KATHMANDU: Sekurang-kurangnya 95 orang terkorban manakala ratusan lagi dilaporkan hilang selepas banjir kilat besar menghanyutkan beberapa perkampungan dan merosakkan kemudahan asas di Nepal.
Menurut laporan Portal Antarabangsa yang memetik pihak berkuasa tempatan, bencana itu menyebabkan kerosakan pada jalan raya, jambatan, sistem bekalan elektrik serta beberapa projek tenaga di kawasan pergunungan berhampiran sempadan Tibet.
Jurucakap polis Nepal, Abi Narayan Kafle, berkata 28 anggota polis merupakan antara mereka yang masih hilang.
Pihak berkuasa turut menerima laporan kehilangan sekurang-kurangnya 384 pelancong. Daripada jumlah itu, 291 ialah warga asing, termasuk pelancong dari United Kingdom, Amerika Syarikat, India dan Malaysia.
Operasi menyelamat di Syapru Besi dan Timure, dalam daerah Rasuwa, berdepan kesukaran kerana paras air terlalu tinggi sehingga menghalang helikopter daripada mendarat. Daerah pergunungan berkenaan mempunyai kira-kira 50,000 penduduk.
Pentadbir daerah Narendra Pariyar mengarahkan penduduk di sepanjang tebing Sungai Bhote Koshi supaya segera berpindah ke kawasan lebih tinggi. Beberapa perkampungan dan tapak projek infrastruktur dipercayai telah dihanyutkan.
Jurucakap kerajaan Nepal, Sasmit Pokharel, berkata Kathmandu telah meminta bantuan India dan China bagi mempergiat operasi mencari dan menyelamat.
Tentera Nepal memaklumkan bahawa helikopter serta pasukan tindak balas bencana sudah dikerahkan, sementara usaha menilai keseluruhan kerosakan masih dijalankan.
Menurut Pihak Berkuasa Elektrik Nepal, kemudahan penjanaan tenaga berkapasiti kira-kira 430 megawatt, termasuk loji hidroelektrik dan solar, mengalami kerosakan. Kemudahan penghantaran dan pengagihan turut terjejas sehingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik.
Kementerian Luar Korea Selatan pula memaklumkan lapan rakyatnya yang bekerja di sebuah projek hidroelektrik hilang, manakala 10 lagi terkandas. Seoul merancang menghantar pasukan tindak balas pantas yang melibatkan pegawai kerajaan, polis dan anggota bomba ke Nepal.
Di seberang sempadan, agensi berita Xinhua melaporkan kejadian aliran lumpur di Gyirong, Tibet, mengakibatkan “korban besar” serta memutuskan jalan raya, komunikasi dan bekalan elektrik di wilayah Shigatse.
Presiden China, Xi Jinping, mengarahkan usaha menyeluruh dilakukan bagi mencari mangsa yang hilang. Beliau turut meminta sistem pemantauan dan amaran awal dipertingkatkan bagi mengurangkan risiko bencana susulan.
Punca sebenar banjir masih disiasat. Bagaimanapun, pakar di Pusat Antarabangsa bagi Pembangunan Gunung Bersepadu percaya runtuhan ais dan batu dari sebuah glasier mungkin telah menyekat aliran Sungai Lhende Khola sebelum melepaskan sejumlah besar air secara tiba-tiba ke kawasan hilir.
Rakaman yang disiarkan oleh Polis Nepal di media sosial menunjukkan arus deras air berlumpur merempuh lembah pergunungan serta menghanyutkan bangunan dan kemudahan awam.
Dalam pada itu, memetik aktivis keadilan iklim Nepal, Prayash Adhikari, sebagai berkata seluruh perkampungan, sekolah, jambatan dan lebuh raya musnah dalam kejadian tersebut.
India dilaporkan mula memindahkan penduduk dari enam daerah di Bihar kerana bimbang limpahan banjir akan sampai ke negeri berkenaan.
Hujan monsun lazimnya mencetuskan banjir dan tanah runtuh di Asia Selatan antara Jun hingga September. Pakar memberi amaran bahawa perubahan iklim meningkatkan kekerapan serta tahap keterukan kejadian cuaca ekstrem di rantau itu.
]]>KOTA KINABALU: Siriwong Borvornboonrutai membuktikan bahawa wanita bukan sahaja mampu memimpin, malah menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan global B.Grimm Power dalam sektor tenaga.
