vape – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Fri, 07 Aug 2026 03:12:25 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png vape – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Cegah sebelum merebak, kesedaran bahaya vape perlu bermula di sekolah rendah https://sabahmedia.com/2026/08/07/cegah-sebelum-merebak-kesedaran-bahaya-vape-perlu-bermula-di-sekolah-rendah/ https://sabahmedia.com/2026/08/07/cegah-sebelum-merebak-kesedaran-bahaya-vape-perlu-bermula-di-sekolah-rendah/#respond Fri, 07 Aug 2026 03:12:20 +0000 https://sabahmedia.com/?p=101142
Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU: Langkah pencegahan awal perlu diperkasakan bagi mengelakkan gejala penggunaan vape menular ke sekolah, khususnya dalam kalangan murid sekolah rendah.

Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, meskipun belum terdapat data yang menunjukkan gejala berkenaan telah berlaku di sekolah rendah, namun usaha meningkatkan kesedaran perlu dimulakan lebih awal agar masalah itu dapat dibendung sebelum menjadi lebih serius.

“Data itu kita belum lihat lagi, tetapi kita khuatir gejala ini akan merebak ke sekolah. Jadi, sebelum ia berlaku, lebih baik kita tangani dari awal.

“Kesedaran itu penting. Kita perlu memberi penerangan kepada murid-murid di peringkat sekolah rendah selain menganjurkan program bersama ibu bapa mengenai bahaya vape kepada golongan muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sukan Olahraga Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan, di sini.

Menurutnya, penggunaan vape dalam kalangan kanak-kanak dan remaja perlu dipandang serius kerana kandungannya dikhuatiri boleh memberi kesan buruk terhadap perkembangan fizikal serta fungsi otak pada usia muda.

Sehubungan itu, beliau berkata usaha membendung gejala tersebut tidak boleh dipikul oleh pihak sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), komuniti serta agensi kerajaan.

Katanya, PIBG boleh memainkan peranan lebih proaktif dengan menganjurkan pelbagai program kesedaran dan pendidikan bagi membantu murid memahami risiko penggunaan vape serta menjauhkan diri daripada gejala sosial.

“Usaha ini memerlukan kebersamaan semua pihak. Sekolah, ibu bapa, komuniti dan agensi berkaitan perlu berganding bahu supaya gejala ini dapat dicegah sebelum ia memasuki persekitaran sekolah,” katanya.

Mengulas mengenai peranan pihak berkuasa, Arif berkata penguatkuasaan serta peraturan berkaitan bahan yang boleh memudaratkan golongan muda wajar diperkasakan agar tindakan tegas dapat diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang.

“Kita tidak mahu mengatakan perkara ini sudah berlaku di sekolah. Apa yang kita mahu ialah membasmi dan mencegah gejala ini sebelum ia memasuki sekolah,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/07/cegah-sebelum-merebak-kesedaran-bahaya-vape-perlu-bermula-di-sekolah-rendah/feed/ 0 101142
Penggunaan rokok, vape dalam kalangan belia membimbangkan – Pakar Kesihatan UMS https://sabahmedia.com/2026/06/03/penggunaan-rokok-vape-dalam-kalangan-belia-membimbangkan-pakar-kesihatan-ums/ https://sabahmedia.com/2026/06/03/penggunaan-rokok-vape-dalam-kalangan-belia-membimbangkan-pakar-kesihatan-ums/#respond Wed, 03 Jun 2026 03:37:57 +0000 https://sabahmedia.com/?p=97639
Read Time:2 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU : Penggunaan rokok, vape dan produk tembakau terus menjadi ancaman utama terhadap kesihatan awam negara apabila semakin ramai golongan muda terdedah kepada ketagihan nikotin serta risiko penyakit kronik pada usia lebih awal.

Ketua Jabatan Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Mohd Nazri Mohd Daud berkata, penggunaan produk tembakau bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal, malah turut memberi implikasi terhadap kesihatan mental pengguna.

Beliau berkata bahan utama dalam rokok dan vape iaitu nikotin boleh menyebabkan ketagihan selain mempengaruhi emosi, tingkah laku serta tahap keresahan pengguna.

“Penggunaan produk tembakau meningkatkan risiko pelbagai penyakit kronik termasuk serangan jantung, strok, kanser dan penyakit paru-paru kronik.

“Bagi golongan remaja dan awal belia, nikotin boleh membantutkan perkembangan otak serta memberi kesan jangka panjang apabila mereka dewasa kelak,” katanya ketika ditemui dalam satu temubual sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia, baru-baru ini. 

Menurut beliau, ancaman penggunaan rokok dan vape masih membimbangkan berikutan trend penggunaannya semakin ketara dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

“Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, kadar perokok dewasa di Malaysia dianggarkan sekitar 19 peratus atau kira-kira 4.8 juta perokok di seluruh negara.

“Angka ini masih tinggi dan memberi kesan besar kepada sistem kesihatan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Nazri menegaskan kempen kesedaran seperti Hari Tanpa Tembakau mampu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya merokok, namun pendekatan tradisional semata-mata tidak mencukupi untuk mengubah tingkah laku perokok dalam jangka panjang.

“Pendekatan lebih moden perlu diperkenalkan dengan memberi fokus kepada golongan muda menerusi penggunaan media sosial, penglibatan pempengaruh dalam menyampaikan mesej positif serta penerapan kempen gaya hidup sihat.

“Golongan belia juga perlu diberikan kemahiran untuk menolak ajakan merokok agar mereka lebih yakin membuat pilihan hidup sihat,” katanya.

Mengulas berkaitan strategi membantu perokok untuk berhenti merokok, beliau berkata rawatan terapi gantian nikotin dan sesi kaunseling psikologi antara pendekatan paling berkesan apabila dilaksanakan secara menyeluruh.

“Sokongan keluarga dan komuniti juga penting bagi memastikan individu yang menjalani rawatan kekal bermotivasi sehingga tamat tempoh rawatan di klinik berhenti merokok yang lazimnya mengambil masa sekitar enam bulan.

“Cadangan juga agar akses kepada perkhidmatan berhenti merokok diperluaskan di hospital dan klinik kerajaan, institusi pengajian tinggi serta hospital swasta selain diperkasakan melalui hebahan lebih meluas kepada masyarakat,” katanya. 

Dalam aspek sosial dan ekonomi, katanya tabiat merokok memberi beban kewangan kepada keluarga bukan sahaja dari segi pembelian rokok, malah kos rawatan penyakit berkaitan merokok yang jauh lebih tinggi.

Menurut data World Health Organization (WHO), perokok berisiko kehilangan sehingga 10 tahun jangka hayat akibat komplikasi penyakit berkaitan tembakau.

“Kanak-kanak juga mudah terpengaruh sekiranya ibu bapa atau ahli keluarga terdekat merokok di hadapan mereka.

“Justeru itu, masyarakat perlu menormalisasikan budaya menolak rokok dan vape khususnya dalam kalangan generasi muda bagi melahirkan komuniti yang lebih sihat dan bebas penyakit kronik,” ujar beliau. 

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/03/penggunaan-rokok-vape-dalam-kalangan-belia-membimbangkan-pakar-kesihatan-ums/feed/ 0 97639
Vape dicampur dadah THC: Polis Sabah bongkar MO baharu edar dadah https://sabahmedia.com/2026/05/20/vape-dicampur-dadah-thc-polis-sabah-bongkar-mo-baharu-edar-dadah/ https://sabahmedia.com/2026/05/20/vape-dicampur-dadah-thc-polis-sabah-bongkar-mo-baharu-edar-dadah/#respond Wed, 20 May 2026 05:48:04 +0000 https://sabahmedia.com/?p=97020
Read Time:2 Minute, 10 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Polis Sabah membongkar taktik baharu sindiket pengedaran dadah yang mencampurkan cecair dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam vape untuk dijual kepada pengguna di negeri ini.

Bungkusan cecair vape yang dijual dalam pasaran mengandungi dadah jenis THC.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, modus operandi (MO) itu dikesan susulan dua operasi berasingan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah yang membawa kepada rampasan dadah bernilai kira-kira RM3.3 juta.

Menurutnya, kes pertama berlaku pada 3 Mei lalu apabila JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna menahan seorang lelaki di sebuah kawasan perumahan di daerah itu.

“Hasil pemeriksaan menemukan kira-kira 1,000 kartrij vape pelbagai jenis mengandungi cecair dadah dianggarkan seberat 20 kilogram serta dua botol gelen biru dipercayai cecair dadah seberat 11 kilogram.

“Siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lagi suspek di Semporna sebelum seorang lagi lelaki ditahan di Tawau bersama dadah jenis ganja,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan, pada Rabu.

Jauteh berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan menggunakan vape biasa, namun mencampurkan cecair THC sebagai bahan tambahan untuk menghasilkan kesan khayal, kecelaruan mental dan ketagihan melampau kepada pengguna.

