HomeIsu tempatanCadangan Bantuan Wang Tunai Untuk Penduduk Sabah Terlibat PKPD

Cadangan Bantuan Wang Tunai Untuk Penduduk Sabah Terlibat PKPD

Read Time:1 Minute, 24 Second

Cadangan pemberian wang tunai sekali beri kepada penduduk terjejas di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri ini akan dikemukakan ke peringkat atasan untuk pertimbangan.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata cadangan itu diterima beliau sendiri daripada penduduk yang terkesan di lokaliti PKPD daerah Tawau dan bantuan tersebut dilihat perlu diteliti demi kepentingan rakyat.

“Sebenarnya saya juga banyak dihubungi oleh masyarakat Tawau yang terkesan khususnya berada di kawasan PKPD ini dan mereka juga ada mengutarakan banyak cadangan serta idea bagi meringankan beban seperti bantuan dan sebagainya,” kata beliau kepada pemberita .

Sejak 1 April sehingga hari ini, terdapat 14 lokaliti PKPD dilaksanakan di Tawau.

Sementara itu, Nizam yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Apas berkata kerajaan tidak sewenang-wenangnya membuat keputusan melaksanakan PKPD atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebaliknya, beliau berkata tindakan itu merupakan usaha kerajaan bagi memastikan rakyat dalam keadaan sihat dan tidak teruk terkesan dengan penularan pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau Dr G Navindran berkata kes di Tawau semakin meningkat dengan lebih 500 kes aktif direkodkan ketika ini dan tindakan membendung penularan COVID-19 perlu dilaksanakan termasuk langkah menguatkuasakan PKPD dan PKP. 

“Ketika ini pun wad hospital hampir penuh dengan pesakit COVID-19 yang berada di tahap tiga dan empat…ini membimbangkan,” katanya. 

Dr Navindran berharap masyarakat tidak memandang mudah arahan kerajaan mengenai pematuhan prosedur operasi standard yang ditetapkan.

“Berilah kerjasama untuk bantu melandaikan semula kes COVID-19, ini sudah setahun, petugas kesihatan di sini sudah letih kerana bebanan kerja yang meningkat,” jelasnya. 

— BERNAMA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Teknologi membran selesai masalah pelbagai sektor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular