa oleh IKDAR dalam pembangunan KKIS.
“Sudah pasti tindakan ini memberikan nilai tambah kemahiran supaya golongan muda Islam bukan sahaja mantap ilmu agama, malah berdaya saing di pasaran kerja. Kerajaan negeri akan menyokong USIA dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain bagi melaksanakan usaha yang baik untuk kepentingan rakyat.
“Saya berharap KKIS terus memperluaskan program kemahiran, memperkukuh kerjasama industri serta mememperkasa penguasaan Al dan teknologi digital, agar lahir graduan yang kukuh nilai agamanya, tinggi kemahirannya dan bersedia menghadapi masa hadapan.” katanya.
“Hari ini, kita dapat menyaksikan sendiri hasil daripada komitmen itu apabila bangunan ini telah dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya dan diberikan nafas baharu melalui penubuhan KKIS. Saya berharap kolej ini terus menjadi pusat pendidikan, pembangunan modal insan dan pemerkasaan ummah di Sabah,” katanya.
]]>KOTA KINABALU : Guru Pendidikan Islam khususnya di negeri perlu mengambil peluang bagi meningkatkan penguasaan teknologi termasuk Kecerdasan Buatan (AI) yang kini telah memasuki hampir setiap sektor kehidupan, termasuk bidang pendidikan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Isnin Aliasneh berkata, guru mempunyai peranan yang amat besar yang bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah membentuk pemikiran, membina karakter dan mencorakkan masa depan generasi masa kini.
“AI boleh membantu guru menyediakan bahan pengajaran, membina aktiviti pembelajaran, menganalisis keperluan murid dan menghasilkan kandungan pendidikan yang lebih kreatif dan interaktif.

“Namun begitu, kita perlu memahami bahawa AI hanyalah alat. Guru tetap menjadi insan yang membimbing, mendidik dan membentuk nilai.
“Lebih-lebih lagi dalam Pendidikan Islam, penggunaan AI mestilah disertai dengan akhlak, adab, amanah, ketepatan ilmu dan kefahaman terhadap sumber-sumber Islam yang sahih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Pembangunan Modal Insan (PPMI) Institusi Pendidikan Islam Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.
Hadir sama Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Sapawi Ahmad.
Isnin berkata, pihaknya melihat program PPMI itu adalah sebagai satu langkah yang penting kerana ia bukan sahaja mahu meningkatkan kemahiran profesional guru, tetapi mahu memastikan guru-guru Pendidikan Islam Sabah celik teknologi, celik AI dan bersedia menghadapi perubahan pendidikan masa hadapan.
Beliau berkata, pihaknya juga mahu melahirkan guru Pendidikan Islam yang menguasai ilmu agama, pedagogi dan teknologi, sehingga mampu menjadikan AI sebagai pemudah cara dalam proses pengajaran dan pembelajaran tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan dan pembentukan akhlak.
Sementara itu, Isnin berkata, Kerajaan Negeri Sabah sentiasa menyokong segala usaha yang membawa kepada pemerkasaan pendidikan dan pembangunan modal insan.
“Kita sedar bahawa masih terdapat keluarga yang berdepan dengan cabaran ekonomi dan sosial. Namun kita percaya bahawa antara jalan paling penting untuk mengubah keadaan tersebut ialah melalui pendidikan dan ilmu.
“Hanya ilmu yang mampu membuka minda, membina kemahiran, meningkatkan peluang pekerjaan dan seterusnya mengubah keadaan ekonomi sesebuah keluarga,” katanya. – SABAH MEDIA
]]>Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Kolej Kemahiran Islam Sabah (KKIS) akan direalisasikan di Pusat Latihan Dakwah (PLD) Marasinsim, Kota Marudu dalam masa terdekat selaras dengan usaha memperkasa agenda pendidikan serta kemahiran Islam.
Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Sapawi Ahmad berkata, kolej itu akan menjadi pusat pembangunan bakat dan Kemahiran generasi muda lepasan tahfiz dan pondok di negeri ini.
Beliau berkata, kolej dengan kerjasama Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) itu berupaya membantu para tahfiz untuk mendapat pendidikan di peringkat Diploma.
“Selain itu, mereka juga boleh memperoleh pendidikan di peringkat Ijazah dan dalam jangka panjang kita sedang melaksanakan Pengajian Jarak Jauh (PJJ) secara dalam talian.
“Ia adalah sebagai asas untuk menunggu kelayakan dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran Aidilfitri di Menara USIA di sini pada Sabtu.
Sapawi berkata, selain memperkasa agenda pendidikan, projek-projek pembangunan aset tanah USIA yang sebelum ini terbengkalai telah dikaji semula secara menyeluruh dan kini berjaya dilaksanakan dengan lebih terancang.
Katanya, ia termasuk Projek Pembaikan Bangunan USIA di Bulatan Sembulan yang berjalan lancar memasuki fasa kedua.
“Bagi projek pembangunan strategik, pembangunan tanah USIA di Sembulan (tapak Asrama Toh Puan) kini berada pada fasa kerja tanah dan piling sebagai langkah awal ke arah pembangunan yang lebih menyeluruh.
“Manakala, Projek Pembangunan Plaza Sipadan di Semporna telah menunjukkan kemajuan memberangsangkan dengan pencapaian sekitar 30 peratus pembinaan, dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2027,” katanya.
Sementara itu, Sapawi berkata, USIA sentiasa menjalin kolaborasi erat bersama agensi-agensi agama serta NGO Islam yang lain, khususnya dalam bidang dakwah, pendidikan dan kebajikan.
“Kerjasama strategik ini telah banyak memberi impak positif kepada masyarakat Islam dan menjadi kekuatan utama dalam memperluaskan lagi usaha pengimarahan Islam,” katanya. – SABAH MEDIA
]]>Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu: Program Ramadan Jazz yang mengangkat pendekatan dakwah kontemporari melalui gabungan muzik, tazkirah dan aktiviti kebajikan dijangka menghimpunkan kira-kira 1,500 pengunjung.
Program anjuran Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu dijadual akan diadakan pada 14 Mac ini bertempat di Kompleks Sukan Likas.
Penganjuran program itu juga dilihat sebagai platform berkesan mendekati golongan belia serta masyarakat umum dalam suasana Ramadan yang lebih inklusif.

Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad berkata, penganjuran Ramadan Jazz sebelum ini diadakan di Sandakan membuktikan kaedah dakwah di ruang terbuka mampu menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk bukan Islam dan pelancong.
Menurutnya, pendekatan santai melalui seni muzik dan pengisian kerohanian ringkas selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai ihsan, kasih sayang dan kebersamaan dalam komuniti.
“Program ini memberi ruang kepada masyarakat untuk menghayati Ramadan dalam suasana harmoni, bukan sahaja melalui ibadah, tetapi juga interaksi sosial yang sihat dan membina.
“Ia juga menjadi medium dakwah yang dekat dengan generasi muda, khususnya mereka yang mungkin kurang tertarik dengan pendekatan konvensional,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat penganjuran program itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Isnin.
Sapawi berkata, antara pengisian utama Ramadan Jazz ialah agihan bubur lambuk kepada orang ramai, ceramah dan tazkirah ringkas, persembahan lagu-lagu dakwah serta aktiviti kebajikan termasuk penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf.
Katanya, program yang berlangsung dari jam 4 petang hingga 9.30 malam itu digerakkan oleh Belia USIA di bawah pimpinan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar.
Menurutnya, kejayaan penganjuran terdahulu yang turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Zulkifli Hasan, menjadi dorongan untuk memperluaskan Ramadan Jazz ke peringkat negeri.
“Di Sabah, suasana Ramadan amat unik kerana penglibatan masyarakat bukan Islam dalam aktiviti berbuka puasa dan bazar Ramadan. Ramadan Jazz mencerminkan realiti ini dan memperkukuh semangat perpaduan yang sedia ada,” katanya.
Beliau berharap program itu dapat terus dijadikan agenda tahunan sebagai wadah dakwah kreatif dan pemangkin keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama di negeri ini. – SABAH MEDIA
]]>Kota Kinabalu : Bangunan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) yang dibina sejak 1972 terletak di Sembulan dibaik pulih untuk dimanfaatkan pembangunan dakwah, tarbiah dan perpaduan ummah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, baik pulih bangunan itu menelan kos perbelanjaan sebanyak lebih RM3 juta bagi fasa pertama.
“Bangunan USIA ini sangat bersejarah dalam konteks dakwah, siasah dan masyarakat keseluruhannya. Sudah pasti sejarah kita pertahankan dan fungsi bangunan ini insyaAllah akan lebih bagus.
“Ia juga akan lebih dapat dimanfaatkan untuk pembangunan dakwah tarbiah dan perpaduan ummah. Dalam fasa pertama, dana diluluskan adalah RM3 juta untuk baik pulih, fasa kedua nanti akan dinilai selepas fasa pertama selesai. Ketua Menteri juga sudah komited untuk membantu bangunan yang bersejarah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Projek Membaikpulih Bangunan USIA di Sembulan di sini hari ini.
Hadir sama Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad.
Arifin yang juga Exco Agama Sabah berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada pimpinan USIA ada usaha yang diberikan terhadap pembangunan projek berkenaan.
Dalam pada itu, Sapawi berkata, pihaknya masih mengekalkan keaslian bangunan berkenaan berdasarkan sejarah selain struktur bangunan yang masih dikategorikan selamat oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).
“JKR telah memberi keyakinan kepada kita bahawa bangunan ini masih kukuh dan teguh. Pelaksanaan bangunan ini kita gunakan konsultan yang memang akan menjadi pemandu kepada seluruh usaha baik pulih.
“Apabila siap nanti kita bercadang untuk beralih operasi ke sini daripada pejabat di One Borneo dan banyak juga agensi yang mempelawa untuk menyewa di tingkat satu dan dua bangunan ini nanti,” katanya. – SABAH MEDIA
]]>KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Kota Kinabalu akan terus mengangkat kitab suci Al-Quran sebagai panduan hidup ummah.
Ketua Wanita USIA Bahagian Kota Kinabalu Nirma Habibi berkata, penganjuran program khatam Al-Quran pada setiap tahun adalah bertujuan bagi mengangkat khatam Al-Quran ditempat yang selayaknya.

“Program khatam Al-Quran ini akan dijadikan sebagai program tahunan bagi mengkhatamkan Al-Quran.
“Ianya bukan sahaja wanita Islam USIA tetapi juga melibatkan wanita Islam sekitar Kota Kinabalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Khatam Al-Quran 100 Muslimah dan Makan Malam Amal Wanita USIA Kota Kinabalu, di sini baru-baru ini.
Nirma berkata, pihaknya akan berusaha mengadakan khatam bagi golongan wanita mualaf di sekitar daerah ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Yang DiPertua USIA Sabah, Datuk Sairin Karno.
]]>KENINGAU: “Saya tidak takut kena suntik vaksin,” begitu kata-kata semangat seorang warga emas yang berusia 100 tahun antara penerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Daerah Kecil Sook dekat sini pada Isnin. (21 Jun 2021).
Kuyinin Balansing berasal dari Kg Kabatang Baru, Tulid kira-kira 16km dari PPV Sook, ditemani oleh anak perempuannya Mihim Jiun, 61, semasa menerima suntikan vaksin tersebut.
Mihim berkata, ibunya tidak takut menerima vaksin Covid-19 kerana dia sudah dimaklumkan oleh anak-anaknya bahawa vaksin ini baik untuk kesihatan dan melindungi diri dari penyakit berjangkit yang merbahaya seperti Covid-19.
“Mama saya sempat lagi memberitahu kawan-kawannya supaya mengambil suntikan vaksin, mama saya cakap walaupun dia sudah tua umur 100 tahun tapi tidak takut untuk terima vaksin.
“Mama saya dalam keadaan yang baik sebaik sahaja menerima suntikan vaksin malah hari ini beliau sudah turun ke kebun,” ujar Mihim semasa ditemubual oleh pemberita Sabah Media hari ini.
Menurut Mihim, ibunya Kuyinin yang lahir pada 5 Jun 1921, mempunyai lapan orang anak, hanya memakan makanan yang direbus dan dipanggang serta banyak memakan sayur-sayuran yang ditanam sendiri adalah rahsia kesihatan ibunya sampai ke usia itu.
Manakala suami Kuyinin telah lama meninggal dunia sejak anak-anaknya kecil lagi.
Selepas sahaja Kuyinin menerima suntikan vaksin, ramai penduduk yang tinggal di kejiranan yang sama tampil dan mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19.
Dalam hal berkaitan, petugas kesihatan di PPV Sook merekodkan seramai 78 penduduk dari kawasan Sook sehingga ke Kg Mongorimot, Mansiat yang terletak 120km dari Daerah Keningau hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 mereka pada hari tersebut.
]]>