KUALA LUMPUR — Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah bertindak secara tidak sah apabila menghalang seorang pengundi, Tamileswaaran A/L Ravi Kumar, daripada mengundi pada Pilihan Raya Negeri Johor bagi kerusi Skudai pada 12 Mac 2022 atas alasan beliau positif COVID-19 dan berada dalam tempoh kuarantin.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Wong Kian Kheong sebulat suara membenarkan rayuan Tamileswaaran, mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini menolak semakan kehakiman beliau, serta mengeluarkan perintah certiorari untuk membatalkan tindakan SPR.
Mahkamah turut mengisytiharkan bahawa tindakan SPR menghalang perayu daripada mengundi atas alasan status kesihatan dan kuarantin adalah melanggar hak perlembagaannya di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam penghakiman, mahkamah menegaskan bahawa hak mengundi adalah hak perlembagaan, bukannya hak statutori, dan hanya boleh dihadkan atau dipinda melalui sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga ahli Parlimen di kedua-dua Dewan.
SOP dan peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang digunakan SPR untuk menghalang Tamileswaaran dianggap sebagai “perundangan subsidiari” dan tidak termasuk dalam takrif “undang-undang persekutuan” menurut Perkara 160(2).
Panel hakim turut memutuskan bahawa mahkamah mempunyai budi bicara untuk memberikan pampasan atau ganti rugi sekiranya hak mengundi dilanggar, namun dalam kes ini tidak berbuat demikian kerana SPR bertindak berlandaskan SOP demi kepentingan kesihatan awam dan pegawainya bertindak dengan niat baik.
Sementara itu, peguam Tamileswaaran, New Sin Yew, ketika dihubungi Sabah Media berkata, “Ini adalah satu keputusan yang amat penting. Hak untuk mengundi adalah tonggak utama demokrasi kita.
Mahkamah Rayuan telah mengiktiraf hak mengundi sebagai hak perlembagaan dan bukannya hak statutori, yang tidak boleh dimansuhkan dengan mudah. Hak perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen untuk dipinda, manakala hak statutori hanya memerlukan majoriti mudah. Dan ia sama sekali tidak boleh dinafikan melalui perundangan subsidiari yang dibuat oleh pegawai kerajaan.”
Tamileswaaran diwakili peguam New Sin Yew dan Nur Izni Syazwani Ahmad, manakala pihak responden diwakili oleh Mohammad Al-Saifi Hashim, Nur Syazwani Abdul Aziz dan Fauziah Daud dari Jabatan Peguam Negara.
]]>TANGKAK: Pembukaan sempadan negara pada 1 Mac seperti disyorkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) baru-baru ini belum boleh dilaksanakan kerana ia memerlukan penelitian lanjut, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, cadangan MPN itu juga masih belum dibincangkan dalam Kabinet, selain perlu dirujuk kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapatkan saranan dan nasihat.
Katanya, perkara itu juga bagi memastikan kesediaan negara untuk menerima pengunjung luar, selain keupayaan kerajaan dalam mengatasi COVID-19 dan varian Omicron.
“Itu hanya cadangan MPN, cadangan itu perlu dibincangkan dan mungkin pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) boleh duduk sama dalam perkara ini. Jika perlu perkara itu mendapatkan kelulusan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dan Kabinet kita akan bincang perkara ini.
“Cuma saya mahu maklumkan buat masa sekarang, tiada perbincangan lagi yang dibuat, itu hanya cadangan daripada MPN.
“Buat masa ini, sempadan masih belum sesuai dibuka dengan peningkatan kes COVID-19 di kebanyakan negara termasuk Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Ledang semalam.
Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.
Pada 8 Februari lalu, MPN bersetuju dengan cadangan supaya Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib, seawal 1 Mac depan.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun menegaskan, pembukaan sempadan kepada semua negara itu perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, keutamaan kerajaan kini adalah untuk mengimbangi isu kesihatan serta keperluan pembukaan semula sempadan negara yang membabitkan pelancongan sebagai industri utama.
Katanya, pembukaan semula sempadan negara ada dalam perancangan kerajaan, tetapi bukan dalam tempoh terdekat berikutan penularan wabak masih berlaku.
“Kita bukan hanya mahu bantu sektor pelancongan, tapi mahu menjaga rakyat negara kita sebab kita tidak mahu pelancong datang membawa jangkitan. Itu lebih bahaya. Biar KKM buat kajian lebih terperinci.
“Walaupun perlu saya katakan yang akhir nanti ia (sempadan negara) perlu dibuka juga, kita akan pertimbangkan (pembukaan sempadan) kerana kita mahu mengimbangi industri pelancongan dengan kesihatan rakyat.
“KKM juga akan melakukan perancangan terperinci dan cadangkan kepada Kabinet, cuma setakat ini sempadan masih ditutup dan belum ada perbincangan pun untuk kita buka sempadan,” katanya.
]]>KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 terus melonjak pada kadar 1.32 semalam, berbanding 1.27 kelmarin, kesan peningkatan mendadak kes baharu di seluruh negara sejak Ahad lalu.
Berdasarkan data dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter rasminya hari ini, semua negeri melepasi kadar Rt 1.0 dengan Perlis dan Sabah merekodkan kadar tertinggi iaitu 1.54.
Ia diikuti Sarawak dengan 1.48, Terengganu mencatatkan 1.36, Kedah (1.32), Pulau Pinang (1.25), Putrajaya (1.29) dan Johor serta Pahang (1.24).
Sementara itu, Rt di tiga negeri iaitu Selangor, Melaka dan Perak berada pada kadar 1.23, disusuli Negeri Sembilan yang merekodkan 1.12 dan kadar terendah ketika ini direkodkan di Kuala Lumpur iaitu 1.09.
Baca :-
Untuk rekod, kes harian COVID-19 sepanjang bulan ini terus mencatatkan peningkatan dengan kes dilaporkan semalam adalah yang tertinggi iaitu 11,034, berbanding kes pada Ahad lalu adalah 10,089 dan Sabtu (9,117).
Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif.
Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.
]]>Kota Kinabalu – – jumlah kes covid yang dilaporkan di Sabah semalam merekodkan sebanyak 1,600 kes baharu Covid-19, naik 315 kes berbanding 1,285 kes kelmarin.
Turut diarah tutup mulai semalam adalah bahagian pengurusan kewangan, Jabatan Ketua Menteri di aras 24, apabila terdapat beberapa kakitangan di bahagian itu yang dilaporkan positif jangkitan covid-19.
Di dalam notis yang dilihat Sabah Media, kakitangan di jabatan berkenaan kini diarahkan untuk beroperasi di Rumah sehingga ada arahan penamatan kuarantin daripada Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).
Semalam, Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata tiada kes kematian disebabkan Covid-19 dilaporkan, manakala seramai 418 pesakit dilaporkan sembuh.
hampir semua daerah di Sabah merekodkan peningkatan kes Covid-19 semalam dengan Kota Kinabalu mencatat jumlah tertinggi sebanyak 371 kes, diikuti Sandakan (322 kes), Tuaran (150 kes) dan Penampang (138 kes).
Dalam pada itu, Masidi turut melaporkan bahawa Satu lagi kluster baharu Covid-19 berkaitan institusi pendidikan dilaporkan di Sabah, semalam, yang membabitkan pelajar asrama Sekolah Menengah (SM) Maktab Sabah, Sembulan.
Katanya Kluster Jalan Pintas Sembulan itu, setakat ini, menjangkiti seramai 18 pelajar asrama sekolah berkenaan.
Beliau berkata, kluster itu tercetus selepas kes indeks iaitu seorang pelajar perempuan berumur 15 tahun dikesan positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 3 Februari lalu.
“Pelajar itu mula bergejala pada 3 Februari 2022 sebelum menjalani ujian RT – PCR pada hari yang sama dan didapati positif. Kes indeks sudah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) untuk dikuarantin dan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Katanya, seramai 79 orang kontak rapat sudah disaring dan 17 pelajar lagi didapati positif, menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi Kluster Jalan Pintas Sembulan itu seramai 18 orang, setakat ini.
Bagaimanapun, katanya semua yang didapati positif berada dalam kategori bergejala ringan iaitu Kategori 2 dan sudah dihantar ke pusat kuarantin selain menerima rawatan yang sesuai.
]]>KUALA LUMPUR : Kes harian COVID-19 dijangka mampu melonjak sehingga angka 15,000 dalam masa terdekat, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Menurut beliau, situasi itu boleh dihadapi oleh negara berikutan jumlah warga emas yang masih belum mendapatkan dos penggalak agak tinggi.
Kata Khairy, sejumlah sejuta golongan berkenaan masih belum mengambil dos penggalak.
“Kes akan mencecah 15,000 tidak lama lagi. Masih ada 1 juta warga emas yang tiada dos penggalak.
“Tolong maklum kepada ibu bapa kesayangan anda untuk mendapatkan dos penggalak dengan segera,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Ahad.
Malaysia juga, jelas Khairy, sudah sepenuhnya berhadapan dengan gelombang varian Omicron.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham turut menyatakan kebimbangan sama sekiranya kadar R-Naught kekal kepada 1.2.
Situasi itu secara tidak langsung, jelas beliau, akan membawa kepada unjuran kes harian sebanyak 22,000 menjelang hujung Mac ini.
Dr Noor Hisham dalam pada itu menegaskan, risiko tersebut dapat diatasi sekiranya liputan dos penggalak dapat diperluas bagi memastikan penurunan kadar R-Naught.
Jumlah kes harian yang dilaporkan hari ini menunjukkan angka yang kembali melonjak seperti yang diramalkan sebelum ini dengan sebanyak 10,089 kes.
]]>BERNAMA
KUALA LUMPUR, Malaysia berada di kedudukan ke-13 dalam senarai terbaharu Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei, selepas hampir dua tahun memerangi pandemik COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Dalam hantaran di Facebook malam tadi, beliau berkata Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei menunjukkan perbezaan antara Asia dan Barat, dengan kebanyakan negara merekodkan peningkatan kes terutama disebabkan varian Omicron dalam tempoh yang singkat.
Berdasarkan Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei, setakat 31 Dis lepas Malaysia berada di kedudukan ke- 13 dengan 66.5 mata, manakala Bahrain tersenarai di tempat paling atas dengan 82 mata, dikuti Chile (76.5 mata) dan Taiwan (75.5 mata).
Berdasarkan laman sesawang tersebut, Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei menyenaraikan kira-kira 120 negara atau wilayah bagi pengurusan jangkitan, pelaksanaan pemberian vaksin dan mobiliti sosial.
Kedudukan lebih tinggi sesebuah negara atau wilayah dalam indeks tersebut menunjukkan ia semakin hampir kepada pemulihan dengan jumlah kes COVID-19 yang rendah, kadar vaksinasi lebih baik dan langkah penjarakan sosial yang kurang ketat; sumber data termasuk daripada Our World in Data, Google COVID-19 Community Mobility Reports, Oxford COVID-19 Government Response Tracker Cirium dan penyelidikan Nikkei Asia.
Malaysia mencatatkan 2,714 kes sembuh semalam, menjadikan keseluruhan kes sembuh 2,714,614 direkodkan sejak penularan wabak itu di negara ini.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Malaysia kini menduduki tempat keenam dalam Indeks COVID-19 Global (GCI). GCI dibangunkan dengan input daripada pelbagai badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Berdasarkan GCI, Malaysia berada di kedudukan keenam dengan penarafan pemulihan lima dengan indeks pemulihan 78.74, manakala Singapura berada di kedudukan teratas dengan indeks pemulihan 82.88, diikuti Korea Selatan (82.71) dan Taiwan (80.49) yang kesemuanya berkongsi penarafan pemulihan sama iaitu lima.
]]>KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 negara meningkat 0.01 kepada 0.98 berbanding Sabtu lalu.
Berdasarkan data dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Twitter rasminya hari ini, lima negeri merekodkan kadar Rt tertinggi melebihi 1.00.
Negeri yang mencatatkan kadar Rt melebihi 1.00 ialah Sabah (1.07), Melaka (1.03), Kuala Lumpur (1.06), Labuan (1.19) dan Negeri Sembilan (1.02), manakala Kedah (1.00).
Sementara itu, negeri lain yang mencatatkan Rt atas 0.90 ialah Selangor (0.99), Pulau Pinang (0.95), Johor (0.97), Kelantan (0.96), Putrajaya (0.96), Pahang (0.99) dan Perlis (0.95).
Hanya Sarawak dan Terengganu mencatatkan bacaan Rt terendah iaitu masing-masing 0.87.
Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 2,888 kes positif baharu COVID-19 sekali gus menjadikan kes kumulatif di negara ini sebanyak 2,786,219 kes.
]]>KOTA KINABALU : Daerah Kota Kinabalu mencatat kes jangkitan COVID-19 tertinggi di Sabah hari ini sebanyak 60 kes menjadikan jumlah kumulatif harian di negeri ini meningkat kepada 231 kes.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, faktor penyebab kepada kenaikan kes mendadak di Kota Kinabalu adalah disebabkan terdapat 25 kes baharu melibatkan Kluster Bahtera Kinabalu.
“Bagi daerah Kota Kinabalu, selain daripada kes daripada Kluster, sebanyak 18 kes berpunca daripada Kes Bergejala, 11 kes daripada Saringan Kontak Rapat dan 6 kes lagi daripada lain-lain saringan.
“Pada hari ini, 27 daerah merekodkan penambahan jumlah kes harian, dimana tujuh daerah mencatatkan kes dua angka, 14 daerah mencatatkan kes satu angka sahaja dan 6 daerah tidak mencatat sebarang kes baharu,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.
Masidi berkata, kesemua daerah mencatatkan perubahan angka yang tidak statik kecuali daerah-daerah yang konsisten dengan catatan sifar kes seperti Kunak, Kalabakan dan Nabawan.
Katanya, seramai 226 orang daripada 231 pesakit baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, seorang dalam Kategori 3, dua orang dalam Kategori 4 dan tiada pesakit dalam Kategori 5.
“Kes yang melibatkan 2 orang pesakit lagi masih dalam penilaian Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya.
]]>BERNAMA
KOTA KINABALU ~~Kerajaan Sabah membenarkan kunjungan dari rumah ke rumah sempena sambutan Krismas dan Tahun Baharu dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk pengunjung perlu lengkap vaksin COVID-19.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata tempoh masa satu-satu kunjungan tidak melebihi tiga jam dan perlu diselangi dengan kerja-kerja sanitasi dalam tempoh 30 minit sebelum menerima kunjungan seterusnya.
Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata ketua rumah perlu memastikan penggunaan aplikasi MySejahtera atau menyediakan buku log kehadiran pengunjung, selain menyediakan alat memeriksa suhu badan dan cecair pencuci tangan.
“Ketua rumah perlu pastikan pengunjung membuat saringan kendiri, pelitup muka dipakai kecuali semasa makan minum, penjarakan fizikal satu meter dipatuhi dengan kapasiti 50 peratus rumah, manakala kanak-kanak bawah 12 tahun hanya dibenarkan hadir bersama ibu bapa lengkap divaksin.
“Tidak dibenarkan mengadakan aktiviti keagamaan atau bersentuhan ketika kunjungan, ketua rumah termasuk tetamu juga perlu bertanggungjawab mematuhi SOP di rumah semasa menyambut perayaan tersebut,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Krismas bakal disambut pada 25 Dis ini dengan Sabah menetapkan cuti umum sempena sambutan itu pada 24 dan 25 Dis.
Masidi berkata kerajaan negeri juga menetapkan SOP untuk rumah ibadat bukan Islam sempena sambutan Krismas antaranya menetapkan tempoh operasi bermula pada 7 pagi dan berakhir pada 11.30 malam, selain hanya penganut lengkap menerima vaksin dibenar hadir.
Beliau berkata tempoh masa sembahyang tidak melebihi dua jam dan perlu diselangi dengan kerja-kerja sanitasi dalam tempoh 30 minit sebelum sesi sembahyang seterusnya, manakala kehadiran terhad 50 peratus kapasiti mengambil kira penjarakan fizikal 1 meter.
“Ahli Jawatankuasa Pengurusan (rumah ibadat) dan penganut yang menghidap penyakit kronik tidak dibenarkan hadir, selain wajib membawa peralatan sembahyang sendiri dan upacara atau perarakan keagamaan atau aktiviti melibatkan sentuhan tidak dibenarkan.
“Ahli Jawatankuasa Pengurusan juga perlu memastikan penggunaan MySejahtera atau buku log kehadiran, dan memastikan semua memakai pelitup muka, membersihkan tangan dan mematuhi SOP lain ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Masidi berkata Sabah merekodkan 237 kes COVID-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif 238,357 kes, manakala 426 pesakit sembuh menjadikan kumulatif sembuh seramai 229,833 orang, dan 804 pesakit masih menerima rawatan.
]]>KUALA LUMPUR: Pembentukan kabinet baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa untuk mencari strategi mengurangkan karenah birokrasi dalam usaha membantu rakyat yang terkesan akibat COVID-19.
Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun berkata proses birokrasi hanya akan menyusahkan rakyat yang memerlukan bantuan dengan segera.
“Ini adalah satu keadaan yang tidak pernah berlaku dan disebabkan itu juga, tindakan dan mekanisma yang dirancang mestilah berbeza daripada cara yang normal.
‘’Dengan ini proses menyampaikan bantuan kepada golongan sasar yang memerlukan akan lebih tersusun.
“Jadi penting untuk merancang dan mencari jalan untuk mempermudahkan bantuan dan pinjaman yang boleh mengembalikan rakyat yang terjejas,’’ katanya.
Selain itu, Azizah juga menggesa semua Ahli Parlimen termasuk dari blok pembangkang untuk berlapang dada dan menyokong segala dasar kerajaan.
Ini kerana kerjasama rentas parti adalah elemen penting dalam usaha membantu kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
‘’Saya rasa kita (ahli parlimen) perlu menjadi lebih matang kerana setakat ini kalau bercakap soal kerjasama bipartisan masih belum tercapai di negara ini.
‘’Ini kerana bila (ahli parlimen) bercakap, mereka tidakpun berbincang tentang bagaimana kita boleh bersama-sama memastikan segala usaha kerajaan untuk memastikan rakyat kita selamat dan sejahtera dijayakan sekali gus memulihkan ekonomi,’’ tambahnya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di ibu negara sekitar jam 2.30 petang, pada Sabtu.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu, disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
]]>