HomeUtamaLembaga Pelancongan Sabah lancar kempen inovatif Giphy di MATTA Fair

Lembaga Pelancongan Sabah lancar kempen inovatif Giphy di MATTA Fair

Read Time:1 Minute, 58 Second

KUALA LUMPUR: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) telah memulakan inisiatif seni digital yang dinamik untuk meningkatkan strategi pemasarannya secara berterusan.

Dilancarkan di Pameran MATTA di sini pada Jumaat, STB memperkenalkan koleksi sulungnya Graphic Interchange Format (GIFs) pada platform kreatif dinamik Giphy untuk mempromosikan produk tarikan pelancongan di Sabah.

Inisiatif baharu itu dilancarkan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Roslan Abdul Rahman dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai.

Memandangkan integrasi meluas Giphy dengan platform media sosial popular seperti Instagram, TikTok, WhatsApp dan Facebook iaitu saluran yang sering dikunjungi oleh pengembara dan pengguna lain, langkah itu sejajar dengan matlamat STB untuk lebih dikenali melalui platform tersebut.

“Penggunaan trend ini membolehkan hubungan yang lebih kukuh dengan pengikut mereka,” kata Joniston, yang juga pengerusi STB.

STB ialah lembaga pelancongan pertama di Malaysia yang menerokai platform Giphy untuk mempromosikan produk tarikan pelancongan di Sabah.

Dengan kerjasama empat artis Sabah yang berbakat – Iffah Hazirah dan Adora Chloe dari Kota Kinabalu, Rachel Rayner dari Beaufort, dan Nelson Lip dari Tawau – STB telah menghidupkan kandungan animasi yang merangkumi intipati Sabah.

Artis bebas ini masing-masing telah menghasilkan 10 reka bentuk tersendiri, mewakili pelbagai aspek Sabah daripada pengembaraan dan budaya hingga ke pulau, pantai dan alam semula jadi semuanya dihasilkan dalam gaya artistik mereka yang unik. Carian di @sabahtourism atau kata kunci lain yang berkaitan dengan Sabah, Malaysia Borneo akan menyediakan GIFs/Stickers yang boleh digunakan pengguna pada penyiaran (posting) media sosial mereka.

Pada Pameran MATTA, Lembaga Pelancongan Sabah juga mengadakan pertandingan dalam talian yang menarik di media sosial, menawarkan pemenang berpeluang untuk menuntut produk artisan istimewa daripada pemilik perniagaan kecil Sabah di pameran pelancongan itu.

“Lembaga Pelancongan Sabah sentiasa mencari cara yang inventif dan inovatif untuk mempromosikan Sabah, dan untuk kempen ini, kami bekerjasama dengan komuniti kreatif tempatan kami.

“Untuk memasarkan Sabah dengan jayanya, kita mesti mengamalkan strategi bekerjasama dan bersepadu. Sabah adalah rumah kepada ramai bakat kreatif, dan kami mahu memberikan mereka alat yang mereka perlukan untuk menyebarkan berita tentang kehebatan tempat-tempat menarik di Sabah,” kata Joniston.

Bertepatan dengan Pameran MATTA dari 1 hingga 3 September 2023, para pengunjung berpeluang memenangi hadiah daripada Lembaga Pelancongan Sabah apabila mereka memuat naik foto mereka di Pavillion Sabah dan menggunakan Sabah Tourism Giphy sticker.

Pelancongan Sabah menggalakkan orang ramai menambah sentuhan keseronokan pada kisah pengalaman pengembaraan mereka dengan memasukkan @sabahtourism sticker dalam siaran mereka.

RELATED ARTICLES
Utama

Sistem air minuman secara mudah alih, berkuasa solar berjaya dibangunkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular