HomeUtamaTiada keperluan perjanjian baharu untuk Sabah, Sarawak - Maximus Ongkili

Tiada keperluan perjanjian baharu untuk Sabah, Sarawak – Maximus Ongkili

Read Time:1 Minute, 45 Second

Tiada keperluan untuk merangka draf perjanjian baharu bagi menggantikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang memperuntukkan Sabah dan Sarawak bergabung dengan Malaya dalam membentuk Malaysia, menurut seorang menteri malam ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata lebih baik mengkaji MA63 dan memperbaiki segala kelemahan dan melihat bagaimana ia dapat membantu penduduk di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata MA63 merupakan perkara yang perlu dikendalikan dengan bijaksana serta memerlukan pemahanan yang lebih baik dan semua pihak perlu amat berhati-hati dalam membaca situasi melibatkan perjanjian tersebut.

“Ia seumpama perkahwinan. Anda mesti terlebih dahulu mengetahui apa yang salah dengan pasangan anda, apakah kesilapan dia dan sekiranya anda mempunyai semua bukti, maka anda boleh mengemukakan tuntutan cerai. Ini sama dalam situasi ini (MA63).

“Risik kesilapan dalam MA63 dan jika kerajaan gagal menangani sebarang kekurangan, maka mungkin kita dapat  mengabaikan perjanjian lama dan merangka draf baharu…tetapi juga penting untuk mengetahui apa implikasinya daripada menggugurkan MA63,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jumaat lalu, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata negara mungkin memerlukan perjanjian baharu untuk tiga entiti iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia untuk membentuk Malaysia yang menjalin hubungan baik antara negeri dan persekutuan.

Ongkili berkata kerajaan sekarang sudah menguruskan ‘kecacatan’ dan memperbaiki perkara yang telah dikenal pasti oleh jawatankuasa kerja di bawah Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63).

“Kerajaan sekarang melaksanakan apa yang tidak pernah dilakukan sebelumnya – menangani kekurangannya – jadi jangan bicara mengenai draf perjanjian baharu apabila anda belum lagi melakukan kajian yang diperlukan. Jangan mencetus sentimen semata-mata untuk kepentingan politik.

“Kita mesti memahami bahawa MA63  adalah sebahagian Akta Malaysia yang diluluskan oleh Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Sarawak.

“Sekiranya kita ingin menggubal perjanjian baharu, ia perlu dibentangkan di Parlimen dan kedua-dua DUN untuk kelulusan. Ini adalah proses yang panjang,” katanya.

 — BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah sinonim dengan perpaduan, keharmonian dalam meraikan perayaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular