wakaf – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sun, 09 Feb 2025 10:38:38 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png wakaf – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Wakaf tanah demi kemajuan, Jakiy Tayan inspirasi komuniti https://sabahmedia.com/2025/02/09/wakaf-tanah-demi-kemajuan-jakiy-jayan-inspirasi-komuniti/ https://sabahmedia.com/2025/02/09/wakaf-tanah-demi-kemajuan-jakiy-jayan-inspirasi-komuniti/#respond Sun, 09 Feb 2025 10:20:30 +0000 https://sabahmedia.com/?p=68315
Read Time:2 Minute, 53 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Tiada istilah tamak dalam kamus hidupnya. Bagi Jakiy Tayan, kesejahteraan hidup bukan terletak pada kemewahan individu, tetapi pada manfaat yang dapat dinikmati bersama oleh seluruh komuniti.

Berasal dari Kg Tangkarason, Paitan, Jakiy menyimpan impian besar untuk melihat kampungnya itu membangun dalam pelbagai aspek termasuklah kemudahan asas yang lebih baik. Namun, impian itu bukan sekadar kata-kata; beliau sendiri menjadi pemacu utama ke arah perubahan tersebut.

Pada tahun 1982, Jakiy mewakafkan tanah seluas lima ekar bagi pembinaan Klinik Kesihatan Tangkarason, satu inisiatif penting yang memberi akses rawatan kepada penduduk kampung dan kawasan sekitar.

Sebuah klinik kayu akhirnya didirikan, namun tragedi menimpa pada 15 Februari 2024 apabila klinik yang telah berkhidmat selama berdekad-dekad musnah dalam kebakaran. Keadaan menjadi lebih sukar apabila pembinaan semula tidak dapat dilakukan kerana tanah itu belum diwartakan secara rasmi.

Tidak mahu penduduk terus berdepan kesukaran mendapatkan rawatan, Jakiy segera membantu Jabatan Kesihatan memohon pewartaan tanah tersebut atas nama Suruhanjaya Tanah Persekutuan. Usahanya berhasil, dan pada 9 Mei 2024, pembinaan klinik baharu dimulakan.

Hasil usaha gigihnya, dengan sokongan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap ADUN Sugut, Datuk James Ratib, klinik baharu itu bakal beroperasi semula, sekali gus mengembalikan perkhidmatan kesihatan kepada ribuan penduduk.

“Saya tahu bagaimana rasanya hidup dalam kesusahan. Tidak mempunyai kenderaan untuk keluar dari kampung bagi mendapatkan rawatan juga merupakan satu kesukaran. Jika sedikit sumbangan dapat mempermudah kehidupan seseorang, itu sudah cukup bagi saya,” katanya.

Tidak hanya mewakafkan tanah untuk klinik, Jakiy seorang penganut Kristian juga memperlihatkan ketulusan dan perpaduan sejati dalam tindakannya.

Pada tahun 2022, beliau mewakafkan dua ekar tanahnya untuk tanah perkuburan Islam. Dua tahun kemudian, pada 2024, beliau sekali lagi mewakafkan dua ekar tanah, kali ini untuk pembinaan sebuah gereja Anglikan.

Tindakannya bukan sahaja mencerminkan kemurahan hatinya, tetapi juga nilai perpaduan yang semakin pudar dalam dunia hari ini.

Selain menyumbang tanah untuk pembangunan, Jakiy turut berjuang selama lima tahun menguruskan penyukatan tanah penduduk Kg Tangkarason melalui Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS).

“Saya telah menguruskan hal ini sejak tahun 2019, dan pada tahun 2024, ia akhirnya diluluskan dengan keluasan 3,261 ekar, melibatkan 350 lot untuk 350 keluarga,” katanya.

Tidak cukup dengan membantu kampung sendiri, beliau turut membantu masyarakat luar dalam urusan berkaitan tanah tanpa mengenakan sebarang bayaran.

“Tanah adalah sumber kehidupan. Jika kita ada tanah sendiri, kita boleh bertani dan menjana pendapatan,” katanya yang aktif menganjurkan program kebajikan seperti kempen derma darah dan aktiviti kemasyarakatan,” ujar Jakiy.

Meskipun telah banyak berbakti, bagi Jakiy, perjuangannya belum selesai.

“Masih banyak yang perlu saya lakukan di kampung ini. Saya harap dapat membangunkan pusat pelancongan belia dan mewujudkan hab perniagaan dalam satu Kawasan dalam tanah saya bagi membantu ekonomi penduduk kampung.

“Saya hanya orang biasa yang tidak punya pangkat mahupun kuasa. Selagi saya mampu, saya akan terus berbakti. Doakan saya agar hasrat ini dapat direalisasikan,” katanya.

Namun, di sebalik kerja sukarelawan yang digerakkan, besar harapan Jakiy agar pihak berwajib dapat mempermudah urusan semua pihak demi menjaga kebajikan rakyat.

“Saya berharap suatu masa nanti akan ada bekalan air bersih di kampung ini dan ada jalan raya kampung yang menghubungkan jalan raya utama (Jalan Sapi-Nangoh-Kanibongan-Pitas) kerana penduduk masih bergantung kepada laluan ladang syarikat kelapa sawit berpagar yang hanya dibuka dari jam 6 pagi hingga 10 malam,” katanya.

Terletak lima jam perjalanan dari Kota Kinabalu, Kampung Tangkarason sebelum ini berada di bawah daerah Beluran, salah satu daripada 10 daerah termiskin di Malaysia. Pada Ogos 2024, Daerah Kecil Paitan telah dinaiktaraf ke status daerah penuh.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/02/09/wakaf-tanah-demi-kemajuan-jakiy-jayan-inspirasi-komuniti/feed/ 0 68315
Pelaksanaan Bulan Wakaf bantu sebar luas kefahaman kepada masyarakat https://sabahmedia.com/2024/09/25/pelaksanaan-bulan-wakaf-bantu-sebar-luas-kefahaman-kepada-masyarakat/ https://sabahmedia.com/2024/09/25/pelaksanaan-bulan-wakaf-bantu-sebar-luas-kefahaman-kepada-masyarakat/#respond Wed, 25 Sep 2024 12:53:51 +0000 https://sabahmedia.com/?p=61205
Read Time:1 Minute, 23 Second

Beaufort : Pelaksanaan Bulan Wakaf yang dilaksanakan Bahagian Wakaf Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) berupaya membantu menyebar luas kefahaman serta kesedaran kepada masyarakat terhadap ibadah wakaf.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, bulan wakaf yang dilaksanakan pada September setiap tahun itu juga mampu mencapai objektif MUIS dalam membangunkan institusi wakaf di negeri ini.

“Kita melihat wakaf itu adalah meluas. Wakaf ini secara meluasnya bukan semata-mata sebidang tanah, bangunan, tetapi ianya juga boleh dilakukan oleh jawatankuasa masjid. Di mana mereka boleh mewujudkan satu tabung, dinamakan di situ Wakaf.

“Jadi maknanya di sini apabila masyarakat atau para jemaah datang ke masjid, sudah tentu mereka berazam untuk menabung ataupun memberi wakaf itu  dan mereka akan melihat pelaksanaan wakaf ini sama ada ianya menjadi satu kenyataan ataupun sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Forum Wakaf : “Wakaf Pemangkin Ekonomi Ummah” di Masjid Al Ghafar Kampung Luagan di sini.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, menerusi kempen yang dilaksanakan Bahagian Wakaf MUIS itu juga mampu menyelesaikan masalah-masalah wakaf yang tidak didaftarkan sebelum ini.

“Sebelum ini banyak isu timbul mengenai wakaf, Contoh isu bangunan-bangunan yang dibina tanah tidak di wakaf. Jadi apabila pemilik tanah sudah tidak ada maksudnya meninggal dunia, para pewaris tidak mahu di wakafkan tanah itu.

“Jadi ini juga menyukarkan kerajaan khususnya kita di bahagian Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan MUIS kerana bertanggungjawab di atas wakaf yang telah diberi,” katanya.

Justeru Ruslan berharap penganjuran program-program sepanjang Bulan Wakaf Negeri Sabah pada tahun ini, akan dapat mendekatkan diri bersama masyarakat di dalam usaha untuk menyebarkan kefahaman berkaitan ibadah wakaf. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2024/09/25/pelaksanaan-bulan-wakaf-bantu-sebar-luas-kefahaman-kepada-masyarakat/feed/ 0 61205
DUN Sabah : Lembaga Pengurusan Wakaf Sabah Ditubuh Selaras Enakmen Wakaf Negeri Sabah 2018 https://sabahmedia.com/2021/12/07/dun-sabah-lembaga-pengurusan-wakaf-sabah-ditubuh-selaras-enakmen-wakaf-negeri-sabah-2018/ https://sabahmedia.com/2021/12/07/dun-sabah-lembaga-pengurusan-wakaf-sabah-ditubuh-selaras-enakmen-wakaf-negeri-sabah-2018/#respond Tue, 07 Dec 2021 04:50:36 +0000 https://sabahmedia.com/?p=9450
Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah melalui Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) telah menubuhkan Lembaga Pengurusan Wakaf  (LPW) Negeri Sabah berkuat kuasa pada 1 Januari 2019.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, penubuhhan LPW itu adalah selaras dengan keputusan Majlis Tertinggi MUIS dan Enakmen Wakaf Negeri Sabah 2018.

“Antara fungsi LPW adalah memberi nasihat kepada Majlis berkenaan dengan dasar, cara dan langkah yang perlu dilaksanakan dan diambil untuk menggalakkan pembanguan harta dan produk wakaf.

“Selain itu, membuat, merancang dan melaksanakan dasar-dasar serta peraturan-peraturan atau perintah Majlis berkenan dengan pembangunan harta dan produk wakaf,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mokran Ingkat (UMNO -Sungai Manila) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.

Mohd Arifin berkata, LPW juga bertindak sebagai agensi penyelaras di dalam pelaksanaan kemajuan pembangunan harta dan produk wakaf secara pesat.

Katanya, lembaga itu juga akan mengurus dan menjalankan pengendalian dan penyelenggaraan harta wakaf termasuk kemudahan, infrastruktur, tempat dan alat di kawasan harta wakaf tersebut.

“Selain itu, lembaga ini juga akan menggalakkan, menyelaraskan dan melaksanakan kajian dan pembangunan di dalam semua aspek harta dan produk wakaf; dan melakukan Istibdal terhadap apa-apa harta wakaf dengan persetujuan Majlis dan tertakluk kepada syarat persetujuan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Arifin berkata,  melalui LPW Sabah ini, pengurusan serta pentadbiran wakaf akan di ketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan seorang Ketua Pendaftar Wakaf akan di lantik untuk memastikan keberkesanan perkhidmatan Institusi Wakaf ini dapat di pertingkatkan.

Katanya, pada masa ini Ketua Pegawai Eksekutif MUIS  adalah orang yang bertanggung jawab memastikan segala proses pewakafan dan tata cara pentadbiran di LPW ini di laksanakan mengikut proses serta tatacara yang teratur demi memastikan harta-harta wakaf serta niat dan kehendak pewakaf dapat dipatuhi sebaiknya.

“Untuk makluman, MUIS telah mendaftarkan sebanyak 1,040.835 ekar tanah yang meliputi Tanah Wakaf Khas (Masjid) , Tanah Wakaf Khas (Surau), Tanah Wakaf Khas (SAN), Tanah Wakaf Am, Tanah Wakaf Anugerah Kerajaan, Tanah Wakaf Individu/Sumbangan yang semuanya akan ditadbir urus oleh LPW Sabah.

MUIS merupakan pemegang amanah tunggal wakaf Negeri Sabah.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/12/07/dun-sabah-lembaga-pengurusan-wakaf-sabah-ditubuh-selaras-enakmen-wakaf-negeri-sabah-2018/feed/ 0 9450