KOTA KINABALU: Yayasan Sabah menawarkan rebat sehingga 30 peratus kepada peminjam pinjaman pengajian menerusi Program Rebat Budi Madani 2026 yang berlangsung dari 7 hingga 27 September ini.
Program berkenaan merupakan kesinambungan pelaksanaan program rebat sebelum ini sebagai usaha menghargai peminjam yang komited membuat bayaran balik pinjaman pengajian, selain menggalakkan budaya pembayaran yang mampan.
Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Dr Gulamhaidar Khan Bahadar berkata, tawaran itu diteruskan susulan sambutan amat memberangsangkan terhadap Program Rebat Madani yang dilaksanakan pada Ogos lalu.
Beliau berkata, sebanyak tiga kategori rebat ditawarkan kepada peminjam di bawah Program Rebat Budi Madani 2026,
Menurutnya, rebat sebanyak 30 peratus diberikan kepada peminjam dalam kategori Aktif Bayar, iaitu mereka yang membuat pembayaran secara konsisten dan berhasrat melunaskan keseluruhan baki pinjaman.
Tambahnay, rebat sebanyak 25 peratus pula ditawarkan kepada peminjam yang tidak termasuk dalam kategori Aktif Bayar tetapi berhasrat menyelesaikan keseluruhan baki pinjaman.
Sementara itu, peminjam yang membuat pembayaran secara ansuran layak menikmati rebat sebanyak 20 peratus.
“Kadar rebat yang ditawarkan itu merupakan tanda penghargaan Kumpulan Yayasan Sabah terhadap peminjam yang aktif, konsisten dan berdedikasi mematuhi jadual pembayaran balik yang ditetapkan.
“Di samping itu, program pengampunan Credit Tip-Off Service (CTOS) turut dilaksanakan bagi meringankan bebanan peminjam yang sebelum ini perlu membayar jumlah tunggakan pinjaman yang besar untuk dikeluarkan dari senarai CTOS,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan program itu diharap dapat menggalakkan lebih ramai peminjam menunaikan obligasi pembayaran balik pinjaman pengajian masing-masing.
Usaha berkenaan turut dilihat penting bagi memastikan kelestarian dana tajaan pengajian Yayasan Sabah dapat terus dipelihara untuk manfaat generasi akan datang.
Bagi memudahkan peminjam mendapatkan penerangan mengenai proses berkaitan program rebat dan pengampunan CTOS, Yayasan Sabah turut akan mengadakan jelajah ke beberapa daerah di Sabah.
Menerusi jelajah itu, peminjam berpeluang mendapatkan penjelasan secara bersemuka mengenai program berkenaan serta proses penyertaan.
Tarikh dan lokasi jelajah akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi media sosial Yayasan Sabah.
Selain itu, peminjam boleh mendapatkan maklumat dan membuat urusan berkaitan pembayaran balik pinjaman dengan mengunjungi Kaunter Pembayaran Balik Pinjaman Pengajian, Bahagian Pungutan Pinjaman Pengajian di Aras 26, Menara Tun Mustapha, Kompleks Ibu Pejabat Yayasan Sabah.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai Program Rebat Budi Madani 2026 dan pengampunan CTOS boleh diperoleh menerusi Facebook KYS-Kumpulan Yayasan Sabah atau dengan menghubungi talian 011-33181088, 014-3288868, 016-8286125, 010-9556977 dan 010-2366967.
Pertanyaan juga boleh dikemukakan melalui e-mel [email protected].
]]>KOTA KINABALU: Dakwaan peruntukan RM945,000 bagi penganjuran malam sambutan ulang tahun Yayasan Sabah (YS) yang tular di media sosial belum mendapat kelulusan pihak pengurusan.
Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Daya, berkata setakat pengetahuannya, tiada proposal atau permohonan bajet bagi tujuan berkenaan dikemukakan kepada pihak pengurusan yang mempunyai kuasa meluluskan peruntukan.
