KOTA KINABALU: Seramai 485,939 orang daripada 5.7 juta pemilih baharu berumur 18 tahun yang telah didaftarkan adalah warga Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, Daftar Pemilih Tambahan (DPT) pertama yang mengandungi mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas adalah seramai 5.7 juta orang telah diwartakan pada 14 Januari 2022.
“Pelaksanaan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaraan pemilih secara automatik membawa kepada peningkatan jumlah pemilih berdaftar daripada 15.3 juta orang pemilih sebelum ini kepada 21.0 juta orang pada 31 Disember 2021.
“Daripada 5.7 juta pemilih baharu yang telah didaftarkan itu, seramai 485,939 orang adalah warga Sabah. Pertambahan ini menjadikan jumlah pemilih berdaftar di Sabah meningkat daripada 1,184,415 orang sebelum ini kepada 1,670,354 orang,” katanya pada Sesi Libat Urus Pelaksanaan Umur Kelayakan Mengundi 18 Tahun dan Pendaftaran Pemilih Secara Automatik, di Dewan Bankuasi, Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini pada Jumaat.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya.
Dewan Undangan Negeri pada 21 November 2019, telah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Sabah (Pindaan 2021) menurunkan had umur warganegara yang layak untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun
kepada 18 tahun dengan undian sebulat suara. Pindaan ini telah dikuatkuasakan pada 19 Disember 2019.
Ketua Menteri berkata, pertambahan jumlah pemilih ini sudah tentu akan memberikan kesan kepada pertambahan jumlah pemilih di setiap DUN.
“Saya percaya semua wakil rakyat berbesar hati menerima pertambahan jumlah pemilih kerana ia telah diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 16 dan 25 Julai 2019 yang lalu.
“Semua ahli Parlimen yang terdiri daripada pelbagai parti telah bersatu hati untuk menurunkan umur pengundi dan calon daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik,” katanya.
Hajiji berkata, pertambahan jumlah pengundi ini juga sudah pasti menjadikan tanggungjawab wakil rakyat semakin lebih besar.
“Justeru, saya meminta kepada semua wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar terus berusaha untuk mendekati pengundi muda di kawasan masing-masing dan perbanyakkan aktiviti bersama golongan muda, yang akan memberi manfaat kepada mereka.
“Ini kerana golongan muda agak kurang menceburi parti politik kecuali diajak oleh ibu bapa atau rakan seusia mereka. Sebab itu, kita perlu memikirkan pendekatan yang sesuai terutama memahami pemikiran dan kehendak golongan muda,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri akan memberikan kerjasama bagi memastikan demokrasi negara ini dapat terus disuburkan dengan penglibatan semua pihak dalam memastikan kestabilan dan kemakmuran negeri ini terus terpelihara.
]]>KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga negara China cedera parah selepas terjatuh dari tingkat lima bangunan K.Avenue, Jalan Cyber City Penampang dekat sini pada Sabtu.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin, pihak Balai Bomba Penampang menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pada jam 8.34 pagi, hari ini 31 Julai 2021.
Katanya, 11 anggota bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan II Benny Lim bersama dua buah jentera bergegas ke lokasi kejadian.
Setiba di lokasi kejadian, didapati mangsa seorang lelaki warga China telah terjatuh dari tingkat lima namun tersangkut di tingkat empat bangunan K.Avenue, Jalan Cyber City Penampang dan telah diturunkan oleh pekerja bangunan sebelum ketibaan jentera.
Mangsa hanya dikenali sebagai Yao Shujun mengalami kecederaan parah di bahagian tulang rusuk, kaki dan kepala.
Pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) memberikan rawatan kepada mangsa dan menghantarnya ke hospital untuk rawatan lanjut. Operasi tamat pada jam 9.10 pagi.
]]>KOTA MARUDU: Seorang lelaki warga emas Tuawam Buanin, 87, dengan berani hadir ke pusat inokulasi hari ini dengan tujuan untuk menunjukkan bahawa tidak ada yang perlu ditakutkan mengenai vaksin Covid-19.
