sandakan – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Tue, 13 Oct 2026 22:50:51 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png sandakan – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Meneroka Sandakan dari lensa pengamal media – siri kedua https://sabahmedia.com/2026/10/14/meneroka-sandakan-dari-lensa-pengamal-media-siri-kedua/ https://sabahmedia.com/2026/10/14/meneroka-sandakan-dari-lensa-pengamal-media-siri-kedua/#respond Tue, 13 Oct 2026 22:43:27 +0000 https://sabahmedia.com/?p=105304
Read Time:7 Minute, 54 Second

Oleh Erdie Wahid

SANDAKAN: Selepas meneroka kehijauan hutan hujan di Rainforest Discovery Centre (RDC) dan menyelami kisah pemuliharaan orang utan di Sepilok, perjalanan kami diteruskan ke beberapa lagi lokasi yang mempunyai keunikan tersendiri.

Kali ini, misi memburu cerita membawa penulis dan rakan sepasukan mengenali khazanah hidupan liar Borneo sebelum beralih kepada sisi budaya, sejarah, keagamaan dan kehidupan masyarakat Sandakan.

MENGENALI BERUANG MATAHARI

Perjalanan kemudiannya membawa kami ke Bornean Sun Bear Conservation Centre (BSBCC). Selepas orang utan, kami diperkenalkan pula kepada beruang matahari yang mempunyai kisah pemuliharaan tersendiri.

Bornean Sun Bear Conservation Centre (BSBCC) di Sepilok Sandakan

Melihat haiwan berkenaan dari kawasan pemerhatian memberikan pengalaman berbeza dan menyedarkan penulis bahawa dunia pemuliharaan bukan hanya tertumpu kepada spesies yang sering menjadi perhatian, sebaliknya turut melibatkan pelbagai hidupan liar yang penting kepada ekosistem hutan.

Beruang matahari yang terdapat di Bornean Sun Bear Conservation Centre (BSBCC) di Sepilok Sandakan

Bagi kami, BSBCC menyediakan lebih daripada sekadar bahan gambar dan video. Ia membuka peluang menyampaikan mesej mengenai kepentingan menjaga hidupan liar kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

PUU JIH SYH, MELIHAT SANDAKAN DARI SUDUT BERBEZA

Daripada alam semula jadi, perjalanan kami beralih kepada sisi budaya dan kepercayaan melalui kunjungan ke Tokong Puu Jih Syh. Terletak di kawasan tinggi, lokasi ini memberikan peluang menikmati keindahan Sandakan dari sudut berbeza, termasuk pemandangan yang menghadap kawasan berhampiran laut.

Penulis (kiri) bersama rakan sepasukan bergambar berlatar belakang laut yang memukau pandangan

Bagi penulis, di sinilah misi memburu cerita Sandakan menjadi lebih menarik. Kami bukan sekadar mencari gambar yang cantik, tetapi perlu melihat bagaimana seni bina, suasana dan pemandangan dapat diterjemahkan menjadi kandungan.

Dalam keadaan masa yang terhad, kami perlu pantas membahagikan tugas, mencari sudut terbaik serta memastikan gambar dan video yang diperlukan berjaya dirakam. Pada masa sama, penulis cuba mengambil sedikit ruang untuk menikmati suasana tanpa terlalu sibuk melihat skrin telefon atau kamera.

AGNES KEITH HOUSE, MENYELUSURI CERITA MASA LALU

Perjalanan seterusnya membawa kami ke Agnes Keith House, lokasi yang memperlihatkan sisi sejarah Sandakan. Bagi penulis, ini juga antara pengalaman pertama berkunjung ke rumah bersejarah berkenaan selepas sebelum ini hanya melihatnya melalui gambar dan media sosial.

Rumah Agnes Keith yang menyimpan pelbagai sejarah

Kunjungan itu memberikan ruang untuk memahami bagaimana kisah seseorang individu dan pengalaman hidupnya boleh berkait rapat dengan sejarah sesebuah destinasi.

Ada ketika kita terlalu sibuk mencari sesuatu yang baharu sehingga terlupa bahawa bangunan, rumah dan tinggalan sejarah juga mampu menceritakan perjalanan sesebuah tempat.

Rumah Agnes Keith

Di sinilah fungsi pengamal media menjadi lebih daripada sekadar menghasilkan kandungan. Kami perlu melihat, memahami dan kemudian menterjemahkan pengalaman itu dalam bentuk cerita yang mudah difahami pembaca atau penonton.

WARISAN YANG TERUS BERTAHAN

Daripada Agnes Keith House, perjalanan diteruskan ke St Michael and All Angels Church. Selepas beberapa lokasi yang sarat dengan kehijauan dan hidupan liar, suasana di gereja berkenaan memberikan perubahan yang ketara.

Bagi penulis, bangunan bersejarah seperti ini bukan sekadar struktur fizikal, tetapi sebahagian daripada perjalanan sejarah sesebuah bandar. Setiap sudut seolah-olah mempunyai cerita untuk diceritakan. Dalam tugasan yang memerlukan kandungan dihasilkan dalam tempoh tertentu, kami perlu lebih teliti memilih sudut rakaman.

Tidak semua cerita perlu disampaikan melalui gambar yang menarik kerana kadangkala nilai sebenar sesuatu tempat terletak pada sejarah dan kisah di sebaliknya.

TANGGA SERIBU, MENGUJI LANGKAH

Daripada suasana warisan, kami meneruskan perjalanan ke Tangga Seribu. Seperti namanya, lokasi ini menguji tenaga dan ketahanan fizikal. Bagi pasukan yang mengejar masa, setiap langkah terasa mempunyai nilainya sendiri.

Kami bukan sekadar mengambil gambar atau video, tetapi perlu bergerak, mencari sudut sesuai dan pada masa sama memastikan tugasan dapat diselesaikan.

Setiap anak tangga di Tangga Seribu memaparkan pelbagai lukisan bunga kebangsaan termasuk elemen flora tempatan.

Bagi mereka yang gemar merakam gambar, lokasi ini turut menawarkan tarikan tersendiri apabila setiap anak tangga dihiasi lakaran bunga Rafflesia dan bunga raya, yang mencerminkan elemen flora tempatan dan identiti Malaysia.

Pengalaman itu mengingatkan penulis bahawa menghasilkan cerita mengenai sesuatu lokasi kadangkala memerlukan kita merasai sendiri pengalaman tersebut.

MASJID JAMEK, MELIHAT SISI KEROHANIAN SANDAKAN

Perjalanan kemudiannya membawa kami ke Masjid Jamek As-Sheikh Hasabollah At-Tohiri.

Selepas melalui beberapa lokasi dengan karakter tersendiri, persinggahan di masjid ini memberikan suasana lebih tenang, selain memperlihatkan sisi kehidupan keagamaan dan kemasyarakatan Sandakan.

Bagi penulis, destinasi seperti ini melengkapkan gambaran mengenai sesebuah bandar. Pelancongan bukan hanya mengenai alam semula jadi, bangunan menarik atau tempat untuk bergambar, tetapi turut berkait dengan kehidupan masyarakat, budaya dan nilai yang membentuk identiti sesuatu kawasan.

SAN DA GEN, MEMBURU ‘UFO’ YANG IKONIK

Selepas melalui lokasi yang sarat dengan alam semula jadi, budaya dan sejarah, perjalanan kami diteruskan ke San Da Gen, restoran yang cukup dikenali kerana hidangan ikoniknya, tart UFO.

Persinggahan di sini memberikan pengalaman berbeza apabila misi memburu kandungan membawa kami kepada sesuatu yang lebih dekat dengan selera dan identiti makanan tempatan.

Tart UFO bukan sahaja menarik perhatian kerana bentuknya yang unik, malah menjadi sebahagian daripada pengalaman kulinari yang boleh diketengahkan dalam promosi pelancongan Sandakan.

Bagi penulis, makanan juga mempunyai cerita. Ia bukan sekadar mengenai rasa, tetapi bagaimana sesuatu hidangan boleh menjadi sebahagian daripada pengalaman seseorang ketika berkunjung ke sesebuah destinasi.

Dengan masa yang semakin mengejar, kami sekali lagi perlu bergerak pantas sebagai satu pasukan untuk merakam gambar, video dan menyelesaikan tugasan yang diberikan.

PASAR UMUM, MENEMUI DENYUT NADI KEHIDUPAN

Lokasi terakhir membawa kami ke Pasar Umum Sandakan, antara tempat yang paling dekat dengan kehidupan seharian masyarakat.

Suasana pasar yang sibuk, pelbagai barangan jualan serta interaksi antara penjual dan pembeli memberikan gambaran bahawa sesebuah destinasi bukan hanya dibentuk oleh tempat yang cantik untuk dikunjungi.

Sebaliknya, kehidupan masyarakat setempat juga merupakan sebahagian daripada pengalaman pelancong. Bagi kami, suasana sebegini kaya dengan cerita. Tidak perlu terlalu banyak susunan atau lakonan kerana kehidupan itu sendiri sudah menyediakan visual dan naratif untuk dikongsikan kepada khalayak.

DARIPADA 11 LOKASI, SATU PENGALAMAN

Apabila kesemua 11 lokasi akhirnya selesai dikunjungi, barulah penulis benar-benar menyedari bahawa perjalanan ini bukan sekadar mengenai pertandingan.

Daripada RDC, Sepilok, BSBCC, Puu Jih Syh, Agnes Keith House, St Michael and All Angels Church, Tangga Seribu, Masjid Jamek As-Sheikh Hasabollah At-Tohiri, San Da Gen dan Pasar Umum Sandakan, setiap lokasi memberikan cerita yang berbeza.

Ada yang memperlihatkan kekayaan alam, ada yang membawa kami mengenali sejarah, budaya dan kehidupan masyarakat, manakala sebahagiannya menguji kemampuan mengurus masa serta bekerjasama sebagai satu pasukan.

Pada awalnya, kami datang dengan satu matlamat — menyelesaikan tugasan dan menghasilkan kandungan. Namun, kami pulang dengan sesuatu yang lebih daripada itu.

Kami membawa pulang pengalaman melihat Sandakan bukan hanya melalui lensa kamera, tetapi melalui mata sendiri.

MENEROKA SANDAKAN, MENEMUI CERITA

Sepanjang perjalanan ini, penulis belajar bahawa kandungan yang baik tidak semestinya lahir daripada lokasi paling terkenal.

Kadangkala, cerita muncul daripada perkara kecil yang ditemui sepanjang perjalanan — daripada bunyi burung di hutan, gelagat hidupan liar, seni bina bangunan lama, langkah yang semakin berat, suasana rumah ibadat hinggalah kesibukan pasar.

Program VM2026 Hunt & Explore Media Race 2026 akhirnya mengajar penulis bersama rakan sepasukan, Wan Ismal Bardin (The Malaysia Press), Khairunnisa Zulaikha Hadrawi (Sayang Sabah) dan Mirlen Axtius (Sabah News), satu perkara penting, apabila kita datang ke sesuatu tempat dengan fikiran terbuka, kita bukan sahaja memburu kandungan, tetapi turut menemui cerita yang tidak pernah dirancang.

Dan mungkin itulah yang menjadikan Sandakan begitu istimewa. Kerana di sebalik setiap lokasi yang dikunjungi, ada cerita yang menunggu untuk ditemui.

MEMULAKAN PERJALANAN DENGAN MENIKMATI KEINDAHAN ALAM

Perjalanan penulis bersama rakan media ke Sandakan sebelum menyertai  VM2026 Hunt & Explore Media Race, ianya bermula dengan persinggahan di Sabah Tea, sebuah pengusaha teh tempatan yang menawarkan pengalaman menikmati suasana alam semula jadi yang mendamaikan.

Di sini, kami berpeluang menikmati makan tengah hari di restoran Sabah Tea yang menyajikan pelbagai hidangan bercita rasa tempatan, antaranya Sabah Tea Chicken Soup, keropok ikan goreng, Sabah Tea Black Pepper Lamb, ayam goreng bambangan, bunga betik bersama ikan masin, sayur hutan bersama sardin, aiskrim Sabah Tea dan teh tarik pandan.

Penulis bersama rombongan turut berkunjung ke Sabah Tea

Kepelbagaian sajian itu memberikan pengalaman kulinari tersendiri sebelum kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.

Kami turut berkesempatan singgah di Sabah Tea Resort, sebuah banglo yang menawarkan kemudahan penginapan serta ruang untuk penganjuran acara dan majlis perkahwinan, dengan pemandangan Gunung Kinabalu sebagai latar yang menawan.

Selepas menikmati suasana di Sabah Tea, perjalanan diteruskan menuju Sandakan dengan persinggahan di Ikan Bakar Mama Arman di Pasar Sim Sim, antara lokasi yang menawarkan sajian ikan bakar.

Persinggahan itu menjadi sebahagian daripada pengalaman meneroka kepelbagaian tarikan tempatan, daripada keindahan alam dan sajian makanan hinggalah ke lokasi pelancongan yang mempunyai keunikan tersendiri.

MENUTUP KEMBARA DI LICO FARM

Pada hari terakhir di Sandakan, perjalanan kami diteruskan ke Lico Farm, sebuah ladang kelapa yang menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung yang ingin mengenali suasana pertanian serta hasil tempatan.

Lawatan ke ladang itu memberikan peluang kepada kami melihat potensi sektor pertanian sebagai sebahagian daripada tarikan pelancongan, selain menikmati suasana persekitaran ladang yang jauh berbeza daripada kesibukan bandar.

Pengamal media dan rombongan lain turut berkunjung ke Loco Farm – Foto Lumos Production

Kami turut berpeluang melihat proses penghasilan madu kelulut, sekali gus menambah pengetahuan mengenai penghasilan produk berasaskan sumber semula jadi.

Pengalaman itu melengkapkan perjalanan kami yang sebelum ini banyak tertumpu kepada alam semula jadi, hidupan liar, warisan, budaya dan kehidupan masyarakat Sandakan.

Sebaik sahaja lawatan berakhir, kami memulakan perjalanan pulang ke Kota Kinabalu dengan menaiki bas selama kira-kira tujuh jam.

Walaupun perjalanan pulang mengambil masa yang panjang, pengalaman sepanjang program VM2026 Hunt & Explore Media Race 2026 memberikan lebih banyak cerita untuk dibawa pulang, bukan sahaja sebagai bahan kandungan, tetapi juga sebagai kenangan meneroka keunikan destinasi di Sabah.– SABAH MEDIA

BACA SIRI PERTAMA DI SINI

https://sabahmedia.com/2026/10/13/meneroka-sandakan-dari-lensa-pengamal-media-siri-pertama/

]]>
https://sabahmedia.com/2026/10/14/meneroka-sandakan-dari-lensa-pengamal-media-siri-kedua/feed/ 0 105304
Program percuma betulkan maklumat hakmilik tanah di Sandakan https://sabahmedia.com/2026/09/23/program-percuma-betulkan-maklumat-hakmilik-tanah-di-sandakan/ https://sabahmedia.com/2026/09/23/program-percuma-betulkan-maklumat-hakmilik-tanah-di-sandakan/#respond Wed, 23 Sep 2026 04:21:57 +0000 https://sabahmedia.com/?p=103982
Read Time:41 Second

SANDAKAN: Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTUS) akan menganjurkan program percuma pembetulan nama dan nombor kad pengenalan pada hakmilik tanah di Dewan Masyarakat Sandakan pada 26 dan 27 September ini.

Menerusi satu kenyataan hari ini, jabatan itu memaklumkan program berkenaan berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Pembetulan boleh diselesaikan pada hari yang sama, tertakluk kepada dokumen yang dikemukakan lengkap dan sah.

Bagi hakmilik geran NT/FR, program berkenaan meliputi daerah Sandakan, Kinabatangan dan Beluran, selain terbuka kepada pemilik tanah dari seluruh Sabah.

Pemilik tanah perlu membawa dokumen asal dan salinan hakmilik tanah serta kad pengenalan. Individu yang mengemukakan dokumen berkenaan mestilah pemilik tanah berdaftar.

Menurut jabatan itu, program berkenaan bertujuan memastikan rekod tanah lebih tepat serta mengurangkan komplikasi berkaitan tuntutan pusaka, urusan jual beli dan perbankan.

Sebarang pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi 088-527748.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/23/program-percuma-betulkan-maklumat-hakmilik-tanah-di-sandakan/feed/ 0 103982
Pekerja kontraktor elektrik maut terkena renjatan di Sandakan https://sabahmedia.com/2026/08/23/pekerja-kontraktor-elektrik-maut-terkena-renjatan-di-sandakan/ https://sabahmedia.com/2026/08/23/pekerja-kontraktor-elektrik-maut-terkena-renjatan-di-sandakan/#respond Sat, 22 Aug 2026 16:06:26 +0000 https://sabahmedia.com/?p=102116
Read Time:1 Minute, 1 Second

SANDAKAN: Seorang lelaki berusia 30 tahun maut selepas terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja pemasangan tiang elektrik di Bandar Tabin Jaya, di sini, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.53 malam sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dikejarkan ke lokasi.

Katanya, jentera tiba di lokasi pada jam 8.03 malam, kira-kira sembilan kilometer dari balai.

“Setibanya pasukan bomba, mangsa yang dipercayai pekerja kontraktor elektrik didapati masih berada di atas tiang elektrik selepas terkena renjatan ketika menjalankan kerja pemasangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat dengan menurunkan mangsa menggunakan peralatan khas selepas bekalan elektrik diputuskan oleh pihak Sabah Electricity bagi memastikan operasi dapat dijalankan dengan selamat.

“Mangsa berjaya diturunkan dan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemeriksaan lanjut.

“Bagaimanapun, pegawai perubatan KKM mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

Operasi yang turut melibatkan lima anggota Sabah Electricity, dua anggota PDRM dan dua anggota KKM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.40 malam selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/23/pekerja-kontraktor-elektrik-maut-terkena-renjatan-di-sandakan/feed/ 0 102116
Pelihara keamanan, tolak kebencian dan kekalkan ingatan sejarah – Hajiji https://sabahmedia.com/2026/08/15/pelihara-keamanan-tolak-kebencian-dan-kekalkan-ingatan-sejarah-hajiji/ https://sabahmedia.com/2026/08/15/pelihara-keamanan-tolak-kebencian-dan-kekalkan-ingatan-sejarah-hajiji/#respond Sat, 15 Aug 2026 05:08:38 +0000 https://sabahmedia.com/?p=101609
Read Time:2 Minute, 36 Second

SANDAKAN: Keamanan perlu dipelihara melalui tindakan yang mempertahankan maruah manusia, menyelesaikan pertikaian tanpa keganasan serta tidak menutup mata terhadap penderitaan yang dialami oleh orang lain.

Beliau berkata masyarakat mesti menolak kebencian, tindakan yang merendahkan nilai kemanusiaan serta sikap tidak peduli yang boleh membuka ruang kepada tragedi kemanusiaan berulang.

“Sejarah ini tidak seharusnya digunakan untuk mewariskan kebencian kepada generasi seterusnya. Sebaliknya, ia mesti mengajar setiap generasi tentang akibat yang boleh dibawa oleh kebencian.

“Kemenangan semata-mata tidak pernah mencukupi sekiranya kita melupakan harga kemanusiaan yang terpaksa dibayar,” katanya pada Upacara Peringatan Hari Sandakan yang berlangsung di Taman Peringatan Sandakan, di sini, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Hajiji berkata antara tahun 1942 hingga 1945, ketika kemuncak Perang Dunia Kedua, kira-kira 2,700 tawanan perang Australia dan British melalui Sandakan dalam peristiwa bersejarah yang dikenali sebagai Sandakan Death March menuju ke Ranau.

Menurut beliau, menjelang Januari 1945, seramai 2,434 tawanan masih berada di Sandakan, terdiri daripada 1,793 warga Australia dan 641 anggota tentera British.

“Daripada jumlah itu, seramai 2,428 orang meninggal dunia dan hanya enam warga Australia terselamat, kesemuanya selepas berjaya melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata enam individu yang terselamat itu ialah Bill Sticpewich, Dick Braithwaite, Owen Campbell, Keith Botterill, Nelson Short dan Bill Moxham, yang kisah perjuangan mereka menjadi simbol ketabahan dalam menghadapi penderitaan dan penindasan.

Katanya, kelangsungan hidup mereka bukan sahaja hasil kecekalan diri, malah dibantu oleh penduduk tempatan yang sanggup mempertaruhkan keselamatan sendiri demi menyelamatkan nyawa manusia.

“Owen Campbell misalnya dibantu oleh dua penduduk tempatan dikenali sebagai Lap dan Galunting di Kampung Muanud.

“Terdapat juga individu lain yang namanya wajar dikenang seperti Bariga, Dihil bin Ambilid, Abing, Kulang dan ramai lagi yang keberanian mereka mungkin tidak akan dapat direkodkan sepenuhnya,” katanya.

Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada penduduk tempatan termasuk Johnny dan Lillian Funk serta anggota gerakan bawah tanah Sandakan yang mengumpul maklumat dan membantu para tawanan walaupun berdepan risiko yang amat besar.

Menurut beliau, sebahagian daripada anggota gerakan bawah tanah tersebut akhirnya dihukum mati kerana keberanian mereka menentang kekejaman perang.

“Mereka bertindak tanpa perlindungan dan dengan mempertaruhkan keselamatan diri. Apabila melihat penderitaan, mereka memilih untuk membantu.

“Keberanian mereka adalah sebahagian daripada sejarah Sandakan dan Sabah, dan ia mesti terus dikenang,” katanya.

Beliau berkata keberanian tidak semestinya hadir dalam bentuk perjuangan bersenjata, sebaliknya boleh dizahirkan melalui tindakan kecil yang memberi harapan kepada mereka yang menderita.

“Kadangkala keberanian itu berupa sedikit makanan yang dikongsi secara rahsia. Kadangkala ia berupa tempat untuk berlindung. Kadangkala ia berupa sebuah perahu yang berpatah balik menuju kepada seseorang yang meminta pertolongan,” katanya.

Hajiji berkata tahun ini menandakan ulang tahun ke-81 berakhirnya Perang Dunia Kedua dan mengingatkan bahawa tanggungjawab untuk memelihara warisan sejarah tidak berakhir selepas upacara peringatan itu.

