RANAU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Joachim Gunsalam menyeru agar semua rakyat lebih berhati-hati dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah di kemaskini oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Melihat kepada trend kadar jangkitan Covid-19 adalah menaik sejak lima hari ini, semua orang perlu lebih peka dan berhati-hati ketika keluar dari rumah kerana penularan virus Omicron terlalu cepat dan amat merbahaya,” kata Dr. Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang.
“Bagi penduduk kampung, semua perjumpaan dan perkumpulan perlu mengikuti ketetapan yang telah disarankan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) perlu mengawal selia dan mengingatkan semua orang kampung.
“Walaupun negara tidak melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP), rakyat masih perlu berhati-hati,” katanya.
Kes jangkitan di daerah Ranau telah berlaku peningkatan sejak beberapa hari lalu.
“Kita perlu siap siaga menghadapi sebarang kenaikan drastik lagi selepas ini,” ujarnya.
Bagi daerah Ranau, kadar statistik dos lengkap vaksinasi sudah melebihi 80%.
Sementara itu, Dr. Joachim turut mengingatkan penduduk Kundasang agar bersiap sedia menghadapi hujan yang berterusan dan mengelak diri dan keluarga dari kejadian bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh, berikutan dengan cuaca hujan yang melanda sejak kelmarin.
]]>TANGKAK: Pembukaan sempadan negara pada 1 Mac seperti disyorkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) baru-baru ini belum boleh dilaksanakan kerana ia memerlukan penelitian lanjut, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, cadangan MPN itu juga masih belum dibincangkan dalam Kabinet, selain perlu dirujuk kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapatkan saranan dan nasihat.
Katanya, perkara itu juga bagi memastikan kesediaan negara untuk menerima pengunjung luar, selain keupayaan kerajaan dalam mengatasi COVID-19 dan varian Omicron.
“Itu hanya cadangan MPN, cadangan itu perlu dibincangkan dan mungkin pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) boleh duduk sama dalam perkara ini. Jika perlu perkara itu mendapatkan kelulusan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dan Kabinet kita akan bincang perkara ini.
“Cuma saya mahu maklumkan buat masa sekarang, tiada perbincangan lagi yang dibuat, itu hanya cadangan daripada MPN.
“Buat masa ini, sempadan masih belum sesuai dibuka dengan peningkatan kes COVID-19 di kebanyakan negara termasuk Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Ledang semalam.
Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.
Pada 8 Februari lalu, MPN bersetuju dengan cadangan supaya Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib, seawal 1 Mac depan.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun menegaskan, pembukaan sempadan kepada semua negara itu perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, keutamaan kerajaan kini adalah untuk mengimbangi isu kesihatan serta keperluan pembukaan semula sempadan negara yang membabitkan pelancongan sebagai industri utama.
Katanya, pembukaan semula sempadan negara ada dalam perancangan kerajaan, tetapi bukan dalam tempoh terdekat berikutan penularan wabak masih berlaku.
“Kita bukan hanya mahu bantu sektor pelancongan, tapi mahu menjaga rakyat negara kita sebab kita tidak mahu pelancong datang membawa jangkitan. Itu lebih bahaya. Biar KKM buat kajian lebih terperinci.
“Walaupun perlu saya katakan yang akhir nanti ia (sempadan negara) perlu dibuka juga, kita akan pertimbangkan (pembukaan sempadan) kerana kita mahu mengimbangi industri pelancongan dengan kesihatan rakyat.
“KKM juga akan melakukan perancangan terperinci dan cadangkan kepada Kabinet, cuma setakat ini sempadan masih ditutup dan belum ada perbincangan pun untuk kita buka sempadan,” katanya.
]]>KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 terus melonjak pada kadar 1.32 semalam, berbanding 1.27 kelmarin, kesan peningkatan mendadak kes baharu di seluruh negara sejak Ahad lalu.
Berdasarkan data dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter rasminya hari ini, semua negeri melepasi kadar Rt 1.0 dengan Perlis dan Sabah merekodkan kadar tertinggi iaitu 1.54.
Ia diikuti Sarawak dengan 1.48, Terengganu mencatatkan 1.36, Kedah (1.32), Pulau Pinang (1.25), Putrajaya (1.29) dan Johor serta Pahang (1.24).
Sementara itu, Rt di tiga negeri iaitu Selangor, Melaka dan Perak berada pada kadar 1.23, disusuli Negeri Sembilan yang merekodkan 1.12 dan kadar terendah ketika ini direkodkan di Kuala Lumpur iaitu 1.09.
Baca :-
Untuk rekod, kes harian COVID-19 sepanjang bulan ini terus mencatatkan peningkatan dengan kes dilaporkan semalam adalah yang tertinggi iaitu 11,034, berbanding kes pada Ahad lalu adalah 10,089 dan Sabtu (9,117).
Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif.
Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.
]]>BERNAMA
CYBERJAYA — Seramai 12,361,663 individu dewasa atau 52.8 peratus daripada populasi kumpulan itu di negara ini telah menerima suntikan dos penggalak COVID-19 setakat semalam.
Berdasarkan data di laman sesawang COVIDNOW, sejumlah 22,929,493 individu dewasa atau 97.9 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 99.2 peratus atau 23,238,753 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, seramai 2,791,409 individu atau 88.7 peratus telah melengkapkan vaksinasi, manakala 2,869,275 individu atau 91.2 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi vaksinasi harian pula, sebanyak 69,601 dos vaksin diberikan semalam meliputi 16,325 dos pertama, 759 dos kedua dan 52,517 dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 63,985,709 dos.
Sementara itu, menurut portal Github Kementerian Kesihatan, sembilan kematian akibat COVID-19 dilaporkan semalam dengan empat di Johor manakala satu kematian direkodkan masing-masing di Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang dan Terengganu.
]]>KUALA LUMPUR : Kes harian COVID-19 dijangka mampu melonjak sehingga angka 15,000 dalam masa terdekat, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Menurut beliau, situasi itu boleh dihadapi oleh negara berikutan jumlah warga emas yang masih belum mendapatkan dos penggalak agak tinggi.
Kata Khairy, sejumlah sejuta golongan berkenaan masih belum mengambil dos penggalak.
“Kes akan mencecah 15,000 tidak lama lagi. Masih ada 1 juta warga emas yang tiada dos penggalak.
“Tolong maklum kepada ibu bapa kesayangan anda untuk mendapatkan dos penggalak dengan segera,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Ahad.
Malaysia juga, jelas Khairy, sudah sepenuhnya berhadapan dengan gelombang varian Omicron.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham turut menyatakan kebimbangan sama sekiranya kadar R-Naught kekal kepada 1.2.
Situasi itu secara tidak langsung, jelas beliau, akan membawa kepada unjuran kes harian sebanyak 22,000 menjelang hujung Mac ini.
Dr Noor Hisham dalam pada itu menegaskan, risiko tersebut dapat diatasi sekiranya liputan dos penggalak dapat diperluas bagi memastikan penurunan kadar R-Naught.
Jumlah kes harian yang dilaporkan hari ini menunjukkan angka yang kembali melonjak seperti yang diramalkan sebelum ini dengan sebanyak 10,089 kes.
]]>KOTA KINABALU : Keputusan ‘Whole Genome Sequencing’ isteri kepada seorang lelaki yang disahkan positif COVID-19 varian Omicron di Tawau 4 Januari lalu masih belum selesai.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, keputusan ujian itu akan mengambil masa yang lama sebelum diketahui varian berkaitan.
“Pihak kita telah mengambil sampel darah isteri kepada seorang lelaki yang disahkan positif COVID-19 varian Omicron bagi membuat ujian ‘Genome’.
“Untuk ujian ‘Genome’ ini ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga atau empat minggu namun kedua-dua mereka sudah habis kuarantin dan sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Derma Darah dan Karnival Kesihatan 2022 disini hari ini.
Sebelum ini, satu kes import varian Omicron telah di laporkan pada 4 Januari 2022 di daerah Tawau, iaitu merupakan kes pertama yang dikesan di Sabah.
Kes itu merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia yang telah menunaikan umrah di Arab Saudi bersama isteri pada 9 Disember hingga 18 Disember 2021 dan mereka kembali ke Malaysia pada 19 Disember 2021 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Lelaki bersama isterinya tiba di Tawau pada 20 Disember 2021 dan sebaik tiba di Tawau, mereka diarah menjalani kuarantin di rumah mereka.
Keputusan ujian ‘whole genome sequencing’ pada 4 Januari 2022 menunjukkan lelaki berkenaan positif varian Omicron.
Isteri pesakit yang juga sedang menjalani kuarantin pada masa yang sama dengan suami dikesan positif COVID-19 melalui ujian PCR pada 24 Disember 2021.
Keputusan ‘whole genome sequencing’ untuk isterinya masih dalam ujian di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).
]]>KOTA KINABALU : Satu kes import COVID-19 varian Omicron telah dilaporkan di Tawau semalam iaitu merupakan kes pertama dikesan di Sabah.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pesakit terbabit merupakan seorang lelaki tempatan yang telah menunaikan umrah di Arab Saudi bersama isteri pada 9 hingga 18 Disember lalu.
Katanya, pasangan terbabit telah kembali ke Malaysia pada 19 Disember 2021 melalui pintu masuk pertama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Pesakit bersama isteri tiba di Tawau pada 20 Disember lalu dan sebaik tiba pasangan itu telah diarah menjalani kuarantin di rumah mereka.
“Keputusan ujian `whole genome sequencing` pada semalam menunjukkan pesakit positif varian Omicron manakala isteri pesakit yang sedang menjalani kuarantin pada masa yang sama dengan suami dikesan positif COVID-19 melalui ujian PCR pada 24 Disember lalu,”katanya dalam kenyataan disini hari ini.
Masidi berkata, keputusan `whole genome sequencing` untuk isterinya masih dalam ujian di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).
Katanya, kedua-dua pesakit telah lengkap di vaksin seawal bulan Jun 2021.
“Keadaan kedua-dua pesakit pada masa ini adalah sihat. Semasa disahkan positif COVID-19, suami adalah pada Kategori 2 manakala isterinya adalah pada Kategori 1.
“Mereka berdua telah selesai menjalani kuarantin pada 1 Januari 2022 dan telah pulih daripada sakit jangkitan virus COVID-19,”katanya.
]]>KOTA KINABALU : Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini dan tiada sebarang perjalanan mengerjakan umrah selepas tarikh itu sehingga dimaklumkan kemudian.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, ia susulan seramai 1,306 daripada 11,108 jemaah umrah yang tiba di Malaysia telah dikesan positif COVID-19 setakt 30 Disember 2021 lalu.
“Daripada jumlah tersebut, 592 dikesan positif pada ujian pertama semasa hari ketibaan di Malaysia.
“Tetapi paling membimbangkan adalah sebanyak 714 kes dikesan positif COVID-19 pada ujian kedua yang dijalankan pada hari kelima kuarantin,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.
Khairy berkata, bagi tempahan tiket penerbangan perjalanan umrah yang baharu, ia ditangguhkan berkuatkuasa 1 Januari.
Katanya, jemaah yang akan belepas ke Tanah Suci pada 1 hingga 7 Januari 2022 adalah dibenarkan untuk meneruskan perjalanan.
“Mereka bagaimanapun perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) apabila tiba di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Khairy berkata, penangguhan sementara aktiviti umrah ini dijangka akan dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes COVID-19.
Katanya, langkah itu juga diharap dapat memberi peluang dan ruang kepada kerajaan untuk membuat perancangan serta persediaan rapi dalam pengurusan jemaah umrah sebelum aktiviti umrah boleh dibenarkan semula.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menasihatkan semua jemaah yang baru pulang dari Tanah Suci dan sedang menjalani kuarantin di rumah atau kediaman, supaya mematuhi SOP dan tatacara kuarantin yang ditetapkan termasuk tempat dan tempoh kuarantin.
“Individu yang dikuarantin tidak dibenarkan menerima kunjungan daripada ahli keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga semasa dalam tempoh kuarantin bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 kepada ahli keluarga, dan seterusnya kepada komuniti,” katanya.
]]>