Tuawam yang berasal dari Kampung Tagumamal, Kudat, kini tinggal di Kampung Lotong, Matunggong, di sini, adalah salah satu penerima vaksin paling tua, hari ini.
Kehadirannya menarik perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang turut hadir menjayakan Program ‘Outreach’ di Pusat Inokulasi Klinik Kesihatan Lotong, Matunggong.
“Ini adalah perhentian pertama untuk Program Outreach yang berlangsung selama tiga hari di sini (Matunggong), perhentian seterusnya adalah Naradang dan Teringai, tetapi ada juga inokulasi Covid-19 yang sedang berlangsung di pejabat daerah.
“Di sini ada tindak balas yang baik, bukan hanya dari para belia, tetapi juga orang-orang tua, sama seperti rakan kita, Tuawam, yang datang ke sini lebih awal untuk mendapatkan suntikannya,” kata Maximus ketika merakamkan gambar kenangan bersama dengan warga emas tersebut dan Adun Matunggong, Datuk Julita Majungki.
“Kira-kira 45,000 penduduk di Matunggong, iaitu 20 peratus atau lebih dari 10,000 telah mendaftar untuk program vaksinasi nasional.
“Dari jumlah itu, sekurang-kurangnya 1,862 telah menerima dos pertama, sementara 1,052 daripadanya telah menyelesaikan kedua-dua dos tersebut,” katanya.
Maximus menyatakan bahawa walaupun sambutannya luar biasa, tetapi bekalan vaksin adalah menjadi masalah.
“Para doktor dan jururawat mengatakan bahawa mereka boleh melakukan lebih dari 200 suntikan sehari, tetapi bekalan vaksin sangat penting dan inilah cabaran yang mereka hadapi,” tegasnya.
Maximus juga menjelaskan bahawa pihak berkuasa telah dimaklumkan di Putrajaya dan beliau berharap kekangan itu dapat diselesaikan dengan cepat kerana bekalan vaksin nasional telah meningkat secara drastik dan pembahagian vaksin harus diberi keutamaan kepada penduduk luar bandar Sabah dan Sarawak.
]]>LABUAN: Seramai 226 warga pendidik dari seluruh negara menyertai sesi perkongsian ilmu Profesional Learning Community (PLC) yang diadakan secara maya melalui pelantar YouTube Live, baru-baru ini.
Program santai yang dinamakan Kopi O Pulut Panggang itu dianjurkan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai satu cara berkongsi pengalaman berkaitan pendidikan dalam kalangan guru dari seluruh negara.
Penolong Pengarah Sektor Pembelajaran (SPr), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Faridah Amit, berkata inisiatif SPr dan Sektor Pembelajaran (SPr) itu adalah aktiviti sokongan profesional kepada ahli Alumni Kolokium Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah.
Beliau yang juga penyelaras program berkenaan, berkata PLC kali ini turut dibuka kepada penyertaan umum terutama guru sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Program ini adalah aktiviti sokongan profesional yang disasarkan kepada ahli Alumni Kolokium Kajian Tindakan Teknik selain turut dibuka kepada penyertaan guru-guru dari Wilayah Persekutuan Labuan serta seluruh negara,” katanya, di sini.
Katanya, program itu mengetengahkan Pensyarah Pengajian Melayu dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur, Dr Yuznaili Saleh untuk berkongsi ilmu berkaitan teknik pembacaan yang berkesan.
Dalam ceramahnya, Dr Yuznaili menekankan mengenai kesesuaian bahan bacaan kepada pembaca setiap peringkat umur bagi memudahkan kefahaman terhadap kandungan bahan bacaan yang dibaca.
“Kaedah atau teknik bacaan yang sesuai juga dapat membantu pembaca untuk memahami dengan lebih baik mengenai kandungan sesebuah buku. Fokus dan lirikan mata banyak membantu pembaca untuk menangkap idea besar yang hendak disampaikan oleh penulis,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pembaca perlu mematuhi tempoh pembacaan secara konsisten bagi memberi peluang kepada otak untuk menyerap dan memproses pelbagai kategori maklumat yang ada di dalam bahan bacaan.
Sementara itu, Pengerusi Alumni Kolokium Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah, Suriani Alland Rice Oxley yang juga Pegawai SISC+ di Sektor Pembelajaran menyifatkan pemilihan tajuk `Teknik Pembacaan Berkesan’ sangat signifikan kepada ahli alumni berkenaan khususnya.
“Ia juga menjadi ilmu pelengkap kepada ahli alumni sebagai persediaan untuk melakukan pembacaan yang lebih banyak terutamanya dalam penyediaan sesuatu kertas kajian penuh,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Nizam Yasim, berharap agar alumni berkenaan akan menjadi satu medan perkongsian ilmu dan kemahiran yang berterusan demi kepentingan warga pendidik seluruh negara.
Beliau turut mengumumkan tiga kertas kajian tindakan terbaik yang dipilih oleh panel penilai sempena penganjuran program PLC berkenaan.
Kertas kajian tindakan bertajuk `Menyelesaikan Masalah Pengiraan Melibatkan Persamaan Kimia bagi subjek Kimia Menggunakan Model Pelan Bansho Jepun’ hasil kajian Cikgu Chin Khui Kyun dari SMK Kunak Jaya, Sabah berjaya memperoleh tempat pertama.
Pemenang tempat kedua, katanya dirangkul oleh Cikgu Mylsa Avinne dari SK Sungai Bedaun, Labuan dan tempat ketiga pula disandang oleh Cikgu Farhana Abdol Sappar dari Sekolah Antarabangsa Labuan.
]]>KENINGAU: “Saya tidak takut kena suntik vaksin,” begitu kata-kata semangat seorang warga emas yang berusia 100 tahun antara penerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Daerah Kecil Sook dekat sini pada Isnin. (21 Jun 2021).
Kuyinin Balansing berasal dari Kg Kabatang Baru, Tulid kira-kira 16km dari PPV Sook, ditemani oleh anak perempuannya Mihim Jiun, 61, semasa menerima suntikan vaksin tersebut.
Mihim berkata, ibunya tidak takut menerima vaksin Covid-19 kerana dia sudah dimaklumkan oleh anak-anaknya bahawa vaksin ini baik untuk kesihatan dan melindungi diri dari penyakit berjangkit yang merbahaya seperti Covid-19.
“Mama saya sempat lagi memberitahu kawan-kawannya supaya mengambil suntikan vaksin, mama saya cakap walaupun dia sudah tua umur 100 tahun tapi tidak takut untuk terima vaksin.
“Mama saya dalam keadaan yang baik sebaik sahaja menerima suntikan vaksin malah hari ini beliau sudah turun ke kebun,” ujar Mihim semasa ditemubual oleh pemberita Sabah Media hari ini.
Menurut Mihim, ibunya Kuyinin yang lahir pada 5 Jun 1921, mempunyai lapan orang anak, hanya memakan makanan yang direbus dan dipanggang serta banyak memakan sayur-sayuran yang ditanam sendiri adalah rahsia kesihatan ibunya sampai ke usia itu.
Manakala suami Kuyinin telah lama meninggal dunia sejak anak-anaknya kecil lagi.
Selepas sahaja Kuyinin menerima suntikan vaksin, ramai penduduk yang tinggal di kejiranan yang sama tampil dan mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19.
Dalam hal berkaitan, petugas kesihatan di PPV Sook merekodkan seramai 78 penduduk dari kawasan Sook sehingga ke Kg Mongorimot, Mansiat yang terletak 120km dari Daerah Keningau hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 mereka pada hari tersebut.
]]>