ZARA QAIRINA – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Mon, 13 Apr 2026 05:43:04 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png ZARA QAIRINA – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Suri rumah didenda RM10,000 buat hantaran palsu di Facebook terhadap TYT berkaitan kes Zara Qairina https://sabahmedia.com/2025/09/11/suri-rumah-didenda-rm10000-buat-hantaran-palsu-di-facebook-terhadap-tyt-berkaitan-kes-zara-qairina/ https://sabahmedia.com/2025/09/11/suri-rumah-didenda-rm10000-buat-hantaran-palsu-di-facebook-terhadap-tyt-berkaitan-kes-zara-qairina/#respond Thu, 11 Sep 2025 10:06:17 +0000 https://sabahmedia.com/?p=81015
Read Time:3 Minute, 23 Second

Oleh J. Evachel John 

KOTA KINABALU: Seorang suri rumah didenda RM10,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda, kerana membuat kenyataan palsu di Facebook terhadap Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah berkaitan kes Zara Qairina Mahathir.

Tertuduh, Asmaziah Sedek, 32, mengaku bersalah di hadapan Hakim Marlina Ibrahim.

Mengikut kertas pertuduhan, pada 29 Julai 2025 jam lebih kurang 9.21 malam, Asmaziah didapati menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Facebook ‘Ash Qiey’, secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk mengganggu orang lain.

Kenyataan palsu tersebut berbunyi: “3 org Tu ank VVIP seorang anak Menteri seorang anak pegawai polis seorang anak pengetua yg dah bersara”. Ini baru 3/6 pelaku. 5 senior 1 junior. Statement Di atas sy kutip Dari satu artikel. Kalau betul mereka dalang kepada kes pembulian selama ini, memang sungguh kebal. Salah seorang Dari mereka juga ahli kerabat tyt Kita. Jika benar, sungguh kejam Permainan mereka. Sabah sedang melindungi PEMBUNUH.

Penghantaran komunikasi tersebut telah dibaca oleh Abdullah Hussin pada 31 Julai 2025, jam lebih kurang 10 pagi di kediaman Yang di-Pertua Negeri, dekat sini.

Asmaziah didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta tersebut. Peruntukan itu menetapkan hukuman denda sehingga RM500, 000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) DK Afiqah Alya AK Johari @ PG Johari dan Nurul Shafeerah Mad Iskim.

Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukumannya diringankan.

“Saya tidak berniat untuk menghasut mana-mana pihak. Apa yang saya muat naik hanyalah luahan emosi sebagai seorang ibu.

“Saya merayu agar hukuman diringankan kerana saya hanyalah seorang suri rumah dan mempunyai seorang bayi berusia lapan bulan yang masih menyusu.

“Harap hukuman saya dapat dipertimbangkan kerana saya tidak mempunyai wang yang mencukupi. Saya datang ke sini (mahkamah) ditemani ibu dan bayi saya. Suami saya baru sahaja mendapat kerja di Tenom,” katanya.

Sementara itu, TPR Afiqah memohon supaya hukuman paling berat dikenakan terhadap tertuduh memandangkan keseriusan kesalahan, kepentingan awam serta kekerapan kes seumpama itu.

Hujahnya, kesalahan siber merupakan kesalahan serius, khususnya dalam kes ini di mana kenyataan palsu telah dibuat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11, Tun Musa Aman. Bahan palsu sedemikian boleh disebarkan kepada orang ramai dalam sekelip mata.

“Seperti yang kita sedia maklum, susulan kes inkues Zara Qairina Mahathir baru-baru ini, orang awam telah bangkit dan secara terbuka membanjiri media sosial dengan pelbagai kenyataan palsu dan negatif, tanpa menyemak kesahihan hantaran tersebut dan tanpa memikirkan akibat daripada tindakan mereka.

“Sudah tiba masanya Mahkamah menghentikan perkara ini dan menjadikan kes ini sebagai pengajaran serta memberi amaran kepada orang lain agar tidak melakukan kesalahan yang sama. Secara ringkas, kami memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman penjara bagi menunjukkan kepada orang awam bahawa Mahkamah tidak akan bertolak ansur dengan kesalahan sebegini,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah mendengar bahawa, pengadu membuat laporan polis pada 1 Ogos lalu setelah membaca hantaran dalam aplikasi Whatsapp yang berunsur fitnah terhadap TYT Sabah.