“Tanggungjawab kita berterusan selepas upacara ini. Kita mesti memelihara rekod sejarah, mendidik generasi muda mengenai apa yang berlaku di sini, dan terus mengenang nama para tawanan serta penduduk tempatan yang membantu mereka,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pengajaran daripada tragedi Sandakan Death March perlu terus dijadikan panduan dalam usaha membina masyarakat yang menghargai keamanan, menolak kebencian dan menjunjung tinggi nilai kemanusiaan demi generasi masa depan.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/15/pelihara-keamanan-tolak-kebencian-dan-kekalkan-ingatan-sejarah-hajiji/feed/ 0 101609
Bengkel perkasa literasi digital, lahir lebih ramai pencipta kandungan kreatif https://sabahmedia.com/2026/07/20/bengkel-perkasa-literasi-digital-lahir-lebih-ramai-pencipta-kandungan-kreatif/ https://sabahmedia.com/2026/07/20/bengkel-perkasa-literasi-digital-lahir-lebih-ramai-pencipta-kandungan-kreatif/#respond Mon, 20 Jul 2026 02:56:07 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100173
Read Time:1 Minute, 39 Second

SANDAKAN :  Usaha memperkukuh literasi digital dan melahirkan lebih ramai pencipta kandungan kreatif terus diperkasa menerusi penganjuran Bengkel Video Kreatif, Live Streaming dan Media Sosial yang berlangsung di Dewan Perpustakaan Wilayah Sandakan, di sini.

Program sehari itu dianjurkan oleh Persatuan Seni dan Penulis Sandakan dengan kerjasama Perpustakaan Wilayah Sandakan, manakala pengendalian bengkel dilaksanakan oleh Khaiz Empire.

Bengkel berkenaan memberi fokus kepada penulisan kandungan media sosial, penghasilan video kreatif, teknik penyiaran langsung (live streaming) serta penggunaan aplikasi suntingan video sebagai usaha meningkatkan kemahiran digital peserta selaras dengan perkembangan teknologi komunikasi masa kini.

Sepanjang program, peserta mengikuti lima slot pengisian yang merangkumi teknik penulisan kandungan media sosial yang berkesan, asas penghasilan video kreatif, teknik rakaman menggunakan peranti mudah alih, teknik suntingan video serta latihan praktikal menghasilkan kandungan yang menarik dan berkualiti.

Dalam slot penulisan media sosial, fasilitator Sante Villiamon berkongsi mengenai peranan wartawan sebagai penyampai maklumat kepada masyarakat serta tanggungjawab memastikan setiap laporan yang disampaikan adalah tepat, sahih dan beretika.

Beliau turut menekankan kepentingan integriti dalam kewartawanan, amalan semakan fakta serta penggunaan media sosial secara bertanggungjawab bagi mengelakkan penyebaran maklumat palsu yang boleh mengelirukan masyarakat.

Selain itu, peserta turut didedahkan kepada teknik menghasilkan video kreatif bermula daripada proses perancangan kandungan, teknik rakaman, penggunaan aplikasi suntingan video sehingga proses penerbitan kandungan yang sesuai dikongsikan di pelbagai platform media sosial.

Latihan praktikal yang dijalankan memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan secara langsung ilmu yang dipelajari dengan menghasilkan kandungan digital berdasarkan kreativiti masing-masing.

Pada masa sama, program itu turut menjadi platform memperkukuh jaringan kerjasama serta bertukar pandangan antara peserta dan fasilitator, sekali gus membuka ruang kepada kolaborasi dalam bidang media digital dan penghasilan kandungan kreatif.

Bengkel berakhir dengan sesi refleksi, rumusan keseluruhan program serta penyampaian cenderahati kepada para peserta sebagai tanda penghargaan atas penyertaan mereka.

Penganjur berharap bengkel seumpama itu dapat melahirkan lebih ramai individu yang mahir dalam penulisan media sosial, penghasilan video kreatif serta penyampaian maklumat yang beretika, sekali gus menyumbang kepada pembangunan komuniti digital di Sabah yang lebih kreatif, berdaya saing dan bertanggungjawab.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/20/bengkel-perkasa-literasi-digital-lahir-lebih-ramai-pencipta-kandungan-kreatif/feed/ 0 100173
Kerajaan GRS komited bela nasib rakyat, tidak abaikan keperluan penduduk https://sabahmedia.com/2026/06/25/kerajaan-grs-komited-bela-nasib-rakyat-tidak-abaikan-keperluan-penduduk/ https://sabahmedia.com/2026/06/25/kerajaan-grs-komited-bela-nasib-rakyat-tidak-abaikan-keperluan-penduduk/#respond Wed, 24 Jun 2026 22:20:52 +0000 https://sabahmedia.com/?p=98821
Read Time:1 Minute, 15 Second

SANDAKAN: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat dan tidak pernah mengabaikan kebajikan serta keperluan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Tun Musa berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap masalah yang dihadapi rakyat dan komited dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terus dipertingkatkan menerusi pelbagai inisiatif serta bantuan yang diperkenalkan.

“Kerajaan GRS sentiasa memberikan yang terbaik untuk rakyat dan amat prihatin terhadap kebajikan mereka. Rakyat tidak diabaikan dan tidak dibiarkan terus dibelenggu pelbagai masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lot Tanah Rizab Anak Negeri di Kampung Sungai Batang, di sini, pada Rabu.

Menurut Hazem, pelbagai bentuk bantuan dan program pembangunan yang dilaksanakan kerajaan adalah bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Katanya, kerajaan negeri juga sentiasa berusaha mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang dihadapi penduduk, termasuk di kawasan Kampung Sungai Batang.

“Masalah yang dihadapi penduduk di kampung ini sememangnya diberikan perhatian. Kita akan berusaha mengatasi isu bekalan air, sistem perparitan dan jalan masuk yang menjadi keperluan utama penduduk.

“Perkara ini sedang diberi perhatian dan saya telah meminta jabatan serta agensi kerajaan yang berkaitan untuk tampil membantu dalam mencari penyelesaian terbaik,” katanya.

Hazem berkata, sebagai wakil rakyat kawasan Sungai Manila, beliau akan terus memainkan peranan dalam membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada masyarakat setempat.

“Selaku ADUN Sungai Manila, saya komited untuk terus membawa kesejahteraan kepada rakyat dan akan berusaha memastikan setiap masalah yang dihadapi penduduk dapat ditangani sebaik mungkin,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/25/kerajaan-grs-komited-bela-nasib-rakyat-tidak-abaikan-keperluan-penduduk/feed/ 0 98821
Kerajaan Sabah salur bantuan khas kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia https://sabahmedia.com/2026/04/20/kerajaan-sabah-salur-bantuan-khas-kepada-mangsa-kebakaran-di-kampung-bahagia/ https://sabahmedia.com/2026/04/20/kerajaan-sabah-salur-bantuan-khas-kepada-mangsa-kebakaran-di-kampung-bahagia/#respond Mon, 20 Apr 2026 06:09:38 +0000 https://sabahmedia.com/?p=95210
Read Time:50 Second

SANDAKAN: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan segera kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi yang memusnahkan hampir 1,000 rumah dalam kejadian awal pagi pada Ahad.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri amat bersimpati dengan nasib mangsa yang terjejas dalam kebakaran yang disifatkan sebagai antara yang terbesar melibatkan kawasan penempatan berkenaan.

“Hari ini saya meninjau keadaan di lapangan melibatkan mangsa-mangsa kebakaran Kampung Bahagia, Sandakan. 

“Kebakaran ini adalah satu kebakaran yang agak besar, melibatkan hampir 1,000 rumah yang musnah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau lokasi kejadian dan menyampaikan bantuan kepada mangsa di Dewan PPR Batu Sapi, di sini pada Isnin.

Hajiji berkata, sebagai bantuan permulaan, setiap Ketua Isi Rumah (KIR) menerima sebanyak RM2,000, merangkumi bantuan khas RM1,000 daripada kerajaan negeri dan RM1,000 daripada Yayasan Kebajikan Sabah.

“Kita berharap bantuan ini akan dapat meringankan bebanan mereka sekarang ini,” katanya.

Selain itu, Pusat Zakat Sabah dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah turut menyalurkan sumbangan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/04/20/kerajaan-sabah-salur-bantuan-khas-kepada-mangsa-kebakaran-di-kampung-bahagia/feed/ 0 95210
Ketua Menteri dijadual turun melawat mangsa kebakaran Kampung Bahagia esok https://sabahmedia.com/2026/04/19/ketua-menteri-dijadual-turun-melawat-mangsa-kebakaran-kampung-bahagia-esok/ https://sabahmedia.com/2026/04/19/ketua-menteri-dijadual-turun-melawat-mangsa-kebakaran-kampung-bahagia-esok/#respond Sun, 19 Apr 2026 08:25:03 +0000 https://sabahmedia.com/?p=95162
Read Time:1 Minute, 13 Second

SANDAKAN: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dijadual akan turun melawat mangsa kebakaran di Kampung Bahagia di sini pagi esok.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Datuk Azrul Ibrahim berkata, lawatan itu adalah bertujuan bagi meninjau sendiri keadaan mangsa yang terjejas.

“Saya hadir menzahirkan sokongan dan semangat kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan hari ini 

“InsyaAllah YAB Ketua Menteri dijadualkan akan turun melawat mangsa pada pagi esok bagi melihat sendiri keadaan di sini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya di sini pada Ahad.

Azrul berkata, meskipun keadaan (suhu sekitar) agak panas namun situasi terkawal dengan semua agensi berkaitan berada di lapangan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan para mangsa terlibat.

“Anggaran pihak berkuasa menunjukkan lebih 900 unit rumah terlibat dalam kebakaran ini, menjadikannya antara kebakaran paling besar pernah berlaku di Sabah,” katanya.

Sementara itu, memetik laporan Bernama, sebuah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka, iaitu di Sekolah Kebangsaan Gas pada 11 pagi, selepas PPS Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi pada 7 pagi tadi.

Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Datuk Walter Kenson  berkata PPS dibuka setelah pemeriksaan kawasan dan rumah penduduk terjejas didapati tidak selamat untuk didiami, selain pihaknya telah mengeluarkan pengisytiharan bencana kebakaran di daerah itu susulan kejadian tersebut.

Maklumat tidak rasmi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah menunjukkan setakat 10.30 pagi, PPS Dewan PPR Batu Sapi merekodkan pendaftaran 143 ketua isi rumah membabitkan 661 mangsa. 

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) masih menjalankan proses pendaftaran mangsa.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/04/19/ketua-menteri-dijadual-turun-melawat-mangsa-kebakaran-kampung-bahagia-esok/feed/ 0 95162
RM10,000 untuk mangsa tanah runtuh di Sandakan https://sabahmedia.com/2026/03/11/rm10000-untuk-mangsa-tanah-runtuh-di-sandakan/ https://sabahmedia.com/2026/03/11/rm10000-untuk-mangsa-tanah-runtuh-di-sandakan/#respond Wed, 11 Mar 2026 06:57:29 +0000 https://sabahmedia.com/?p=93063
Read Time:37 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan menyalurkan bantuan tunai sebanyak RM10,000 kepada keluarga seorang lelaki warga emas yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Sandakan awal pagi tadi.

Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Sabah, Datuk Awang Shahminan Sahari berkata Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Walter Kenson telah diarahkan untuk mengesan waris mangsa dan menyalurkan bantuan tersebut secepat mungkin.

Mangsa dikenali sebagai Agustine J. Lingam, 76, dilaporkan cuba menghidupkan generator sebuah hotel apabila tanah dari kawasan sekitar runtuh lalu menimbusnya.

Kejadian itu disahkan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung.

Sementara itu, Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah setakat jam 12 tengah hari ini merekodkan seramai 1,306 orang terjejas akibat banjir di Kota Marudu, Paitan dan Pitas, melibatkan 40 buah kampung.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/03/11/rm10000-untuk-mangsa-tanah-runtuh-di-sandakan/feed/ 0 93063
Szu Ching yakin bandar Sandakan dapat dipulihkan https://sabahmedia.com/2025/11/27/szu-ching-yakin-bandar-sandakan-dapat-dipulihkan/ https://sabahmedia.com/2025/11/27/szu-ching-yakin-bandar-sandakan-dapat-dipulihkan/#respond Thu, 27 Nov 2025 12:51:47 +0000 https://sabahmedia.com/?p=87226
Read Time:1 Minute, 9 Second

SANDAKAN: Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Papat, Tang Szu Ching yakin daerah ini mempunyai potensi besar untuk dipulihkan dan diperkasakan sekiranya proses pembaharuan dilaksanakan secara konsisten serta dipimpin oleh wakil rakyat yang bertanggungjawab.

Calon Pakatan Harapan (PH) itu berkata, usaha itu memerlukan komitmen dan tindakan berterusan, bukan sekadar menyediakan pelan jangka pendek.

Katanya, sejak dilantik sebagai ahli Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), beliau sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan itu bagi melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menangani isu bandar Sandakan daripada menjadi bandar mati.

“Selain cabaran menguruskan bandar ini, pendekatan perlu diambil bagi memulihkan keadaan Sandakan secara berperingkat.

“Ini sudah pasti memerlukan pemimpin yang tekun, berdedikasi dan sentiasa mempunyai idea baharu,” katanya dalam program Makan Malam Pakatan Harapan, di sini.

Szu Ching turut menekankan bahawa aspek kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaannya jika diberi mandat oleh rakyat.

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada pasukan Ahli Parlimen Sandakan, beliau tidak pernah berhenti memberikan perkhidmatan meskipun berdepan kritikan daripada pelbagai pihak.

“Saya memilih untuk tampil ke hadapan menyelesaikan masalah daripada mengelak tanggungjawab,” katanya.

Mengulas mengenai krisis air sebelum ini, Szu Ching berkata, pasukannya konsisten turun padang mengagihkan bekalan air kecemasan kepada penduduk.

Katanya, biarpun bukan penyelesaian jangka panjang, langkah itu dilakukan bagi mengurangkan beban rakyat.

Di akhir ucapannya, Szu Ching menyeru pengundi Tanjung Papat memberikan sokongan kepadanya supaya beliau dapat meneruskan tugas memperjuangkan suara rakyat di DUN serta membina masa depan Tanjung Papat yang lebih baik.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/27/szu-ching-yakin-bandar-sandakan-dapat-dipulihkan/feed/ 0 87226