“Kita sering dengar dakwaan vape dicampur dadah dan kali ini kita berjaya membuktikannya melalui tangkapan serta rampasan yang dibuat.

“Ini adalah rampasan terbesar pertama di Sabah melibatkan cecair dadah digunakan dalam vape,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati cecair dadah yang dijual dengan harga RM15 hingga RM30 sebotol itu dibawa masuk ke Sabah melalui perkhidmatan kargo.

Dalam operasi kedua pula, katanya, JSJN Kota Kinabalu menahan dua lelaki di kawasan parkir kereta di 88 Marketplace Kepayan pada 11 Mei lalu dan menemukan dua kilogram syabu di dalam kenderaan dinaiki mereka.

“Hasil siasatan segera dengan kerjasama JSJN IPK Sabah dan IPD Penampang membawa kepada penahanan dua lagi lelaki serta rampasan 50 kilogram dadah di sebuah penginapan di Penampang.

“Siasatan susulan kemudian membawa kepada penahanan seorang lelaki dan seorang wanita bersama rampasan tambahan 10 kilogram dadah,” katanya.

Menurut beliau, keseluruhan rampasan bagi operasi kedua melibatkan 63.245 kilogram syabu dan serbuk ekstasi bernilai RM3.16 juta.

Katanya, dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk ke Sabah melalui laluan sempadan Sabah-Sarawak sebelum diedarkan di negeri ini.

“Kesemua suspek berusia antara 29 hingga 52 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Hasil semakan juga mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Jauteh berkata, polis turut menyita beberapa kenderaan dipercayai digunakan sindiket pengedaran dadah terbabit.

Beliau berkata, daripada empat tangkapan dalam kes vape THC itu, tiga suspek adalah warga tempatan manakala seorang lagi warga asing yang dipercayai berperanan sebagai pengedar di Sabah.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/20/vape-dicampur-dadah-thc-polis-sabah-bongkar-mo-baharu-edar-dadah/feed/ 0 97020
Nanostix sokong cadangan Perdana Menteri, sedia bantu tangani isu vape dadah https://sabahmedia.com/2025/06/20/nanostix-sokong-cadangan-perdana-menteri-sedia-bantu-tangani-isu-vape-dadah/ https://sabahmedia.com/2025/06/20/nanostix-sokong-cadangan-perdana-menteri-sedia-bantu-tangani-isu-vape-dadah/#respond Fri, 20 Jun 2025 09:44:59 +0000 https://sabahmedia.com/?p=75882
Read Time:1 Minute, 9 Second

KUALA LUMPUR  – Nanostix Innovations Sdn Bhd (Nanostix), salah satu syarikat pengeluar vape utama di Malaysia, menyatakan sokongan penuh terhadap saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua pihak melaksanakan kajian menyeluruh bagi membanteras penyalahgunaan vape mengandungi dadah dalam kalangan remaja.

Pengarah syarikat, Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman berkata, penyalahgunaan dadah melalui peranti vape kini menjadi ancaman baharu yang serius dan tidak boleh dipandang ringan.

“Sebagai syarikat tempatan yang berdaftar serta mematuhi kawal selia yang ketat, kami komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam menangani isu ini secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, gejala vape dadah yang semakin membimbangkan memerlukan sokongan pelbagai pihak dan pendekatan bersepadu, memandangkan dadah telah lama menjadi musuh utama negara dan masyarakat global.

Mengulas lanjut, Shahabudeen berkata pihaknya mengemukakan beberapa cadangan bagi memperkukuh kawalan ke atas penyalahgunaan vape dadah, antaranya:

Penubuhan Majlis Pemantauan Vape Malaysia bagi menyelaras pengawalan industri dari peringkat pengeluaran hingga penguatkuasaan.

Sekatan menyeluruh ke atas pengimportan produk vape dari luar negara, terutamanya yang tidak berdaftar.

Pengharaman peranti ‘Open Pod’ dan penjualan cecair isian semula secara terbuka bagi menyekat manipulasi kandungan vape oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Peningkatan penguatkuasaan di sempadan dan premis jualan, bagi menyekat penyeludupan dan penjualan vape haram.

Penjualan hanya dibenarkan kepada produk sah dan beretika, termasuk penggunaan pelekat cukai dan sistem pengesahan usia.