Hasil siasatan mendapati, pautan berkenaan hantaran dalam Whatsapp tersebut dimuatnaik oleh pemilik akaun Facebook “Ash Qiey’ yang menyatakan ahli keluarga TYT, terlibat dalam insiden kematian seorang pelajar perempuan bernama Zara di sebuah sekolah di Papar. 

Pengadu menyatakan hantaran tersebut bersifat fitnah, tidak disokong oleh bukti, dan bertujuan mencemarkan nama baik TYT Sabah serta institusi Istana Negeri Sabah. Hantaran tersebut adalah palsu dan mengganggu kredibiliti TYT Sabah sebagai seorang pemerintah tertinggi di Sabah.

Semakan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati akaun Facebook ‘Ash Qiey’ dikendalikan oleh tertuduh. Asmaziah ditahan pada 13 Ogos lalu kira-kira jam 11.05 pagi di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Kota Marudu.

Sebuah telefon bimbit turut dirampas daripada Asmaziah. Hasil analisis Data Preservation oleh Jabatan Forensik SKMM Cyberjaya mengesahkan terdapat kenyataan yang dimuat naik oleh tertuduh pada 29 Julai kira-kira jam 9.21 malam di akaun Facebook ‘Ash Qiey’, berdasarkan “time stamp” dalam dokumen Data Preservation Case Report. –SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/11/suri-rumah-didenda-rm10000-buat-hantaran-palsu-di-facebook-terhadap-tyt-berkaitan-kes-zara-qairina/feed/ 0 81015
Pesara guru besar mengaku tidak bersalah buat hantaran FB berbaur ancaman terhadap saksi inkues Zara Qairina https://sabahmedia.com/2025/09/11/pesara-guru-besar-mengaku-tidak-bersalah-buat-hantaran-fb-berbaur-ancaman-terhadap-saksi-inkues-zara-qairina/ https://sabahmedia.com/2025/09/11/pesara-guru-besar-mengaku-tidak-bersalah-buat-hantaran-fb-berbaur-ancaman-terhadap-saksi-inkues-zara-qairina/#respond Thu, 11 Sep 2025 05:06:31 +0000 https://sabahmedia.com/?p=80987
Read Time:1 Minute, 58 Second

Oleh J. Evachel John 

KOTA KINABALU: Seorang pesara guru besar yang membuat hantaran berbaur ancaman terhadap pakar patologi forensik Dr Jessie Hiu didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini.

Tertuduh, Kamul Kamarudin, 61, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Marlina Ibrahim.

Kamul didakwa  menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Facebook ‘Amung Kamaruddin’ secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang mengancam iaitu:

“Mau intai bah ni Dr di mana dia tinggal…bila dia kerja…upah bah…pemandu langgar lari”.

Hantaran itu dibuat dengan niat untuk mengganggu orang lain yang mana penghantaran komunikasi tersebut telah dibaca oleh Dr Jessie Hiu pada 5 September, jam lebih kurang 4.15 petang, dekat sini.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta tersebut. Peruntukan itu menetapkan hukuman denda sehingga RM500, 000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM20,000 dengan dua orang penjamin tempatan serta menetapkan 29 September ini untuk pengurusan kes.

Mahkamah juga mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta larangan mengganggu saksi pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lovely Natasha Charles dan Eugenie Meredith Gilbert.

Lovely mencadangkan ikat jamin RM20, 000 dengan dua orang penjamin tempatan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Elhanan James yang mewakili tertuduh bagi tujuan jaminan, memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya merupakan warga tempatan dan tidak mempunyai risiko melarikan diri.

Katanya, tertuduh yang merupakan pesara Guru Besar sebuah sekolah di Semporna telah ditahan sejak 8 September dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.

Terdahulu, Kamul mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan, namun menukar pengakuannya kepada tidak bersalah selepas mendengar peruntukan hukuman di bawah Seksyen berkenaan.

Pada 6 Sept lalu, dilaporkan bahawa polis telah menerima satu laporan yang dibuat oleh pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu berkaitan dengan ugutan yang dibuat oleh netizen susulan keterangannya selama dua hari (3 dan 4 Sept) dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Semasa inkues itu, Dr Hiu antara lain memberi keterangan bahawa adalah tidak mungkin pelajar berusia 13 tahun itu terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari kedudukan berdiri.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan sama ada Zara Qairina telah melompat dengan kehendaknya sendiri. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/11/pesara-guru-besar-mengaku-tidak-bersalah-buat-hantaran-fb-berbaur-ancaman-terhadap-saksi-inkues-zara-qairina/feed/ 0 80987
Che Muna Din terima Notis Tunjuk Sebab hina mahkamah https://sabahmedia.com/2025/09/11/che-muna-din-terima-notis-tunjuk-sebab-hina-mahkamah/ https://sabahmedia.com/2025/09/11/che-muna-din-terima-notis-tunjuk-sebab-hina-mahkamah/#respond Thu, 11 Sep 2025 04:15:47 +0000 https://sabahmedia.com/?p=80983
Read Time:56 Second

KOTA KINABALU : Jabatan Peguam Negara menyerahkan Notis Untuk Tunjuk Sebab kepada Che Muna Din semalam, berhubung satu hantaran di media sosial yang didakwa bersifat menghina mahkamah.

Notis tersebut dikeluarkan mengikut Aturan 52 Kaedah 2B Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, selepas Che Muna yang menggunakan akaun Facebook ‘Mona Din’ memuat naik hantaran berkaitan prosiding Inkues Zara Qairina Mahathir pada 4 September lalu.

Menurut kenyataan jabatan itu, hantaran berkenaan antara lain mempertikai keterangan saksi pakar, Dr Jessie Hiu, Pakar Patologi Forensik Hospital Queen Elizabeth, sekali gus berpotensi mempengaruhi pandangan awam serta mengganggu perjalanan inkues.

“Penghantaran notis ini merupakan sebahagian daripada prosedur bagi memulakan prosiding pengkomitan kerana menghina mahkamah,” menurut kenyataan itu di sini pada Khamis.

Selain itu, jabatan berkenaan turut mendedahkan bahawa beberapa individu lain yang mengeluarkan kenyataan berkaitan kes sama akan berdepan pertuduhan jenayah dalam masa terdekat.

“Jabatan ini memandang serius sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses keadilan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang,” tamnah kenyataan itu.

Orang ramai turut diingatkan supaya tidak memuat naik, mengulas atau menyebarkan sebarang hantaran yang boleh menimbulkan kekeliruan serta mengganggu prosiding mahkamah yang sedang berjalan. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/11/che-muna-din-terima-notis-tunjuk-sebab-hina-mahkamah/feed/ 0 80983
Orang ramai diminta hormati proses keadilan – Peguam Negara https://sabahmedia.com/2025/09/07/orang-ramai-diminta-hormati-proses-keadilan-peguam-negara/ https://sabahmedia.com/2025/09/07/orang-ramai-diminta-hormati-proses-keadilan-peguam-negara/#respond Sun, 07 Sep 2025 09:02:01 +0000 https://sabahmedia.com/?p=80776
Read Time:1 Minute, 38 Second

BERNAMA

Kota Bharu :  Jabatan Peguam Negara (AGC) menasihatkan orang ramai supaya menghormati proses keadilan yang sedang dijalankan, termasuk dalam prosiding inkues Zara Qairina Mahathir.

Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata pihaknya memandang serius sebarang bentuk ugutan atau komen yang boleh mengganggu saksi, seperti dialami pakar patologi Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Dr Jessie Hiu.

“Kami tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu proses keadilan, termasuk mengugut saksi.

“AGC memandang serius ugutan yang diterima Dr Jessie Hiu kerana keterangannya amat penting bagi membantu Mahkamah Koroner mencapai keputusan yang adil, sekali gus memastikan keadilan untuk semua pihak.

“Sebarang ugutan, perbuatan negatif atau tingkah laku yang boleh mengancam keselamatan saksi tidak boleh dipandang ringan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Kebangsaan Long Gafar, di sini, hari ini.

Terdahulu, polis menahan seorang lelaki berusia 61 tahun di Semporna kira-kira 7 pagi tadi di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna kerana disyaki mengugut pakar patologi yang terlibat dalam inkues berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata tangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang dikemukakan Dr Jessie berhubung ugutan diterimanya selepas tampil memberi keterangan di Mahkamah Koroner dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Zara Qairina.

Mengulas lanjut, Mohd Dusuki berkata siasatan kes berkenaan perlu dipercepatkan dan sekiranya terbukti wujud elemen ugutan seperti disyaki, tindakan tegas akan diambil.

“Kita faham proses ini melibatkan ramai saksi, dokumen dan pelbagai aspek lain. Justeru, kesabaran diperlukan kerana inkues ini dilaksanakan untuk memastikan keadilan kepada semua pihak termasuk mangsa dan keluarga mangsa,” katanya.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital sehari sebelumnya, setelah ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.

Pada majlis itu, Mohd Dusuki turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi naik taraf sekolah tersebut untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, demi menyokong kecemerlangan guru dan murid. — BERNAMA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/07/orang-ramai-diminta-hormati-proses-keadilan-peguam-negara/feed/ 0 80776
Pakar forensik serah kepada mahkamah tentukan punca jatuh Zara https://sabahmedia.com/2025/09/04/pakar-forensik-serah-kepada-mahkamah-tentukan-punca-jatuh-zara/ https://sabahmedia.com/2025/09/04/pakar-forensik-serah-kepada-mahkamah-tentukan-punca-jatuh-zara/#respond Thu, 04 Sep 2025 10:36:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=80628
Read Time:1 Minute, 10 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu menyerahkan kepada pertimbangan Mahkamah Koroner untuk memutuskan sama ada Zara Qairina Mahathir jatuh atas kehendaknya sendiri atau sebaliknya.

Dr Jessie, yang merupakan saksi pertama dalam inkues kematian Zara, berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili salah seorang remaja yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak.

Ram mengajukan pertanyaan itu susulan keterangan Dr Jessie kelmarin dan hari ini yang menyatakan bahawa adalah tidak mungkin Zara jatuh secara tidak sengaja atau ditolak.

Ram Singh: Sekiranya ia bukan disebabkan kemalangan atau ditolak, ketika berdiri atau duduk di penghadang, adakah kemungkinan dia jatuh atas kerelaan sendiri?

Dr Jessie: Itu terpulang kepada mahkamah menentukan.

Ram Singh: Pendek kata, apa apa sekalipun definisi yang digunakan, adakah situasi yang melibatkan si mati itu boleh dianggap bunuh diri?

Dr Jessie: Sama, itu tepulang kepada mahkamah menentukannya.

Terdahulu sebuah patung digunakan untuk menunjukkan kecederaan yang dialami Zara  terutamanya pada kaki kiri, pergelangan tangan, bahagian sisi dan belakang badan, adalah konsisten dengan kes jatuh. 

Inkues ini diadakan susulan kematian Zara yang ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.

Koroner Amir Shah Amir Hassan dijangka akan mendengar keterangan daripada 68 saksi, termasuk 35 kanak-kanak.

Inkues itu turut dijadualkan melibatkan lawatan ke lokasi kejadian di Papar pada Khamis depan.

Prosiding inkues akan bersambung Isnin.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/04/pakar-forensik-serah-kepada-mahkamah-tentukan-punca-jatuh-zara/feed/ 0 80628
Pendengaran inkues Zara Qairina bersambung hari ni https://sabahmedia.com/2025/09/04/pendengaran-inkues-zara-qairina-bersambung-hari-ni/ https://sabahmedia.com/2025/09/04/pendengaran-inkues-zara-qairina-bersambung-hari-ni/#respond Thu, 04 Sep 2025 00:20:46 +0000 https://sabahmedia.com/?p=80561
Read Time:1 Minute, 38 Second

Oleh J. Evachel John

Kota Kinabalu:  Inkues kematian Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner memasuki hari kedua hari ini dengan pakar patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, akan menyambung keterangannya mengenai punca kematian mangsa.

Prosiding dijangka bermula jam 9 pagi nanti di hadapan koroner Amir Shah Amir Hassan.

Semalam Mahkamah Koroner dimaklumkan bahawa kecederaan dialami Zara adalah konsisten dengan kes jatuh dari tempat tinggi dan tiada tanda penderaan fizikal.

Dr Jessie berkata bahawa berdasarkan kepakaran beliau terhadap corak dan sifat kecederaan, ia tidak selaras dengan penderaan fizikal.

“Kecederaan dalam kes ini konsisten dengan kes jatuh dari tempat tinggi. Ia berpunca daripada dua mekanisme iaitu trauma hentakan terus dan kecederaan akibat kelajuan jatuh (deceleration height injury).

“Dalam kes ini, trauma hentakan terus adalah pada kedua-dua lutut. Ia adalah penemuan biasa bagi mangsa yang jatuh dan mendarat dengan kaki. Manakala trauma hentakan sekunder adalah pada anggota atas kiri apabila mangsa jatuh ke belakang sehingga mengalami kecederaan pada tangan dan lengan kiri.

“Hentakan terus pada bahagian kaki telah menyebabkan daya dihantar ke atas secara menegak sehingga mengakibatkan keretakan pada tulang belakang lumbar serta kecederaan pada tisu otot,” katanya ketika menjawab soalan daripada Pegawai Pengendali Timbalan Ketua Pendakwa Raya II, Datuk Badiuszaman Ahmad.

Datuk Badiuszaman bersama Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah; serta Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S. Sawayan dan Dacia Jane Romanus adalah pihak pegawai pengendali.

Ibu Zara, Noraidah Lamat diwakili oleh Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Farrah Nasser dan Elhanan James.

Bapa Zara pula diwakili oleh peguam Sherzali Hezra Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.

Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili salah seorang remaja, manakala Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Fareez Salleh dan Sylvester Kuan mewakili empat remaja yang lain.

Pasukan SLS pula diwakili oleh peguam Jamadi Saleh.

Peguam Kanan Persekutuan, Dr Norahimah Fitri mewakili Kementerian Pendidikan sebagai peguam pemerhati. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/04/pendengaran-inkues-zara-qairina-bersambung-hari-ni/feed/ 0 80561
Kematian Zara mungkin bukan terjatuh akibat ditolak https://sabahmedia.com/2025/09/03/kematian-zara-mungkin-bukan-terjatuh-akibat-ditolak/ https://sabahmedia.com/2025/09/03/kematian-zara-mungkin-bukan-terjatuh-akibat-ditolak/#respond Wed, 03 Sep 2025 08:25:53 +0000 https://sabahmedia.com/?p=80530
Read Time:2 Minute, 1 Second

Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner mendengar bahawa kematian Zara Qairina Mahathir tidak mungkin berpunca daripada terjatuh secara tidak sengaja mahupun ditolak dari kedudukan berdiri di lokasi kejadian.

Pakar patologi forensik Hospital Queen Elizabeth (QEH), Dr Jessie Hiu, mendedahkan perkara itu ketika memberi keterangan sebagai deponen (saksi) pertama di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan yang bersidang sebagai koroner dalam inkues kematian Zara, hari ini.

Menurutnya, pada 2 Ogos lalu, beliau telah diminta memberikan pendapat profesional berhubung kecederaan antemortem yang dialami Zara.

“Berdasarkan pemeriksaan di lokasi kejadian di asrama si mati, ukuran daripada lantai hingga ke palang besi mendatar paling atas pada penghadang konkrit di tingkat tiga ialah 118 sentimeter (cm).

“Saya dimaklumkan bahawa ketinggian antemortem si mati ialah 154cm. Perbezaan antara ketinggian si mati dan palang besi tersebut ialah 36cm. Ketinggian palang besi itu melebihi tiga perempat daripada ketinggian si mati dan berkemungkinan berada di atas pusat graviti tubuhnya. (Bagi wanita, pusat graviti biasanya di bahagian pelvis, sedikit di bawah pusat ketika berdiri).

“Berdasarkan ukuran ini, pada pendapat saya, adalah tidak mungkin si mati terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari kedudukan berdiri di sebelah penghadang konkrit sepanjang koridor tersebut,” katanya ketika membaca kenyataan bertulisnya petang tadi.

Dr Jessie berkata, berdasarkan ketinggian serta kelebaran penghadang konkrit, ketinggian palang besi mendatar, dan ketinggian antemortem si mati, adalah mungkin untuk Zara memanjat penghadang konkrit, melintasi palang besi, dan berdiri di atas penghadang tersebut.

“Saya telah menyediakan laporan mengenai penemuan pemeriksaan lokasi bersama laporan bedah siasat,” katanya sambil menambah bahawa beliau telah meneliti rekod perubatan Zara termasuk laporan X-ray, CT (tomografi berkomputer) dan CTA scan (tomografi angiogram berkomputer), serta menjalankan pemeriksaan lokasi kejadian pada 2 Ogos lalu.

Zara, seorang pelajar sekolah agama di Papar, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai.

Kematian Zara mencetuskan gelombang solidariti ramai pihak yang menuntut siasatan menyeluruh demi keadilan.

Menjawab soalan Pegawai Pengendali, Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badiuszaman Ahmad, sama ada kecederaan Zara konsisten dengan penderaan fizikal, Dr Jessie Hiu berkata: “Tidak. Kecederaan ini konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi.”

Dr Jessie berkhidmat sebagai pakar patologi forensik di HQE di sini sejak 1998. Secara purata, pakar itu mengendalikan dan menyelia antara 100 hingga 150 bedah siasat setahun.

Dr Jessie juga pernah memberi keterangan sebagai saksi pakar secara purata 10 hingga 15 kali setahun di Mahkamah Majistret, Sesyen dan Tinggi di Sabah serta Labuan.

Prosiding bersambung esok.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/03/kematian-zara-mungkin-bukan-terjatuh-akibat-ditolak/feed/ 0 80530
Mahkamah Tinggi batalkan keputusan Koroner berhubung semua permohonan dalam inkues Zara https://sabahmedia.com/2025/09/02/mahkamah-tinggi-batalkan-keputusan-koroner-berhubung-semua-permohonan-dalam-inkues-zara/ https://sabahmedia.com/2025/09/02/mahkamah-tinggi-batalkan-keputusan-koroner-berhubung-semua-permohonan-dalam-inkues-zara/#respond Tue, 02 Sep 2025 08:29:25 +0000 https://sabahmedia.com/?p=80462
Read Time:3 Minute, 37 Second

Oleh J. Evachel John

Kota Kinabalu: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa membatalkan keputusan Koroner yang antara lain membenarkan peguam kepada pesalah kanak-kanak menjadi pihak berkepentingan dalam inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Ini termasuklah permohonan yang dibuat oleh pasukan guaman keluarga Zara serta Sabah Law Society (SLS).

Bagaimanapun, mahkamah menyatakan pihak-pihak terlibat bebas untuk mengemukakan semula permohonan mereka di hadapan Koroner baharu. 

“Apa-apa perintah yang dibuat berkaitan dengan mana-mana permohonan dalam inkues tersebut adalah diketepikan. Pihak yang terlibat bebas memperbaharui permohonan mereka di hadapan Koroner baharu,” kata hakim Datuk Duncan Sikodol selepas mendengar hujahan daripada pihak-pihak terlibat hari ini.

Keputusan tersebut dibuat susulan semakan kehakiman yang difailkan oleh pasukan guaman keluarga Zara serta SLS terhadap keputusan Mahkamah Koroner pada 28 Ogos yang antara lainnya membenarkan pasukan guaman pesalah kanak-kanak menjadi pihak berkepentingan dalam imkues tersebut.

Duncan berkata, dalam kes ini, Koroner terdahulu membuat perintah membenarkan peguam remaja terbabit sebagai pihak berkepentingan dan menyertai prosiding inkues. Namun tidak lama kemudian, beliau menarik diri kerana terdapat kepentingan peribadi.

“Setelah beliau sendiri berpendapat tidak boleh meneruskan kes, adalah tidak wajar untuk membuat keputusan berhubung isu substantif yang seharusnya diserahkan kepada pertimbangan Koroner baharu. Jika tidak, ia seolah-olah memutuskan bagi pihak Koroner yang akan datang, sekali gus menjejaskan prinsip ketidakberpihakan,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah tidak membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) terhadap permohonan SLS.

Menurut Duncan, walaupun SLS hanya hadir sebagai peguam pemerhati dengan peranan terhad kepada pemerhatian prosiding, Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi untuk memanggil dan meneliti rekod mana-mana prosiding di mahkamah rendah bagi memastikan ketepatan, kesahan dan kewajaran sesuatu keputusan atau perintah, termasuk kesahihan prosiding.

Katanya, bidang kuasa penyeliaan itu boleh digunakan oleh mahkamah atas inisiatif sendiri, justeru sesiapa sahaja boleh membawa isu untuk perhatian mahkamah.

“Memandangkan isu ini menyentuh kepentingan awam serta peranan SLS sebagai penjaga kepentingan tersebut, saya berpendapat soal locus standi tidak seharusnya menghalang mereka daripada mengemukakan isu ini. Oleh itu, bantahan awal TPR tidak dibenarkan,” katanya.

Pada 28 Ogos lalu, Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz, yang ketika itu bertindak sebagai Koroner, memutuskan inkues akan diteruskan seperti dijadualkan tetapi akan didengar di hadapan Koroner baharu, Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan.

LINK BERITA TERDAHULU: 

Dalam keputusan sama, Koroner membenarkan permohonan pasukan guaman keluarga Zara agar ibu arwah, Noraidah Lamat, dideklarasikan sebagai orang yang berkepentingan di dalam prosiding inkues berkenaan kematian Zara. 

Dalam permohonan tersebut pasukan guaman memohon agar anak guam mereka, melalui pasukan guaman, dibenarkan terlibat dalam prosiding inkues tersebut untuk memeriksa dan menyoal balas para deponen (saksi-saksi), melihat dokumen-dokumen dan mencadangkan dan membawa saksi-saksi dan dokumen-dokumen tambahan untuk membantu koroner. 

Permohonan itu turut meliputi agar Noraidah, melalui peguamnya, diberikan salinan dokumen-dokumen relevan daripada Jabatan Peguam Negara sebelum permulaan prosiding inkues.

Koroner turut membenarkan peguam permohonan peguam yang mewakili lima remaja bawah umur yang berdepan pertuduhan berkait Zara di Mahkamah Kanak-Kanak, untuk diterima sebagai ‘Pihak Berkepentingan’ dalam inkues, serta diberi akses kepada dokumen berkaitan inkues.

Pada 20 Ogos, lima remaja itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara.

LINK BERITA TERDAHULU: 

Inkues ini diadakan susulan kematian Zara, seorang pelajar sekolah agama di Papar, yang ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai.

Kematian tersebut mencetuskan gelombang solidariti orang ramai, termasuk pemimpin negeri, aktivis serta pertubuhan bukan kerajaan, yang menuntut siasatan menyeluruh demi keadilan.

Tarikh pendengaran inkues telah ditetapkan iaitu pada 3 – 4 September, 8 – 12 September, 17 – 19 September, dan 22 – 30 September.

Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah bersama TPR Mohd Fairus Johari dan Dacia Jane Romanus mewakili pihak pendakwaan.

Pasukan SLS diketuai Presidennya, Datuk Mohamed Nazim Maduarin bersama Jamadi Saleh, Dominic Ghani dan Nabila Norsahar.

Manakala pasukan guaman keluarga Zara terdiri daripada Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Farrah Nasser dan Elhanan James.

Peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili seorang daripada remaja terbabit dalam kes buli Zara, manakala Azhier Farhan Arisin dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah mewakili empat lagi remaja. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/02/mahkamah-tinggi-batalkan-keputusan-koroner-berhubung-semua-permohonan-dalam-inkues-zara/feed/ 0 80462
Guru Mengaku Tidak Bersalah Sebar Maklumat Palsu Kematian Zara Qairina https://sabahmedia.com/2025/08/21/guru-mengaku-tidak-bersalah-sebar-maklumat-palsu-kematian-zara-qairina/ https://sabahmedia.com/2025/08/21/guru-mengaku-tidak-bersalah-sebar-maklumat-palsu-kematian-zara-qairina/#respond Thu, 21 Aug 2025 03:53:17 +0000 https://sabahmedia.com/?p=79755
Read Time:1 Minute, 32 Second

SEPANG,– Seorang guru, Siti Hajar Aflah Sharudin, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas tuduhan menyebarkan maklumat palsu mengenai kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Tertuduh yang menggunakan akaun TikTok “SHA_Abrienda” itu didakwa oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Zaiful Bahrain Kamde.

Mengikut pertuduhan, pada 6 Ogos 2025 sekitar jam 1.20 petang, tertuduh didakwa memuat naik satu kenyataan di akaun TikTok miliknya. Kenyataan itu kemudian dilihat dan didengar oleh seorang individu bernama Wong Yew Zhung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2), Sepang. Ia didakwa berpotensi menimbulkan kegentaran awam yang boleh mendorong orang lain melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Perbuatan itu dituduh mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan memohon jaminan sebanyak RM10,000, namun dibantah oleh pihak pembelaan dengan alasan tertuduh merupakan ibu tunggal yang berpendapatan RM5,000 sebulan sebagai guru, selain menanggung tiga anak dan kedua ibu bapanya.