B.Grimm Power merupakan pemacu pendapatan utama kumpulan, selain lima perniagaan lain di bawah B.Grimm Group, iaitu farmasi, penjagaan kesihatan, teknologi digital, hartanah dan syarikat berkaitan gaya hidup.
Sebagai Presiden Bersama Kewangan dan Perakaunan di B.Grimm Power Plc, Siriwong memainkan peranan penting dalam strategi syarikat untuk berkembang dari sekadar pemain serantau kepada kuasa tenaga bertaraf global. Beliau bekerja rapat dengan barisan eksekutif bagi menetapkan hala tuju syarikat, memastikan bukan sahaja peningkatan kapasiti penjanaan tenaga, tetapi juga pertumbuhan kewangan yang kukuh dan mampan.
Siriwong berkata B.Grimm Power mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai syarikat tenaga global, dengan jumlah bekalan elektrik dijangka meningkat daripada 4 gigawatt kepada 10 gigawatt menjelang 2030.
B.Grimm Power juga berhasrat mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
“Perjalanan kami dipacu oleh peluasan strategik, kekuatan kewangan dan kerjasama kukuh. Kami telah mewujudkan kehadiran di pelbagai negara, memastikan portfolio yang seimbang merangkumi pasaran pesat membangun dan maju untuk memacu pertumbuhan serta daya tahan,” kata Siriwong.
Beliau juga menekankan kepentingan membawa perspektif global dalam membuat keputusan syarikat dan menyesuaikan operasi dengan budaya tempatan di setiap pasaran.
Selain itu, strategi kepelbagaian geografi membantu B.Grimm Power mengurangkan risiko geopolitik dengan tidak bergantung kepada satu pasaran sahaja.
Menurutnya, jika B.Grimm Power memenuhi empat kriteria utama yang difokuskan kepada pengurusan kewangan syarikat akan menonjol di peringkat global.
Kriteria itu adalah:
Pertama, menjana sebahagian besar pendapatannya daripada operasi luar negara, khususnya daripada loji tenaga boleh diperbaharui.
Kedua, meningkatkan keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) mesti ditingkatkan bagi memperkukuh prestasi kewangan.
Ketiga, menjamin nilai bersih semasa perlu kekal positif dan pulangan ke atas modal mestilah melebihi kos modal purata.
Keempat, menunjukkan komitmen untuk menjadi pemain utama dalam industri tenaga global.
Siriwong juga memainkan peranan penting dalam pengurusan risiko syarikat melalui bahagian kewangan dan perakaunan, memastikan keputusan strategik disokong analisis kewangan yang rapi dan mantap.
Beliau turut membuka peluang syarikat ke pasaran berkelas pelaburan seperti Eropah, Amerika Syarikat, Jepun, dan Korea Selatan, di mana permintaan tenaga meningkat pesat berikutan trend elektrifikasi.
Dengan kelayakan akademik cemerlang, termasuk dua Ijazah Sarjana dalam Kewangan dan Perakaunan dari University of Illinois, serta pensijilan profesional Chartered Financial Analyst (CFA) dan Certified Public Accountant (CPA), Siriwong membawa kepakaran teknikal yang kukuh.
Pengalaman lebih sedekad dalam kepimpinan kewangan di sektor tenaga dan perbankan menjadikan beliau “tenaga utama” dalam strategi pertumbuhan global B.Grimm Power.
]]>BANGKOK, 9 Jun 2025 – Pengeluar tenaga Thailand, B.Grimm Power Pcl, bekerjasama dengan syarikat Digital Edge DC untuk melabur sekitar AS$1 bilion (RM4.7 bilion) dalam pembinaan sebuah pusat data berskala besar di Thailand, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan perkhidmatan digital lain di Asia Tenggara.
Menurut kenyataan bersama hari ini, kemudahan berkenaan telah menerima kelulusan daripada Lembaga Pelaburan Thailand (BOI) dan dijangka beroperasi secara komersial pada suku keempat 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Digital Edge, John Freeman berkata, Thailand kini muncul sebagai antara pasaran pertumbuhan digital paling pesat di Asia, didorong lonjakan permintaan terhadap aplikasi kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan pembelajaran mesin.
“Kami berbangga dapat berganding bahu bersama B.Grimm Power dalam projek mercu tanda ini untuk membawa infrastruktur pusat data bertaraf dunia ke Thailand – lengkap dengan kapasiti berskala besar dan penggunaan tenaga mampan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kumpulan B.Grimm Power, Dr Harald Link menyifatkan kerjasama tersebut sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang syarikat itu terhadap transformasi digital negara.
“Dengan menggabungkan kepakaran tenaga boleh diperbaharui dan teknologi pusat data moden, kami menyokong aspirasi Thailand sebagai hab serantau bagi inovasi AI dan pengkomputeran awan,” katanya.
Thailand ketika ini sedang giat menarik pelaburan asing dalam sektor digital dengan peruntukan insentif melebihi AS$2.7 bilion untuk projek pusat data dan cloud. Industri pusat data Thailand dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) melebihi 25% menjelang 2030.
Kampus EEC itu akan menawarkan perkhidmatan kolokasi berketumpatan tinggi, sambungan inter-data center dan penyelesaian cloud hibrid yang disasarkan kepada penyedia hyperscaler, aplikasi AI, serta syarikat yang sedang melalui transformasi digital.
Digital Edge, yang disokong oleh pelabur infrastruktur global Stonepeak Partners, kini mengendalikan 24 pusat data di sembilan negara Asia Pasifik, dengan kapasiti kuasa IT melebihi 1.1GW.
B.Grimm pula merupakan pengeluar tenaga industri utama Thailand dengan rekod lebih 147 tahun, memiliki portfolio kukuh dalam sistem penjanaan bersama dan tenaga boleh diperbaharui. Penasihat kewangan eksklusif bagi kerjasama ini ialah Natixis.
]]>DAVAO CITY – Angkatan Tentera Filipina-Komando Mindanao Timur mengesahkan bahawa mayat dua juruterbang serta serpihan jet pejuang FA-50 yang hilang telah ditemui di Gunung Kalatungan, Talakag, Bukidnon pada Rabu, 5 Mac.
memetik laporan agensi berita, Jurucakap Pemerintah Mindanao Timur, Lt. Kol. Salvacion Evangelista, mengesahkan dalam satu sidang media bahawa pasukan mencari dan menyelamat daripada pasukan khas berjaya mengesan lokasi nahas melalui pemancar lokasi juruterbang.
Evangelista berkata bahawa mayat-mayat tersebut ditemui berhampiran serpihan pesawat buatan Korea Selatan di Barangay Miarayon.
Pesawat malang itu dilaporkan hilang pada 4 Mac selepas terlibat dalam serangan udara waktu malam terhadap Tentera Rakyat Baru (NPA) di Cabanglasan, Bukidnon.
Pegawai operasi Pejabat Pengurangan Risiko Bencana Perbandaran Pangantucan, Rammel Gulahab, berkata pihak kerajaan tempatan telah mendapatkan bantuan daripada komuniti Orang Asli di kawasan itu untuk membantu dalam operasi mencari dan menyelamat.
Gulahab berkata bahawa mereka adalah anggota sukarelawan Bantay Lasang yang mahir dengan kawasan tersebut.
Pangantucan dan Talakag adalah antara pekan yang terletak dalam Banjaran Gunung Kalatungan.
Beliau menambah bahawa lokasi nahas terletak sekurang-kurangnya lapan jam perjalanan dengan berjalan kaki.
]]>Jakarta – Presiden Indonesia menyampaikan tekadnya untuk terus berjuang membersihkan pentadbiran negara itu daripada gejala rasuah dan menjaga kekayaan negara bagi kepentingan rakyat.
Dalam satu ucapan sempena hari Natal baru-baru ini, beliau menegaskan bahawa pelaku rasuah atau “koruptor” tidak akan rela melihat usaha kerajaan yang ingin membetulkan dan membersihkan pentadbiran.
Cabaran Menghadapi Korupsi
Menurut Prabowo beliau menyedari bahawa perjuangan ini tidak mudah kerana akan ada pihak-pihak tertentu yang cuba menggoyahkan kerajaan dengan pelbagai isu dan provokasi. Namun, beliau menekankan bahawa komitmen untuk memastikan pentadbiran yang bersih tidak akan tergugat.
“Si koruptor-koruptor itu, si maling-maling itu tidak rela melihat ada pemerintah Indonesia yang ingin membenahi diri, ingin membersihkan diri. Dan kita akan digoyang, akan dibikin isu ini, isu itu,” katanya.
Tekad Berjuang Demi Negara
Dalam ucapannya itu juga, Presiden Probowo mengingatkan rakyat bahawa Indonesia telah diberi banyak kurnia oleh Yang Maha Kuasa. Oleh itu, beliau menegaskan sumpahnya sebagai pemimpin untuk menjaga kekayaan negara dengan sepenuh jiwa dan raga.
“Percayalah, Yang Maha Kuasa telah memberi kepada kita karunia yang luar biasa. Saya sebagai anak bangsa Indonesia, saya yang disumpah di hadapan Yang Maha Kuasa, saya bertekad dengan seluruh kekuatan yang ada di jiwa dan raga saya, saya akan berjuang menjaga segala kekayaan Indonesia,” ujarnya penuh keyakinan.
Harapan untuk Indonesia
Presiden juga menyeru rakyat Indonesia untuk bersatu dalam menghadapi cabaran ini. Beliau percaya bahawa dengan kepercayaan kepada Tuhan dan kerjasama semua pihak, usaha memerangi rasuah dapat dicapai dan masa depan yang lebih baik untuk negara dapat direalisasikan.
Ucapan ini mencerminkan komitmen Presiden untuk membawa perubahan positif, walaupun menghadapi pelbagai halangan. Rakyat kini menantikan langkah-langkah konkrit yang akan diambil untuk memastikan visi ini menjadi kenyataan.
]]>BANGKOK, Pemimpin parti Pheu Thai, Paetongtarn Shinawatra memperoleh undi majoriti di Parlimen pada Jumaat (16 Ogos) untuk menjadi Perdana Menteri Thailand ke-31.
Paetongtarn, 37, yang mengetuai parti terbesar dalam gabungan pemerintah yang terdiri daripada 11 parti, adalah anak perempuan bongsu bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra.
Parti Pheu Thai yang bersifat populis, mempunyai kaitan dengan Thaksin, hanya mengemukakan seorang calon perdana menteri, Paetongtarn.
Sebagai pendatang baharu dalam arena politik, Paetongtarn menerima 319 undi, 145 undi menentang manakala 27 berkecuali.
Dengan jumlah undian itu, beliau melepasi ambang 247 undi yang diperlukan untuk menjadi perdana menteri dan membentuk kerajaan baharu.
Beliau disokong oleh gabungan 11 parti yang diketuai Pheu Thai, termasuk dua pesaing yang mempunyai kaitan dengan tentera: Parti Palang Pracharath (PPRP) dan United Thai Nation (UTN).
Gabungan itu mempunyai 314 kerusi, hampir dua pertiga daripada 493 ahli parlimen semasa. Pemilihan Perdana Menteri bermula pada 11.30 pagi waktu tempatan dan berakhir pada 12.30 tengah hari waktu tempatan.
Perdana menteri termuda kerajaan itu menggantikan Srettha Thavisin, yang dilucutkan jawatan oleh Mahkamah Perlembagaan pada Rabu (14 Ogos).
Paetongtarn, dilahirkan pada 21 Ogos 1986 di Bangkok, merupakan anak bongsu kepada Thaksin dan Khunying Potjaman Damapong.
Beliau menamatkan pendidikan menengahnya di Sekolah St. Joseph Convent dan Sekolah Mater Dei sebelum memperoleh ijazah Sarjana Muda dalam Sains Politik dari Kolej Chulalongkorn pada 2007.
Pada 2008, beliau menyambung pengajian di University of Surrey di United Kingdom, jurusan Pengurusan Hospitaliti Antarabangsa.
Beliau secara rasmi menceburi politik pada 2021 apabila beliau diperkenalkan sebagai ketua penasihat parti untuk penyertaan dan inovasi semasa mesyuarat agung tahunan Parti Pheu Thai di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Khon Kaen.
Pada 2023, Paetongtarn telah dipilih sebagai ketua baharu parti tanpa tentangan semasa mesyuarat agung Pheu Thai di Bangkok.
Beliau kini merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Strategik Soft Power dan juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sistem Kesihatan Negara.
— BERNAMA
]]>AGENSI
MANILA: Pengawal Pantai China (CCG) dituduh merampas dan membuang makanan serta bekalan mahu dihantar kepada tentera Filipina ditempatkan di pos terpencil di Beting Thomas Kedua di Laut China Selatan.
CCG turut didakwa menghalang pemindahan perubatan anggota tentera yang sakit, dalam kes yang berlaku pada 19 Mei lalu.
Menurut sumber, kejadian itu berlaku ketika Tentera Laut Filipina melakukan operasi membawa barang-barang berkenaan ke kapal BRP Sierra Madre, kapal usang yang diusah suai menjadi pos kawalan tentera Filipina.
Sementara itu, dalam kejadian ketiga pada 24 Mei lalu, CCG didakwa menggunakan meriam air untuk menghalau bot nelayan Filipina berhampiran beting berkenaan.
Dakwaan itu dilakukan selepas media China melaporkan bahawa kakitangan Sierra Madre mengacukan senjata api ke CCG pada 19 Mei lalu.
China Central Television, menerusi media sosial pada 2 Jun lalu, melaporkan sekurang-kurangnya dua lelaki dilihat membawa pistol dan mengacukannya ke arah CCG.
Video selama 29 saat itu menunjukkan seorang lelaki bertopeng memegang objek menyerupai senapang.
Pada 19 Mei lalu, Sumber Inquirer berkata CCG mengerahkan empat bot getah ketika operasi penghantaran bekalan pesawat Tentera Laut Filipina ke Sierra Madre.
Anggota CCG dikatakan merampas sebahagian bekalan untuk kegunaan sendiri, kebanyakannya makanan, dan membuang bakinya ke dalam laut bagi memastikan ia tidak boleh dimakan.
Sumber bukan tentera turut mengesahkan berlaku gangguan dari pihak China namun faktanya berbeza dengan sumber pertama.
Ia mengatakan bot China cuba menghalang perpindahan kakitangan antara bot Tentera Laut Filipina dan kapal kecil Pengawal Pantai Filipina (FCG).
Beting Thomas Kedua, yang dikenali sebagai Ayungin di Filipina, lterletak dalam zon ekonomi eksklusif Filipina sepanjang 370 kilometer (km), kira-kira 194km dari wilayah Palawan.
China menggunakan peta menunjukkan ‘sembilan garis putus’, yang merangkumi kira-kira 90 peratus Laut China Selatan, dalam menegaskan tuntutannya termasuk terhadap kedaulatan ke atas Beting Scarborough.
Sierra Madre memerlukan misi penggiliran dan pembekalan semula berkala secara tetap, namun sering diganggu China sejak kebelakangan ini.
Misi pembekalan semula yang terakhir adalah pada Mac lalu apabila sebuah kapal bekalan Filipina rosak akibat ditembak meriam air China, sehingga menyebabkan kecederaan.
]]>Dalam langkah penting untuk menangani konflik yang sedang berlaku di Ukraine dan mempromosikan keamanan global, satu sidang kemuncak global dianjurkan bersama Switzerland yang dijadualkan bermula pada 15 Jun ini.
Sidang Kemuncak Keamanan Global ini turut menerima komitmen dari lebih daripada lapan puluh negara, menunjukkan sokongan antarabangsa yang meluas untuk menyelesaikan konflik ini di antara 2 negara ini yang berterusan.
Kerajaan Ukraine terus berhubung dengan pemimpin-pemimpin dunia, menghantar jemputan dan mengumpul sokongan untuk acara penting ini.
Sidang kemuncak ini bertujuan untuk menggalakkan usaha kolektif mencapai keamanan yang berkekalan, melangkaui gencatan senjata sementara untuk memastikan kestabilan dan keselamatan yang berterusan.
Dalam rayuannya itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, menyeru para pemimpin dunia untuk menghadiri “sidang kemuncak keamanan” bulan depan di Switzerland selepas serangan maut Rusia ke atas pasar raya besar DIY di Kharkiv pada hari Sabtu yang membunuh sekurang-kurangnya 16 orang dan mencederakan berpuluh-puluh lagi.
Beliau yang turut memanggil Presiden Joe Biden dari Amerika Syarikat dan Presiden Xi Jinping dari China untuk menunjukkan kepimpinan mereka dengan menyertai sidang kemuncak ini.
“Kami tidak mahu Piagam PBB dibakar… dibakar seperti buku-buku ini,” kata mereka, merujuk kepada kemusnahan yang disebabkan oleh konflik yang sedang berlangsung katanya di dalam video itu.
]]>KUALA LUMPUR: Presiden Iran Ebrahim Raisi dilaporkan meninggal dunia selepas helikopter dinaiki beliau terhempas di kawasan pergunungan di barat laut Iran.
Menurut agensi berita Iran, IRINN dan Mehr News, tiada mangsa yang terselamat ditemui di lokasi nahas helikopter itu.
Penumpang helikopter itu, termasuk Ebrahim Raeisi, Hossein Amir-Abdollahian, Gabenor Wilayah Azerbaijan Timur Iran, Malek Rahmati, dan Ayatollah Mohammad Ali Ale-Hashem, wakil Pemimpin Revolusi Islam ke wilayah Azarbaijan Timur, bersama beberapa orang lain telah terkorban dalam kejadian itu.
Reuters melaporkan, seorang pegawai kerajaan Iran memaklumkan bahawa helikopter yang hilang itu ditemui ‘terbakar sepenuhnya’.
Ketua Bulan Sabit Merah Iran berkata, helikopter membawa Presiden Iran, Ebrahim Raisi, telah ditemui tetapi keadaannya ‘tidak baik’.
“Helikopter itu telah ditemui. Sekarang, kami bergerak ke arah helikopter,” kata ketua Bulan Sabit Merah, Pirhossein Koolivand, sambil menambah ‘keadaan tidak baik’.
Laporan awal daripada pasukan mencari dan menyelamat menunjukkan bahawa semua penumpang di dalam helikopter itu, termasuk Raisi dan Menteri Luar Hossei Amir-Abdollahian terkorban dalam nahas itu.
Persatuan Bulan Sabit Merah Iran sebelum ini mengesahkan telah tiba di tapak nahas susulan dron milik Turki mengesan satu kawasan di Wilayah Azerbaijan Timur yang mengeluarkan haba.
Sejurus itu 73 pasukan termasuk unit anjing pengesan dikerah ke kawasan terbabit namun berdepan cuaca hujan dan kabus tebal.
Terdahulu, helikopter yang membawa Presiden dan Menteri Luar Iran itu dilaporkan terpaksa melakukan ‘pendaratan kecemasan’ di kawasan pergunungan di barat laut Iran.
Insiden itu berlaku pada Ahad di Hutan Dizmar antara bandar Varzaqan dan Jolfa di Wilayah Azerbaijan Timur ketika Raisi dalam perjalanan pulang dari satu majlis perasmian empangan bersama Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev.
Penduduk tempatan dilaporkan mendengar ‘bunyi kuat’ di wilayah berkenaan tidak lama selepas itu.
]]>AGENSI
Sebuah rakaman video menunjukkan Presiden Iran, Ebrahim Raisi berada di dalam sebuah helikopter yang dinaikinya sebelum ia disyaki terhempas di sempadan Iran dengan Azerbaijan, semalam.
Menurut The Sun, pemimpin tersebut dilihat memandang ke luar tingkap, manakala seorang lagi individu yang tidak dikenali duduk bertentangan dengannya.
Raisi berada di dalam helikopter tersebut sebelum ia dilaporkan terputus hubungan semalam.
Cuaca berkabus serta hujan menyukarkan operasi mencari dan menyelamat Raisi yang dikenali sebagai penyokong Hamas.
Pegawai-pegawai Iran memberi amaran bahawa nyawa Raisi ibarat di hujung tanduk ketika sekutu Tehran termasuk Russia menghantar bantuan untuk operasi menyelamat.

foto pertama tapak nahas, menurut Tasnim News yang bersekutu dengan IRGC.
Terdahulu, Raisi, 63, dilaporkan berada di sempadan wilayah Azerbaijan untuk merasmikan empangan Qiz-Qalasi sebelum nahas.
Raisi berlepas bersama Gabenor wilayah Azerbaijan Timur dan Menteri Luar Iran, Hossein Amir Abdollahian dalam konvoi disertai tiga helikopter.
Tetapi dua lagi helikopter selamat mendarat di destinasi mereka, namun helikopter dinaiki Raisi tidak kunjung tiba.
Susulan kehilangannya, Iran menggerakkan operasi mencari besar-besaran dengan pasukan penyelamat menyusuri kawasan pergunungan, namun bergelut untuk sampai ke lokasi dengan keadaan cuaca buruk.
Komander tentera Iran mengarahkan semua sumber tentera dan pasukan elit Pengawal Revolusi digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat.
“Suasana gelap dan hujan tetapi pencarian tetap diteruskan.
“Pasukan penyelamat sudah tiba di kawasan dipercayai lokasi nahas, namun, hujan menyebabkan aliran lumpur yang menyukarkan pencarian,” kata seorang wartawan tempatan
]]>