Kempen kesedaran di sekolah dan institusi pendidikan bagi mendidik belia mengenai bahaya vape dadah

]]>
https://sabahmedia.com/2025/06/20/nanostix-sokong-cadangan-perdana-menteri-sedia-bantu-tangani-isu-vape-dadah/feed/ 0 75882
200 daripada 300 kanak-kanak mengaku hisap vape – CAP https://sabahmedia.com/2023/04/25/200-daripada-300-kanak-kanak-mengaku-hisap-vape-cap/ https://sabahmedia.com/2023/04/25/200-daripada-300-kanak-kanak-mengaku-hisap-vape-cap/#respond Tue, 25 Apr 2023 03:26:11 +0000 https://sabahmedia.com/?p=33296
Read Time:2 Minute, 18 Second

CYBERJAYA — Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan sebilangan besar kanak-kanak mengakui, mereka tidak membeli sebarang peralatan vape atau e-rokok sebaliknya merasa jus cecair vape kepunyaan bapa atau abang yang secara tidak langsung menarik minat bagi mencubanya.

Hasil soal selidik CAP mendapati, kanak-kanak berkenaan yang berusia sembilan hingga 12 tahun mengakui mereka mencuba vape dan e-rokok bapa ketika berada di rumah atau dalam kereta.

Pegawai Pendidikan CAP dan aktivis, NV Subbarow, berkata perkara itu didedah oleh kanak-kanak berkenaan ketika program kesedaran merokok, vape dan penggunaan e-rokok yang dijalankan CAP di beberapa sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang kata persatuan pengguna itu seperti yang dilaporkan portal Berita Harian.

menurut laporan itu lagi, seramai 200 daripada 300 kanak-kanak yang ditemukan CAP ketika program tanpa nikotin bagi kanak-kanak, mengakui mereka mengambil vape dua kali seminggu.

“Sebenarnya sebelum ini mereka bukan perokok dan pelajar mengaku tingkah laku itu adalah cara mula mereka mencuba vape dan e-rokok berkenaan. 

“Mereka juga mengakui, adik-beradik lelaki itu mencadangkan mereka mencuba vape, walaupun mereka kadang-kadang menolak atau berkata tidak kepada produk berkenaan.

“Mereka tidak pernah menyentuh rokok tetapi kini mula menghisap vape dan daripada empat kanak-kanak, seorang daripadanya adalah perempuan dan ketagih manakala di sekolah menengah, nisbahnya ialah enam yang mana dua adalah pelajar perempuan, ” katanya.

Menurut Subbarow lagi, ‘vaping’ atau menghisap vape adalah tindakan menyedut wap yang dihasilkan oleh e-rokok atau ‘vaporizer’ malah e-rokok juga adalah berbahaya dan menyebab ketagihan.

Menerusi pendedahan itu juga mendapati bapa dan abang kepada kanak-kanak berkenaan kerap menggunakan produk terbabit di rumah serta ketika memandu dan mereka bersetuju, masih berminat bagi mencubanya walaupun menyedari menghisap vape adalah racun.

Katanya, bapa atau abang dengan santai memberi gajet vape kepada mereka yang duduk di tempat duduk penumpang serta di rumah dan apabila menawarkan vape, mereka selalu mengatakannya adalah jus buah dan tidak perlu risau ‘kerana kandungan sebenar adalah nikotin’ .

“Mereka menghisap vape di rumah apabila ibu bapa tiada kerana bau buah itu, ramai kanak-kanak mengakui mereka percaya jus berkenaan diperbuat daripada buah-buahan atau gula-gula.

“Sehubungan itu, CAP menggesa pentadbiran sekolah membenarkan badan bukan kerajaan (NGO) seperti CAP bertemu dengan pelajar bagi memberi kesedaran mengenai bahaya merokok, vape, e-rokok dan jus yang mengandungi nikotin.

“CAP bimbang jika tiada tindakan segera diambil, lebih ramai kanak-kanak seawal lapan tahun dan pelajar sekolah menengah akan ketagih vape dan kesihatan serta masa depan mereka akan terancam. 

“Batang berwarna-warni yang berperisa manis menarik minat kanak-kanak malah kartrij vape mempunyai nama dan perisa yang menjadikannya bunyi seperti gula-gula, seperti coklat pudina, mangga dan titisan limau beku,” katanya. 

Menerusi laporan WHO, terdapat 16,000 jenis perisa vape di pasaran yang mengandungi bahan kimia yang menjejaskan kesihatan.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/04/25/200-daripada-300-kanak-kanak-mengaku-hisap-vape-cap/feed/ 0 33296