Majistret Khairatul Animah Jelani kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 9 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan tertuduh didakwa menyebarkan dakwaan tidak sahih bahawa Zara Qairina meninggal dunia selepas dimasukkan ke dalam mesin basuh dimana Polis mengesahkan kenyataan itu tidak pernah disahkan oleh pihak berkuasa mahupun pihak berkaitan.

Dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika memberitahu parlimen menjelaskan bahawa hsil siasatan mendapati guru itu memberi alasan dia sekadar mahu “buat content”.

“Guru bahasa Inggeris, kita tangkap dan kalau Peguam Negara bersetuju akan tuduh. Tapi ‘content’ dia itu ditelan bulat-bulat oleh sebahagian besar rakyat, di dalam dan di luar dewan ini,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/21/guru-mengaku-tidak-bersalah-sebar-maklumat-palsu-kematian-zara-qairina/feed/ 0 79755
Matbali menitiskan air mata ketika membahas kes Zara Qairina di Parlimen https://sabahmedia.com/2025/08/18/matbali-menitiskan-air-mata-ketika-membahas-kes-zara-qairina-di-parlimen/ https://sabahmedia.com/2025/08/18/matbali-menitiskan-air-mata-ketika-membahas-kes-zara-qairina-di-parlimen/#respond Mon, 18 Aug 2025 09:30:54 +0000 https://sabahmedia.com/?p=79568
Read Time:1 Minute, 40 Second

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah menitiskan air mata ketika menutup perbahasan ke atas penerangan Menteri Dalam Negeri berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir, di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam sebak dan ucapan yang tersekat-sekat, beliau mengakhiri ucapannya dengan berkata: ‘Buat allahyarham Zara, tidurlah dalam lena yang abadi, dalam dakapan kasih Ilahi. Dunia ini belum cukup aman untukmu, tapi Syurga pasti menyambutmu dengan senang hati’.

Sebelum itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memberi penjelasan dalam Parlimen mengenai kes Zara serta tindakan yang diambil kerajaan menanganinya.

Matbali menjadi pembahas pertama daripada enam Ahli Parlimen, menghargai penjelasan yang diberikan itu, sambil berharap siasatan diteruskan dengan ketelusan dan keberanian demi keadilan untuk Zara.

Katanya, penjelasan itu diharap meredakan suara kebangkitan `Keadilan Untuk Zara’ sampai ke luar negara.

Beliau memuji usaha KDN menubuhkan pasukan khas dari Bukit Aman dan menghantar pasukan petugas ke Sabah untuk menyelongkar kebenaran di sebalik kejadian itu.

Di Sabah, katanya, pemimpin negeri daripada institusi tertinggi Yang di-Pertua Negeri hingga ke peringkat akar-umbi, semuanya telah bangkit bersuara agar siasatan dijalankan secara menyeluruh.

Menurutnya, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri turut menyantuni ibu Zara sebagai tanda keprihatinan pimpinan negeri.

“Seluruh negara, malah dunia, telah bangkit dan bersatu, tiada lagi beza parti, bangsa mahupun darjat, kerana Zara telah menyatukan kita dalam satu roh kemanusiaan sejati.

“Dari kota dan bandar hingga ke ceruk kampung di Sabah, poster-poster `Justice for Zara’ berkibar tanpa henti, simbol suara rakyat yang tidak mahu pemergian ini dilupakan begitu saja,” katanya.

Matbali menegaskan bahawa yang bersalah,  sama ada pembuli atau pembunuh harus diheret ke muka pengadilan tanpa kompromi.

“Ini penting kerana keadilan bukan sahaja untuk menghukum, tetapi menyedarkan dunia, bahawa setiap nyawa itu suci dan tidak boleh dipermainkan.

“Yang mendesak sekarang adalah pencarian kebenaran secara tuntas kenapa, bagaimana dan siapa yang menyebabkan Zara sengsara sehingga menemui ajal, dengan tubuhnya ditemukan terperosok dalam longkang pada jam 3 pagi. Itu yang rakyat ingin tahu, itu yang kita wajib jawab,” katanya.- SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/18/matbali-menitiskan-air-mata-ketika-membahas-kes-zara-qairina-di-parlimen/feed/ 0 79568