“Pihak Jawatankuasa Penganjur boleh mencadang dan memohon, tetapi tidak semestinya diluluskan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, setiap permohonan peruntukan dalam jumlah besar lazimnya akan diteliti semula dan jumlah yang dicadangkan boleh dikurangkan mengikut keperluan.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan perbelanjaan dibuat secara berhemah serta mengelakkan pembaziran.
Jasnih turut memberi jaminan bahawa Yayasan Sabah mempunyai mekanisme bagi mengawal perbelanjaan berlebihan.
“Keutamaan kami ialah rakyat Sabah. Insya-Allah,” katanya.
Beliau turut menghargai pihak yang membangkitkan isu berkenaan sebagai peringatan untuk memastikan urusan perbelanjaan sentiasa diberi perhatian sewajarnya.
Hantaran itu dibuat susulan dakwaan yang tular di media sosial berhubung kononnya sejumlah RM945,000 diperuntukkan bagi sambutan malam ulang tahun Yayasan Sabah.
]]>KOTA KINABALU : Kumpulan Yayasan Sabah mencipta pencapaian bersejarah apabila merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM683 juta bagi tahun 2025, meningkat 17 peratus berbanding RM586 juta pada tahun sebelumnya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, prestasi memberangsangkan itu membuktikan keupayaan pengurusan serta komitmen seluruh warga Kumpulan Yayasan Sabah dalam memacu pertumbuhan organisasi.
Beliau berkata, Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), selaku cabang pelaburan Kumpulan Yayasan Sabah, turut mencatat rekod keuntungan tertinggi dalam sejarah syarikat apabila merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM243 juta berbanding RM179 juta pada tahun sebelumnya.
“Pencapaian ini jelas membuktikan bahawa keupayaan pengurusan serta komitmen seluruh pasukan telah menghasilkan prestasi yang sangat cemerlang. Syabas saya ucapkan,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam pada Malam Anugerah Yayasan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Rabu.

Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, ICSB turut mengisytiharkan dividen berjumlah RM160 juta pada tahun 2025, meningkat tujuh peratus berbanding RM150 juta pada tahun sebelumnya.
Katanya, jumlah itu merupakan rekod pembayaran dividen tertinggi dalam sejarah ICSB, selain mengekalkan kedudukannya sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah yang membayar dividen tertinggi selama lima tahun berturut-turut.
“Kita optimis prestasi ini akan terus melonjak pada tahun 2026 selaras dengan kedudukan kewangan yang kukuh dan prospek perniagaan yang positif,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan itu disokong oleh prestasi kukuh pelbagai sektor dalam Kumpulan Yayasan Sabah termasuk sektor agro-perladangan yang kekal menjadi penyumbang utama dengan keuntungan gabungan RM323 juta.
Selain itu, sektor pelancongan dan riadah mencatat keuntungan RM65 juta, manakala sektor minyak, gas dan tenaga menunjukkan peningkatan ketara dengan keuntungan RM40 juta berbanding hanya RM0.07 juta pada tahun 2024.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, Kumpulan Yayasan Sabah terus memainkan peranan penting sebagai jentera strategik kerajaan negeri menerusi pelbagai program pembangunan pendidikan, modal insan, sosioekonomi, konservasi dan penyelidikan.
Katanya, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang merupakan sebahagian daripada Pelan Strategik Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah telah memberi manfaat kepada 15,629 pelajar melibatkan dana RM25.1 juta.
Beliau berkata, usaha agresif kutipan pinjaman pendidikan pada tahun 2025 turut mencatat sejarah tersendiri apabila mencapai RM8.03 juta, tertinggi sejak Yayasan Sabah ditubuhkan.
“Pencapaian ini menunjukkan peningkatan sebanyak 22.4 peratus berbanding rekod tertinggi sebelum ini iaitu RM6.6 juta.
“Gabungan kutipan bayaran balik pinjaman dan TPNS membantu menyediakan dana bagi memenuhi komitmen pendidikan Kumpulan Yayasan Sabah,” katanya.
Dalam aspek pembangunan masyarakat pula, sebanyak 613 program sosial berjaya dilaksanakan menerusi enam Pejabat Zon dengan kadar pencapaian 100 peratus, memberi manfaat kepada 78,648 penerima melibatkan peruntukan RM4.26 juta.
Hajiji turut memaklumkan bahawa University College Sabah Foundation (UCSF) kini mencatat enrolmen melebihi 1,100 pelajar selain memperkenalkan kursus inovatif bermula tahun ini.
Katanya, UCSF juga aktif memperkukuh jaringan antarabangsa menerusi kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dari Brunei Darussalam, Bosnia, Turki, Azerbaijan, Indonesia, Filipina dan United Kingdom.
Sementara itu, Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) menerima mandat berjumlah RM1.2 juta daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) untuk melatih 460 peserta menerusi Program Khas Anak Negeri (PKAN).
Beliau berkata, dua projek baharu turut diperkenalkan iaitu Projek Rintis Akademik Sekolah Menengah dan Gerakan Ekonomi Makanan Inovasi Laut (GEMILAU).
Dalam usaha memelihara khazanah alam negeri, Hajiji berkata Kumpulan Yayasan Sabah turut memperkukuh kerjasama bersama Preferred by Nature (PbN), Denmark bagi Pelan Pengurusan Strategik Ketiga Kawasan Konservasi Lembangan Maliau.
Katanya, langkah itu mencerminkan kesungguhan Yayasan Sabah dalam memastikan pemuliharaan alam sekitar terus diperkasa demi generasi masa depan.
Sempena ulang tahun ke-60 Yayasan Sabah pada 10 Mei ini, Hajiji menyeru agar institusi itu terus menjadi pelopor dalam melahirkan modal insan berilmu, berintegriti dan berkemahiran tinggi selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0.
]]>KOTA KINABALU : Seramai 79 kanak-kanak diraikan dalam Majlis Penyampaian Sijil Prasekolah dan Persembahan Kanak-Kanak anjuran Kumpulan Yayasan Sabah yang berlangsung di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha di sini baru-baru ini.
Majlis penuh warna-warni itu disempurnakan oleh Setiausaha Korporat Yayasan Sabah, Hanafiah Diman, mewakili Pengarah Yayasan Sabah, yang hadir memberikan sokongan serta semangat kepada para graduan kecil.
Kanak-kanak daripada Taska Ria, Taska Kristal Ria dan Tadika Ria tampil menerima sijil tamat prasekolah mereka, sekali gus menandakan kejayaan awal dalam perjalanan pendidikan masing-masing.

Daripada jumlah itu, lapan pelajar turut menerima sijil kecemerlangan sebagai pengiktirafan atas pencapaian akademik dan sahsiah yang cemerlang.
Mengangkat tema “Shine Together”, para tetamu dan ibu bapa disajikan dengan persembahan nyanyian serta tarian kreatif yang memukau, menampilkan keyakinan dan bakat kanak-kanak tersebut yang tidak takut beraksi di pentas.
Kumpulan Yayasan Sabah merakamkan ucapan tahniah kepada semua guru serta ibu bapa atas dedikasi yang diberikan dalam mendidik dan membimbing anak-anak sehingga mereka berjaya menamatkan sesi prasekolah dengan cemerlang.
Majlis itu bukan sahaja menjadi detik penting buat kanak-kanak prasekolah, malah memperlihatkan komitmen Yayasan Sabah dalam menyediakan asas pendidikan awal yang berkualiti untuk generasi masa depan. – SABAH MEDIA
]]>KOTA BELUD : Penduduk Kota Belud dan kawasan sekitarnya dijemput hadir memeriahkan Program Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025 Peringkat Zon Pantai Barat Utara, yang akan berlangsung pada Ahad di Dataran Kilapi, Kampung Rampayan Laut, bermula jam 7 pagi.
Program yang dianjurkan oleh Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) itu dijangka menjadi tumpuan penduduk setempat kerana menawarkan pelbagai peluang dan kemudahan kepada masyarakat luar bandar, termasuk bantuan pendidikan, peluang keusahawanan serta khidmat nasihat terus daripada jabatan dan agensi kerajaan.
Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Gulamhaidar Khan Bahadar, berkata jerayawara itu merupakan usaha berterusan Yayasan Sabah untuk memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat.

“Program ini menjadi platform bagi masyarakat luar bandar berurusan secara langsung dengan jabatan dan agensi kerajaan di bawah satu bumbung, di samping memperoleh maklumat tepat dan menyeluruh mengenai pelbagai inisiatif yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Antara pengisian utama program ialah Taklimat Bantuan Pendidikan Kumpulan Yayasan Sabah dan Taklimat Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bagi pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Gulamhaidar berkata, KYS menawarkan rebat istimewa sebanyak 30 peratus kepada peminjam Pinjaman Pengajian Tinggi Yayasan Sabah yang membuat bayaran penuh sekaligus melalui Program Rebat Istimewa Madani 30 peratus, yang berlangsung sehingga 31 Disember 2025.
“Peminjam boleh memanfaatkan peluang ini untuk mendapatkan panduan lanjut tentang prosedur pembayaran balik pinjaman, selain berunding secara terus dengan pegawai Yayasan Sabah di lokasi pameran,” tambahnya.
Program sehari itu juga menampilkan pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat untuk seisi keluarga, termasuk pameran pendidikan oleh University College Sabah Foundation (UCSF), Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS), Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS).
Setiap agensi akan memaparkan pelbagai maklumat terkini mengenai peluang pendidikan, bantuan biasiswa dan inisiatif pembangunan modal insan bagi manfaat pelajar dan ibu bapa.
Orang ramai khususnya penduduk di sekitar Kota Belud diseru hadir bagi memeriahkan acara komuniti ini yang bukan sahaja sarat maklumat, tetapi juga mencerminkan komitmen Yayasan Sabah dalam menjayakan agenda pembangunan rakyat di negeri ini. – SABAH MEDIA
]]>KOTA MARUDU : Yayasan Sabah meneruskan komitmen mendekati rakyat melalui Program Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025, yang akan berlangsung di Astaka Padang Komuniti Kota Marudu esok.
Program peringkat Zon Pantai Barat Utara itu menjadi platform penting bagi masyarakat luar bandar mendapatkan maklumat secara terus mengenai bantuan pendidikan, peluang keusahawanan, dan khidmat nasihat daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar berkata, program ini bertujuan memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat, selaras dengan misi Yayasan Sabah untuk memperkasa komuniti di seluruh negeri.

“Melalui jerayawara ini, rakyat dapat berurusan terus dengan agensi kerajaan di bawah satu bumbung, selain memperoleh maklumat pantas dan tepat tentang pelbagai bentuk bantuan yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Antara pengisian utama ialah Taklimat Bantuan Pendidikan Kumpulan Yayasan Sabah dan Taklimat Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bagi memberi pendedahan kepada pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran.
Gulamhaidar berkata, Yayasan Sabah turut menawarkan Program Rebat Istimewa Madani 30 peratus iaitu potongan khas sebanyak 30 peratus kepada peminjam Pinjaman Pengajian Tinggi Kumpulan Yayasan Sabah yang membuat bayaran penuh sebelum 31 Disember 2025.
“Inisiatif rebat ini adalah galakan kepada peminjam untuk melunaskan pinjaman mereka sambil meringankan beban kewangan.
“Kami juga akan membantu mereka memahami proses pembayaran melalui khidmat nasihat langsung di tapak jerayawara,” katanya.
Selain pameran dan taklimat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan ceramah bertajuk “Buli Bukan Budaya Kita” bagi meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan sosial dan kesejahteraan komuniti.
Tidak ketinggalan, Pusat Kraftangan Sabah di bawah Kumpulan Yayasan Sabah turut akan menyampaikan Anugerah Pengusaha Kraftangan Berpotensi sebagai pengiktirafan kepada pengusaha kraf tempatan yang menunjukkan bakat dan komitmen tinggi.
Sebagai tambahan, lima usahawan muda tempatan akan menerima Geran Dana Mula Niaga Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah 2025, yang disediakan sebagai modal permulaan untuk memperkukuh aktiviti keusahawanan di peringkat akar umbi.
Program sehari penuh ini bermula seawal jam 7.00 pagi dan dijangka menarik kehadiran besar masyarakat sekitar.
Turut serta dalam pameran ialah University College Sabah Foundation (UCSF), Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS), Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS).
Dalam pada itu, Gulamhaidar berkata, orang ramai turut berpeluang menikmati saringan kesihatan, pemeriksaan mata dan gigi secara percuma, program derma darah, serta pelbagai aktiviti santai dan jualan RAHMAH MADANI.
“Program ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat. Kami menggalakkan orang ramai hadir awal dan membawa keluarga bagi menikmati pelbagai manfaat yang disediakan,” katanya.
Jerayawara YSBR 2025 di Kota Marudu ini menjadi bukti komitmen Yayasan Sabah dalam merealisasikan aspirasi pembangunan sosial dan ekonomi rakyat Sabah, selaras dengan agenda memperkasa komuniti negeri ke arah masa depan yang lebih makmur. – SABAH MEDIA
]]>Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Program Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) bukan sekadar karnival atau pameran, sebaliknya sebuah inisiatif berstruktur yang memberi tumpuan kepada pendekatan Menyantuni, Membimbing, dan Memperkasa rakyat di semua peringkat.
Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penganjuran YSBR 2025 di Dewan Masyarakat Tawau hari ini adalah bukti komitmen kerajaan negeri untuk turun padang memahami keperluan sebenar rakyat, sama ada di bandar mahupun di ceruk kampung.
“Yayasan Sabah telah memainkan peranan amat penting, khususnya dalam bidang pendidikan. Sejak penubuhannya, ribuan anak-anak Sabah dari pelbagai latar belakang mendapat manfaat melalui biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pendidikan,” katanya.
Dalam program itu, Hajiji diwakili oleh Menteri Sains, teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif. Hadir sama ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Sri Ghulamhaidar Khan Bahadar.
Turut diadakan sempena Program Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat ialah
penyampaian Skim Bantuan Khas (SBK), Tajaan Pengajian Tinggi Yayasan Sabah 2025, Anugerah Pengusaha Kraftangan Berpotensi Kumpulan Yayasan Sabah, Geran Dana Mula Niaga, Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah 2025, Program CSR Sabah Softwoods Berhad, Bantuan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) dan Inisiatif Bantuan Pendidikan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) serta Rumah Mesra SMJ
Menurut beliau, pembangunan modal insan kekal menjadi keutamaan kerajaan dengan penekanan terhadap pengukuhan institusi pengajian seperti University College Sabah Foundation (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) yang berjaya melahirkan graduan berkemahiran dan berakhlak.
Kerajaan negeri turut menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bagi membantu pelajar yang berdepan cabaran kewangan agar tidak tercicir melanjutkan pengajian.
Selain pendidikan, Hajiji menegaskan Yayasan Sabah juga memainkan peranan dalam memperkasa masyarakat melalui pelbagai program keusahawanan, latihan kemahiran, pertanian, perikanan serta pembangunan luar bandar, termasuk inisiatif Program Intelek & Minda, Program STEM, dan Program Komuniti Kraf (PKK).
Dalam masa sama, aspek kelestarian alam turut diberi perhatian melalui Projek Konservasi Hutan Hujan Kuamut melibatkan kawasan seluas 83,381 hektar, yang menjadi projek pertama seumpamanya di Malaysia bagi menangani perubahan iklim dan memelihara biodiversiti.
Hajiji berkata, kejayaan Kumpulan Yayasan Sabah menjana hasil melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Innoprise Corporation Sdn. Bhd. (ICSB), Sabah Softwoods Berhad, dan Benta Wawasan Sdn. Bhd. membolehkan keuntungan diagihkan semula untuk pendidikan, kebajikan dan pembangunan komuniti.
“ICSB telah mengisytiharkan dividen berjumlah RM150 juta pada 2024, menjadikannya GLC negeri dengan rekod tertinggi membayar dividen empat tahun berturut-turut,” jelasnya.
Beliau menyeru semua pihak termasuk pemimpin akar umbi, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta untuk bersama-sama menjayakan YSBR 2025 sebagai usaha kolektif memupuk perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
“Kita bukan sahaja menyampaikan bantuan, tetapi membawa semangat kesepakatan rakyat Sabah,” tambah Hajiji.
]]>TAWAU : Tawau bakal menjadi tuan rumah Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025 Peringkat Zon Pantai Timur Selatan yang akan berlangsung pada 29 September ini di Dewan Masyarakat Tawau.
Program bertemakan ‘Lestari Perpaduan dan Digitalisasi Niaga’ itu akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar berkata, penganjuran jerayawara kali ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perpaduan komuniti serta memperkasakan peniaga kecil dan usahawan melalui penggunaan teknologi digital.
“Peniaga tempatan boleh memanfaatkan aplikasi media sosial untuk mempromosikan produk mereka dengan lebih berkesan, selain dibantu pencipta kandungan dan ikon media sosial yang hadir bagi menyokong promosi sepanjang jerayawara ini,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif akan diperkenalkan termasuk penyampaian Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) berupa biasiswa dan dermasiswa kepada pelajar B40 yang cemerlang dalam STPM 2024, serta Program Rebat Istimewa Madani 30 peratus bagi peminjam Pinjaman Pengajian Tinggi Yayasan Sabah yang membuat pembayaran penuh.
Program sehari itu akan bermula seawal jam 7 pagi dengan pengisian pameran interaktif, kuiz, demonstrasi produk, pameran pendidikan oleh University College Sabah Foundation (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS), selain penyertaan beberapa agensi kerajaan negeri dan persekutuan.
Acara turut diserikan dengan persembahan hiburan serta Jualan Rahmah Madani yang menawarkan barangan pada harga berpatutan.
Orang ramai khususnya penduduk Tawau dan kawasan sekitar dijemput hadir beramai-ramai bagi memanfaatkan peluang yang ditawarkan melalui Jerayawara YSBR 2025. – SABAH MEDIA
]]>Tambunan: Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri sejak ditubuhkan pada tahun 1966 selain memastikan hasil negeri dapat dinikmati bersama oleh semua rakyat Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, KYS bukan sekadar sebuah institusi tetapi ia adalah legasi perjuangan yang diasaskan oleh pemimpin ulung negeri ini, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun pada tahun 1966.
“Tahun hadapan menandakan ulang tahun ke-60 Kumpulan Yayasan Sabah, dan ini merupakan pencapaian luar biasa bagi sebuah organisasi yang ditubuhkan demi rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025 di Dataran Pisompuruan di sini pada Khamis.
Hajiji berkata, YSBR 2025 di sini membuktikan bahawa kerajaan negeri kekal komited turun padang bertemu rakyat di semua peringkat, dari bandar hingga ke pelosok desa, untuk memahami dan menangani keperluan sebenar rakyat.
Katanya, menerusi bantuan pendidikan Yayasan Sabah, ramai anak-anak Sabah berjaya keluar daripada kitaran kemiskinan dan menjadi profesional serta pemimpin.
Menurutnya lagi, institusi pendidikan Kumpulan Yayasan Sabah iaitu Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) telah menjadi platform utama dalam melahirkan generasi berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.
Tambahnya, Kerajaan Negeri juga melalui KYS telah memperkenalkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) untuk membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, khususnya golongan B40.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa tiada seorang pun anak Sabah akan tercicir dalam melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi hanya kerana kekangan kewangan. Sejak diperkenalkan pada 2022, sebanyak RM17.8 juta telah dibelanjakan bagi TPNS, memberi manfaat kepada 10,912 pelajar,” katanya.
Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, berkata KYS turut diiktiraf sebagai peneraju dalam pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar.
Katanya, sehingga 2025, seluas 199,146 hektar atau 94.5 peratus daripada jumlah kawasan pemuliharaan Kumpulan Yayasan Sabah seluas 210,725.6 hektar telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan).
“Kawasan pemuliharaan seperti Lembah Danum, Banjaran Maliau, Imbak Canyon, Sungai Taliwas dan Pantai Silam, yang diiktiraf sebagai rujukan saintifik bertaraf dunia, menjadi contoh komitmen Kumpulan Yayasan Sabah dalam memelihara alam sekitar semula jadi Sabah.
“Usaha pemuliharaan ini bukan sahaja tentang melindungi alam, tetapi juga mengukuhkan identiti Sabah sebagai sebuah negeri yang menghormati warisan semula jadinya untuk generasi akan datang,” katanya.
Hajiji berkata, YSBR 2025 merupakan kesinambungan usaha membawa agensi, peluang dan perkhidmatan terus kepada rakyat agar mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
Hajiji diiringi Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar telah menyampaikan antaranya tajaan pendidikan Yayasan Sabah dan bantuan TPNS kepada pelajar serta warta Tapak Kampung. – SABAH MEDIA
]]>Kota Kinabalu : Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025 kembali dengan skala lebih besar apabila menjelajah seluruh negeri bermula 28 Ogos hingga 13 September ini, meliputi empat zon utama Kumpulan Yayasan Sabah (KYS).
Program turun padang tahunan ini menjadi antara inisiatif utama KYS untuk mendekati rakyat secara inklusif melalui pengisian menyeluruh yang merangkumi aspek pendidikan, pembangunan masyarakat, ekonomi, kesihatan dan kebudayaan.
Pelancaran rasmi YSBR 2025 akan disempurnakan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor Khamis ini di Pisompuruan Square, Tambunan, sekali gus menandakan komitmen kerajaan negeri terhadap kesejahteraan rakyat.
Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar, berkata, YSBR 2025 bukan sekadar program khidmat masyarakat, tetapi satu usaha bersepadu membawa perubahan positif terus kepada rakyat, khususnya di luar bandar.
“Jerayawara ini memberi fokus kepada pengupayaan rakyat. Melalui pengisian yang dirangka, kita mahu melahirkan masyarakat Sabah yang berdaya maju, berdikari, berilmu dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Antara pengisian utama YSBR 2025 ialah taklimat pendidikan dan peluang kerjaya oleh Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) termasuk tawaran biasiswa, dermasiswa, motivasi pelajar serta kaunter pendaftaran pelajar baharu.
Program ini turut mengetengahkan Rebat Madani KYS yang membolehkan peminjam membuat pembayaran balik pinjaman pelajaran di lokasi jerayawara dengan tawaran rebat istimewa, sekali gus memudahkan urusan kewangan tanpa perlu hadir ke pejabat.
Selain itu, YSBR 2025 akan menampilkan pameran pembangunan komuniti, keusahawanan, pendidikan, latihan kemahiran, pemeriksaan kesihatan percuma, ceramah kesedaran, persembahan kebudayaan serta aktiviti santai seisi keluarga, termasuk cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik.
Jerayawara ini akan menjelajah mengikut empat zon utama iaitu Zon Pedalaman Utara (ZPU); Zon Pantai Timur Utara (ZPTU); Zon Pantai Timur Selatan (ZPTS) dan Zon Pantai Barat Utara (ZPBU).
Setiap lokasi akan disesuaikan mengikut keperluan komuniti setempat melalui kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, NGO, institusi pendidikan dan masyarakat.
“Kumpulan Yayasan Sabah sentiasa meletakkan rakyat sebagai keutamaan. Melalui jerayawara ini, kami bawakan perkhidmatan, peluang dan aspirasi terus ke komuniti. Kesejahteraan Sabah bermula dari kekuatan rakyatnya,” kata Gulamhaidar.
Orang ramai di seluruh pelusuk negeri dijemput hadir dan memanfaatkan peluang yang dibawa oleh Jerayawara YSBR 2025 di lokasi masing-masing sebagai tanda sokongan terhadap usaha bersama membina masa depan Sabah yang lebih sejahtera dan mampan. – SABAH MEDIA
]]>